Pengenalan
Saya suka membaca dan mengumpul
tulisan ulama tersohor tanahair, Tuan Guru Dato Haji Ismail Kamus. Dalam setiap
hasil tulisannya, tempat ia menimba ilmu dan nama-nama gurunya pasti akan dinyatakan.
Salah seorang gurunya yang tidak pernah ketinggalan disebut ialah Shaykh Mahmud
Ariff Bukhari. Saya pada mulanya langsung tidak mengenali siapakah tokoh ulama
yang dinyatakan oleh Tuan Guru namun baru-baru ini tergerak hati saya untuk
menyelidik secara bebas tentangnya.
Hijrah ke Tanah Melayu
Sangkaan awal saya, Shaykh Mahmud
ini adalah orang tempatan tapi rupanya tidak. Shaykh Mahmud Ariff Bukhari
berasal dari Makkah dan berbangsa Uzbek. Nama penuhnya ialah Mahmud Ariff
Abdullah Turah Khan Tashkandi. Beliau dilahirkan di Jiad, Makkah pada 12
September 1897. Tokoh ini datang ke Semenanjung Tanah Melayu setelah menerima
jemputan Tengku Alam Shah yang kemudiannya ditabal menjadi Sultan Selangor yang
keenam pada tahun 1938 dengan gelaran Sultan Hishamuddin Alam Shah. Sultan Hishamuddin mengikuti jejak langkah
ayahandanya, Sultan Alauddin Sulaiman Shah yang sangat gemar berdamping dengan
alim-ulama. Ayahandanya, Sultan Alauddin Sulaiman Shah adalah merupakan salah
seorang pemerintah yang pernah menulis kitab agama. Antara judul tulisannya yang
terkenal ialah Pohon Agama. Pada hari Jumaat, baginda akan naik ke atas mimbar
untuk membaca khutbah.
Sultan Hishamuddin menjemput
Shaykh datang ke Malaysia dengan tujuan untuk menggubal kurikulum pendidikan
sekaligus menubuhkan institusi pendidikan agama di negeri Selangor. Institusi
tersebut diharapkan dapat menjadi platform kepada pelajar untuk melanjutkan
pelajaran ke Timur Tengah khususnya ke universiti terkenal seperti al-Azhar di
Mesir. Sultan Hishamuddin telah meminta Shaykh al-Islam Selangor pada waktu
itu, Shaykh Tengku Mahmud Zuhdi al-Fatani meyakinkan Shaykh Mahmud tentang
cadangan penubuhan institusi pendidikan agama di Selangor dan seterusnya
membantu Shaykh Mahmud merealisasikan penubuhan insitusi pendidikan tersebut.
Melihat akan kesungguhan pemerintah sendiri yang inginkan kemajuan pendidikan
agama berkembang di negerinya, Shaykh Mahmud kemudiannya menerima jemputan
tersebut lalu datang ke Tanah Melayu pada tahun 1938.
Menjadi pendidik
Sebaik sampai ke Tanah Melayu,
Sultan telah mengenalpasti premis yang hendak dijadikan bangunan sekolah. Ianya
adalah bangunan kayu dua tingkat yang terletak di Kampung Kuantan, Kelang.
Shaykh kemudiannya dilantik menjadi pengetua merangkap guru utama. Shaykh bukan
sahaja merangka kurikulum pendidikan untuk sekolah agama tetapi turut terlibat
dengan perancangan penubuhan kolej dan universiti. Diriwayatkan bahawa idea penubuhan
Kolej Islam Malaya dan asas penubuhan Universiti Islam Antarabangsa terjelma hasil
dari penubuhan sekolah Arab yang diasaskan Shaykh. Apapun, Shaykh lebih banyak
menumpu usaha penubuhan Sekolah Arab. Natijahnya ialah Sekolah Menengah Sultan
Hishamuddin dan Kolej Islam Kelang yang
masih gah berdiri hingga kini. Manakala usaha penubuhan Kolej Islam Malaya dan
Universiti Islam Antarabangsa diteruskan oleh Prof Dr Mohamed Abdul Raouf yang
berasal dari Mesir dan Prof Dr Abdul Jalil Hassan.
Populariti Shaykh cepat tersebar.
Sekolahnya menjadi tumpuan. Shaykh bukan sahaja mengajar ilmu agama tetapi juga
ilmu alat yang lain antaranya seperti matematik. Matematik baginya sangat
penting khususnya bagi mengukuhkan penaakulan. Beliau turut memperkenalkan
kaedah tersendiri menghafal istilah-istilah Arab bagi memudahkan pelajar
mengingatinya. Kaedah tersebut telah menjadikan sekolahnya terkenal sebagai
intitusi yang berjaya mencetak pelajar yang boleh berbahasa Arab dengan
standard kualiti yang tinggi. Selain Tuan Guru Dato Haji Ismail Kamus, tokoh
besar lain yang pernah menimba ilmu kepadanya ialah seperti Tan Sri Dato Hassan
Azhari[1], tokoh
tilawah al-Quran yang tidak asing di negara ini. Patut juga dicatatkan disini
bahawa Tan Sri Dato Hassan Azhari turut menimba ilmu al-Quran kepada Shaykh
dengan mengambil qiraat mengikut riwayat Hafs.
