Monday, September 6, 2010

Tuan Guru Haji Hassan Mufti yang berjasa di Melaka

Tuan Guru Haji Hassan bin Haji Abu Bakar atau lebih dikenali sebagai Haji Hassan al-Hafiz di kalangan masyarakat setempat dibesarkan dalam lingkungan keluarga yang sangat mengambil berat tentang pendidikan agama. Ayahandanya iaitu Haji Abu Bakar bin Abu adalah merupakan seorang Imam Masjid di Kuala Sungai Baru. Masjid Kuala Sungai Baru merupakan masjid utama bagi sembilan buah kampung iaitu Kampung Kuala, Kampung Hilir, Kampung Permatang, Kampung Ladang, Kampung Baru, Kampung Tengah, Kampung Telok Gong, Kampung Air Molek dan Kampung Bukit Chempedak.[1] Ayahandanyalah yang memimpin masjid tersebut sepanjang hayatnya. Ketika Tuan Guru Haji Hassan bin Haji Abu Bakar mengambil tugas menjadi imam, sebuah masjid baru telah dibina bagi menampung jumlah jemaah yang semakin bertambah. Masjid baru itu dibina daripada batu bata sementara masjid lama yang diperbuat daripada kayu itu kemudiannya dijadikan tempat kuarantin untuk pesakit cacar air yang melanda penduduk Kuala Sungai Baru pada ketika itu.[2]
Berbalik kepada riwayat hidup Tuan Guru Haji Hassan, beliau dilahirkan pada tahun 1328 Hijrah bersamaan 1908 Masihi di Kampung Kuala Sungai Baru, Melaka.[3] Pada peringkat awal, beliau mendapat pendidikan di Sekolah Melayu.[4] Adalah dipercayai beliau berhijrah ke Kelantan seawal usia 14 tahun untuk mendalami ilmu agama iaitu dari tahun 1922 hingga 1927.[5] Di negeri Serambi Makkah itu, beliau telah berguru dengan tokoh ulama yang sangat terkenal di Alam Melayu pada masa itu iaitu Tok Kenali. Pada tahun 1927, beliau berangkat ke Makkah untuk menimba ilmu agama dengan alim-ulama terkenal di sana.[6] Antara tokoh ulama yang didampinginya ialah seperti Syeikh Husin al-Yamani, Syeikh Mokhtar Atarid dan Syeikh Umar Sumbawa[7]. Diriwayatkan bahawa beliau tinggal di Makkah selama 6 tahun.[8] Pada tahun 1933 Tuan Guru Haji Hassan pulang ke Melaka.[9]
Dengan ilmu yang dimiliki serta sokongan masyarakat setempat, Tuan Guru kemudiannya membuka sebuah madrasah di kampung halamannya sendiri iaitu Kuala Sungai Baru. Madrasah yang dibina pada tahun 1937 itu diberi nama Madrasah Al-Falah.[10] Tidak lama selepas itu, nama madrasah ditukar kepada Madrasah al-Hasaniah sempena mengambil namanya sebagai pengasas. Madrasah itu dibina di atas tanah yang diwakafkannya bersama-sama dengan sahabatnya yang bernama Haji Muhammad Belimbing.[11] Walaupun sibuk dengan tugas di madrasah namun beliau telah diberi kepercayaan oleh masyarakat setempat untuk menjadi Imam di Masjid Kuala Sungai Baru. Apapun, usia madrasah itu tidak bertahan lama. Pada tahun 1951, Madrasah Al-Hasaniah ditutup.[12] Dalam sumber yang lain, madrasah itu ditutup semasa Perang Dunia ke-2.[13] Diriwayatkan sebelum perang meletus, madrasah itu telah menerima kehadiran pelajar dari merata tempat termasuk dari Indonesia seperti Jambi dan Lingga.[14] Sukatan pembelajarannya adalah berasaskan sistem pondok.[15] Pada tahun 1983, pengajian di madrasah ini telah dihidupkan kembali oleh anakanda Tuan Guru iaitu al-Fadhil Ustaz Haji Abdul Rahman.[16] Sukatan pembelajaran adalah berasaskan sukatan pembelajaran akademik dari peringkat rendah ke menengah.[17] Pada tahun 1993, Jabatan Agama Islam Melaka mengambil-alih pengurusan madrasah secara berperingkat dan nama madrasah pun ditukar menjadi Sekolah Menengah Arab Darul Falah.[18]
Walaupun sekolah ditutup selepas Perang Dunia ke-2,Tuan Guru Haji Hassan tetap aktif mengajar agama di masjid-masjid di seluruh negeri Melaka. Beliau sering diundang untuk menyampaikan ceramah agama sempena hari-hari kebesaran Islam seperti Maulidur Rasul, Israk Mikraj dan lain-lain[19]. Dengan pengalamannya yang begitu luas, pada tahun 1960, beliau telah dilantik menjadi Mufti Melaka.[20] Tarikh lantikan rasminya sebagai mufti ialah pada 10 Jun1960.[21] Beliau memegang jawatan mufti selama 19 tahun.[22]
Ketika memegang jawatan mufti, Tuan Guru sangat mengambil berat tentang perkembangan masjid-masjid di dalam negeri Melaka. Sebagai contoh, pada tahun 1965, Tuan Guru sendiri turun untuk menentukan sempadan qariah antara Masjid Serkam dengan Masjid Serkam Darat.[23] Dengan terlaksananya pembahagian sempadan ini maka mudahlah masyarakat setempat untuk mengerjakan sembahyang Jumaat, menguruskan nikah kahwin, kematian dan sebagainya.[24]
Atas jasanya yang begitu besar maka kerajaan negeri Melaka telah menganugerahkan darjah kebesaran Darjah Seri Melaka (DSM) kepadanya.[25] Nama Tuan Guru juga turut diabadikan pada nama masjid Kuala Sungai Baru. Masjid itu kemudiannya dikenali dengan nama Masjid al-Hasaniah. Tuan Guru diriwayatkan kembali ke rahmatullah kerana sakit tua.[26] Sepanjang hayatnya, Tuan Guru dikenang masyarakat sebagai seorang yang warak dan luas ilmunya serta banyak pengetahuan mengenai hukum-hukum agama. Beliau telah mencetak ramai anak-anak muridnya yang bertebaran di seluruh Negeri Melaka.


Nota kaki;

[1] Pada awal kurun ke-19 Masehi, qariah Kuala Sungai Baru adalah di bawah pimpinan Penghulu Salehudin. Pada masa itu, Kuala Sungai Baru yang terletak berhampiran pantai dan sawah hanya wujud sebuah masjid kayu yang sederhana besar saiznya. Imam yang bertanggungjawab adalah Allahyarham Tuan Haji Mahmud bin Nahu. Rujuk http://www.al-azim.com/~kualasgbaru/sejarah.htm. Dicapai pada 6 September 2010
[2] Ibid
[3] http://www.al-azim.com/jmm/maklumat_berkaitan/sejarah.htm. Dicapai pada 6 September 2010
[4] Ibid
[5] Ibid
[6] Ibid
[7] Ibid
[8] Ibid
[9] Ibid
[10] Rujuk teks ucapan YAB Datuk Seri Mohd Ali bin Mohd Rustam, Ketua Menteri Melaka sempena majlis hi-tea dan majlis pecah tanah Sekolah Menengah Arab Darul Falah pada 10 Julai 2008
[11] http://www.melaka.gov.my/v3/view_article.php?pageid=831. Dicapai pada 7 September 2010
[12] http://www.al-azim.com/jmm/maklumat_berkaitan/sejarah.htm. Dicapai pada 6 September 2010
[13] Rujuk teks ucapan YAB Datuk Seri Mohd Ali bin Mohd Rustam, Ketua Menteri Melaka sempena majlis hi-tea dan majlis pecah tanah Sekolah Menengah Arab Darul Falah pada 10 Julai 2008
[14] http://www.melaka.gov.my/v3/view_article.php?pageid=831. Dicapai pada 7 September 2010
[15] Rujuk teks ucapan YAB Datuk Seri Mohd Ali bin Mohd Rustam, Ketua Menteri Melaka sempena majlis hi-tea dan majlis pecah tanah Sekolah Menengah Arab Darul Falah pada 10 Julai 2008
[16] Ibid
[17] Ibid
[18] Ibid
[19] http://www.al-azim.com/jmm/maklumat_berkaitan/sejarah.htm. Dicapai pada 6 September 2010
[20] Ibid
[21] Ibid
[22] Ibid
[23] http://surauumri.blogspot.com/2007/05/sejarah-masjid-jamek-kampung.html. Dicapai pada 6 September 2010
[24] Ibid
[25] http://www.al-azim.com/jmm/maklumat_berkaitan/sejarah.htm. Dicapai pada 6 September 2010
[26] Ibid


