Showing posts with label makkah. Show all posts
Showing posts with label makkah. Show all posts

Thursday, October 21, 2010

Syeikh Abdul Qadir al-Mandili Guru di Masjidil Haram

Bukan sedikit tokoh-tokoh ulama yang berketurunan Mandailing berhijrah ke Tanah Melayu. Antara tokoh terawal yang datang ke Tanah Melayu ialah Syeikh Junid Thala. Tokoh besar ini lahir pada tahun 1314 Hijriyyah bersamaan dengan 1897 Masehi. Beliau merupakan pendiri Madrasah ad-Diniyah di Padang Rengas, Kuala Kangsar Perak. Madrasah ini pernah menjadi pusat gerakan menentang penjajah satu masa dahulu. Tokoh selanjutnya ialah Syeikh Abdul Qadir Bin Abdul Mutollib Al-Indonesi Al-Mandili. Beliau pernah menimba ilmu di Kedah dan kemudiannya menjadi tenaga pengajar di Masjidil Haram. Walaupun menjadi guru di Masjidil Haram, hubungan beliau dengan alim-ulama dan para penuntut ilmu di Alam Melayu sangat akrab. Beliau sangat mengambil berat tentang perkembangan semasa samada dari segi agama mahupun politik di Alam Melayu.

Nama penuh ulama ini ialah Abdul Qadir bin Abdul Mutollib bin Hassan. Beliau dilahirkan pada tahun 1910 Masehi di Sigalangang, Tapanuli Selatan sebuah wilayah yang terletak di bahagian Sumatera Utara dalam Pulau Sumatera. Latar belakang keluarganya adalah dalam bidang asas tani. Syeikh Abdul Qadir mendapat pendidikan awal di Sekolah Belanda pada tahun 1917 dan lulus Darjah Lima pada tahun 1923. Setahun selepas itu beliau berhijrah ke Kedah untuk mendalami ilmu agama.

Di peringkat awal, beliau menimba ilmu kepada Tuan Guru Haji Bakar Tobiar di Pondok Penyarum, Pendang. Selepas itu beliau berpindah ke Pondok Air Hitam untuk menimba ilmu kepada tokoh ulama di situ iaitu Tuan Guru Haji Idris dan Lebai Dukun. Pada tahun 1926, Syeikh Abdul Qadir memasuki Madrasah Darul Saadah Al-Islamiyah (Pondok Titi Gajah ) yang pada waktu itu dipimpin oleh Syeikh Wan Ibrahim Abdul Qadir yang lebih terkenal dengan panggilan Pak Chu Him) oleh masyarakat setempat. Beliau menadah kitab kepada Pak Chu Him selama 10 tahun. Beliau sangat tekun belajar dan amat ringan tulang. Pada musim cuti, beliau akan bekerja mengambil upah memukul padi kerana pondok itu terletak di dalam kawasan padi. Diriwayatkan bahawa telah menjadi amalan beliau untuk menghafaz sambil memukul padi. Tidak hairanlah beliau menjadi anak murid kesayangan Pak Chu Him Selanjutnya beliau menjadi guru pondok membantu Pak Chu Him mengajar di situ tetapi dalam tempoh yang tidak lama. Ini adalah kerana beliau mengambil keputusan untuk berangkat ke Makkah untuk menimba ilmu kepada kakanda Pak Chu Him iaitu Syeikh Wan Ismail Abdul Qadir atau lebih dikenali sebagai Pak Da ‘Ail. Pak Da ‘Ail pada ketika itu merupakan tokoh ulama besar di Makkah. Pada tahun 1936, beliau bertolak ke Makkah dan setibanya di sana, beliau bukan sahaja berguru dengan Pak Da ‘Ail tetapi juga tokoh-tokoh ulama lain seperti Syeikh Al-Maliki, Syeikh Hassan Al-Masyat, Syeikh Muhammad Al-Arabi, Syeikh Sayyid Al-Alawi, Syeikh Muhammad Ahyad, Syeikh Hasan Yamani, Syeikh Muhammad Nur Saif, Syeikh Umar Hamdan Mahrusi, Syeikh Yasin Isa Al-Fadani dan Syeikh Abdullah Lahji. Dengan mendampingi ulama-ulama besar ini, beliau telah mendalami ilmu khususnya dalam bidang Tauhid, Tasawwuf, Fiqh dan Hadith. Ketika berada di Makkah beliau tambah tekun belajar. Diriwayatkan masanya banyak dihabiskan di Masjidil Haram dengan mengaji, menghafaz, mengerjakan tawaf dan minum air zam-zam. Saking alimnya beliau yang menguasai pelbagai bidang ilmu maka beliau kemudiannya diterima menjadi guru di Masjidil Haram. Bukan calang-calang orang menjadi guru agama di Masjidil Haram kerana Masjidil Haram menjadi tempat perhimpunan alim-ulama untuk menimba ilmu. Syeikh Abdul Qadir telah mendapat pengiktirafan tokoh-tokoh ulama di Makkah sehingga beliau diberi izin untuk mengajar di kota suci itu. Disebabkan itulah beliau telah digelar oleh seorang tokoh ulama Kedah iaitu Tuan Guru Haji Husein Che Dol[1] sebagai “al-Alim al-Fadhil wa al-Abdi al-Kamil As-Syeikh Abdul Qadir bin Abdul Mutollib Al-Mandili al-Indonesi” yang menggambarkan tingginya tahap keilmuan beliau. Halaqah pengajiannya sentiasa mendapat tempat di hati para penuntut ilmu khususnya penuntut yang datang dari Alam Melayu. Halaqah beliau dikatakan sentiasa penuh, tidak pernah kurang dari 200 orang pelajar. Beliau mengajar pelbagai bidang ilmu termasuklah ilmu Nahu, Sorof, Hadith, Musthalah Hadith, Tafsir, Fiqh Syafi`i dan sebagainya.

Ketika menjadi guru di Masjidil Haram, Syeikh Abdul Qadir pernah ditawarkan dengan pelbagai jawatan termasuk sebagai guru agama di Cape Town, Afrika Selatan. Presiden Sukarno dikatakan pernah menawarkan kepada beliau jawatan Mufti Indonesia manakala Al-Malik Saud, Raja Arab Saudi menawarkan jawatan sebagai Qadhi Al-Qudat dengan gaji yang besar tetapi beliau menolaknya kerana ingin menumpukan perhatian kepada pengajarannya di Masjidil Haram. Ini bersesuaianlah dengan gelaran yang beliau sendiri pakai iaitu “Khuwaidam Talabah al-Ilmu as-Syarif bil Harami al-Makki (Khadam kecil bagi penuntut ilmu di Masjidil Haram)”.

Syeikh Abdul Qadir tidak ketinggalan menghasilkan karya dimana ada di antara kitab-kitab yang ditulisnya itu masih lagi digunakan sebagai teks pengajian di pondok dan di masjid. Tulisan beliau meliputi pelbagai bidang seperti usuluddin, tasawwuf, fiqh, politik, pendidikan dan perundangan. Diriwayatkan sewaktu berada di Makkah, beliau telah menghasilkan 24 buah kitab dalam bahasa Melayu dan Arab. Antara hasil penulisannya ialah seperti seperti

  1. Risalah Pokok Qadyani – Risalah ini mendedahkan kesesatan dan bahaya ajaran Mirza Ghulam Ahmad Qadyani.
  2. Sinar Matahari Buat Penyuluh Kesilapan Abu Bakar Al-Asy’ari – Kitab ini ditulis pada tahun 1958 mengkritik pemikiran Kaum Muda.
  3. al-Mazhab atau Tiada Haram Bermazhab – Kitab ini juga ditulis pada tahun 1958 mengkritik pemikiran Kaum Muda.
  4. Pendirian Agama Islam – Kitab ini ditulis pada tahun 1956 dan membicarakan tentang masalah ideologi ciptaan manusia seperti kapitalisme, sosialisme dan komunisme serta percanggahannya dengan aqidah dan pemikiran Islam.
  5. Senjata Tok Haji dan Tok Lebai – Kitab ini ditulis pada tahun 1949
  6. Pembantu Bagi Sekalian Orang Islam Dengan Harus Membaca Quran dan Sampai Pahalanya Kepada Sekalian Yang Mati – Kitab ini ditulis pada tahun 1950
  7. Tuhfat Al-Qari Al-Muslim Al-Mukhtarah Mimma Ittifaqa Alaih Al-Bukhari wa Muslim – Kitab ini ditulis pada tahun 1952
  8. Bekal Orang Yang Menunaikan Haji – Kitab ini ditulis pada tahun 1953
  9. Penawar bagi Hati – Kitab ini ada diterbitkan dalam versi Rumi oleh penerbit Hidayah Publishers
  10. Perisai bagi Sekalian Mukallaf – Kitab ini ada diterbitkan dalam versi Rumi oleh Hidayah Publishers dan Jahabersa.

Buku-buku yang ditulisnya dalam bidang politik dan perundangan antaranya ialah seperti Kebagusan Undang-undang Islam dan Kecelaan Undang-undang Ciptaan Manusia (1961), Siasah dan Loteri dan Alim Ulama (1962) dan Islam: Agama dan Kedaulatan (1959).

Syeikh Abdul Qadir sangat gigih mengajar tidak kira walaupun dalam keadaan sakit. Tidak langsung tampak kesakitan yang dideritainya sebaik sahaja beliau mula mengajar. Apabila ditanya oleh anak muridnya apakah beliau sudah sembuh, beliau menjawab, "kalau menangis pun bukan nak lega". Begitulah hebatnya tokoh ulama yang berasal dari Alam Melayu ini yang sangat gigih berdakwah dan menabur ilmu kepada umat Islam tanpa mengira penat dan lelah. Pada tahun 1385 Hijriyyah (1965 Masehi), Syeikh Abdul Qadir bin Tholib menghembuskan nafasnya yang terakhir setelah mengalami penyakit uzur di kakinya. Jenazahnya telah dimakamkan di perkuburan Ma`la Makkah Mukarramah.