Imam dan Pendakwah terkenal
Shaykh dikatakan sangat alim dan
bidang al-Quran bahkan ia juga seorang hafiz. Beliau sering menjadi imam di
Masjid Jamek Kuala Lumpur. Ketika bulan Ramadhan, beliau akan mengkhatamkan
al-Quran apabila mengimamkan solat tarawih. Perkara ini berlanjutan sepanjang
ia berada di Malaysia. Di kalangan komuniti India Muslim di sekitar Kuala
Lumpur, Shaykh dikenali sebagai Imam Bukhari. Beliau mudah mesra dengan
komuniti India Muslim kerana beliau pandai berbahasa Urdu dan Punjabi.
Diriwayatkan beliau turut fasih berbahasa Turki dan Pushtu selain dari bahasa
Arab dan Uzbek. Apabila Masjid India siap dibina, beliau dijemput untuk menjadi
imam. Adakalanya beliau naik ke atas mimbar membaca khutbah dalam bahasa Urdu
dan Punjabi. Tokoh usahawan India Muslim yang banyak membantu Shaykh ketika
Shaykh berada di sekitar Kuala Lumpur ialah Mohamed Yusoff (mempunyai syarikat bernama Mohamed Yusoff
and Sons) dan Naina Mohamed (mempunyai syarikat bernama Naina Mohamed and
Sons).
Pada ketika itu, jarak dari
Kampung Kuantan, Kelang ke Kuala Lumpur agak jauh dengan keadaan jalan yang
tidak begitu baik. Namun, Shaykh sangat dedikasi dengan sentiasa berulang-alik
dari Kelang ke Kuala Lumpur dan sebaliknya sehingga pada tahun 1965 apabila
Shaykh mula ditimpa sakit. Pada setiap malam Jumaat, beliau akan mengadakan
pengajian di Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur selain dari menjadi imam
di masjid-masjid sekitar Kuala Lumpur.
Tabiat Shaykh ialah gemar membaca
dan beliau mempunyai koleksi buku yang sangat banyak, majoriti dalam Bahasa
Arab dan Urdu. Bekalan buku Arab diperolehinya dari Shaykh Hussain Fatani, duta
Arab Saudi di Malaysia manakala buku Urdu dari Maulana Ghulam Sarwar yang
merupakan sahabat baik Shaykh yang juga seorang hafiz.
Memandangkan Shaykh mempunyai
kemahiran berbahasa Arab yang sangat baik, beliau banyak membantu masyarakat
tempatan membuat permohonan kepada kerajaan Arab Saudi untuk melanjutkan
pelajaran ke Makkah. Diriwayatkan jika ada kesempatan, Shaykh turut meluangkan
masa membimbing calon-calon yang hendak melanjutkan pelajaran ke Timur Tengah
menghafaz al-Quran. Ada di antara calon tersebut yang sempat menghabiskan ¾ dari
isi kandungan al-Quran.
Membantu Sultan
Selain sibuk dengan tugas harian
menguruskan sekolah dan membimbing masyarakat sekitar Lembah Kelang, Shaykh
turut membantu Sultan dalam menguruskan tugasan dan permasalahan yang berkaitan
dengan hal-ehwal agama. Mufti dan Qadi juga dikatakan turut mendapat khidmat
nasihatnya. Diriwayatkan ketika Sultan Hishamuddin ditabal menjadi Yang di-Pertuan
Agong Malaysia pada 14 April 1960, beliau telah dijemput oleh Sultan untuk
berkhidmat di Istana Negara bagi menasihati Sultan tentang hal-ehwal agama.
Takdir Allah, Sultan Hishamuddin hanya sempat menjadi Yang Di-Pertuan Agong
dalam tempoh yang singkat apabila mangkat pada 1 September pada tahun yang
sama.
Meninggal Dunia
Shaykh Mahmud meninggal dunia
pada 10 September 1965 ketika berada di Jeddah. Jenazahnya disemadikan dengan
penuh penghormatan di Makkah.
Rujukan Utama
Kahir Bukhari. 1996. The
dedicated sholar of Islam. Ruangan Heritage. New Straits Times. Terbit pada 1
Januari 1996
Shaykh Mahmud Bukhari
Sultan Alauddin Sulaiman Shah naik ke mimbar untuk membaca khutbah
[1] Tokoh ini lahir di Kampung Syu’ib
Amir, Makkah pada tahun 1928. Ketika kecil, beliau sempat belajar di Madrasah
Dar al-Ulum dan menimba ilmu kepada ulama tersohor Makkah seperti Musnid Dunya Shaykh
Yasin al-Fadani dan Shaykh Ismail Tamim, salah seorang imam Masjid di Makkah.