Showing posts with label aceh. Show all posts
Showing posts with label aceh. Show all posts

Wednesday, July 1, 2009

Syeikh Jalaluddin al-Asyi, Ulama besar Aceh abad ke-18

Syeikh Jalaluddin al-Asyi atau lebih dikenali sebagai Faqih Jalaluddin hidup dalam abad ke-18 Masehi Beliau merupakan ulama besar Aceh pada zamannya dan pernah dilantik menjadi Kadi Malikul Adil pada masa pemerintahan Sultan Alauddin Maharaja Lela Ahmad Syah (1139 H/1727 M - 1147 H/1735 M) dan ketika pemerintahan Sultan Alauddin Johan Syah (1147 H/1735 M -1174 H/1760 M). Diriwayatkan bahawa Sultan Aceh, iaitu Sultan Alauddin Ahmad Syah dan ahli istana yang lain menjadi anak murid beliau. Ini adalah kerana Sultan Aceh sentiasa merujuk sesuatu perkara kepada beliau. Ayahanda Faqih Jalaluddin bernama Syeikh Kamaluddin manakala datuknya pula bergelar Qadhi Baginda Khathib at-Tarun Pasir. Ayahanda dan datuknya adalah ulama besar yang sangat terkenal dan berpengaruh di Aceh pada zamannya. Faqih Jalaluddin menerima pengajian Islam tradisional daripada kedua-duanya. Bagaimanapun dipercayai bahawa beliau juga belajar dengan beberapa orang ulama terkenal di Aceh yang lainnya. Dalam sebuah kitabnya ada dicatatkan bahawa beliau menerima Tarekat Syathariyah dan Tarekat Qadiriyah daripada gurunya Arif Billah Baba Daud bin Ismail al-Jawi bin Agha Mustafa ar-Rumi. Baba Daud adalah murid ulama besar Aceh pada pertengahan dan penghujung abad ke-17 iaitu Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Baba Daud bin Ismail al-Jawi adalah orang pertama menyalin tafsir al-Quran yang ditulis oleh gurunya itu, dan beliau pula yang menyelesaikan tafsir itu sehingga menjadi lebih lengkap dan lebih sempurna. Kata almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir Abdullah,
Memerhatikan sangat rapat dan mesranya hubungan antara Syeikh Faqih Jalaluddin dengan gurunya, Baba Daud al-Jawi itu, sedangkan Baba Daud al-Jawi pula adalah murid kepercayaan Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri, maka diyakini bahawa Syeikh Faqih Jalaluddin sempat pula menerima ilmu-ilmu dari Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri secara langsung.
Faqih Jalaluddin diriwayatkan pernah melanjutkan pelajaran ke India dan Makkah. Faqih Jalaluddin termasuk dalam kelompok ulama yang aktif mengarang. Beliau meneruskan kesinambungan ulama-ulama Aceh terdahulu yang seperti Syamsuddin as-Sumatrai dan Abdur rauf Ali al-Fansuri yang banyak menghasilkan karya-karya yang bermutu tinggi. Karya-karya utamanya yang dapat dikesan sehingga kini meliputi bidang feqah dan tasawwuf.
Karyanya dalam bidang feqah
1. Hidayah al-Awam Pada Menyatakan Perintah Agama Islam. Kitab ini adalah kitab feqah yang ringkas. Kata almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir ketika mengulas kitab ini,
Pada mukadimah Hidayah al-Awam, Syeikh Faqih Jalaluddin bahawa,"... pada hijrah Nabi seribu seratus empat puluh, pada lima hari bulan Muharam (5 Muharam 1140 H/23 Ogos 1727 M, pen:) zaman Paduka Seri Sultan, yang besar kerajaannya, lagi yang maha tinggi darjatnya, iaitu Sultan Alauddin Ahmad Syah Johan berdaulat Zhillullah fi al-Alam, adamullahu daulatahu, Amin, maka tatkala itu meminta kepada faqir yang hina Khadim al-Ulama (yang berkhidmat pada ulama), Haji Jalaluddin... oleh seorang sahabat raja itu, yang takut akan Allah Taala, bahawaku suratkan baginya suatu risalah yang simpan (maksudnya: risalah yang ringkas, pen:). Maka aku namai akan dia Hidayah al-‘Awam ...”
2. Safinat al-Hukkam fi Talkhish al-Khisham. Kitab ini agak tebal dan lengkap. Penulisannya bermula pada bulan Muharam, hari Jumaat 1153 H/1740 M. Kitab ini dikarang atas perintah Sultan Alauddin Johan Syah. Barangkali inilah kitabnya yang terbesar diantara karya-karyanya yang lain. Kandungan teksnya yang bertulisan tangan itu adalah berasaskan Mazhab Syafi'ie yang membicarakan istilah-istilah, peringatan untuk golongan hakim yang zalim dan beberapa kaedah yang berkaitan dengan ilmu feqah.

