Saturday, October 26, 2013

Tuan Guru Haji Mohd Khair Taib Tokoh Falak Perak bertaraf antarabangsa


Kehidupan
Nama sebenar tokoh falak ini ialah Mohd Saad Mohd Taib seperti yang tertera dalam surat kelahirannya. Namun tidaklah dapat dipastikan sebab-musabab ia menukar nama kepada Mohd Khair. Peristiwa menukar nama itu berlaku pada 5 Disember 1960. Dalam sijil kelahirannya, tercatat tarikh lahirnya iaitu pada 14 Muharram 1340 H bersamaan 17 September 1921 jatuh pada hari Sabtu. Namun, tarikh yang diraikan oleh beliau dan keluarganya ialah pada 30 Muharram 1341 H bersamaan 22 September 1922 jatuh pada hari Jumaat. Tokoh ini dilahirkan di Kampung Bakar Bata, Alor Setar yang terletak kira-kira 3 km dari bandaraya Alor Setar di mana terletaknya Hospital Besar Alor Setar sekarang. Ayahanda beliau iaitu Tuan Guru Haji Mohd Taib Bin Haji Idris yang merupakan anak jati Kedah adalah seorang guru al-Quran. Tuan Guru Haji Mohd Taib pernah menyusun dan menghasilkan sebuah Muqaddam dalam tahun 1930-an yang telah diguna oleh seluruh pelajar negeri Kedah. Muqaddam yang diberi nama Muqaddam Mahmud ini adalah bersempena nama Pemangku Sultan yang memerintah negeri Kedah pada masa tersebut, Tuanku Mahmud Ibn al Marhum Sultan Ahmad Tajuddin al-Mukarram Shah. Bonda beliau bernama Hajjah Fatimah binti Ariffin juga anak jati Kedah. Jika diperhatikan salasilah keturunan ayahanda dan bonda beliau, terdapat pertemuan di antara keduanya. Beliau juga mempunyai seorang ibu tiri apabila ayahandanya berkahwin dengan Aminah, setelah Hajjah Fatimah meninggal dunia. Hasil perkongsian hidup di antara ayahanda beliau dengan Hajjah Fatimah, mereka telah dikurniakan 9 orang anak iaitu 7 orang lelaki dan 2 perempuan. Sementara hasil perkongsian hidup dengan Puan Aminah pula telah dikurniakan 6 orang iaitu 5 lelaki dan seorang perempuan.
Tuan Guru Haji Mohd Khair Taib berkahwin pada usia yang agak lewat jika dikira pada zamannya. Beliau hanya berkahwin pada umur 32 tahun. Beliau telah mendirikan rumahtangga dengan Sofiah binti Hamid pada 27 Mei 1953. Ini kerana beliau begitu sibuk dan asyik dengan pelajaran dan pekerjaannya. Hasil perkahwinannya mereka dikurniakan enam orang anak iaitu 3 lelaki dan 3 perempuan.
Latar Belakang Pendidikan
Tuan Guru mendapat pendedahan awal mengenai ilmu falak ketika beliau belajar di Madrasah al-Hamidiah (Limbung Kapal) pada tahun 1936. Tokoh yang mengajarnya ialah Tuan Guru Ku Arifin. Dengannya  beliau mempelajari kaedah pengiraan waktu solat. Gurunya itu turut mengajarnya menggunakan Rubu’ Mujayyab, sejenis peralatan falak yang masyhur digunakan dalam tradisi falak Islam satu masa dahulu. Dari Kedah, beliau menyambung pengajian di Madrasah al-Mahshoor, Pulau Pinang. Apabila mendapat tahu tokoh falak terkemuka, Shaykh Tahir Jalaluddin berada di Kuala Kangsar maka beliau pun tanpa membuang masa terus bermusafir ke Kuala Kangsar untuk berguru kepadanya. Shaykh Tahir dikatakan pernah mempelajari ilmu falak di Universiti al Azhar, Mesir. Dalam pertemuan itulah, Tuan Guru melahirkan hasratnya untuk bergurukan ilmu falak kepada Shaykh Tahir dengan nada yang bersungguh-sungguh. Shaykh Tahir apabila melihat kesungguhan Tuan Guru dengan senang hati menerima Tuan Guru sebagai anak muridnya. Beliau yakin bahawa suatu hari nanti, Tuan Guru Haji Mohd Khair akan mewarisi kemahiran ilmu falak yang dimilikinya. Dengan penerimaannya sebagai anak murid, Tuan Guru Haji Mohd Khair telah diberikan sebuah peti besi yang penuh berisi dengan peralatan untuk mempelajari ilmu falak. Setelah itu bermulalah pengajian beliau dengan Shaykh Tahir dalam pengajian ilmu falak sesudah sekian lama menantikan saat tersebut.
