Pengenalan
Berbanding negeri-negeri lain,
Negeri Sembilan agak istimewa dari sudut pengembangan bidang tariqat khususnya
tariqat Ahmadiyyah. Seperti yang tercatat dalam Majalah Tasawuf Islami Bil 1
halaman 36, hampir 75% masyarakat Melayu Negeri Sembilan berpegang kepada
amalan tariqat Ahmadiyyah. Justeru, tidak lengkap membicarakan amalan tariqat
ini jika tidak menyebut nama tokoh-tokohnya. Salah seorang tokoh anak jati
Negeri Sembilan yang sangat berjasa dalam usaha mengembangkan tariqat
Ahmadiyyah seperti yang terakam dalam sejarah ialah Shaykh Muhammad Harith bin
Ahmad. Jasa Shaykh tidak hanya terasa di Negeri Sembilan tetapi melangkaui ke
Melaka dan ke seberang Selat Melaka iaitu ke wilayah Siak, Sumatera.
Shaykh diriwayat dilahirkan di
Kampung Nerasau, Rembau antara tahun 1905 hingga 1906. Beliau berasal dari suku
Batu Hampar. Ia ditakdirkan bertemu jodoh dengan Hajjah Mariam binti Joned.
Pada peringkat awal, ia mendapat pendidikan di Sekolah Melayu Penajis yang
terletak dalam kawasan kampungnya. Beliau dikatakan mempunyai kecerdasan yang
agak mengagumkan terutama dalam bidang matematik. Mungkin atas sebab itu
agaknya beliau pernah ditugaskan menjalankan urusniaga getah di Kendung Estate,
Kota oleh seorang pemilik estet yang berbangsa Inggeris namun tugasnya itu
tidak kekal lama kerana beliau mula cederung mengikuti tariqat yang kian
berkembang ditempat tinggalnya. Dikatakan beliau pernah dihantar ke Kedah dan
Kelantan untuk mengaji pondok namun tidak lekat di sana.
Mendalami ilmu Tariqat
Tokoh yang bertanggungjawab
memperkenalkan Shaykh dengan dunia tariqat ialah Tok Samad Bongek. Beliau
adalah murid tua kepada Shaykh Muhammad Said al-Linggi, pengembang Tariqat
Ahmadiyyah yang sangat terkenal di Alam Melayu. Shaykh kemudiannya
berulang-alik ke Ampangan, Seremban untuk berguru kepada Shaykh Abdullah, anak
kepada Shaykh Muhammad Said al-Linggi yang merupakan khalifah tariqat pada masa
itu. Dalam tempoh tersebut, ia menyara kehidupannya dengan menjalankan
perniagaan membeli getah di kedai bapa mertuanya yang terletak berhampiran
dengan padang Sekolah Melayu Astana Raja. Sekitar pertengahan tahun 1930-an,
beliau tambah giat mendalami ilmu tariqat hingga dikata orang bahawa beliau
langsung sudah tidak mempedulikan perniagaannya. Namun, tidak pula ada yang
berani menipunya. Diriwayatkan sampai satu ketika, beliau menyuruh orang yang
hendak menjual getah menimbangnya sendiri dan mengambil sendiri wang jualan
tersebut dalam peti duitnya. Dalam satu peristiwa, ada juga yang cuba hendak
menipunya tapi belum sempat kerja ‘jahat’ itu terjadi, Shaykh dengan spontan
menegurnya bagi mendapat kepastian tentang jumlah wang jualan yang diambilnya.
Langsung orang yang hendak menipu itu jadi malu dan mengakui kesalahannya.
Kelibat Shaykh juga dikatakan tidak setempat. Sekejap di Seremban, sekejap di
Melaka. Semuanya dalam keadaan berbasikal. Kata orang, Shaykh menunggang sangat
laju. Mendaki bukit sama seperti menurun bukit persis lajunya. Tidak lama
selepas itu, Shaykh telah diberi keizinan untuk mengajar Tariqat Ahmadiyyah di
kawasan tempat tinggalnya.