3. Hujjah al-Balighah ‘ala Jama’ah al-Mukhasamah. Kata almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir ketika meneliti kitab ini,
Pada mukadimah Faqih Jalaluddin menulis: “Ada pun kemudian dari itu, maka tatkala Hijrah Nabi s.a.w seratus lima puluh delapan tahun, kemudian daripada seribu pada empat hari bulan Muharam, waktu Dhuha, hari Sabtu (4 Muharam 1158 H/1745 M) zaman Saiyidina wa Maulana Paduka Seri Sultanah Alauddin Jauhar Syah, Syah Berdaulat Zhillullah fi al-Alam, telah meminta kepadaku setengah daripada kekasihku, salah seorang daripada pengawal sultan yang tersebut itu, bahawa ku suratkan baginya risalah yang simpan pada menyatakan dakwa, dan baiyinah, dan barang yang bergantung dengan keduanya. Ku perkenankan pintanya, dan ku suratkan baginya risalah ini ...”
Sambung almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir,
Pada penghabisan kitab beliau mencatat, Tamat al-kitab Hujjah al-Balighah ‘ala Jama'ah al-Mukhasamah karangan faqir yang hina Faqih Jalaluddin ibnu asy-Syeikh Kamaluddin ibnu al-Qadhi Baginda Khathib at-Tarun Pasir... pada 27 Rabiulakhir, waktu Dhuha pada zaman Alauddin Jauhar Syah, pada hijrah seribu seratus lima puluh delapan tahun... (27 Rabiulakhir 1158 H/1745 M).
Faqih Jalaluddin sangat berhati-hati dalam mengeluarkan sesuatu fatwa. Ini diperjelaskan olehnya dengan katanya, “Ingat-ingat kiranya yang memberi fatwa, maka adalah bahaya yang besar pada memberi fatwa itu belum lagi tahqiq sesuatu masalah daripada hadis, dan dalil, atau daripada kitab segala ulama. Maka janganlah difatwakan sekali-kali akan dia ...”
Dalam kitab ini, Faqih Jalaluddin telah menghuraikan kelompok kadi kepada tiga perkara iaitu dua perkara isi neraka dan satu perkara isi syurga. Katanya,
“Maka dua perkara isi neraka itu iaitu; Pertama kadi yang jahil, tiada baginya ilmu, jikalau mufakat hukumnya itu dengan kebenaran sekali pun tiada jua sah hukumnya itu dengan sebab meninggalkan daripada belajarnya ...” Mengenai perkara ini beliau kemukakan dua hadis Nabi s.a.w. sebagai dalilnya.
Satu diantaranya, menurut beliau lafaz di bawah ini adalah hadis, iaitu: “Barangsiapa tiada guru baginya maka syaitanlah gurunya.” Sabda Nabi itu beliau tafsirkan, barangsiapa ada gurunya itu syaitan, maka tiada lagi syak akan dia isi neraka.
Kadi jenis yang kedua, menurut Faqih Jalaluddin al-Asyi, ialah: “Yang alim, yang ia tiada menghukum seperti yang dalam ilmunya ... “Kadi golongan yang ketiga ialah: “Yang alim, yang ia menghukum seperti hukum yang dalam ilmunya.”
Karya dalam bidang tasawwuf
1. Manzhar al-Ajla ila Martabah al-A’la. Kitab ini diselesaikan pada tahun 1152 H/1739 M. Faqih Jalaluddin didalam kitabnya itu menyatakan bahawa beliau dititah oleh Sultan Alauddin Johan Syah ibnu as-Sultan al-Marhum Ahmad Syah untuk mengarangnya.
2. Asrar as-Suluk ila Malail Muluk. Menurut almarhum al-Ustaz Haji wan Mohd Saghir,
Dalam naskhah tidak tersebut nama pengarang tetapi dapat dipastikan sebagai karya Faqih Jalaluddin al-Asyi adalah berdasarkan salasilah pada kalimat, “... telah mengambil zikir, dan talkin, dan khirqah, dan khalifah, fakir yang mengarang risalah ini daripada syeikhnya yang ahli az-zauq, lagi Arif Billah, iaitu Syeikh Daud ibnu Ismail qaddasallahu sirrahu, dan ia mengambil dari (Syeikh) Abdur Rauf ...” Bererti pengarang adalah murid Baba Daud ibnu Ismail ar-Rumi, bahawa perkara ini juga disebut oleh Faqih Jalaluddin bin al-Asyi dalam karyanya Manzar al-Ajla ...Kandungan keseluruhannya membicarakan tasawuf peringkat tinggi dan berbagai-bagai tarekat. Disebutkan bahawa asal tarekat dalam dunia ada empat belas, semua nama tarekat disebutkan secara terperinci.[1]
Zuriat Faqih Jalaluddin yang dapat dikesan menjadi ulama besar ialah Syeikh Muhammad Zain al-Asyi. Beliau merupakan pengarang kitab Bidayah al-Hidayah, sebuah kitab ilmu tauhid menurut akidah Ahli Sunah wal Jamaah yang sehingga kini masih lagi berlegar di jual di kedai-kedai buku agama dan disyarah dimasjid dan surau. Kitab Bidayah al-Hidayah[2] ini ditulis pada 24 Syaaban1170 H/14 Mei 1757 M. Kata almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir apabila mengulas tentang kitab ini,
Kitab ini diajar di dunia Melayu sejak pengarangnya masih hidup lagi, diteruskan oleh murid-muridnya, seperti Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari, Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan lain-lain. Sebelum kemunculan Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Kitab yang tersebut diajarkan dalam bentuk salinan tulisan tangan. Syeikh Ahmad al-Fathani adalah orang pertama mentashih kitab itu, kemudian mencetak kitab Bidayah al-Hidayah itu pada 1303 H/1885 M. Pada akhir semua edisi cetakan Bidayah al-Hidayah dinyatakan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani, “Telah selesai ini beberapa kalimah yang mukhtasharah (ringkas,), yang disuratkan dia di dalam laungan yang sedikit akan jadi taqrir atas kitab ini, hal keadaan hamba harapkan uzur daripada tiap-tiap saudara yang muthala’ah atasnya. Pada pagi Sabtu, 20 Rejab al-Asham pada tahun seribu tiga ratus tiga daripada hijrah (20 Rejab 1303 H) atas tangan al-faqir Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani ...”
Ia disambung dengan gubahan puisi Syeikh Ahmad al-Fathani dalam bahasa Melayu pada halaman terakhir, iaitu:
“Hai saudara yang tiada sempurna dirayah,
melainkan dengan kitab Bidayah al-Hidayah Hawa itu ibu bagi sekalian makhluk-Nya,
maka Bidayah al-Hidayah itu ibu al-barahin
Maka kitab ini asal yang dituntutnya,
dan yang lain ini kitab furu’nya
Khalilullah dengan dia mengajarnya, pada langit akan shibyan sekaliannya
Maka orang yang tiada mengaji akidah as-Sanusi,
dipukul akan dia dengan dua Malaikat dengan besi
Citerakan oleh setengah yang shalihin,
asy-Syeikh itu diperdiam akan dia di ‘Illiyin
Tiada sah ia sembahyang dan puasa,
hingga mentauhid Tuhan Yang Esa
Demikian tiada diterima akan amal dan ibadat,
hingga mendiri akan dalil dan makrifat.”[3]
Beliau melanjutkan pelajaran di Makkah. Antara guru yang didampinginya ialah Syeikh Muhammad Said, Syeikh Abdul Ghani bin al-Alim Muhammad Hilal, Syeikh Ahmad al-Farsi (ulama kelahiran Mesir) dan Syeikh Ahmad Durrah (juga ulama kelahiran Mesir). Sebelum pulang ke Aceh, Syeikh Muhammad Zain Aceh sempat mengajar di Masjid al-Haram Mekah. Di antara ulama besar Alam Melayu yang menjadi anak muridnya ialah Syeikh Haji Abdur Rauf ibnu Makhalid Khalifah al-Qadiri al-Bantani, Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari, Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari dan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani[4]. Seperti ayahandanya, Syeikh Muhammad Zain al-Asyi juga sangat aktif mengarang. Bahkan kitab-kitab yang ditulisnya adalah lebih awal dari kitab-kitab yang ditulis oleh ayahandanya! Sebagai contoh, kitab Ilmu Tauhid ditulis oleh Syeikh Muhammad Zain al-Asyi dalam tahun 1114 H/1702 M, 25 tahun lebih awal dari kitab pertama yang ditulis oleh ayahandanya iaitu Hidayah al-‘Awam yang ditulis pada tatahun 1140 H/1727 M. Lain-lain kitab yang ditulis oleh Syeikh Muhammad Zain al-Asyi ialah Kasyf al-Kiram yang selesai ditulis pada 8 Muharam 1171 H/22 September 1757 M, Talkish al-Falah fi Bayan Ahkam at-Thalaq wa an-Nikah, tanpa tarikh penulisan, Risalah Dua Kalimah Syahadah, tanpa tarikh penulisan, Faraidh al-Quran, tanpa tarikh penulisan, Masalah al-Faraid, tanpa tarikh penulisan dan Bahas Doa Hizb al-Bahri, tanpa tarikh penulisan.[5]
Nota kaki

