Sunday, June 28, 2009

Tuan Guru Haji Ishak Muhammad Hashim - Pengasas Pondok Pulau Pisang


Tuan Guru Haji Ishak lahir pada tahun 1771 di Kampung Padang Panjang, Kota Sena, Malau, Jitra. Beliau mendapat pendidikan agama peringkat awal dari keluarganya sendiri. Beliau belajar membaca al-Quran di Kampung Malau. Bagaimanapun, asas pendidikan yang diperolehinya itu tidak mencukupi untuk membolehkan beliau menjadi seorang ulama sebagaimana yang dicita-citakan oleh bapanya, Muhammad Hashim. Atas kecenderungan sendiri di samping galakan keluarga, Tuan Guru Haji Ishak pergi ke Makkah pada tahun 1786 Masehi untuk meluaskan pengetahuan agama. Selama 20 tahun di Mekah, Haji Ishak berguru dengan beberapa orang ulama tetapi salah seorang yang terdekat dan sering disebut-sebut bernama Sheikh Abdul Qadir. Tuan Guru Haji Ishak berjaya menguasai ilmu Feqah, Tauhid, Usuluddin dan Tasawuf di samping ilmu Tafsir, Hadis dan ilmu-ilmu bantu seperti Nahu, Saraf dan lain-lain. Tuan Guru Haji Ishak juga dikatakan berguru Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, ulama-ulama Alam Melayu yang sangat terkenal pada abad ke-18 Masehi. Beliau pulang ke tanahair pada tahun 1806 ketika berusia 35 tahun dan mula mengajar agama di Malau atas permintaan penduduk tempatan. Langkah itu merupakan kegiatan awal dakwahnya dan ini adalah sejajar dengan hasrat beliau untuk menjadi seorang pendakwah kepada masyarakat. Haji Ishak merupakan seorang ulama yang akrab dengan Tunku Anom, pahlawan besar Kedah pada abad ke-18 yang telah menentang penjajahan Thai. Keakraban ini jelas terbukti apabila beliau diberi kepercayaan untuk memimpin kerajaan apabila Tunku Anom dengan beberapa orang pembesar berangkat ke Siam untuk menghantar bunga emas. Peristiwa itu berlaku pada bulan Ogos 1845 apabila Tunku Anom bersama 17 orang pengiring termasuk Sultan Zainal Rasyid, Saiyid Hussain dan Tunku Muhammad Akib bertolak ke Siam. Tuan Guru Haji Ishak memangku jawatan berkenaan selama enam bulan sepanjang ketiadaan Tunku Anom. Hubungan erat antara Tunku Anom dengan Tuan Guru Haji Ishak terjalin setelah Tunku Anom berjaya mengembalikan Kesultanan Negeri Kedah. Tunku Anom telah diberi kawasan Kubang Pasu untuk dijadikan negeri kerana jasanya yang tidak terbilang dalam mendapatkan semula Kedah dari taklukan Thai dan meletakkan semula Sultan ke atas takhta. Pada tahun 1841, Tunku Anom menjemput Tuan Guru Haji Ishak menjadi salah seorang pembesar baginda merangkap Kadi Besar yang dipertanggungjawabkan dalam hal ehwal berkaitan dengan adat istiadat Melayu, keagamaan dan pentadbiran. Perlantikan itu dibuat setelah melihat kewibawaan Tuan Guru Haji Ishak sebagai ulama yang berpengetahuan luas. Semasa berkhidmat sebagai Kadi Besar, Tuan Guru Haji Ishak menjalankan tugas dengan cemerlang. Antara tugas yang dijalankan ialah menyusun tempat perletakan istana, tempat tinggal keluarga raja, tempat pemakaman raja dan menjadi guru raja di samping terus aktif mengajar ilmu-ilmu agama Feqah dan Tauhid kepada orang ramai. Dengan sokongan Tunku Anom, Tuan Guru Haji Ishak telah mendirikan sebuah pusat pendidikan pondok di Kampung Pulau Pisang, Mukim Tunjang. Pusat pendidikan pondok di Pulau Pisang telah terkenal di seluruh negara dan memandangkan kemajuan pesat Pulau Pisang sebagai pusat Islam, Tunku Anom bersetuju menjadikannya sebagai pusat pemerintahan. Dengan nasihat Tuan Guru Haji Ishak, Tunku Anom kemudiannya mendirikan sebuah istana di Kampung Pulau Pisang. Semasa mentadbir pondok Pulau Pisang, Haji Ishak mendirikan sebuah masjid sebagai kemudahan tempat beribadat. Masjid itu masih kekal hingga sekarang yang dikenali sebagai 'Masjid Ishaqiah'. Asas-asas pembinaannya masih lagi terdiri daripada perkakas-perkakas lama walaupun beberapa kali telah diubahsuai. Mimbar masjid tersebut yang diperbuat daripada kayu teras remia masih digunakan