Friday, August 7, 2009

Syeikh Fadhil Banten, ulama rohani terkenal Johor



Ulama yang sangat besar pengaruhnya dalam bidang kerohanian dalam kerajaan Johor pada abad ke-19 dan awal abad ke-20 tidak lama dahulu ialah Syeikh Kiyai Haji Fadhil bin Haji Abu Bakar al-Banten. Ulama besar ini lahir di Banten, Jawa Barat sekitar tahun 1287 Hijrah/1870 Masihi dan meninggal dunia di Bakri, Muar, Johor pada 29 Jamadilawal 1369 Hijrah/18 Mac 1950 Masihi. Beliau dikebumikan di Batu 28 Lenga, Muar[1]. Selain mendapat pendidikan dari kalangan keluarga sendiri, Syeikh Fadhil juga memasuki pelbagai pondok pengajian di Banten. Sekitar usia tiga puluhan, barulah beliau melanjutkan pendidikannya di Makkah. Syeikh Fadhil telah mendapat pendedahan amalan tariqat semenjak berada di Banten lagi. Beliau mengenali Tariqat Qadiriyah wan Naqsyabandiyyah (TQN) yang tersebar di seluruh Jawa yang dibawa oleh murid-murid Syeikh Ahmad Khatib bin Abdul Ghaffar Sambas (lahir 1217 Hijrah/ 1802 Masihi, wafat 1289 Hijrah/1872 Masihi). Salah seorang khalifahnya yang paling terkenal, yang berasal dari Banten ialah Syeikh Abdul Karim al-Bantani (wafat 18 Safar 1315 Hijrah/19 Julai 1897 Masihi). Menurut almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir,
Oleh itu dipercayai bahawa Fadhil telah ditawajjuh dengan kedua-dua tariqat (Qadiriyyah dan Naqsyabandiyyah) tersebut oleh Syeikh Abdul Karim al-Bantani, ulama Banten yang sangat terkenal itu.[2]
Ketika berada di Makkah, Syeikh Fadhil dikatakan banyak bergaul dengan pengikut tariqat Tijaniyah sehinggakan beliau juga diriwayatkan menerima Tariqat Tijaniyah tetapi tidaklah diketahui dengan jelas daripada siapa beliau menerima tariqat itu. Dengan itu, jelaslah bahawa Syeikh Fadhil mempunyai pengetahuan yang sangat meluas dalam amalan-amalan tariqat yang muktabar khususnya tariqat Qadiriyyah dan Naqsyabandiyyah yang sangat terkenal dalam bidang tariqat.
Tentang penghijrahannya ke Tanah Melayu, ianya bermula apabila Penghulu Mukim Lenga yang bernama Haji Daud sangat tertarik pada keperibadian, keilmuan dan kerohanian yang ada pada Syeikh Fadhil lalu penghulu itu berusaha memujuk ulama yang berasal dari Banten ini supaya datang ke Johor. Akhirnya hasrat Haji Daud tercapai apabila Syeikh Fadhil bersetuju untuk datang ke Johor. Maka dalam tahun 1915 Masihi, Syeikh Fadhil tiba di Johor. Beliau mengajar di Kampung Lenga, Muar. Selain pelbagai ilmu Islam yang asas seperti fardu ain, Syeikh Fadhil amat menekankan amalan Wirid Khaujakan atau Khatam Khaujakan yang sangat terkenal dalam ajaran Tariqat Naqsyabandiyah. Isi kandungan wirid ini adalah zikir-zikir (ayat-ayat Al-Qur’an, selawat atas Nabi, Asma’ ul husna dan lain-lain) yang tujuannya utamanya mendekatkan diri kepada Allah dan memohon keredhaannya.[3] Perkataan ‘Khaujakan’ ini berasal dari perkataan Farsi dalam bentuk jamak (plural), dan mafradnya (tunggalnya) ‘khawajah’ yang bererti syeikh atau guru. ‘Khatam Khaujakan’ sebenarnya merujuk kepada perihal tuan guru menyudahkan majlis bersama anak muridnya dengan membaca zikir-zikirnya dengan adab-adab dan kifiatnya.[4]
Syeikh Fadhil melebarkan sayap dakwahnya keseluruh tempat dimana beliau mengajar seperti Bandar Maharani (Muar), Bakri, Bukit Kepong dan tempat-tempat lainnya. Kesungguhan dan keikhlasan beliau menyebarkan dakwah menyebabkan beliau disenangi segenap lapisan masyarakat, bahkan ajaran beliau dapat diterima oleh semua pihak termasuk Sultan Johor. Beliau juga diriwayatkan rapat dengan Sultan Johor. Semuanya bermula ketika perang dunia kedua meletus antara tahun 1939 hingga tahun 1945. Dalam masa darurat itulah Sultan Ibrahim, Sultan Johor merasa perlu menyelamatkan Kerajaan Johor, termasuk diri peribadi dan keluarganya dengan apa cara sekali pun. Atas nasihat beberapa insan yang arif, baginda mendekati Syeikh Fadhil. Baginda menitahkan Datuk Othman Buang, Pegawai Daerah Muar ketika itu untuk mencari dan menjemput ulama sufi itu datang ke istana baginda. Hajat Sultan Ibrahim itu dipersetujui oleh Syeikh Fadhil tetapi ulama besar itu tidak mahu tinggal dirumah yang disediakan oleh Sultan tetapi hanya mahu tinggal di Masjid Pasir Pelangi. Di sebelah malamnya, beliau hadir di sebelah bilik peraduan Sultan Ibrahim dengan membaca wirid untuk menjaga keselamatan sultan. Walau bagaimana pun untuk lebih mudah melakukan pelbagai amalan wirid dan munajat kepada Allah, beliau memilih masjid yang lebih banyak berkatnya dari rumah. Oleh itu Fadhil lebih banyak melakukannya di dalam masjid.
Akhirnya Sultan Ibrahim memperoleh ketenangan jiwa kerana keberkesanan dan keberkatan doa Syeikh Fadhil. Setelah perang dunia kedua berakhir, baginda memberikan anugerah kepada ulama sufi tersebut. Seperti yang disebut oleh almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir,
Ustaz Haji Ahmad Tunggal (kini YDP Persatuan Khaujakan) dalam bukunya menyebut, ``Sultan telah menganugerahkan pangkat kepada Haji Fadhil, iaitu ia dilantik sebagai Mufti Peribadi Sultan. Jawatan ini berbeza dengan Mufti Kerajaan. Mufti Peribadi adalah bertanggungjawab kepada sultan. Ia memberi nasihat dan fatwa jika dikehendaki oleh sultan.''[5]
Selain anugerah yang berupa kedudukan itu, Sultan Ibrahim juga membiayai Syeikh Fadhil dan isterinya menunaikan ibadah haji, dan memberikan hadiah-hadiah yang tidak terkira besar dan banyaknya. Sumbangan yang tiada terhingga besarnya daripada Sultan Ibrahim ialah apabila baginda membuka pintu kebebasan seluas-luasnya kepada Syeikh Fadhil untuk menubuhkan kumpulan-kumpulan Wirid Khaujakan di seluruh Kerajaan Johor tanpa sebarang halangan. Seperti yang dicatat oleh almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir tentang penubuhan kumpulan ini,
Berdasarkan tulisan Ustaz Haji Ahmad Tunggal, peringkat awal pembentukan kumpulan tersebut di Pontian diketuai oleh Haji Ahmad Syah. Di Batu Pahat oleh Kiyai Saleh. Di Muar oleh Haji Abdul Majid dan di Mersing oleh Haji Siraj bin Marzuki.
Daripada isteri yang pertama, Syeikh Fadhil memperoleh empat orang anak; seorang lelaki dan tiga perempuan. Anak lelakinya ialah Orang Kaya Penghulu Haji Abdul Hamid. Setelah isteri pertamanya meninggal dunia, beliau berpindah ke Bandar Muar dan berkahwin lagi dengan seorang janda beranak dua. Kedua-dua anak tirinya iaitu Haji Othman bin Haji Azhari dan Haji Ali bin Haji Azhari meneruskan perjuangan Syeikh Fadhil. Antara murid Syeikh Fadhil yang menjadi ulama besar ialah Sahibus Samahah Haji Ahmad Awang yang pernah menjadi Mufti Kerajaan Johor dan anak tirinya, Haji Othman Azhari yang pernah memegang jawatan Yang Dipertua Badan Kebajikan Jamaah Khaujakan.
Anak tirinya yang gigih meluaskan amalan wirid Khaujakan ialah Haji Othman bin Azhari. Beliau dilahirkan di Jalan Bakri, Muar pada bulan April tahun 1915 dan dibesarkan oleh ibunya setelah bapanya meninggal dunia ketika usianya masih kecil. Beliau mendapat didikan secara formal di bidang agama di sekolah agama di Muar dan pada tahun 1936 beliau telah melanjutkan pengajiannya di Kuliatul Al-Attas di Johor Bahru. Selepas tamat pengajian beliau mengajar di sekolah sekolah agama di Muar termasuk Madrasah Maharani al-Islamiah, Madrasah Lughatul Quran dan Madrasah Sa’diah. Tokoh yang paling banyak memberi bimbingan kerohanian kepadanya tidak lain tidak bukan ialah ayah tirinya iaitu Syeikh Fadhil Banten. Setelah Syeikh Fadhil Banten wafat, Haji Othman meneruskan usaha mengembangkan wirid khaujakan. Mulai tahun 1967 perkembangan wirid khaujakan telah menampakan pesatnya apabila Tuan Guru Haji Othman Azhari telah berusaha mengumpulkan para ahli ibadah mengamalkan wirid khaujakan secara beramai ramai di masjid Jamek Muar tiap tiap malam Jumaat dari jam 12 malam hingga subuh.[6] Pada mulanya ia disertai oleh beberapa orang dan kemudiannya telah meningkat kepada 600 orang yang datang dari pelbagai daerah.[7] Perkembangan yang pesat ini telah menyebabkan semakin banyak kumpulan wirid ditubuhkan di serata daerah. Pada penghujung tahun 1969, keahlian wirid khaujakan telah meningkat kepada ribuan orang dan bagi mengelak dari fitnah orang maka Tuan Guru Haji Othman Azhari mengambil keputusan mendaftar secara sah dengan pendaftar pertubuhan di Johor.[8] Maka urusan pendaftaran pun diusahakan dan pada 2 November 1971 kumpulan ini didaftarkan di bawah undang undang pertubuhan negeri Johor dengan nama Badan Kebajikan Jemaah Khaujakan Johor dengan No.Pendaftaran 473 (Johor).[9] Tuan Guru Haji Othman Azhari turut menyusun beberapa buah buku risalah wirid Khaujakan dan beberapa buah buku lain bagi memudahkan ahli pertubuhan mengamalkan wirid dan membuat rujukan bacaan.[10] Wirid Khaujakan yang asal adalah panjang, tetapi setelah diringkaskan oleh Tuan Guru Haji Othman, wirid tersebut boleh diselesaikan dalam masa sekitar 45 minit. Tuan Guru Haji Othman meringkaskan wirid itu setelah melakukan istikharah.[11] Tuan Guru Haji Othman Azhari selaku Yang DiPertua persatuan telah memimpin ahli-ahlinya sehingga satu ketika jumlah ahlinya mencecah lebih 20,000 orang.Setelah memimpin pertubuhan ini selama 24 tahun Tuan Guru Haji Othman Azhari menyerahkan pimpinan pertubuhan ini kepada timbalannya. Pada tanggal 23 haribulan Jun 1995 beliau wafat pada usianya 80 tahun dan di kebumikan di tanah perkuburan Batu 2 Jalan Bakri, Muar Johor.[12] Kini, persatuan Khaujakan dipimpin oleh Ustaz Haji Ahmad bin Tunggal.



