Friday, June 18, 2010

Tuan Guru Dato' Seri Utama diRaja Dato' Haji Yusuf bin Sahabuddin Mufti Pertama Selangor


Dalam senarai alim-ulama yang memegang jawatan mufti di negeri Selangor, nama Tuan Guru Dato’ Seri Utama DiRaja Dato’ Haji Yusuf bin Sahabuddin terpahat sebagai mufti yang pertama di negeri Selangor. Sebenarnya sebelum Tuan Guru dilantik memegang jawatan mufti, ulama yang memegang jawatan tertinggi dalam bidang agama di negeri Selangor adalah bergelar Syeikhul Islam. Hanya seorang tokoh yang pernah memegang jawatan tersebut iaitu Yang Mulia Tuan Guru Haji Tengku Mahmud Zuhdi bin Tengku Abdul Rahman al-Fathani[1]. Beliau memegang jawatan tersebut selama 17 tahun iaitu dari tahun 1935 hingga 1952. Perlantikan Tuan Guru Dato’ ke jawatan mufti adalah bagi menggantikan Tuan Guru Haji Tengku Mahmud Zuhdi yang telah menamatkan perkhidmatannya sebagai Syeikhul Islam pada tahun 1952. Istilah mufti ini mula diwujudkan setelah Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak Selangor 1952 dibuat yang seterusnya memperuntukkan perkara-perkara berkaitan mufti dan fatwa.[2]
Tuan Guru Dato’ Haji Yusuf dilahirkan pada tahun 1883 M di Kampung Telok Menegon, Kelang, Selangor.[3] Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Telok Menegon yang terletak di kampungnya. Beliau merupakan seorang pelajar yang pintar. Ini adalah kerana selepas tamat pengajian di sekolah tersebut, beliau telah ditawarkan mengajar di sekolah itu. Walaubagaimanapun, beliau menolak tawaran tersebut kerana lebih berminat untuk mendalami pengajian agama. Beliau memilih pengajian secara pondok bagi meneruskan cita-citanya itu. Beliau menadah kitab kepada Tuan Guru Haji Ahmad di Pondok Padang Lalang selama 13 tahun.[4] Di pondok itu, beliau telah didedahkan dengan ilmu fiqh, tauhid, tasawwuf, tafsir, hadith, nahu dan sorof.[5] Pada tahun 1911, beliau melanjutkan pengajian ke Makkah.[6] Di Makkah, beliau mendalami kitab-kitab jawi dan arab yang berasaskan Mazhab Syafi’i.[7] Beliau berada di Makkah lebih kurang 6 tahun sebelum pulang semula ke Tanah Melayu.[8]
Dengan ilmu yang dimilikinya, beliau membuka sekolah pondok di Selekoh, Perak. Pondok itu didirikannya di atas tanah miliknya sendiri pada tahun 1918.[9] Kaedah pengajarannya terbahagi dua iaitu nizami dan umumi.[10] Nizami merujuk kepada sistem pembelajaran yang bersistematik manakala umumi pula merujuk kepada sistem pengajian umum. Kaedah nizami digunakannya untuk membimbing anak-anak muridnya secara khusus. Pengajiannya adalah secara berturutan iaitu dari bab ke bab, dari kitab ke kitab dan dari satu peringkat ke satu peringkat tertentu mengikut pemilihan sesebuah kitab. Kaedah umumi pula dipraktikkannya untuk mengajar orang ramai. Lazimnya beliau akan menyampaikan syarahan di surau pada waktu-waktu tertentu seperti antara waktu Asar dan Maghrib, antara waktu Maghrib dan Isyak dan sebagainya. Kitab-kitab yang digunakanya meliputi bidang-bidang seperti tafsir, hadith, fiqh, usuluddin, akhlak dan sirah.[11]
Pada tahun 1937, Tuan Guru Dato’ sekali lagi berangkat ke Makkah bersama keluarganya.[12] Berkemungkinan besar beliau menetap di Makkah dalam tempoh yang agak lama iaitu lebih kurang 15 tahun. Ini adalah kerana ketika Sultan Selangor, Sultan Hishamuddin[13] datang menemuinya untuk memujuknya pulang ke tanahair bagi memegang jawatan mufti pada tahun 1952, Tuan Guru Dato’ masih lagi berada di Makkah. Tuan Guru Dato’ bersetuju menerima perlantikan itu dan beliau akhirnya memegang jawatan itu secara rasmi pada tahun 1953. Pada ketika itu, usianya telah mencecah 70 tahun. Semasa memegang jawatan ini, beliau telah menjelajah masuk ke kampung-kampung di seluruh negeri Selangor untuk menyampaikan ilmu agama kepada umat Islam di negeri tersebut. Beliau menyampaikan ilmu dalam majlis-majlis pengajian, khutbah Jumaat, diskusi, halaqah dan kajian-kajian ilmiah yang kemudian dituangkannya dalam bentuk kitab.[14]
Dalam tempoh 15 tahun beliau memegang jawatan mufti, beliau telah berusaha menangani masalah-masalah kritikal yang berlaku di zaman itu. Antaranya ialah seperti pengaruh Qadiani yang dikatakan cukup banyak berleluasa di zaman itu. Bimbang dengan pengaruh ajaran tersebut, beliau telah menyusun sebuah kitab yang menerangkan sebab-musabab kenapa Mirza Ghulam Ahmad al-Qadiani dan pengikutnya dikatakan menyimpang dari ajaran Islam.[15]
Dalam bidang fiqh, beliau dikatakan ada mengarang sebuah risalah yang bernama “Sekitar hukum memungut zakat”. Isi kandungannya adalah tentang kewajipan melaksanakan urusan pungutan zakat. Walaupun risalah tersebut ringkas namun beliau tetap mengemukakan dalil-dalil berasaskan al-Quran dan Hadith bagi menunjukkan bukti bahawa zakat itu wajib dilaksanakan.[16]
Sementara dalam bidang usul fiqh, beliau telah mengarang sebuah kitab yang menyanggah pendapat golongan yang menyatakan tidak harus bertaqlid kepada salah satu ulama’ mujtahidin (ulama’ mazhab empat). Dalam kitab tersebut, beliau turut mengupas sifat-sifat dan syarat-syarat yang perlu ada untuk membolehkan seseorang itu melakukan ijtihad.[17]
Tuan Guru Dato’ juga dikatakan ada menulis kitab dalam bidang Tasawwuf. Amalan tasawwuf dikatakan sebati dengan amalan rohaninya. Beliau diriwayatkan mengamalkan tariqat Naqsyabandiah.[18] Atas sumbangannya yang begitu besar dalam bidang agama maka beliau telah dipilih sebagai tokoh ulama silam yang ke sepuluh oleh Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia pada 6 Muharram 1406 bersamaan dengan 21 September 1985.[19] Tuan Guru Dato’ Haji Yusuf kembali ke rahmatullah ketika berada di Makkah al-Mukarramah.[20] Antara anak muridnya yang kemudian hari menjadi tokoh ulama ialah almarhum Tuan Guru Haji Mohammad Shahar bin Sulaiman yang pernah dipilih sebagai tokoh anugerah Maal Hijrah 1413 H bagi peringkat negeri Selangor.[21] Tuan Guru Haji Mohammad Shahar diriwayatkan menimba ilmu tauhid dan tasawwuf kepada Tuan Guru Dato’ ketika Tuan Guru Dato’ mengajar di Kampung Jawa, Kelang.[22] Tuan Guru Haji Mohammad Shahar berkahwin dengan Hajah Khadijah, anak sulung kepada Tuan Guru Haji Mohammad Amin yang juga merupakan guru kepada Tuan Guru Haji Mohammad Shahar.[23] Perisrtiwa itu berlaku pada 12 Syawal 1377 Hijrah bersamaan 1 Mei 1958.[24] Tuan Guru Haji Mohammad Amin yang juga merupakan teman belajar Tuan Guru Dato’ Haji Yusuf telah mewakilkan wali untuk upacara akad nikah tersebut kepada Tuan Guru Dato’ Haji Yusuf bin Shahabudin.[25]


Almarhum Tuan Guru Dato' Haji Yusuf bin Sahabuddin

[1] Nama lengkapnya ialah Tengku Mahmud Zuhdi bin Tengku Abdur Rahman bin Tuanku Nur bin Raja Belat ibnu Raja Datu al-Fathani al-Jawi. Beliau berketurunan Raja Jambu di Patani. Tengku Mahmud lahir di Ban Sim Dip, Bangkok, pada tahun 1293 Hijrah/1876 Masehi dan meninggal dunia di Makkah pada tanggal 6 Rabiulawal 1376 Hijrah/10 Oktober 1956 Masehi.
[2] Mazni binti Abdul Wahab. 2002. Sejarah Penubuhan Institusi Fatwa di Negeri Selangor. Jurnal Syariah 10:2. Universiti Malaya. Kuala Lumpur. Hlm.2
[3] Ibid. Hlm.17
[4] _____. 2003. Sahibus Samahah Tuan Haji Yusof bin Sahabuddin Dalam Kenangan. Buletin at-Taqwa. Bil. 3 Jabatan Mufti Negeri Selangor. Shah Alam. Terbit pada Rajab 1424/September 2003. Hlm.8
[5] Ibid
[6] Ibid
[7] Ibid
[8] Ibid
[9] Ibid
[10] Ibid
[11] Ibid
[12] Ibid
[13] Sultan Hishamuddin pergi ke Makkah dalam rangka menunaikan ibadah haji pada masa itu. Rujuk _____. 2003. Sahibus Samahah Tuan Haji Yusof bin Sahabuddin Dalam Kenangan. Buletin at-Taqwa. Bil. 3 Jabatan Mufti Negeri Selangor. Shah Alam. Terbit pada Rajab 1424/September 2003. Hlm.8
[14] _____. 2003. Sahibus Samahah Tuan Haji Yusof bin Sahabuddin Dalam Kenangan. Buletin at-Taqwa. Bil. 3 Jabatan Mufti Negeri Selangor. Shah Alam. Terbit pada Rajab 1424/September 2003. Hlm.8
[15] Ibid
[16] Ibid
[17] Ibid
[18] Ibid
[19] Ibid
[20] Ibid
[21] Tuan Guru Haji Mohammad Shahar (lahir pada 20 Jun 1930) kembali ke rahmatullah pada hari Khamis, 28 April 2005, kira-kira pukul 1.45 tengah hari selepas mandi dan berwuduk untuk menunaikan solat Zuhur. Beliau dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Tambak Jawa di hadapan mihrab masjid. Rujuk ____. 2009. Haji Shahar Sulaiman berdakwah menggunakan seni syair. Ruangan Bicara Agama. Utusan Malaysia. Terbit pada 12 Januari 2009
[22] ____. 2009. Haji Shahar Sulaiman berdakwah menggunakan seni syair. Ruangan Bicara Agama. Utusan Malaysia. Terbit pada 12 Januari 2009
[23] Ibid
[24] Ibid
[25] Ibid