hingga sekarang. Pembinaan masjid itu dilakukan oleh orang-orang Jawa tetapi rekabentuknya adalah ilham Tuan Guru Haji Ishak sendiri. Ini menunjukkan Tuan Guru Haji Ishak bukan sahaja seorang ahli agama semata-mata tetapi juga arkitek yang berkemampuan. Masjid Kampung Pulau Pisang yang dibina di kawasan pondok merupakan salah sebuah masjid yang terindah di negeri Kedah pada waktu itu. Tuan Guru Haji Ishak menggunakan masjid itu bukan sahaja sebagai tempat beribadat tetapi juga sebagai tempat menyampaikan ceramah agama. Keindahan masjid tersebut menjadi salah satu daya tarikan kepada orang-orang luar yang datang menuntut ilmu di Pulau Pisang. Jumlah murid yang datang, sentiasa bertambah dari masa ke semasa. Tunku Anom sendiri turut berguru dengan Tuan Guru Haji Ishak. Baginda telah memerintahkan Tuan Guru Haji Ishak mengarang banyak kitab keagamaan dan risalah-risalah perubatan untuk diwarisi oleh rakyat sebagai bahan rujukan. Tetapi malang sekali kerana semua kitab itu musnah dalam peristiwa kebakaran sebanyak dua kali di Pondok Kampung Pulau Pisang. Kali terakhir pondok itu terbakar ialah pada tahun 1967. Selepas kemangkatan Tunku Anom pada tahun 1853, Sultan Kedah melantik Tunku Ishak menjadi Raja negeri Kubang Pasu dan Tunku Muhammad Saman menjadi Raja Muda. Semasa Tunku Ishak memerintah dari tahun 1853 hingga 1863, Tuan Guru Haji Ishak menjadi penasihat raja dalam hal ehwal keagamaan, adat-istiadat Melayu dan pentadbiran. Pusat pendidikan pondok Kampung Pulau Pisang yang diasaskannya ketika zaman pemerintahan Tunku Anom terus berkembang. Ramai pedagang jauh dan dekat yang bertumpu di bandar Pulau Pisang yang menjadi ibu negeri Kubang Pasu. Sebahagian daripada mereka berguru dengan Tuan Guru Haji Ishak. Tuan Guru Haji Ishak bin Muhammad Hashim meninggal dunia pada tahun 1871 kerana sakit tua dan dikebumikan di tanah perkuburan Masjid Kampung Pulau Pisang. Beliau meninggalkan empat orang isteri bersama sepuluh orang anak.[1]Keturunannya yang menjadi ulama besar Kedah ialah cucunya sendiri (dari sebelah anak perempuannya yang bernama Fatimah) iaitu Haji Muhammad Saleh bin Haji Muhammad Hasyim bin Abdul Hamid bin Ishaq al-Fathani. Tuan Guru Haji Muhammad Saleh lahir di Kampung Pulau Pisang, Mukim Tunjang, Jitra, Kedah pada tahun 1280 Hijrah/1864 Masihi dan meninggal dunia pada tahun 1363 Hijrah/1944 Masihi. Tuan Guru Haji Muhammad Saleh telah alim sejak di Pondok Pulau Pisang lagi kerana beliau sempat mempelajari kitab-kitab besar daripada datuknya sendiri iaitu Tuan Guru Haji Ishak. Antara tahun 1295 Hijrah bersamaan dengan 1879 Masihi hingga tahun 1312 Hijrah bersamaan dengan 1894 Masihi, Tuan Guru Haji Muhammad Saleh melanjutkan pendidikan di Makkah. Ulama yang paling banyak mengajarnya ialah Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani yang merupakan cucu saudara dan Khalifah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Pengetahuan yang bercorak pengkaderan dan pelbagai bidang duniawi dan ukhrawi pula beliau adalah diasuh oleh Syeikh Ahmad al-Fathani. Selain itu Muhammad Saleh juga belajar kepada ulama-ulama bangsa Arab sepanjang berada di Makkah. Setelah pulang dari Makkah, beliau menguruskan Pondok Pulau Pisang yang diasaskan oleh datuknya, Haji Ishak. Institusi Pondok Pulau Pisang sama ada di bawah pimpinan datuknya iaitu Haji Ishak mahu pun dibawah pimpinan Haji Saleh sendiri telah melahirkan ramai ulama, sarjana, pemimpin dan lain-lain, bukan hanya di Malaysia saja, tetapi diseluruh Nusantara termasuk Indonesia, Patani, Myanmar, Kemboja, dan Brunei Darussalam. Diriwayatkan bahawa Pondok Pulau Pisang dalam masa pimpinan Tuan Guru Haji Muhammad Saleh bin Haji Hasyim pelajarnya pernah mencapai 2,000 orang. Jumlah pelajar pondok ribuan orang di Semenanjung pada zaman itu merupakan satu jumlah yang besar dan luar biasa, yang tidak terjangkau