Almarhum Tuan Guru Haji Hassan bin Haji Abu Bakar


Masjid al-Hasaniah Kuala Sungai Baru



Salah sebuah blok bangunan SMA Darul Falah

Wednesday, August 4, 2010

Syeikh Utsman bin Abdullah Tokoh Ulama Kuala Lumpur abad ke-19


Syeikh Utsman bin Abdullah, ulama besar asal Minangkabau ini adalah bersaudara dengan seorang lagi ulama besar yang banyak berjasa di Tanah Melayu iaitu Syeikh Muhammad Saleh bin Abdullah al-Minankabawi. Syeikh Muhammad Saleh pernah menjadi Syeikhul Islam negeri Perak ketika Sultan Iskandar Shah memerintah negeri tersebut. Syeikh Utsman dilahirkan di Batu Sangkar, Minangkabau pada tahun 1267 Hijriyyah bersamaan dengan 1850 Masehi. Batu Sangkar pada masa itu adalah merupakan pusat penyebaran Thariqat Naqsyabandiyah Khalidiyah yang diiasaskan oleh Syeikh Ismail bin Abdullah al-Khalidi, seorang lagi ulama besar yang sangat terkenal di Alam Melayu. Menjadi kelaziman alim-ulama Alam Melayu pada waktu itu, pengajian kemudiannya dilanjutkan di Makkah. Antara gurunya di Makkah ialah Syeikh Ahmad al-Fathani, Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, Syeikh Muhammad bin Ismail @ Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani, Syeikh Wan `Ali Kutan al-Kalantani, Syeikh Nawawi al-Bantani, Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan, Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani dan ramai lagi.
Syeikh Utsman pulang ke negeri Minangkabau pada penghujung tahun 1884 Masehi. Beliau kemudiannya berhijrah ke Kuala Lumpur ketika bandar (kini bandaraya) tersebut sedang mula berkembang. Pada waktu itu, ramai orang Minangkabau berhijrah ke bandar tersebut. Orang-orang Minangkabau sangat menghormati beliau kerana kealimannya. Ramai di kalangan mereka yang datang berguru kepadanya. Bagi memudahkan kehidupan beliau ketika berada di Kuala Lumpur, masyarakat Minangkabau telah menyediakan sebidang tanah yang letaknya dari kawasan Masjid Jamek Kuala Lumpur sampai ke kawasan yang berhampiran bangunan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sekarang. Syeikh Utsman bukan sahaja alim dalam bidang agama tetapi juga mempunyai ketokohan dalam menyelesaikan masalah masyarakat. Sebagai contoh, pernah berlaku perselisihan faham tentang isu solat Jumaat di dua masjid yang berdekatan.[1] Salah seorang anak muridnya yang juga merupakan pemerintah negeri Selangor pada waktu itu iaitu Sultan Abdul Samad telah menanganinya secara bijaksana iaitu dengan meminta masyarakat di situ mendirikan solat Jumaat secara bergiliran. Maksudnya disini, minggu ini di Masjid Melaka, minggu berikutnya di Masjid Minangkabau dan begitulah seterusnya. Keputusan yang dibuat oleh Sultan Abdul Samad itu sudah tentu melibatkan buah fikiran gurunya itu memandangkan Syeikh Utsman pada waktu itu adalah tokoh yang sangat dihormati di Kuala Lumpur. Selain Sultan Abdul Samad, tokoh-tokoh Melayu yang lain yang pernah menadah kitab kepada ulama besar Minangkabau ini ialah Raja Mahmud (seorang pembesar negeri Selangor), Sutan Puasa (Ketua Melayu Dato’ Dagang yang pertama di Kuala Lumpur)[2] dan Haji Abdullah Hukum[3].
Sepanjang hayat beliau tinggal di Kuala Lumpur, beliau pernah memegang jawatan sebagai Imam, Khatib dan Kadi. Diriwayatkan bahawa beliau adalah Kadi Kuala Lumpur yang pertama. Syeikh Utsman dikurniakan 7 orang anak. Anak perempuannya yang bernama Saodah berkahwin dengan Haji Abdur Rauf bin Syeikh Yusuf al-Minankabawi. Syeikh Yusuf al-Minankabawi adalah seorang ulama besar Minangkabau yang tinggal di Semenanjung. Salah seorang anak muridnya ialah Syeikh Abdul Wahhab Rokan yang sangat terkenal itu. Diriwayatkan bahawa dua orang anak lelaki iaitu Haji Abdul Rahman dan Haji Abdul Rahim berkecimpung dalam bidang perguruan. Haji Abdur Rahman merupakan seorang guru Bahasa Melayu. Salah seorang anak muridnya ialah Tan Sri Mubin Sheppard. Haji Abdul Rahim pula merupakan pengasas Majalah Guru. Anaknya yang bernama Abu Bakar (Datuk) pernah memegang jawatan Datuk Syahbandar Sungai Ujong, Negeri Sembilan. Tokoh yang banyak berjasa kepada pembangunan rohaniah masyarakat Kuala Lumpur di zamannya berpulang ke rahmatullah dalam bulan Rabiul Awwal 1337 Hijrah bersamaan dengan Januari 1919 Masehi. Jenazahnya dimakamkan di Perkuburan Islam Ampang, bersebelahan dengan saudaranya Syeikh Muhammad Saleh bin Abdullah al-Minankabawi.[4]

Rujukan utama
Wan Mohd Saghir Abdullah.2005. Ulama Minangkabau Kadi Kuala Lumpur yang Pertama. Ruangan Bicara Agama. Utusan Malaysia. Terbit pada 28 Mac 2005
http://ms.wikipedia.org/wiki/Haji_Abdullah_Hukum. Dicapai pada 5 Ogos 2010
Afriadi Sanusi. 2009. Peranan Ulama Silam Dalam Mempererat Hubungan Masyarakat di Kepulauan Nusantara: Tinjauan Indonesia dan Malaysia. Makalah disampaikan dalam Persidangan Hubungan Indonesia dan Malaysia 2009 Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya, 6-8 Ogos 09. Makalah ini boleh dicapai di http://terombarawa.blogspot.com/2010/01/peranan-ulama-silam-dalam-mempererat.html. Dicapai pada 5 Ogos 2010
Nota kaki

[1] Masjid yang dimaksudkan ialah Masjid Melaka yang letaknya di Kampung Melaka (Batu Lane). Masjid ini didirikan oleh Encik Baki, ayahanda mertua kepada Haji Abdullah Hukum. Masjid ini didirikan atas pakatan masyarakat yang berasal dari Melaka. Satu lagi masjid dikenali dengan nama Masjid Minangkabau yang letaknya di Jawa Street.
[2] Berasal dari Mandailing, Sumatera Timur
[3] Beliau berasal dari Kerinci, Sumatera Utara. Beliau berhijrah ke Tanah Melayu pada tahun 1850 Beliau dilantik menjadi ketua masyarakat Melayu di Kuala Lumpur oleh Sultan Abdul Samad dengan bergelar Tuk Dagang Dianjuk
[4] Seorang lagi ulama besar asal Minangkabawi yang dimakamkan di kawasan ini ialah Syeikh Muhammad Nur bin Ismail al-Minankabawi. Beliau lahir pada tahun 1879 M dan meninggal dunia pada tahun 1943 Masehi. Tokoh yang sezaman dengannya yang merupakan sahabat baiknya ialah Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani, Syeikhul Islam Selangor yang pertama.



Kuala Lumpur sekitar tahun 1880-an

Kampung Abdullah Hukum, antara kampung terawal di Kuala Lumpur. Kampung ini dibuka oleh Haji Abdullah Hukum yang merupakan anak murid kepada Syeikh Utsman bin Abdullah al-Minangkabawi