Wednesday, May 5, 2010

Tuan Guru Ijai (Abah Guru Sekumpul) Ulama Besar Kalimantan

Nama lengkap ulama besar kelahiran Banjar yang bersambungan nasabnya dengan Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari, ulama besar alam Melayu abad ke-18 Masehi ini ialah Muhammad Zaini bin al-Arif billah Abdul Ghani bin Abdul Manaf bin Muhammad Seman bin Muhammad Sa’ad bin Abdullah bin al-Mufti Muhammad Khalid bin al-Alim al-Allamah al-Khalifah Hasanuddin bin Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari. Ulama besar yang bergelar Al Alimul Allamah Al Arif Billaah Albahrul Ulum Al Waliy Qutb As Syeekh Al Mukarram Maulana ini dilahirkan di Dalam Pagar, Martapura Timur pada 11 Februari 1942 bersamaan dengan 27 Muharram 1361 Hijriyyah dan meninggal dunia di Martapura pada 10 Ogos 2005 ketika berusia 63 tahun. Beliau mendapat pendidikan awal dari ayahanda dan nendanya yang bernama Salbiyah. Beliau mendapat pendidikan formal seawal usia 7 tahun di Madrasah Ibtidaiyah Darussalam, Martapura. Beliau menghafal al-Quran semenjak usianya 7 tahun. Beliau kemudiannya menghafal tafsir Jalalain pada usia 9 tahun. Guru-gurunya ketika berada di tingkat asas adalah seperti Tuan Guru Abdul Mu’az, Tuan Guru Sulaiman, Tuan Guru Muhammad Zein, Tuan Guru Haji Abdul Hamid Husin, Tuan Guru Haji Mahalli, Tuan Guru Haji Rafi’i, Tuan Guru Syahran, Tuan Guru Haji Husin Dakhlan dan Tuan Guru Haji Salman Yusuf. Selepas enam tahun berada di Madrasah Ibtidaiyah Darussalam, beliau kemudiannya mendalami pengajian agama di Madrasah Tsanawiyah Darussalam, Martapura. Disitu, beliau menadah kitab kepada ulama-ulama besar seperti al-Alim al-Fadhil Sya’rani Arif, al-Alim al-Fadhil Husain Qadri, al-Alim al-Fadhil Salim Ma’ruf, al-Alim al-Allamah Syeikh Seman Mulya, al-Alim Syeikh Salman Jalil, al-Alim al-Fadhil al-Hafizh Syaikh Nashrun Thahir dan Kiyai Haji Aini Kandangan. Beliau mendalami ilmu Tajwid dengan al-Alim al-Fahil Sya’rani Arif, al-Alim al-Fadhil al-Hafizh Syaikh Nashrun Thahir dan Kiyai Haji Aini Kandangan. Ilmu falak dan faraid diperolehinya dari al-Alim al-Allamah Syeikh Salman Jalil[1]. Syeikh Seman Mulya pula banyak memperkenalkan beliau dengan tokoh-tokoh ulama yang lain walaupun Syeikh Seman[2] sendiri adalah seorang ulama yang sangat alim. Ulama besar yang menjadi guru suluk (tarbiyah al-shufiyah) beliau adalah Syeikh Syarwani Abdan Bangil dan al-Alim al-Allamah al-Syeikh al-Sayyid Muhammad Amin Kutbi. Beliau juga mendapat pendidikan rohani dari al-Alim al-Allamah Ali Junaidi (Berau) bin al-Alim al-Fadhil Qadhi Muhammad Amin bin al-Alim al-Allamah Mufti Jamaludin bin Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari dan Alimul Fadhil Haji Muhammad (Gadung Rantau) bin ‘Alimul Fadhil Haji Salman Farisi bin ‘Allimul’allamah Qadhi Haji Mahmud bin Asiah binti Syeikh Muhammad Arsyad. Sanad keilmuannya juga sampai kepada ulama-ulama besar yang sangat terkenal seperti Kiyai Falak (Bogor)[3], Syeikh Yasin bin Isa Padang (Makkah), Syeikh Hasan Masyath, Syeikh Ismail al-Yamani dan Syeikh Abdul Kadir al-Bar. Diriwayatkan bahawa guru-gurunya mencecah 179 orang yang mempunyai keahlian dalam ilmu-ilmu Islam yang bermukim di Alam Melayu seperti di wilayah Kalimantan, Jawa-Madura dan juga Makkah. Alimul ‘allamah Al ‘Arif Billah Asy-Syeikh Haji Muhammad Zaini Abdul Ghani, adalah satu satunya Ulama di Kalimantan, bahkan di Indonesia yang mempunyai autoriti untuk mengijazahkan (baiat) Tariqah Sammaniyah. Maka atas sebab itu, ramai yang datang kepada beliau untuk mengambil bai’at tariqah tersebut, bukan saja dari wilayah Kalimantan tetapi juga dari pulau Jawa dan daerah-daerah lain.
Nasihat
Beliau menasihatkan masyarakat Islam agar tidak tertipu dengan segala keanehan dan keunikan dan tidak memasang niat beribadah untuk tujuan mendapat karamah. Ini adalah karamah adalah satu anugerah dan karamah yang paling mulia dan paling tinggi nilainya adalah beristiqamah di jalan Allah. Tidaklah dinamakan karamah atas diri seseorang itu jika ibadahnya tidak sempurna. Nasihat-nasihat lain yang diberikannya adalah seperti menghormati ulama dan orang tua, baik sangka sesama orang Islam, murah harta, manis muka, tidak menyakiti orang lain, mengampunkan kesalahan orang lain, tidak bermusuh-musuhan, tidak bersikap tamak atau serakah, berpegang kepada Allah pada qabul segala hajat dan yakin keselamatan itu pada kebenaran.
Karya Tulisnya
Ketika hayatnya, beliau ada mengarang beberapa kitab seperti
· Risalah Mubarakah
· Manaqib Asy-Syekh As-Sayyid Muharnmad bin Abd. Karim Al-Qadiri Al Hasani As Samman Al Madani
· Ar Risalatun Nuraniyah fi Syarhit Tawassulatis Sammaniyah
· Nubdzatun fi Manaqibil Imamil Masyhur bil Ustadzil a’zham Muhammad bin Ali Ba-’Alwy.
Peristiwa mencarik adat
1. Selesai majlis maulid di Kampung Keraton, Tuan Guru Ijai duduk berbual-bual dengan anak muridnya. Ketika beliau bercerita tentang buah rambutan dengan tiba-tiba beliau mengacungkan tangannya ke belakang dan mengambil buah rambutan yang masak padahal pada masa itu belum lagi masuk musim buah tersebut.
2. Ketika musim kemarau yang panjang sehingga perigi-perigi hampir kering, masyarakat kampung datang mengunjungi beliau dan meminta beliau berdoa agar hujan segera turun. Beliau kemudiannya keluar dari rumah dan menuju ke sebatang pohon pisang yang terletak berdekatan dengan rumahnya. Setelah beliau menggoyang-goyangkan pohon itu, tidak lama selepas itu, hujan pun turun dengan lebatnya.
3. Kawasan yang digenangi air tiba-tiba menjadi kering ketika Tuan Guru Ijai hendak melaluinya. Peristiwa itu berlaku ketika majlis Hol Syeikh Muhammad Arsyad yang ke 189 di Dalam Pagar, Martapura hendak dilaksanakan. Martapura pada masa itu dilanda musim hujan sehingga jalan-jalan dibanjiri air. Setelah Tuan Guru Ijai selamat melewati jalan itu, jalan itu kembali digenangi air sehingga beberapa hari.
4. Ramai orang yang menderita sakit seperti sakit buah pinggang, usus yang membusuk, anak yang tertelan peniti, orang yang sedang hamil dan bayinya songsang atau meninggal dalam kandungan ibunya sehingga memerlukan pembedahan berjumpa dengan Tuan Guru Ijai untuk meminta do’a dan pertolongan. Dengan izin Allah, pesakit-pesakit tersebut sembuh tanpa memerlukan pembedahan berkat doa Tuan Guru Ijai.


Meninggal Dunia
Tuan Guru Ijai meninggal dunia pada hari Rabu, 10 Ogos 2005 bersamaan dengan 5 Rejab 1424 Hijriyyah ketika berusia 63 tahun di rumahnya yang juga merupakan kompleks pengajiannya di Sekumpul, Martapura. Sebelum itu beliau berada di Singapura selama 10 hari untuk mendapat rawatan di Hospital Mount Elizabeth setelah mengalami sakit buah pinggang. Jenazahnya dimaqamkan di kompleks pemakaman keluarga berdekatan dengan Mushalla Ar Raudhah[4] pada petang Rabu itu juga. Ribuan hadir membanjiri kompleks pemakaman. Bandar Martapura pada hari itu sunyi sepi kerana masyarakat berduyun-duyun memberi penghormatan terakhir kepada ulama besar yang sangat berjasa di Martapura ini.
Rujukan
1. http://rifafreedom.wordpress.com/2008/11/05/guru-sekumpul-dalam-kenangan/. Dicapai pada 5 Mei 2010
2. http://bagampiran.blog.com/tag/guru-sekumpul/. Dicapai pada 5 Mei 2010


[1] Qadhi Qudhat di Kalimantan dan merupakan salah seorang pengasas IAIN Antasari Banjarmasin.
[2] Sangat tawadhuk
[3] Nama sebenarnya ialah Tubagus Muhammad. Beliau berasal dari Pandeglang, Banten. Beliau dilahirkan pada tahun 1842 dan meninggal dunia pada tahun 1972 dalam usia 130 tahun. Jenazahnya dimaqamkan di kompleks pemakaman Pondok Pesantren Al-Falak yang letaknya tidak jauh dari Masjid Al-Falak, Desa Pagentongan, Bogor Barat.
[4] Pusat pengajian yang dikendalikan oleh Tuan Guru Ijai


Tuan Guru Ijai (Abah Guru Sekumpul) ketika usia muda

Kompleks Mushalla ar-Raudah

Tuan Guru bersama anak-anaknya

Tuan Guru Ijai (Abah Guru Sekumpul)


Berduyun-duyun masyarakat Martapura bergerak menuju ke kompleks pemaqaman pada hari jenazah Tuan Guru hendak dimaqamkan