[1] Rujuk tulisan Wan Mohd Saghir Abdullah bertajuk Syeikh Jalaluddin Al-Asyi kesinambungan aktiviti ulama Aceh bertarikh 4 Disember 2006 di Utusan Malaysia. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1204&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive. Dicapai pada 1 Julai 2009
[2] Salah seorang ulama besar Patani yang telah menyalin kitab ini ialah Tok Wan Din al-Fathani. Nama sebenarnya ialah Syeikh Wan Muhammad Zainal Abidin al-Fathani. Beliau lahir dalam tahun 1233 Hijrah/1817 Masehi di Kampung Sena Janjar, Patani. Beliau merupakan abang kepada dua lagi ulama besar Patani iaitu Syeikh `Abdul Qadir al-Fathani @ Tok Bendang Daya II dan Syeikh Abdul Lathif al-Fathani. Beliau mendapat pendidikan dari ayahandanya Syeikh Haji Wan Mustafa al-Fathani (Tok Bendang Daya I) dan setelah melanjutkan pelajaran ke Makkah, beliau menadah kitab kepada ulama besar yang terkenal, iaitu Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki dan Sayid Ahmad bin Zaini Dahlan. Antara anak muridnya yang menjadi ulama dan tokoh yang terkenal ialah Datuk Abdullah bin Musa (1279 Hijrah/1863 Masehi - 1325 Hijrah/1907 Masehi) yang menjadi Mufti dan Hakim Besar Kerajaan Johor (1889-1907 M), Haji Ismail bin Mustafa al-Fathani atau lebih dikenali dengan Cik Doi Kedah (Cik Dol) yang mengasas Pondok Gajah Mati, Pendang, Kedah Haji Muhammad Husein bin Abdul Lathif al-Fathani/Tok Kelaba (1280 Hijrah/1863 Masehi - l367 Hijrah/1948 Masehi) yang menghasil beberapa karya dan sangat aktif menyalin kitab ulama sebelumnya, Qadhi Haji Muhammad Sa'id Umar Kedah, yang mengarang Tafsir Nur al-Ihsan dan adik beliau yang bongsu, bernama Syeikh Daud bin Syeikh Haji Wan Mustafa al-Fathani atau lebih dikenali dengan nama Tok Cik Wan Daud al-Fathani yang merupakan ulama besar Makkah pada zamannya. Tok Wan Din al-Fathani wafat seminggu selepas kewafatan anak beliau, iaitu Syeikh Ahmad al-Fathani. Syeikh Ahmad al-Fathani yang wafat pada 11 Zulhijjah 1325 Hijrah/14 Januari 1908 Masehi. Anaknya, Syeikh Ahmad al-Fathani adalah ulama dari Alam Melayu yang sangat masyhur di Makkah. Tok Wan Din wafat pada 18 Zulhijjah 1325 Hijrah/21 Januari 1908 Masehi. Rujuk artikel Wan Mohd Saghir Abdullah bertajuk Tok Wan Din al-Fathani - Penyalin karya Syeikh Daud al-Fathani yang diterbit pada 21 Februari 2005 dalam Utusan Malaysia atau boleh terus rujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0221&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive. Dicapai pada 1 Julai 2009.


[3] Rujuk tulisan Wan Mohd Saghir Abdullah bertajuk Syeikh Muhammad Zain al-Asyi generasi ulama Aceh yang diterbit pada 29 Januari 2007 dalam Utusan Malaysia. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0129&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive. Dicapai pada 1 Julai 2009.