Friday, July 2, 2010

Tuan Guru Haji Khalil Haji Husin - Mufti Pertama Negeri Melaka


Nama lengkap ulama besar yang berasal dari Melaka ini ialah Khalil bin Husin bin Wahid. Bondanya bernama Halimah yang digelar orang sebagai Che Tom binti Haji Sulaiman. Tuan Guru Haji Khalil dilahirkan di Kampung Hulu, Bandar Melaka pada tahun 1885. Dalam usia yang masih kecil iaitu ketika berumur 4 tahun, beliau telah berangkat ke Makkah. Di Makkah, beliau telah didedahkan dengan pengajian halaqah di Masjidil Haram. Pada masa itu. ramai tokoh ulama yang berasal dari Alam Melayu membuka halaqah pengajian di situ. Antaranya ialah seperti Syeikh Abdullah Fahim, Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga, Syeikh Abdullah bin Qasim as-Sanquri (ulama yang berasal dari dunia Melayu yang menjadi ketua qiraat tujuh di Hijaz pada zaman itu), Syeikh Muhammad Nur al-Fathani (tokoh falak) dan Syeikh Muhammad Mukhtar bin Atharid Bogor. Salah seorang guru utama Tuan Guru Haji Khalil ialah Syeikh Umar bin Abdur Rasyid as-Sumbawi. Diriwayatkan beliau telah menadah kitab kepada ulama besar Alam Melayu ini selama 12 tahun. Beliau tinggal di Makkah lebih kurang 22 tahun. Untuk menyara kehidupan ketika berada di Makkah, beliau pernah mengambil upah mengangkat air. Pada tahun 1911, beliau kembali semula ke tanahair. Beliau berkahwin dengan Che Zainab binti Bilal Jazan dan dikurniakan beberapa orang anak.
Menyedari akan keahliannya dalam bidang agama, maka kerajaan Melaka pada ketika itu yang diperintah oleh Gabenor Melaka telah melantik Tuan Guru Haji Khalil menjadi Kadi pada 19 Februari 1918. Usianya pada ketika itu ialah 33 tahun. Beliau bagaimanapun melepaskan jawatan kadi setahun kemudian iaitu pada 14 November 1919. Empat tahun selepas itu, beliau dilantik menjadi Imam Masjid Kampung Hulu. Tiga tahun kemudian iaitu pada tahun 1926, Tuan Guru Haji Khalil dilantik menjadi Mufti Negeri Melaka. Diriwayatkan beliaulah yang telah mengasaskan Sekolah Agama Masjid Kampung Hulu yang kemudiannya diberi nama Madrasah Al-Aliyah. Pengalaman dan pengetahuan beliau sangat ditagih oleh masyarakat samada dalam bidang agama mahupun dalam urusan kemasyarakatan. Sebagai contoh, beliau telah membantu menyelesaikan masalah pembinaan Masjid Kampung Tehel, Jasin pada tahun 1925. Setelah Majlis Agama Islam Melaka ditubuhkan, Tuan Guru Haji Khalil dilantik menjadi mufti negeri Melaka secara rasmi pada pada bulan April 1960. Pada ketika itu usianya sudah mencecah 75 tahun. Dua bulan selepas itu, Tuan Guru Haji Khalil berpulang ke rahmatullah. Tuan Guru Haji Khalil sebagai tokoh ulama yang begitu terkenal di seluruh negeri Melaka. Beliau dikenali masyarakat sebagai seorang yang warak, luas ilmunya dan tegas mengenai hukum-hukum agama. Sepanjang hayatnya, beliau dihormati oleh segenap lapisan masyarakat termasuklah pemerintah British pada ketika itu. Atas jasanya yang begitu besar maka namanya telah diabadikan pada sebatang jalan di Bandaraya Melaka dengan nama Jalan Mufti Haji Khalil. Di jalan tersebut terdapat bangunan utama kerajaan seperti hospital Melaka.

Rujukan utama
1. http://www.al-azim.com/jmm/maklumat_berkaitan/sejarah.htm. Dicapai pada 2 Julai 2010
2. ____. Tanpa tahun terbitan. Inventori Masjid-Masjid yang telah diwartakan: Daerah Jasin. Perbadanan Muzium Negeri Melaka. Hlm. 37. Boleh dirujuk di http://www.perzim.gov.my/warta/MASJID_DAERAH_JASIN.pdf. Dicapai pada 2 Julai 2010



Almarhum Tuan Guru Haji Khalil bin Haji Husin

Friday, June 18, 2010

Tuan Guru Dato' Seri Utama diRaja Dato' Haji Yusuf bin Sahabuddin Mufti Pertama Selangor


Dalam senarai alim-ulama yang memegang jawatan mufti di negeri Selangor, nama Tuan Guru Dato’ Seri Utama DiRaja Dato’ Haji Yusuf bin Sahabuddin terpahat sebagai mufti yang pertama di negeri Selangor. Sebenarnya sebelum Tuan Guru dilantik memegang jawatan mufti, ulama yang memegang jawatan tertinggi dalam bidang agama di negeri Selangor adalah bergelar Syeikhul Islam. Hanya seorang tokoh yang pernah memegang jawatan tersebut iaitu Yang Mulia Tuan Guru Haji Tengku Mahmud Zuhdi bin Tengku Abdul Rahman al-Fathani[1]. Beliau memegang jawatan tersebut selama 17 tahun iaitu dari tahun 1935 hingga 1952. Perlantikan Tuan Guru Dato’ ke jawatan mufti adalah bagi menggantikan Tuan Guru Haji Tengku Mahmud Zuhdi yang telah menamatkan perkhidmatannya sebagai Syeikhul Islam pada tahun 1952. Istilah mufti ini mula diwujudkan setelah Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak Selangor 1952 dibuat yang seterusnya memperuntukkan perkara-perkara berkaitan mufti dan fatwa.[2]
Tuan Guru Dato’ Haji Yusuf dilahirkan pada tahun 1883 M di Kampung Telok Menegon, Kelang, Selangor.[3] Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Telok Menegon yang terletak di kampungnya. Beliau merupakan seorang pelajar yang pintar. Ini adalah kerana selepas tamat pengajian di sekolah tersebut, beliau telah ditawarkan mengajar di sekolah itu. Walaubagaimanapun, beliau menolak tawaran tersebut kerana lebih berminat untuk mendalami pengajian agama. Beliau memilih pengajian secara pondok bagi meneruskan cita-citanya itu. Beliau menadah kitab kepada Tuan Guru Haji Ahmad di Pondok Padang Lalang selama 13 tahun.[4] Di pondok itu, beliau telah didedahkan dengan ilmu fiqh, tauhid, tasawwuf, tafsir, hadith, nahu dan sorof.[5] Pada tahun 1911, beliau melanjutkan pengajian ke Makkah.[6] Di Makkah, beliau mendalami kitab-kitab jawi dan arab yang berasaskan Mazhab Syafi’i.[7] Beliau berada di Makkah lebih kurang 6 tahun sebelum pulang semula ke Tanah Melayu.[8]
Dengan ilmu yang dimilikinya, beliau membuka sekolah pondok di Selekoh, Perak. Pondok itu didirikannya di atas tanah miliknya sendiri pada tahun 1918.[9] Kaedah pengajarannya terbahagi dua iaitu nizami dan umumi.[10] Nizami merujuk kepada sistem pembelajaran yang bersistematik manakala umumi pula merujuk kepada sistem pengajian umum. Kaedah nizami digunakannya untuk membimbing anak-anak muridnya secara khusus. Pengajiannya adalah secara berturutan iaitu dari bab ke bab, dari kitab ke kitab dan dari satu peringkat ke satu peringkat tertentu mengikut pemilihan sesebuah kitab. Kaedah umumi pula dipraktikkannya untuk mengajar orang ramai. Lazimnya beliau akan menyampaikan syarahan di surau pada waktu-waktu tertentu seperti antara waktu Asar dan Maghrib, antara waktu Maghrib dan Isyak dan sebagainya. Kitab-kitab yang digunakanya meliputi bidang-bidang seperti tafsir, hadith, fiqh, usuluddin, akhlak dan sirah.[11]
Pada tahun 1937, Tuan Guru Dato’ sekali lagi berangkat ke Makkah bersama keluarganya.[12] Berkemungkinan besar beliau menetap di Makkah dalam tempoh yang agak lama iaitu lebih kurang 15 tahun. Ini adalah kerana ketika Sultan Selangor, Sultan Hishamuddin[13] datang menemuinya untuk memujuknya pulang ke tanahair bagi memegang jawatan mufti pada tahun 1952, Tuan Guru Dato’ masih lagi berada di Makkah. Tuan Guru Dato’ bersetuju menerima perlantikan itu dan beliau akhirnya memegang jawatan itu secara rasmi pada tahun 1953. Pada ketika itu, usianya telah mencecah 70 tahun. Semasa memegang jawatan ini, beliau telah menjelajah masuk ke kampung-kampung di seluruh negeri Selangor untuk menyampaikan ilmu agama kepada umat Islam di negeri tersebut. Beliau menyampaikan ilmu dalam majlis-majlis pengajian, khutbah Jumaat, diskusi, halaqah dan kajian-kajian ilmiah yang kemudian dituangkannya dalam bentuk kitab.[14]
Dalam tempoh 15 tahun beliau memegang jawatan mufti, beliau telah berusaha menangani masalah-masalah kritikal yang berlaku di zaman itu. Antaranya ialah seperti pengaruh Qadiani yang dikatakan cukup banyak berleluasa di zaman itu. Bimbang dengan pengaruh ajaran tersebut, beliau telah menyusun sebuah kitab yang menerangkan sebab-musabab kenapa Mirza Ghulam Ahmad al-Qadiani dan pengikutnya dikatakan menyimpang dari ajaran Islam.[15]
Dalam bidang fiqh, beliau dikatakan ada mengarang sebuah risalah yang bernama “Sekitar hukum memungut zakat”. Isi kandungannya adalah tentang kewajipan melaksanakan urusan pungutan zakat. Walaupun risalah tersebut ringkas namun beliau tetap mengemukakan dalil-dalil berasaskan al-Quran dan Hadith bagi menunjukkan bukti bahawa zakat itu wajib dilaksanakan.[16]
Sementara dalam bidang usul fiqh, beliau telah mengarang sebuah kitab yang menyanggah pendapat golongan yang menyatakan tidak harus bertaqlid kepada salah satu ulama’ mujtahidin (ulama’ mazhab empat). Dalam kitab tersebut, beliau turut mengupas sifat-sifat dan syarat-syarat yang perlu ada untuk membolehkan seseorang itu melakukan ijtihad.[17]
Tuan Guru Dato’ juga dikatakan ada menulis kitab dalam bidang Tasawwuf. Amalan tasawwuf dikatakan sebati dengan amalan rohaninya. Beliau diriwayatkan mengamalkan tariqat Naqsyabandiah.[18] Atas sumbangannya yang begitu besar dalam bidang agama maka beliau telah dipilih sebagai tokoh ulama silam yang ke sepuluh oleh Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia pada 6 Muharram 1406 bersamaan dengan 21 September 1985.[19] Tuan Guru Dato’ Haji Yusuf kembali ke rahmatullah ketika berada di Makkah al-Mukarramah.[20] Antara anak muridnya yang kemudian hari menjadi tokoh ulama ialah almarhum Tuan Guru Haji Mohammad Shahar bin Sulaiman yang pernah dipilih sebagai tokoh anugerah Maal Hijrah 1413 H bagi peringkat negeri Selangor.[21] Tuan Guru Haji Mohammad Shahar diriwayatkan menimba ilmu tauhid dan tasawwuf kepada Tuan Guru Dato’ ketika Tuan Guru Dato’ mengajar di Kampung Jawa, Kelang.[22] Tuan Guru Haji Mohammad Shahar berkahwin dengan Hajah Khadijah, anak sulung kepada Tuan Guru Haji Mohammad Amin yang juga merupakan guru kepada Tuan Guru Haji Mohammad Shahar.[23] Perisrtiwa itu berlaku pada 12 Syawal 1377 Hijrah bersamaan 1 Mei 1958.[24] Tuan Guru Haji Mohammad Amin yang juga merupakan teman belajar Tuan Guru Dato’ Haji Yusuf telah mewakilkan wali untuk upacara akad nikah tersebut kepada Tuan Guru Dato’ Haji Yusuf bin Shahabudin.[25]