Syeikh Fadhil Banten dalam kenangan



Tuan Guru Haji Othman Azhari, pengasas persatuan Khaujakan




[1] Masjid Jame’ Lenga
[2] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2004. Sheikh Fadhil Banten - Penyebar wirid Khaujakan di Johor. Utusan Malaysia. Terbit pada 17 Mei 2004. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0517&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive

[3] Rujuk http://khaujakan.faziliaton.com/index.php?option=com_content&task=view&id=16&Itemid=27. Dicapai pada 8 Ogos 2009

[4] Rujuk http://khaujakan.faziliaton.com/index.php?option=com_content&task=view&id=16&Itemid=27. Dicapai pada 8 Ogos 2009

[5] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2004. Sheikh Fadhil Banten - Penyebar wirid Khaujakan di Johor. Utusan Malaysia. Terbit pada 17 Mei 2004. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0517&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive

[6] Rujuk http://khaujakan.faziliaton.com/index.php?option=com_content&task=view&id=12&Itemid=26. Dicapai pada 8 Ogos 2009

[7] Rujuk http://khaujakan.faziliaton.com/index.php?option=com_content&task=view&id=12&Itemid=26. Dicapai pada 8 Ogos 2009
[8] Rujuk http://khaujakan.faziliaton.com/index.php?option=com_content&task=view&id=12&Itemid=26. Dicapai pada 8 Ogos 2009
[9] Rujuk http://khaujakan.faziliaton.com/index.php?option=com_content&task=view&id=12&Itemid=26. Dicapai pada 8 Ogos 2009
[10] Rujuk http://khaujakan.faziliaton.com/index.php?option=com_content&task=view&id=12&Itemid=26. Dicapai pada 8 Ogos 2009
[11] Rujuk http://khaujakan.faziliaton.com/index.php?option=com_content&task=view&id=16&Itemid=27. Dicapai pada 8 Ogos 2009

[12] Rujuk http://khaujakan.faziliaton.com/index.php?option=com_content&task=view&id=12&Itemid=26. Dicapai pada 8 Ogos 2009

Syeikh Abdul Karim Banten, ulama berpengaruh Banten dan murid masyhur Syeikh Khatib Sambas

Murid Syeikh Khatib Sambas yang paling masyhur ialah Syeikh Abdul Karim al-Bantani. Beliau lahir pada tahun 1840 di Lempuyang, satu daerah yang terletak di Tanara Jawa Barat. Tokoh ini berangkat ke Makkah dalam usia yang sangat muda untuk menimba ilmu di sana. Setelah beberapa tahun bermukim di kediaman Syeikh Khatib Sambas, Syeikh Abdul Karim menerima ijazah tariqat Qadiriyyah wan Naqsabandiyah (TQN). Tugas pertama yang perlu dilaksanakannya adalah menjadi guru tariqat di Singapura. Pada tahun 1872, beliau pulang ke kampung halamannya iaitu Lempuyang dan tinggal disana selama tiga tahun. Kemudian pada tahun 1876, beliau kembali ke Makkah untuk menjalankan tugas sebagai pengganti Syeikh Khatib Sambas. Pengaruhnya sangat luas dalam TQN sehinggakan lima cabang tariqat berkenaan yang ada di Pulau Jawa menisbahkan silsilah mereka kepada dirinya. Lima cabang tariqat yang dimaksudkan ialah Pesantren Pegentongan di Bogor (Jawa Barat), Pesantren Suryalaya di Tasimalaya (Jawa Barat), Pesantren Mranggen di Semarang (Jawa Tengah), Pesantren Rejoso di Jombang (Jawa Timur) dan Pesantren Tebuireng di Jombang (Jawa Timur). Pengaruh Syeikh Abdul Karim dalam masyarakat Banten juga sangat kuat. Syeikh Abdul Karim melihat keperluan zikir dalam usaha mengukuhkan iman. Di zamannya, zikir dilakukan di merata tempat seperti di masjid, pondok atau dalam majlis-majlis keramaian pun diselangi dengan zikir malam. Pengaruhnya yang begitu besar telah menyebabkan beliau digelar sebagai Kiyai Agung. Di antara murid-muridnya yang terkenal ialah Haji Sangadeli Kaloran, Haji Asnawi Bendung Lempuyang, Haji Abu Bakar Pontang, Haji Tubagus Isma’il Gulatjir dan Haji Marzuki Tanara. Dari semua muridnya ini, yang paling terkenal adalah Haji Marzuki Tanara. Haji Marzuki Tanara mendirikan pondok pesantren di tempat kelahirannya (Tanara) sebaik pulang dari Makkah. Di Tanara, beliau mengajar dari tahun 1877 hingga 1888. Dua ulama terkemuka Banten, Haji Wasid dan Haji Tubagus Ismail sering berbincang dengannya tentang masalah agama dan masalah yang ditimbulkan oleh kolonialisme (penjajah).
Berbalik kepada jalan hidup Syeikh Abdul Karim tadi, beliau berguru kepada Syekh Ahmad Khatib Sambas yang menguasai hampir semua cabang ilmu keislaman. Gurunya itu dilahirkan di Sambas, Kalimantan Barat, dan bermukim di Makkah dalam tempoh yang agak lama. Syeikh Abdul Karim mempunyai ramai murid yang bertebaran di seluruh Nusantara seperti Bogor, Tangerang, Solok, Sambas, Bali dan Banten. Sebaik kembali ke desa asalnya, Lampuyang, Tanara, pada tahun 1872, beliau langsung mendirikan pesantren. Dalam waktu yang singkat sahaja, pesantrennya dibanjiri dengan murid-murid yang datang dari seluruh pelusuk Nusantara. Pengaruhnya yang begitu besar menyebabkan beliau dihormati oleh ulama lain dan juga pemerintah di situ. Kediamannya dikunjungi pemerintah setempat seperti Bupati Serang dan Residen Banten. Kembalinya Syeikh Abdul Karim ke Banten telah mengukuhkan lagi perjalanan dakwah Islam. Sebelum beliau pulang, ulama-ulama di Banten bekerja tanpa ikatan antara satu sama lain. Masing-masing menyelenggarakan pesantren sendiri dengan cara masing-masing malah bersaing pula. Sebaliknya dengan kepulangan Syeikh Abdul Karim, tokoh besar ini mengambil pendekatan dengan menyatukan ulama di Banten. Tugas Syeikh Abdul Karim dibantu oleh anak muridnya yang paling terkenal iaitu Haji Marzuki. Dalam dakwahnya ke seluruh pelusuk Banten, beliau tidak henti-henti menyeru kepada rakyat supaya meningkatkan kehidupan agama mereka dengan jalan lebih taat beribadah. Beliau menjelaskan bahwa aqidah (keyakinan) dan ibadah (praktik agama) perlu terus-terusan dimurnikan. Syeikh Abdul Karim memfokuskan zikir sebagai tema kebangkitan kembali kehidupan beragama. Maka zikir diselenggarakan di mana-mana sahaja bagi menaikkan semangat keagamaan rakyat. Kegigihannya yang luar biasa itu menyebabkan beliau mendapat tempat dihati masyarakat. Khutbahnya sentiasa mendapat perhatian masyarakat. Nampak ketara perubahan daerah Banten apabila kembali diwarnai kehidupan keagamaan yang luar biasa aktifnya. Pengaruh dari meluasnya kegiatan keagamaan ini turut didorong dengan bangkitnya semangat di kalangan rakyat dalam menentang penguasa asing. Kebetulan pada waktu itu sudah berkembang rasa ketidakpuashatian rakyat kepada pemerintah kolonial akibat tindakan politik dan ekonomi mereka yang merugikan rakyat. Dalam situasi demikian, para ulama secara bertahap membangunkan semangat rakyat untuk melawan pemerintah kolonial Belanda. Ketidakpuashatian itu kemudian memuncak sedemikian rupa sehingga beberapa ulama merencanakan waktu untuk menentang Belanda.
Walaubagaimanapun Syeikh Abdul Karim menganggap bahawa penentangan masih belum tiba saatnya kerana baginya rakyat belum bersedia. Apapun nama Syeikh Abdul Karim tetap disebut sebagai salah satu di antara tiga kiyai utama yang memegang peranan penting dalam pemberontakan rakyat Banten di Cilegon pada tahun 1888 walaupun pada ketika itu beliau berada di Makkah. Dua tokoh kunci yang lain adalah Haji Wasid dan Haji Tubagus Ismail yang juga merupakan anak muridnya. Sebelum bertolak ke Makkah bagi menggalas tugas gurunya sebagai khalifah TQN pada tahun 1876, Syeikh Abdul Karim mengelilingi Banten. Di tempat-tempat yang dikunjunginya, Syeikh Abdul Karim menyeru rakyat agar berpegang teguh pada ajaran agama dan menjauhkan diri dari perbuatan mungkar. Beliau turut memilih beberapa ulama terkemuka untuk menguruskan perjalanan TQN. Syeikh Abdul Karim juga berpesan kepada para pemerintah agar menyokong perjuangan para ulama dalam membangun kembali kehidupan keagamaan serta selalu minta nasihat kepada mereka mengenai soal-soal keagamaan. Menjelang keberangkatannya ke Makkah, murid-murid kanan Syekh Abdul Karim mengatakan bahawa tokoh besar itu tidak akan kembali lagi ke Banten sekiranya daerah itu masih dalam genggaman kekuasaan asing. Pemergiannya Syeikh Abdul Karim ke Makkah tidak langsung mengurangkan pengaruhnya di Banten. Rakyat sering dilanda rindu dan ingin bertemu dengannya. Sementara para muridnya sendiri sudah tidak sabar menantikan arahannya untuk memulakan penentangan terhadap Belanda.
Snouck Hurgronje, yang menghadiri pengajiannya di Makkah pada 1884-1885, menceritakan:
“Setiap malam beratus-ratus orang yang mencari pahala berduyun-duyun datang ke tempat tinggalnya, untuk belajar zikir darinya, untuk mencium tangannya dan untuk menanyakan apakah saatnya sudah hampir tiba, dan berapa tahun lagi pemerintahan kafir masih akan berkuasa.”
Tanpa diragukan lagi, Syeikh Abdul Karim dianggap sebagai salah seorang ulama yang sangat dihormati dan paling berpengaruh di Nusantara pada penghujung abad ke-19. Gelaran Kiyai Agung yang diberikan orang kepadanya amat bertepatan dengan karisma yang dimiliknya. Bahkan sebahagian orang menganggapnya sebagai Wali Allah, yang telah dianugerahi karamah. Di antara peristiwa yang disebut-sebut sebagai petunjuk kekaramatannya ialah pertama, beliau selamat ketika seluruh daerah dilanda banjir air Sungai Cidurian dan kedua, setelah beliau dijatuhkan hukuman denda, residen yang menjatuhkan hukuman keatasnya diganti dengan orang lain manakala bupati diberhentikan. Besarnya pengaruh Syeikh Abdul Karim juga amat nyata apabila beliau melangsungkan pernikahan puterinya. Seluruh desa Lampuyang, tempat tinggalnya, dihias dengan megah. Ulama-ulama terkemuka termasuk dari Betawi (Jakarta) dan Priangan – datang menghadiri majlis tersebut.