Maqam Tuan Guru

Wednesday, April 21, 2010

Tuan Guru Dato Kiyai Shamsuddin Ulama dan Pendidik Terkenal Johor

Almarhum Tuan Guru Dato’ Kiyai Haji Shamsuddin bin Haji Redzuan adalah seorang tokoh ulama yang sangat dihormati khususnya di selatan semenanjung. Beliau dilahirkan di Kepet, Madiun, Jawa Timur pada 11 November 1911.[1] Sebelum berhijrah ke Tanah Melayu, beliau menadah kitab dengan ulama-ulama besar di pesantren-pesantren terkenal di Pulau Jawa seperti Pesantren at-Turmasih, Pesantren Bacem dan Pesantren Tebu Ireng. Beliau menimba ilmu disana dari tahun 1925 hingga 1934.[2] Melihat kepada tempoh pengajian beliau, besar kemungkinan beliau pernah mendalami pengajian kepada Kiyai Haji Hasyim Asy’ari, ulama besar Indonesia yang sangat terkenal itu yang juga merupakan pengasas kepada Pesantren Tebu Ireng.[3] Sementara dari satu sumber yang lain, Tuan Guru Dato’ Kiyai Haji Shamsuddin dikatakan berguru dengan Kiyai Haji Adnan bin Haji Abdul Wahid di Pesantren Termas selama berbelas tahun sebelum berhijrah ke Tanah Melayu.[4] Setelah berhijrah ke Tanah Melayu, beliau mula mendirikan sebuah sekolah agama pada tahun 1940.[5] Sekolah itu dikenali dengan nama Madrasah Shamsuddiniah Assalafiah.[6] Pada peringkat awal penubuhannya, sekolah ini hanya mempunyai satu bangunan sahaja yang mampu menempatkan sekitar 50 orang pelajar lelaki.[7] Dalam keadaan serba kekurangan itu, para pelajar tetap bersemangat untuk menimba ilmu dan ini terbukti apabila ramai di antara pelajar itu dapat menguasai bahasa Arab dengan baik ditambah dengan penggunaan bahasa Jawa dan bahasa Melayu sebagai medium komunikasi bagi menghidupkan suasana pembelajaran.[8] Madrasah ini terletak di Kampung Parit Medan, Kundang Ulu, Muar, Johor Darul Takzim yang jaraknya kira-kira 45 km dari bandar Muar.[9] Madrasah ini masih ada sehingga kini dan pada masa ini ianya dikenali dengan nama Sekolah Menengah Agama Shamsuddiniah.[10]Selain terlibat secara langsung dalam bidang pendidikan, almarhum Tuan pernah dilantik menjadi Imam Kariah dan Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk bagi kawasan Bukit Serampang, Muar, Johor.[11] Almarhum Tuan Guru juga pernah memegang pelbagai jawatan penting di Negeri Johor, antaranya sebagai penasihat Sultan, Ahli Jemaah Majlis Di-Raja Johor, Ahli Majlis Agama Islam Negeri Johor dan Ahli Jawatankuasa Lujnah Fatwa Negeri Johor.[12] Beliau juga bukan sahaja alim dalam ilmu-ilmu agama, bahkan turut mempunyai kemahiran dalam ilmu-ilmu pertahanan diri. Semasa zaman darurat, beliau adalah antara tokoh yang berjuang menentang pihak komunis dan mengerahkan anak-anak muridnya untuk berjuang sama demi mempertahankan maruah agama.[13] Almarhum Tuan Guru menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 1 Ramadhan 1418 bersamaan dengan 9 Januari 1997 ketika berusia 86 tahun.[14] Beliau meninggalkan 18 orang anak termasuklah Shohibus Samahah Dato’ Haji Mohd. Tahrir, mufti Johor sekarang.[15] Atas sumbangan besarnya dalam penyebaran ilmu dakwah Islam di selatan tanahair, beliau telah dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah bagi tahun 1414 H.

Perkembangan madrasah yang diasaskan oleh Tuan Guru
1. Pada peringkat awal penubuhannya, mata pelajaran yang diajar di madrasah ini ialah seperti tauhid, fiqh, nahu, sorof dan lain-lain sama seperti kebanyakan madrasah lain di Tanah Melayu pada waktu itu. Bilangan tenaga pengajar pada waktu itu adalah seramai 8 orang. Pada tahun 1947, kumpulan sulung pelajar telah terhasil di peringkat ibtidaiyah. Antara pelajar yang berjaya menamatkan pengajian dan kemudiannya berkhidmat di madrasah tersebut ialah Ustaz Haji Khanan bin Haji Sulaiman. Beliau bersara pada tahun 1999 setelah berkhidmat selama 51 tahun disitu. Menjelang tahun 1965, madrasah mula mengguna pakai kurikulum pembelajaran yang lazimnya digunakan di sekolah-sekolah Arab dalam negeri Johor. Pada tahun 1969, madrasah kemudiannya didaftarkan sebagai sekolah menengah agama rendah negeri Johor di Jabatan Agama Islam Johor bagi mengiktiraf kewujudan sebagai institusi pendidikan yang sah. Dibawah kurikulum yang baru, waktu sesi pembelajaran terbahagi kepada dua sesi iaitu sesi pagi dan sesi petang. Sesi pagi bermula pada pukul 8 pagi dan berakhir pada pukul 12.30 tengah hari manakala sesi petang bermula pada pukul 2 petang dan berakhir pada pukul 6 petang.
2. Pada awal tahun 1970-an, kelas-kelas akademik kebangsaan turut ditawar kepada para pelajar untuk mengikutinya. Kelas ini-kelas ini dikelola oleh Maktab Adabi dan sesinya bermula di sebelah petang. Kelas-kelas ini dikenali dengan nama Akademik Daya dan dikhususnya untuk pelajar-pelajar tingkatan 3, 4 dan 5. Sekitar tahun yang sama juga, sekolah mula membuka tawaran kemasukan kepada pelajar perempuan yang berminat hendak mendapatkan pendidikan formal yang berasaskan ilmu agama. Rata-rata pelajar berasal dari Selangor, Melaka, Perak, Brunei, Indonesia dan negeri Johor sendiri. perkembangan ini telah menyebabkan wujudnya 2 blok asrama yang lebih selesa untuk pelajar perempuan dan 3 blok asrama untuk pelajar lelaki. Kemudahan lain seperti perpustakaan dan kantin juga dibina pada waktu itu. Pertambahan prasarana ini telah menarik perhatian masyarakat dari negeri-negeri luar Johor untuk menghantar anak-anak mereka belajar disini.
3. Penawaran kelas-kelas akademik kebangsaan telah menarik minat bukan sahaja para pelajar tetapi para pendidik untuk berkhidmat di sekolah tersebut. Sistem pendidikan akademik kebangsaan seperti SRP (kemudiannya PMR) dan SPM mula ditawarkan dan perkara ini telah menarik perhatian golongan pelajar dari hampir seluruh daerah di negeri Johor dan juga dari negeri-negeri yang berhampiran seperti Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Perkembangan pendidikan agama peringkat tinggi yang berasaskan Kurikulum Maahad Bu'uth al Azhar telah diterima dan digunapakai di sekolah ini dan ianya menjadi sebab utama para pelajar berminat untuk menimba ilmu di sekolah ini.
4. Sekitar tahun 1980-an, pentadbiran sekolah banyak memberi perhatian kepada penyediaan prasarana dan membaik-pulih kemudahan sedia ada. Dengan bantuan pihak Jabatan Agama Islam Johor, asrama perempuan telah di baik pulih untuk keselesaan para pelajar. Kemudahan lain seperti bekalan air, elektrik, kipas dan kerusi juga telah disediakan agar pelajar dapat belajar dengan suasana yang kondusif. Untuk kemudahan riadah, gelanggang sepaktakraw dan badminton telah dibina.
Hasil tulisan Tuan Guru
Tuan Guru diriwayatkan ada mengarang kitab. Dua kitab yang dikenalpasti adalah karangannya ialah
1. Majmuu'atush Salawaat – kitab ini mengandungi himpunan salawat yang masyhur. Ini termasuklah Salawat Tafrijiyyah dan Salawat Syifa`[16]
2. Doa Warisan – Judul asal kitab ini ialah Risālah al-Da'awāt. Ia diterbitkan buat kali pertama pada tahun 1956 dalam edisi Jawi. Kitab ini dikemaskini semula oleh Haji Abdul Rahman Rukaini dalam bahasa Melayu dengan judul “Doa Warisan” dan diteribitkan oleh Awan Metro (M) Sdn. Bhd., Semenyih, Selangor Darul Ehsan pada tahun 2005. Kandungan didalam kitab ini disusun untuk menjadi panduan kepada muslimin dan muslimat yang tidak memahami maksud doa. Oleh itu, setiap doa di dalam kitab ini disertakan pengertiannya agar pembacanya dapat beramal dengan penuh penghayatan.[17]

[1] Rujuk http://www.smas.edu.my/latarbelakang. Dicapai pada 21 April 2010
[2] Rujuk http://www.pij.gov.my/smas/sejarah.html. Dicapai pada 21 April 2010
[3] Tokoh ulama yang berasal dari Demak, Jawa Tengah ini dilahirkan pada 10 April 1875 bersamaan dengan 24 Dzulqaedah 1287 H dan meninggal dunia pada 25 Julai 1947. Jenazahnya dimakamkan di Tebu Ireng, Jombang. Salasilahnya dikatakan sampai kepada Sunan Giri, salah seorang dari tokoh Wali Songo yang sangat terkenal di Alam Melayu. Pada tahun 1892, beliau berangkat ke Makkah untuk mendalami pengajian. Disana beliau berguru dengan ulama-ulama besar seperti Syeikh Ahmad Khatib dan Syeikh Mahfudh at-Tarmisi. Pada tahun 1899, beliau pulang dari Makkah dan kemudiannya mendirikan Pesantren Tebu Ireng, yang kemudiannya menjadi pesantren terbesar dan terpenting di Pulau Jawa pada abad 20. Pada tahun 1926, beliau menjadi salah satu tenaga utama yang mengasaskan sebuah organisasi massa Islam yang terbesar di Indonesia yang diberi nama Nadhlatul Ulama (NU) yang bererti kebangkitan ulama.
[4] Rujuk http://antalhaq.blogspot.com/2008/07/doa-warisan_13.html. Dicapai pada 21 April 2010
[5] Rujuk http://www.pij.gov.my/smas/sejarah.html. Dicapai pada 21 April 2010
[6] Ibid
[7] Ibid
[8] Ibid
[9] Rujuk http://www.smas.edu.my/latarbelakang. Dicapai pada 21 April 2010
[10] Ibid
[11] Rujuk http://antalhaq.blogspot.com/2008/07/doa-warisan_13.html. Dicapai pada 21 April 2010
[12] Ibid
[13] Ibid
[14] Ibid
[15] Ibid
[16] Rujuk http://smashamsuddiniah.wordpress.com/latarbelakang/. Dicapai pada 21 April 2010
[17] Rujuk http://antalhaq.blogspot.com/2008/07/doa-warisan_13.html. Dicapai pada 21 April 2010