Almarhum Tuan Guru Dato' Haji Yusuf bin Sahabuddin

[1] Nama lengkapnya ialah Tengku Mahmud Zuhdi bin Tengku Abdur Rahman bin Tuanku Nur bin Raja Belat ibnu Raja Datu al-Fathani al-Jawi. Beliau berketurunan Raja Jambu di Patani. Tengku Mahmud lahir di Ban Sim Dip, Bangkok, pada tahun 1293 Hijrah/1876 Masehi dan meninggal dunia di Makkah pada tanggal 6 Rabiulawal 1376 Hijrah/10 Oktober 1956 Masehi.
[2] Mazni binti Abdul Wahab. 2002. Sejarah Penubuhan Institusi Fatwa di Negeri Selangor. Jurnal Syariah 10:2. Universiti Malaya. Kuala Lumpur. Hlm.2
[3] Ibid. Hlm.17
[4] _____. 2003. Sahibus Samahah Tuan Haji Yusof bin Sahabuddin Dalam Kenangan. Buletin at-Taqwa. Bil. 3 Jabatan Mufti Negeri Selangor. Shah Alam. Terbit pada Rajab 1424/September 2003. Hlm.8
[5] Ibid
[6] Ibid
[7] Ibid
[8] Ibid
[9] Ibid
[10] Ibid
[11] Ibid
[12] Ibid
[13] Sultan Hishamuddin pergi ke Makkah dalam rangka menunaikan ibadah haji pada masa itu. Rujuk _____. 2003. Sahibus Samahah Tuan Haji Yusof bin Sahabuddin Dalam Kenangan. Buletin at-Taqwa. Bil. 3 Jabatan Mufti Negeri Selangor. Shah Alam. Terbit pada Rajab 1424/September 2003. Hlm.8
[14] _____. 2003. Sahibus Samahah Tuan Haji Yusof bin Sahabuddin Dalam Kenangan. Buletin at-Taqwa. Bil. 3 Jabatan Mufti Negeri Selangor. Shah Alam. Terbit pada Rajab 1424/September 2003. Hlm.8
[15] Ibid
[16] Ibid
[17] Ibid
[18] Ibid
[19] Ibid
[20] Ibid
[21] Tuan Guru Haji Mohammad Shahar (lahir pada 20 Jun 1930) kembali ke rahmatullah pada hari Khamis, 28 April 2005, kira-kira pukul 1.45 tengah hari selepas mandi dan berwuduk untuk menunaikan solat Zuhur. Beliau dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Tambak Jawa di hadapan mihrab masjid. Rujuk ____. 2009. Haji Shahar Sulaiman berdakwah menggunakan seni syair. Ruangan Bicara Agama. Utusan Malaysia. Terbit pada 12 Januari 2009
[22] ____. 2009. Haji Shahar Sulaiman berdakwah menggunakan seni syair. Ruangan Bicara Agama. Utusan Malaysia. Terbit pada 12 Januari 2009
[23] Ibid
[24] Ibid
[25] Ibid

