Salah
seorang tokoh ulama berketurunan bangsawan yang pernah menabur jasa di Alam
Melayu ialah Tuan Guru Haji Zakaria bin Mohd Kari atau lebih dikenali dengan
panggilan Tuan Guru Galau[1]. Panggilan Tuan Guru Galau itu mungkin dinisbahkan
kepada ketokohan beliau sebagai orang terhormat di kampungnya yang bernama
Galau yang letaknya tidak jauh dari pekan Seri Menanti. Tuan Guru Galau
diriwayatkan berasal dari suku Tanah Datar Seri Menanti yang disebut orang
sebagai orang lingkungan Istana. Tuan Guru dilahirkan pada tahun 1882 Masihi
bersamaan 1299 Hijrah di Kampung Tanah Datar, Seri Menanti, Kuala Pilah. Beliau
berumahtangga dengan Aisyah bt Toha dan dikurnikan 7 cahaya mata iaitu Haji
Abdullah (meninggal di Makkah), Haji Mahmad (meninggal di Makkah), Haji Mukhtar
(meninggal di Makkah), Haji Yahya (meninggal di Mesir), Hajjah Kalsom, Hajjah
Fatimah dan Haji Hafidz.
Menimba Ilmu
Tuan Guru
Galau diriwayatkan mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Seri Menanti.
Selanjutnya beliau berguru dengan Allahyarham Tuan Guru Haji Darun Haji
Ibrahim.[2] Beliau
bermusafir ke utara Semenanjung untuk mendalami ilmu agama. Langkah pertamanya
ialah ke Patani. Beliau memondok di sana selama 10 tahun. Selepas itu beliau
berguru pula dengan Tuan Guru Haji Ismail bin Mustafa al-Fathani yang lebih
dikenali dengan nama Tuan Guru Che’ Dol atau juga dipanggil orang dengan
gelaran Tok Ayah Doi di Gajah Mati, Pendang, Kedah selama 10 tahun.[3] Gurunya ini merupakan anak murid kepada tokoh ulama
terkenal di Patani iaitu Syeikh Wan Muhamad Zainal Abidin[4] yang lebih dikenali dengan panggilan Tok Wan Din yang berasal
dari Kampung Sena Janjar, Pattani ( lahir tahun 1233H/ 1817 dan meninggal dunia
pada 18 Zulhijjah 1325 / 21 Januari 1908). Pada tahun 1925, Tuan Guru Galau
berangkat ke Makkah untuk menunaikan haji. Sewaktu berada di Makkah, beliau
berkesempatan menimba ilmu kepada salah seorang ulama besar Alam Melayu pada
masa itu iaitu Syeikh Wan Ismail bin Wan Abdul Qadir atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Da Ail.
Mendidik
Anak Bangsa
Tuan Guru
Galau dipercayai pulang semula ke tanahair sekitar tahun 1927. Apabila kembali
ke kampung halamannya, beliau membuka pondok pengajian di perkarangan Masjid
Galau. Walaupun sibuk menguruskan pondok, beliau turut mengajar di beberapa
buah masjid dan surau sekitar daerah Kuala Pilah. Antara anak didiknya yang
memegang jawatan dalam perkhidmatan Kerajaan ialah Tuan Haji Ali yang merupakan
bekas Kadi Daerah Kuala Pilah dan Ahli Jawatankuasa Syariah Negeri Sembilan.
Di pondok
pengajiannya, Tuan Guru Galau mengajar pelbagai disiplin ilmu agama. Beliau dikatakan
berkeahlian dalam bidang nahu dan Bahasa Arab. Antara kitab yang diajar oleh
beliau di pondok tersebut ialah kitab al-Mukhtasar dan Kawakib
Mutammimah ( kitab Nahu ), Faridah al Faraid ( ilmu Tauhid ) dan Matla’
al-Badrain (kitab Fiqh). Tuan Guru Galau juga diriwayatkan seorang yang
alim dalam bidang al-Quran sehingga beliau mampu mendengar dan memperbetulkan
bacaan beberapa orang muridnya yang mengaji al-Quran di hadapannya secara
serentak.
Pada
setiap minggu, beliau akan mengadakan kuliah tasawwuf yang dihadiri bukan
sahaja oleh penduduk setempat tetapi juga mereka yang tinggal di luar Daerah
Kuala Pilah. Tuan Guru Galau dikatakan beramal dengan tariqat Syatariyyah
ketika hayatnya. Diriwayatkan bahawa Tuan Guru Galau adalah seorang Syeikh Tariqat
Syatariyyah namun tidaklah dapat dipastikan sama ada beliau mengambil Ijazah
tarikat tersebut ketika beliau berada di Pattani ataupun di Makkah. Menjadi
kebiasaan pada setiap hari Khamis malam Jumaat, perhimpunan ahli tariqat dan majlis
zikir diadakan di pondok Masjid Galau.
Dengan
ketinggian ilmu yang dimilikinya, beliau pernah ditawarkan jawatan Kadi Daerah
Kuala Pilah tetapi beliau menolaknya kerana beliau lebih selesa mencurahkan
ilmunya secara bebas.
