Bagan Datoh[1]
letaknya ialah di sebelah selatan negeri Perak. Bagan Datoh mempunyai sebuah
pekan yang sederhana besar. Bandar yang terdekat dengannya ialah Teluk Intan,
lebih kurang 45 km jaraknya. Pekerjaan utama penduduk setempat ialah menjadi
nelayan, berkebun dan mengusahakan ladang kelapa. Selain Sungai Dulang yang
menjadi mercu tanda para peminat pengail udang dan Beting Beras Basah yang
dikaitkan dengan adat istiadat pertabalan Sultan Perak, Bagan Datoh tidaklah
begitu terkenal berbanding kawasan-kawasan lain dalam negeri Perak misalnya
Taping dan daerah Larut Matangnya yang terkenal dengan kawasan pelancongan dan
sejarahnya atau Kuala Kangsar yang terkenal dengan Bandar Dirajanya. Namun
seperkara yang mencuri tumpuan tentang Bagan Datoh ialah kebanjiran alim-ulama
dan pondok di kawasan itu. Secara tidak langsung, Bagan Datoh boleh diiktiraf
sebagai pusat institusi agama di negeri Perak berdasarkan ramainya alim-ulama
dan pondok yang terdapat di tempat itu. Antara nama-nama besar yang boleh diingati
ialah seperti Kiyai Mohd
Yasin Thoha Al-Bakri yang telah meningal dunia pada tahun 1978 dan dikebumikan
di Kampung Sungai Batang Baruh, Tuan Guru Dato’ Haji Ghazali Arshad yang
mendirikan pusat pengajian di Batu 26, Tuan Guru Haji Abdul Rahman di Teluk
Penikam, Tuan Guru Kiyai Radin Haji Siraj di Sungai Nipah Darat, Tuan Guru Haji
Abdullah di Sungai Nipah Baroh, Tuan Guru Haji Abbas dan Tuan Guru Haji
Masduki di Sungai Tiang Darat, Tuan Guru Haji Radzi di Selekoh, Tuan Guru
Haji Arshad, pendiri institusi al-Ulum al-Syar’iyyah di Batu 20 dan Tuan Guru Haji Adnan di Tanjung
Bayan.
Yang hendak dibicarakan dalam penulisan ini ialah Tuan Guru Dato’ Haji
Ghazali Arshad, pengasas institusi pendidikan Irshadiah yang sehingga kini
masih lagi menawarkan pengajian kepada masyarakat sekitar.
Riwayat Hidup
Tuan Guru dilahirkan di Pasir Panjang Laut, Sitiawan,
Perak pada 13 Rabiul Akhir 1319 Hijriyyah, sekitar tahun 1901 dalam tahun
Masehi. Keluarganya amat menitikberatkan bidang agama. Diriwayatkan moyangnya
yang bernama Shaykh Mansur[2]
itu berasal dari negara Arab Yaman, manakala ibunya, Hajah Puteri Madinah Mat
Saman berketurunan Megat Terawis, pahlawan Perak yang terkenal itu. Tambahan
pula suasana sekitar perumahannya adalah berdekatan dengan kediaman tokoh-tokoh
agama setempat seperti Kadi Haji Alias Hussein dan Kiyai Haji Abdul Latif Abdul
Hamid.
Pendidikan
Sejak dari usia kecil, Tuan Guru telah didedahkan dengan
pendidikan. Pada peringkat awal, Tuan Guru dihantar belajar ke Sekolah Melayu
Pasir Panjang Laut selama lima tahun. Kemudian diriwayatkan beliau beliau
dimasukkan ke Pondok Lubuk Merbau. Tidaklah diketahui pondok Lubuk Merbau yang
dimaksudkan ini terletak di mana iaitu samada di Perak atau di Kedah kerana di Kedah juga ada tempat yang bernama
Lubuk Merbau. Namun selepas itu, beliau dikatakan telah berguru kepada ulama
Kedah yang sangat terkenal pada ketika itu iaitu Tuan Hussain Kedah. Sayangnya
ia pada gurunya itu sehingga ia ikut gurunya ke mana gurunya itu mengajar
seperti di Pondok Bagan Ulu, Pantai Merdeka dan Pondok Selengkoh, Sungai Limau,
Yan. Selanjutnya ia menggurui pula kepada Shaykh Salleh Masri di Madrasah
al-Masriyah, Tanah Liat, Bukit Mertajam selama lima tahun.
Awal dekad
1920-an, Tuan Guru belayar ke Makkah. Beliau diriwayatkan pernah menimba ilmu
kepada ulama-ulama ternama di Madrasah Shaulatiyah al-Hindiyah dan juga alim-ulama yang mendirikan halaqah pengajian di
Masjidil Haram.