Wednesday, May 5, 2010

Tuan Guru Ijai (Abah Guru Sekumpul) Ulama Besar Kalimantan

Nama lengkap ulama besar kelahiran Banjar yang bersambungan nasabnya dengan Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari, ulama besar alam Melayu abad ke-18 Masehi ini ialah Muhammad Zaini bin al-Arif billah Abdul Ghani bin Abdul Manaf bin Muhammad Seman bin Muhammad Sa’ad bin Abdullah bin al-Mufti Muhammad Khalid bin al-Alim al-Allamah al-Khalifah Hasanuddin bin Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari. Ulama besar yang bergelar Al Alimul Allamah Al Arif Billaah Albahrul Ulum Al Waliy Qutb As Syeekh Al Mukarram Maulana ini dilahirkan di Dalam Pagar, Martapura Timur pada 11 Februari 1942 bersamaan dengan 27 Muharram 1361 Hijriyyah dan meninggal dunia di Martapura pada 10 Ogos 2005 ketika berusia 63 tahun. Beliau mendapat pendidikan awal dari ayahanda dan nendanya yang bernama Salbiyah. Beliau mendapat pendidikan formal seawal usia 7 tahun di Madrasah Ibtidaiyah Darussalam, Martapura. Beliau menghafal al-Quran semenjak usianya 7 tahun. Beliau kemudiannya menghafal tafsir Jalalain pada usia 9 tahun. Guru-gurunya ketika berada di tingkat asas adalah seperti Tuan Guru Abdul Mu’az, Tuan Guru Sulaiman, Tuan Guru Muhammad Zein, Tuan Guru Haji Abdul Hamid Husin, Tuan Guru Haji Mahalli, Tuan Guru Haji Rafi’i, Tuan Guru Syahran, Tuan Guru Haji Husin Dakhlan dan Tuan Guru Haji Salman Yusuf. Selepas enam tahun berada di Madrasah Ibtidaiyah Darussalam, beliau kemudiannya mendalami pengajian agama di Madrasah Tsanawiyah Darussalam, Martapura. Disitu, beliau menadah kitab kepada ulama-ulama besar seperti al-Alim al-Fadhil Sya’rani Arif, al-Alim al-Fadhil Husain Qadri, al-Alim al-Fadhil Salim Ma’ruf, al-Alim al-Allamah Syeikh Seman Mulya, al-Alim Syeikh Salman Jalil, al-Alim al-Fadhil al-Hafizh Syaikh Nashrun Thahir dan Kiyai Haji Aini Kandangan. Beliau mendalami ilmu Tajwid dengan al-Alim al-Fahil Sya’rani Arif, al-Alim al-Fadhil al-Hafizh Syaikh Nashrun Thahir dan Kiyai Haji Aini Kandangan. Ilmu falak dan faraid diperolehinya dari al-Alim al-Allamah Syeikh Salman Jalil[1]. Syeikh Seman Mulya pula banyak memperkenalkan beliau dengan tokoh-tokoh ulama yang lain walaupun Syeikh Seman[2] sendiri adalah seorang ulama yang sangat alim. Ulama besar yang menjadi guru suluk (tarbiyah al-shufiyah) beliau adalah Syeikh Syarwani Abdan Bangil dan al-Alim al-Allamah al-Syeikh al-Sayyid Muhammad Amin Kutbi. Beliau juga mendapat pendidikan rohani dari al-Alim al-Allamah Ali Junaidi (Berau) bin al-Alim al-Fadhil Qadhi Muhammad Amin bin al-Alim al-Allamah Mufti Jamaludin bin Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari dan Alimul Fadhil Haji Muhammad (Gadung Rantau) bin ‘Alimul Fadhil Haji Salman Farisi bin ‘Allimul’allamah Qadhi Haji Mahmud bin Asiah binti Syeikh Muhammad Arsyad. Sanad keilmuannya juga sampai kepada ulama-ulama besar yang sangat terkenal seperti Kiyai Falak (Bogor)[3], Syeikh Yasin bin Isa Padang (Makkah), Syeikh Hasan Masyath, Syeikh Ismail al-Yamani dan Syeikh Abdul Kadir al-Bar. Diriwayatkan bahawa guru-gurunya mencecah 179 orang yang mempunyai keahlian dalam ilmu-ilmu Islam yang bermukim di Alam Melayu seperti di wilayah Kalimantan, Jawa-Madura dan juga Makkah. Alimul ‘allamah Al ‘Arif Billah Asy-Syeikh Haji Muhammad Zaini Abdul Ghani, adalah satu satunya Ulama di Kalimantan, bahkan di Indonesia yang mempunyai autoriti untuk mengijazahkan (baiat) Tariqah Sammaniyah. Maka atas sebab itu, ramai yang datang kepada beliau untuk mengambil bai’at tariqah tersebut, bukan saja dari wilayah Kalimantan tetapi juga dari pulau Jawa dan daerah-daerah lain.
Nasihat
Beliau menasihatkan masyarakat Islam agar tidak tertipu dengan segala keanehan dan keunikan dan tidak memasang niat beribadah untuk tujuan mendapat karamah. Ini adalah karamah adalah satu anugerah dan karamah yang paling mulia dan paling tinggi nilainya adalah beristiqamah di jalan Allah. Tidaklah dinamakan karamah atas diri seseorang itu jika ibadahnya tidak sempurna. Nasihat-nasihat lain yang diberikannya adalah seperti menghormati ulama dan orang tua, baik sangka sesama orang Islam, murah harta, manis muka, tidak menyakiti orang lain, mengampunkan kesalahan orang lain, tidak bermusuh-musuhan, tidak bersikap tamak atau serakah, berpegang kepada Allah pada qabul segala hajat dan yakin keselamatan itu pada kebenaran.
Karya Tulisnya
Ketika hayatnya, beliau ada mengarang beberapa kitab seperti
· Risalah Mubarakah
· Manaqib Asy-Syekh As-Sayyid Muharnmad bin Abd. Karim Al-Qadiri Al Hasani As Samman Al Madani
· Ar Risalatun Nuraniyah fi Syarhit Tawassulatis Sammaniyah
· Nubdzatun fi Manaqibil Imamil Masyhur bil Ustadzil a’zham Muhammad bin Ali Ba-’Alwy.
Peristiwa mencarik adat
1. Selesai majlis maulid di Kampung Keraton, Tuan Guru Ijai duduk berbual-bual dengan anak muridnya. Ketika beliau bercerita tentang buah rambutan dengan tiba-tiba beliau mengacungkan tangannya ke belakang dan mengambil buah rambutan yang masak padahal pada masa itu belum lagi masuk musim buah tersebut.
2. Ketika musim kemarau yang panjang sehingga perigi-perigi hampir kering, masyarakat kampung datang mengunjungi beliau dan meminta beliau berdoa agar hujan segera turun. Beliau kemudiannya keluar dari rumah dan menuju ke sebatang pohon pisang yang terletak berdekatan dengan rumahnya. Setelah beliau menggoyang-goyangkan pohon itu, tidak lama selepas itu, hujan pun turun dengan lebatnya.
3. Kawasan yang digenangi air tiba-tiba menjadi kering ketika Tuan Guru Ijai hendak melaluinya. Peristiwa itu berlaku ketika majlis Hol Syeikh Muhammad Arsyad yang ke 189 di Dalam Pagar, Martapura hendak dilaksanakan. Martapura pada masa itu dilanda musim hujan sehingga jalan-jalan dibanjiri air. Setelah Tuan Guru Ijai selamat melewati jalan itu, jalan itu kembali digenangi air sehingga beberapa hari.
4. Ramai orang yang menderita sakit seperti sakit buah pinggang, usus yang membusuk, anak yang tertelan peniti, orang yang sedang hamil dan bayinya songsang atau meninggal dalam kandungan ibunya sehingga memerlukan pembedahan berjumpa dengan Tuan Guru Ijai untuk meminta do’a dan pertolongan. Dengan izin Allah, pesakit-pesakit tersebut sembuh tanpa memerlukan pembedahan berkat doa Tuan Guru Ijai.


Meninggal Dunia
Tuan Guru Ijai meninggal dunia pada hari Rabu, 10 Ogos 2005 bersamaan dengan 5 Rejab 1424 Hijriyyah ketika berusia 63 tahun di rumahnya yang juga merupakan kompleks pengajiannya di Sekumpul, Martapura. Sebelum itu beliau berada di Singapura selama 10 hari untuk mendapat rawatan di Hospital Mount Elizabeth setelah mengalami sakit buah pinggang. Jenazahnya dimaqamkan di kompleks pemakaman keluarga berdekatan dengan Mushalla Ar Raudhah[4] pada petang Rabu itu juga. Ribuan hadir membanjiri kompleks pemakaman. Bandar Martapura pada hari itu sunyi sepi kerana masyarakat berduyun-duyun memberi penghormatan terakhir kepada ulama besar yang sangat berjasa di Martapura ini.
Rujukan
1. http://rifafreedom.wordpress.com/2008/11/05/guru-sekumpul-dalam-kenangan/. Dicapai pada 5 Mei 2010
2. http://bagampiran.blog.com/tag/guru-sekumpul/. Dicapai pada 5 Mei 2010


[1] Qadhi Qudhat di Kalimantan dan merupakan salah seorang pengasas IAIN Antasari Banjarmasin.
[2] Sangat tawadhuk
[3] Nama sebenarnya ialah Tubagus Muhammad. Beliau berasal dari Pandeglang, Banten. Beliau dilahirkan pada tahun 1842 dan meninggal dunia pada tahun 1972 dalam usia 130 tahun. Jenazahnya dimaqamkan di kompleks pemakaman Pondok Pesantren Al-Falak yang letaknya tidak jauh dari Masjid Al-Falak, Desa Pagentongan, Bogor Barat.
[4] Pusat pengajian yang dikendalikan oleh Tuan Guru Ijai


Tuan Guru Ijai (Abah Guru Sekumpul) ketika usia muda

Kompleks Mushalla ar-Raudah

Tuan Guru bersama anak-anaknya

Tuan Guru Ijai (Abah Guru Sekumpul)


Berduyun-duyun masyarakat Martapura bergerak menuju ke kompleks pemaqaman pada hari jenazah Tuan Guru hendak dimaqamkan

Maqam Tuan Guru

Wednesday, April 21, 2010

Tuan Guru Dato Kiyai Shamsuddin Ulama dan Pendidik Terkenal Johor

Almarhum Tuan Guru Dato’ Kiyai Haji Shamsuddin bin Haji Redzuan adalah seorang tokoh ulama yang sangat dihormati khususnya di selatan semenanjung. Beliau dilahirkan di Kepet, Madiun, Jawa Timur pada 11 November 1911.[1] Sebelum berhijrah ke Tanah Melayu, beliau menadah kitab dengan ulama-ulama besar di pesantren-pesantren terkenal di Pulau Jawa seperti Pesantren at-Turmasih, Pesantren Bacem dan Pesantren Tebu Ireng. Beliau menimba ilmu disana dari tahun 1925 hingga 1934.[2] Melihat kepada tempoh pengajian beliau, besar kemungkinan beliau pernah mendalami pengajian kepada Kiyai Haji Hasyim Asy’ari, ulama besar Indonesia yang sangat terkenal itu yang juga merupakan pengasas kepada Pesantren Tebu Ireng.[3] Sementara dari satu sumber yang lain, Tuan Guru Dato’ Kiyai Haji Shamsuddin dikatakan berguru dengan Kiyai Haji Adnan bin Haji Abdul Wahid di Pesantren Termas selama berbelas tahun sebelum berhijrah ke Tanah Melayu.[4] Setelah berhijrah ke Tanah Melayu, beliau mula mendirikan sebuah sekolah agama pada tahun 1940.[5] Sekolah itu dikenali dengan nama Madrasah Shamsuddiniah Assalafiah.[6] Pada peringkat awal penubuhannya, sekolah ini hanya mempunyai satu bangunan sahaja yang mampu menempatkan sekitar 50 orang pelajar lelaki.[7] Dalam keadaan serba kekurangan itu, para pelajar tetap bersemangat untuk menimba ilmu dan ini terbukti apabila ramai di antara pelajar itu dapat menguasai bahasa Arab dengan baik ditambah dengan penggunaan bahasa Jawa dan bahasa Melayu sebagai medium komunikasi bagi menghidupkan suasana pembelajaran.[8] Madrasah ini terletak di Kampung Parit Medan, Kundang Ulu, Muar, Johor Darul Takzim yang jaraknya kira-kira 45 km dari bandar Muar.[9] Madrasah ini masih ada sehingga kini dan pada masa ini ianya dikenali dengan nama Sekolah Menengah Agama Shamsuddiniah.[10]Selain terlibat secara langsung dalam bidang pendidikan, almarhum Tuan pernah dilantik menjadi Imam Kariah dan Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk bagi kawasan Bukit Serampang, Muar, Johor.[11] Almarhum Tuan Guru juga pernah memegang pelbagai jawatan penting di Negeri Johor, antaranya sebagai penasihat Sultan, Ahli Jemaah Majlis Di-Raja Johor, Ahli Majlis Agama Islam Negeri Johor dan Ahli Jawatankuasa Lujnah Fatwa Negeri Johor.[12] Beliau juga bukan sahaja alim dalam ilmu-ilmu agama, bahkan turut mempunyai kemahiran dalam ilmu-ilmu pertahanan diri. Semasa zaman darurat, beliau adalah antara tokoh yang berjuang menentang pihak komunis dan mengerahkan anak-anak muridnya untuk berjuang sama demi mempertahankan maruah agama.[13] Almarhum Tuan Guru menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 1 Ramadhan 1418 bersamaan dengan 9 Januari 1997 ketika berusia 86 tahun.[14] Beliau meninggalkan 18 orang anak termasuklah Shohibus Samahah Dato’ Haji Mohd. Tahrir, mufti Johor sekarang.[15] Atas sumbangan besarnya dalam penyebaran ilmu dakwah Islam di selatan tanahair, beliau telah dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah bagi tahun 1414 H.