Rujukan utama

  1. http://www.niknasri.com/?p=1378. Dicapai pada 19 Oktober 2010
  2. http://pondoktauhid.blogspot.com/2010/04/sheikh-qadir-mandili.html. Dicapai pada 19 Oktober 2010
  3. http://allangkati.blogspot.com/2010/09/syeikh-abdul-qadir-bin-tolib.html. Dicapai pada 19 Oktober 2010


[1] Anakanda kepada Tuan Guru Haji Ismail bin Mustafa al-Fathani atau lebih dikenali dengan Tok Ayah Doi. Tok Ayah Doi adalah merupakan bapa mertua Pak Chu Him


Syeikh Abdul Qadir al-Mandili



Kitab al Mazhab karangan Syeikh Abdul Qadir al-Mandili


Kitab Senjata Tok Haji dan Tok Lebai susunan Syeikh Abdul Qadir al-Mandili

Thursday, February 4, 2010

Sayyid Muhsin al-Masawi ulama besar abad ke-20 asal Palembang

Nama lengkap ulama besar yang berasal dari tanah Palembang ini ialah Sayyid Muhsin b. ‘Ali b. ‘Abd al-Rahman al-Masawi. Beliau lahir pada tahun 1323 H bersamaan dengan tahun 1905 M. Beliau mendapat pendidikan awal dari ayahandanya sendiri. Setelah itu beliau dihantar memasuki Madrasah Nurul Islam di Jambi dan disitu, beliau menelaah dasar-dasar ilmu agama. Seterusnya beliau berpindah ke Madrasah Sa‘adah al-Darain yang juga terletak di Jambi. Pada tahun 1919 M beliau pulang semula ke Palembang setelah kewafatan ayahandanya. Di tempat asalnya, beliau tetap mendalami ilmu agama dan salah seorang guru utamanya pada waktu ialah Haji ‘Idrus. Pada tahun 1340 H, beliau berangkat ke Makkah. Beliau memasuki sebuah madrasah yang sangat terkenal di Makkah pada waktu itu iaitu Madrasah al-Shaulatiyah[1] dalam pertengahan tahun 1341 H. Disitu beliau menadah kitab kepada beberapa tokoh besar seperti Syeikh Hasan Muhammad al-Masysyath, Syeikh Dawud Dihan, Syeikh ‘Abd Allah b. Hasan al-Kawhiji, Syeikh Habib al-Syinqiti dan Syeikh Mahmud b. ‘Abd al-Rahman Zuhdi. Di madrasah ini, beliau didedahkan dengan pelbagai cabang ilmu seperti tafsir, usul al-din, ilmu falaq dan faraid. Pada tahun 1348 H, ulama besar asal Palembang ini berkesempatan mengunjungi para sayyid ‘Alawiyyin di Hadhramaut dan menghadiri halaqah-halaqah pengajian mereka di Seyulan, Tarim. Beliau berada di sana selama 3 bulan untuk menimba ilmu dari para masyaikh terkenal Yaman. Setelah itu, beliau pulang semula ke Makkah dan ditawarkan jawatan mengajar di Madrasah al-Shaulatiyah.
Walaupun mengajar, beliau masih dahagakan ilmu. Syeikh al-Masawi menadah kitab dihadapan para masyaikh di halaqah pengajian di Masjidil Haram. Antara gurunya disitu ialah seperti Syeikh ‘Umar Ba Junayd dan Syeikh Muhammad al-Yamani al-Khulaydi. Pengajian yang diikutinya adalah secara bersanad. Beliau turut menimba ilmu dan mendapatkan ijazah dari Syeikh Muhammad ‘Ali b. Husayn Maliki, Syeikh ‘Imran Hamdan, dan Syeikh ‘Abd Allah b. Muhammad Ghazi. Masih merasakan ilmu belum cukup, beliau berangkat pula ke Madinah untuk mengikuti pengajian disana. Di Madinah, beliau menggurui dan mendapatkan ijazah daripada Syeikh ‘Abd al-Qadir b. Tawfiq al-Syalabi, Syeikh Muhammad ‘Abd al-Bai al-Laknuwi, dan Sayyid Zakki b. Ahmad Barzanji. Guru-guru beliau yang lain adalah seperti Syarif ‘Abd al-Hayy b. ‘Abd al-Kabir al-Kattani al-Fasi dan Syaikh ‘Ali ‘Awwad al-Magribi al-Salwa. Pada tahun 1353 H, beliau mendirikan Madrasah Dar al-‘Ulum al-Diniyyah bersama-sama dengan seorang lagi tokoh besar dari Alam Melayu yang berasal dari Pulau Pinang iaitu Syeikh Zubir Ahmad.[2] Dibawah pimpinan Syeikh al-Masawi, madrasah ini menjadi tumpuan penuntut-penuntut yang datang dari Asia Tenggara menimba ilmu. Madrasah ini banyak mencetak ulama-ulama besar Alam Melayu antaranya adalah seperti Syeikh Muhammad Yasin ulama besar asal Padang dan Dato Mursyid Diraja Syeikh Tajuddin bin Syeikh Abdul Rahman al-Jarumi, ulama besar asal Kedah. Syeikh Muhsin al-Masawi wafat pada bulan Jumadil Thani 1354 H dalam usia 31 tahun di Makkah. Selepas kewafatannya, pimpinan madrasah diambil alih oleh Syeikh Zubir. Beliau mentadbir madrasah selama lima tahun sebelum pulang menabur bakti di negeri Perak.
Walaupun Syeikh al-Masawi wafat dalam usia yang sangat muda, beliau sempat mengarang beberapa buah kitab. Antaranya ialah seperti
1. Al-Nafhah al-Hasaniyyah Syarh al-Tuhfah al-Saniyyah fi al-Faraid
2. Madkhal ila ‘Ilm al-Usul
3. Nahj al-Taysir Syarh Manzhumah al-Zamzami fi Usul al-Tafsir
4. Jam‘ al-Thamr Ta‘liq ‘ala al-Manzhumah Manazil al-Qamar
5. Al-Jadad Syarh Manzhumah al-Zubad (manuskrip dan belum selesai)
6. al-Nusus al-Jawhariyyah fi al-Ta‘arif al-Mantiqiyyah
7. Adillah Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah fi Daf‘ Syubuhat al-Firaq al-Dallah al-Muttadi‘ah
8. Al-Rihlah al-‘Ilyah ila al-Diyyar al-Hadramiyyah
Biodata dan senarai kitab Syeikh al-Masawi dinyatakan didalam tulisan ‘Umar ‘Abd al-Jabbar dalam bukunya yang bertajuk Siyar wa Tarajim ba’d ‘Ulama’ina fi al-Qarn al-Rabi’ ‘Asyr li al-Hijra (Makkah: Mu’assasah Makkah li al-Tiba’ah wa al-I’lam, 1385/1965) dari halaman 331 hingga 333.


Gambar para masyaikh Dar al-'Ulum pada tahun 1375 H/1956 M (Sumber gambar diambil dari sini)


[1] Madrasah al-Shaulatiyah didirikan oleh ulama berketurunan Saiyidina Uthman bin Affan yang berasal dari India. Madrasah ini menjadi tumpuan masyarakat Islam khususnya di kalangan masyarakat India dan Pakistan untuk menimba ilmu.
[2] Mohd Fadli Ghani. 2008. Sheikh Zubir al-Filfulani: Ulama pengasas PAS. Harakah. Kuala Lumpur Terbit pada 25 Disember 2008