[4] Syeikh Daud al-Fathani diriwayatkan pernah berguru dengan Syeikh Muhammad Zain al-Asyi di Aceh selama dua tahun. Rujuk tulisan Wan Mohd Saghir Abdullah bertajuk Salasilah Sheikh Daud Abdullah Fathani yang diterbit pada 28 Januari 2008 dalam Utusan Malaysia atau rujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0128&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm&arc=hive. Dicapai pada 1 Julai 2009

[5] Rujuk tulisan Wan Mohd Saghir Abdullah bertajuk Syeikh Muhammad Zain al-Asyi generasi ulama Aceh yang diterbit pada 29 Januari 2007 dalam Utusan Malaysia. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0129&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive. Dicapai pada 1 Julai 2009.

Tuesday, June 2, 2009

Syeikh Abdul Rauf Ali al-Fansuri


Abdul Rauf bin Ali dilahirkan di Singkel, Aceh Selatan pada tahun 1620. Beliau lalu sering disebut dengan nama Abdul Rauf Ali al-Fansuri atau Abdul Rauf Singkel atau Abdul Rauf al-Sinkili. Beliau juga digelar dengan "Tengku Syiah Kuala". Gelaran ini popular di kalangan masyarakat setempat. Pada awalnya, gelarannya disebut "Tengku Syeikh di Kuala" kerana keilmuannya dalam bidang agama. Tetapi masyarakat memudah sebutan gelaran itu kepada Syekh Kuala dan seterusnya berubah pengucapan menjadi "Syiah Kuala". Gelar Syiah Kuala yang diberikan kepada Abdul Rauf Al-Sinkili tidak ada kaitan langsung dengan aliran atau faham Syiah yang pengikutnya berkembang di Iran dan Iraq.
Beliau mengajar dan mendirikan madrasah di Kuala Aceh sekembalinya dari berguru di Makkah, Madinah dan Jeddah. Syeikh Abdul Rauf mendapat pendidikan awal dalam lingkungan dayah (sejenis pesantren) yang diasuh oleh ayahandanya, Syeikh Ali. Kemudian ia belajar kepada beberapa ulama di daerah Fansur, Aceh. Beberapa tahun kemudian, beliau berguru dengan seorang tokoh ulama Aceh yang cukup terkenal di zamannya, iaitu Syeikh Syamsuddin Al Sumatra-i di Banda Aceh. Syeikh Abdul Rauf Al-Sinkili lalu merantau ke Tanah Arab pada tahun 1642 dan belajar selama 19 tahun dengan 27 ulama yang ahli dalam berbagai disiplin Ilmu Islam. Beliau merantau hampir ke seluruh Tanah Arab seperti Doha, Yaman, Jeddah, Makkah dan Madinah untuk menimba ilmu. Pengetahuannya mencakupi dalam bidang syariat, fiqh, hadith, ilmu kalam dan tasawuf. Dengan ilmunya yang meluas, beliau dikatakan pernah juga mengajar di Makkah & Madinah, terutama bagi murid-murid yang berasal dari Nusantara. Sekembaliya ke Aceh, beliau bermukim di Kuala sebuah tempat yang jaraknya 15 km dari Banda Aceh. Di tempat ini Syeikh Abdul Rauf Al-Sinkili membuka madrasah dan menjadi tenaga pengajar utama di sana. Banyak murid datang berguru kepadanya, termasuk dari daerah yang cukup jauh. Antara mereka ialah seperti yang dicatat oleh almarhum Ustaz Haji Wan Mohd Saghir,
Baba Daud bin Agha Ismail bin Agha Mustata al-Jawi ar-Rumi. Beliau ini dikatakan berasal daripada keturunan ulama Rom yang berpindah ke Turki, keturunannya pindah pula ke Aceh sehingga menjadi ulama yang tersebut ini. Keturunan beliau pula ada yang berpindah ke Pattani, sehingga menurunkan ulama terkenal iaitu Syeikh Daud bin Ismail al-Fathani. Syeikh Daud bin Ismail al-Fathani ini setelah berkhidmat di Mekah dikirim oleh saudara sepupu dan gurunya Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani ke Kota Bharu, Kelantan untuk memimpin Matba’ah al-Miriyah al-Kainah al-Kalantaniyah. Lalu beliau berpindah ke Kota Bharu, Kelantan, dan dikenali orang dengan gelaran ‘Tok Daud Katib’. Ada pun moyangnya iaitu Baba Daud bin Ismail al-Jawi ar-Rumi inilah yang menyempurnakan karya gurunya Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri yang berjudul Turjumanul al-Mutafid atau yang lebih terkenal dengan Tafsir al-Baidhawi Melayu, iaitu terjemah dan tafsir al-Quran 30 juzuk yang pertama dalam bahasa Melayu. Naskhah asli tulisan tangan Baba Daud bin Ismail al-Jawi ar-Rumi itu dimiliki oleh keturunannya Tok Daud Katib, lalu naskhah itu diserahkan kepada guru dan saudara sepupunya Syeikh Ahmad al-Fathani. Dari naskhah yang asli itulah diproses oleh Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, Syeikh Daud bin Ismail al-Fathani dan Syeikh Idris bin Husein Kelantan sehingga terjadi cetakan pertama di Turki, di Mekah dan Mesir pada peringkat awal. Nama ketiga-tiga ulama itu yang dinyatakan sebagai Mushahhih (Pentashhih) pada setiap cetakan tafsir itu kekal diletakkan di halaman terakhir pada semua cetakan tafsir itu.
Syeikh Burhanuddin Ulakan. Beliau dipercayai orang yang pertama menyebar Islam di Minangkabau (Sumatera Barat) melalui kaedah pengajaran Tarekat Syathariyah.
Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan. Beliau adalah anak murid Syeikh Abdur Rauf yang dianggap orang pertama membawa Tarekat Syathariyah ke Jawa Barat dan selanjutnya berkembang hingga ke seluruh tanah Jawa.
Syeikh Yusuf Tajul Mankatsi yang berasal dari tanah Bugis. Ada riwayat menyebut bahawa beliau adalah murid Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Ini berdasarkan kepada salasilah tarekat syatariyah yang menyebut Syeikh Yusuf Tajul Mankatsi menerima Tarekat Syathariyah daripada Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri itu. Memang diakui bahawa Syeikh Yusuf Tajul Mankatsi ialah orang pertama menyebarkan Tarekat Syathariyah di Tanah Bugis atau seluruh Sulawesi Selatan. Berdasarkan manuskrip Mukhtashar Tashnif Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fanshuri oleh Syeikh Abdur Rauf bin Makhalid Khali-fah al-Qadiri al-Bantani ada catatan menyatakan bahawa Syeikh Yusuf al-Mankatsi adalah cucu murid kepada Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri. Catatan tersebut berbunyi, “... kerana kata ini daripada Syeikh Yusuf (al-Mankatsi/al-Maqasari) turun daripada Syeikh Muhyuddin Karang (Pamijahan), turun daripada Syeikh Abdur Rauf al-Asyi”.