Perkembangan madrasah yang diasaskan oleh Tuan Guru
1. Pada peringkat awal penubuhannya, mata pelajaran yang diajar di madrasah ini ialah seperti tauhid, fiqh, nahu, sorof dan lain-lain sama seperti kebanyakan madrasah lain di Tanah Melayu pada waktu itu. Bilangan tenaga pengajar pada waktu itu adalah seramai 8 orang. Pada tahun 1947, kumpulan sulung pelajar telah terhasil di peringkat ibtidaiyah. Antara pelajar yang berjaya menamatkan pengajian dan kemudiannya berkhidmat di madrasah tersebut ialah Ustaz Haji Khanan bin Haji Sulaiman. Beliau bersara pada tahun 1999 setelah berkhidmat selama 51 tahun disitu. Menjelang tahun 1965, madrasah mula mengguna pakai kurikulum pembelajaran yang lazimnya digunakan di sekolah-sekolah Arab dalam negeri Johor. Pada tahun 1969, madrasah kemudiannya didaftarkan sebagai sekolah menengah agama rendah negeri Johor di Jabatan Agama Islam Johor bagi mengiktiraf kewujudan sebagai institusi pendidikan yang sah. Dibawah kurikulum yang baru, waktu sesi pembelajaran terbahagi kepada dua sesi iaitu sesi pagi dan sesi petang. Sesi pagi bermula pada pukul 8 pagi dan berakhir pada pukul 12.30 tengah hari manakala sesi petang bermula pada pukul 2 petang dan berakhir pada pukul 6 petang.
2. Pada awal tahun 1970-an, kelas-kelas akademik kebangsaan turut ditawar kepada para pelajar untuk mengikutinya. Kelas ini-kelas ini dikelola oleh Maktab Adabi dan sesinya bermula di sebelah petang. Kelas-kelas ini dikenali dengan nama Akademik Daya dan dikhususnya untuk pelajar-pelajar tingkatan 3, 4 dan 5. Sekitar tahun yang sama juga, sekolah mula membuka tawaran kemasukan kepada pelajar perempuan yang berminat hendak mendapatkan pendidikan formal yang berasaskan ilmu agama. Rata-rata pelajar berasal dari Selangor, Melaka, Perak, Brunei, Indonesia dan negeri Johor sendiri. perkembangan ini telah menyebabkan wujudnya 2 blok asrama yang lebih selesa untuk pelajar perempuan dan 3 blok asrama untuk pelajar lelaki. Kemudahan lain seperti perpustakaan dan kantin juga dibina pada waktu itu. Pertambahan prasarana ini telah menarik perhatian masyarakat dari negeri-negeri luar Johor untuk menghantar anak-anak mereka belajar disini.
3. Penawaran kelas-kelas akademik kebangsaan telah menarik minat bukan sahaja para pelajar tetapi para pendidik untuk berkhidmat di sekolah tersebut. Sistem pendidikan akademik kebangsaan seperti SRP (kemudiannya PMR) dan SPM mula ditawarkan dan perkara ini telah menarik perhatian golongan pelajar dari hampir seluruh daerah di negeri Johor dan juga dari negeri-negeri yang berhampiran seperti Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Perkembangan pendidikan agama peringkat tinggi yang berasaskan Kurikulum Maahad Bu'uth al Azhar telah diterima dan digunapakai di sekolah ini dan ianya menjadi sebab utama para pelajar berminat untuk menimba ilmu di sekolah ini.
4. Sekitar tahun 1980-an, pentadbiran sekolah banyak memberi perhatian kepada penyediaan prasarana dan membaik-pulih kemudahan sedia ada. Dengan bantuan pihak Jabatan Agama Islam Johor, asrama perempuan telah di baik pulih untuk keselesaan para pelajar. Kemudahan lain seperti bekalan air, elektrik, kipas dan kerusi juga telah disediakan agar pelajar dapat belajar dengan suasana yang kondusif. Untuk kemudahan riadah, gelanggang sepaktakraw dan badminton telah dibina.
Hasil tulisan Tuan Guru
Tuan Guru diriwayatkan ada mengarang kitab. Dua kitab yang dikenalpasti adalah karangannya ialah
1. Majmuu'atush Salawaat – kitab ini mengandungi himpunan salawat yang masyhur. Ini termasuklah Salawat Tafrijiyyah dan Salawat Syifa`[16]
2. Doa Warisan – Judul asal kitab ini ialah Risālah al-Da'awāt. Ia diterbitkan buat kali pertama pada tahun 1956 dalam edisi Jawi. Kitab ini dikemaskini semula oleh Haji Abdul Rahman Rukaini dalam bahasa Melayu dengan judul “Doa Warisan” dan diteribitkan oleh Awan Metro (M) Sdn. Bhd., Semenyih, Selangor Darul Ehsan pada tahun 2005. Kandungan didalam kitab ini disusun untuk menjadi panduan kepada muslimin dan muslimat yang tidak memahami maksud doa. Oleh itu, setiap doa di dalam kitab ini disertakan pengertiannya agar pembacanya dapat beramal dengan penuh penghayatan.[17]

[1] Rujuk http://www.smas.edu.my/latarbelakang. Dicapai pada 21 April 2010
[2] Rujuk http://www.pij.gov.my/smas/sejarah.html. Dicapai pada 21 April 2010
[3] Tokoh ulama yang berasal dari Demak, Jawa Tengah ini dilahirkan pada 10 April 1875 bersamaan dengan 24 Dzulqaedah 1287 H dan meninggal dunia pada 25 Julai 1947. Jenazahnya dimakamkan di Tebu Ireng, Jombang. Salasilahnya dikatakan sampai kepada Sunan Giri, salah seorang dari tokoh Wali Songo yang sangat terkenal di Alam Melayu. Pada tahun 1892, beliau berangkat ke Makkah untuk mendalami pengajian. Disana beliau berguru dengan ulama-ulama besar seperti Syeikh Ahmad Khatib dan Syeikh Mahfudh at-Tarmisi. Pada tahun 1899, beliau pulang dari Makkah dan kemudiannya mendirikan Pesantren Tebu Ireng, yang kemudiannya menjadi pesantren terbesar dan terpenting di Pulau Jawa pada abad 20. Pada tahun 1926, beliau menjadi salah satu tenaga utama yang mengasaskan sebuah organisasi massa Islam yang terbesar di Indonesia yang diberi nama Nadhlatul Ulama (NU) yang bererti kebangkitan ulama.
[4] Rujuk http://antalhaq.blogspot.com/2008/07/doa-warisan_13.html. Dicapai pada 21 April 2010
[5] Rujuk http://www.pij.gov.my/smas/sejarah.html. Dicapai pada 21 April 2010
[6] Ibid
[7] Ibid
[8] Ibid
[9] Rujuk http://www.smas.edu.my/latarbelakang. Dicapai pada 21 April 2010
[10] Ibid
[11] Rujuk http://antalhaq.blogspot.com/2008/07/doa-warisan_13.html. Dicapai pada 21 April 2010
[12] Ibid
[13] Ibid
[14] Ibid
[15] Ibid
[16] Rujuk http://smashamsuddiniah.wordpress.com/latarbelakang/. Dicapai pada 21 April 2010
[17] Rujuk http://antalhaq.blogspot.com/2008/07/doa-warisan_13.html. Dicapai pada 21 April 2010