Antara
guru-gurunya ketika berada di Makkah ialah seperti Shaykh Hasan Masyath – Tuan Guru belajar ilmu hadith kepadanya; Shaykh
Wan Ismail bin Wan ‘Abdul Qadir al-Fathani (Pa’ Da Eil) – ilmu-ilmu alat,
hadith, falak, nahwu dan balaghah; Syaikh ‘Ali Maliki – Fiqah Maliki dan
balaghah; Syaikh Ahmad Khurasan – Tuan Guru tinggal bersamanya selama 2 tahun di Thaif
sekaligus menjadi khadim dan anak angkat gurunya). Ilmu yang dipelajari ialah nahwu,
munadzarah, mustholah hadith, usuluddin dan usul fiqh; Shaykh Harun Kambang
Minangkabau – Falak/Miqat; Sayyid Hussin ‘Abdunnabi – tyasawwuf; dan Syaikh
Ibrahim Zaidan – ilmu gerhana.
Agak lama
Tuan Guru berada di Makkah menyebabkan ramai pula pelajar dari Tanah Melayu
yang kemudian hari menimba ilmu pula kepadanya. Tuan Guru kembali semula ke
tanahair sekitar tahun 1932, iaitu setelah lebih 10 tahun beliau berada di
Tanah Suci.
Mendirikan
madrasah
Setelah
balik ke tanahair, Tuan Guru melangsungkan perkahwinan dengan Hajjah Zabedah di Kampung Matang Kunda, Bagan Datoh. Isterinya
adalah merupakan adik kepada Haji Arshad, seorang tokoh di Bagan Datoh yang sangat mengambil berat tentang perkembangan ilmu agama khususnya pendidikan berasaskan pondok atau madrasah. Setelah
berkahwin, Tuan Guru mula mendirikan madrasah. Bangsal kecil tempat ia
melangsungkan perkahwinan dijadikan lokasi mengajar. Mengetahui akan niat adik iparnya hendak membangunkan madrasah maka Haji Arshad tanpa berfikir panjang menghulurkan bantuan dalam bentuk sokongan moral serta harta bendanya sekali. Bagi mengenang jasanya, Tuan Guru telah menamakan madrasahnya
sebagai Irshadiah sempena mengambil nama abang iparnya yang telah banyak berkorban membantunya.
Pada
peringkat awal penubuhan, Irshadiah menawarkan pengajian secara halaqah iaitu
mengikut sistem pondok. Bidang pengajian adalah seperti fiqah, tasawwuf, tajwid,
hadith, tafsir dan bahasa Arab. Makin hari bilangan pelajar makin bertambah.
Bangsal yang kecil itu tidak dapat menampung bilangan pelajar yang semakin
ramai. Akhirnya pada tahun 1935, Irshadiah berpindah ke sebidang tanah wakaf di
suatu tempat yang dipanggil Hujung Matang (kini dikenali sebagai Batu 26, Bagan
Datoh). Bilangan pelajar pada ketika itu ialah seramai 30 orang.
Perang Dunia
ke-2 sedikit sebanyak mengganggu perjalanan madrasah. Tuan Guru dan keluarga
terpaksa berhijrah ke Sungai Manik Teluk Intan ekoran kekacauan rejim tentera
Jepun. Setelah Perang Dunia ke-2 berakhir, Tuan Guru kembali membangunkan
madrasah. Pada tahun 1960, madrasah mendapat bangunan baru yang dibina hasil
dari kutipan derma orang ramai serta kerjasama ahli Jawatankuasa yang dilantik
daripada golongan para pelajarnya. Pengajian akademik mula diperkenalkan namun pengajian halaqah ala pondok tetap diteruskan dan dijalankan disebelah malam. Sepuluh tahun kemudian, struktur operasi
sekolah berubah menjadi Sekolah Menengah Agama Irshadiah Persendirian. Perubahan
ini meliputi sesi pembelajaran dua bahagian iaitu bahagian arabiah yang diajar
pada sesi pagi dan bahagian akademik di sebelah petang. Pendidikan Arabiah
diajar sehingga peringkat Sijil Tinggi Agama (Syahadah Thanawi) dan diiktiraf
oleh universiti-universiti Timur Tengah khususnya Al-Azhar, Mesir. Manakala
pendidikan akademik pula serupa dengan sistem sekolah menengah kerajaan yang
menyediakan pendidikan menengah rendah hingga ke peringkat menengah atas yang
diwujud berdasarkan daya usaha Kesatuan Pelajar-pelajar Islam Perak (KPIP).
Sekolah ini
terus maju menjadi salah sebuah pusat pengajian agama terulung di Negeri Perak.
Statistik tahun 1993 menunjukkan sekolah tersebut mempunyai seramai 674 pelajar
yang dikendalikan kira-kira 36 orang tenaga pengajar yang mengajar 13 kelas
sesi pagi dan petang. Penawaran pengajian dua bahagian tersebut telah menarik
minat ramai pelajar dari seluruh pelusuk Tanah Melayu termasuk Brunei.