Syeikh Abdul Malik bin Abdullah Terengganu atau lebih popular dengan gelar Tok Pulau Manis yang mengarang berbagai-bagai kitab di antaranya Syarah Hikam dan Kitab Kifayah.’[1]
Sebagai seorang sufi, beliau turut mengajar wirid dan zikir Syattariyyah. Beliau mengembangkan tariqah ini sampai ianya tersebar dari Aceh ke seluruh Sumatera dan Jawa sampai sekarang. Beliau banyak menulis kitab dalam bahasa Arab dan sebahagian kecil dalam bahasa Melayu. KItab-kitabnya yang berjaya ditemui setakat ini ialah seperti;
Bidang fiqh: Mir’at al-Tullâb fi Taysîr al-Ahkâm al-Syar’iyyah li al-Mâlik al-Wahhâb (Cermin para Penuntut ilmu, untuk memudahkan Mengetahui Hukum-hukum Syara’ Tuhan, bahasa Melayu). Bayân al-Arkân (Penjelasan Rukun-rukun, Bahasa Melayu), Bidâyat al-Balîghah (Permulaan yang Sempurna, Bahasa Melayu), Majmû’ al-Masâ’il (Kumpulan Masalah, Bahasa Melayu), Fatîhah Syaikh ‘Abd al-Rauf (Kaedah Bacaan Fatihah Syaikh Abd al-Rauf, Bahasa Melayu), Tanbîh al-‘Amil fî Tahqîq al-Kalâm al-Nawâfil (Peringatan bagi Orang yang Mentahqiqkan Kalam Sembahyang Sunat, Bahasa Melayu), Sebuah Huraian mengenai Niat Sembahyang (Bahasa Melayu), Wasiyyah (tentang Wasiat-Wasiat Abd al-Rauf kepada Muridnya, Bahasa Melayu), Do’a yang Dianjurkan oleh Syekh ‘Abd al-Rauf Kuala Aceh (Bahasa Melayu) dan, Sakaratul Maut (Tentang Hal-hal yang Dialami Manusia Menjelang Ajalnya, Bahasa Melayu)[2]
Bidang Tasawuf: Tanbîh al-Mâsyî al-Mansub ila Tarîq al-Qusyâsyî (Pedoman bagi orang yang Menempuh Tarekat al-Qusyasyi, Bahasa Melayu), ‘Umdat al-Muhtajîn ila Suluk Maslak al-Mufradîn (Pijakan bagi Orang-orang yang Menempuh Jalan Tasawuf, Bahasa Melayu), Sullâm al-Mustafidîn (Tanggapan Setiap orang yang Mencari Faidah, Bahasa Melayu), Piagam tentang Dzikir (Bahasa Melayu), Kifâyah al-Muhtajîn ila Masyârab al-Muwahhidîn al-Qâ’ilîn bi Wahdat al-Wujûd (Bekal bagi Orang yang Memerlukan Minuman Ahli Tauhid Penganut Wahdat al-Wujûd, Bahasa Melayu), Bayân Aqmad al-Masâ’il wa al-Sifat al-Wâjibah li Rabb al-Ard wa al-Samâwât (Penjelasan tentang Masalah-masalah Tersembunyi dan Sifat-sifat Wajib bagi Tuhan Penguasa Langit dan Bumi, Bahasa Melayu), Bayân Tajallî (Penjelasan Tajalli, Bahasa Melayu), Daqâ’iq al-Huruf (Kedalaman Makna Huruf, Bahasa Melayu), Risâlah Adab Murid akan Syaikh (Bahasa Arab dan Melayu), Munyah al-I’tiqâd (Cita-cita Keyakinan, Bahasa Melayu), Bayân al-Itlâq (Penjelasan Makna Istilah Itlâq, Bahasa Melayu), Risâlah A’yân al-Tsâbitah (Penjelasan tentang A’yan Tsabitah, Bahasa Melayu), Risalah Jalan Ma’rifatullah (Karangan tentang Jalan Menuju Makrifat Kepada Allah, Bahasa Melayu), Risâlah Mukhtasarah fi Bayân Syurut al-Syaikh wa al-Murîd (Karangan Ringkas tentang Syarat-syarat Guru dan Murid, Bahasa Melayu), Faidah yang tersebut di dalamnya Kaifiyah Mengucap Dzikir Lâ Ilâha illa Allâh (bahasa Melayu), Syair Ma’rifah (Bahasa Melayu), Otak Ilmu tasawuf (Bahasa Melayu), ‘Umdah al-Ansâb (Pohon Segala Nasab, Bahasa Melayu), Idah al-Bayân fi Tahqîq Masâ’il al-Adyân (Penjelasan dalam Menyatakan Masalah-masalah Agama, Bahasa Melayu), Ta’yid al-Bayan Hasyiyah Idah al-Bayân (Penegasan Penjelasan; Catatan atas Kitab Idah al-Bayan, Bahasa Melayu), Lubb al-Kasyf wa al-Bayân li Ma Yarahu al- Muhtadar bi al-‘Iyân (Hakikat Penyingkapan dan Penjelasan atas apa yang Dilihat Secara Terang-Terangan, Bahasa Arab dan Melayu. Risalah Simpan (Membahas Aspek-Aspek Sembahyang secara Mistis, Bahasa Melayu), dan Syattâriyyah (tentang Ajaran dan Tata Cara Dzikir Tarikat Syattariyah, Bahasa Melayu)[3]
Bidang Tafsir: Tarjuman al-Mustafid bi al-Jawiy, yang merupakan Tafsir Pertama di dunia Islam dalam Bahasa Melayu,
Bidang Hadis: Al-Arba’in Haditsan li al-Imam al-Nawawiyah (Penjelasan Terperinci atas Kitab Empat Puluh Hadis Karangan Imam Nawawi, Bahasa Melayu), Al-Mawaidz al-Badî’ah (Petua-petua Berharga, Bahasa Melayu)[4]
Sebahagian dari karya yang disebut diatas sangat terkenal di Alam Melayu seperti:
Mir'at al-Thullab fî Tasyil Mawa'iz al-Badî''rifat al-Ahkâm al-Syar'iyyah li Malik al-WahhabKarya ini ditulis atas permintaan Sultanah Safiyatuddin. Kitab ini dipercayai ditulis pada tahun 1663 yakni setahun selepas beliau kembali ke Nusantara. Kitab ini dipandang sebagai pelopor dalam penulisan fiqh muamalat di nusantara kerana pembahasannya yang cukup luas di bidang ini, yang meliputi masalah-masalah politik, ekonomi, sosial, dan keagamaan (ibadah).
Tarjuman al-Mustafid
Kitab ini merupakan naskah pertama tafsir Al Qur’an yang lengkap berbahasa Melayu.
Terjemahan Hadits Arba'in karya Imam Al-NawawiKitab ini ditulis atas permintaan Sultanah Zakiyyatuddin.
Mawa'iz al-Badî;Kitab ini berisi sejumlah nasihat penting dalam pembinaan akhlak. Dizaman pemerintahan Sultan Iskandar Shah, Sultan yang memerintah Perak dari tahun 1918 ke 1938, kitab ini telah diterbit semula. Kitab ini telah diterbit dibawah seliaan Wan Abdul Jalil bin Wan Hasan – Orang Kaya Temenggung Paduka Raja, Perak. Tarikh ia diterbitkan semula ialah pada 10 Mei 1936.