Wednesday, September 2, 2009

Syeikh Nawawi asal Banten wafat di Makkah

Seperti yang disebut oleh almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir, nama Imam Nawawi tidak asing bagi dunia Islam terutama dalam lingkungan ulama-ulama Syafi'iyah.[1] Ini adalah kerana ulama ini sangat terkenal dengan karangan-karangannya yang masyhur yang dikaji sejak dari zaman dahulu sampailah sekarang. Pada penghujung abad ke-18 M, lahir pula seorang yang bernama Nawawi di Banten, Jawa Barat. Beliau digelar Imam Nawawi ats-Tsani, ertinya Imam Nawawi Yang Kedua disebabkan kealimannya dalam bidang agama serta banyak pula mengarang kitab-kitab syarahan. Orang pertama memberi gelaran demikian ialah Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Gelaran yang diungkapkan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani dalam seuntai gubahan syairnya itu akhirnya diikuti oleh semua orang yang menulis riwayat tentang ulama yang berasal dari Banten itu.[2]
Nama lengkapnya ialah Abu Abd al-Mu’ti Muhammad Nawawi ibn Umar al- Tanara al-Jawi al-Bantani. Ia lebih dikenali dengan sebutan Muhammad Nawawi al-Jawi al-Bantani. Beliau dilahirkan di Kampung Tanara, Serang, Banten pada tahun 1815 M/1230 H. Pada tanggal 25 Syawal 1314 H/1897 M, Syeikh Nawawi menghembuskan nafasnya yang terakhir dalam usia 84 tahun. Beliau dimakamkan di Ma’la dekat makam Siti Khadijah, Ummul Mukminin isteri Nabi saw. Sebagai tokoh kebanggaan umat Islam di Jawa khususnya di Banten, umat Islam di desa Tanara, Tirtayasa Banten sentiasa mengadakan hari hol untuk memperingati jejak peninggalannya setiap tahun pada hari Jum’at terakhir bulan Syawwal. Apabila ditelusuri silsilahnya, dapatlah diketahui bahawa Syeikh Nawawi bersusur-galur dari keturunan kesultanan yang ke-12 Maulana Syarif Hidayatullah (Sunan Gunung Jati, Cirebon), iaitu keturunan dari putera Maulana Hasanuddin (Sultan Banten I) yang bemama Sunyararas (Tajul ‘Arsy). Nasabnya bersambung dengan Nabi Muhammad saw melalui Imam Ja’far As- Shodiq, Imam Muhammad al Baqir, Imam Ali Zainal Abidin, Sayyidina Husein, Fatimah al-Zahra.[3]
Pada usia 15 tahun, beliau berkesempatan pergi ke Makkah menunaikan ibadah haji. Setibanya di sana langsung ia memanfaatkan tempoh waktu yang ada untuk belajar ilmu kalam, bahasa dan sastera Arab, ilmu hadith, tafsir dan ilmu fiqh. Setelah tiga tahun belajar di Makkah beliau kembali ke kampung halamanya sekitar tahun 1833 M lalu membantu ayahandanya, Syeikh Umar mengajar para santri. Selang beberapa lama beliau memutuskan untuk berangkat lagi ke Makkah dan kali ini beliau memasang niat untuk terus menetap di sana. Di Makkah, beliau menadah kitab kepada ulama-ulama yang sangat masyhur pada waktu itu seperti Syeikh Ahmad Khatib Sambas (Pelopor Tariqat Qadiriyah-Naqsyabandiyah di Indonesia), Syeikh Abdul Gani Duma, ulama yang berasal dari Indonesia dan bermukim di sana, Sayid Ahmad Dimyati dan Ahmad Zaini Dahlan yang keduanya berada di Makkah. Manakala di Madinah pula, beliau belajar dengan Muhammad Khatib al-Hanbali. Diriwayatkan beliau pernah melanjutkan pelajaran ke Mesir dan Syam (Syria). Guru utamanya dikatakan berasal dari Mesir iaitu Syeikh Yusuf Sumbulawini dan Syeikh Ahmad Nahrawi. Lebih kurang 30 tahun beliau menimba ilmu sehinggalah pada tahun 1860 M, Syeikh Nawawi mula mengajar di lingkungan Masjidil Haram. Syarahannya sentiasa mendapat sambutan menggalakkan sehingga diakui sebagai salah seorang ulama besar di Makkah. Pada tahun 1870 M, beliau semakin sibuk kerana selain mengajar, beliau juga turut menulis kitab. Beliau mula menulis apabila timbul desakan dari sahabat-sahabatnya yang memintanya menulis beberapa kitab. Kebanyakan permintaan itu datang dari sahabatnya yang berasal dari Jawi, dengan tujuan membantu masyarakat di Jawi menelaah isi kandungan kitab yang asalnya sangat sulit untuk difahami. Sebab itulah sebahagian besar kitab-kitab yang ditulisnya adalah kitab-kitab komentar (Syarh) dari karya-karya ulama yang sangat masyhur sebelumnya Kerana ketinggian ilmunya, beliau turut digelar A ‘yan ‘Ulama’ al-Qarn aI-Ra M’ ‘Asyar Li al-Hijrah, AI-Imam al-Mul1aqqiq wa al-Fahhamah al-Mudaqqiq, dan Sayyid ‘Ulama al-Hijaz.[4]
Sungguhpun Syeikh Nawawi ats-Tsani al-Bantani diakui alim dalam semua bidang ilmu keislaman, namun dalam dunia at-thariqah ash-shufiyah, gurunya Syeikh Ahmad Khathib Sambas tidak melantik beliau sebagai seorang mursyid Tariqat Qadiriyah-Naqsyabandiyah, tetapi yang dilantik ialah Syeikh Abdul Karim al-Bantani, iaitu ayah saudara kepada Syeikh Nawawi al-Bantani, yang sama-sama menerima thariqat itu kepada Syeikh Ahmad Khathib Sambas.[5] Apakah sebabnya terjadi demikian hanya diketahui oleh Syeikh Ahmad Khathib Sambas dan Syeikh Nawawi al-Bantani.[6] Syeikh Nawawi al-Bantani mematuhi peraturan yang diberikan itu, sehingga beliau tidak pernah mentawajuh/membai'ah seseorang muridnya walaupun memang ramai murid beliau yang menjadi ulama besar yang berminat dalam bidang keshufian.
Diriwayatkan bahawa setiap kali beliau mengajar di Masjidil Haram sentiasa dikelilingi oleh pelajar yang tidak kurang daripada dua ratus orang. Kerana sangat terkenalnya beliau pernah diundang ke Universiti al-Azhar, Mesir untuk memberi ceramah atau fatwa-fatwa pada beberapa perkara yang tertentu.
Belum jelas tahun berapa beliau diundang oleh ahli akademik di Universiti al-Azhar itu, namun difahamkan bahawa beliau sempat bertemu dengan seorang ulama terkenal di al-Azhar (ketika itu sebagai Syeikhul Azhar), iaitu Syeikh Ibrahim al-Baijuri (wafat 1860 Masehi) yang sangat tua dan lumpuh kerana tuanya. Kemungkinan Syeikh Ibrahim al-Baijuri, Syeikhul Azhar yang terkenal itu termasuk salah seorang di antara guru kepada Syeikh Nawawi al-Bantani.
Diriwayatkan bahawa Syeikh Nawawi al-Bantani mengajar di Masjidil Haram menggunakan bahasa Jawa dan Sunda ketika memberi keterangan terjemahan kitab-kitab bahasa Arab. Barangkali ulama Banten yang terkenal itu kurang menguasai bahasa Melayu yang lebih umum dan luas digunakan pada zaman itu.[7] Oleh sebab kurang menguasai bahasa Melayu, maka tidak berapa ramai muridnya yang berasal dari luar pulau Jawa (seperti Sumatera dan Semenanjung Tanah Melayu dan Patani).[8] Walaubagaimanapaun, ulama besar asal Patani seperti Tok Kelaba al-Fathani ada menyebut bahawa beliau menerima satu amalan wirid daripada Syeikh Abdul Qadir bin Mustafa al-Fathani, dan Syeikh Abdul Qadir itu menerimanya daripada Syeikh Nawawi al-Bantani.[9] Syeikh Abdul Qadir al-Fathani (Tok Bendang Daya II) sebenarnya bukan peringkat murid kepada Syeikh Nawawi al-Bantani tetapi adalah peringkat sahabatnya.[10] Syeikh Nawawi al-Bantani (1230 Hijrah/1814 Masehi) lebih tua sekitar empat tahun saja daripada Syeikh Abdul Qadir al-Fathani (Tok Bendang Daya II, 1234 Hijrah/1817 Masehi).[11] Adapun murid Syeikh Nawawi al-Bantani di pulau Jawa yang menjadi ulama yang terkenal sangat ramai, di antara mereka ialah, Kiyai Haji Hasyim Asy'ari, Pengasas Pondok Pesantren Tebuireng, Jawa Timur, bahkan beliau ini dianggap sebagai bapa ulama Jawa dan termasuk pengasas Nahdhatul Ulama.[12] Dikatakan bahawa dalam setiap pengajian yang membabitkan kitab-kitab karya gurunya ini, Kiyai Haji Hasyim Asy’ari pasti akan menyelitkan kisah-kisah pengalamannya bersama Syeikh Nawawi sehingga adakalanya beliau menitiskan air mata disebabkan kecintaan beliau yang sangat mendalam terhadap gurunya itu. Kiyai Haji Hasyim Asy’ari turut menjadikan kitab tafsir karya gurunya itu yang dikenali sebagai Marah Labid sebagai teks utama pengajian tafsir untuk para santrinya.[13]
Murid Syeikh Nawawi al-Bantani yang lain yang tidak kurang terkenalnya ialah seperti Kiyai Haji Raden Asnawi di Kudus, Jawa Tengah, Kiyai Haji Tubagus Muhammad Asnawi di Caringin, Purwokerto, Jawa Barat, Syeikh Muhammad Zainuddin bin Badawi as-Sumbawi, Syeikh Abdus Satar bin Abdul Wahhab as-Shidqi al-Makki dan Sayid Ali bin Ali al-Habsyi al-Madani.
Salah seorang cucunya, yang juga mendapat pendidikan sepenuhnya daripada beliau ialah Syeikh Abdul Haq bin Abdul Hannan al-Jawi al-Bantani (1285 Hijrah/1868 Masehi - 1324 Hijrah/1906 Masehi).[14] Pada halaman pertama Al-Aqwalul Mulhaqat, Syeikh Abdul Haq al-Bantani menyebut bahawa Syeikh Nawawi al-Bantani adalah orang tuanya (Syeikhnya), orang yang memberi petunjuk dan pembimbingnya.[15] Pada bahagian kulit kitab pula beliau menulis bahawa beliau adalah `sibthun' (cucu) Syeikh Nawawi ats-Tsani. [16] Selain orang-orang yang tersebut di atas, sangat ramai murid Syeikh Nawawi al-Bantani yang memimpin secara langsung barisan jihad di Celegon melawan penjajahan Belanda pada tahun 1888 Masehi. Di antara mereka yang dianggap sebagai pemimpin pemberontak Celegon ialah: Haji Wasit, Haji Abdur Rahman, Haji Haris, Haji Arsyad Thawil, Haji Arsyad Qasir, Haji Aqib dan Tubagus Haji Ismail. Semua mereka adalah murid Syeikh Nawawi al-Bantani yang dikaderkan di Makkah.[17]
Karya-karya
Kesemua karyanya ditulis dalam bahasa Arab. Beliau menulis kitab dalam hampir setiap disiplin ilmu yang dipelajari di pesantren. Tidak kurang dari 22 karyanya masih beredar di pasaran manakala sejumlah 11 kitabnya menjadi teks utama pengajian di pesantren. Kitab-kitabnya dikatakan mencecah hampir 200 buah semuanya namun yang dapat dikesan adalah seperti yang disenaraikan dibawah;
1. Targhibul Musytaqin, selesai ditulis pada Jumaat, 13 Jamadilakhir 1284 Hijrah/1867 Masehi. Cetakan awal Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Makkah, 1311 Hijrah.
2. Fathus Shamadil `Alim, selesai ditulis pada awal Jamadilawal 1286 Hijrah/1869 Masehi. Dicetak oleh Mathba'ah Daril Kutubil Arabiyah al-Kubra, Mesir 1328 Hijrah.
3. Syarah Miraqil `Ubudiyah, selesai ditulis pada 13 Zulkaedah 1289 Hijrah/1872 Masehi. Cetakan pertama Mathba'ah al-Azhariyah al-Mashriyah, Mesir 1308 Hijrah. Merupakan syarah atas kitab Bidayah al-Hidayah karya Abu Hamid al-Ghazali
4. Madarijus Su'ud ila Iktisa'il Burud, penulisan bermula pada 18 Rabiulawal 1293 Hijrah/1876 Masehi. Dicetak oleh Mathba'ah Mustafa al-Baby al-Halaby, Mesir, akhir Zulkaedah 1327 Hijrah. Kitab ini merupakan adaptasi kitab karya Ja’far bin Hasan al-Barzanji tentang Maulid an-Nabi (‘Iqd al-Jawahir).
5. Hidayatul Azkiya' ila Thariqil Auliya', penulisan bermula pada 22 Rabiulakhir 1293 Hijrah/1876 Masehi, selesai 13 Jamadilakhir 1293 Hijrah/1876 Masehi. Diterbitkan oleh Mathba'ah Ahmad bin Sa'ad bin Nabhan, Surabaya, tanpa menyebut tahun penerbitan.
6. Fathul Majid fi Syarhi Durril Farid, selesai ditulis pada 7 Ramadan 1294 Hijrah/1877 Masehi. Cetakan pertama oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Makkah, 1304 Hijrah.
7. Bughyatul `Awam fi Syarhi Maulidi Saiyidil Anam, selesai ditulis pada 17 Safar 1294 Hijrah/1877 Masehi. Dicetak oleh Mathba'ah al-Jadidah al-'Amirah, Mesir, 1297 Hijrah.
8. Syarah Tijanud Darari, selesai ditulis pada 7 Rabiulawal 1297 Hijrah/1879 Masehi. Cetakan pertama oleh Mathba'ah `Abdul Hamid Ahmad Hanafi, Mesir, 1369 Masehi.
9. Syarah Mishbahu Zhulmi `alan Nahjil Atammi, selesai ditulis pada Jamadilawal 1305 Hijrah/1887 Masehi. Cetakan pertama oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Makkah, 1314 Hijrah atas biaya saudara kandung pengarang, iaitu Syeikh Abdullah al-Bantani.
10. Nashaihul `Ibad, selesai 21 Safar 1311 Hijrah/1893 Masehi. Cetakan kedua oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Makkah, 1323 Hijrah. Kitab ini merupakan syarah atas karya Ibn Hajar al-‘Asqalani, an-Nabahah ‘ala Isti’dad. Kitab ini memusatkan pembahasan atas adab berperilaku dan seiring dijadikan karya pengantar mengenal akhlak bagi santri yang lebih muda.
11. Al-Futuhatul Madaniyah fisy Syu'bil Imaniyah, tanpa tarikh. Dicetak di bahagian tepi kitab nombor 10, oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Makkah, 1323 Hijrah.
12. Hilyatus Shibyan Syarhu Fathir Rahman fi Tajwidil Quran, tanpa tarikh. Dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah, Makkah, 1332 Hijrah.
13. Qatrul Ghaits fi Syarhi Masaili Abil Laits, tanpa tarikh. Dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah, Makkah, 1321 Hijrah.
14. Mirqatu Su'udi Tashdiq Syarhu Sulamit Taufiq, tanpa tarikh. Cetakan pertama oleh Mathba'ah al-Miriyah, Makkah 1304 Hijrah.
15. Ats-Tsimarul Yani'ah fir Riyadhil Badi'ah, tanpa tarikh. Cetakan pertama oleh Mathba'ah al-Bahiyah, Mesir, Syaaban 1299 Hijrah. Dicetak juga oleh Mathba'ah Mustafa al-Baby al-Halaby, Mesir, 1342 Hijrah.
16. Tanqihul Qaulil Hatsits fi Syarhi Lubabil Hadits, tanpa tarikh. Dicetak oleh Mathba'ah Dar Ihya' al-Kutub al-'Arabiyah, Mesir, tanpa tarikh.
17.Bahjatul Wasail bi Syarhi Masail, tanpa tarikh. Dicetak oleh Mathba'ah al-Haramain, Singapura-Jeddah, tanpa tarikh.
18. Fathul Mujib Syarhu Manasik al- 'Allamah al-Khatib, tanpa tarikh. Dicetak oleh Mathba'ah at-Taraqqil Majidiyah, Makkah, 1328 Hijrah.
19. Nihayatuz Zain Irsyadil Mubtadi-in, tanpa tarikh. Diterbitkan oleh Syarikat al-Ma'arif, Bandung, Indonesia, tanpa tarikh. Kitab ini merupakan syarah atas kitab Qurrat al-‘Ain, yang ditulis oleh ulama India Selatan abad ke-16, Zain ad-Din al-Malibari (w. 975 M). Tokoh ini adalah pengarang kepada kitab fiqh terkenal iaitu Fathul Mu’in.
20. Al-Fushushul Yaqutiyah `alar Raudhatil Bahiyah fi Abwabit Tashrifiyah, tanpa tarikh. Dicetak oleh Mathba'ah al-Bahiyah, Mesir, awal Syaaban 1299 Hijrah.
22. Nur Azh-Zhalam, syarah atas kitab ‘Aqidah al-Awwam yang ditulis oleh Ahmad al-Marzuqi al-Maliki al-Makki.
23. ‘Uqd al-Lujain fi Huquqf az-Zaujain, isi kandungannya adalah tentang hak dan kewajipan isteri. Kitab ini menjadi teks wajib bagi santri puteri di kebanyakan pesantren. Dua terjemahan dan syarahnya dalam bahasa Jawa berjudul Hidayah al-‘Arisin yang disusun oleh Abu Muhammad Hasanuddin dari Pekalongan dan Su’ud al-Kaumain oleh Sibt al-Utsmani Ahdari al-Jangalani al-Qudusi.
24. Salalim al-Fudhala’, teks pelajaran tasawuf atas syarah kepada kitab Hidayah al-Adzkiya’ (Ila Thariq al-Auliya’) karya Zain ad-Din al-Malibari yang ditulis dalam untaian sajak pada 914 H/ 1508-09 M. Kitab Salalim ini dicetak di tepi Kifayah al-Ashfiya’ karya Sayyid Bakri bin M. Syaththa’ ad-Dimyati.
25. Kasyifah as-Saja’, syarah atas dua karya lain yang juga penting dalam ilmu fiqh. Dua karya itu ialah Sullamu at-Taufiq yang ditulis oleh ‘Abdullah bin Husain bin Thahir Ba’lawi (wafat 1272 H/ 1855 M) dan Safinah an-Najah yang ditulis oleh Salim bin Abdullah bin Samir, ulama Hadrami yang tinggal di Batavia (kini dikenali sebagai Jakarta) pada pertengahan abad ke-19.
25. ar-Riyadh al Badi’ah fi Ushul ad-Din wa Ba’dh Furu’ asy-Syari’ah, kitab ini membahas butir pilihan ajaran dan kewajiban agama.
26. Sullam al-Munajat, syarah atas kitab pedoman ibadah Safinah ash-Shalah karangan Abdullah bin ‘Umar al-Hadrami
27. Tausyih Ibn Qasim, komentar atas kitab Fath al-Qarib
28. Minhaj at-Thalibin, komentar atas karya Khatib Syarbini, Mughni al-Muhtaj



