Tuesday, December 15, 2009

Tuan Guru Haji Wan Ibrahim (Pak Cu Him) Gajah Mati Ulama dan Penyair Ulung

Nama sebenar ulama besar yang berasal dari Patani ialah Wan Ibrahim bin Wan Abdul Qadir bin Wan Mustafa al-Fathani.[1] Beliau yang lebih terkenal dengan panggilan Pak Cu Him merupakan adik bongsu kepada ulama terkemuka Patani yang bermastautin di Makkah iaitu Syeikh Wan Ismail bin Wan Abdul Qadir (lebih dikenali dengan panggilan Pak Da Ail) dan sepupu kepada ulama besar Tanah Haram abad ke-19 iaitu Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.[2] Ayahandanya yang lebih dikenali dengan panggilan Tok Bendang Daya adalah merupakan mudir pondok Bendang Daya yang sangat terkenal di Patani pada abad ke-19.[3] Ayahandanya meninggal dunia ketika beliau baru berusia 3 tahun.[4] Beliau mendapat pendidikan awal di Pondok Chegar, Patani dan kemudiannya berhijrah ke Pondok Bermin dan Pondok Tok Raja Jambu untuk mendalami ilmu agama.[5] Di Bermin, beliau dikatakan berguru dengan Tok Jakar. Pak Cu Him melanjutkan pengajian ke Makkah sekitar tahun 1910-an. Disana beliau menadah kitab kepada beberapa ulama besar seperti
1. Syeikh Wan Daud bin Wan Mustafa – Beliau adalah bapa saudara Pak Cu Him. Dengan Syeikh Wan Daud, Pak Cu Him menguasai bahasa Arab termasuk sastera dan syair Arab sehingga berjaya menghasilkan kitab Qawaid Fiqhiyah dalam bentuk syair dalam tulisan tangan
2. Syeikh Yahaya Patani
3. Tok Ramli
4. Syeikh Muhammad 'Ali Maliki
5. Syeikh Muhammad Mukhtar al-Jawi
Beliau berada di Makkah kira-kira 12 tahun lamanya dan kealimannya diiktiraf di Makkah apabila beliau mendapat tauliah untuk mengajar disana.[6] Beliau kembali ke Tanah Melayu pada tahun 1924. Beliau tidak terus pulang ke kampung halamannya sebaliknya mengambil keputusan untuk menetap di Kedah.[7] Ketika di Kedah, beliau berkahwin dengan Hajah Zainab, anak kepada Tuan Guru Haji Che Dol atau Haji Ismail Che Dol bin Mustafa al-Fathani iaitu adik kepada Tuan Guru Haji Hussein Che Dol, guru Pondok Gajah Mati.[8] Pasangan ini dikurniakan 11 orang anak dimana antara anak-anaknya yang menjadi ulama besar ialah seperti Tuan Guru Haji Wan Abdul Qadir dan Tuan Guru Haji Wan Mustafa yang kemudiannya memimpin Pondok Gajah Mati.[9]
Pak Cu Him kemudiannya mengambil alih pondok bapa mertuanya dengan mengekalkan kaedah yang telah ditetapkan oleh bapa mertuanya iaitu Tok Ayah Che' Dol di Pondok Gajah Mati iaitu mengajar bahasa Arab dengan memberi perhatian khusus kepada ilmu nahu, saraf, balaghah, syair dan mantiq.[10] Ilmu-ilmu agama yang turut diajar ialah seperti feqah, tauhid, al-Quran dan Hadith.[11] Antara kitab yang beliau gunakan sebagai teks pengajaran ialah seperti kitab Ibnu 'Uqail (syair), kitab Syarah Al-Qutur dan Syarah Al-Syuzur yang dikarang oleh Syeikh Jamaluddin ibn Hisham (nahu) dan Al-Tahrir dan Fathul-Wahhab karya Sheikh Zakaria Al-Ansari (feqah).[12] Ketika beliau memimpin pondok tersebut, penuntut-penuntut dari segenap pelusuk Alam Melayu datang membanjiri pondoknya. Ada yang datang dari Jambi, Mandailing, Patani, Kelantan, Negeri Sembilan, Johor, Perak dan sekitar negeri Kedah sendiri.[13] Pada zaman kemuncaknya, pondoknya pernah dihuni oleh kira-kira 600 orang penuntut pada satu-satu masa.[14]
Pak Cu Him sangat mementingkan perpaduan dan pemuafakatan. Pengalamannya ketika berhadapan dengan suasana kacau bilau masyarakat Arab di Timur Tengah telah memberi kesedaran yang sangat mendalam kepada dirinya tentangnya penting perpaduan sesama umat Islam.[15] Untuk tujuan itu, beliau bersama-sama dengan bapa mertuanya, tokoh-tokoh agama seperti Haji Awang (ayah Tuan Guru Haji Ahmad Rabat) dan Tuan Guru Haji Ahmad Rabat, penghulu Mukim Padang Pusing, imam dan ketua-ketua kampung telah menggubal satu peraturan bagi menjaga perpaduan masyarakat didalam mukim tersebut.[16] Perjanjian yang dikenali dengan nama "Jam'iaitul Ittihadiyah" ("Perhimpunan Yang Bersuatu") telah terbentuk pada 17 Ogos 1926 secara rasmi.[17] Antara peraturan yang dinyatakan didalam peranjian itu ialah semua pihak perlu bekerjasama dan patuh kepada syariat Islam. Jika didapati ada yang melanggar peraturan yang ada kaitan dengan kerjasama masyarakat maka mereka boleh dikenakan hukuman seperti tiada menziarahinya apabila ia sakit, memulaukan kendurinya, tidak mengunjungi kematiannya melainkan dua orang yang akan mengebumikan mayatnya, tidak akan mendapat layanan dari mudim dan bidan dan mengasingkan kuburnya.[18] Mana-mana individu yang melanggar hukum-hukum adat dan syarak pula akan diserahkan kepada pemerintah agar dihukum dengan sewajarnya mengikut Undang-undang Negeri.[19]
Kealiman beliau ditagih oleh masyarakat sekitar Kedah. Atas sebab itu, Pak Cu Him kemudiannya mendapat tauliah mengajar diseluruh negeri Kedah pada tahun 1931 dari Syeikhul Islam Kedah pada waktu itu iaitu Syeikh Wan Sulaiman bin Wan Sidek.[20]
Pak Cu Him sangat mahir menggubah syair dalam bahasa Arab. Diriwayatkan beliau boleh menggubah sebuah syair Arab ketika duduk dalam kereta tanpa memerlukan masa yang panjang atau lama untuk berfikir.[21] Selain beliau, seorang lagi ulama besar Melayu yang berkemahiran menggubah syair dalam tempoh yang singkat ialah Tuan Guru Haji Abdur Rahman Merbok yang juga tinggal di Kedah. [22]

Kitabnya yang paling masyhur berjudul "Fathul Jalil Wa Syifa Ghalil".[23] Kitab ini selesai dikarang pada 30 Jun 1966.[24] Antara isi kandungannya ialah tentang sifat mustahil Allah Ta’ala iaitu qadim atau baharu.[25] Dalam karya ini beliau menggubah 51 bait syair Arab dan membuat ulasan atau syarah kepada tiap-tiap bait itu dalam Bahasa Melayu.[26] Selain kitab ini, Pak Cu Him ada menulis fatwa-fatwa agama dan juga khutbah-khutbah yang ditinggalkan tanpa dicetak dalam Bahasa Melayu dan Arab.[27] Tokoh besar yang dilahirkan pada tahun 1894 ini menghembus nafasnya yang terakhir pada 11 Syawal 1388 H bersamaan 11 Januari 1968 M ketika berumur 75 tahun.[28] Jenazahnya disemadikan di perkuburan masjid lama Kampung Gajah Mati berhampiran kubur Tok Ayah Haji Ismail Che' Dol, ayah mertuanya.[29]




[1] Dirujuk dari http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=16012&Itemid=59. Dicapai pada 15 Disember 2009
[2] Ibid
[3] Ibid
[4] Ibid
[5] Ibid
[6] Ibid
[7] Ibid
[8] Ibid
[9] Ibid
[10] Dirujuk dari http://www.mykedah2.com/10heritage/102_4_10.htm. Dicapai pada 15 Disember 2009

[11] Dirujuk dari http://www.mykedah2.com/10heritage/102_4_10.htm. Dicapai pada 15 Disember 2009
[12] Ibid
[13] Ibid
[14] Ibid
[15] Ibid
[16] Ibid
[17] Ibid
[18] Ibid
[19] Ibid
[20] Ibid
[21] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2009. Tulisan ulama Melayu dalam kesusasteraan Arab. Utusan Malaysia. Ruangan Bicara Agama. Kuala Lumpur. Terbit pada 16 Februari 2009. Boleh dicapai di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0216&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm
[22] Ibid
[23] Dirujuk dari http://www.mykedah2.com/10heritage/102_4_10.htm. Dicapai pada 15 Disember 2009
[24] Ibid
[25] Ibid
[26] Ibid
[27] Ibid
[28] Ibid
[29] Ibid




Almarhum Pak Cu Him Gajah Mati (1894-1968)

Pondok Gajah Mati yang sangat terkenal sekitar 1930-an hingga 1960-an