Tuan Guru Dato' Kiyai Haji Shamsuddin bin Haji Redzuan



Kitab Majmuu'atush Salawaat



Kitab Doa Warisan

Blok asrama lelaki SMA Shamsuddiniah



Blok asrama perempuan SMA Shamsuddiniah



Perpustakaan sekolah



Gelanggang sukan sekolah

Thursday, March 25, 2010

Tuan Guru Haji Musa ulama berjasa di Bukit Marak

Almarhum Tuan Guru Haji Musa Mat Tahir al-Kelantani dilahirkan pada tahun 1895 di Kampung Jeram, Pasir Puteh, Kelantan. Ayahandanya bernama Mat Tahir manakalanya bondanya bernama Wan Sena. Kesungguhan ibubapanya menghantar beliau mempelajari ilmu agama semenjak dari usia yang kecil telah mencambah minat beliau yang sangat mendalam dalam bidang itu. Selain mendalami pengajian di tempat asalnya, beliau turut menimba ilmu di beberapa pondok terkenal seperti di Bunut Payong dan juga pondok-pondok sekitar Patani, Thailand. Sepanjang hayatnya, Tuan Guru Haji Musa telah berkahwin sebanyak tiga kali. Perkahwinan kali pertama adalah dengan gadis sekampungnya ketika dia berusia awal 20-an. Beliau memperolehi seorang anak lelaki yang diberi nama Idris. Namun jodoh perkahwinan mereka dikatakan tidak panjang. Tuan Guru berkahwin buat kali kedua setelah pulang dari Makkah. Beliau berkahwin dengan Hajjah Che Wook yang berasal dari Kampung Seterpa, Bukit Marak. Mereka dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Noor (Haji) dan Jah (Hajjah). Tuan Guru berkahwin lagi buat kali ketiga[1] dengan Hajjah Che Bidah Awang Kechik[2], bekas isteri kepada Dato' Amar Diraja Kelantan, Dato' Nik Mustapha Fadhil Bin Dato' Nik Mahmood[3]. Ketinggian budi pekerti Hajjah Che Bidah[4] telah menambat hati beliau dan melalui perantaraan anak muridnya, beliau telah melamar Hajjah Che Bidah sebagai teman hidupnya. Hasil perkongsian hidupnya dengan Hajjah Che Bidah, beliau telah dikurniakan tiga anak lelaki dan empat anak perempuan. Antara anak beliau yang menjadi tokoh masyarakat ialah anak keenam beliau iaitu Yang Berbahagia Tan Sri Dato' Seri Panglima Haji Annuar Haji Musa, Mantan Menteri Kabinet, Malaysia dan anak bongsu beliau iaitu Tuan Haji Ahmad Termizi Haji Musa, Ketua Sektor Pelajaran di JPN Kelantan.

Pendidikan
Tuan Guru Haji Musa berangkat ke Makkah buat kali pertama dalam tahun 1921. Setelah membulatkan tekad untuk mendalami ilmu disana, beliau menaiki kapal laut dengan membawa wang belanja sebanyak RM 225. Wang itu digunakan untuk tujuan perkhidamatan kapal menuju ke Makkah. Beliau menggunakan khidmat Syeikh Osman untuk kesana. Perjalanan bermula dari Singapura ke Jeddah sebelum tiba di Makkah dalam tempoh berbulan-bulan lamanya. Di Makkah, beliau berguru bertahun-tahun lamanya sebelum pulang semula ke kampung halamannya. Pada tahun 1936, beliau sekali lagi berangkat ke Makkah, kali ini bersama isterinya Hajjah Che Wook dan anak-anak mereka. Di Makkah, Tuan Guru Haji Musa telah menadah kitab kepada ulama-ulama besar yang mengadakan halaqah pengajian di Masjidil Haram. Beliau mendalami ilmu Al-Quran dengan Syeikh Ahmad Hijazi. Dengan Sheikh Ahmad Hijazi, beliau telah didedahkan dengan pelbagai cabang ilmu Al-Quran seperti qiraat, hafazan, tajwid, nafek, warash, qanun, mantik dan sebagainya. Beliau juga berkesempatan menimba ilmu dengan ulama besar Masjid Nabawi, Madinah al-Munawwarah iaitu Syeikh Hassan Ibrahim Shaier yang berasal dari Mesir. Syeikh Hassan Ibrahim merupakan seorang mahaguru dalam bidang tajwid, tarannum dan sebagainya. Tuan Guru Haji Musa telah berpeluang memperdengarkan bacaan ayat-ayat Suci Al-Quran ini kepada ulama besar Masjid Nabawi tersebut dan mendapat pengiktirafan dari ulama besar Madinah itu[5] Pengiktirafan yang diberikan oleh Syeikh Hassan Ibrahim kepada Tuan Guru Haji Musa adalah satu penghormatan kepada ulama Alam Melayu. Ini adalah kerana ijazah yang dimiliki oleh Tuan Guru Musa pada waktu itu adalah setaraf dengan ijazah PhD dalam bidang al-Quran pada masa ini. Syeikh Hassan Ibrahim bukanlah calang-calang ulama. Beliau sangat dihormati dalam sejarah ulama' di Arab Saudi dimana beliau telah mengajar hampir 100 tahun dalam Masjid Nabawi, Madinah dan meninggal pada usia hampir 120 tahun. Di Makkah, Tuan Guru Haji Musa turut berkesempatan menadah kitab kepada Syeikh Nuh Jamaluddin Al-Kelantani. Sekembalinya dari Makkah, Tuan Guru Haji Musa membuka sebuah madrasah di Cabang Tiga, Bukit Marak. Pada tahun 1947, Tuan Guru Haji Musa secara rasmi telah mendapat pengiktirafan dan kebenaran daripada Majlis Agama Islam dan Adat-Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) untuk membuka sekolah agama di Bukit Marak dan berdakwah diseluruh negeri Kelantan. Selain dari mengajar di madrasahnya sendiri, Tuan Guru Haji Musa sangat gigih menyebarkan ilmu dengan berulang alik mengajar kitab di merata tempat antaranya seperti di Sekitar Kg. Padang Lati, Atas Pasir, Banggol Telipot, Pasir Puteh, Limau Kasturi, Manik Urai dan Laloh di Ulu Kelantan. Bahkan beliaulah orang yang bertanggungjawab memulakan solat Jumaat pertama di Kampong Laloh, Kuala Krai. Walaupun terpaksa menaiki bot galah, keretapi dan sebagainya, namun demi dakwah dan menyebarkan ajaran Islam, beliau sanggup mengetepikan segala kepayahan yang beliau hadapi. Pada tahun 1948, beliau berangkat sekali lagi ke Makkah setelah berasa rindu yang amat sangat hendak mengunjungi Baitullah. Kali ini beliau menggunakan khidmat Syeikh Abdul Halim dan menaiki kapal laut di pelabuhan Pulau Pinang. Beliau berangkat ke Makkah bersama Hajjah Che Bidah, anak perempuannya Zaunah (Hajjah) serta dua orang anak angkatnya iaitu Syeikh Mohammad Qurra' dan Mohammad Saghir. Mereka menetap disana selama 3 tahun. Syeikh Mohammad Qurra' kemudiannya menjadi rakyat Arab Saudi, menetap di Ajyad Sup dan mengajar Al-Quran di Masjidil Haram sehinggalah meninggal dunia di Makkah manakala Mohammad Saghir menetap di Jabal Sudan dan meninggal dunia di Makkah. Tuan Guru turut ditawarkan menjadi warga Arab Saudi, namun beliau menolaknya memandangkan 2 orang anaknya masih berada di Malaya pada ketika itu. Selain itu, beliau juga berhasrat hendak menyumbangkan khidmat bakti dengan berdakwah, mengajar agama dan Al-Quran kepada masyarakat setempat di negeri kelahirannya.

Jasa-jasa beliau dalam dakwah dan penyebaran ilmu agama
1. Beliau menjadi pelopor kepada pembelajaran Al-Quran secara qiraat dimana hanya beliau dan Mufti Kelantan Dato' Haji Muhammad Nor sahaja yang arif di bidang Qiraat 7 Al-Quran diwaktu itu (Tujuh cara pembacaan Al-Quran)
2. Beliau mengajar kitab dan berdakwah bukan sahaja di madrasahnya tetapi di seluruh tempat di negeri Kelantan
3. Beliau pernah menjadi hakim tilawah Al-Quran peringkat Negeri Kelantan yang diadakan di Padang Bank (kini Padang Merdeka) Kota Bharu.
4. Beliau sentiasa menjadi tempat rujukan orang ramai untuk memohon bantuan, pandangan dan nasihat berkaitan hukum-hakam, masalah rumah tangga dan sebagainya.
5. Beliau pernah melatih dan membimbing qari terkenal Kelantan antaranya Haji Ahmad Som Pergau dan Haji Mokhtar dalam bidang tajwid sehingga berjaya muncul sebagai johan Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa
6. Beliau menjadi pelopor solat Jumaat di Kampong Laloh, Kuala Krai
7. Beliau mendidik dan memelihara ramai anak angkat yang terdiri daripada anak-anak yang bermasalah dan kurang didikan agama serta miskin. Anak angkat Tuan Guru Haji Musa ada di merata tempat antaranya seperti Encik Junuh di Kg. Bayam Kota Bharu, Allahyarham Hajjah Fatimah di Felda Jelu, Raub, Pahang, Encik Razali di Merapoh, Pahang, Allahyarham Encik Yusof Lind, Kuala Lumpur iaitu bekas suami seniwati Dayang Sulu dan ramai lagi.

