Riwayat Hidup
Selain makam Sultan Tajul Ariffin
(Marhum Mangkat di Tebing) yang dianggap keramat dan beberapa lokasi air terjun
yang menarik, Manong tersimpan dalam ingatan pengunjungnya sebagai sebuah pekan
kecil. Namun seorang tokoh pendidik setempat telah berjaya menjadikan kawasan
tersebut sebagai pusat pendidikan terkenal khususnya dalam bidang agama. Tokoh
yang dimaksudkan ialah Tuan Guru Haji Zakaria bin Haji Sulaiman.
Tuan Guru dilahirkan pada 3
September 1928 waktu Subuh pada hari Jumaat di Kampung Teluk Manis,
Layang-layang Kiri, Parit, Perak. Lokasi kampung tersebut adalah di tebing
Sungai Perak. Ayahandanya, Haji Sulaiman bin Abdul Wahid (1898-23 Mei 1975)
adalah merupakan pengasas Kampung Jeliang yang menjadi tapak kepada
institusi-institusi pendidikan yang ditubuhkan oleh Tuan Guru. Setiap hari,
Haji Sulaiman berbasikal sejauh 20 batu untuk meneroka tanah Jeliang.
Ayahandanya seorang yang mengambil berat tentang hal ehwal agama. Bahkan beliau
telah mewakafkan tanah tapak surau yang kemudiannya dijadikan sebuah madrasah
yang dikenali dengan nama Madrasah Jalan Badak.
Pendidikan
Tuan Guru mendapat pendidikan
awal di Sekolah Melayu Layang-Layang Kiri pada tahun 1936. Setahun kemudian ia
bersekolah di Sekolah Melayu Manong setelah keluarganya berpindah ke Jeliang.
Ia tamat pengajian darjah enam pada akhir tahun 1941. Setiap pagi ia akan
berbasikal ke sekolah dan hanya pulang ke rumah pada sebelah petang. Tuan Guru
seorang yang pintar dalam kelas. Beliau sering mendapat tempat yang baik dalam
kelas. Selepas tamat pengajian, ia memohon jawatan guru pelatih namun Perang
Dunia ke-2 meletus menyebabkan sistem pendidikan tidak begitu menentu pada
waktu itu. Tuan Guru kemudiannya mengambil keputusan memasuki Madrasah Idrisiah
Kuala Kangsar yang diterajui oleh Shaykh Abdullah Fahim pada ketika itu.
Setelah tentera Jepun memasuki sekolah itu untuk menempatkan kakitangannya,
pelajar-pelajar madrasah termasuk Tuan Guru berpindah ke Madrasah Mariah yang
tidak jauh kedudukannya dari Madrasah Idrisiah. Pergolakan perang menyebabkan
Tuan Guru dan rakan-rakannya dapat melihat kacau-bilau yang berlaku antara
tentera Jepun dengan komunis dan orang ramai. Ketika belajar di Madrasah
Idrisiah, Tuan Guru sempat menimba ilmu kepada mudirnya sendiri, Shaykh
Abdullah Fahim, Shaykh Nawawi (lebih dikenali sebagai Tok Wi Janggut
Merah), Shaykh Yusuf dan Shaykh Uthman
Sujak. Tuan Guru menimba ilmu al-Qu ran kepada Tuan Haji Ahmad al-Banat yang
merupakan imam Masjid Ubudiah Bukit Chandan.