Keahlian dalam bidang agama
Heboh orang ramai menceritakan perihal
alimnya Tuan Guru dalam bidang agama setelah pulang ke tanahair akhirnya sampai
jua ke pengetahuan Sultan Perak pada ketika itu iaitu Sultan Iskandar Shah
Marhum Kaddasallah. Kealiman Tuan Guru sebenarnya telah diketahui oleh
penuntut-penuntut ilmu ketika berada di Makkah lagi. Beliau dikatakan memiliki kemahiran dalam pelbagai bidang ilmu khususnya
balaghah, mantik, falakiah, tafsir, hadith dan fiqah. Sebab
itu apabila Tuan Guru pulang ke tanahair, banyak pihak yang ingin bertemu
dengannya samada hendak berguru ataupun mendapatkan pandangan tentang
hukum-hakam dan sebagainya. Diriwayatkan Sultan Iskandar pernah menyatakan
hasratnya hendak melantik Tuan Guru sebagai guru agama Istana yang kedudukannya
setaraf seperti Mufti namun ditolak dengan baik oleh Tuan Guru kerana hendak
memberi perhatian kepada madrasah yang diasasnya. Tuan Guru walaubagaimanapun menerima
tawaran Sultan dengan menjadi Ahli Mesyuarat Ulama Perak dengan tujuan untuk
memberi kefahaman agama kepada rakyat negeri Perak. Baginya, menyebarkan ilmu
kepada masyarakat adalah satu kewajiban. Menurutnya, ahli ilmu yang baik itu
adalah mereka yang sentiasa berusaha hendak melahirkan generasi ilmuwan
berikutnya. Katanya, “Penuntut agama adalah umpama setandan buah
kelapa, ada yang gugur dibuat gulai untuk orang lain dan ada juga yang gugur
dan bercambah. Yang dibuat gulai itu menunjukkan kurang tersebar ilmunya
manakala yang bercambah pula bagi orang yang dapat menyebarkan ilmunya sehingga
dapat melahirkan para ilmuan.”
Kemudian
pada tahun 1964, dia ditawarkan jawatan Mufti Perak atas restu Sultan Idris
Shah II tetapi ditolaknya juga secara lembut kerana Madrasah Irshadiah masih
memerlukan kudrat dan khidmatnya. Pada tahun 1976, Tuan Guru telah
dilantik menjadi Pengerusi Jawatankuasa Menilai Darjah Kealiman Calon-calon
Mufti Kerajaan Negeri Perak.
Anak
muridnya
Anak-anak
muridnya ramai yang menjadi alim-ulama. Antaranya ialah seperti Tuan Guru Haji ‘Ali Kemboja (mantan
Mufti Kemboja), Tuan Guru Haji ‘Abbas bin Haji Muhammad Saman (Mudir Madrasah
‘Aziziah, Parit), Dato’ Haji ‘Abdul Malek (Mantan Mufti Perak), Tuan Guru Dato’
Haji Ghazali ‘Abdullah Senggora (mantan Qadhi Besar dan Mufti Selangor/Perak), Ustaz
Haji ‘Abdul Halim (mantan Qadhi Besar Perak), Tuan Guru Haji ‘Abdul Samad Noh (bekas
ahli Majlis Fatwa Perak/ Ketua Dewan Ulama PAS), Drs Ahmad bin Tuan Guru Haji
Ghazali (anak beliau), Ustazah Mahmudah bin Tuan Guru Haji Ghazali (anak
beliau), Brig. Jen (B) Dato’ Haji ‘Abdul Hamid Zainal ‘Abidin (mantan Ketua
Pengarah JAKIM), Dato’ Haji Saleh Haji Ahmad (Ahli Panel Kajian Syariah
Kebangsaan), Ustaz Haji Ahmad Ghazali (pesara Qadhi Besar Perlis), Tuan Guru Haji Muhammad
Hasyim bin ‘Abdul ‘Aziz ar-Rawi, Kajang (Pondok Jenderam Hilir), Tuan Guru Haji
Hasyim Abu Bakar (Mudir Pondok Pasir Tumboh, Kelantan) , Tuan Guru Shaykh
Mahmud Janggut Merah, Bukit Besar, Kota Sarang Semut, Kedah, Tuan Guru Dato
Haji Hashim Anang (menantu kemudiannya memimpin Irshadiah), Ustaz Ahmad Khayat
(menantu) dan Kiyai Haji Hasan Ma’sum (Mufti Sumatera).
Pengiktirafan
Sebelum Tuan
Guru berpulang ke Rahmatullah pada 3 Muharram 1418 Hijriyyah bersamaan 10 Mei
1997 dalam usia 98 tahun, beliau sempat menerima beberapa anugerah bagi
mengenang sumbangan besar dan jasanya dalam bidang pendidikan dan dakwah Islam.