Keistimewaan
Beliau sangat tegas menegakkan syiar Islam dimana sahaja beliau berpijak. Sebagai contoh, beliau melarang keras permainan Mak Yong, Wayang Kulit, Dikir Barat, Menora yang dimainkan di sekitar kampongnya semasa hayat beliau sekiranya permainan itu mengandungi unsur-unsur yang bercanggah dengan syariat Islam. Beliau dikatakan seorang yang berkat dan masin mulutnya, malahan ada sesetangah pihak yang mengatakan beliau adalah wali Allah, Wallahua'lam. Beliau dikatakan mempunyai kepandaian membaca khasiat batu permata. Dikatakan bahawa kepandaian ini beliau perolehi setelah mempelajarinya dari orang arab Maghribi ketika menetap di Tanah Suci Makkah. Tuan Guru Haji Musa amat berdisiplin dan sangat kemas peribadinya sehinggakan setiap perkara yang dilakukannya dicatit satu persatu termasuk apa yang dimakan setiap hari. Rumahnya menjadi tumpuan penduduk kampung menyimpan barang berharga ketika musim huru-hara atau darurat. Pernah satu hari anak murid beliau ternampak puluhan penjahat berada di hadapan madrasah. Selesai berdoa, Tuan Guru Haji Musa mempelawa mereka naik ke madrasah dan dijamu mereka makanan pulut sehingga mereka kekenyangan. Akibat kekenyangan dan rasa malu atas kebaikan Tuan Guru Haji Musa, ketua penjahat itu kemudiannya berikrar dan berjanji tidak akan mengganggu keamanan disekitar kampung tersebut. Begitu juga sewaktu Jepun menduduki Tanah Melayu. Bukit Marak menjadi tempat askar Jepun melaksanakan hukuman pancung terhadap mereka yang bersalah. Namun ketua askar Jepun amat menghormati Tuan Guru Haji Musa sehinggakan terdapat beberapa orang dilepaskan daripada hukuman pancung akibat menghormati beliau. Ketika peristiwa darurat 13 Mei 1969 meletus, Kiyai Haji Salleh daripada Johor telah datang ke Masjid Muhammadi Kota Bharu untuk memberi pesanan dan bertemu dengan masyarakat Kelantan. Tuan Guru Haji Musa telah menjemput rombongan Kiyai Haji Salleh datang ke madrasahnya di Bukit Marak . Tuan Guru dikatakan telah membuat selendang merah dan menempah parang panjang untuk mempertahankan diri. Sepanjang tempoh darurat itu, Tuan Guru Haji Musa dikatakan memenuhkan masanya dengan beramal dan bersuluk di dalam biliknya

Sahabat dan anak angkat yang menjadi alim-ulama
1. Almarhum Tuan Guru Haji Daud Bukit Abal mempunyai pertalian keluarga dengan Tuan Guru Haji Musa[6]
2. Almarhum Tuan Guru Sidi Abdul Latif , Seberang Takir Terengganu
3. Almarhum Tuan Guru Haji Abdul Aziz Pengasas Pondok Pasir Tumboh
4. Almarhum Tuan Guru Haji Nik Mat Alim, Ayahanda kepada Dato' Nik Aziz Nik Mat
5. Almarhum Sheikh Mohammad Qurra', Ajyad Supp, Makkah
6. Allahyarham Haji Mohammad Saghir, Jabal Sudan Makkah


Tuan Guru Haji Musa, yang telah ditauliahkan tariqat al-Ahmadiah al-Idrisiyyah al-Rasyidiyyah ad Dandarawiyah di Makkah al-Mukarramah telah kembali ke rahmatullah pada tahun 1970 sewaktu berusia 75 tahun, dan telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Atas Pasir, Bukit Marak. Beliau telah menghembuskan nafasnya yang terakhir dirumahnya pada pagi Jumaat setelah mendapat serangan jantung dan tidak sedarkan diri selama 3 hari. Ribuan anak murid, keluarga dan kenalan telah datang menziarahi jenazah beliau pada hari tersebut. Bagi mengenang jasa dan sumbangannya yang sangat besar kepada masyarakat, nama kampung "Cabang Tiga telah diabadikan dengan namanya menjadi nama Cabang Tiga Haji Musa, Bukit Marak. Begitu juga dengan Masjid Tuan Guru Haji Musa, Bukit Marak.


Almarhum Tuan Guru Haji Musa Mat Tahir al-Kelantani




Rujukan utama
Tuan Guru Haji Musa Mat Tahir al-Kelantani (Cabang Tiga Haji Musa,Bukit Marak). http://ahmadiah-idrissiah.co.cc/musa.html. Dicapai pada 26 Mac 2010



[1] Setelah menuntut beberapa lama di Makkah, akhirnya Tuan Guru Haji Musa bersama keluarganya kembali semula ke tanah air dan membuka madrasah di Cabang Tiga, Bukit Marak. Tidak lama selepas itu, isterinya Hajjah Che Wook telah jatuh sakit dan tidak dapat berjalan. Hajjah Che Wook telah mengizinkan agar Tuan Guru Haji Musa berkahwin lagi untuk menjaga makan minum dan kebajikannya.
[2] Tuan Guru bertemu dengan Hajjah Che Bidah ketika ketika beliau menumpang sembahyang di rumah seorang kenalan di Pulau Belongan, Bachok
[3] Dato' Nik Mahmood merupakan Dato' Perdana Menteri Kelantan ketika itu
[4] Mempunyai salasilah keluarga dengan Tok Bachok
[5] Cop Mohor Ulama Besar ini telah diperturunkan dalam ijazah Tuan Guru Haji Musa
[6] Nama penuh ahli sufi ini ialah Haji Daud Shamsuddin bin Haji Omar al-Libadi. Tokoh sufi ini lahir di Kampung Kerasak, Limbat, Kota Bharu sekitar tahun 1903. Bondanya, Wan Halimah binti Haji Ismail adalah merupakan adik kepada Tuan Guru Haji Wan Ahmad bin Haji Ismail (terkenal dengan panggilan Haji Awang Limbat). Manakala ayahandanya, Haji Omar bin Haji Taib berasal dari Kampung Mentera, Bukit Marak. Beliau menadah kitab kepada Haji Awang Limbat, Haji Sulaiman Kubang Kachang,Tok Kenali, Tok Seridik, Haji Omar Sungai Keladi, Haji Nik Abdullah Khatib,Yaakub Legor dan Tok Khurasan. Beliau kemudiannya berangkat ke Makkah dan menimba ilmu kepada Syeikh Umar Hamdan, Syeikh Muhammad Ali al-Maliki, Syeikh Hasan al-Masyat, Syeikh Hasan al-Yamani, Syeikh Muhammad al-Azhari dan Syeikh Muhammad Shafie Kedah (Tok Shafie Kedah). Dari Syeikh Muhammad al-Azhari dan Syeikh Muhammad Shafie inilah, beliau banyak mendapat pendedahan tentang amalan tariqat Ahmadiyah. Dua hasil tulisannya yang sangat terkenal sehingga ke hari ini ialah Risalat al-Aqaid wa al-Fawaid (cetakan pertama 1965) dan Risalat al-Tasawuf (diedar secara stensilan pada awal tahun 1970-an) yang sempat beliau susun setakat 8 siri sahaja kerana masalah kesihatan yang dihadapinya. Tuan Guru Haji Daud meninggal dunia di Bukit Abal ketika pondoknya sedang berkembang maju iaitu pada pukul 2 petang Ahad 1 Safar 1396 bersamaan 1 Februari 1976. Warisan ilmunya kemudiannya disebarkan pula oleh tokoh-tokoh seperti Tuan Guru Haji Ghazali Tunjong, Pak Da Awang Kampung Pek, Ustaz Mustafa Muhammad al-Ahmadi (pengarang buku Mengenal Diri dan Wali Allah yang sangat popular itu), Ustaz Wan Hasan Bukit Tanah (ahli Jemaah Ulama MAIK), Drs Abdul Rahman Haji Ahmad (Timbalan Ketua Pengelola Dakwah Halaqat Negeri Kelantan) dan Prof Dr. Hamdan Hassan (Universiti Brunei Darussalam)