Tuan Guru Dato' Kiyai Haji Shamsuddin bin Haji Redzuan



Kitab Majmuu'atush Salawaat



Kitab Doa Warisan

Blok asrama lelaki SMA Shamsuddiniah



Blok asrama perempuan SMA Shamsuddiniah



Perpustakaan sekolah



Gelanggang sukan sekolah

Thursday, March 25, 2010

Tuan Guru Haji Musa ulama berjasa di Bukit Marak

Almarhum Tuan Guru Haji Musa Mat Tahir al-Kelantani dilahirkan pada tahun 1895 di Kampung Jeram, Pasir Puteh, Kelantan. Ayahandanya bernama Mat Tahir manakalanya bondanya bernama Wan Sena. Kesungguhan ibubapanya menghantar beliau mempelajari ilmu agama semenjak dari usia yang kecil telah mencambah minat beliau yang sangat mendalam dalam bidang itu. Selain mendalami pengajian di tempat asalnya, beliau turut menimba ilmu di beberapa pondok terkenal seperti di Bunut Payong dan juga pondok-pondok sekitar Patani, Thailand. Sepanjang hayatnya, Tuan Guru Haji Musa telah berkahwin sebanyak tiga kali. Perkahwinan kali pertama adalah dengan gadis sekampungnya ketika dia berusia awal 20-an. Beliau memperolehi seorang anak lelaki yang diberi nama Idris. Namun jodoh perkahwinan mereka dikatakan tidak panjang. Tuan Guru berkahwin buat kali kedua setelah pulang dari Makkah. Beliau berkahwin dengan Hajjah Che Wook yang berasal dari Kampung Seterpa, Bukit Marak. Mereka dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Noor (Haji) dan Jah (Hajjah). Tuan Guru berkahwin lagi buat kali ketiga[1] dengan Hajjah Che Bidah Awang Kechik[2], bekas isteri kepada Dato' Amar Diraja Kelantan, Dato' Nik Mustapha Fadhil Bin Dato' Nik Mahmood[3]. Ketinggian budi pekerti Hajjah Che Bidah[4] telah menambat hati beliau dan melalui perantaraan anak muridnya, beliau telah melamar Hajjah Che Bidah sebagai teman hidupnya. Hasil perkongsian hidupnya dengan Hajjah Che Bidah, beliau telah dikurniakan tiga anak lelaki dan empat anak perempuan. Antara anak beliau yang menjadi tokoh masyarakat ialah anak keenam beliau iaitu Yang Berbahagia Tan Sri Dato' Seri Panglima Haji Annuar Haji Musa, Mantan Menteri Kabinet, Malaysia dan anak bongsu beliau iaitu Tuan Haji Ahmad Termizi Haji Musa, Ketua Sektor Pelajaran di JPN Kelantan.

Pendidikan
Tuan Guru Haji Musa berangkat ke Makkah buat kali pertama dalam tahun 1921. Setelah membulatkan tekad untuk mendalami ilmu disana, beliau menaiki kapal laut dengan membawa wang belanja sebanyak RM 225. Wang itu digunakan untuk tujuan perkhidamatan kapal menuju ke Makkah. Beliau menggunakan khidmat Syeikh Osman untuk kesana. Perjalanan bermula dari Singapura ke Jeddah sebelum tiba di Makkah dalam tempoh berbulan-bulan lamanya. Di Makkah, beliau berguru bertahun-tahun lamanya sebelum pulang semula ke kampung halamannya. Pada tahun 1936, beliau sekali lagi berangkat ke Makkah, kali ini bersama isterinya Hajjah Che Wook dan anak-anak mereka. Di Makkah, Tuan Guru Haji Musa telah menadah kitab kepada ulama-ulama besar yang mengadakan halaqah pengajian di Masjidil Haram. Beliau mendalami ilmu Al-Quran dengan Syeikh Ahmad Hijazi. Dengan Sheikh Ahmad Hijazi, beliau telah didedahkan dengan pelbagai cabang ilmu Al-Quran seperti qiraat, hafazan, tajwid, nafek, warash, qanun, mantik dan sebagainya. Beliau juga berkesempatan menimba ilmu dengan ulama besar Masjid Nabawi, Madinah al-Munawwarah iaitu Syeikh Hassan Ibrahim Shaier yang berasal dari Mesir. Syeikh Hassan Ibrahim merupakan seorang mahaguru dalam bidang tajwid, tarannum dan sebagainya. Tuan Guru Haji Musa telah berpeluang memperdengarkan bacaan ayat-ayat Suci Al-Quran ini kepada ulama besar Masjid Nabawi tersebut dan mendapat pengiktirafan dari ulama besar Madinah itu[5] Pengiktirafan yang diberikan oleh Syeikh Hassan Ibrahim kepada Tuan Guru Haji Musa adalah satu penghormatan kepada ulama Alam Melayu. Ini adalah kerana ijazah yang dimiliki oleh Tuan Guru Musa pada waktu itu adalah setaraf dengan ijazah PhD dalam bidang al-Quran pada masa ini. Syeikh Hassan Ibrahim bukanlah calang-calang ulama. Beliau sangat dihormati dalam sejarah ulama' di Arab Saudi dimana beliau telah mengajar hampir 100 tahun dalam Masjid Nabawi, Madinah dan meninggal pada usia hampir 120 tahun. Di Makkah, Tuan Guru Haji Musa turut berkesempatan menadah kitab kepada Syeikh Nuh Jamaluddin Al-Kelantani. Sekembalinya dari Makkah, Tuan Guru Haji Musa membuka sebuah madrasah di Cabang Tiga, Bukit Marak. Pada tahun 1947, Tuan Guru Haji Musa secara rasmi telah mendapat pengiktirafan dan kebenaran daripada Majlis Agama Islam dan Adat-Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) untuk membuka sekolah agama di Bukit Marak dan berdakwah diseluruh negeri Kelantan. Selain dari mengajar di madrasahnya sendiri, Tuan Guru Haji Musa sangat gigih menyebarkan ilmu dengan berulang alik mengajar kitab di merata tempat antaranya seperti di Sekitar Kg. Padang Lati, Atas Pasir, Banggol Telipot, Pasir Puteh, Limau Kasturi, Manik Urai dan Laloh di Ulu Kelantan. Bahkan beliaulah orang yang bertanggungjawab memulakan solat Jumaat pertama di Kampong Laloh, Kuala Krai. Walaupun terpaksa menaiki bot galah, keretapi dan sebagainya, namun demi dakwah dan menyebarkan ajaran Islam, beliau sanggup mengetepikan segala kepayahan yang beliau hadapi. Pada tahun 1948, beliau berangkat sekali lagi ke Makkah setelah berasa rindu yang amat sangat hendak mengunjungi Baitullah. Kali ini beliau menggunakan khidmat Syeikh Abdul Halim dan menaiki kapal laut di pelabuhan Pulau Pinang. Beliau berangkat ke Makkah bersama Hajjah Che Bidah, anak perempuannya Zaunah (Hajjah) serta dua orang anak angkatnya iaitu Syeikh Mohammad Qurra' dan Mohammad Saghir. Mereka menetap disana selama 3 tahun. Syeikh Mohammad Qurra' kemudiannya menjadi rakyat Arab Saudi, menetap di Ajyad Sup dan mengajar Al-Quran di Masjidil Haram sehinggalah meninggal dunia di Makkah manakala Mohammad Saghir menetap di Jabal Sudan dan meninggal dunia di Makkah. Tuan Guru turut ditawarkan menjadi warga Arab Saudi, namun beliau menolaknya memandangkan 2 orang anaknya masih berada di Malaya pada ketika itu. Selain itu, beliau juga berhasrat hendak menyumbangkan khidmat bakti dengan berdakwah, mengajar agama dan Al-Quran kepada masyarakat setempat di negeri kelahirannya.

Jasa-jasa beliau dalam dakwah dan penyebaran ilmu agama
1. Beliau menjadi pelopor kepada pembelajaran Al-Quran secara qiraat dimana hanya beliau dan Mufti Kelantan Dato' Haji Muhammad Nor sahaja yang arif di bidang Qiraat 7 Al-Quran diwaktu itu (Tujuh cara pembacaan Al-Quran)
2. Beliau mengajar kitab dan berdakwah bukan sahaja di madrasahnya tetapi di seluruh tempat di negeri Kelantan
3. Beliau pernah menjadi hakim tilawah Al-Quran peringkat Negeri Kelantan yang diadakan di Padang Bank (kini Padang Merdeka) Kota Bharu.
4. Beliau sentiasa menjadi tempat rujukan orang ramai untuk memohon bantuan, pandangan dan nasihat berkaitan hukum-hakam, masalah rumah tangga dan sebagainya.
5. Beliau pernah melatih dan membimbing qari terkenal Kelantan antaranya Haji Ahmad Som Pergau dan Haji Mokhtar dalam bidang tajwid sehingga berjaya muncul sebagai johan Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa
6. Beliau menjadi pelopor solat Jumaat di Kampong Laloh, Kuala Krai
7. Beliau mendidik dan memelihara ramai anak angkat yang terdiri daripada anak-anak yang bermasalah dan kurang didikan agama serta miskin. Anak angkat Tuan Guru Haji Musa ada di merata tempat antaranya seperti Encik Junuh di Kg. Bayam Kota Bharu, Allahyarham Hajjah Fatimah di Felda Jelu, Raub, Pahang, Encik Razali di Merapoh, Pahang, Allahyarham Encik Yusof Lind, Kuala Lumpur iaitu bekas suami seniwati Dayang Sulu dan ramai lagi.