Mencarik Adat
Terdapat
beberapa kisah menarik tentang keistimewaan dan karamat beliau seperti yang
disampaikan oleh tokoh-tokoh yang pernah berdamping dengannya. Antaranya
kisahnya ialah seperti
- Kolam dan perigi di Masjid Galau tidak pernah kering
walaupun kawasan itu ditimpa kemarau selama 5 bulan ketika Tuan Guru Galau
masih hidup. Kisah ini disampaikan oleh anak muridnya yang bernama Ustaz
Yusuf bin Musa (berusia 78 tahun ketika menceritakan kisah ini)
- Pondok pengajian Tuan Guru Galau tidak pernah
diganggu oleh askar Jepun di zaman pendudukan mereka di Tanah Melayu.
Beras simpanannya tidak pernah dirampas dan sentiasa mencukupi
- Sesiapa yang bertembung dengan Tuan Guru Galau tidak
kira samada ia berbangsa Melayu, Cina atau India pasti akan memberi
penghormatan kepadanya. Diriwayatkan jika bertembung dengan Tuan Guru
Galau di jalanan, mereka akan turun dari basikal sebagai tanda hormat
kepadanya
- Pernah berlaku satu peristiwa dimana pakaian
Tuan Guru dikatakan tidak basah walhal ia terpaksa meredah hujan untuk sampai
ke tempat ia mengajar
- Doa-doanya dikatakan kerap
dimakbulkan Allah. Menurut penyusun kisah alim-ulama di Negeri Sembilan
iaitu Nawawi Haji Indek, Tuan Guru Galau ketika hayatnya adalah seorang
yang soleh dan mempunyai peribadi yang mulia.
Meninggal
Dunia
Tuan Guru Galau meninggal dunia dalam tahun 1954 ketika
berusia 72 tahun. Jenazahnya disemadikan di Tanah Perkuburan Tanjung Sepam,
Seri Menanti. Ketika meninggal dunia, Mufti pada ketika itu Syeikh Haji Ahmad
Muhammad Said tidak membenarkan jenazah Tuan Guru Galau dimakamkan di
perkarangan Masjid Galau, sebaliknya meminta jenazah Tuan Guru Galau
disemadikan di tanah perkuburan Islam yang berhampiran supaya orang yang
dikebumikan di sekeliling tanah perkuburan beliau turut mendapat keberkatan.
Rujukan
Utama
1.
Unit Buhuth Jabatan
Mufti Kerajaan Negeri Sembilan. Allahyarham Tuan Guru Galau Haji Zakaria bin
Mohd Kari ( 1882 – 1954). Portal Rasmi Jabatan Mufti
Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus. Dicapai di http://www.muftins.gov.my/component/content/article/64-tokoh-ulamak-tarekat/347-allahyarham-tuan-guru-galau-haji-zakaria-mohd-kari-1882-1954
pada 11 Oktober 2011
2.
http://sungaiujung.blogspot.com/2006/08/haji-zakaria-mohd-kari-1890-1953-haji.html.
Dicapai pada 11 Oktober 2011
3.
http://sungaiujung.blogspot.com/2006/07/haji-darun-haji-ibrahim-1840-1949.html.
Dicapai pada 11 Oktober 2011
4.
http://ulamakito.blogdrive.com/comments?id=1.
Dicapai pada 11 Oktober 2011
[2] Tokoh ini berasal dari Inderagiri dan lahir pada tahun 1840. Beliau
datang ke Semenanjung pada tahun 1880 dan mula mengajar di Kuala Pilah setelah
mendapat jemputan dari Yang Di-Pertuan Besar Tuanku Muhammad. Tuan Guru
meninggal pada tahun 1949 dan dimakamkan di Seri Menanti. Beliau ada
meninggalkan sebuah kitab tasawwuf yang ditulis oleh ayahandanya dengan tangan
setebal 1000 halaman.
[3] Pondok tersebut kemudian
dipimpin oleh menantunya iaitu Syeikh Wan Ibrahim bin Syeikh Wan Abdul Qadir
atau lebih dikenali sebagai Pak Chu Him. Pak Chu Him adalah anak saudara kepada
Syeikh Wan Muhammad Zainal Abidin al-Fathani (Tok Wan Din al-Fathani). Salah
seorang anak Tuan Guru Che Dol yang sangat terkenal ialah Tuan Guru Haji Husein.
Beliau memimpin pondoknya sendiri di Guar Cempedak, Kedah
[4] Beliau adalah saudara sulung kepada Syeikh Wan Abdul Qadir al-Fathani @ Tok Bendang Daya II
dan Syeikh Wan Abdul Lathif al-Fathani. Ayahanda mereka ialah Syeikh Haji Wan
Mustafa yang dikenali orang sebagai Tok Bendang Daya I. Tok Wan Din al-Fathani
merupakan tokoh terawal yang telah mengambil inisiatif menganjurkan penyalinan
kitab-kitab Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani secara besar-besaran dan
teratur. Selain sibuk dengan aktiviti di Makkah, beliau juga telah mengasaskan
Dewan Tok Bendang Daya di Pondok Bendang Daya
Kitab Faridatul Faraid
Gambar lama barisan ulama Negeri Sembilan
No comments:
Post a Comment