Pada tahun 1989, Tuan Guru telah dianugerah Tokoh Ulama Silam oleh Universiti
Kebangsaan Malaysia. Tidak lama selepas itu, beliau menerima anugerah Tokoh
Maal Hijrah peringkat daerah Hilir Perak. Setahun selepas itu, beliau dinobatkan
sebagai Tokoh Ma’al Hijrah Negeri Perak. Dan selanjutnya beliau menerima darjah
kurnia pingat Dato’ Paduka Mahkota Perak
(DPMP) daripada Sultan Perak yang membawa gelaran Dato’ pada tahun 1992.
Rutin
hariannya
Tuan Guru
sangat gemar menelaah kitab. Walaupun dalam keadaan usia lanjut, beliau
diriwayatkan sangat tekun membaca kitab-kitab lama atau yang sinonim dipanggil
kitab kuning itu. Apapun, beliau tidak meninggalkan sebarang karya tulis. Mungkin
kerana kesibukan beliau menguruskan madrasah menyebabkan beliau tidak
berkesempatan untuk menghasilkan apa-apa bentuk penulisan. Namun, segala penat
jerihnya terbayar apabila ramai anak muridnya menjadi tokoh-tokoh terkenal di
tempat masing-masing.
Daftar
Pustaka
http://hijrahpermata.blogspot.com/2009/04/tuan-guru-ghazali-batu-26-penasihat.html.
Dicapai pada 2 November 2013
http://smarish.blogspot.com/2009_07_01_archive.html.
Dicapai pada 13 November 2013
http://geopractice.wordpress.com/2009/02/05/tokoh-agama-tempatan-bg-datoh/.
Dicapai pada 13 November 2013
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=457033834328989&set=pb.152120438153665.-2207520000.1384310771.&type=3&theater.
Dicapai pada 13 November 2013
http://zabidin13.wordpress.com/2008/07/03/dato%E2%80%99-haji-ghazali-arshad-tokoh-pendakwah-perak/.
Dicapai pada 22 November 2013
http://catatanfirdausi.blogspot.com/2010/09/matang-kunda-bagan-datoh-perak.html.
Dicapai pada 22 November 2013
Gambar lama barisan tenaga pengajar dan pelajar Madrasah Irshadiah
Bangunan lama Madrasah Irshadiah
Pandangan hadapan sekolah
Satu sisi bahagian surau
Papan tanda sekolah
Tuan Guru menerima pingat
assalamualaykum tuan.. tulisan yang menarik. saya adalah bekas pelajar sek men agama irshadiah dan merupakan tenaga pengajar sesi 2013. ada fakta yang harus diperbetulkan berkaitan status sekolah ini. sekolah ini tidak pernah bernaung di bawah kem pendidikan malaysia dan diambil oleh kerajaan hingga bertukar namanya menjadi Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Irshadiah.
ReplyDeletesehingga kini, SMARISH masih berstatus sekolah persendirian atau swasta.
Harap dapat diperbetulkan. apapun, pengisian blog tuan sangat bermanfaat. teruskan usaha.
Terima kasih atas makluman puan. Maklumat di atas telah pun diperbetulkan
DeleteSy cicit beliau.alhamdulilah
DeleteSalam. Menarik mengenai kisah tokoh tokoh ulama yang dikumpulkan di blog ini. Saya hanya nak mengetahui ada tak maklumat mengenai Syed Hussain Yamani yang kuburnya ada di Pulau Tiga Kg Gajah Perak.
ReplyDeleteAl FAID BARAKAH SERVICES PUCHONG PRIMA
ReplyDelete( KIOSK MYEG )
PERBAHARUI ROADTAX & INSURANS KENDERAAN ANDA- Tanpa Geran Original
*Kami menawarkan khidmat MyEG secara online dan serta merta boleh dicetak terus kepada anda disamping untuk memperbaharui Insurans .
*Kami juga menawarkan Perkhidmatan Penghantaran RoadTax dan Insurans Kenderaan Ke Lokasi anda.
Like us On Facebook- https://www.facebook.com/roadtaxmyeg4u
QUOTATION PERCUMA DENGAN HARGA INSURANS KENDERAAN MELAMPAU LAMPAU MURAH
http://roadtaxmyeg4u.blogspot.com/p/contact-us.html
Reply
Saya juga bekas pelajar irshadiah, kami baru mendapat berita, Menantu tuan guru haji ghazali juga bekas pengetua madrasah irshadiah iaitu tuan guru dato haji hashim baru saja kembali ke rahmatullah.
ReplyDeleteTerbaik, info lengkap tuan.
ReplyDeleteTerbaik, info lengkap tuan.
ReplyDelete