Keistimewaan
Beliau sangat tegas menegakkan syiar Islam dimana sahaja beliau berpijak. Sebagai contoh, beliau melarang keras permainan Mak Yong, Wayang Kulit, Dikir Barat, Menora yang dimainkan di sekitar kampongnya semasa hayat beliau sekiranya permainan itu mengandungi unsur-unsur yang bercanggah dengan syariat Islam. Beliau dikatakan seorang yang berkat dan masin mulutnya, malahan ada sesetangah pihak yang mengatakan beliau adalah wali Allah, Wallahua'lam. Beliau dikatakan mempunyai kepandaian membaca khasiat batu permata. Dikatakan bahawa kepandaian ini beliau perolehi setelah mempelajarinya dari orang arab Maghribi ketika menetap di Tanah Suci Makkah. Tuan Guru Haji Musa amat berdisiplin dan sangat kemas peribadinya sehinggakan setiap perkara yang dilakukannya dicatit satu persatu termasuk apa yang dimakan setiap hari. Rumahnya menjadi tumpuan penduduk kampung menyimpan barang berharga ketika musim huru-hara atau darurat. Pernah satu hari anak murid beliau ternampak puluhan penjahat berada di hadapan madrasah. Selesai berdoa, Tuan Guru Haji Musa mempelawa mereka naik ke madrasah dan dijamu mereka makanan pulut sehingga mereka kekenyangan. Akibat kekenyangan dan rasa malu atas kebaikan Tuan Guru Haji Musa, ketua penjahat itu kemudiannya berikrar dan berjanji tidak akan mengganggu keamanan disekitar kampung tersebut. Begitu juga sewaktu Jepun menduduki Tanah Melayu. Bukit Marak menjadi tempat askar Jepun melaksanakan hukuman pancung terhadap mereka yang bersalah. Namun ketua askar Jepun amat menghormati Tuan Guru Haji Musa sehinggakan terdapat beberapa orang dilepaskan daripada hukuman pancung akibat menghormati beliau. Ketika peristiwa darurat 13 Mei 1969 meletus, Kiyai Haji Salleh daripada Johor telah datang ke Masjid Muhammadi Kota Bharu untuk memberi pesanan dan bertemu dengan masyarakat Kelantan. Tuan Guru Haji Musa telah menjemput rombongan Kiyai Haji Salleh datang ke madrasahnya di Bukit Marak . Tuan Guru dikatakan telah membuat selendang merah dan menempah parang panjang untuk mempertahankan diri. Sepanjang tempoh darurat itu, Tuan Guru Haji Musa dikatakan memenuhkan masanya dengan beramal dan bersuluk di dalam biliknya

Sahabat dan anak angkat yang menjadi alim-ulama
1. Almarhum Tuan Guru Haji Daud Bukit Abal mempunyai pertalian keluarga dengan Tuan Guru Haji Musa[6]
2. Almarhum Tuan Guru Sidi Abdul Latif , Seberang Takir Terengganu
3. Almarhum Tuan Guru Haji Abdul Aziz Pengasas Pondok Pasir Tumboh
4. Almarhum Tuan Guru Haji Nik Mat Alim, Ayahanda kepada Dato' Nik Aziz Nik Mat
5. Almarhum Sheikh Mohammad Qurra', Ajyad Supp, Makkah
6. Allahyarham Haji Mohammad Saghir, Jabal Sudan Makkah


Tuan Guru Haji Musa, yang telah ditauliahkan tariqat al-Ahmadiah al-Idrisiyyah al-Rasyidiyyah ad Dandarawiyah di Makkah al-Mukarramah telah kembali ke rahmatullah pada tahun 1970 sewaktu berusia 75 tahun, dan telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Atas Pasir, Bukit Marak. Beliau telah menghembuskan nafasnya yang terakhir dirumahnya pada pagi Jumaat setelah mendapat serangan jantung dan tidak sedarkan diri selama 3 hari. Ribuan anak murid, keluarga dan kenalan telah datang menziarahi jenazah beliau pada hari tersebut. Bagi mengenang jasa dan sumbangannya yang sangat besar kepada masyarakat, nama kampung "Cabang Tiga telah diabadikan dengan namanya menjadi nama Cabang Tiga Haji Musa, Bukit Marak. Begitu juga dengan Masjid Tuan Guru Haji Musa, Bukit Marak.


Almarhum Tuan Guru Haji Musa Mat Tahir al-Kelantani




Rujukan utama
Tuan Guru Haji Musa Mat Tahir al-Kelantani (Cabang Tiga Haji Musa,Bukit Marak). http://ahmadiah-idrissiah.co.cc/musa.html. Dicapai pada 26 Mac 2010



[1] Setelah menuntut beberapa lama di Makkah, akhirnya Tuan Guru Haji Musa bersama keluarganya kembali semula ke tanah air dan membuka madrasah di Cabang Tiga, Bukit Marak. Tidak lama selepas itu, isterinya Hajjah Che Wook telah jatuh sakit dan tidak dapat berjalan. Hajjah Che Wook telah mengizinkan agar Tuan Guru Haji Musa berkahwin lagi untuk menjaga makan minum dan kebajikannya.
[2] Tuan Guru bertemu dengan Hajjah Che Bidah ketika ketika beliau menumpang sembahyang di rumah seorang kenalan di Pulau Belongan, Bachok
[3] Dato' Nik Mahmood merupakan Dato' Perdana Menteri Kelantan ketika itu
[4] Mempunyai salasilah keluarga dengan Tok Bachok
[5] Cop Mohor Ulama Besar ini telah diperturunkan dalam ijazah Tuan Guru Haji Musa
[6] Nama penuh ahli sufi ini ialah Haji Daud Shamsuddin bin Haji Omar al-Libadi. Tokoh sufi ini lahir di Kampung Kerasak, Limbat, Kota Bharu sekitar tahun 1903. Bondanya, Wan Halimah binti Haji Ismail adalah merupakan adik kepada Tuan Guru Haji Wan Ahmad bin Haji Ismail (terkenal dengan panggilan Haji Awang Limbat). Manakala ayahandanya, Haji Omar bin Haji Taib berasal dari Kampung Mentera, Bukit Marak. Beliau menadah kitab kepada Haji Awang Limbat, Haji Sulaiman Kubang Kachang,Tok Kenali, Tok Seridik, Haji Omar Sungai Keladi, Haji Nik Abdullah Khatib,Yaakub Legor dan Tok Khurasan. Beliau kemudiannya berangkat ke Makkah dan menimba ilmu kepada Syeikh Umar Hamdan, Syeikh Muhammad Ali al-Maliki, Syeikh Hasan al-Masyat, Syeikh Hasan al-Yamani, Syeikh Muhammad al-Azhari dan Syeikh Muhammad Shafie Kedah (Tok Shafie Kedah). Dari Syeikh Muhammad al-Azhari dan Syeikh Muhammad Shafie inilah, beliau banyak mendapat pendedahan tentang amalan tariqat Ahmadiyah. Dua hasil tulisannya yang sangat terkenal sehingga ke hari ini ialah Risalat al-Aqaid wa al-Fawaid (cetakan pertama 1965) dan Risalat al-Tasawuf (diedar secara stensilan pada awal tahun 1970-an) yang sempat beliau susun setakat 8 siri sahaja kerana masalah kesihatan yang dihadapinya. Tuan Guru Haji Daud meninggal dunia di Bukit Abal ketika pondoknya sedang berkembang maju iaitu pada pukul 2 petang Ahad 1 Safar 1396 bersamaan 1 Februari 1976. Warisan ilmunya kemudiannya disebarkan pula oleh tokoh-tokoh seperti Tuan Guru Haji Ghazali Tunjong, Pak Da Awang Kampung Pek, Ustaz Mustafa Muhammad al-Ahmadi (pengarang buku Mengenal Diri dan Wali Allah yang sangat popular itu), Ustaz Wan Hasan Bukit Tanah (ahli Jemaah Ulama MAIK), Drs Abdul Rahman Haji Ahmad (Timbalan Ketua Pengelola Dakwah Halaqat Negeri Kelantan) dan Prof Dr. Hamdan Hassan (Universiti Brunei Darussalam)

Thursday, February 4, 2010

Sayyid Muhsin al-Masawi ulama besar abad ke-20 asal Palembang

Nama lengkap ulama besar yang berasal dari tanah Palembang ini ialah Sayyid Muhsin b. ‘Ali b. ‘Abd al-Rahman al-Masawi. Beliau lahir pada tahun 1323 H bersamaan dengan tahun 1905 M. Beliau mendapat pendidikan awal dari ayahandanya sendiri. Setelah itu beliau dihantar memasuki Madrasah Nurul Islam di Jambi dan disitu, beliau menelaah dasar-dasar ilmu agama. Seterusnya beliau berpindah ke Madrasah Sa‘adah al-Darain yang juga terletak di Jambi. Pada tahun 1919 M beliau pulang semula ke Palembang setelah kewafatan ayahandanya. Di tempat asalnya, beliau tetap mendalami ilmu agama dan salah seorang guru utamanya pada waktu ialah Haji ‘Idrus. Pada tahun 1340 H, beliau berangkat ke Makkah. Beliau memasuki sebuah madrasah yang sangat terkenal di Makkah pada waktu itu iaitu Madrasah al-Shaulatiyah[1] dalam pertengahan tahun 1341 H. Disitu beliau menadah kitab kepada beberapa tokoh besar seperti Syeikh Hasan Muhammad al-Masysyath, Syeikh Dawud Dihan, Syeikh ‘Abd Allah b. Hasan al-Kawhiji, Syeikh Habib al-Syinqiti dan Syeikh Mahmud b. ‘Abd al-Rahman Zuhdi. Di madrasah ini, beliau didedahkan dengan pelbagai cabang ilmu seperti tafsir, usul al-din, ilmu falaq dan faraid. Pada tahun 1348 H, ulama besar asal Palembang ini berkesempatan mengunjungi para sayyid ‘Alawiyyin di Hadhramaut dan menghadiri halaqah-halaqah pengajian mereka di Seyulan, Tarim. Beliau berada di sana selama 3 bulan untuk menimba ilmu dari para masyaikh terkenal Yaman. Setelah itu, beliau pulang semula ke Makkah dan ditawarkan jawatan mengajar di Madrasah al-Shaulatiyah.
Walaupun mengajar, beliau masih dahagakan ilmu. Syeikh al-Masawi menadah kitab dihadapan para masyaikh di halaqah pengajian di Masjidil Haram. Antara gurunya disitu ialah seperti Syeikh ‘Umar Ba Junayd dan Syeikh Muhammad al-Yamani al-Khulaydi. Pengajian yang diikutinya adalah secara bersanad. Beliau turut menimba ilmu dan mendapatkan ijazah dari Syeikh Muhammad ‘Ali b. Husayn Maliki, Syeikh ‘Imran Hamdan, dan Syeikh ‘Abd Allah b. Muhammad Ghazi. Masih merasakan ilmu belum cukup, beliau berangkat pula ke Madinah untuk mengikuti pengajian disana. Di Madinah, beliau menggurui dan mendapatkan ijazah daripada Syeikh ‘Abd al-Qadir b. Tawfiq al-Syalabi, Syeikh Muhammad ‘Abd al-Bai al-Laknuwi, dan Sayyid Zakki b. Ahmad Barzanji. Guru-guru beliau yang lain adalah seperti Syarif ‘Abd al-Hayy b. ‘Abd al-Kabir al-Kattani al-Fasi dan Syaikh ‘Ali ‘Awwad al-Magribi al-Salwa. Pada tahun 1353 H, beliau mendirikan Madrasah Dar al-‘Ulum al-Diniyyah bersama-sama dengan seorang lagi tokoh besar dari Alam Melayu yang berasal dari Pulau Pinang iaitu Syeikh Zubir Ahmad.[2] Dibawah pimpinan Syeikh al-Masawi, madrasah ini menjadi tumpuan penuntut-penuntut yang datang dari Asia Tenggara menimba ilmu. Madrasah ini banyak mencetak ulama-ulama besar Alam Melayu antaranya adalah seperti Syeikh Muhammad Yasin ulama besar asal Padang dan Dato Mursyid Diraja Syeikh Tajuddin bin Syeikh Abdul Rahman al-Jarumi, ulama besar asal Kedah. Syeikh Muhsin al-Masawi wafat pada bulan Jumadil Thani 1354 H dalam usia 31 tahun di Makkah. Selepas kewafatannya, pimpinan madrasah diambil alih oleh Syeikh Zubir. Beliau mentadbir madrasah selama lima tahun sebelum pulang menabur bakti di negeri Perak.
Walaupun Syeikh al-Masawi wafat dalam usia yang sangat muda, beliau sempat mengarang beberapa buah kitab. Antaranya ialah seperti
1. Al-Nafhah al-Hasaniyyah Syarh al-Tuhfah al-Saniyyah fi al-Faraid
2. Madkhal ila ‘Ilm al-Usul
3. Nahj al-Taysir Syarh Manzhumah al-Zamzami fi Usul al-Tafsir
4. Jam‘ al-Thamr Ta‘liq ‘ala al-Manzhumah Manazil al-Qamar
5. Al-Jadad Syarh Manzhumah al-Zubad (manuskrip dan belum selesai)
6. al-Nusus al-Jawhariyyah fi al-Ta‘arif al-Mantiqiyyah
7. Adillah Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah fi Daf‘ Syubuhat al-Firaq al-Dallah al-Muttadi‘ah
8. Al-Rihlah al-‘Ilyah ila al-Diyyar al-Hadramiyyah
Biodata dan senarai kitab Syeikh al-Masawi dinyatakan didalam tulisan ‘Umar ‘Abd al-Jabbar dalam bukunya yang bertajuk Siyar wa Tarajim ba’d ‘Ulama’ina fi al-Qarn al-Rabi’ ‘Asyr li al-Hijra (Makkah: Mu’assasah Makkah li al-Tiba’ah wa al-I’lam, 1385/1965) dari halaman 331 hingga 333.