[1] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2005. Syeikh Nawawi al-Bantani - Digelar Imam Nawawi kedua. Utusan Malaysia. Terbit pada 7 Februari 2005. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0207&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm.
[2] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2005. Syeikh Nawawi al-Bantani - Digelar Imam Nawawi kedua. Utusan Malaysia. Terbit pada 7 Februari 2005. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0207&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm.
[3] Rujuk http://rohimuddin.com/?pilih=news&mod=yes&aksi=lihat&id=14. Dicapai pada 14 Ogos 2009
[4] Rujuk http://rohimuddin.com/?pilih=news&mod=yes&aksi=lihat&id=14. Dicapai pada 14 Ogos 2009
[5] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2005. Syeikh Nawawi al-Bantani - Digelar Imam Nawawi kedua. Utusan Malaysia. Terbit pada 7 Februari 2005. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0207&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm.
[6] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2005. Syeikh Nawawi al-Bantani - Digelar Imam Nawawi kedua. Utusan Malaysia. Terbit pada 7 Februari 2005. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0207&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm.
[7] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2005. Syeikh Nawawi al-Bantani - Digelar Imam Nawawi kedua. Utusan Malaysia. Terbit pada 7 Februari 2005. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0207&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm.
[8] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2005. Syeikh Nawawi al-Bantani - Digelar Imam Nawawi kedua. Utusan Malaysia. Terbit pada 7 Februari 2005. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0207&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm.
[9] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2005. Syeikh Nawawi al-Bantani - Digelar Imam Nawawi kedua. Utusan Malaysia. Terbit pada 7 Februari 2005. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0207&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm.
[10] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2005. Syeikh Nawawi al-Bantani - Digelar Imam Nawawi kedua. Utusan Malaysia. Terbit pada 7 Februari 2005. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0207&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm.
[11] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2005. Syeikh Nawawi al-Bantani - Digelar Imam Nawawi kedua. Utusan Malaysia. Terbit pada 7 Februari 2005. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0207&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm.
[12] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2005. Syeikh Nawawi al-Bantani - Digelar Imam Nawawi kedua. Utusan Malaysia. Terbit pada 7 Februari 2005. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0207&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm.
[13] Rujuk http://rohimuddin.com/?pilih=news&mod=yes&aksi=lihat&id=14. Dicapai pada 14 Ogos 2009
[14] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2005. Syeikh Nawawi al-Bantani - Digelar Imam Nawawi kedua. Utusan Malaysia. Terbit pada 7 Februari 2005. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0207&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm.
[15] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2005. Syeikh Nawawi al-Bantani - Digelar Imam Nawawi kedua. Utusan Malaysia. Terbit pada 7 Februari 2005. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0207&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm.
[16] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2005. Syeikh Nawawi al-Bantani - Digelar Imam Nawawi kedua. Utusan Malaysia. Terbit pada 7 Februari 2005. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0207&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm.
[17] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2005. Syeikh Nawawi al-Bantani - Digelar Imam Nawawi kedua. Utusan Malaysia. Terbit pada 7 Februari 2005. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0207&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm.

Friday, August 7, 2009

Syeikh Abdul Karim Banten, ulama berpengaruh Banten dan murid masyhur Syeikh Khatib Sambas