Kitab Mawa'izd al-Badi'ah yang diterbit semula oleh al-Hidayah Publishers dan ditransliterasi ke Rumi. Kitab ini digabungkan dengan kitab Muhimmah yang ditulis oleh Syeikh Abdullah bin Abdul Rahim al-Fathani


Tanbih al-Masyi
Kitab ini merupakan naskah tasawuf yang memuat pengajaran tentang martabat tujuh.
Kifayat al-Muhtajin ilâ Masyrah al-Muwahhidin al-Qâilin bi Wahdatil WujudKitab ini memuatkan penjelasan tentang konsep wahadatul wujud.
Daqâiq al-HurfKitab ini memuatkan pengajaran mengenai tasawuf dan teologi.
‘Umdat al-Muhtajîn ila Suluk Maslak al-MufradînKitab ini berisi amalan-amalan yang perlu ditempuhi oleh seorang sufi. Syeikh Abdul Rauf membahagi kitab ini kepada beberapa fasal. Setelah muqaddimah, fasal pertama yang dibahas ialah tentang kewajiban mukallaf untuk mengetahui sifat wajib, mustahil dan jaiz Allah dan sifat wajib, mustahil, dan jaiz bagi Rasul. Fasal kedua membahas tentang adab dan tata cara zikir. Fasal ketiga membicarakan tentang hadith Rasulullah yang berkaitan dengan keutamaan lâ ilâha illâ Allâh; Fasal keempat membahas tentang faedah zikir lâ ilâha illâ Allâh dengan mendalam; fasal kelima berisi penjaelasan tentang talqin guru pada murid dengan lâ ilâha illâ Allâh serta tata cara bai’ah dan talqin; Fasal keenam membahas tentang solat-solat sunnah dan wirid yang harus diamal oleh seorang salik, dan fasal ketujuh membahas tentang sifat-sifat pengikut tarekat dan penjelasan Rasul tentang sifat-sifat mukmin. Syeikh Abdul Rauf turut membahas tentang guru-gurunya, tarekat yang telah ditekuninya, serta murid-murid yang telah belajar padanya sebelum mengakhiri isi kitab tersebut.
Bayan Tajalli
Kitab ini pernah dicetak dibawah label Tabbia’ bi Matba’ah Darr Ikhyak al-Mutub al-Arabiyah pada tahun 1925