Rumah Shaykh Tahir menjadi sekolah utama kepada Tuan Guru mendalami ilmu falak. Dalam masa pengajiannya, beliau turut membantu gurunya menguruskan hal hariannya. Beliau mencari kayu api, mengangkut air dan sebagainya. Pada masa yang sama, beliau belajar secara sambilan di Madrasah Idrisiah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Di sebelah pagi, ia belajar di Idrisiah manakala di sebelah petang, ia berada di rumah Shaykh Tahir. Setelah 2 tahun berguru kepada Shaykh Tahir dan berasa yakin menguasai ilmu falak dengan baik, Tuan Guru mengambil keputusan untuk pulang ke Alor Setar.[1] Beliau kembali dengan semangat yang berkobar untuk menyebarkannya dan mempraktikkannya sebagai amal bakti beliau kepada masyarakat.
Tuan Guru Haji Mohd Khair sangat mengasihi gurunya itu dan telah merakamkan kegigihan usaha gurunya ketika mengenang jasa gurunya itu dengan menyatakan seperti berikut
"Allahyarham (Shaykh Tahir), saya dapati tidak jemu-jemu menunjuk-ajar saya ilmu falak syarie ini."
Usaha Mengembangkan Ilmu Falak dan Penguasaannya dalam bidang tersebut
Di Alor Setar, beliau langsung menemui sahabat baiknya yang dikenali sejak dari remaja lagi, Haji Salleh Shamsuddin bagi menyatakan hasratnya untuk mengembangkan ilmu tersebut. Tuan Guru ternyata tidak lokek ilmu. Hajatnya ialah hendak mengumpul sekitar 15 hingga 20 orang untuk diturunkannya ilmu berkenaan. Nampaknya usaha berkenaan tidak semudah seperti yang direncanakan. Amat sukar untuk mengumpul mereka yang meminati bidang falak. Akhirnya, beliau pergi menemui Tuan Guru Haji Yahya Junid, iaitu abang iparnya sendiri yang merupakan pengasas kepada Madrasah al-Taufiqiyah. Tuan Guru menyatakan hajatnya kepada Tuan Guru Haji Yahya dan setelah berpuas hati dengan penjelasannya, beliau membenarkan adik iparnya itu mengajar ilmu falak di sekolah tersebut. Maka jadilah Madrasah al-Taufiqiyah tempat beliau mencurahkan segala ilmu berkait dengan ilmu falak. Murid-muridnya tidak hanya terdiri dari para pelajar, tapi juga dari kalangan guru-guru di Madrasah tersebut. Beliau juga turut mengajar bidang lain selain dari bidang falak kerana beliau pernah menimba ilmu di tiga buah sekolah yang terkenal iaitu Maktab Mahmud, Madrasah al-Mahshoor dan Madrasah Idrisiah. Antara buku yang menjadi rujukan utama beliau ketika mengajar ilmu falak ialah
  1. Buku yang ditulis oleh gurunya sendiri iaitu Shaykh Tahir (kemungkinan kitab Pati Kiraan dan Natijatul Ummi)
  2. Nautical al-Manac yang diterbitkan di England
  3. Sebuah buku bahasa Arab yang tidak diketahui judulnya
Beliau telah menumpahkan sepenuh perhatian dan usahanya dalam mengembangkan ilmu falak ini di madrasah ini. Hampir 9 tahun lamanya beliau tanpa jemu dan penat berusaha mengembang ilmu falak ini pada setiap mereka yang berminat sehinggakan madrasah tersebut menjadi tumpuan kepada mereka yang ingin mendalami bidang falak. Atas jasanya yang besar itu sehingga berjaya mengharumkan nama madrasah, namanya kemudiannya diabadikan pada nama madrasah menjadi Madrasah al-Taufiqiah al-Khairiah al-Halimiah.
Beliau merupakan satu-satunya ahli falak ketika itu yang mampu membuat pengiraan dengan tepat dan jitu sehingga diakui oleh ramai pihak kebolehan beliau dalam pengiraan yang menakjubkan. Berbekalkan kalkulator dan almanak-almanak, beliau membuat pengiraan berkaitan hilal, gerhana dan waktu solat.
Diriwayatkan antara kebolehan beliau ialah dapat mengingati digit-digit nombor dalam pengiraan falak yang biasanya mencapai 8-12 digit tanpa perlu menulisnya di mana-mana kertas. Sebaik sahaja beliau hendak mengirakan keseluruhan nombor tersebut, beliau terus dapat mengingati digit-digit itu tanpa satupun yang tertinggal.
Di masa yang terluang, beliau telah menulis artikel tentang falak dalam akhbar Utusan Zaman sekitar tahun 1960-an. Dikatakan bahawa beliau telah menulis tidak kurang dari seratus buah rencana mengenai falak.
Melebarkan Kerjaya
Kerjayanya dalam bidang falak semakin cerah apabila ditawar menyertai Institut Dakwah dan Latihan Islam (INDAH)[2], Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sekitar tahun 1978. Antara tugasan utamanya di situ ialah untuk menyampaikan kuliah ilmu falak kepada pegawai-pegawai kerajaan, orang awam dan pelajar-pelajar yang berminat mempelajari ilmu falak. Beliau juga turut terlibat dalam penyediaan beberapa modul yang berkaitan dengan kuliah tersebut agar pembelajaran yang disampaikan menjadi lebih sistematik dan efektif. Modul kuliah yang disampaikan merangkumi pengenalan ilmu falak Syarie dan perkembangan pengajian dalam sejarah tamadun Islam, nas-nas Naqliah dan pandangan ulama’ berkaitan dengan falak syarie, penentuan Tarikh/Taqwim, pengiraan waktu solat, penentuan arah kiblat, pengiraan hilal, penentuan gerhana, hisab pergerakan cakerawala/planet dalam sistem suria, astronomi fizikal, penggunaan peralatan falak, lawatan, latihan serta ujian.
Bintang Turu Guru terus bersinar. Tuan Guru Haji Mohd Khair telah dilantik dengan rasminya pada 6 Oktober 1981 sebagai Karyawan Tamu di Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam berdasarkan kepada kewibawaan dan keahliannya dalam bidang falak. Bersesuaian dengan kepakaran beliau dalam bidang tersebut, beliau telah ditugaskan untuk memberi kuliah-kuliah falak kepada pelajar dan pensyarah, membantu pihak jabatan dalam perkara yang berkait dengan falak seperti menentukan waktu solat, kenampakan hilal dan penentuan arah kiblat dan menghasilkan karya dalam bidang falak syarie dan menyusun kelendar;
Dalam satu seminar Falak Syarie pada 22-24 Jan 1982 anjuran Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, UKM, beliau telah membentangkan satu kertas kerja yang bertajuk “Perkembangan Ilmu Falak Syarie Selepas Zaman Rasulullah saw ”. Pada penutup dan resolusi kursus tersebut beliau telah mengemukakan cadangan dan syor. Antara yang dianggap terpenting ialah penubuhan Persatuan Falak Syarie Malaysia. Tujuannya adalah untuk mengumpulkan semua peminat-peminat ilmu falak dan medan bagi ahli falak bertukar-tukar fikiran.
Akhirnya dengan usaha beliau dan anak-anak muridnya, pada 1 Muharram 1404 H bersamaan 7 Okt 1983 M bertempat di Dewan Kuliah II, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, mesyuarat pertama bagi penubuhan persatuan tersebut telah diadakan. Mesyuarat kemudiannya bersetuju menubuhkan Jawatan Kuasa Penaja bagi Persatuan Falak Syarie Malaysia (PFSM)[3] dan beberapa port folio telah diwujudkan. Tuan Guru Haji Mohd Khair telah dilantik menjadi penasihat kepada persatuan ini.
Pengaruh

Peristiwa penentuan awal Ramadhan pada tahun 1983 mungkin merupakan satu peristiwa yang sangat bersejarah bagi peminat falak tanahair di mana ia turut melibatkan Tuan Guru secara langsung. Pada tahun tersebut, negeri Perak dan Johor menetapkan tarikh awal Ramadan 1403 pada 12 Jun. Sedangkan di peringkat Kebangsaan ditetetapkan awal Ramadan ialah pada 13 Jun 1983. Tuan Guru kemudiannya menulis surat kepada Ketua Pengarah Pusat Islam bagi menyatakan pandangannya terhadap pernyataan Jawatankuasa Kecil bagi Menentukan awal Ramadan dan Syawal supaya menerima ketetapan resolusi Istanbul (pindaan). Mengikut kiraan yang dilakukan oleh Jawatankuasa Menetapkan Awal Puasa dan Hari Raya pada 11 Jun 1983, hari rukyatulhilal bersamaan 29 Syaaban 1403/1983 sela masa terbenam antara bulan terbenam dan matahari berdasarkan hisab hakiki adalah lebih kurang 13 minit. Maka 1 Ramadan tidak dimulakan dengan 12 Jun kerana tidak memenuhi ketetapan resolusi Istanbul (pindaan), akan tetapi dimulakan dengan 13 Jun 1983 di negeri-negeri selain Perak dan Johor. Diriwayatkan Tuan Guru telah memaklumkan kenyataan akhbar mengenai anak bulan yang menyatakan awal puasa sepatutnya bermula pada 12 Jun 1983 sesuai dengan hasil mesyuarat 5 dan 25 April 1983 yang menimbangkan ketetapan resolusi Instanbul (pindaan). Tuan Guru turut menulis surat kepada Yang Dipertua Jabatan Agama Islam Negeri Perak berhubung dengan kenyataan tersebut. Pada pandangannya, walaupun anak bulan tidak berada di bawah resolusi Istanbul (pindaan) akan tetapi anak bulan telah dapat dilihat di Pelabuhan Ratu, danPurakarta, Jawa Barat. Pada waktu tersebut beliau berada di Tanjung Kadok menyaksikan gerhana penuh. Bagi Tuan Guru, beliau berpegang kepada takrifan anak bulan yang telah diajarkan oleh guru beliau, Shaykh Mohd Tahir yang menyatakan “…berikutan dengan adanya hilal di atas ufuk Magrib selepas ghurub Matahari petang sebelumnya….”

Dengan ertikata lain, walaupun anak bulan tidak memenuhi resolusi Istanbul(pindaan), namun anak bulan pada 11 Jun 1983 berada di atas ufuk. Oleh yang demikian, Tuan Guru juga telah berpuasa pada 12 Jun 1983 mengikut ketetapan negeri Perak dan Johor dengan alasan pegangan takrifan anak bulan oleh gurunya. Beliau juga diriwayatkan telah berpesan kepada ahli keluarganya agar memulakan puasa 12 Jun1983 sebelum beliau bertolak ke Indonesia pada 8 Jun 1983. Dalam suratnya beliau mengesahkan titah perintah Sultan Perak itu adalah benar dan sah yang menetapkan awal puasa pada 12 Jun 1983.
Penghormatan dalam bidang Falak
Tuan Guru telah telah diberi penghormatan untuk mewakili Malaysia dalam Persidangan di Istanbul, Turki pada 27-30 November 1978. Turut bersama dengannya dalam persidangan itu ialah Almarhum Dato’ (kemudian Tan Sri Syeikh Abdul Mohsin bin Haji Salleh[4], Mufti Wilayah Persekutuan (pada ketika itu) dan Prof. Haji Abdul Hamid Tahir, Pensyarah Fakulti Ukur, Universiti Teknologi Malaysia. Di antara resolusi yang merupakan buah fikirannya yang kemudiannya terus menjadi kriteria kenampakan hilal hingga kini ialah seperti berikut,
Ijtimak matahari dan bulan tidak kurang dari 8 jam sebelum ghurub matahari.”[5]
Khidmat kepakaran Tuan Guru dalam bidang falak terus ditagih apabila Dewan Bahasa dan Pustaka  berhasrat hendak mewujudkan Satu Jawatankuasa Istilah Astronomi. Selain Tuan Guru, tokoh-tokoh yang turut terlibat ialah seperti Datuk Kapten Hamzah Mohd Noor, Dr. Mazlan Othman, Dr. Mustafa Din Subari[6] dan  Prof. Haji Abdul Hamid Tahir. Tuan Guru telah dilantik sebagai pakar rujuk dalam istilah-istilah falak syarie. Pada 18 Jun 1988, satu mesyuarat Ahli Jawatankuasa Istilah Astronomi telah dilaksanakan buat kali pertama. Walau bagaimanapun Tuan Guru tidak dapat menghadiri mesyuarat tersebut kerana uzur. Namun dalam suratnya kepada pihak DBP, beliau telah menyatakan seperti berikut,
“Inisiatif oleh Dewan Bahasa dan Pustaka kali ini adalah sebagai mengulangi hasrat saya yang terpendam sejak lama dulu untuk diistilahkan semua perkataan astronomi dan dibukukan.”
Dalam isi suratnya tergambar semangat dan idea-idea beliau yang tidak pernah padam dalam mengembangkan ilmu falak, walaupun keadaannya uzur pada waktu itu. Diriwayatkan bahawa beliau juga tidak dapat menghadiri mesyuarat-mesyuarat seterusnya namun pihak DBP tetap mengekalkan namanya sebagai salah seorang dari ahli jawatankuasa tersebut dan mengirimkan minit-minit mesyuarat dan daftar istilah-istilah yang telah diputuskan untuk disemak oleh beliau.
Selain menjadi Ahli Jawatankuasa Istilah Astronomi, Tuan Guru juga adalah merupakan salah seorang dari ahli jawatankuasa penetapan awal bulan Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah. Pada setiap kali mesyuarat penetapan awal bulan, Tuan Guru akan membentangkan hasil pengiraan yang diperolehinya. Ahli jawatankuasa ini turut terdiri dari Mufti, Pegawai-pegawai JAKIM dan Pegawai Jabatan Agama Islam Negeri.  Tuan Guru telah diminta untuk menyusun takwim-takwim solat yang sistematik dan mudah bagi beberapa buah negeri. Antaranya Johor, Kedah, Perak dan Kelantan. Sementara ada negara lain seperti Singapura yang memintanya menyemak takwim yang telah disusun. Gaya susunan takwin-takwimnya telah digunapakai hinggalah ke hari ini.
Anugerah
Sebagai mengenang jasanya yang sangat besar, Tuan Guru telah dianugerahkan bintang kehormat dari beberapa negeri misalnya Kelantan, Kedah dan Perak. Antara bintang yang dianugerahkan kepadanya ialah seperti Ahli Mahkota Kedah (AMK), Kesatria Mangku Negara (KMK) dan Ahli Mahkota Perak (AMP)
Berpulang ke Rahmatullah
Pada 28 Oktober 1989 bersamaan 28 Rabiul Awal 1410 H (Sabtu) Tuan Guru meninggal dunia di Hospital Besar Ipoh pada kira-kira jam 10.00 malam kerana sakit barah gusi. Beliau disemadikan di tanah perkuburan orang Islam Kg. Melayu, Sungai Rapat, Ipoh. Berita pemergiannya telah disiarkan di dada-dada akhbar dan ahli keluarganya telah menerima kunjungan dan ucapan takziah yang tidak putus-putus dari banyak pihak.  Antara warisan Tuan Guru yang sangat berharga ialah sejumlah 20 kotak bersaiz 6 inci X 12 inci X 15 inci setiap satu yang berisi koleksi-koleksi persendiriannya khususnya tentang ilmu falak yang kini tersimpan di Arkib Negara Malaysia cawangan Ipoh.




[1] Dalam satu riwayat lain dikatakan bahawa Tuan Guru telah berguru kepada Shaykh Tahir sejak sebelum Perang Dunia kedua hinggalah ke zaman pendudukan Jepun dan zaman BMA.
[2] Ditubuhkan pada bulan Rabiul Awwal, 1394 bersamaan dengan bulan April, 1974 hasil dari keputusan persidangan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke 6 pada 16 Disember 1971 yang dipengerusikan oleh Y.A.B Tun Abdul Razak bin Haji Hussein, Perdana Menteri Malaysia yang ke-2. Cadangan bagi penubuhan Institut Dakwah ini telah disuarakan oleh beliau ketika merasmikan Kursus Latihan Pegawai-pegawai Agama dan Mubaligh di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Petaling Jaya
[3] Yang Di-Pertua PFSM  yang pertama ialah Dr. Abdullah Ibrahim. Beliau dilahirkan pada tahun 1936 di negeri Kedah. Tokoh ini mendapat pendidikan di Universiti Islam Madinah, Arab Saudi, Universiti Ains Shams dan Univeristi al-Azhar di Mesir dengan ijazah tertinggi Doktor Falsafah.
Sekembalinya ke tanah air, beliau berkhidmat di universiti Kebangsaan Malaysia bermula dari tahun 1972 sehingga 1992. Beliau pernah di lantik menjadi Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Islam, Ketua Jabtan Syariah dan Ahli Senat UKM.  Dalam kegiatan bidang kewangan dan fiqh Islam beliau meruapan penasihat kepada beberapa buah bank di Malaysia dan ahli majlis fatwa di peringkat kebangsaan dan negeri. Dalam PFSM beliau telah menjawat jawatan Yang Di pertua Persatuan bermula tahun 1981 sehingga tahun 1992. Beliau melepaskan jawatan sebagai Yang DiPertua yang pertama kerana bertugas di negara Brunei Darusalam pada Oktober 1992. Tokoh ini menjadi penerima anugerah 'Anugerah Sheikh Tahir Jalaluddin' yang pertama sebagai menghargai individu yang telah berjasa kepada Persatuan dan kemajuan ilmu falak syar'i di Malaysia. Anugerah ini telah diwujudkan sempena perayaan dua dekad penubuhan Persatuan. Tokoh yang berjasa ini telah kembali keRahmatullah pada malam 6hb Februari 2009 dan telah dikebumikan pada keesokan harinya di Alor Setar, Kedah
[4] Tokoh ini dilahirkan di Kubang Semang, Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada 17 Ogos 1930. Beliau merupakan Mufti Wilayah Persekutuan yang pertama. Beliau meninggal dunia pada 7hb Februari 1986 bersamaan 27 Jamadil Akhir 1406 Hijrah pada usia 56 tahun. Beliau meninggalkan seorang balu dan 5 orang anak
[5] Menurut tulisan Mohd Zambri Zainuddin dan Mohd Saiful Anwar Mohd Nawawi dari Makmal Fizik Angkasa, Jabatan Fizik, Fakulti Sains, Universiti Malaya, 50603 Kuala Lumpur,Malaysia dalam makalahnya yang berjudul Asal Usul Kriteria Imkanurukyah Malaysia, Brunei, Indonesia, Singapura (MABIMS) Di Malaysia, Tuan Guru Haji Mohd Khair Taib adalah pelopor “kriteria 8 jam” yang telah dipraktikkannya sebelum resolusi itu lagi iaitu bermula dari tahun 1972.
[6] Kini Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara, Putrajaya

 
 
 Gambar Tuan Guru terpampang di Utusan Qiblat

Tuan Guru bergambar kenangan bersama sahabat-sahabatnya

Pusara Tuan Guru di Ipoh, Perak

 
Rujukan
 

 


No comments:

Post a Comment