Murid Syeikh Khatib Sambas yang paling masyhur ialah Syeikh Abdul Karim al-Bantani. Beliau lahir pada tahun 1840 di Lempuyang, satu daerah yang terletak di Tanara Jawa Barat. Tokoh ini berangkat ke Makkah dalam usia yang sangat muda untuk menimba ilmu di sana. Setelah beberapa tahun bermukim di kediaman Syeikh Khatib Sambas, Syeikh Abdul Karim menerima ijazah tariqat Qadiriyyah wan Naqsabandiyah (TQN). Tugas pertama yang perlu dilaksanakannya adalah menjadi guru tariqat di Singapura. Pada tahun 1872, beliau pulang ke kampung halamannya iaitu Lempuyang dan tinggal disana selama tiga tahun. Kemudian pada tahun 1876, beliau kembali ke Makkah untuk menjalankan tugas sebagai pengganti Syeikh Khatib Sambas. Pengaruhnya sangat luas dalam TQN sehinggakan lima cabang tariqat berkenaan yang ada di Pulau Jawa menisbahkan silsilah mereka kepada dirinya. Lima cabang tariqat yang dimaksudkan ialah Pesantren Pegentongan di Bogor (Jawa Barat), Pesantren Suryalaya di Tasimalaya (Jawa Barat), Pesantren Mranggen di Semarang (Jawa Tengah), Pesantren Rejoso di Jombang (Jawa Timur) dan Pesantren Tebuireng di Jombang (Jawa Timur). Pengaruh Syeikh Abdul Karim dalam masyarakat Banten juga sangat kuat. Syeikh Abdul Karim melihat keperluan zikir dalam usaha mengukuhkan iman. Di zamannya, zikir dilakukan di merata tempat seperti di masjid, pondok atau dalam majlis-majlis keramaian pun diselangi dengan zikir malam. Pengaruhnya yang begitu besar telah menyebabkan beliau digelar sebagai Kiyai Agung. Di antara murid-muridnya yang terkenal ialah Haji Sangadeli Kaloran, Haji Asnawi Bendung Lempuyang, Haji Abu Bakar Pontang, Haji Tubagus Isma’il Gulatjir dan Haji Marzuki Tanara. Dari semua muridnya ini, yang paling terkenal adalah Haji Marzuki Tanara. Haji Marzuki Tanara mendirikan pondok pesantren di tempat kelahirannya (Tanara) sebaik pulang dari Makkah. Di Tanara, beliau mengajar dari tahun 1877 hingga 1888. Dua ulama terkemuka Banten, Haji Wasid dan Haji Tubagus Ismail sering berbincang dengannya tentang masalah agama dan masalah yang ditimbulkan oleh kolonialisme (penjajah).
Berbalik kepada jalan hidup Syeikh Abdul Karim tadi, beliau berguru kepada Syekh Ahmad Khatib Sambas yang menguasai hampir semua cabang ilmu keislaman. Gurunya itu dilahirkan di Sambas, Kalimantan Barat, dan bermukim di Makkah dalam tempoh yang agak lama. Syeikh Abdul Karim mempunyai ramai murid yang bertebaran di seluruh Nusantara seperti Bogor, Tangerang, Solok, Sambas, Bali dan Banten. Sebaik kembali ke desa asalnya, Lampuyang, Tanara, pada tahun 1872, beliau langsung mendirikan pesantren. Dalam waktu yang singkat sahaja, pesantrennya dibanjiri dengan murid-murid yang datang dari seluruh pelusuk Nusantara. Pengaruhnya yang begitu besar menyebabkan beliau dihormati oleh ulama lain dan juga pemerintah di situ. Kediamannya dikunjungi pemerintah setempat seperti Bupati Serang dan Residen Banten. Kembalinya Syeikh Abdul Karim ke Banten telah mengukuhkan lagi perjalanan dakwah Islam. Sebelum beliau pulang, ulama-ulama di Banten bekerja tanpa ikatan antara satu sama lain. Masing-masing menyelenggarakan pesantren sendiri dengan cara masing-masing malah bersaing pula. Sebaliknya dengan kepulangan Syeikh Abdul Karim, tokoh besar ini mengambil pendekatan dengan menyatukan ulama di Banten. Tugas Syeikh Abdul Karim dibantu oleh anak muridnya yang paling terkenal iaitu Haji Marzuki. Dalam dakwahnya ke seluruh pelusuk Banten, beliau tidak henti-henti menyeru kepada rakyat supaya meningkatkan kehidupan agama mereka dengan jalan lebih taat beribadah. Beliau menjelaskan bahwa aqidah (keyakinan) dan ibadah (praktik agama) perlu terus-terusan dimurnikan. Syeikh Abdul Karim memfokuskan zikir sebagai tema kebangkitan kembali kehidupan beragama. Maka zikir diselenggarakan di mana-mana sahaja bagi menaikkan semangat keagamaan rakyat. Kegigihannya yang luar biasa itu menyebabkan beliau mendapat tempat dihati masyarakat. Khutbahnya sentiasa mendapat perhatian masyarakat. Nampak ketara perubahan daerah Banten apabila kembali diwarnai kehidupan keagamaan yang luar biasa aktifnya. Pengaruh dari meluasnya kegiatan keagamaan ini turut didorong dengan bangkitnya semangat di kalangan rakyat dalam menentang penguasa asing. Kebetulan pada waktu itu sudah berkembang rasa ketidakpuashatian rakyat kepada pemerintah kolonial akibat tindakan politik dan ekonomi mereka yang merugikan rakyat. Dalam situasi demikian, para ulama secara bertahap membangunkan semangat rakyat untuk melawan pemerintah kolonial Belanda. Ketidakpuashatian itu kemudian memuncak sedemikian rupa sehingga beberapa ulama merencanakan waktu untuk menentang Belanda.
Walaubagaimanapun Syeikh Abdul Karim menganggap bahawa penentangan masih belum tiba saatnya kerana baginya rakyat belum bersedia. Apapun nama Syeikh Abdul Karim tetap disebut sebagai salah satu di antara tiga kiyai utama yang memegang peranan penting dalam pemberontakan rakyat Banten di Cilegon pada tahun 1888 walaupun pada ketika itu beliau berada di Makkah. Dua tokoh kunci yang lain adalah Haji Wasid dan Haji Tubagus Ismail yang juga merupakan anak muridnya. Sebelum bertolak ke Makkah bagi menggalas tugas gurunya sebagai khalifah TQN pada tahun 1876, Syeikh Abdul Karim mengelilingi Banten. Di tempat-tempat yang dikunjunginya, Syeikh Abdul Karim menyeru rakyat agar berpegang teguh pada ajaran agama dan menjauhkan diri dari perbuatan mungkar. Beliau turut memilih beberapa ulama terkemuka untuk menguruskan perjalanan TQN. Syeikh Abdul Karim juga berpesan kepada para pemerintah agar menyokong perjuangan para ulama dalam membangun kembali kehidupan keagamaan serta selalu minta nasihat kepada mereka mengenai soal-soal keagamaan. Menjelang keberangkatannya ke Makkah, murid-murid kanan Syekh Abdul Karim mengatakan bahawa tokoh besar itu tidak akan kembali lagi ke Banten sekiranya daerah itu masih dalam genggaman kekuasaan asing. Pemergiannya Syeikh Abdul Karim ke Makkah tidak langsung mengurangkan pengaruhnya di Banten. Rakyat sering dilanda rindu dan ingin bertemu dengannya. Sementara para muridnya sendiri sudah tidak sabar menantikan arahannya untuk memulakan penentangan terhadap Belanda.
Snouck Hurgronje, yang menghadiri pengajiannya di Makkah pada 1884-1885, menceritakan:
“Setiap malam beratus-ratus orang yang mencari pahala berduyun-duyun datang ke tempat tinggalnya, untuk belajar zikir darinya, untuk mencium tangannya dan untuk menanyakan apakah saatnya sudah hampir tiba, dan berapa tahun lagi pemerintahan kafir masih akan berkuasa.”
Tanpa diragukan lagi, Syeikh Abdul Karim dianggap sebagai salah seorang ulama yang sangat dihormati dan paling berpengaruh di Nusantara pada penghujung abad ke-19. Gelaran Kiyai Agung yang diberikan orang kepadanya amat bertepatan dengan karisma yang dimiliknya. Bahkan sebahagian orang menganggapnya sebagai Wali Allah, yang telah dianugerahi karamah. Di antara peristiwa yang disebut-sebut sebagai petunjuk kekaramatannya ialah pertama, beliau selamat ketika seluruh daerah dilanda banjir air Sungai Cidurian dan kedua, setelah beliau dijatuhkan hukuman denda, residen yang menjatuhkan hukuman keatasnya diganti dengan orang lain manakala bupati diberhentikan. Besarnya pengaruh Syeikh Abdul Karim juga amat nyata apabila beliau melangsungkan pernikahan puterinya. Seluruh desa Lampuyang, tempat tinggalnya, dihias dengan megah. Ulama-ulama terkemuka termasuk dari Betawi (Jakarta) dan Priangan – datang menghadiri majlis tersebut.