Ketika Syeikh Abdul Rauf al-Sinkili kembali ke Aceh, Sultanah Safiatuddin Tajul Alam sedang memerintah di Kesultanan Darussalam Aceh (berkuasa dari tahun 1662 – 1675). Dengan pengetahuannya yang meluas dalam bidang agama, Sultanah telah mengangkatnya menjadi Mufti yang bertanggung jawab memberi nasihat di dalam bidang agama, sosial, dan kebudayaan. Beliau juga bertanggung jawab menyusun kembali Aceh yang hancur akibat perang dengan Portugis di Melaka pada tahun 1629. Menurut perhitungan para sarjana, Syeikh Abdul Rauf Al-Sinkili meninggal dunia pada tahun 1693, ketika berusia 73 tahun. Jasad ulama besar kebanggaan nusantara itu dimakamkan berdekatan masjid Al-Waqib (masjid yang dibangunnya sendiri) di Kuala, tepatnya di desa Deyah Raya Kecamatan Kuala yang terletak sekitar 15 km dari Banda Aceh.
Guru-gurunya
Di Timur Tengah, dikatakan bahawa beliau telah memulakan pengajian di Doha, Qatar, dengan berguru pada seorang ulama besar, Abd Al-Qadir al Mawrir. Ketika di Yaman, Syeikh Abdul Rauf belajar di sebuah kota bernama Bayt al-Faqih dengan keluarga Ja'man. Beberapa anggota keluarga ini terkenal sebagai ahli sufi dan ulama terkemuka seperti Ibrahim Muhammad Ja'man dan Faqih al-Thayyib Abi al-Qasim Ja'man. Sebahagian ulama Ja'man adalah juga murid-murid dari Ahmad Al-Qusyasyi dan Ibrahim al-Kurani yang telah menyarankan kepada beliau agar mencari kedua-dua guru ini untuk menimba ilmu sapabila tiba di Madinah kelak. Guru paling berpengaruh terhadap pemahaman keagamaan Syeikh Abdul Rauf adalah Ibrahim Abdullah Ja'man yang merupakan seorang muhaddith dan faqih. Gurunya ini dikatakan seorang pemberi fatwa yang produktif. Beliau turut mempelajari ilmu hadith dengan Ishaq Muhammad Ja'man yang juga terkenal sebagai muhaddith dan faqih di Bayt al-Faqih. Di Zabid, Syeikh Abdul Rauf menadah kitab kepada Abd Al-Rahim al-Shiddiq Al-Khash, Amin Al-Shiddiq al-Mizjaji dan Abd Allag Muhammad Al-Adani. Sejumlah ulama Yaman seperti Abd Fatah Al-Khash, Sayyid al-Thahit Al-Maqassari, Qadhi Muhammad Abi Bakr Muthayr dan Ahmad Abu Al-Abbas al-Muthayr turut berhubungan dengan Syeikh Abdul Rauf tentang hal-hal ilmiah. Ketika berada di Jeddah, beliau belajar dengan mufti Abd Al-Qadir Al-Bharkali. Selanjutnya di Makkah, Syeikh Abdul Rauf belajar dengan Badr Al-Din al-Luhuri dan Abd Allah Al-Luhuri. Gurunya yang terpenting di Makkah adalah Ali Abd Al-Qadir. Ulama-ulama terkemuka di Makkah yang turut dikunjunginya ialah seperti Isa al-Maghribi, Abd Al-Aziz Al-Zamzani, Taj Al-din Ibn Ya'qub, Ala' Al-Din Al-Babili, Zayn Al-Abidin Al-Thabari, Ali Jamal Al-Makki dan Abd Allah Sa'id Ba Qasyir al-Makki. Madinah adalah destinasi ilmu terakhir Syeikh Abdul Rauf. Di kota tersebut, beliau belajar dengan dua orang ulama terkemuka, Ahmad Al-Qusyasyi dan khalifahnya Ibrahim al-Kurani. Dari Al-Qusyasyi, beliau mendalami ilmu-ilmu dalam (ilm al bathin) yakni tasawuf dan ilmu terkait lainnya. Dari gurunya itu, Syeikh Abdul Rauf beroleh ijazah dan ditunjuk sebagai khalifah Syathariyyah dan Qadiriyyah. Ini sekaligus menandai selesainya pelajaran dalam jalan mistis. Ibrahim Al-Kurani pula banyak menanamkan pendidikan secara intelektual yang berkaitan dnegan akhlak dan ilmiah Islam kepada Syeikh Abdul Rauf. Kedua ulama tersebut menjadi sentral dalam pencarian pengetahuan keagamaan dan kerohanian Syeikh Abdul Rauf. Bahkan tidak berlebihan jika al-Qusyasyi dianggap sebagai guru spiritual dan mistis sementara Al-Kurani menjadi guru intelektualnya.