Setelah Jepun menyerah kalah
pada tahun 1945, keadaan negara menjadi semakin tidak menentu. Tuan Guru
bersama-sama saudara kandungnya, Tuan Guru Haji Abdul Aziz dan rakan-rakannya
yang lain seperti Tuan Guru Uthman bin Itam Karib dan Tuan Guru Mokhtar al Ataruddin
Lebai Awang bermusafir ke Kedah dengan azam hendak menimba ilmu kepada Tuan
Guru Haji Abdul Aziz bin Haji Ibrahim di Pondok Batu Hampar, Pendang. Untuk ke
sana, Tuan Guru dan rakan-rakannya menaiki keretapi dari Kuala Kangsar menuju
ke utara. Mereka terpaksa menumpang keretapi yang membawa tentera Jepun. Mereka
singgah di Bukit Mertajam dan tidur di sana beberapa hari. Tuan Guru dan
rakan-rakan sempat menziarahi Shaykh Yamani dan Shaykh Ahmad Fuad Hassan yang
berkebetulan bermukim di Bukit Mertajam. Dari Bukit Mertajam, Tuan Guru dan
rakan-rakannya menumpang lori menuju ke Kota Sarang Semut Kedah. Dari Kota
Sarang Semut, mereka berjalan kaki sejauh 7 batu menuju ke Pendang. Tuan Guru
menimba ilmu di Pondok Batu Hampar selama dua tahun.
Pada tahun 1947, Tuan Guru
berhijrah ke Kelantan untuk berguru dengan ulama tersohor, Shaykh Abdullah
Thahir bin Ahmad di Pondok Bunut Payung, Kota Bharu. Tuan Guru tinggal di
Kelantan selama 8 tahun. Selepas itu, Tuan Guru pergi ke Makkah dengan hajat
hendak menimba ilmu sekurang-kurangnya lima tahun di sana. Namun tindakan
kerajaan Arab Saudi merobohkan rumah-rumah di sekeliling Makkah dengan tujuan
hendak membesar binaan Masjidil Haram menyebabkan Tuan Guru kembali ke Tanah
Melayu tidak lama selepas itu. Sebaik pulang ke tanahair, Tuan Guru menyambung
belajar kepada Tuan Guru Haji Ghazali bin Arshad di Pondok Irsyadiyah Batu 26,
Bagan Datoh Perak. Tuan Guru mengaji di pondok itu selama tujuh bulan.
Berbakti di kampung halaman
Tidak lama selepas menimba
ilmu di Pondok Irsyadiyah, Tuan Guru kembali ke kampung asalnya. Di tempat
asalnya, Tuan Guru mendirikan sebuah surau di Jalan Badak. Disitulah ia mula
mengajar dan membimbing anak-anak setempat. Tuan Guru pernah mendapat tawaran
untuk berkhidmat dalam kerajaan tetapi hatinya yang sangat cintakan pendidikan
telah menyebabkan ia mengajar di sekolah agama yang diasaskannya.Di sebelah
pagi ia mencari rezeki dengan mengerjakan kebun dan sawahnya. Menjelang petang,
ia menjalankan tugasnya sebagai pendidik dengan membimbing dan mengasuh
anak-anak penduduk setempat. Di sebelah malam pula ia menyampaikan ilmu kepada
orang awam di surau-surau dan masjid yang berdekatan. Tuan Guru turut menjadi
imam di Masjid Al Khairiyah Jeliang selama 40 tahun sehingga akhir tahun 1993.
Memandangkan sambutan
masyarakat setempat semakin hangat, tempat pengajian dipindahkan ke sebuah
surau berdekatan dengan Masjid Jeliang. Di surau itulah didirikan sekolah agama
rakyat yang dikenali dengan nama Madrasah al Hidayah al Islamiyah. Pada tahun
1961, sekolah baru mula didirikan di Jalan Badak dan semua pelajar berpindah ke
situ.