Syeikh Khatib Sambas - mursyid tariqat terkenal abad ke-19

Syeikh Khatib Sambas


Nama lengkapnya ialah Syeikh Ahmad Khathib bin Abdul Ghaffar bin Abdullah bin Muhammad as-Sambasi. Beliau lahir di Kampung Dagang, Sambas[1]. Tarikh lahirnya ialah pada bulan Safar 1217 H bersamaan 1802 M. Beliau wafat di Makkah pada tahun 1289 H bersamaan dengan 1872 M. Setelah mendapatkan pendidikan agama di kampung halamannya, beliau berangkat ke Makkah pada ketika usianya 19 tahun. Ketika berada dikampung halamannya, beliau berguru dengan Syeikh Nuruddin Musthafa, Imam Masjid Jami’ Kesultanan Sambas. Setelah tiba di Makkah, beliau menadah kitab kepada nama-nama besar yang sangat terkenal seperti Syeikh Daud ibn Abdullah al-­Fathani ulama besar Alam Melayu yang bermukim di Makkah, Syeikh Muhammad Salih Rays seorang mufti bermazhab Syafi’i, Syeikh Umar bin Abd al-Rasul al-Attar juga mufti bermazhab Syafi’i, Syeikh ‘Abd al-Hafiz ‘Ajami, Syeikh Bisri al-Jabarti, Sayyid Ahmad Marzuki mufti bermazhab Maliki, Abdullah (Ibnu Muhammad) al-Mirghani mufti bermazhab Hanafi dan Syeikh Usman ibn Hasan al-Dimyati. Dari nama-nama gurunya diatas, nampaknya Syeikh Khatib Sambas telah mendalami tiga mazhab besar Fiqh iaitu Syafi’i, Maliki dan Hanafi. Pada masa yang sama, tariqat sangat berkembang di Makkah. Sebagai contoh, tokoh yang sezaman dengannya iaitu Muhammad ibnu Sanusi adalah merupakan pengasas tariqat Sanusiyyah manakala Muhammad Usaman al-Mirghani, saudara kepada Syeikh Abdullah al-Mirghani adalah merupakan pengasas tariqat Khatmiyah. Penggabungan tariqat juga sangat popular pada masa itu. Sebagai contoh, tariqat Khatmiyah yang diasaskan Syeikh Abdullah adalah merupakan gabungan tariqat Naqshabandiyyah, Qadiriyyah, Chistiyah, Kubrawiyah dan Suhrawardiyah. Syeikh Ahmad Khatib juga tidak terlepas dalam amalan tariqat. Beliau menggabungkan dua tariqat yang sangat masyhur dalam dunia tariqat iaitu tariqat Qadiriyyah dan Naqsyabandiyyah sehingga dikenali dengan nama tariqat Qadiriyyah wan Naqsyabandiyyah (TQN).[2] Maka dengan tergabungnya dua tariqat itu, nama Syeikh Ahmad Khathib Sambas menjadi sangat terkenal. Di Makkah, Syeikh Ahmad Khathib Sambas merupakan Syeikh Mursyid yang teratas. Pengiktirafan ini diakui oleh ulama-ulama dunia luar. Seperti kata almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir,
Sepanjang sejarah perkembangan Tariqat Qadiriyah di dunia Melayu dari dahulu hingga sekarang memang tidak dapat dinafikan bahawa tokoh yang terbesar dan paling berkesan bagi ulama-ulama Jawi/Nusantara dalam penyebaran Tariqat Qadiriyah itu ialah Syeikh Ahmad Khathib Sambas. Nama beliau juga dikenal di Uzbekistan, kerana salah seorang murid beliau bernama Syeikh Abdul Murad, adalah seorang ulama Tariqat Qadiriyah-Naqsyabandiyah yang menerima tawajjuh kedua-dua tariqat itu daripada Syeikh Ahmad Khathib Sambas.[3]
Tentang tariqat yang diasaskannya itu iaitu TQN, nampaknya tariqat ini mempunyai peranan yang sangat penting dalam kehidupan muslim Indonesia, terutama dalam meniup semangat perjuangan masyarakat tempatan menentang penjajahan Belanda. Tariqat ini disebarkan dengan jayanya oleh anak-anak muridnya yang bertebaran di seluruh pelusuk Alam Melayu. Selain Indonesia, tariqat ini turut mendapat tempat di negara-negara lain yang bermazhab Syafi’i dan bertasawuf mengikut fahaman al-Junaid dan al-Bustami.[4] Amalan-amalan TQN Syeikh Ahmad Khatib Sambas dimuatkan dalam kitabnya yang masyhur yang bernama Fathul Arifin.[5] Kitab ini dikatakan merupakan himpunan nota-nota syarahannya yang dicatat oleh salah seorang muridnya bernama Muhammad Ismail bin Abdur Rahim. Catatan ini kemudiannya dibukukan di Makkah pada tahun 1295 H. Isi kandungannya meliputi tatacara, baiat, talqin, dzikir, muqarobah dan silsilah TQN. Buku inilah yang hingga saat ini masih dijadikan pegangan oleh para mursyid dan pengikut TQN. Dengan demikian maka tentu saja nama Syeikh Ahmad Khatib Sambas selalu dikenang dan di panjatkan dalam setiap doa dan munajah oleh para pengikut Tariqat ini. Walaupun Syeikh Ahmad Khatib Sambas sangat terkenal sebagai seorang tokoh sufi, namun beliau juga ada menghasilkan karya dalam bidang ilmu fiqh. Karyanya itu berjudul Perihal Juma’at.[6] Karya ini masih dalam bentuk manuskrip. Kandungannya membicarakan masalah seputar Juma’at dan membahas mengenai hukum penyembelihan secara Islam. Pada bahgian akhir naskah manuskrip, terdapat satu nasihat panjang sebelum di akhiri dengan beberapa amalan wirid beliau selain amalan TQN. Karya lain yang dapat dikesan adalah merupakan himpunan manuskrip yang membicarakan tentang fiqh, taharah, solat dan penyelenggaraan jenazah. Apa yang menarik tentang tokoh besar ini ialah sejarah hidupnya ada tercatat dalam kitab-kitab yang ditulis oleh orang Arab. Kitab yang pertama ialah Siyar wa Tarajim, karya Umar Abdul Jabbar dan kitab yang kedua ialah Al-Mukhtashar min Kitab Nasyrin Naur waz Zahar, karya Abdullah Mirdad Abul Khair yang kemudiannya kitab ini diringkaskan oleh Muhammad Sa’id al-’Amudi dan Ahmad Ali. Dalam kedua-dua kitab inilah ada dicatatkan tentang tahun lahir dan wafatnya Syeikh Ahmad Khatib Sambas. Umar Abdul Jabbar, menyebut bulan Safar 1217 H (kira-kira bersamaan 1802 M.) sebagai tanggal lahirnya dan ini disepakati oleh Muhammad Sa’id al-Mahmudi dan Ahmad Ali yang meringkaskan karya Abdullah Mirdad. Namun mengenai tahun wafatnya di Makkah, terdapat perbezaan. Abdullah Mirdad Abul Khair menyebut bahawa Syeikh Ahmad Khatib wafat tahun 1280 H (bersamaan 1863 M) sedangkan menurut Umar Abdul Jabbar pada tahun 1289 H (bersamaan 1872 M). Tahun wafat 1280 H yang disebut oleh Abdullah Mirdad Abul Khair tertolak berdasarkan sebuah manuskrip Fathul Arifin salinan Haji Muhammad Sa’id bin Hasanuddin, Imam Singapura, yang menyebutkan bahawa Muhammad Sa’ad bin Muhammad Thasin al-Banjari mengambil tariqat (berbaiat) dari gurunya, Syeikh Ahmad Khatib yang berada di Makkah ketika sedang menjalani khalwat. Manuskrip ini menyebut bahawa baiat ini terjadi pada hari Rabu ketujuh bulan Dzulhijjah, tahun 1286 H. Ini bererti pada tanggal 7 Dzulhijah 1286 H Syeikh Ahmad Khathib Sambas masih hidup. Oleh kerana itu, tanggal wafat Syeikh Ahmad Khatib Sambas, yang wafat tahun 1289 H seperti yang disebut oleh Umar Abdul Jabbar lebih mendekati kebenaran berbanding dengan apa yang dinyatakan oleh Abdullah Mirdad Abul Khair.
Anak murid Syeikh Ahmad Khatib Sambas ini sangat ramai bahkan pengaruhnya dalam bidang tariqat ini dikatakan melebihi tokoh-tokoh penyebar Tariqat Qadiriyah seperti Syeikh Nuruddin ar-Raniri, Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri dan lain-lainnya yang lebih dahulu.[7] Antara nama anak muridnya yang juga merupakan ulama besar ialah
1. Syeikh Zainal Abidin yang berasal dari Kelantan. Beliau diutus oleh Syeikh Ahmad Khathib Sambas ke Kalimantan Barat sebagai `Ketua Khalifah' di sana. Syeikh Zainal Abidin al-Kalantani meninggal dunia di Kampung Sebedang, Sambas.
2. Syeikh Abdul Karim al-Bantani. Beliau dilantik oleh Syeikh Ahmad Khatib sebagai khalifah di Makkah.[8] Beliau mempunyai murid yang sangat ramai sesudah Syeikh Ahmad Khatib Sambas.
3. Syeikh Ahmad Hasbullah bin Muhammad al- Manduri wakil khalifah di Jawa Timur.
4. Syeikh Zarkasyi Barjan Porwajo dan Syeikh Ibrahim Berumbung wakil khalifah di Jawa Tengah.
5. Syeikh Asnawi Banten di Jawa Barat.
6. Syeikh Muhammad bin Ismail bin Abdur Rahim berasal dari Pulau Bali.
7. Haji Abdul Lathif bin Haji Abdul Qadir berasal dari Sarawak.
8. Haji Ahmad Shah dari Pontian, Johor.[9]





[1] Terletak di Kalimantan Barat
[2] Martin van Bruinessen, Julia Day Howell. 2007. Sufism and the 'modern' in Islam. I.B. Tauris. London. Hlm.168
[3] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2004. Ahmad Khathib Sambas - Mursyid Tariqat Qadiriyah. Utusan Malaysia. Terbit pada 6 Disember 2004. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=1206&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive

[4] Said Aqil Siroj. 2006. Tasawuf sebagai kritik sosial: mengedepankan Islam sebagai inspirasi, bukan aspirasi. Pustaka Mizan. Bandung. Hlm 426
[5] Kitab ini pernah ditashih oleh Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, ulama besar Alam Melayu abad ke-19. Rujuk tulisan Wan Mohd Saghir Abdullah. 2008. Saiyid Muhammad Saiyid Zainal Abidin al-Aidrus. Utusan Malaysia. Terbit pada 3 November 2008. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm
[6] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2008. Saiyid Muhammad Saiyid Zainal Abidin al-Aidrus. Utusan Malaysia. Terbit pada 3 November 2008. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm


[7] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2004. Ahmad Khathib Sambas - Mursyid Tariqat Qadiriyah. Utusan Malaysia. Terbit pada 6 Disember 2004. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=1206&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive
[8] Ahmad Syafii Mufid. 2006. Tangklukan, abangan, dan tarekat: kebangkitan agama di Jawa. Yayasan Obor Indonesia. Hlm 35

[9] Abdul Rahman Abdullah. 1997. Pemikiran Islam di Malaysia: sejarah dan aliran Gema Insani Press. Jakarta. Hlm 52