oleh pengajian pondok lainnya, kecuali pada zaman yang sama di Patani dan Jawa ada yang lebih ramai daripadanya. Antara ulama dan tokoh ternama Malaysia yang pernah menetap di Institusi Pondok Pulau Pisang ialah: Haji Abdullah Abbas Nasution, seorang ulama, pendidik, pendakwah, tokoh politik dan pengarang beberapa buah kitab. Murid Haji Muhammad Saleh yang masyhur ialah Dr. Burhanuddin Helmi, seorang doktor perubatan, tokoh politik dan pengarang. Kitab-kitab turath Islam yang berbahasa Melayu yang diajarkan di Pondok Pulau Pisang ialah Faridatul Faraid karangan Syeikh Ahmad al-Fathani, Bidayatul Hidayah oleh Syeikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin Aceh dan Ad-Durruts Tsamin karya Syeikh Daud Abdullah Fathani dimana ketiga-tiganya adalah mengenai akidah. Hidayatus Salikin dan Sairus Salikin karya Syeikh Abdus Samad al-Falimbani dan Ad-Durrun Nafis oleh Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari dimana ketiga-tiganya mengenai tasawuf. Tuan Guru Haji Muhammad Saleh turut menggunakan kitab tasawuf yang dikarang oleh Imam al-Ghazali iaitu Minhajul Abidin dan Ihya Ulumuddin. Mengenai terjemahan dan tafsir al-Quran, Tuan Guru Muhammad Saleh menggunakan kitab Tarjumanul Mustafid (Tafsir Baidhawi Melayu) yang dikarang oleh Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fanshuri dan Tafsir Jalalain. Kitab feqah yang digunakan ialah Fathul Mu'in dan syarahnya I'anatut Thalibin. Kitab hadith yang diajar ialah Jawahir al-Bukhari dan Shahih Bukhari. Teks-teks lain yang turut digunakan ialah Matnur Risalatil Fathaniyah dan Tashilu Nailil Amani, kedua-duanya karangan Syeikh Ahmad al-Fathani mengenai ilmu nahwu dan beberapa kitab karangan Syeikh Nawawi al-Bantani yang berasal dari Banten, Jawa Barat. Tuan Guru Haji Muhammad Saleh turut mengarang kitab. Antara kitab yang dapat dikesan ialah Sirajul Huda wa Mishbahud Duja. Kitab ini dicetak oleh Mathba'ah Muhammad Ali Shabih yang berhampiran dengan Al-Azhar, Mesir tahun 1344 Hijrah. Selain Sirajul Huda, karya beliau yang lain pula ialah Tanbihul 'Awam li Istiqazil Manam yang juga dicetak di Mesir tahun 1950. Tuan Guru Haji Muhammad Saleh bin Haji Muhammad Hasyim meninggalkan tiga orang lelaki dimana ketiga-tiganya merupakan tokoh besar dalam bidang agama. Anak-anaknya, Syeikh Ismail bin Tuan Guru Haji Muhammad Saleh bin Haji Muhammad Hasyim pernah memegang jawatan Pengerusi Majmak Ulama Negeri Kedah, Syeikh Ramli pula pernah dilantik menjadi Pendaftar Sekolah-sekolah Agama Negeri Kedah dan Haji Qasim seorang tokoh agama yang banyak berjasa.
Semenjak kebakaran besar berlaku pada tahun 1967 sehingga memusnahkan sebahagian besar pondok tersebut[2], pusat pengajian itu kemudiannya sepi begitu sahaja. Sehinggalah apabila cucu kepada Tuan Guru Haji Muhammad Saleh, Datuk Ghazi @ Hasbullah Haji Sheikh Ramli mengambil inisiatif untuk membangunkan kembali pusat pendidikan itu. Beliau membangunkan kembali sisa-sisa pondok yang musnah akibat kebakaran dan memberi nama pusat ilmu itu sebagai Pusat Ilmu Ishaqiah yang mengambil nama masjid yang dibina oleh moyangnya iaitu Tuan Guru Haji Ishak. Pusat Ilmu Ishaqiah atau ringkasnya PII bergerak dengan slogan, `Ilmu Teras Kecemerlangan' menitikberatkan pengetahuan berkaitan fardu ain dan fardu kifayah untuk dijadikan bekalan duniawi dan ukhrawi. Program-program yang dijalankan di PII seperti kelas KAFA, kelas al-Quran dan Tajwid, kelas al-Quran dan Nasyid, kelas Bahasa Arab, kelas Agama, ceramah Agama, kelas IT peringkat kanak-kanak, remaja dan dewasa, pekan internet, kelas tuisyen akademik dan program anak angkat dimanfaat oleh masyarakat setempat. PII juga telah menandatangani MOU dengan Universiti Utara Malaysia (UUM) iaitu pada bulan Ogos 2000 bertujuan mempertingkatkan penguasaan ilmu yang mencakupi pengajian agama dan ilmu-ilmu lain serta kemahiran moden.[3]


[1] Rujuk http://www.mykedah2.com/10heritage/102_4_05.htm. Dicapai pada 28 Jun 2009.

[2] 30 buah pondok musnah sama sekali dalam kebakaran yang dipercayai berpunca dari pelita ketika waktu sahur
[3] Rujuk tulisan Zuarida Mohyin dalam artikel bertajuk Pusat Ilmu Ishaqiah – Menyediakan bekalan dunia akhirat. Artikel ini disiar pada 9 Januari 2004 dalam akhbar Utusan Malaysia. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0109&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive. Dicapai pada 28 Jun 2009.

1 comment:

  1. Nama asal Tuan Guru Hj Ishaq adalah Hj Wan Ishaq dan beliau adalah berasal dari Patani. Pd ketika itu tentera Siam mencari dan membunuh alim ulamak Patani dan beliau lari ke utara Tanah Melayu dipercayai ke Malau dan kemudiannya ke negeri Kubang Pasu yg mana pada masa sekarang hanya merupakan sebuah daerah di negeri Kedah. Gelaran Wan dibuang serta merta bg mengelirukan tentera Siam yg mencari saki baki ulamak dan beliau dilantik menjadi Kadi Besar, penasihat dan Ketua Hakim Negeri Kubang Pasu.

    ReplyDelete