Selepas
40 tahun sekolah agama rakyat itu didirikan, sebuah sekolah menengah pula
ditubuhkan yang dikenali dengan nama Maahad al-Mizan. Apa yang menarik ialah
sekolah itu ditubuhkan hasil pemuafakatan bekas-bekas pelajar Madrasah al
Hidayah al Islamiyah yang juga merupakan anak-anak murid Tuan Guru. Perjumpaan
hari raya oleh murid-murid tua Madrasah al Hidayah al Islamiyah pada 5 Januari
1993 telah mencetuskan idea penubuhan sebuah sekolah agama rakyat peringkat
menengah di kampung Jeliang. Sebuah jawatankuasa penaja ditubuhkan bagi menggerakan
perlaksanaan penubuhan sekolah tersebut. Jawatankuasa tersebut telah bersetuju
untuk melantik Tuan Haji Megat Radzuan b Megat Taib yang bertugas sebagai Ketua
Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Islam di Jabatan Agama Islam Perak
menjadi Pengerusi Penaja, Encik Ahmad B Putih Osman selaku Setiausaha manakala
Tuan Guru sendiri sebagai penasihat. Pada akhir tahun 1993, sebuah
bangunan sekolah tiga tingkat berukuran 155 × 30 telah dibina dengan kos RM
432,5000.00 iaitu sumbangan MAIPK sebanyak RM 280, 000 dan selebihnya kutipan
daripada orang ramai. Apabila sekolah ini siap dibina pada awal tahun 1995 maka
seramai 60 orang pelajar (27 lelaki & 33 perempuan) telah menduduki
tingkatan satu dengan tenaga pengajar seramai enam orang. Tuan Guru menjadi
pengetuanya yang pertama. Pada ketika ini, Maahad Al-Mizan telah memiliki tiga
blok bangunan yang menempatkan kelas-kelas pengajian, pejabat, perpustakaan,
bilik APD, sebuah asrama putera, sebuah asrama puteri dewan makan, kantin
sekolah, kedai sekolah, pondok telefon, bilik dobi, bengkel KHB, kediaman guru
dan kakitangan. Ketika di awal penubuhan sekolah tersebut, Tuan Guru bukan
sahaja mentadbir tetapi juga menanam pokok dengan tujuan untuk mengindahkan
sekolah dan mencuci bilik air. Beliau sanggup membayar gaji guru-gurunya lebih
tinggi dari gajinya sendiri bagi memastikan kebajikan gurunya terjaga.
Tatkala kudratnya sudah tidak
upaya untuk meneruskan tugas mentadbir maahad yang diasaskannya, ia beralih tumpuan
kepada tugas mengajar sahaja. Pada tahun 2001, Tuan Guru menyerahkan jawatan
mudir kepada Tuan Haji Megat
Radzuan b Megat Taib. Tuan Guru terus mengajar di Maahad al Mizan sehingga
tahun 2006. Tuan Guru juga turut mengajar di Pondok al-Ridzuan di Jalan
Badak dan Masjid Jeliang dengan menumpukan perhatian hanya kepada mengajar.
Pondok al-Ridzuan ini menjadi tumpuan warga emas untuk menimba ilmu agama.
Meninggal Dunia
Tuan Guru Haji Zakaria
menghembuskan nafasnya yang terakhir pada pagi Khamis 9 Jun 2011 bersamaan 7
Rajab 1432 H. Jenazah tuan guru disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung
Jeliang selepas solat Asar pada hari yang sama.
Anugerah
Bagi menghargai jasa dan
sumbangannya khususnya dalam bidang pendidikan agama, Tuan Guru telah
dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah pada Tahun 1999 oleh kerajaan Negeri Perak.
Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Duli Yang teramat Mulia Raja Muda
Perak, Raja Dr. Nazrin Shah.
Rujukan
- http://cucupandakleman.blogspot.com/2011_08_01_archive.html.
Dicapai pada 17 September 2013
- http://cucupandakleman.blogspot.com/2010/10/kenangan-lama.html.
Dicapai pada 18 September 2013
- http://malmizan.blogspot.com/2008/07/sejarah-sekolah.html. Dicapai pada 17 September 2013
- http://alumniamam.blogspot.com/2008/12/sekolah-menengah-agama-maahad-almizan.html. Dicapai pada 17 September 2013
Surau lama Jalan Badak
Tuan Guru Haji Zakaria
Maahad al Mizan
Sambutan 10 Tahun Maahad al-Mizan
Guru saya.. info tmbahan, dia tidak meneruskan pengajian di irsyadiah kerana murid2 disitu menadah kitab dengannya, sedangkan dia berniat untuk belajar sahaja di situ
ReplyDelete