Mengharmonikan tasawuf dengan bidang lain
Kitab Mawa'iz al-Badî' karangan Syeikh Abdul Rauf dianggap satu percubaan beliau untuk memadukan faham tasawuf dengan faham ortodoks. Syeikh Abdul Rauf berusaha menyerapkan inti ajaran tasawuf khususnya bab akhlak kedalam amalan harian masyarakat. Mawa'iz al-Badî' termasuk dalam kelompok kitab yang diperuntukkan untuk masyarakat umum. Muatan-muatan yang tersaji di dalamnya lebih banyak menekankan nasihat-nasihat penting bagi setiap Muslim seperti berusaha memiliki keyakinan, penghayatan, dan pengamalan agama dengan benar dan kaffah. Sekalipun ditujukan kepada masyarakat awam, namun kandungan Mawa'iz al-Badî' dipandang cukup penting kerana pemahaman isi kandungan didalamnya adalah berkisar mengikut perspektif tasawuf. Intipati isi kandungannya ialah seperti berikut;
(1) ajaran mengenai Tuhan dan hubungan-Nya dengan ciptaan
(2) neraka dan syurga; dan
(3) cara-cara yang layak bagi kaum muslim untuk mendapatkan redha Tuhan.
Dalam kitab ini, Syeikh Abdul Rauf Al-Sinkili secara khusus menekankan perlunya bagi setiap Muslim menyeimbangkan antara pengetahuan ('ilm) dan perbuatan baik ('amal) kerana pengetahuan saja tidak akan membuat seseorang menjadi muslim lebih baik. Muslim yang baik harus melakukan perbuatan-perbuatan yang baik. Tentang pengajaran yang ada didalam Mawa'iz al-Badî', ia berkisar pada tiga tujuan yang utama, iaitu; (1) kebencian terhadap segala bentuk dosa atau yang mendorong perbuatan dosa; (2) kesucian jiwa dari segala sifat dan perilaku tercela (akhlak mazmumah); dan (3) kedekatan kepada Allah SWT. Dari tiga tujuan ini Mawa'iz al-Badî' memaparkan sejumlah doktrin keislaman yang pada dasarnya bersifat spritual.
Selain Mawa’iz al-Badi’, kitab Mir’at at-Tullab juga merupakan usaha Syeikh Abdul Rauf memadukan tasawuf dengan bidang syariat. Ia merupakan kitab fiqh mu’amalat pertama yang berusaha menunjukkan kepada kaum Muslim Melayu, bahwa doktrin hukum Islam tidak terbatas pada ibadah saja, tapi mencakup seluruh aspek kehidupan sehari-hari. Meskipun kini tidak lagi digunakan, di masa lampau karya ini beredar luas, bahkan pada pertengahan abad ke-19, menjadi salah satu acuan utama hukum Islam di Maquidanao, Filipina. Sumber utama karya ini adalah Fath al-Wahhab karya Zakariyya Al-Anshari. Syeikh Abdul Rauf juga turut merujuk dari Fath al-Jawab dan Tuhfat al-Muhtaj, keduanya karya Ibn Hajar Al-Haytsami (w. 973 H/1565 M), Nihayat al-Muhtaj karya Syams Al-Din Al-Ramli; Tafsir al-Baydhawi karya Ibn Umar Al-Baydhawi (w. 685H/1286 M); dan Syarh Shahih Muslim karya Al-Nawawi (w.676 H/1277 M).
Walaupun Syeikh Abdul Rauf dikenali di Alam Melayu sebagai sufi besar namun karya-karyanya didalam bidang sufi ditulisnya dengan berhati-hati. Beliau sangat berhati-hati dalam menghuraikan sesuatu isi kandungan tasawuf khususnya yang mempunyai tema yang halus dan mendalam kerana dikhuatiri akan menimbulkan kekeliruan dikalangan orang awam. Tambahan pula beliau memegang jawatan Qadhi Malik Al-‘Adil dalam kerajaan dimana sebarang tutur kata, tulisan dan perbuatannya menjadi ikutan masyarakat. Karya-karyanya seperti Tanbih al-Masyi dan Daqa’iq al-Huruf, ditulis dengan berhati-hati. Contoh sikap berhati-hati Syeikh Abdul Rauf boleh dilihat menerusi karyanya, Syair Ma’rifah ketika menjelaskan makna Man ‘Arafa Nafsahu Fa qad ‘Arafa Rabbahu (barang siapa mengenal dirinya, ia akan mengenal Tuhannya), sebagai berikut:
“Jika tuan menuntut ilmu,
ketahui dahulu keadaanmu,
Man ‘arafa nafsahu kenal dirimu,
Fa-qad ‘arafa Rabbahu kenal Tuhanmu.
Kenal dirimu muhadas semata,
Kenal Tuhanmu kadim Zat-Nya,
Tiada bersamaan itu keduanya,
Tiada semisal seumpamanya”
Syeikh Abdul Rauf jelas memisahkan sifat kekekalan (kadim) Tuhan di satu pihak, dan sifat kemakhlukan (muhadas) manusia di pihak lain secara mutlak.[5] Ini bagi mengelakkan salah tanggap atau kekeliruan kepada si pembaca kerana tema pembahasannya yang sangat halus dan mendalam.
Tafsir al-Quran
Syeikh Abdul Rauf dipercayai orang Melayu pertama yang menulis tafsir al-Quran dengan lengkap dalam Bahasa Melayu. Karyanya itu Tarjumân al-Mustafîd, sangat popular di Alam Melayu dan dikatakan beredar luas di wilayah Melayu-Nusantara sehinggalah ke hari ini. Kitab ini juga dikatakan turut diedarkan di Afrika Selatan.[6] Kitab tafsir ini dicetak dimerata-rata tempat seperti Singapura, India, Pulau Pinang, Jakarta dan Timur Tengah. Kali terakhir, karya tafsir ini diterbitkan ialah di Jakarta pada tahun 1981. Tentang isi kandungannya, ianya adalah merupakan terjemahan sebahagian besar dari Tafsir Jalalayn. Ini berdasarkan kepada kajian yang dilakukan oleh Peter Riddell dan Salman Harun, penyelidik dari Australia dan IAIN Jakarta yang mendapati bahawa Tarjumân al-Mustafîd adalah merupakan terjemahan dari Tafsîr Jalâlayn, kecuali pada bahagian-bahagian tertentu yang dirujuk dari Tafsîr al-Baydlâwî dan al-Khazin. Tafsir Jalâlayn ditulis oleh dua orang ulama terkemuka, Jalâl al-Dîn al-Mahallî (w. 864/1459) dan Jalâl al-Dîn al-Suyûtî yang menjadi salah satu rujukan penting karya-karya para ulama Nusantara.



Tafsir Baidhawi yang diterbit oleh Pustaka Nasional pada tahun 1980-an





[1] Wan Mohd Saghir Wan Abdullah. 2007. Syeikh Abdul Rauf Fansuri pentafsir al-Quran pertama dalam bahasa Melayu. Utusan Malaysia. Terbit pada 3 September 2007
[2] Oman Fathurrahman. 1999. Menyoal Wahdatul Wujud: Kasus Abdurrauf Singkel di Aceh Abad 17. Mizan. Bandung. Hlm 29

[3] Oman Fathurrahman. 1999. Menyoal Wahdatul Wujud: Kasus Abdurrauf Singkel di Aceh Abad 17. Mizan. Bandung. Hlm 29
[4] Azyumardi Azra. 1994. Jaringan Ulama Timur Tengah dan Kepulauan Nusantara Abad XVII dan XVIII: Melacak Akar-Akar Pembaruan Pemikiran Islam di Indonesia. Mizan. Bandung. Hlm 205

[5] Oman Fathurahman. Abdurrauf Singkel: Ulama Santun dari Serambi Mekkah dalam B. Kristanto (ed.). 2000. Seribu Tahun Nusantara, Jakarta: PT Kompas Media Nusantara, hlm 457-469
[6] Mazlan Ibrahim, Ahmad Kamel Mohamad. 2004. Israiliyyat dalam kitab Tafsir Anwar Baidhawi. Jurnal Islamiyyat 26 (2). Universiti Kebangsaan Malaysia.