Syeikh Khatib Sambas - mursyid tariqat terkenal abad ke-19

Syeikh Khatib Sambas


Nama lengkapnya ialah Syeikh Ahmad Khathib bin Abdul Ghaffar bin Abdullah bin Muhammad as-Sambasi. Beliau lahir di Kampung Dagang, Sambas[1]. Tarikh lahirnya ialah pada bulan Safar 1217 H bersamaan 1802 M. Beliau wafat di Makkah pada tahun 1289 H bersamaan dengan 1872 M. Setelah mendapatkan pendidikan agama di kampung halamannya, beliau berangkat ke Makkah pada ketika usianya 19 tahun. Ketika berada dikampung halamannya, beliau berguru dengan Syeikh Nuruddin Musthafa, Imam Masjid Jami’ Kesultanan Sambas. Setelah tiba di Makkah, beliau menadah kitab kepada nama-nama besar yang sangat terkenal seperti Syeikh Daud ibn Abdullah al-­Fathani ulama besar Alam Melayu yang bermukim di Makkah, Syeikh Muhammad Salih Rays seorang mufti bermazhab Syafi’i, Syeikh Umar bin Abd al-Rasul al-Attar juga mufti bermazhab Syafi’i, Syeikh ‘Abd al-Hafiz ‘Ajami, Syeikh Bisri al-Jabarti, Sayyid Ahmad Marzuki mufti bermazhab Maliki, Abdullah (Ibnu Muhammad) al-Mirghani mufti bermazhab Hanafi dan Syeikh Usman ibn Hasan al-Dimyati. Dari nama-nama gurunya diatas, nampaknya Syeikh Khatib Sambas telah mendalami tiga mazhab besar Fiqh iaitu Syafi’i, Maliki dan Hanafi. Pada masa yang sama, tariqat sangat berkembang di Makkah. Sebagai contoh, tokoh yang sezaman dengannya iaitu Muhammad ibnu Sanusi adalah merupakan pengasas tariqat Sanusiyyah manakala Muhammad Usaman al-Mirghani, saudara kepada Syeikh Abdullah al-Mirghani adalah merupakan pengasas tariqat Khatmiyah. Penggabungan tariqat juga sangat popular pada masa itu. Sebagai contoh, tariqat Khatmiyah yang diasaskan Syeikh Abdullah adalah merupakan gabungan tariqat Naqshabandiyyah, Qadiriyyah, Chistiyah, Kubrawiyah dan Suhrawardiyah. Syeikh Ahmad Khatib juga tidak terlepas dalam amalan tariqat. Beliau menggabungkan dua tariqat yang sangat masyhur dalam dunia tariqat iaitu tariqat Qadiriyyah dan Naqsyabandiyyah sehingga dikenali dengan nama tariqat Qadiriyyah wan Naqsyabandiyyah (TQN).[2] Maka dengan tergabungnya dua tariqat itu, nama Syeikh Ahmad Khathib Sambas menjadi sangat terkenal. Di Makkah, Syeikh Ahmad Khathib Sambas merupakan Syeikh Mursyid yang teratas. Pengiktirafan ini diakui oleh ulama-ulama dunia luar. Seperti kata almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir,
Sepanjang sejarah perkembangan Tariqat Qadiriyah di dunia Melayu dari dahulu hingga sekarang memang tidak dapat dinafikan bahawa tokoh yang terbesar dan paling berkesan bagi ulama-ulama Jawi/Nusantara dalam penyebaran Tariqat Qadiriyah itu ialah Syeikh Ahmad Khathib Sambas. Nama beliau juga dikenal di Uzbekistan, kerana salah seorang murid beliau bernama Syeikh Abdul Murad, adalah seorang ulama Tariqat Qadiriyah-Naqsyabandiyah yang menerima tawajjuh kedua-dua tariqat itu daripada Syeikh Ahmad Khathib Sambas.[3]
Tentang tariqat yang diasaskannya itu iaitu TQN, nampaknya tariqat ini mempunyai peranan yang sangat penting dalam kehidupan muslim Indonesia, terutama dalam meniup semangat perjuangan masyarakat tempatan menentang penjajahan Belanda. Tariqat ini disebarkan dengan jayanya oleh anak-anak muridnya yang bertebaran di seluruh pelusuk Alam Melayu. Selain Indonesia, tariqat ini turut mendapat tempat di negara-negara lain yang bermazhab Syafi’i dan bertasawuf mengikut fahaman al-Junaid dan al-Bustami.[4] Amalan-amalan TQN Syeikh Ahmad Khatib Sambas dimuatkan dalam kitabnya yang masyhur yang bernama Fathul Arifin.[5] Kitab ini dikatakan merupakan himpunan nota-nota syarahannya yang dicatat oleh salah seorang muridnya bernama Muhammad Ismail bin Abdur Rahim. Catatan ini kemudiannya dibukukan di Makkah pada tahun 1295 H. Isi kandungannya meliputi tatacara, baiat, talqin, dzikir, muqarobah dan silsilah TQN. Buku inilah yang hingga saat ini masih dijadikan pegangan oleh para mursyid dan pengikut TQN. Dengan demikian maka tentu saja nama Syeikh Ahmad Khatib Sambas selalu dikenang dan di panjatkan dalam setiap doa dan munajah oleh para pengikut Tariqat ini. Walaupun Syeikh Ahmad Khatib Sambas sangat terkenal sebagai seorang tokoh sufi, namun beliau juga ada menghasilkan karya dalam bidang ilmu fiqh. Karyanya itu berjudul Perihal Juma’at.[6] Karya ini masih dalam bentuk manuskrip. Kandungannya membicarakan masalah seputar Juma’at dan membahas mengenai hukum penyembelihan secara Islam. Pada bahgian akhir naskah manuskrip, terdapat satu nasihat panjang sebelum di akhiri dengan beberapa amalan wirid beliau selain amalan TQN. Karya lain yang dapat dikesan adalah merupakan himpunan manuskrip yang membicarakan tentang fiqh, taharah, solat dan penyelenggaraan jenazah. Apa yang menarik tentang tokoh besar ini ialah sejarah hidupnya ada tercatat dalam kitab-kitab yang ditulis oleh orang Arab. Kitab yang pertama ialah Siyar wa Tarajim, karya Umar Abdul Jabbar dan kitab yang kedua ialah Al-Mukhtashar min Kitab Nasyrin Naur waz Zahar, karya Abdullah Mirdad Abul Khair yang kemudiannya kitab ini diringkaskan oleh Muhammad Sa’id al-’Amudi dan Ahmad Ali. Dalam kedua-dua kitab inilah ada dicatatkan tentang tahun lahir dan wafatnya Syeikh Ahmad Khatib Sambas. Umar Abdul Jabbar, menyebut bulan Safar 1217 H (kira-kira bersamaan 1802 M.) sebagai tanggal lahirnya dan ini disepakati oleh Muhammad Sa’id al-Mahmudi dan Ahmad Ali yang meringkaskan karya Abdullah Mirdad. Namun mengenai tahun wafatnya di Makkah, terdapat perbezaan. Abdullah Mirdad Abul Khair menyebut bahawa Syeikh Ahmad Khatib wafat tahun 1280 H (bersamaan 1863 M) sedangkan menurut Umar Abdul Jabbar pada tahun 1289 H (bersamaan 1872 M). Tahun wafat 1280 H yang disebut oleh Abdullah Mirdad Abul Khair tertolak berdasarkan sebuah manuskrip Fathul Arifin salinan Haji Muhammad Sa’id bin Hasanuddin, Imam Singapura, yang menyebutkan bahawa Muhammad Sa’ad bin Muhammad Thasin al-Banjari mengambil tariqat (berbaiat) dari gurunya, Syeikh Ahmad Khatib yang berada di Makkah ketika sedang menjalani khalwat. Manuskrip ini menyebut bahawa baiat ini terjadi pada hari Rabu ketujuh bulan Dzulhijjah, tahun 1286 H. Ini bererti pada tanggal 7 Dzulhijah 1286 H Syeikh Ahmad Khathib Sambas masih hidup. Oleh kerana itu, tanggal wafat Syeikh Ahmad Khatib Sambas, yang wafat tahun 1289 H seperti yang disebut oleh Umar Abdul Jabbar lebih mendekati kebenaran berbanding dengan apa yang dinyatakan oleh Abdullah Mirdad Abul Khair.
Anak murid Syeikh Ahmad Khatib Sambas ini sangat ramai bahkan pengaruhnya dalam bidang tariqat ini dikatakan melebihi tokoh-tokoh penyebar Tariqat Qadiriyah seperti Syeikh Nuruddin ar-Raniri, Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri dan lain-lainnya yang lebih dahulu.[7] Antara nama anak muridnya yang juga merupakan ulama besar ialah
1. Syeikh Zainal Abidin yang berasal dari Kelantan. Beliau diutus oleh Syeikh Ahmad Khathib Sambas ke Kalimantan Barat sebagai `Ketua Khalifah' di sana. Syeikh Zainal Abidin al-Kalantani meninggal dunia di Kampung Sebedang, Sambas.
2. Syeikh Abdul Karim al-Bantani. Beliau dilantik oleh Syeikh Ahmad Khatib sebagai khalifah di Makkah.[8] Beliau mempunyai murid yang sangat ramai sesudah Syeikh Ahmad Khatib Sambas.
3. Syeikh Ahmad Hasbullah bin Muhammad al- Manduri wakil khalifah di Jawa Timur.
4. Syeikh Zarkasyi Barjan Porwajo dan Syeikh Ibrahim Berumbung wakil khalifah di Jawa Tengah.
5. Syeikh Asnawi Banten di Jawa Barat.
6. Syeikh Muhammad bin Ismail bin Abdur Rahim berasal dari Pulau Bali.
7. Haji Abdul Lathif bin Haji Abdul Qadir berasal dari Sarawak.
8. Haji Ahmad Shah dari Pontian, Johor.[9]