Gambar para masyaikh Dar al-'Ulum pada tahun 1375 H/1956 M (Sumber gambar diambil dari sini)


[1] Madrasah al-Shaulatiyah didirikan oleh ulama berketurunan Saiyidina Uthman bin Affan yang berasal dari India. Madrasah ini menjadi tumpuan masyarakat Islam khususnya di kalangan masyarakat India dan Pakistan untuk menimba ilmu.
[2] Mohd Fadli Ghani. 2008. Sheikh Zubir al-Filfulani: Ulama pengasas PAS. Harakah. Kuala Lumpur Terbit pada 25 Disember 2008

Tuesday, February 2, 2010

Tuan Guru Haji Muhammad Zainuddin tokoh ulama terkemuka dari Lombok

Nama lengkap ulama besar yang berasal dari Lombok Timur ini ialah Tuan Guru Kiyai Haji Muhammad Zainuddin bin Haji Abdul Madjid. Ketika kecil, ahli keluarganya memanggil beliau Muhammad Saggaf. Asal-muasal penggunaan nama ini bermula setelah ayahandanya didatangi oleh waliyullah yang berasal dari Hadhramaut dan Maghribi tiga hari sebelum beliau dilahirkan. Kedua waliyullah itu secara kebetulan mempunyai nama yang sama iaitu "Saqqaf" dan berpesan kepada Tuan Guru Haji Abdul Madjid supaya anaknya yang akan lahir itu diberi nama "Saqqaf" yang bermaksud "tukang memperbaiki atap". Kata "Saqqaf" kemudiannya di Indonesia-kan menjadi "Saggaf" dan untuk dialek bahasa Sasak menjadi "Segep". Itulah sebabnya beliau sering dipanggil dengan "Gep" oleh bondanya. Setelah menunaikan ibadah haji, nama yang digunakan semasa kecil diganti dengan Haji Muhammad Zainuddin. Nama ini diberi oleh ayahanda beliau sendiri yang diambil bersempena nama seorang ulama besar dari Tanah Melayu yang mengajar di Masjidil Haram. Ulama besar yang dimaksudkan ialah Syeikh Muhammad Zainuddin yang berasal dari Sarawak. Tuan Guru Kiyai Haji Abdul Madjid dilahirkan di Kampung Bermi, Pancor, Lombok Timur, Nusa Tenggara Barat pada 17 Rabiul Awwal 1316 Hijriah bersamaan dengan dengan 5 Ogos 1898 Masehi hasil dari perkahwinan Tuan Guru Haji Abdul Madjid yang lebih terkenal dengan panggilan Guru Mukminah atau Guru Minah dengan seorang wanita solehah bernama Hajjah Halimah al-Sa'diyah.[1] Tuan Guru Haji Muhammad Zainuddin berpulang ke rahmatullah pada hari Selasa, 21 Oktober 1997 M bersamaan 20 Jumadil Akhir 1418 H di kediamannya di desa Pancor, Lombok Timur. Diriwayatkan Tuan Guru Haji Muhammad Zainuddin berketurunan kesultanan Selaparang, sebuah kerajaan Islam yang pernah berkuasa di Pulau Lombok. Disebutkan bahwa Tuan Guru Haji Muhammad Zainuddin Abdul Madjid merupakan keturunan Kerajaan Selaparang yang ke-17.[2] Dalam keluarganya, Tuan Guru Haji Muhammad Zainuddin adalah anak bongsu dari enam bersaudara. Saudara kandung beliau ada lima orang iaitu Siti Syarbini, Siti Cilah, Hajjah Saudah, Haji Muhammad Sabur dan Hajjah Masyitah.
Tuan Guru Haji Muhammad Zainuddin mendapat pendidikan awal dari ayahandanya sendiri. Beliau mula mengaji al-Quran dan ilmu-ilmu agama yang lain yang dididik oleh ayahandanya sejak usianya 5 tahun. Setelah berusia 9 tahun, Tuan Guru Haji Muhammad Zainuddin memasuki pendidikan formal yang disebut sebagai Sekolah Rakyat Negara. Setelah menamatkan pendidikan formalnya, beliau kemudiannya menuntut ilmu agama ulama besar tempat seperti Tuan Guru Haji Syarafudin dan Tuan Guru Haji Muhammad Sa'id dari Pancor serta Tuan Guru Abdullah bin Amaq Dulaji dari Desa Kelayu, Lombok Timur. Dengan ketiga-tiga guru ini, Tuan Guru Haji Muhammad Zainuddin menimba ilmu dalam sistem halaqah. Beliau berangkat ke Makkah ketika usianya mencecah 15 tahun untuk mendalami ilmu agama. Pada peringkat awal, beliau belajar di lingkaran halaqah di Masjidil Haram. Antara gurunya disitu ialah Syeikh Marzuki, seorang berketurunan Arab kelahiran Palembang yang sudah lama mengajar mengaji di Masjid Haram. Gurunya itu berusia sekitar 50 tahun ketika Tuan Guru Muhammad Zainuddin mula menimba ilmu dengannya. Beliau juga belajar ilmu sastera kepada ahli syair terkenal Makkah iaitu Syeikh Muhammad Amin al-Kutbi dan Sayyid Muhsin Al-Palembani, seorang berketurunan Arab kelahiran Palembang yang kemudiannya menjadi guru beliau di Madrasah al-Shaulatiyah.
Selepas berlakunya Perang Wahhabi, Tuan Guru Haji Muhammad Zainuddin memasuki Madrasah al-Shaulatiyah yang pada masa itu dipimpin oleh Syeikh Salim Rahmatullah. Pada hari pertama beliau masuk ke madrasah itulah beliau telah bertemu Syeikh Hasan Muhammad al-Masysyath, guru utama beliau yang banyak mencorak keperibadian beliau. Dari gurunya inilah beliau mendapat risalah/ijazah dengan seluruh isi kitabnya yang bertajuk “al-Irsyad bi al-Dzikr ba’da Ma’alim al-Ijazah wa al-Asnaf”. Untuk menentukan tahap kelayakan beliau belajar disitu, beliau telah diuji oleh Syeikh Salim Rahmatullah sendiri dan Syeikh Hasan Muhammad al-Masysyath. Keputusan beliau amat memuaskan dan boleh masuk terus ke kelas tahap 3 tetapi Tuan Guru Haji Muhammad Zainuddin mahu memasuki kelas tahap 2 terlebih dahulu dengan alasan mahu mendalami ilmu Nahwu dan Sharaf. Prestasi akademiknya sangat luar biasa dan beliau berjaya menyelesaikan pengajiannya dalam tempoh 6 tahun sahaja, 3 tahun lebih cepat dari tempoh lazimnya. Tuan Guru Haji Muhammad Zainuddin Abdul Madjid menyelesaikan pengajian di Madrasah al-Shaulatiyah pada 22 Dzulhijjah 1353 H dengan keputusan mumtaz. Sebagai penghargan atas prestasinya Mudir Madrasah Al-Shaulatiyah sendiri iaitu Syeikh Salim Rahmatullah telah mengundang ahli kaligrafi terbaik di Makkah untuk menulis ijazah Tuan Guru Haji Muhammad Zainuddin, bahkan beliau mengatakan bahawa, “Madrasah Al-Shaulatiyah tidak perlu memiliki murid yang banyak, cukup satu orang saja asalkan memiliki prestasi dan berkualiti seperti Zainuddin”. Selepas menyelesaikan pengajiannya, beliau tidak terus pulang ke tanah asal tetapi mendah kitab fiqh dengan Syeikh Abdul Hamid Abdullah al-Yamani. Diperkirakan beliau berada di Makkah sekitar 13 tahun untuk menimba ilmu disana.
Sebenarnya, guru-guru Tuan Guru Haji Muhammad Zainuddin sangat ramai. Antara ulama besar yang pernah menjadi gurunya ialah seperti
Guru-guru yang mengajarkan al-Qur’an dan Kitab Melayu:
1. Tuan Guru Haji Abdul Majid (ayahandanya sendiri)
2. Tuan Guru Haji Syarafuddin Pancor Lombok Timur
Tuan Guru Haji Muhammad Sa’id Pancor Lombok Timur
3. Tuan Guan Haji Abdullah bin Amaq Dujali Kelayu Lombok Timur
4. Al ‘Alim al-‘Allamah al-Syeikh al-Kabir al-Arifubillah Maulana Syeikh Hasan Muhammad al- al-Masysyath
5. Al ‘Alim al-‘Allamah al-Faqih Maulana al-Syeikh Umar Bajunaid al- Syafi’i
6. Al ‘Alim al-‘Allamah al-Faqih Maulana Syeikh Muhammad Syaid al-Yamani al-Syafi’i
7. Al ‘Alim al-‘Allamah al-Mutaffanin Sibawaihi Zanamihi Maulana Syeikh Ali al-Maliki
8. Maulana Syeikh Abu Bakar al-Palimbani
9. Maulana Syeikh Hasan Jambi al-Syafi’i
10. Al ‘Alim al-‘Allamah al-Muffasir Maulana al-Syeikh Abdul Qadir al-Mandili al-Syafi’i
11. Al ‘Alim al-‘Allamah al-Shufi Maulana Syeikh Muhtar Betawi al-Syafi’i
12. Al ‘Alim al-‘Allamah al-Muhaddith Maulana Syeikh Umar Hamdan al Mihrasi al-Maliki
13. Al ‘Alim al- ‘Allamah al-Muhaddith Maulana Syeikh Abdul Qadir al-Syibli al-Hanafi
14. Al ‘Alim al-‘Allamah al-Adib al-Shufi Maulana Syeikh al-Syayid Muhammad Amin al-Kuthbi al-Hanafi
15. Al ‘Alim al-‘Allamah Maulana Syeikh Muhsin al-Musahwa al-Syafi’i
16. Al ‘Alim al-‘Allamah al-Falaqi Maulana Syeikh Khalifah al-Maliki
17. Al ‘Alim al-‘Allamah Maulana Syeikh Jamal al-Maliki
18. Maulana Syeikh al-Shahih Muhammad Shalih Mukhtar al-Makhdum al-Hanafi
19. Al-‘Alim al-‘Allamah al-Syafi’i Maulana Syeikh Mukhtar al-Makhdum Al Hanafi
20. Maulana Syeikh al-Syayid Ahmad Dahlan al-Syafi’i
21. Maulana Syeikh Salim Cianjur al-Syafi’i
22. Al-‘Alim al-‘Allamah al-Muarrikh Maulana Syeikh Salim Rahmatullah al-Maliki
23. Maulana Syeaikh Abdul Gani al-Maliki
24. Maulana Syeikh al-Syayid Muhammad Arabi al-Tubani al-Jasairi al-Maliki
25. Maulana Syeikh al-Faruq al-Maliki
26. Maulana Syeikh al-Wa’id al-Syeikh Abdullah al-Farisi
27. Maulana Syeikh Mala Musa