Saturday, July 25, 2009

Syeikh Nik Mat Kecik dan warisnya yang menjadi hakim di Makkah

Nama lengkapnya ialah Syeikh Muhammad Shaghir bin Ismail bin Ahmad al-Fathani. Datuk saudaranya yang juga ulama besar Melayu abad ke -18, Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani[1] menamakannya dengan nama Muhammad Saghir manakala di kalangan keluarganya beliau dikenali dengan nama Syeikh Nik Mat Kecik. Beliau lahir daripada keluarga besar ulama Patani yang berhijrah pada masa peperangan dahsyat gabungan Patani-Terengganu-Kedah dan Kelantan daripada pencerobohan Siam ketika itu. Tentang tahun kelahirannya terdapat dua catatan keluarga yang berbeza iaitu 1245 H/ 1829 M dan 1260 H/1844 M seperti yang dinyatakan oleh Almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir.[2] Syeikh Nik Mat Kecik wafat di Mekah pada tahun 1333 H/1914 M. Ketika usia kecilnya Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani dikatakan sempat menemui Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, tetapi beliau lebih banyak mendapat pendidikan daripada saudara sepupunya, Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani. Dengan ilmunya yang meluas dalam pelbagai bidang, beliau kemudiannya mengajar di rumah dan juga di Masjid al-Haram. Murid-muridnya sangat ramai khususnya yang datang dari Alam Melayu. Keilmuannya diiktiraf sehingga Syeikh Nik Mat Kecik dilantik menjadi Hakim Mahkamah Syarie Makkah al-Mukarramah pada zamannya bahkan beliau merupakan satu-satunya tokoh yang berasal dari dunia Melayu yang berjaya memegang jawatan tertinggi itu pada zamannya. Selain itu beliau juga merupakan `Syeikh Haji' yang terbesar pada zamannya. Menurut almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir, beliau banyak keramatnya.[3] Suaranya dapat didengar dengan jelas oleh para pelajarnya walaupun duduk berjauhan tanpa perlu menggunakan pembesar suara ketika mengajar.[4] Perompak juga tidak berani menganggu apabila disebut nama Syeikh Nik Mat Kecik.[5] Diriwayatkan antara perjalanan dari Makkah ke Madinah sering berlaku kes rompakan. Bagi mengelakkan dari dirompak, caranya ialah dengan menyatakan bahawa “kami adalah dari kumpulan jemaah Syeikh Nik Mat Kecik” kerana nama syeikh sangat dihormati pada masa itu. Syeikh Nik Mat Kecik dikatakan sangat pemurah. Beliau membiayai kehidupan hampir semua pelajar yang datang dari dunia Melayu yang berada di Makkah pada ketika itu. Hampir semua anak didiknya menjadi ulama besar. Setelah menyelesaikan pengajian, mereka pulang ke tanah air dan menjadi tokoh penting yang bergerak dalam pelbagai bidang kemasyarakatan. Mereka inilah yang tersebar di Indonesia, Malaysia, Patani, Thailand dan Kemboja.
Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani juga terkenal sebagai pengarang beberapa buah kitab besar walaupun jumlah karyanya tidaklah sebanyak karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani atau pun Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Antara kitabnya yang masyhur dan ada diantaranya yang masih berlegar dipasaran kitab ialah
1. Al-Bahjatul Mardhiyah fi Fawaidil Ukharawiyah. KItab ini diselesaikan pada 20 Syaaban 1296 H/1878 M di Makkatul Musyarrafah. Kitab ini pernah dikeluarkan oleh Mathba'ah al-Miriyah, Makkah. Kandungannya mengandungi pelbagai wirid dan amalan.
2. Mathla'ul Badrain wa Majma'ul Bahrain. Kitab ini diselesaikan pada 12 Syaaban 1303 H/1885 M. Kitab ini pernah ditashih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani untuk cetakan ketiga dan keempat. Kitab ini sangat masyhur di Alam Melayu bahkan banyak dijadikan teks pengajian di masjid dan surau di seluruh Tanah Melayu. Disebabkan kitab ini terlalu banyak digunapakai, maka kerajaan Johor menganjurkan penyusunan sebuah kamus yang khusus mengenai kitab ini. Lalu terhasillah sebuah kamus dengan judul Suluh Mathla'ul Badrain yang disusun oleh Haji Abdul Ghani Yahya. Kamus ini ditulis di Johor Baharu pada 1 Oktober 1941 M. Kitab Mathla’ul Badrain ini juga pernah diterbit oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.
3. Al-Kaukabud Durriy fin Nuril Muhammadiy. Kitab ini diselesaikan penulisannya pada 13 Syaaban l304 H/1886 M di Makkah. Kitab ini pernah ditashih dan diusahakan penerbitannya oleh Syeikh Ahmad al-Fathani.
4. Ad-Durrul Basim fi Ashhabil Kahfi war Raqim. Kitab ini diselesaikan penulisannya pada 19 Rejab 1310 H/1892 M di Makkah. Cetakan pertama adalah pada tahun 1310 H/1892 M oleh Mathba'ah al-Miriyah, Makkah. Kitab ini ditashih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani.
5. Kitabul Farqadain wa Jawahirul `Iqdain. Kitab ini diselesaikan pada 13 Syawal 1311 H/1893 M di Mekah. Kitab ini mula dikeluarkan pada Zulkaedah 1311 H/1893 M. Kitab ini ditashih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani.
6. Wusyahul Afrah wa Ashabul Falah. Kitab ini diselesaikan pada Zulkaedah 1312 H/I894 M. Kitab ini juga sangat masyhur dan masih dicetakjhingga kini. Kitab ini pernah di cetak di Makkah oleh Mathba'ah al-Miriyah, di Singapura oleh Al-Imam Singapura, Surabaya dan Pulau Pinang.
7. Sawathi'ul Barqi wal Luma'i fi Ahkamit Tayammum wal Jama'i. Kitab ini diselesaikan pada pada hari Jumaat, 25 Jamadilawal 1323 H/1905 M di Makkah.
8. Al-Bahrul Wafi wan Nahrush Shafi. Kitab ini diselesaikan pada 18 Rejab l331 H/1912 M. Isi kandungannya adalah tentang feqah bahagian ibadah dan sangat meluas khususnya bab Haji dan Umrah. Adalah diakui bahawa kitab ini merupakan kitab paling lengkap untuk rujukan dan panduan bakal-bakal jemaah Haji dan umrah di Malaysia Kitab ini pernah dicetak oleh Mathba'ah asy-Syarqiyah kepunyaan Muhammad Ramzi, Jeddah pada tahun 1930 M atas usaha dan tashih anaknya, Syeikh Muhammad Nur al-Fathani.
Anaknya yang menjadi ulama besar di Makkah ialah Syeikh Muhammad Nur al-Fathani. Syeikh Muhammad Nur al-Fathani lahir di Makkah pada tahun 1290 H/1873 M dan wafat pada pada tahun 1363 H/1944 M. Syeikh Muhammad Nur al-Fathani mendapat pendidikan di kalangan ahli keluarganya yang menjadi ulama besar iaitu ayahnya sendiri Syeikh Nik Mat Kecik, Syeikh Wan ‘Ali Kutan dan Syeikh Ahmad al-Fathani. Beliau pernah dihantar belajar ke Universiti Al-Azhar, Mesir walaupun pada masa itu, beliau telah menguasai pelbagai bidang ilmu dan layak bergelar ulama. Ketika belajar di Mesir, Syeikh Muhammad Nur al-Fathani belajar dengan beberapa ulama besar seperti Syeikh Bakhit, ulama dalam Mazhab Hanafi dan tokoh gerakan pembaharuan seperti Syeikh Muhammad Abduh dan Saiyid Rasyid Ridha yang merupakan murid dan orang kanan Syeikh Muhammad Abduh. Seperti kata almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir, walaupun beliau pernah menimba ilmu dengan tokoh pembaharuan dan bersahabat dengan pelopor gerakan Kaum Muda seperti Syeikh Tahir Jalaluddin al-Minankabawi namun beliau tidak pernah cenderung pada mana-mana pihak samada Kaum Tua atau Kaum Muda sebaliknya sentiasa berlapang dada apabila bertemu dengan kedua-dua belah pihak itu.[6] Walaubagaimanapun, Syeikh Muhammad Nur al-Fathani daripada satu segi tetap mengikut Mazhab Syafie dan Ahlus Sunnah wal Jamaah. Seperti kata almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir, dengan cara demikian akhirnya kedua-dua pihak (Kaum Tua dan Kaum Muda) dengan sendirinya berasa segan dan hormat kepada Syeikh Muhammad Nur al-Fathani.[7] Syeikh Muhammad Nur al-Fathani mengikuti jejak langkah ayahandanya apabila turut memegang jawatan yang tidak kurang pentingnya di Makkah. Beliau dilantik menjadi ‘Kadi Mahkamah al-Kubra Makkah’ malah pernah menjadi ketua dalam jabatan itu. Selain itu Syeikh Muhammad Nur al-Fathani pernah menjadi ‘Ketua Syeikh Haji Al-Jawi Makkah’ sama seperti yang pernah dilakukan oleh ayahandanya dan juga moyang saudaranya iaitu Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.Walaupun sibuk dengan tugas sebagai penguasa tertinggi Islam di Makkah pada zamannya, Syeikh Muhammad Nur al-Fathani tetap meluangkan masa untuk mengajar baik di rumah mahupun di Masjid al-Haram, Makkah. Sama seperti ayahandanya, beliau juga sangat pemurah dan sentiasa menolong orang. Beliau akan memberi pertolongan dengan mengurusnya sendiri hingga selesai tanpa mengira masa dan kewangan. Beliau mewarisi sifat tersebut daripada ahli keluarganya yang terdahulu iaitu moyang saudaranya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, ayahandanya Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani dan saudara pupunya, Syeikh Ahmad al-Fathani. Bahkan Syeikh Ahmad al-Fathani dikatakan pernah berwasiat kepada Syeikh Muhammad Nur al-Fathani supaya kelakuan yang terpuji itu diterap dan diajarkan kepada murid-muridnya khususnya kepada keturunannya. Dalam bidang penulisan, karya terbesarnya ialah Kifayah al-Muhtadi bi Syarh Sullam al-Mubtadi. Kitab ini masih berlegar di pasaran kitab malah menjadi teks pengajian di kebanyakan surau dan masjid diseluruh Negara. Penulisannya dilakukan di Makkah dan diselesaikan di Madinah al-Munawwarah pada hari Jumaat, 9 Rabiul Akhir 1351 H/11 Ogos 1932. Kitab ini merupakan syarah kepada kitab Sullamul Mubtadi fi Ma'rifati Thariqatil Muhtadi (1252 H/1836 M) yang ditulis oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.


[1] Adik-beradik dengan datuknya
[2] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2005. Syeikh Nik Mat - Hakim Mahkamah Syarie di Mekah. Utusan Malaysia. Terbit pada 25 April 2005. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0425&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive

[3] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2005. Syeikh Nik Mat - Hakim Mahkamah Syarie di Mekah. Utusan Malaysia. Terbit pada 25 April 2005. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0425&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive
[4] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2005. Syeikh Nik Mat - Hakim Mahkamah Syarie di Mekah. Utusan Malaysia. Terbit pada 25 April 2005. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0425&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive
[5] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2005. Syeikh Nik Mat - Hakim Mahkamah Syarie di Mekah. Utusan Malaysia. Terbit pada 25 April 2005. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0425&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive
[6] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2006. Syeikh Muhammad Nur Al-Fathani pembesar dua pemerintah Mekah. Utusan Malaysia. Terbit pada 23 Januari 2006. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0123&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive
[7] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2006. Syeikh Muhammad Nur Al-Fathani pembesar dua pemerintah Mekah. Utusan Malaysia. Terbit pada 23 Januari 2006. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0123&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive

Wednesday, July 22, 2009

Syeikh Wan Ali Kutan, warisnya yang bergelar ulama dan kitabnya yang masih ditelaah dan diamal hingga ke hari ini