[1] Terletak di Kalimantan Barat
[2] Martin van Bruinessen, Julia Day Howell. 2007. Sufism and the 'modern' in Islam. I.B. Tauris. London. Hlm.168
[3] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2004. Ahmad Khathib Sambas - Mursyid Tariqat Qadiriyah. Utusan Malaysia. Terbit pada 6 Disember 2004. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=1206&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive

[4] Said Aqil Siroj. 2006. Tasawuf sebagai kritik sosial: mengedepankan Islam sebagai inspirasi, bukan aspirasi. Pustaka Mizan. Bandung. Hlm 426
[5] Kitab ini pernah ditashih oleh Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, ulama besar Alam Melayu abad ke-19. Rujuk tulisan Wan Mohd Saghir Abdullah. 2008. Saiyid Muhammad Saiyid Zainal Abidin al-Aidrus. Utusan Malaysia. Terbit pada 3 November 2008. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm
[6] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2008. Saiyid Muhammad Saiyid Zainal Abidin al-Aidrus. Utusan Malaysia. Terbit pada 3 November 2008. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm


[7] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2004. Ahmad Khathib Sambas - Mursyid Tariqat Qadiriyah. Utusan Malaysia. Terbit pada 6 Disember 2004. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=1206&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive
[8] Ahmad Syafii Mufid. 2006. Tangklukan, abangan, dan tarekat: kebangkitan agama di Jawa. Yayasan Obor Indonesia. Hlm 35

[9] Abdul Rahman Abdullah. 1997. Pemikiran Islam di Malaysia: sejarah dan aliran Gema Insani Press. Jakarta. Hlm 52

Syeikh Burhanuddin Ulakan, Ulama besar yang taat pada gurunya


Salah seorang murid ulama besar Syeikh Abdur Rauf Ali Fansuri yang sangat terkenal ialah Burhanuddin Ulakan. Beliau dilahirkan pada tahun 1056 Hijrah bersamaan dengan 1646 Masehi dan meninggal dunia pada 1104 Hijrah bersamaan dengan 1692 Masehi. Pada waktu kecil, nama yang dipakainya ialah Pono. Beliau meninggalkan kampung halamannya, Sintuk lalau merantau ke Tapakis. Disana beliau berguru kepada seorang ulama bernama Yahyuddin yang lebih terkenal dengan panggilan Tuanku Madinah. Diatas cadangan gurunya itu, beliau berangkat ke Aceh untuk menadah kitab kepada Syeikh Abdur Rauf Ali al-Fansuri. Setelah sekian lama beliau belajar dengan ulama besar itu, Burhanuddin kemudiannya berangkat ke Tanah Arab. Sekembalinya dari Tanah Arab, beliau mendirikan surau Syatariyyah di Ulakan.[1] Ada juga pendapat lain yang menyatakan bahawa setelah menyelesaikan pengajiannya di Aceh, beliau langsung pulang ke Ulakan dan mendirikan surau pengajian.[2] Akan tetapi, sesuai dengan tradisi keilmuan Islam pada waktu itu, besar kemungkinan juga beliau memang melanjutkan pengajian di Makkah sambil melaksanakan ibadah haji.[3]
Almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir menyatakan bahawa Burhanuddin menadah kitab kepada Syeikh Abdur Rauf Ali al-Fansuri selama tiga belas tahun.[4] Ketika belajar, beliau bersahabat dengan Datuk Marhum Panjang dari Padang Ganting Tanah Datar, Tarapang dari Kubang Tiga Belas (Solok) dan lain-lain. Ada kisah menarik tentang ulama besar ini tatkala beliau berguru dengan wali Allah Aceh ini. Kisahnya seperti berikut,
“Dari sehari ke sehari tumbuhlah kasih sayang, takut dan malu kepada Syeikh[5] tersebut. Pada suatu hari Syeikh itu mengunyah-nguyah sirih. Tiba-tiba tempat kapur sirihnya terlepas dari tangannya jatuh ke dalam kakus[6]. Yang mana kakus itu sangat dalam, telah dipakai berpuluh-puluh tahun”. Tuan Syeikh berkata: “Siapa antara kalian sebanyak ini sudi membersihkan kakus itu sebersih-bersihnya? Sambil untuk mengambil tempat sirih saya yang jatuh ke dalamnya?”. Ramai murid yang merasa enggan dan malas mengerjakan yang diperintah Syeikh itu. Lantas Burhanuddin bekerja berjam-jam membersihkan kakus itu sehingga bersih dan tempat kapur sirih pun dijumpai, lalu dibersihkannya dan dipersembahkannya kepada Syeikh tersebut. Lantas tuan Syeikh berdoa dengan sepanjang-panjang doa. Selanjutnya Syeikh itu berkata: “Tanganmu ini akan dicium oleh raja-raja, penghulu-penghulu, orang besar di Sumatera Barat dan muridmu tidak akan putus-putusnya sampai akhir zaman, dan ilmu kamu akan memberkati dunia ini. Aku namai kamu Saidi Syeikh Burhanuddin”.[7]
Dengan mengambil cerita versi kedua iaitu beliau pulang ke kampung setelah berguru dengan wali Allah itu, sebelum Burhanuddin meninggalkan Aceh, gurunya ada berpesan, ”Pulanglah kamu ke negerimu, ajarkanlah ilmu yang ditakdirkan Allah. Kalau kamu tetap kasih, takut, malu kepadaku nanti kamu akan mendapatkan hikmah. Dan apabila orang telah diberi ilmu hikmah, maka terbuka rahasia Allah, dan berbahagialah orang itu dunia akhirat.” Syeikh Burhanuddin kembali ke kampung halamanannya pada tahun 1680 Masehi. Di kampung halamannya, beliau mendirikan surau yang dikatakan merupakan surau pertama di Sumatera Barat yang sarat dengan muatan keilmuan. Syeikh Burhanuddin adalah ulama pertama yang melakukan transformasi terhadap institusi surau menjadi lembaga pendidikan Islam. Beliau membina dua surau iaitu Surau Tua Tanjung Medan dan Ulakan. Muridnya datang dari seluruh pelosok Minangkabau. Bila mereka sudah selesai belajar di Surau Tanjung Medan dan Surau Ulakan, mereka kembali ke kampung masing-masing untuk mengajarkan agama Islam kepada masyarakatnya. Syeikh Burhanudddin amat terkenal dengan amalan tariqat Syatariyah. Bahkan namanya disebut sebagai pembawa aliran tariqat Syatariyah ke Minangkabau. Tariqat ini kemudiannya berkembang ke seluruh Minangkabau setelah disebarkan oleh anak murid Syeikh Burhanuddin yang bertebaran di seluruh pelusuk Minangkabau. Banyak surau Syatariyah didirikan di kawasan Minangkabau.
Nama Syeikh Burhanuddin juga terkait dengan kisah tradisi masyarakat Minangkabau dimana asal sejarah pembuatan lemang dikatakan bermula dari tokoh besar ini. Seperti yang disebut oleh Azwar dalam tulisannya,
Tradisi membuat lemang ini diperkirakan sudah di mulai semenjak tiga ratus tahun yang lalu. Seiring dengan penyebaran Islam di daerah pesisir Minangkabau, tepatnya di Ulakan Pariaman, yang disebarkan oleh ulama terkenal Syeikh Burhanuddin Ulakan. Dalam tradisi lisan Minangkabau, dikisahkan bahawa Syeikh Burhanuddin sering singgah ke rumah-rumah penduduk untuk bersilaturahim serta mengajarkan ajaran agama Islam. Syeikh Burhanuddin berasa sangsi atas makanan yang disuguhkan oleh masyarakat itu, maka untuk menghindari jamuan yang diragukan kehalalannya, beliau menyarankan tuan rumah untuk mencari bamboo(buluh), mengalasnya dengan daun pisang muda, memasukkan beras ketan dan santan, sebelum kemudian memanggangnya. Sampai saat sekarang, hal inilah yang dipercayai masyarakat sebagai awal pembuatan makanan yang disebut lemang itu.[8]