Guru Ilmu Tajwid, al-Qur’an dan Qiraat Sab’ah:
1. Al-Syeikh Jamal Mirdad (Imam di makam Imam Hanafi di Masjidil Haram)
2. Al-Syeikh Umar Arba’in (Ahli Qur’an dan Qasidah yang sangat terkenal)
3. Al-Syeikh Abdul Latif Qari (Guru Besar di Qiraat Sab’ah di Madrasah Al-Shaulatiyah)
4. Al-Syeikh Muhammad Uba’id (Guru Besar dalam bidang Tajwid dan Qiraat yang sangat terkenal di Makkah).

Ilmu Fiqh, Tasawuf, Tajwid, Usulul Fiqh dan Tafsir:
1. Al-‘Alamah ‘al-Syeikh Umar Bajunaid al-Syafi’i
2. Al-‘Alimul al-Alamah al-Syeikh Muhammad Said al-Yamani
3. Al-‘Alamah al-Syeikh Muhtar Betawi
4. Al-‘Alamah al-Syeikh Abdul Qadir al-Mandili (Murid Khusus dari al- ‘Allamah Syeikh Ahmad Hamud Minangkabau Sumatera Barat)
5. Al-‘Alamah al-Faqih Abdul Hamid Abdur Rabb al-Yamani
6. Al-‘Mutaffanin al-‘Allamah al-Syayid Muhsin al-Musawa (Pendiri Darul Ulum al-Diniyah Makkah Mukarramah)
7. Al-‘Allamah al-Adib al-Syeikh Abdullah al-Lajahi al-Farisi (Pengarang Yang Sangat Terkenal)

Guru Ilmu Arud (Syair Bahasa Arab):
1. Al-‘Alim al-‘Allamah al-Syeikh Abdul Qani al-Qadli
2. Al-‘Alim al-‘Allamah al-Adib al-Sayyid Muhammad Amin al-Kutbi

Guru Ilmu Falak:
1. Maulana Syeikh Cianjur (Jawa Barat)
2. Al-‘Alim al-‘Allamah al-Falaki Maulana Syaikh Khalifah al-Makki
3. Al-‘Alim al-‘Allamah al-Sayyid Ahmad Dahlan Sadakah al-Syafi’i

Guru Ilmu Hadith, Mustalahul Hadith, Mustahul Tafsir, Ilmu Fara’id, Sirah (Tarikh) dan pelbagai Ilmu Alat (Nahu-Syaraf):
1. Al-‘Allamah al-Qabir Sibawaihi Zamanihi al-Syeikh al-Maliki
2. Al-‘Allamah al-Jalil Assyeikh Jamal al-Maliki
3. Al-‘Alim al-‘Allamah al-Kabir al-Muhaddith Maulana Syeikh Umar Hamdan al-Mihrazi al-Syafi’i
4. Al ‘Alimul ‘Allamah al-Kabir al-Muhaddith Maulana Syeikh Abdullah al-Buhari al-Syafi’i (Mufti Istanbul)
5. Maulana Wamurabbi Abil Barokah al-‘Alim al-‘Allamah al-Ushuli al-Muhaddith al-Shufi al-‘Arifubillah Maulana Syeikh Hasan Muhammad al-Masysyath al-Maliki
6. Al-‘Alim al-‘Allamah al-Shorfi Maulana Syeikh Muftar Makdum al-Hanafi
7. Al-‘Alim al-‘Allamah Maulana Syeikh al-Sayyid Muhsin al-Musawa
8. Al-‘Alim al-‘Allamah al-Adib al-Shufi Maulana Syeikh al-Sayyid Muhammad Amin al-Kutbi al-Hanafi
9. Al-‘Alim al-‘Allamah al-Syeikh Umar al-Faruk al-Maliki
10. Al-‘Alim al-‘Allamah al-Kabir al-Syeikh Abdul Qadir al-Syalabi al-Hanafi

Guru Ilmu Awrad (Ahzab):
1. Al-‘Alim al-‘Allamah (Kiyai Falaj) (Bogor Jawa Barat)
2. Maulana Syeikh Malla Musa al-Maqribi

Guru Khat (Kaligrafi):
1. Al-Khattah al-Syeikh Abdul Aziz Langkat
2. Al-Khattah al-Syeikh Daud al-Rumani al-Fathani
3. Al-Khattah al-Syeikh Muhammad al-Ra’is al-Maliki

Diriwayatkan bahawa Tuan Guru Haji Muhammad Zainuddin kembali ke kampung halamannya setelah mendapat arahan dari gurunya yang paling beliau hormati iaitu Syeikh Hasan Muhammad al-Masysyath, pada tahun 1934. Sebaik tiba di Pulau Lombok beliau langsung mendirikan sebuah pondok atau pesantren yang dikenali dengan nama Pesantren al-Mujahidin. Pada tahun 1356 H bersamaan 1937 M. beliau mendirikan sebuah lagi pusat pengajian yang dikenali dengan nama Madrasah Nahdlatul Wathan Diniyah Islamiyah (NWDI). Madrasah ini khusus untuk mendidik pelajar lelaki. Pada tahun 1362 H bersamaan dengan 1943 M, beliau mendirikan pula Madrasah Nahdlatul Banat Diniah Islamiyah (NBDI) khusus untuk membimbing pelajar wanita. Kedua-dua madrasah ini dianggap sebagai madrasah pertama di Pulau Lombok yang berkembang dengan pesatnya dan bernaung di bawah satu bumbung yang disebut sebagai Nahdlatul Wathan. Kedua-dua madrasah ini lalu dikenali masyarakat dengan panggilan pondok pesantren 'Dar al-Nahdlatain Nahdlatul Wathan'. Ringkasnya sumbangan Tuan Guru Haji Muhammad Zainuddin dalam mengembangkan bidang pendidikan sangat banyak antaranya ialah seperti,
1. mendirikan Akademi Paedagogik NW pada tahun 1964
2. mendirikan Ma'had Dar al-Qu'an wa al-Hadith al-Majidiyah Asy-Syafi'iyah Nahdlatul Wathan pada tahun 1965
3. mendirikan Ma'had li al-Banat pada tahun 1974
4. mendirikan Universitas Hamzanwadi dan menjadi rektor universiti pada tahun 1977
5. mendirikan Fakultas Tarbiyah Universitas Hamzanwadi pada tahun 1977
6. mendirikan STKIP Hamzanwadi pada tahun 1978
7. mendirikan Sekolah Tinggi Ilmu Syari'ah Hamzanwadi pada tahun 1978
8. mendirikan Yayasan Pendidikan Hamzanwadi pada tahun 1982
9. mendirikan Universitas Nahdlatul Wathan Mataram pada tahun 1987
10. mendirikan Sekolah Tinggi Ilmu Hukum Hamzanwadi pada tahun 1987
11. mendirikan Sekolah Tinggi Ilmu Dakwah Hamzanwadi pada tahun 1990
12. mendirikan Madrasah Aliyah Keagamaan putera-puteri pada tahun 1994
13. mendirikan Institut Agama Islam Hamzanwadi pada tahun 1996
Sementara sumbangan beliau dalam bidang dakwah adalah seperti berikut,
1. menjadi Amirul Haji dari Negara Indonesia Timur pada tahun 1947/48
2. menjadi anggota Delegasi Negara Indonesia Timur ke Arab Saudi pada tahun 1948/49
3. menjadi Konsulat NU Sunda Kecil pada tahun 1950
4. menjadi Ketua Badan Penasihat Masyumi Daerah Lombok pada tahun 1952
5. mendirikan Organisasi Nahdlatul Wathan pada tahun 1953
6. menjadi Ketua Umum PBNW Pertama pada tahun 1953
7. menjadi anggota Konstituante RI hasil Pemilu I pada tahun 1955
8. menjadi peserta KIAA (Konferensi Islam Asia Afrika) di Bandung pada tahun 1964
9. menjadi penasihat Majlis Ulama' Indonesia (MUI) Pusat pada tahun 1971-82
10. menjadi Ketua Penasihat Bidang Syara' Rumah Sakit Islam Siti Hajar Mataram (dari tahun 1975 hingga 1997)

Hasil tulisannya
Tuan Guru Haji Muhammad Zainuddin banyak mengarang kitab samada dalam bahasa Arab, Indonesia dan Sasak. Antaranya ialah seperti
Dalam bahasa Arab

1. Risalah al-Tauhid
2. Sullam al-Hija Syarah Safinah al-Naja
3. Nahdlah al-Zainiah
4. At Tuhfah al-Amfenaniyah
5. Al Fawakih al-Nahdliyah
6. Mi'raj al-Shibyan ila Sama'i Ilm al-Bayan
7. Al-Nafahat ‘ala al-Taqrirah al-Saniyah
8. Nail al-Anfal
9. Hizib Nahdlatul Wathan
10. Hizib Nahdlatul Banat
11. Tariqat Hizib Nahdlatul Wathan
12. Shalawat Nahdlatain
13. Shalawat Nahdlatul Wathan
14. Shalawat Miftah Bab Rahmah Allah
15. Shalawat al-Mab'uts Rahmah li al-‘Alamin

Dalam bahasa Indonesia dan Sasak

1. Batu Ngompal
2. Anak Nunggal
3. Taqrirat Batu Ngompal
4. Wasiat Renungan Masa I dan II
Beliau turut mengarang bait-bait nasyid antaranya seperti

1. Ta'sis NWDI
2. Imamuna al-Syafi'i
3. Ya Fata Sasak
4. Ahlan bi Wafid al-Zairin
5. Tanawwar
6. Mars Nahdlatul Wathan
7. Bersatulah Haluan
8. Nahdlatain
9. Pacu Gama'



Majalah keluaran Nahdlatul Wathan (rujuk disini)
Tuan Guru Haji Muhammad Zainuddin

Tuan Guru Haji Muhammad Zainuddin ulama besar asal Lombok

Bangunan Nahdlatul Wathan di Lombok Timur


[1] Mohammad Noor et.al. 2004. Visi Kebangsaan Religius: Refleksi Pemikiran dan Perjuangan TGKH Muhammad Zainuddin Abdul Madjid. Logos Wacana Ilmu. Jakarta. Hlm. 123.
[2] Abdul Hayyi Nu'man. 1999. Maulana Syeikh Tuan Guru Kyai Haji Muhammad Zainuddin Abdul Madid, Riwayat Hidup dan Perjuangannya. PBNW. Lombok Timur. Hlm. 2

Thursday, January 7, 2010

Tuan Guru Haji Muhammad Yassin - Ulama dan Pendidik dihormati di Muar

Nama lengkap ulama yang menetap di Muar ini ialah Tuan Guru Haji Muhammad Yassin bin Muhammad. Diriwayatkan beliau berasal dari Siak, Sumatera.[1] Beliau merupakan ayahanda kepada Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada masa ini iaitu Tan Sri Dato’ Muhyiddin Muhammad Yassin.[2] Tuan Guru Haji Muhammad Yassin lahir pada tahun 1902 Masehi dan meninggal dunia ketika berusia 73 tahun di Muar, Johor. Sepanjang hayatnya, beliau dikatakan mempunyai 46 orang anak, hasil perkongsian hidupnya dengan 4 orang isteri iaitu Allahyarhamah Hajjah Maznah binti Daud, Allahyarhamah Hajjah Khadijah binti Kassim yang merupakan ibu kandung Tan Sri Dato’ Muhyiddin, Allahyarhamah Hajjah Sapiah binti Abdullah dan Allahyarhamah Hajjah Kintan binti Ibrahim.[3] Kebanyakan ahli keluarga Tuan Guru Muhammad Yassin kini menetap di Batu 1 1/4 Jalan Bakri, Muar, Johor. Tuan Guru Haji Muhammad Yassin adalah seorang pendakwah dan guru yang sangat gigih. Beliau banyak mengajar di daerah Muar seperti di Masjid Jamek Muar, Masjid Parit Jamil, Masjid Seri Menanti, Masjid Bukit Gambir, Masjid Bukit Kangkar dan Masjid Sungei Mati Muar.[4] Adakalanya, beliau mengajar sampai ke Chohong Melaka yang merupakan sempadan antara Melaka dan Muar.[5] Pengajaran beliau kebanyakannya tertumpu kepada kitab-kitab Tasawwuf dan Ilmu Tauhid.[6] Untuk tujuan mengajar, Tuan Guru Haji Muhammad Yassin akan dibawa menaiki kereta yang dipandu oleh anak beliau sendiri iaitu Allahyarham Haron bin Mohd. Yassin iaitu antara anak beliau yan tertua dari isteri yang pertama. Sumbangan beliau dalam bidang pendidikan agama khususnya di sekitar Muar amatlah besar. Beliau telah mengasaskan dua buah sekolah untuk tujuan penyebaran ilmu kepada anak-anak tempatan. Sekolah tersebut ialah
1. Sekolah Menengah Md. Yassin di Batu 1 1/4 Jalan Bakri, Muar. Sekolah ini adalah merupakan sekolah persendirian yang diasaskan beliau. Anak beliau seperti Allahyarham Ismail Mohd. Yassin pernah menjadi Guru Besar di sekolah itu manakala anak-anaknya yang lain seperti Allahyarham Kamaruddin Mohd. Yassin, Fatimah Mohd. Yassin dan Baharuddin Mohd. Yassin pernah mengajar di sekolah tersebut sekitar tahun 70-an dahulu.[7]
2. Sekolah Arab Saadiah di Batu 1 1/2 Jalan Bakri. Sekolah ini mengambil pelajar-pelajar lelaki dan perempuan untuk mengikuti pelajaran dalam bahasa Arab.[8]
Tuan Guru Haji Muhammad Yassin menadah kitab kepada ulama besar Muar satu ketika dahulu iaitu Tuan Guru Haji Abu Bakar bin Haji Hasan al-Muari bin Haji Ahmad bin Anggak bin Datuk Sijo Bukit Moh, Muar Bandar Maharani, Johor.[9] Beliau dikatakan telah berhasil mengkhatamkan beberapa kitab terkenal di Alam Melayu dibawah pengawasan gurunya itu. Antara kitab yang berjaya dikhatam dihadapan gurunya itu ialah Faridatul Faraid karangan masyaikh gurunya iaitu Syeikh Ahmad al-Fathani yang sangat terkenal di Alam Melayu pada abad ke-19 Masehi.[10] Gurunya iaitu Tuan Guru Haji Abu Bakar inilah yang banyak mempengaruhi corak pemikiran beliau. Pandangan beliau terhadap gurunya seperti yang dicatatkan oleh almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir Abdullah diungkapkan seperti berikut,
"Ketika aku akan belajar ilmu kemegahan dunia di Sumatera, setelah diketahui oleh Abu Bakar Alim, aku lalu dinasihatinya supaya belajar kepada beliau sahaja. Sekiranya aku melanggar nasihat beliau, mungkin aku menjadi seorang yang jahat.''[11]
Murid-murid lain yang telah menimba ilmu dengan gurunya itu ialah seperti Tan Sri Mohamed Noah.[12] Tan Sri Mohamed Noah adalah sepupu kepada gurunya itu dan merupakan ayah mertua kepada Allahyarham Tun Abdul Razak (Perdana Menteri Malaysia yang kedua).[13] Murid gurunya yang lain ialah seperti Datuk Haji Mohd. Noor, ayah kepada Datuk Haji Juma'at, bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka.[14]
Sebagai seorang ulama dan pendidik yang berwibawa, Tuan Guru Haji Muhammad Yassin telah berjaya melahirkan ramai tokoh-tokoh penting selepasnya. Antaranya ialah seperti Allahyarham Tuan Guru Haji Azman bin Azhari yang telah mengasaskan Khaujakan Johor dan mempunyai pengikut yang bertaburan di serata negeri Johor.[15]


[1] Dirujuk dari http://www.my-malaysia.com.my/index.php?option=com_content&view=article&id=3&Itemid=5&lang=bm. Dicapai pada 8 Januari 2010
[2] Ibid
[3] Dirujuk dari http://ms.wikipedia.org/wiki/Muhyiddin_Yassin. Dicapai pada 8 Januari 2010
[4] Dirujuk dari http://www.my-malaysia.com.my/index.php?option=com_content&view=article&id=3&Itemid=5&lang=bm. Dicapai pada 8 Januari 2010
[5] Ibid
[6] Ibid
[7] Ibid
[8] Ibid
[9] Beliau dilahirkan pada tahun 1292 Hijrah/1875 Masihi, dan meninggal pada tahun 1357 Hijrah/1938 Masihi. Beliau berada di Makkah selama 34 tahun untuk menuntut ilmu, sewal usia enam tahun (1881 M/1299 H) dan pulang ke tanah air pada tahun 1915 Masihi. Beliau merupakan pengasas Madrasah Al-Arabiyah Al-Khairiah di Muar. Beliau merupakan tokoh penting di Muar yang telah menggubal undang-undang perbandaran disitu. Bersama-sama dengan tokoh tempatan lain seperti Abdullah bin Isa, Syed Abdul Qadir bin Muhammad, Abdus Syukur bin Ismail, Yusuf bin Muhammad, Syed Muhammad bin Othman bin Yahya, Haji Muhammad Yunus bin Haji Ibrahim dan Haji Abu Bakar bin Haji Hasan, mereka menggubal `Undang-Undang Jam`iyah Percadangan' (Bandar Maharani Muar, Mac 1925. Dokumen ini kemudiannya dicetak oleh Mathba'ah al-Khairiyah Muar 1925). Tokoh ini sangat aktif mengarang dan tidak keterlaluan dikatakan disini bahawa beliau berperanan besar dalam menyuburkan budaya ilmu di negeri Johor sehingga banyak pusat percetakan telah ditubuh untuk menerbit dan mencetak buku-buku ilmiah pada waktu itu
[10] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2006. Haji Muhammad Lip pengasas Pondok Ribath. Utusan Malaysia. Ruangan Bicara Agama. Kuala Lumpur. Terbit pada 10 Julai 2006. Boleh dicapai di http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0710&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm
[11] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2004. Abu Bakar Muar Benteng Pertahanan Kaum Tua. Utusan Malaysia. Ruangan Bicara Agama. Kuala Lumpur. Terbit pada 8 Mac 2004
[12] Ibid
[13] Ibid
[14] Ibid
[15] Dirujuk dari http://www.my-malaysia.com.my/index.php?option=com_content&view=article&id=3&Itemid=5&lang=bm. Dicapai pada 8 Januari 2010




Almarhum Tuan Guru Haji Muhammad Yassin bin Muhammad