Berkat keizinan gurunya,
pengajaran Shaykh berkembang hingga ke negeri Melaka. Di Melaka, tempat terawal
ialah Lubok China. Selanjutnya mengajar pula di Kuala Linggi. Shaykh pergi dari
satu tempat ke tempat berikutnya dengan menunggang basikal. Diriwayatkan dalam
perjalanan pertama ke Kuala Linggi sekitar tahun 1936, beliau berbasikal dengan
dua orang sahabatnya (yang mempunyai pertalian saudara dengannya), Tuan Ibrahim
dan Tuan Ali bin Mohd Said. Apabila sampai di sebuah pekan, mereka pun berhenti
sebentar untuk minum di sebuah kedai kopi. Dalam keadaan tidak mempunyai wang,
kedua-dua sahabat ini berasa sangat berdebar-debar untuk minum namun Shaykh
biasa sahaja. Sedang mereka minum, datang seorang hamba Allah menumpang minum
langsung dibayarkan semua perbelanjaan minum mereka tadi. Kejadian yang sama
juga berlaku di pekan Kuala Sungai Baru, tidak berapa jauh dari Kuala Linggi di
mana makan minum mereka telah ditanggung oleh hamba Allah yang lain. Walaupun
mengajar di Melaka, Shaykh tetap mengajar di kampungnya sendiri dan
kampung-kampung lain yang menghilir ke Melaka seperti Kampung Sawah Raja,
Kampung Titian Akar dan Kampung Titian Bintangor. Kemana sahaja ia pergi,
masyarakat memberikan sambutan yang sangat baik. Ada yang bergotong-royong
membina surau, ada yang membawa tiang, atap, dinding dan sebagainya bagi
memastikan Shaykh dapat mengajar dengan selesa.
Merantau ke Siak
Satu hari tanpa memberitahu ahli
keluarganya, Shaykh bersama beberapa orang anak muridnya telah menyeberang Kuala
Linggi menuju ke Siak. Dikatakan orang-orang Kuala Linggi selalu ke Siak
khususnya ke Pulau Bengkalis untuk berniaga, menjaring ikan dan sebagainya.
Dalam perjalanan itu, dikatakan tekong perahu meminta air kopi kerana kehausan.
“Minta bir, aku dahaga ni”, kata tekong tersebut. Mendengar kata tekong itu,
Shaykh langsung mencurah air kopi tersebut ke dalam laut kerana marah dengan
kata-kata tekong itu yang memanggil kopi sebagai minuman keras. Tidak lama
kemudian, perahu mereka dikejar oleh kapal penjajah Belanda yang pada masa itu
menguasai perairan Indonesia. Shaykh mengangkat sarbannya seolah-olah memberi
isyarat tertentu. Dengan tiba-tiba turun hujan ribut di sebelah kapal penjajah
Belanda sedangkan perahu yang dinaiki Shaykh berada dalam keadaan cuaca sangat yang
baik dengan angin semakin kencang mempercepatkan perjalanan mereka menuju ke
Selat Bengkalis. Walaupun baru kali pertama pergi ke sana, Shaykh pula
seolah-olah yang menjadi jurupandu kepada tekong perahu tersebut yang jauh
lebih berpengalaman darinya, mungkin kerana kalut dan gementar setelah melalui
beberapa peristiwa yang berlaku secara mendadak itu.
Perahu berkenaan berlabuh di
sebuah tempat bernama Buruk Bakul. Shaykh kemudiannya mencari tokoh setempat
yang bernama Haji Mohd Nor yang dikatakan berasal dari Kampung Astana Raja,
Rembau. Haji Mohd Nor menjadi imam di kawasan itu manakala anaknya yang bernama
Husin berpangkat besar. Perkenalan Shaykh dengan dua beranak itu secara tidak
langsung mempercepatkan usaha Shaykh mengembangkan tariqat Ahmadiyyah di Siak. Kata
Shaykh ketika mula-mula ditanya orang tentang tujuannya ke Siak, “Di Negeri Sembilan lampu sudah terang,
kalau pasang pelita tidak nampak
cahayanya. Adapun di sini (Siak), suasana masih gelap, kalau pasang pelita
masih nampak cahayanya”. Shaykh mengumpamakan dirinya seperti pelita yang
diharapkan dapat memberi sinar kepada masyarakat Siak.
Di Buruk Bakul, nama Shaykh cepat
sungguh masyhur. Anak muridnya datang dari merata daerah. Ada yang datang dari
Kampar, Rokan, Batu Bara malah ada juga dari Tanah Minangkabau Sumatera Barat.
Walaupun sibuk dengan urusan di Buruk Bakul, Shaykh tetap pulang ke kampung
halamannya selang beberapa bulan sekali menjenguk anak isterinya. Dua tahun
selepas itu, Shaykh berpindah ke Teluk Air, menghala ke selatan Buruk Bakul.
Tempat itu dikatakan lebih strategik. Sebelum berpindah, Shaykh pergi menghadap
Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dengan tujuan untuk mendapat surat akuan
daripada baginda. Selain mendapat surat akuan, Shaykh juga telah menerima surat
sokongan dari Haji Ipap yang merupakan Undang Rembau pada masa itu. Surat-surat
itu kemudiannya dipersembahkan kepada pemerintah Siak pada masa itu iaitu
Sultan Sharif Kassim. Baginda dengan sukacitanya memperkenan permintaan Shaykh
malah membenarkan Shaykh meneroka tanah ikut kemahuannya sendiri. Shaykh turut
diberi penghormatan menjadi imam solat di Masjid Besar Siak. Pada mulanya ia
enggan namun setelah sultan sendiri menyarungkan jubah imam, tidak dapat pula
ia menolaknya.
Di Teluk Air, Shaykh membina sebuah
surau yang agak besar. Beliau mengupah tukang-tukang kayu yang mahir dari
Kampar dan Minangkabau. Selain itu, ia membuka tanah pertanian seluas 500 ekar.
Anak-anak muridnya menanam rumbia, pinang, padi huma dan kelapa. Selain menjadi
pembimbing tariqat, Shaykh telah menjemput beberapa orang alim ulama untuk
mengajar anak muridnya. Antaranya ialah seperti Tuan Guru Haji Khusai dan Haji
Nawawi dari Payakumbuh dan Bukit Tinggi, Tuan Guru Haji Abdul Salam dari
Bengkalis dan Tuan Guru Haji Abdul Ghani Haji Bakar.
Shaykh mudah mesra dengan sesiapa
sahaja. Bahkan Shaykh sangat rapat dengan Sultan Siak. Tambahan pula, Sultan
Siak sendiri menjadi anak murid Shaykh kerana melazimi amalan tariqat
Ahmadiyyah. Shaykh sering diundang ke istana untuk mendapatkan khidmat nasihat.
Manakala keberadaan Shaykh di Siak telah mewujudkan hubungan erat dua hala
antara Siak dan Rembau. Setiap kali Shaykh berulang-alik ke Seremban untuk
bertemu gurunya, beliau akan membawa beberapa orang anak muridnya mengaji
pondok kepada Shaykh Ahmad bin Shaykh Muhammad Said al-Linggi di Rasah. Begitu
juga apabila ia pulang ke kampung halamannya di Rembau, ia akan membawa bersama
anak-anak muda dari Rembau untuk belajar di Siak. Keluarga Shaykh di Rembau
menjadi keluarga angkat anak-anak muridnya yang berasal dari Siak yang menimba
ilmu di Negeri Sembilan. Diriwayatkan apabila ada hari kelepasan, mereka akan
berkumpul di rumah Shaykh di Rembau untuk bertemu sesama mereka bertanya
khabar. Sebelum Perang Dunia ke-2 meletus, Shaykh membawa anak isterinya
berpindah ke Siak. Apabila perang tamat, isteri dan anak-anaknya, pulang semula
ke Rembau untuk menyambung persekolahan. Hanya anaknya yang bernama (Haji) Ismail
tidak turut serta sebaliknya tinggal bersama Shaykh menjadi pembantunya. Bersama-sama
dengan anaknya, Shaykh telah mengembangkan tariqat Ahmadiyyah sehingga ke Pekan
Baru yang menjadi ibu negeri Siak yang baru. Mereka telah membeli sebuah istana
lama untuk dijadikan rumah persinggahan untuk membincangkan urusan perniagaan
dan bertemu dengan orang-orang kenamaan Siak. Selain Haji Ismail yang
diharapkan Shaykh untuk menguruskan hal-ehwal keluarga dan perniagaan, serang
lagi individu yang menjadi orang kepercayaan Shaykh ialah (Haji) Ahmad bin
Abdul Hamid. Beliau diamanahkan Shaykh untuk membantunya dalam urusan tariqat
dan hal-hal peribadi yang bersangkutan. Haji Ahmad mempunyai kebolehan dalam
ilmu gagah. Ketika hasil tanaman Shaykh dirosakkan sekumpulan beruang, Haji
Ahmad telah memburu beruang-beruang tersebut dengan tulang empat keratnya tanpa
menggunakan apa-apa senjata. Haji Ahmad juga menerima wasiat Shaykh agar
mengebumikan jenazahnya dibawah mihrab masjid yang didirikannya.
Peristiwa Mencarik Adat
Shaykh dikatakan telah dianugerah
beberapa kelebihan luar biasa seperti yang diriwayat oleh mereka yang rapat
dengannya. Antara kisahnya adalah seperti berikut;
- Ketika beliau sedang duduk bersama sahabat-sahabatnya di pondok sawah di kampungnya, salah seorang sahabatnya bersungut tentang kitab dan kain pelikat yang dipinjamkan kepada seseorang masih belum dipulangkan. Sebaik mendengar sungutan itu, Shaykh pun berkata kepada sahabatnya bahawa orang itu akan menghantar barang-barang yang dipinjamnya itu tidak lama lagi. Tidak lama selepas itu, sampailah orang yang dimaksudkan dan kesemua barang yang dipinjamnya telah pun dipulangkan semula.
- Pada satu hari, ramai orang mandi-manda di Sungai Penajis. Salah seorang dari mereka kehilangan gigi palsu. Kebetulan Shaykh lalu di kawasan itu. Orang ramai yang melihat kelibat Shaykh terus meminta bantuan darinya kalau-kalau ia tahu kedudukan gigi palsu itu. Shaykh pun berjalan ke tepi sungai kemudian menunjuk ke satu tempat. Orang ramai pun menyelam di kawasan yang ditunjuk Shaykh itu dan akhirnya berjaya menemui gigi palsu tersebut.
- Dalam satu kejadian, Shaykh kehilangan sejumlah wang dan wang itu dijumpai oleh seseorang. Shaykh kemudiannya mendapat ilham dan mengetahui orang yang menjumpai wang tersebut lalu ia bertanya kepada orang itu tentang wang yang dijumpainya. Orang itu pun kemudian menyerahkan wang yang dijumpainya kepada Shaykh.
- Pernah satu ketika diriwayatkan Shaykh hendak berbasikal ke rumah gurunya di Seremban. Dengan tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya. Secara spontan terpacul dari mulut Shaykh mengharapkan agar hujan yang turun itu tidak menghalang niatnya hendak pergi ke rumah gurunya. Seketika itu juga, hujan pun berhenti dan Shaykh meneruskan perjalanan ke rumah gurunya.
- Shaykh mendapat ilham tentang besar kemungkinan akan berlaku revolusi di Siak. Pada tahun 1939, ketika ia menghadap Sultan Siak bersama-sama anaknya, Haji Ismail, Shaykh menasihati baginda tentang revolusi yang bakal terjadi. Ternyata, beberapa tahun selepas itu revolusi yang dimaksudkan Shaykh benar-benar berlaku.
- Ketika dalam keadaan tenat kesan dari penyakit raja[1] yang ditanggungnya, Shaykh sempat memberitahu anaknya, Haji Ismail agar beri sedikit hasil jualan tanamannya kepada isterinya, Hajjah Mariam untuk dijadikan ‘duit lauk’. Haji Ismail pada masa itu berhajat hendak pulang belayar ke Rembau untuk menguruskan jualan tanamannya. Haji Ismail tidak begitu mengerti maksud duit lauk seperti yang diungkap oleh bapanya itu. Ketika dalam perjalanan pulang, ribut besar berlaku sehingga beliau terdampar di pantai Morib. Setelah itu, ia berkemas menuju ke Rembau dan didapatinya, ibunya sedang sibuk hendak menguruskan pernikahan adik susuannya yang bernama Rubiah. Pada masa itu, barulah Haji Ismail mengerti bahawa duit lauk yang dimaksudkan bapanya itu adalah wang untuk menguruskan kenduri perkahwinan.
Meninggal Dunia
Sekitar bulan
Disember 1947, Shaykh menghembuskan nafasnya yang terakhir di hadapan ratusan
orang muridnya. Jenazahnya telah dikebumikan betul-betul di hadapan mihrab
masjidnya seperti yang diwasiat kepada anak muridnya.
Daftar Pustaka
- Yaakub bin Idrus. 1988. Tuan Lebai Aris Pengembang Tariqat di kedua-dua Pantai Selat Melaka. Warisan Jurnal Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Negeri Sembilan bil. 13 1988/1989
Shaykh Muhammad Harith