Kawasan makam Syeikh Burhanuddin Ulakan


[1] M. Shaleh Putuhena. 2007. Historiografi haji Indonesia. LKIS. Jakarta. Hlm 118
[2] M. Shaleh Putuhena. 2007. Historiografi haji Indonesia. LKIS. Jakarta. Hlm 118
[3] M. Shaleh Putuhena. 2007. Historiografi haji Indonesia. LKIS. Jakarta. Hlm 118
[4] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2007. Syeikh Burhanuddin Ulakan penyebar Islam di Minangkabau. Utusan Malaysia. Terbit pada 17 Disember 2007. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1217&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive
[5] Merujuk kepada Syeikh Abdur Rauf Ali al-Fansuri
[6] Sama ertinya dengan tandas
[7] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2007. Syeikh Burhanuddin Ulakan penyebar Islam di Minangkabau. Utusan Malaysia. Terbit pada 17 Disember 2007. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1217&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive

[8] Azwar. 2009. Malamang di Ranah Minang. Kabarindonesia.com. Terbit pada 9 April 2009. Boleh dirujuk di http://www.kabarindonesia.com/berita.php?pil=12&jd=Malamang+di+Ranah+Minang&dn=20090409114913

Saturday, July 25, 2009

Syeikh Nik Mat Kecik dan warisnya yang menjadi hakim di Makkah

Nama lengkapnya ialah Syeikh Muhammad Shaghir bin Ismail bin Ahmad al-Fathani. Datuk saudaranya yang juga ulama besar Melayu abad ke -18, Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani[1] menamakannya dengan nama Muhammad Saghir manakala di kalangan keluarganya beliau dikenali dengan nama Syeikh Nik Mat Kecik. Beliau lahir daripada keluarga besar ulama Patani yang berhijrah pada masa peperangan dahsyat gabungan Patani-Terengganu-Kedah dan Kelantan daripada pencerobohan Siam ketika itu. Tentang tahun kelahirannya terdapat dua catatan keluarga yang berbeza iaitu 1245 H/ 1829 M dan 1260 H/1844 M seperti yang dinyatakan oleh Almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir.[2] Syeikh Nik Mat Kecik wafat di Mekah pada tahun 1333 H/1914 M. Ketika usia kecilnya Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani dikatakan sempat menemui Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, tetapi beliau lebih banyak mendapat pendidikan daripada saudara sepupunya, Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani. Dengan ilmunya yang meluas dalam pelbagai bidang, beliau kemudiannya mengajar di rumah dan juga di Masjid al-Haram. Murid-muridnya sangat ramai khususnya yang datang dari Alam Melayu. Keilmuannya diiktiraf sehingga Syeikh Nik Mat Kecik dilantik menjadi Hakim Mahkamah Syarie Makkah al-Mukarramah pada zamannya bahkan beliau merupakan satu-satunya tokoh yang berasal dari dunia Melayu yang berjaya memegang jawatan tertinggi itu pada zamannya. Selain itu beliau juga merupakan `Syeikh Haji' yang terbesar pada zamannya. Menurut almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir, beliau banyak keramatnya.[3] Suaranya dapat didengar dengan jelas oleh para pelajarnya walaupun duduk berjauhan tanpa perlu menggunakan pembesar suara ketika mengajar.[4] Perompak juga tidak berani menganggu apabila disebut nama Syeikh Nik Mat Kecik.[5] Diriwayatkan antara perjalanan dari Makkah ke Madinah sering berlaku kes rompakan. Bagi mengelakkan dari dirompak, caranya ialah dengan menyatakan bahawa “kami adalah dari kumpulan jemaah Syeikh Nik Mat Kecik” kerana nama syeikh sangat dihormati pada masa itu. Syeikh Nik Mat Kecik dikatakan sangat pemurah. Beliau membiayai kehidupan hampir semua pelajar yang datang dari dunia Melayu yang berada di Makkah pada ketika itu. Hampir semua anak didiknya menjadi ulama besar. Setelah menyelesaikan pengajian, mereka pulang ke tanah air dan menjadi tokoh penting yang bergerak dalam pelbagai bidang kemasyarakatan. Mereka inilah yang tersebar di Indonesia, Malaysia, Patani, Thailand dan Kemboja.
Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani juga terkenal sebagai pengarang beberapa buah kitab besar walaupun jumlah karyanya tidaklah sebanyak karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani atau pun Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Antara kitabnya yang masyhur dan ada diantaranya yang masih berlegar dipasaran kitab ialah
1. Al-Bahjatul Mardhiyah fi Fawaidil Ukharawiyah. KItab ini diselesaikan pada 20 Syaaban 1296 H/1878 M di Makkatul Musyarrafah. Kitab ini pernah dikeluarkan oleh Mathba'ah al-Miriyah, Makkah. Kandungannya mengandungi pelbagai wirid dan amalan.
2. Mathla'ul Badrain wa Majma'ul Bahrain. Kitab ini diselesaikan pada 12 Syaaban 1303 H/1885 M. Kitab ini pernah ditashih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani untuk cetakan ketiga dan keempat. Kitab ini sangat masyhur di Alam Melayu bahkan banyak dijadikan teks pengajian di masjid dan surau di seluruh Tanah Melayu. Disebabkan kitab ini terlalu banyak digunapakai, maka kerajaan Johor menganjurkan penyusunan sebuah kamus yang khusus mengenai kitab ini. Lalu terhasillah sebuah kamus dengan judul Suluh Mathla'ul Badrain yang disusun oleh Haji Abdul Ghani Yahya. Kamus ini ditulis di Johor Baharu pada 1 Oktober 1941 M. Kitab Mathla’ul Badrain ini juga pernah diterbit oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.
3. Al-Kaukabud Durriy fin Nuril Muhammadiy. Kitab ini diselesaikan penulisannya pada 13 Syaaban l304 H/1886 M di Makkah. Kitab ini pernah ditashih dan diusahakan penerbitannya oleh Syeikh Ahmad al-Fathani.
4. Ad-Durrul Basim fi Ashhabil Kahfi war Raqim. Kitab ini diselesaikan penulisannya pada 19 Rejab 1310 H/1892 M di Makkah. Cetakan pertama adalah pada tahun 1310 H/1892 M oleh Mathba'ah al-Miriyah, Makkah. Kitab ini ditashih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani.
5. Kitabul Farqadain wa Jawahirul `Iqdain. Kitab ini diselesaikan pada 13 Syawal 1311 H/1893 M di Mekah. Kitab ini mula dikeluarkan pada Zulkaedah 1311 H/1893 M. Kitab ini ditashih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani.
6. Wusyahul Afrah wa Ashabul Falah. Kitab ini diselesaikan pada Zulkaedah 1312 H/I894 M. Kitab ini juga sangat masyhur dan masih dicetakjhingga kini. Kitab ini pernah di cetak di Makkah oleh Mathba'ah al-Miriyah, di Singapura oleh Al-Imam Singapura, Surabaya dan Pulau Pinang.
7. Sawathi'ul Barqi wal Luma'i fi Ahkamit Tayammum wal Jama'i. Kitab ini diselesaikan pada pada hari Jumaat, 25 Jamadilawal 1323 H/1905 M di Makkah.
8. Al-Bahrul Wafi wan Nahrush Shafi. Kitab ini diselesaikan pada 18 Rejab l331 H/1912 M. Isi kandungannya adalah tentang feqah bahagian ibadah dan sangat meluas khususnya bab Haji dan Umrah. Adalah diakui bahawa kitab ini merupakan kitab paling lengkap untuk rujukan dan panduan bakal-bakal jemaah Haji dan umrah di Malaysia Kitab ini pernah dicetak oleh Mathba'ah asy-Syarqiyah kepunyaan Muhammad Ramzi, Jeddah pada tahun 1930 M atas usaha dan tashih anaknya, Syeikh Muhammad Nur al-Fathani.
Anaknya yang menjadi ulama besar di Makkah ialah Syeikh Muhammad Nur al-Fathani. Syeikh Muhammad Nur al-Fathani lahir di Makkah pada tahun 1290 H/1873 M dan wafat pada pada tahun 1363 H/1944 M. Syeikh Muhammad Nur al-Fathani mendapat pendidikan di kalangan ahli keluarganya yang menjadi ulama besar iaitu ayahnya sendiri Syeikh Nik Mat Kecik, Syeikh Wan ‘Ali Kutan dan Syeikh Ahmad al-Fathani. Beliau pernah dihantar belajar ke Universiti Al-Azhar, Mesir walaupun pada masa itu, beliau telah menguasai pelbagai bidang ilmu dan layak bergelar ulama. Ketika belajar di Mesir, Syeikh Muhammad Nur al-Fathani belajar dengan beberapa ulama besar seperti Syeikh Bakhit, ulama dalam Mazhab Hanafi dan tokoh gerakan pembaharuan seperti Syeikh Muhammad Abduh dan Saiyid Rasyid Ridha yang merupakan murid dan orang kanan Syeikh Muhammad Abduh. Seperti kata almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir, walaupun beliau pernah menimba ilmu dengan tokoh pembaharuan dan bersahabat dengan pelopor gerakan Kaum Muda seperti Syeikh Tahir Jalaluddin al-Minankabawi namun beliau tidak pernah cenderung pada mana-mana pihak samada Kaum Tua atau Kaum Muda sebaliknya sentiasa berlapang dada apabila bertemu dengan kedua-dua belah pihak itu.[6] Walaubagaimanapun, Syeikh Muhammad Nur al-Fathani daripada satu segi tetap mengikut Mazhab Syafie dan Ahlus Sunnah wal Jamaah. Seperti kata almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir, dengan cara demikian akhirnya kedua-dua pihak (Kaum Tua dan Kaum Muda) dengan sendirinya berasa segan dan hormat kepada Syeikh Muhammad Nur al-Fathani.[7] Syeikh Muhammad Nur al-Fathani mengikuti jejak langkah ayahandanya apabila turut memegang jawatan yang tidak kurang pentingnya di Makkah. Beliau dilantik menjadi ‘Kadi Mahkamah al-Kubra Makkah’ malah pernah menjadi ketua dalam jabatan itu. Selain itu Syeikh Muhammad Nur al-Fathani pernah menjadi ‘Ketua Syeikh Haji Al-Jawi Makkah’ sama seperti yang pernah dilakukan oleh ayahandanya dan juga moyang saudaranya iaitu Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.Walaupun sibuk dengan tugas sebagai penguasa tertinggi Islam di Makkah pada zamannya, Syeikh Muhammad Nur al-Fathani tetap meluangkan masa untuk mengajar baik di rumah mahupun di Masjid al-Haram, Makkah. Sama seperti ayahandanya, beliau juga sangat pemurah dan sentiasa menolong orang. Beliau akan memberi pertolongan dengan mengurusnya sendiri hingga selesai tanpa mengira masa dan kewangan. Beliau mewarisi sifat tersebut daripada ahli keluarganya yang terdahulu iaitu moyang saudaranya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, ayahandanya Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani dan saudara pupunya, Syeikh Ahmad al-Fathani. Bahkan Syeikh Ahmad al-Fathani dikatakan pernah berwasiat kepada Syeikh Muhammad Nur al-Fathani supaya kelakuan yang terpuji itu diterap dan diajarkan kepada murid-muridnya khususnya kepada keturunannya. Dalam bidang penulisan, karya terbesarnya ialah Kifayah al-Muhtadi bi Syarh Sullam al-Mubtadi. Kitab ini masih berlegar di pasaran kitab malah menjadi teks pengajian di kebanyakan surau dan masjid diseluruh Negara. Penulisannya dilakukan di Makkah dan diselesaikan di Madinah al-Munawwarah pada hari Jumaat, 9 Rabiul Akhir 1351 H/11 Ogos 1932. Kitab ini merupakan syarah kepada kitab Sullamul Mubtadi fi Ma'rifati Thariqatil Muhtadi (1252 H/1836 M) yang ditulis oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.


[1] Adik-beradik dengan datuknya
[2] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2005. Syeikh Nik Mat - Hakim Mahkamah Syarie di Mekah. Utusan Malaysia. Terbit pada 25 April 2005. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0425&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive

[3] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2005. Syeikh Nik Mat - Hakim Mahkamah Syarie di Mekah. Utusan Malaysia. Terbit pada 25 April 2005. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0425&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive
[4] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2005. Syeikh Nik Mat - Hakim Mahkamah Syarie di Mekah. Utusan Malaysia. Terbit pada 25 April 2005. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0425&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive
[5] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2005. Syeikh Nik Mat - Hakim Mahkamah Syarie di Mekah. Utusan Malaysia. Terbit pada 25 April 2005. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0425&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive
[6] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2006. Syeikh Muhammad Nur Al-Fathani pembesar dua pemerintah Mekah. Utusan Malaysia. Terbit pada 23 Januari 2006. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0123&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive
[7] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2006. Syeikh Muhammad Nur Al-Fathani pembesar dua pemerintah Mekah. Utusan Malaysia. Terbit pada 23 Januari 2006. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0123&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive

Friday, July 24, 2009

Haji Muhammad Saaid dan Tafsir Nur al-Ihsan 30 juzuk

Haji Muhammad Saaid Bin Umar Khatib[1] dilahirkan pada tahun 1275 Hijrah bersamaan 1857 Masihi di Kampung Kuar, Jerlun, Kedah. Beliau merupakan anak yang pertama dari dua orang adik beradik. Adiknya bernama Haji Ismail. Haji Muhammad Saaid mendapat pendidikan awal daripada bapanya sendiri di Kedah. Selepas daripada itu, beliau meneruskan perjalanannya untuk menuntut ilmu di Patani dan kemudiannya di Makkah dalam usia yang masih muda belia. Ketika menuntut ilmu disana beliau pernah digelar Lebai Saaid. Menurut almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir, Haji Muhammad Saaid dikatakan pernah belajar di Pondok Bendang Daya, Patani dan sempat belajar dengan pengasasnya iaitu Syeikh Haji Wan Mustafa al-Fathani (Tok Bendang Daya pertama). Beliau juga dikatakan banyak menimba ilmu dari Syeikh Abdul Qadir bin Mustafa al-Fathani (Tok Bendang Daya kedua).[2]
Setelah tamat pembelajarannya di Makkah, beliau kembali ke kampung halamannya untuk menyebarkan ilmu yang telah dipelajarinya. Selepas berada di Kedah buat beberapa ketika, beliau kemudiannya berpindah ke Changkat Kerian, Perak dan membuka sebuah sekolah pondok di situ. Haji Muhammad Saaid telah bertindak sebagai seorang tenaga pengajar di sekolah pondok yang diasaskan olehnya itu. Ketika menetap di Changkat Kerian, Haji Muhammad Saaid telah berkahwin dengan seorang penduduk tempatan yang bernama Fatimah. Mereka telah dikurniakan tiga orang anak lelaki yang diberi nama Mahmud, Muhammad dan Ahmad. Walaubagaimanapun, isteri beliau terlebih dahulu kembali ke rahmatullah dalam usianya yang masih muda. Setelah kematian Fatimah, beliau mengahwini Hajjah Rahmah yang berasal dari Pulau Mertajam, Perak. Hasil perkongsian hidupnya dengan isteri yang kedua ini, beliau telah memperolehi empat orang anak, iaitu Umar, Abdul Hamid, Safiah dan Fatimah. Pada masa yang sama, berlakulah satu peristiwa penting dimana Siam telah melancarkan serangan ke atas Kedah. Haji Muhammad Saaid kemudiannya berpindah ke Kampung Kedah, Perak. Haji Muhammad Saaid membuka sekolah pondok disitu dan mengajar pelajar-pelajar sekolah yang didirikannya di tempat baru itu. Beliau juga turut mengerjakan tanah sawah di situ. Di Kampung Kedah, beliau berkahwin buat kali ketiganya dengan Hajjah Hamidah yang merupakan penduduk asal di situ dan memperolehi seramai sepuluh orang anak. Mereka ialah Mustafa, Kasim, Siti Hajar, Mariam, Asma, Mohd Akib, Hussain, Mansur dan Nasir. Diriwayatkan bahawa pada suatu hari ketika berada di bendang padi, Haji Muhammad Saaid telah didatangi oleh perwakilan dari Kedah dengan hajat menyampaikan utusan dari Tengku Mahmud. Mereka meminta agar beliau kembali semula ke Kedah dengan alasan Haji Muhammad Saaid adalah anak jati negeri Kedah dan sewajarnya beliau berbakti kepada rakyat Kedah. Haji Muhammad Sa‘id kemudiannya mengambil keputusan untuk kembali ke Kedah semula dan beliau telah dihadiahkan sebidang tanah di Kancut, Kedah. Peristiwa itu berlaku sekitar tahun 1312H bersamaan 1894M ketika beliau berusia berumur 37 tahun. Beliau menetap dan berkhidmat di situ sehinggalah ke akhir hayatnya. Sekembalinya ke Kedah, beliau diberi jawatan Guru di Raja dimana tugasnya ialah mengajar anak-anak raja. Di antara pelajaran yang diajarnya ialah tafsir. Selepas itu beliau diberi jawatan sebagai Kadi di Jitra dan di gelar Haji Saaid Mufti. Beliau sangat aktif menyebarkan risalah Islam dan mengajar di surau dan masjid. Pada usia 75 tahun, ketika masih lagi berkhidmat sebagai kadi, beliau mula mengidap penyakit lenguh sebelah badan dan perlu menjalani pembedahan. Selepas itu beliau dibawa pulang kepangkuan isterinya Hajjah Rahmah di Jitra. Setelah beberapa hari berada di sana, beliau kembali ke Kanchut, bersama isterinya Hajjah Hamidah. Pada hari Rabu, selepas waktu Asar, 22 Zulkaedah 1350 bersamaan 9 Mac 1932 Hj Mohd Saaid kembali ke Rahmatullah dan dikebumikan di Masjid Alor Merah, Alor Star. Diriwayatkan bahawa Haji Muhammad Saaid pernah mengarang dua buah kitab iaitu Tafsir Nur al-Ihsan dan juga Fatwa Kedah. Kitab Tafsir Nur al-Ihsan merupakan hasil karangannya yang terbesar dan masih berlegar dipasaran kitab pada hari ini manakala Fatwa Kedah pula dikarang semasa beliau berkhidmat sebagai seorang kadi. Ia memuatkan fatwa-fatwa mengenai hukum nikah cerai dan ditulis dengan tujuan untuk diedarkan kepada imam-imam masjid. Kitab Tafsir Nur al-Ihsan mula dikarang pada bulan Zulhijjah 1344H bersamaan Januari 1925M, iaitu pada zaman pemerintahan Sultan Abdul Hamid Halim Shah ibn al-Marhun Sultan Ahmad Taj al-Din Mukarram Shah. Penulisan kitab tersebut memakan masa selama 2 tahun 9 bulan[3]. Kitab ini dikatakan mula dicetak pada tahun 1934M dan antara syarikat percetakan yang pernah mencetaknya ialah Persama Press yang terletak di Achen Street, Pulau Pinang, Maktabah wa Matba‘ah Dar al-Ma‘arif, Sungai Penang Road di Pulau Pinang dan Maktabah wa Matba‘ah Muhammad al-Nahdi wa Awladuh yang terletak di Bangkok, Thailand.
Kitab tafsir Nur al-Ihsan ini merupakan salah satu daripada karya tafsir di bawah kategori kitab tafsir lengkap 30 juzu’, seperimana Tafsir Pimpinan al-Rahman Kepada Pengertian al-Qur’an karangan Syaykh Abdullah Basmeih dan kitab Khulasah al-Qur’an oleh Maulana Abdullah Awang Nuh. Kitab tafsir terdiri dari empat jilid dan kandungan bagi setiap jilidnya adalah seperti berikut :-
Jilid Pertama : Bermula dari surah al-Fatihah diikuti al-Baqarah seterusnya Ali ‘Imran, al-Nisa’ dan berakhir dengan surah al-Ma’idah. Muqaddimah turut dicatatkan yang berisi tentang pengertian Islam, iman dan disusuli pula dengan lima rukun Islam secara ringkas. Turut dijelaskan ialah enam rukun iman dan disertakan dengan sedikit ulasan bagi setiap rukun tersebut. Ini diikuti dengan penerangan mengenai ibadat solat dari segi syarat solat, rukun wudhu dan rukun solat.
Jilid Kedua :Dalam jilid kedua, terdapat 12 surah yang ditafsir dimulai dengan surah al-An‘am sehinggalah kepada surah al-Isra’.
Jilid Ketiga :Pentafsiran bermula dari surah al-Kahfi dan diakhiri dengan surah al-Zumar.
Jilid Keempat :Surah-surah yang dimuatkan ialah bermula dengan surah Ghafir sehinggalah surah al-Nas.


[1] Bapanya merupakan seorang khatib dan dengan itu dikenali sebagai ‘Umar Khatib’ kerana terkenal dengan ketokohan dan kefasihannya ketika menyampaikan ucapan dan berkhutbah di hadapan khalayak ramai.
[2] Wan Mohd Saghir. 2004. Muhammad Sa'id Umar Kedah - Pengarang Tafsir Nur al-Ihsan. Utusan Malaysia. Terbit pada 13 Disember 2004. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=1213&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive
[3] Diselesaikan pada hari Rabu, 1 Rabiul Akhir 1346H ataupun 1 Oktober 1927M

Syarif Muhammad al-Baghdadi dan warisnya Tok Pulau Manis, ulama besar abad ke-14 dan 17 Masehi

Syarif Muhammad al-Baghdadi adalah seorang tokoh yang sangat penting dalam penyebaran Islam di Alam Melayu. Beliau merupakan keturunan Saidina Hasan daripada sebelah bapanya dan Saidina Husin daripada sebelah ibunya. Diriwayatkan bahawa Syarif Muhammad dipercayai telah meninggalkan takhtanya dan kerajaan Baghdad untuk beruzlah di Makkah. Setelah sekian lama berada di Makkah, beliau berangkat menuju ke Hadratulmaut di Yaman dan seterusnya ke Nusantara iaitu di Hulu Terengganu. Di Hulu Terengganu, beliau menjalankan kerja-kerja dakwah Islam dengan gigih kepada masyarakat dan dikatakan memainkan peranan penting dalam usaha menjatuhkan kerajaan Seri Wijaya Majapahit. Setelah berjaya menjatuhkan kerajaan Hindu[1], beliau telah mendirikan sebuah kerajaan Islam[2] dan seterusnya membina sebuah pusat pemerintahan yang dinamakan “Kota Tamir” yang terletak di kawasan seluas 300 ekar. Ramai di kalangan para pembesar dan raja-raja Hindu yang memeluk Islam lalu menjadi pengikut setia kepadanya. Peristiwa ini berlaku kira-kira 700 tahun dahulu. Pemerintahan dan perjuangan Syarif Muhammad al-Baghdadi kemudiannya diteruskan oleh zuriat keturunannya yang bernama Syarif Abdul Qahar bin Syarif Muhammad (Tok Paloh), kemudian cucunya Syarif Abdullah bin Syarif Qahar (Tok Pauh)[3] dan seterusnya cicitnya Syarif Abdul Malik yang juga disebut Syeikh Abdul Malik lebih dikenali dengan gelaran Tok Pulau Manis. Kesemua zuriat keturunan Syarif Muhammad al-Baghdadi adalah wali Allah dan dimuliakan Allah dengan diberikan pelbagai karamah. Diantara warisnya yang paling menonjol ialah cicitnya iaitu Tok Pulau Manis. Tok Pulau Manis diriwayatkan pernah menubuhkan ‘Kota Pulau Manis’ dan mendirikan institusi pendidikan agama yang sangat terkenal di Alam Melayu pada ketika itu. Anak Tok Pulau Manis yang bernama Siti Zubaidah dikatakan telah berkahwin dengan Tun Jenal yang kemudiannya ditabalkan menjadi raja di Tanjung Baru, Hulu Terengganu dan bergelar Sultan Zainal Abidin 1.

Satu-satunya peninggalan terbesar Syarif Muhammad al-Baghdadi ialah sebuah batu bersurat yang dikenali dengan nama Batu Bersurat Terengganu. Tulisan yang tercatat pada permukaan hadapan batu bersurat tersebut adalah seperti berikut;

``Rasulullah dengan yang orang sahabi mereka sekalian, asa pada Dewata Mulia Raya; memberi hamba meneguhkan agama Islam dengan benar bicara derma, meraksa bagi sekalian hamba Dewata Mulia Raya di benuaku ini. Pebantu agama Rasulullah Sallallahu `Alaihi Wa Sallam - Raja Mandalika yang benar bicara sebelah Dewata Mulia Raya di dalam behumi. Pebantu itu fardu pada sekalian Raja Mandalika Islam menurut setitah Dewata Mulia Raya dengan benar bicara, berbajikan betul pebantu itu maka titah Seri Paduka Tuan mendudukkan tamra ini di benua Terengganu adi pertama ada Jumaat di bulan Rejab di tahun Saratan (Syarathan) di sasanakala baginda Rasulullah telah lalu tujuh ratus dua.''

Catatan yang terdapat pada batu itu tidak sekadar mengandungi pernyataan hukum-hakam seperti yang disebut dalam Al-Quran misalnya hukuman kesalahan zina iaitu direjam bagi yang telah berkahwin dan dipalu seratus kali sebatan bagi yang masih bujang tetapi turut meliputi bidang falak (astronomi). Unsur falak ditemui didalam catatan tersebut berdasarkan kepada frasa ``adi pertama ada Jumaat di bulan Rejab di tahun Saratan (Syarathan) di sasanakala baginda Rasulullah telah lalu tujuh ratus dua''. Ramai pengkaji cuba menyelidik maksud frasa ini tetapi gagal sehinggalah seorang pemikir besar Islam dirantau ini berjaya memecahkan kebuntuan tersebut. Beliau ialah Professor Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas. Dalam kajiannya, beliau menyatakan bahawa maksud frasa diatas ialah Jumaat pertama dalam bulan Rejab tahun 702 Hijrah serentak dengan timbulnya buruj Saratan, tatkala perintah agama (sasanakala) yang mengisytiharkan pemahatan hukum Islam di atas Batu Bersurat itu oleh pemerintah Terengganu pada waktu itu. Satu kajian menarik tentang perkara tersebut seperti yang dicatat oleh Nor Azam Mat Noor ialah kaitan frasa tersebut dengan peristiwa falak.
Seperti yang dinyata oleh Nor Azam Mat Nor,
Persoalan yang timbul ialah alasan apakah yang digunakan oleh pemahat, yang memahat tulisan pada Batu Bersurat untuk mensabitkan Buruj Sarathan[4] ketika diarahkan oleh pemerintah (raja mandalika) di tempat berkenaan, padahal terdapat banyak lagi buruj-buruj lain yang terkenal turut muncul pada waktu itu, iaitu Buruj Leo (Asad), Gemini (Virgo), Taurus (Saur), Aries (Hamal) dan Pisces (Hut)? Bulan pada ketika ini belum lagi terserlah kerana masih berupa sabit muda di ufuk barat dengan fasa kecerahan 20 peratus dan berada di Buruj Aries. Ini bermakna bahawa Bulan bukanlah alasan utama untuk dikaitkan dengan Buruj Sarathan. Mungkin Buruj Sarathan yang dikaitkan dalam Batu Bersurat itu, adalah disebabkan oleh planet Musytari sedang berada di buruj ini sebagai objek yang terpaling cerah ketika itu, dan menjadi ikon langit malam sebermula matahari terbenam. Namun pada jam 10.11 malam, planet Marikh dan Zuhal yang berada di Buruj Virgo (Sunbulah), turut bersama-sama Musytari yang ketika ini tepat berkulminasi, turut menjadi ikon-ikon langit malam dengan ketiga-tiganya mempunyai kecerahan 99 dan 100 peratus masing-masing. Menurut simulasi perisian Starry Night Pro, adalah didapati bahawa Bulan dan planet Musytari adalah benar-benar berada di Buruj Sarathan pada hari Khamis, 28 Februari 1303 MJ bermula terbenam matahari. Fenomena serentak Bulan dan planet Musytari dalam Buruj Sarathan ini berlangsung selama dua hari, iaitu pada hari Khamis, 28 Februari (10 Rejab) dan hari Jumaat, 1 Mac 1303 MJ (11 Rejab 702 H) bilamana Bulan telah bergerak ke sempadan buruj tersebut. Ini bermakna bahawa peristiwa ini berlaku pada hari Jumaat minggu kedua dan bukannya pada Jumaat pertama bulan Rejab 702 H.[5]
Hasil kajian tersebut sangat menakjubkan kerana ia jelas menunjukkan betapa Syarif Muhammad al-Baghdadi bukan sahaja alim dalam hukum-hakam Islam tetapi juga ilmu falak. Batu Bersurat yang sangat berharga ini telah ditemui oleh Saiyed Husin Ghulam Al-Bukhari, seorang ahli perniagaan pada tahun 1902 di bahagian tangga surau Kampung Buluh.[6] Ketika ditemui, batu itu telah patah sebahagian disebelah atasnya.Saiyed Husin meminta Penghulu Ali dan orang kampung mengangkat dan meletakkannya di atas rakit untuk dibawa ke Kuala Terengganu. Sampai di Kuala Terengganu, batu ini telah dipersembahkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Zainal Abdidin III dan kemudian batu itu diletakkan di atas Bukit Puteri. Pada tahun 1922 Timbalan Penasihat Inggeris di Terengganu Encik H.S Peterson meminta seorang jurufoto berbangsa Jepun, N.Suzuki mengambil gambar dan dihantar kepada C.O. Blegden untuk dibuat pembacaan. Pada tahun 1923, batu ini telah dihantar ke Muzium Singapura dengan jalan pinjaman. Apabila Muzium Negara di Kuala Lumpur siap dibina, Batu Bersurat tersebut telah dibawa ke Kuala Lumpur sebagai pinjaman dari Muzium Raffles Singapura.[7]
Pada 12 Februari 1987, Kerajaan Negeri Terengganu telah menulis surat kepada Jabatan Muzium menyatakan hasrat untuk mendapat kembali Batu Bersurat untuk dijadikan bahan pameran di Muzium Negeri Terengganu. Pada tahun 1991, Jemaah Menteri telah memutuskan supaya Batu Bersurat dipulangkan kepada Kerajaan Negeri Terengganu.[8]
Pada 6 Julai 1991, jam 9.30 pagi suatu upacara penyerahan kembali Batu Bersurat kepada Kerajaan Negeri Terengganu telah berlangsung di Dewan Perjanjian, Tingkat 18, Wisma Darul Iman di antara Kerajaan Persekutuan yang diwakili oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Encik Ismail bin Adam dengan Kerajaan Negeri Terengganu kepada YAB. Dato' Seri Amar Di Raja Tan Sri Haji Wan Mokhtar bin Ahmad, Menteri Besar Terengganu pada waktu itu.[9]
Seperti yang dinyatakan sebelum ini, zuriatnya yang paling masyhur ialah Tok Pulau Manis. Menurut almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir, tokoh ini mendapat pendidikan awal di kampungnya sendiri dan dari beberapa ulama di Terengganu.[10] Beliau kemudiannya meneruskan pelajarannya ke Aceh dan salah seorang gurunya di Aceh ialah Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Sewaktu belajar di Aceh, Tok Pulau Manis bersahabat dengan beberapa ulama besar antaranya seperti Syeikh Yusuf Tajul Khalwati al-Mankatsi dari Bugis-Makasar, Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan dan Syeikh Burhanuddin Ulakkan dari Sumatera Barat yang juga merupakan anak murid Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Dari guru utama di Aceh ini, mereka telah menerima talqin baiah Tarekat Syathariyah. Mereka kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Makkah dan Madinah. Sewaktu berada di Makkah, Tok Pulau Manis bersahabat pula dengan Syeikh Abdus Syukur bin Abdul Karim Batani al-Fathani dan belajar kepada Syeikh Ibrahim al-Kurani. Tambah almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir, Syeikh Ibrahim al-Kurani ini juga adalah guru kepada Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri.[11] Dengan Syeikh Ibrahim al-Kurani[12], beliau mendalami Feqah Mazhab al-Shafi’i di sana. Tok Pulau Manis turut mendalami bidang usuluddin dan tasawwuf. Bidang Usuluddin yang diikutinya adalah berdasarkan pendekatan Imam al-Asya’ari yang menjadi pegangan umum ahl-al Sunnah wal Jamaah manakala bidang Tasawuf yang didalaminya adalah berdasarkan etika ubudiyah kepada pengajian Tasawuf. Dalam ilmu tasawwuf ini, diriwayatkan bahawa tokoh-tokoh ilmuwan Islam yang menjadi rujukan Tok Pulau Manis berjumlah tidak kurang dari 143 orang, diantara yang terpenting di kalangan mereka itu ialah Ibn ‘Athaillah dan Abu al-Hasan al-Syazili sendiri, Abu al-Abbas al-Mursi, Ibn Arabi, Abu Hafs Umar bin Muhammad bin Abd Allah al-Suhrawardi, Abu Turab al-Khashabi, Abu Yazid al-Bistami, Abu Talib al-Makki, Abu Hamid al-Gahzali, Abu al-Qasim al-Nasr Abadhi, Abu Bakar al-Shibli, Abu Nasr al-Sarrj, Ahmad al-Rifa’i, Ahmad Ibn Hanbal, iBn Abbad, Hassan Basari, Junayd al Baghdadi, Ahmad Zarruq, Shal bin Abdullah, Sirri al-Suqti, al-Sha’rani, Abd al-Salam bin Mashish dan Ma’ruf al-Karkhi. Selain itu, beliau juga banyak merujuk kitab Fusus al-Hikam oleh Ibnu Arabi, Qut al-Qulub oleh Abu Talib al-Makki, karya-karya al-Ghazali seperti Ihya Ulumuddin dan Minhaj al-Abidin, al-Luma oleh Abu Nasar al-Sarraaj al-Tusi, alRi’ayat Li Huquq Allah dan Amal al-Qulub wa al-Jawarib oleh al-Harith al Mushasibi, Sharh terhadap Hikam berjudul Hikam Ibn ‘Athaillah atau Qurrat al-Ayn oleh Ahmad Zarruq dan Halat Ahl al Haqiqat Ma’a Allah oleh Ahmad al-Rifa’i. Tok Pulau Manis juga dikatakan pernah menjadi tenaga pengajar di Makkah. Pelajar-pelajar yang menjadi tumpuan beliau adalah mereka yang datang dari Tanah Jawi. Kitab karangan Tok Pulau Manis yang paling masyhur bahkan masih berlegar dipasaran kitab sehingga ke hari ini ialah Kitab Hikam Jawi. Selain dari minatnya terhadap isi kandungan kitab ini, permintaan dari sahabat-sahabatnya juga telah mendorong Tok Pulau Manis menterjemahkan matan Hikam karya Ibn ‘Athaillah, tokoh tasawwuf yang sangat terkenal dalam dunia Islam. Kitab keduanya yang terbesar ialah Kifayah yang merangkumi bidang Usuluddin dan Feqah tetapi kitab ini amat sukar didapati di pasaran. Tok Pulau Manis dipercayai kembali ke tanahair sekitar tahun 1690-an pada ketika usianya 40 tahun. Kepulangannya ditunggu-tunggu oleh masyarakat tempatan dan dengan ilmunya yang meluas, beliau sangat dihormati malah terlibat dengan urusan pemerintahan secara langsung. Seperti yang disebut tadi, beliau dikatakan bertanggungjawab menabalkan Zainal Abidin I menjadi sultan pemerintah Negeri Terengganu (1725-1734) yang berlangsung di Tanjung Baru. Sultan Zainal Abidin I juga juga telah berkahwin dengan anak perempuan Tok Pulau Manis. Tok Pulau Manis meninggal dunia dalam lingkungan usia 86 tahun pada tahun 1149H bersamaan 1736M.




[1] Ada juga yang menyatakan kerajaan Buddha
[2] Ada yang menyebut kerajaan ini dengan nama Dinasti al-Kamil. Pemerintah kerajaan Pasai iaitu Sultan al-Malikul Salleh bersama dengan seorang wali Allah bernama Syeikh Ismail (makamnya di Pulau Besar, Melaka) dikatakan pernah menghadap seorang khalifah dari dinasti al-kamil pada tahun 1290. Kemungkinan besar Khalifah yang dimaksudkan olah Syarif Muhammad al-Baghdadi. Kerajaan Dinasti al-Kamil ini dkatakan menaungi kerajaan Islam lain seperti kerajaan Cirebon, Banten, Mataram dan Pagar Ruyung.
[3] Makam beliau terletak di Kampung Pauh 6 km dari Bandar Kuala Berang.
[4] Catatan Nor Azam Mat Nor menyebut bahawa peristiwa falak yang dinyatakan pada Batu Bersurat Terengganu boleh disimulasikan dengan menggunakan satu perisian khas Starry Night Pro 4.5.2 yang boleh menjejak kembali peristiwa kulminasi Buruj Sarathan (Ketam: Cancer) pada tarikh 22 Februari 1303 MJ
[5] Nor Azam Mat Noor. 2004. Isyarat Astronomi - Batu Bersurat Terengganu. Utusan Malaysia. Terbit pada 21 Oktober 2004. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=1021&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive

[6] Tengku Fauziah Ngah. 2009. Penemuan Batu Bersurat. Utusan Malaysia. Terbit pada 31 Mac 2009. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0331&pub=utusan_malaysia&sec=Timur&pg=wt_01.htm&arc=hive
[7]
http://www.pmn.gov.my/terengganu/Pembangunan%20Usahawan/SejarahHTrg.htm. Dicapai pada 23 Julai 2009

[8] http://www.pmn.gov.my/terengganu/Pembangunan%20Usahawan/SejarahHTrg.htm. Dicapai pada 23 Julai 2009

[9] http://www.pmn.gov.my/terengganu/Pembangunan%20Usahawan/SejarahHTrg.htm. Dicapai pada 23 Julai 2009

[10] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2007. Tok Pulau Manis Syeikh Abdul Malik Terengganu . Utusan Malaysia. Terbit pada 22 Oktober 2007. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1022&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive
[11] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2007. Tok Pulau Manis Syeikh Abdul Malik Terengganu . Utusan Malaysia. Terbit pada 22 Oktober 2007. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1022&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive

[12] Menggantikan gurunya Ahmad Qushashi menjadi pengajar Mazhab Imam Shafi’i