Nama lengkapnya ialah Syeikh Wan Ali bin Wan Abdur Rahman. Beliau merupakan anak bongsu dari enam beradik[1]. Syeikh Wan Ali Kutan mempunyai hubungan persaudaraan dengan seorang lagi ulama besar Alam Melayu iaitu Syeikh Ahmad al-Fathani. Syeikh Ahmad al-Fathani memanggil ulama yang berasal dari Kelantan tersebut dengan panggilan `Pak Cu Wan Ali'. Ini adalah kerana Syeikh Wan Ali berpangkat ayah saudara sepupu kepada Syeikh Ahmad al-Fathani. Syeikh Wan Ali al-Kalantani pula berkahwin dengan saudara sepupunya bernama Wan Aisyah binti Wan Muhammad Saleh al-Fathani, adik beradik dengan Wan Cik binti Wan Muhammad Saleh al-Fathani, ibu kepada Syeikh Ahmadal-Fathani. Syeikh Wan Ali lahir di Kota Kubang Labu, di tepi Sungai Kelantan. Tentang tahun kelahirannya, ada dua pendapat yang masyhur iaitu Ismail Awang dalam majalah Pengasuh menyebut bahawa beliau lahir tahun 1253 Hijrah/1837 Masihi manakala almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir menggunakan tahun 1235 Hijrah/1820 Masihi[2] sebagai tahun kelahiran Syeikh Wan Ali Kutan berdasarkan pendapat yang lebih kuat dikalangan ahli keluarga Syeikh Wan Ali yang menyatakan bahawa umur Syeikh Wan Ali tidak jauh bezanya dengan umur Syeikh Wan Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani, ayahanda kepada Syeikh Ahmad al-Fathani[3]. Hubungan Syeikh Muhammad Zain al-Fathani dengan Syeikh Wan Ali Kutan itu pula adalah berbiras kerana isteri kedua-duanya adalah adik beradik iaitu isteri Syeikh Wan Ali Kutan bernama Wan Aisyah binti Wan Muhammad Saleh al-Fathani[4] manakala isteri Syeikh Wan Muhammad Zain al-Fathani bernama Wan Cik binti Wan Muhammad Saleh al-Fathani.
Syeikh Wan Ali Kutan mengikuti pembelajaran di Makkah seawal usianya 12 tahun. Dengan usianya yang sangat muda, tidak hairanlah Syeikh Wan Ali Kutan berjaya menguasai ilmu pengetahuan keislaman dengan meluas sehingga diiktiraf sebagai salah seorang ulama besar di MakkahBeliau menimba ilmu dari ulama besar Makkah yang sangat terkenal seperti Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, Syeikh Muhammad Haqqi an-Nazili an-Naqsyabandi, dan Syeikh Ahmad As'ad ad-Dihan. Syeikh Wan Ali Kutan dikatakan pernah berguru dengan ulama besar Alam Melayu iaitu Syeikh Abdus Shamad Pulau Condong, Kelantan ketika berada di Makkah. Dari Syeikh Ahmad As’ad ad-Dihan dan Syeikh Abdus Shamad Pulau Chondong, Syeikh Wan Ali Kutan menerima ijazah Hizbul Bahri.[5] Di Madinah Syeikh Wan Ali menerima ijazah Shalawat Dalailul Khairat dengan sanad yang bersambung sampai kepada pengasasnya Syeikh Sulaiman al-Jazuli dari gurunya yang Syeikh Muhammad Amin bin Sayid Ridhwan al-Madani. Syeikh Wan Ali Kutan juga belajar pelbagai ilmu dengan Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani. Dari ulama besar tersebut, beliau menerima Thariqat Syathariyah. Syeikh Wan Ali Kutan juga menerima talqin bai'ah Thariqat Ahmadiyah[6] daripada Syeikh Ibrahim ar-Rasyidi. Antara karangan beliau yang masyhur seperti yang disebut oleh almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir ialah
1. Al-Jauharul Mauhub wa Munabbihatul Qulub. Kitab ini diselesaikan pada tahun 1306 Hijrah/1888 Masihi. Kandungannya merupakan terjemahan dan syarah Lubabul Hadith. Matan Lubabil Hadith adalah karya ulama besar bernama Imam Jalaluddin as-Suyuthi. Cetakan pertama kitab yang dikarang oleh Syeikh Wan Ali Kutan ini telah ditashih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani. Pada cetakan pertama tercantum puisi dalam bahasa Arab gubahan Syeikh Ahmad al-Fathani yang terdiri daripada 27 bait, dua-dua rangkap. Kitab ini sangat masyhur di Alam Melayu dan telah diterjemah ke tulisan Rumi oleh beberapa penerbit tempatan
2. Zahratul Murid fi `Aqaidit Tauhid. Kitab ini diselesaikan pada tahun 1310 Hijrah/1892 Masihi. Kandungannya membicarakan perkara tauhid menurut pegangan Ahlus Sunnah wal Jama'ah. Cetakan pertamanya juga ditashih oleh Syeikh Ahmad al- Fathani. Di bahagian muka dan belakang cetakan Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Makkah, 1315 Hijrah terdapat keterangan yang ditulis oleh Syeikh Ahmad al-Fathani. Kitab ini terdiri dari pelbagai edisi cetakan di antaranya dicetak oleh Mathba'ah al-Kamaliyah, Kota Bharu, Kelantan. Kitab ini masih berlegar di pasaran kitab tempatan
3. Lum'atul Aurad. Kitab ini diselesaikan pada tahun 1311 Hijrah/1894 Masihi. Kandungannya mengenai selawat, wirid dan pelbagai doa. Terdapat pelbagai edisi cetakan, di antaranya oleh Matba'ah al-Miriyah, Makkah yang merupakan cetakan kedua pada tahun 1314 Hijrah. Kitab ini pernah dicetak oleh Matba'ah Al-Ahmadiah, Singapura pada tahun 1346 Hijrah. Edisi terakhir kitab ini diusahakan oleh cucunya yang bernama Haji Wan Abdul Qadir Daud al-Kalantani. Dari edisi yang terakhir ini, kitab ini terus dicetak dan masih beredar di pasaran kitab sehingga kini.
4. Majma'ul Qashaid wal `Awaid. Kitab ini diselesaikan pada tahun 1320 Hijrah/1902 Masihi. Kandungannya terdiri dari kumpulan pelbagai qasidah. Cetakan pertama dilakukan oleh Mathba'ah al-Miriyah, Makkah pada tahun 1321 Hijrah.
5. Ilmu Perubatan, ditulis dalam bahasa Arab dan bahasa Melayu, tidak dicetak dan masih dalam bentuk manuskrip.[7]
Anak-anak Syeikh Wan Ali Kutan semuanya alim-alim belaka baik lelaki mahupun perempuan. Anaknya yang perempuan iaitu Wan Fatimah sangatlah alim. Wan Fatimah berkahwin dengan sepupunya yang juga merupakan seorang ulama besar yang bernama Syeikh Daud bin Ismail al-Fathani atau dikenali dengan panggilan Tok Daud Katib Kelantan. Wan Fatimah tidak menghasilkan penulisan tetapi bertanggungjawab terhadap penerbitan karya-karya ayahandanya dan juga mengijazahkan amalan-amalan yang termaktub dalam kitab Lum'atul Aurad karya ayahandanya itu. Anak-anak Wan Fatimah dan Tok Daud Katib iaitu Wan Abdul Qadir dan Tuan Guru Haji Mahmud juga merupakan ulama besar Alam Melayu. Wan Abdul Qadir sangat kuat mengamalkan wirid. Beliau mengamalkan wirid setiap hari sesudah Subuh hinggalah selesai solat Dhuha. Beliau mengamalkan wirid-wirid yang termaktub dalam Lum'atul Aurad yang disusun oleh datuknya, Syeikh Wan Ali Kutan yang mana amalan-amalan itu diterima ijazah daripada ibunya sendiri, iaitu Wan Fatimah binti Syeikh Wan Ali Kutan. Wan Abdul Qadir pula telah mengijazahkan amalan tersebut kepada ramai orang di Malaysia, Patani, Sumatera dan Makkah. Tuan Guru Haji Mahmud pula pernah dilantik menjadi anggota Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, menjadi guru di Ma'ahad Al-Muhammadi dan menjadi penulis dalam majalah Pengasuh serta pernah mengarang beberapa buah buku. Antara karangannya ialah Kerana Kemerdehekaan atau Dasar Setia Merusakkan Kerajaan yang diselesaikannya di Kota Bharu, Kelantan pada 13 Rabiulakhir 1358 H/1 Jun 1939 M[8] dan Siasat Perniagaan atau Kaedah dan Peraturan Berjual Beli[9].
Anak-anak perempuan Syeikh Wan Ali Kutan yang lain ialah Wan Maryam binti Syeikh Wan Ali Kutan yang berkahwin dengan ulama besar yang bernama Syeikh Abdullah bin Syeikh Nik Mat Kecik al- Fathani dan Wan Shafiyah binti Syeikh Wan Ali Kutan yang berkahwin dengan ulama besar bernama Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani yang pernah menjadi Hakim Mahkamah Syarie di Makkah pada zamannya.
Anak lelaki Syeikh Wan Ali Kutan yang bernama Wan Abdur Rahman juga seorang ulama besar dizamannya. Beliau merupakan sahabat karib kepada Datuk Nik Mahmud, Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan. Wan Abdur Rahman menghasilkan tiga buah karangan iaitu,
1. Seribu satu Malam. Karya ini atas permintaan Datuk Nik Mahmud, Perdana Menteri Paduka Kelantan.
2. Syair Sifat Dua Puluh, iaitu digubah dalam 50 bait syair dalam bahasa Melayu.
3. Syair Nasihat, digubah dalam 40 bait, juga dalam bahasa Melayu[10]







[1] Adik-beradiknya yang lain ialah Haji Wan Seman, Wan Bulat, Wan Hawa, Wan Kaltsum dan Wan Siti Hajar.
[2] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2004. Syeikh Wan Ali Kutan - Guru para ulama Melayu. Utusan Malaysia. Terbit pada 27 September 2004. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0927&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive
[3] Syeikh Ahmad al-Fathani mencatat tahun kelahiran ayahnya itu pada tahun 1233 Hijrah/ 1817 Masihi
[4] Salasilah isteri Syeikh Wan Ali Kutan berketurunan Syeikh Shafiyuddin al-Abbasi, keturunan Bani Abbas melalui Khalifah Mu'tasim Billah. Keturunan tersebut telah lama tinggal di Aceh dan selanjutnya Syeikh Shafiyuddin al-Abbasi berpindah ke Patani. Beliau bersama sahabatnya, Syeikh Muhammad Sa'id telah berhasil mengislamkan Raja Antira, Raja Patani.
[5] Ini disebut dalam kitabnya yang sangat masyhur yang bernama Lum’atul Aurad. Dalam rangkaian sanad dalam kitab itu, disebut bahawa Syeikh Abdus Shamad Pulau Condong menerima ijazah tersebut daripada Syeikh Abdullah bin Muhammad Saleh, beliau menerima daripada ayahnya Syeikh Muhammad Saleh bin Abdur Rahman al-Fathani, beliau pula menerima daripada Syeikh Muhammad Saleh bin Ibrahim Mufti Syafi'ie di Mekah pada zamannya. Silsilah ini bersambung terus hingga kepada pengamal pertama Hizbul Bahri, iaitu Wali Allah Syeikh Abil Hasan asy-Syazili. Syeikh Wan Ali al-Kalantani termasuk pengikut Thariqat Syaziliyah yang sanad/silsilahnya bersambung daripada Syeikh Abil Hasan asy-Syazili hingga kepada Rasulullah s.a.w.
[6] dinisbahkan kepada Sayid Ahmad bin Idris
[7] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2004. Syeikh Wan Ali Kutan - Guru para ulama Melayu. Utusan Malaysia. Terbit pada 27 September 2004. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0927&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive
[8] Kandungannya membicarakan sebab-sebab kejatuhan pemerintahan Turki-'Utsmaniyah pada tahun 1914 M-1918 M. Buku ini dicetak oleh Mustafa Press, Kelantan pada tahun 1939 M.
[9] Buku ini pernah dicetak oleh Mustafa Press, Kelantan pada tahun 1952 M.
[10] Menurut almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir, ketiga-tiga karya Wan Abdur Rahman bin Syeikh Wan Ali Kutan al-Kalantani itu masih dalam bentuk manuskrip, asli tulisan tangan beliau, dan belum ditemukan yang berupa salinan. Rujuk tulisan Wan Mohd Saghir Abdullah. 2005. Wan Fatimah al-Kalantani - Wanita Melayu alim di Mekah. Utusan Malaysia. Terbit pada 25 Julai 2005. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0725&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive