Wednesday, July 22, 2009

Syeikh Wan Ali Kutan, warisnya yang bergelar ulama dan kitabnya yang masih ditelaah dan diamal hingga ke hari ini

Nama lengkapnya ialah Syeikh Wan Ali bin Wan Abdur Rahman. Beliau merupakan anak bongsu dari enam beradik[1]. Syeikh Wan Ali Kutan mempunyai hubungan persaudaraan dengan seorang lagi ulama besar Alam Melayu iaitu Syeikh Ahmad al-Fathani. Syeikh Ahmad al-Fathani memanggil ulama yang berasal dari Kelantan tersebut dengan panggilan `Pak Cu Wan Ali'. Ini adalah kerana Syeikh Wan Ali berpangkat ayah saudara sepupu kepada Syeikh Ahmad al-Fathani. Syeikh Wan Ali al-Kalantani pula berkahwin dengan saudara sepupunya bernama Wan Aisyah binti Wan Muhammad Saleh al-Fathani, adik beradik dengan Wan Cik binti Wan Muhammad Saleh al-Fathani, ibu kepada Syeikh Ahmadal-Fathani. Syeikh Wan Ali lahir di Kota Kubang Labu, di tepi Sungai Kelantan. Tentang tahun kelahirannya, ada dua pendapat yang masyhur iaitu Ismail Awang dalam majalah Pengasuh menyebut bahawa beliau lahir tahun 1253 Hijrah/1837 Masihi manakala almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir menggunakan tahun 1235 Hijrah/1820 Masihi[2] sebagai tahun kelahiran Syeikh Wan Ali Kutan berdasarkan pendapat yang lebih kuat dikalangan ahli keluarga Syeikh Wan Ali yang menyatakan bahawa umur Syeikh Wan Ali tidak jauh bezanya dengan umur Syeikh Wan Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani, ayahanda kepada Syeikh Ahmad al-Fathani[3]. Hubungan Syeikh Muhammad Zain al-Fathani dengan Syeikh Wan Ali Kutan itu pula adalah berbiras kerana isteri kedua-duanya adalah adik beradik iaitu isteri Syeikh Wan Ali Kutan bernama Wan Aisyah binti Wan Muhammad Saleh al-Fathani[4] manakala isteri Syeikh Wan Muhammad Zain al-Fathani bernama Wan Cik binti Wan Muhammad Saleh al-Fathani.
Syeikh Wan Ali Kutan mengikuti pembelajaran di Makkah seawal usianya 12 tahun. Dengan usianya yang sangat muda, tidak hairanlah Syeikh Wan Ali Kutan berjaya menguasai ilmu pengetahuan keislaman dengan meluas sehingga diiktiraf sebagai salah seorang ulama besar di MakkahBeliau menimba ilmu dari ulama besar Makkah yang sangat terkenal seperti Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, Syeikh Muhammad Haqqi an-Nazili an-Naqsyabandi, dan Syeikh Ahmad As'ad ad-Dihan. Syeikh Wan Ali Kutan dikatakan pernah berguru dengan ulama besar Alam Melayu iaitu Syeikh Abdus Shamad Pulau Condong, Kelantan ketika berada di Makkah. Dari Syeikh Ahmad As’ad ad-Dihan dan Syeikh Abdus Shamad Pulau Chondong, Syeikh Wan Ali Kutan menerima ijazah Hizbul Bahri.[5] Di Madinah Syeikh Wan Ali menerima ijazah Shalawat Dalailul Khairat dengan sanad yang bersambung sampai kepada pengasasnya Syeikh Sulaiman al-Jazuli dari gurunya yang Syeikh Muhammad Amin bin Sayid Ridhwan al-Madani. Syeikh Wan Ali Kutan juga belajar pelbagai ilmu dengan Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani. Dari ulama besar tersebut, beliau menerima Thariqat Syathariyah. Syeikh Wan Ali Kutan juga menerima talqin bai'ah Thariqat Ahmadiyah[6] daripada Syeikh Ibrahim ar-Rasyidi. Antara karangan beliau yang masyhur seperti yang disebut oleh almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir ialah
1. Al-Jauharul Mauhub wa Munabbihatul Qulub. Kitab ini diselesaikan pada tahun 1306 Hijrah/1888 Masihi. Kandungannya merupakan terjemahan dan syarah Lubabul Hadith. Matan Lubabil Hadith adalah karya ulama besar bernama Imam Jalaluddin as-Suyuthi. Cetakan pertama kitab yang dikarang oleh Syeikh Wan Ali Kutan ini telah ditashih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani. Pada cetakan pertama tercantum puisi dalam bahasa Arab gubahan Syeikh Ahmad al-Fathani yang terdiri daripada 27 bait, dua-dua rangkap. Kitab ini sangat masyhur di Alam Melayu dan telah diterjemah ke tulisan Rumi oleh beberapa penerbit tempatan
2. Zahratul Murid fi `Aqaidit Tauhid. Kitab ini diselesaikan pada tahun 1310 Hijrah/1892 Masihi. Kandungannya membicarakan perkara tauhid menurut pegangan Ahlus Sunnah wal Jama'ah. Cetakan pertamanya juga ditashih oleh Syeikh Ahmad al- Fathani. Di bahagian muka dan belakang cetakan Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Makkah, 1315 Hijrah terdapat keterangan yang ditulis oleh Syeikh Ahmad al-Fathani. Kitab ini terdiri dari pelbagai edisi cetakan di antaranya dicetak oleh Mathba'ah al-Kamaliyah, Kota Bharu, Kelantan. Kitab ini masih berlegar di pasaran kitab tempatan
3. Lum'atul Aurad. Kitab ini diselesaikan pada tahun 1311 Hijrah/1894 Masihi. Kandungannya mengenai selawat, wirid dan pelbagai doa. Terdapat pelbagai edisi cetakan, di antaranya oleh Matba'ah al-Miriyah, Makkah yang merupakan cetakan kedua pada tahun 1314 Hijrah. Kitab ini pernah dicetak oleh Matba'ah Al-Ahmadiah, Singapura pada tahun 1346 Hijrah. Edisi terakhir kitab ini diusahakan oleh cucunya yang bernama Haji Wan Abdul Qadir Daud al-Kalantani. Dari edisi yang terakhir ini, kitab ini terus dicetak dan masih beredar di pasaran kitab sehingga kini.
4. Majma'ul Qashaid wal `Awaid. Kitab ini diselesaikan pada tahun 1320 Hijrah/1902 Masihi. Kandungannya terdiri dari kumpulan pelbagai qasidah. Cetakan pertama dilakukan oleh Mathba'ah al-Miriyah, Makkah pada tahun 1321 Hijrah.
5. Ilmu Perubatan, ditulis dalam bahasa Arab dan bahasa Melayu, tidak dicetak dan masih dalam bentuk manuskrip.[7]
Anak-anak Syeikh Wan Ali Kutan semuanya alim-alim belaka baik lelaki mahupun perempuan. Anaknya yang perempuan iaitu Wan Fatimah sangatlah alim. Wan Fatimah berkahwin dengan sepupunya yang juga merupakan seorang ulama besar yang bernama Syeikh Daud bin Ismail al-Fathani atau dikenali dengan panggilan Tok Daud Katib Kelantan. Wan Fatimah tidak menghasilkan penulisan tetapi bertanggungjawab terhadap penerbitan karya-karya ayahandanya dan juga mengijazahkan amalan-amalan yang termaktub dalam kitab Lum'atul Aurad karya ayahandanya itu. Anak-anak Wan Fatimah dan Tok Daud Katib iaitu Wan Abdul Qadir dan Tuan Guru Haji Mahmud juga merupakan ulama besar Alam Melayu. Wan Abdul Qadir sangat kuat mengamalkan wirid. Beliau mengamalkan wirid setiap hari sesudah Subuh hinggalah selesai solat Dhuha. Beliau mengamalkan wirid-wirid yang termaktub dalam Lum'atul Aurad yang disusun oleh datuknya, Syeikh Wan Ali Kutan yang mana amalan-amalan itu diterima ijazah daripada ibunya sendiri, iaitu Wan Fatimah binti Syeikh Wan Ali Kutan. Wan Abdul Qadir pula telah mengijazahkan amalan tersebut kepada ramai orang di Malaysia, Patani, Sumatera dan Makkah. Tuan Guru Haji Mahmud pula pernah dilantik menjadi anggota Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, menjadi guru di Ma'ahad Al-Muhammadi dan menjadi penulis dalam majalah Pengasuh serta pernah mengarang beberapa buah buku. Antara karangannya ialah Kerana Kemerdehekaan atau Dasar Setia Merusakkan Kerajaan yang diselesaikannya di Kota Bharu, Kelantan pada 13 Rabiulakhir 1358 H/1 Jun 1939 M[8] dan Siasat Perniagaan atau Kaedah dan Peraturan Berjual Beli[9].
Anak-anak perempuan Syeikh Wan Ali Kutan yang lain ialah Wan Maryam binti Syeikh Wan Ali Kutan yang berkahwin dengan ulama besar yang bernama Syeikh Abdullah bin Syeikh Nik Mat Kecik al- Fathani dan Wan Shafiyah binti Syeikh Wan Ali Kutan yang berkahwin dengan ulama besar bernama Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani yang pernah menjadi Hakim Mahkamah Syarie di Makkah pada zamannya.
Anak lelaki Syeikh Wan Ali Kutan yang bernama Wan Abdur Rahman juga seorang ulama besar dizamannya. Beliau merupakan sahabat karib kepada Datuk Nik Mahmud, Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan. Wan Abdur Rahman menghasilkan tiga buah karangan iaitu,
1. Seribu satu Malam. Karya ini atas permintaan Datuk Nik Mahmud, Perdana Menteri Paduka Kelantan.
2. Syair Sifat Dua Puluh, iaitu digubah dalam 50 bait syair dalam bahasa Melayu.
3. Syair Nasihat, digubah dalam 40 bait, juga dalam bahasa Melayu[10]







[1] Adik-beradiknya yang lain ialah Haji Wan Seman, Wan Bulat, Wan Hawa, Wan Kaltsum dan Wan Siti Hajar.
[2] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2004. Syeikh Wan Ali Kutan - Guru para ulama Melayu. Utusan Malaysia. Terbit pada 27 September 2004. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0927&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive
[3] Syeikh Ahmad al-Fathani mencatat tahun kelahiran ayahnya itu pada tahun 1233 Hijrah/ 1817 Masihi
[4] Salasilah isteri Syeikh Wan Ali Kutan berketurunan Syeikh Shafiyuddin al-Abbasi, keturunan Bani Abbas melalui Khalifah Mu'tasim Billah. Keturunan tersebut telah lama tinggal di Aceh dan selanjutnya Syeikh Shafiyuddin al-Abbasi berpindah ke Patani. Beliau bersama sahabatnya, Syeikh Muhammad Sa'id telah berhasil mengislamkan Raja Antira, Raja Patani.
[5] Ini disebut dalam kitabnya yang sangat masyhur yang bernama Lum’atul Aurad. Dalam rangkaian sanad dalam kitab itu, disebut bahawa Syeikh Abdus Shamad Pulau Condong menerima ijazah tersebut daripada Syeikh Abdullah bin Muhammad Saleh, beliau menerima daripada ayahnya Syeikh Muhammad Saleh bin Abdur Rahman al-Fathani, beliau pula menerima daripada Syeikh Muhammad Saleh bin Ibrahim Mufti Syafi'ie di Mekah pada zamannya. Silsilah ini bersambung terus hingga kepada pengamal pertama Hizbul Bahri, iaitu Wali Allah Syeikh Abil Hasan asy-Syazili. Syeikh Wan Ali al-Kalantani termasuk pengikut Thariqat Syaziliyah yang sanad/silsilahnya bersambung daripada Syeikh Abil Hasan asy-Syazili hingga kepada Rasulullah s.a.w.
[6] dinisbahkan kepada Sayid Ahmad bin Idris
[7] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2004. Syeikh Wan Ali Kutan - Guru para ulama Melayu. Utusan Malaysia. Terbit pada 27 September 2004. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0927&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive
[8] Kandungannya membicarakan sebab-sebab kejatuhan pemerintahan Turki-'Utsmaniyah pada tahun 1914 M-1918 M. Buku ini dicetak oleh Mustafa Press, Kelantan pada tahun 1939 M.
[9] Buku ini pernah dicetak oleh Mustafa Press, Kelantan pada tahun 1952 M.
[10] Menurut almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir, ketiga-tiga karya Wan Abdur Rahman bin Syeikh Wan Ali Kutan al-Kalantani itu masih dalam bentuk manuskrip, asli tulisan tangan beliau, dan belum ditemukan yang berupa salinan. Rujuk tulisan Wan Mohd Saghir Abdullah. 2005. Wan Fatimah al-Kalantani - Wanita Melayu alim di Mekah. Utusan Malaysia. Terbit pada 25 Julai 2005. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0725&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive

Thursday, July 16, 2009

Syeikh Muhammad Zainuddin Ulama Besar asal Sumbawa

Kitab Sirajul Huda merupakan sebuah kitab lama dalam bidang tauhid yang masih lagi berlegar dipasaran kitab dan disyarah di masjid atau surau. Kitab ini telah dikarang oleh seorang ulama asal dari Sumbawa yang bernama Syeikh Muhammad Zainuddin bin Muhammad Badawi as-Sumbawi. Syeikh Muhammad Zainuddin ialah salah seorang dari dua ulama ternama asal Sumbawa yang pernah mengajar di Masjidil Haram Makkah. Seorang lagi ulama besar Sumbawa ialah Syeikh Muhammad Ali bin Abdur Rasyid bin Abdullah Qadhi as-Sumbawi. Kata almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir, Menurut tradisi pengajian pondok di alam Melayu, kitab Sirajul Huda biasanya dibaca sesudah menamatkan kitab Faridatul Faraid. Apabila sudah cukup memahami kitab Faridatul Faraid barulah memasuki kitab Sirajul Huda. Tetapi ada juga pondok yang mendahulukan Sirajul Huda kemudian baru mengajar Faridatul Faraid. Sesudah kedua-dua kitab itu, yang dipandang sebagai asas ilmu tauhid, barulah memasuki kitab Ad-Durruts Tsamin. Setelah ketiga-tiga kitab itu betul-betul difahami dengan kukuh, asas Ahli Sunah wal Jamaah metod Syeikh Abu Mansur al-Maturidi tidak berganjak lagi, maka mereka akan memasuki kitab-kitab akidah yang lebih berat seumpama ad-Durun Nafis karya Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari dan lain-lain.[1] Berdasarkan kenyataan almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir itu, dapatlah disimpulkan bahawa kitab Sirajul Huda adalah kitab yang diajar diperingkat asas dan pertengahan dalam bidang tauhid. Ini adalah kerana kitab ini ada diajar diperingkat awal iaiatu sebagai permulaan teks dalam bidang tauhid atau di peringkat pertengahan iaitu selepas teks tauhid peringkat permulaan seperti Faridatul Faraid dikhatam.
Tentang hayat hidupnya, almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir menyatakan bahawa Syeikh Muhammad Zainuddin hidup sezaman dengan Syeikh Nawawi al-Bantani tetapi lebih tua daripada Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani (1272H/1856M-1325H/1908M). Syeikh Ahmad al-Fathani pula sempat belajar dengan Syeikh Nawawi al-Bantani itu dan ada kemungkinan Syeikh Ahmad al-Fathani pula pernah belajar kepada Syeikh Muhammad Zainuddin as-Sumbawi.[2]
Tentang guru-gurunya pula, almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir menukilkan seperti berikut,
Dari beberapa salasilah keilmuan yang ditulis oleh Syeikh Muhammad Yasin al-Fadani (Padang), dapat diambil kesimpulan bahawa Syeikh Muhammad Zainuddin Sumbawa adalah peringkat murid kepada Syeikh Nawawi al-Bantani (1230H/1814M - 1312H/ 1897M) dan peringkat guru kepada Syeikh Mukhtar bin 'Atarid al-Bughri(Bogor) (1278H/1860M - 1349H/1930M). Berdasarkan tulisan Syeikh Muhammad Azhari al-Falimbani dalam beberapa karyanya di antaranya Badi’uz Zaman, bahawa beliau menerima Tarekat Qadiriyah daripada Syeikh Muhammad Zainuddin as-Sumbawi. Syeikh Muhammad Zainuddin as-Sumbawi menerima baiah daripada Syeikh Muhammad Mukrim, Mufti Hamad di negeri Syam.[3]
Syeikh Muhammad Zainuddin juga diriwayatkan pernah menjadi khalifah Tariqat Qadiriyah. Ini berdasarkan catatan almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir lagi, katanya,
Apabila kita semak tulisan Syeikh Muhammad Azhari al-Falimbani itu, dengan jelas beliau sebut bahawa Syeikh Muhammad Zainuddin as-Sumbawi adalah Khalifah Tarekat Qadiriyah, iaitu tarekat yang dinisbahkan kepada Syeikh Abdul Qadir al-Jilani. Ini bererti kemunculan beliau seolah-olah setaraf dengan Syeikh Abdul Karim al-Bantani yang menjadi Khalifah Tarekat Qadiriyah yang dilantik gurunya yang dianggap mursyid kamil mukammil dalam tarekat itu iaitu Syeikh Ahmad Khatib Sambas.[4]
Ulama-ulama besar yang pernah menadah kitab kepada Syeikh Muhammad Zainuddin ialah
1. Syeikh Mukhtar bin ‘Atarid Bogor. Ulama ini pernah mengajar di Masjidil Haram dan menghasilkan beberapa karya besar. Beliau sangat kuat mengamalkan zikir termasuk zikir-zikir jenis Tariqat Qadiriyah dan Tariqat Naqsyabandiyah.
2. Syeikh Muhammad Azhari al-Falimbani. Selain dari menghasilkan beberapa karya tulis besar, ulama ini turut dikenali sebagai seorang yang bertanggungjawab menyebarkan Thariqat Sammaniyah-Khalwatiyah ditempat-tempat yang disinggahinya.
3. Kiyai Muhammad Khalil bin Abdul Lathif al-Maduri. Ulama ini melahirkan ramai ulama besar di Pulau Jawa seperti Kiyai Haji Hasyim Asy'ari (pendiri Pondok-pesantren Tebuireng, Jombang, dan pengasas Nahdhatul Ulama atau singkatannya NU), Kiyai Haji Abdul Wahhab Hasbullah (pendiri Pondok-pesantren Tambakberas, Jombang), Kiyai Haji Bisri Syansuri (pendiri Pondok-pesantren Denanyar), Kiyai Haji Ma'shum (pendiri Pondok-pesantren Lasem, Rembang, adalah ayahanda Kiyai Haji Ali Ma'shum), Kiyai Haji Bisri Mustofa (pendiri Pondok-pesantren Rembang), Kiyai Haji As'ad Syamsul `Arifin (pengasuh Pondok-pesantren Asembagus, Situbondo) dan Kiyai Haji Fathul Bari (penyebar Thariqat Naqsyabandiyah Ahmadiyah Muzhariyah). Kiyai Haji Fathul Bari mempunyai murid yang sangat ramai di Madura, Jawa dan Kalimantan Barat.
4. Syeikh Ali bin Abdullah al-Banjari. Ulama besar ini mempunyai salasilah keturunan Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari, seorang ulama terkemuka Alam Melayu abad ke-18. Beliau pernah mengajar di Masjidil Haram Makkah.
5. Syeikh Khalid bin Utsman al-Makhla az-Zubaidi.
6. Syeikh Abdul Hamid Kudus
7. Syeikh Mahfuz bin Abdullah at-Tarmisi (Termas, Jawa)
Kitab-kitabnya yang berjaya dikesan seperti yang disebut oleh almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir ialah
1. Sirajul Huda ila Bayani ‘Aqaidit Taqwa.Judulnya seperti yang diterjemahkan sendiri oleh Syeikh Muhammad Zainuddin ialah Pelita Petunjuk Kepada Menyatakan Segala Simpulan Segala Ahli Takwa. Kitab ini tidak dinyatakan tarikh bila ia diselesaikan.Terdapat berbagai-bagai edisi cetakan dan sampai sekarang masih beredar di pasaran kitab. Kitab ini dianggap antara kitab bidang tauhid yang paling banyak dijadikan teks pengajian di masjid atau surau.
2. Minhajus Salam fi Tafsil ma yata’allaqu bil Iman wal Islam. Kitab ini juga tidak tercatat bila penulisannya diselesaikan. Kitab ini pernah dicetak dalam beberapa edisi tetapi pada masa ini, kitab ini sangat sukar didapati dipasaran.
3. Waraqatun Qalilatun fi Manasikil Hajji wal ‘Umrah ‘ala Mazhab al-Imam asy-Syafie. Tidak terdapat kenyataan tarikh penulisan kitab ini diselesaikan. Kitab ini dicetak dalam Majmuk Kaifiyat Khatam al-Quran yang dinyatakan sebagai karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Dicetak dalam berbagai-bagai edisi cetakan baik di Timur Tengah mahupun dicetak di dunia Melayu.
4. Tuhfatul Qudsiyah. Maklumat tentang kitab ini adalah berdasarkan karya Syeikh Muhammad Azhari al-Falimbani di dalam Badi’uz Zaman. Kemungkinan besar kitab ini sudah tidak dapat ditemui lagi.[5]





[1] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2007. Syeikh Muhammad Zainuddin As-Sumbawi pengarang Sirajul Huda. Utusan Malaysia. Terbit pada 26 Februari 2007. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0226&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive
[2] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2007. Syeikh Muhammad Zainuddin As-Sumbawi pengarang Sirajul Huda. Utusan Malaysia. Terbit pada 26 Februari 2007. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0226&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive
[3] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2007. Syeikh Muhammad Zainuddin As-Sumbawi pengarang Sirajul Huda. Utusan Malaysia. Terbit pada 26 Februari 2007. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0226&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive
[4] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2007. Syeikh Muhammad Zainuddin As-Sumbawi pengarang Sirajul Huda. Utusan Malaysia. Terbit pada 26 Februari 2007. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0226&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive
[5] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2007. Syeikh Muhammad Zainuddin As-Sumbawi pengarang Sirajul Huda. Utusan Malaysia. Terbit pada 26 Februari 2007. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0226&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive

Syeikh Ahmad Yunus, Ulama Besar asal Lingga

Salah satu kitab lama yang masih berlegar dipasaran dan disyarah di masjid dan surau ialah Daqaiqul Akbar. Kitab ini ditulis oleh seorang ulama yang berasal dari Pulau Lingga. Pulau ini terletak didalam Kepulauan Riau yang satu masa dahulu diperintah oleh Kerajaan Kesultanan Riau-Lingga. Kesultanan Riau-Lingga adalahkerajaan Islam yang merupakan pecahan dari Kesultanan Johor. Kesultanan ini dibentuk berdasarkan perjanjian antara Inggeris dan Belanda pada tahun 1824 dimana Sultan Abdul Rahman Muadzam Syah menjadi sultan yang pertama. Kesultanan ini kemudiannya dihapuskan oleh pemerintah kolonial Belanda pada 3 Februari 1911.



Kedudukan Pulau Lingga yang terletak antara Semenanjung Tanah Melayu dengan Pulau Sumatera


Nama ulama tersebut ialah al-'Alim al-'Allamah asy-Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga. Asal-usulnya diriwayatkan dari Kelantan. Menurut almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir, Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga mempunyai dua orang adik bernama Abdul Hamid dan Ibrahim.[1] Abdul Hamid adalah seorang ulama yang mempunyai dua orang anak, iaitu Ahmad dan Muhammad, manakala Ibrahim tidak mempunyai anak. Beliau mendapat pendidikan awal di Pondok Bendang Daya, Patani. Selepas itu beliau melannjutkan pelajaran ke Makkah. Di Makkah beliau menimba ilmu dengan Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan (1231 H/1815 M-1304 H/1886 M), Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki (wafat pada 10 Jamadilawal 1335 H), Saiyid Ahmad an-Nahrawi dan ramai lagi. Syeikh Ahmad juga dikatakan mendalami kaedah bahasa Melayu dan sejarah ketika tinggal di Riau-Lingga.[2] Syeikh Ahmad merupakan salah seorang ulama besar Melayu di zamannya yang pernah mengajar di Makkah dan berjaya melahirkan ramai ulama-ulama besar selepasnya. Antara ulama besar yang pernah menadah kitab kepadanya ialah
1. Syeikh 'Utsman Sarawak dan anaknya Syeikh Muhammad Zainuddin Sarawak. Menerusi catatan Syeikh Muhammad Zainuddin Sarawak, dapatlah diketahui bahawa Syeikh Ahmad merupakan seorang yang sangat mahir dalam ilmu bahasa Melayu sehingga digelar Qus Bahasa Melayu. Seperti yang dicatat oleh almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir,
Syeikh Muhammad Zainuddin as-Sarawaqi menulis, "...Asy-Syeikh yang alim, yang sampai kepada kepandaiannya ialah seperti Qus pada masanya tentang bahasa Melayu, iaitu seorang yang cerdik pada orang-orang Arab yang memegang tali lagam segala ilmu adab. Orang yang berkhidmat akan Tuhannya terlampau cermat dan jaga, iaitu Asy-Syeikh Ahmad orang Lingga ..."
2. Qadhi Abu Bakar bin Hasan, ulama besar yang berasal dari Muar, Johor. Beliau banyak menulis catatan tentang Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga. Beliau tidak pernah lupa mencatat tarikh mula belajar dan selesai kitab- kitab yang dipelajari dan dikhatamnya daripada Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga. Menerusi catatan Qadhi Abu Bakar ini, dapatlah diketahui Syeikh Ahmad juga merupakan ahli dalam ilmu hadith. Ini berdasarkan catatan Qadhi Abu Bakar yang menyebut bahawa di antara kitab hadith yang diajar oleh Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga ialah kitab Sahih Bukhari dan kitab-kitab hadith selainnya yang dikenali dengan Kitab as-Sittah.
3. Abdullah Fahim (datuk kepada mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi)
4. Tok Kenali (ulama besar di Kelantan)
5. Kiyai Hasyim Asy'ari (pendiri Nahdatul Ulama di Indonesia)[3]
Antara ulama besar Alam Melayu yang menjadi sahabatnya ialah seperti
1. Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani (1272 H/ 1856 M-1325 H-1908 M). Syeikh Ahmad al-Fathani mengakui keilmuan Syeikh Ahmad apabila memasukkan namanya sebagai ahli pentashhih kitab Melayu/Jawi.
2. Syeikh Ahmad Khatib bin Lathif Minangkabau (1276 H/1860 M-1334 H/1916 M),
3. Syeikh 'Utsman bin Syihabuddin al-Funtiani
Selain mengajar, Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga turut menguruskan jemaah haji menunaikan fardhu tersebut di Makkah. Sebahagian besar jemaah haji yang datang dari Kepulauan Riau, Johor, Pahang, Terengganu dan Selangor diurus oleh Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga.
Seperti yang disebut oleh almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir, karya Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga yang telah dijumpai hanya empat iaitu:
1. Daqaiq al-Akhbar fi Zikri al-Jannah wa an-Nar. Inilah kitab Syeikh Ahmad yang sangat terkenal dan masih lagi disyarah dengan meluas di masjid dan surau. Kandungannya merupakan karya terjemahan kitab Daqaiq al-Akhbar fi Zikri al-Jannah wa an-Nar dalam bahasa Arab yang pertama sekali diterjemahkan ke bahasa Melayu. Kitab ini menceritakan kejadian alam ghaib terutama tentang syurga dan neraka. Gaya penulisan Syeikh Ahmad yang tersendiri menyebabkan si pembacanya menjadi asyik lalu merangsang agar berusaha menyiapkan bekal untuk akhirat dan meninggalkan pelbagai bentuk dosa yang dilarang oleh Allah dan Rasul-Nya. Kitab ini diselesaikan pada hari Selasa, 20 Muharam 1312 H, di Makkah. Cetakan yang pertama dikeluarkan oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Makkah pada bulan Jamadilakhir 1312 H. Kitab ini dicetak atas usaha Syeikh Ismail Aceh.
2. Ats-Tsimar al-Lazizah 'ala ar-Riyadh al-Badi'ah. Syeikh Ahmad menterjemahkan judulnya seperti berikut, Segala Buah Kayu Yang Sedap-Sedap Atas Segala Kebun Yang Indah-indah. Kandungannya dimulai dengan pembicaraan akidah. Kandungan utama ialah feqah bahagian ibadat menurut Mazhab Syafie. Pada bahagian akhir ada dibicarakan perkara sumpah dan nazar, ziarah Rasulullah s.a.w. dan zikrullah. Kitab ini diselesaikan pada 21 Safar 1312 H. Kitab ini pernah dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Makkah pada 1322 H dan Mathba'ah Dar Ihya' Kutub al-'Arabiyah pada bulan Safar 1344 H.
3. Nasihat al-Ahli al-Wafa ila Washiyat al-Mushthafa. Kandungan kitab ini merupakan terjemahan hadith wasiat Nabi Muhammad s.a.w. kepada Saidina Ali k.w. Kitab ini diselesaikan pada hari Sabtu, pukul 9.30, 11 Syawal 1312 H, di Makkah. Kitab ini pernah dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah di Makkah pada tahun 1323 H.
4. Hadiqah ar-Raihan fi Qishshah Saidina Sulaiman. Kandungannya mengenai kisah Nabi Sulaiman a.s. Karya ini dapat dikategorikan dalam sastera klasik Melayu-Islam. Kitab ini diselesaikan pada 24 Jamadilawal 1313 H di Makkah dan pernah dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah di Mekah pada awal Muharam 1324 H.[4]
Kemungkinan besar ada banyak kitab yang ditulis oleh Syeikh Ahmad tapi tidak berjaya dikesan. Ini berdasarkan kekerapan beliau menulis dalam tempoh setahun. Sebagai contoh empat kitab yang disebut diatas ditulis dalam tempoh setahun sahaja iaitu dari tahun 1312 hingga 1313 Hijrah. Sekiranya beliau menulis dalam tempoh 20 tahun, mungkin berpuluh kitab telah dihasilkannya.



[1] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2005. Syeikh Ahmad Yunus Lingga - Pakar bahasa Melayu di Mekah. Utusan Malaysia. Terbit pada 7 November 2005. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1107&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive
[2]Kerajaan Riau-Lingga seperti diketahui umum adalah merupakan pusat tamadun Melayu dan Islam pada kurun ke 19 Masehi. Perkembangan budaya, bahasa dan sastera di Riau-Lingga tersebar ke serata ceruk dan rantau dunia Melayu. Ketokohan beberapa orang pengarang yang berasal dari sana, terutamanya Raja Ali Haji begitu ketara sepanjang zaman itu.

[3] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2005. Syeikh Ahmad Yunus Lingga - Pakar bahasa Melayu di Mekah. Utusan Malaysia. Terbit pada 7 November 2005. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1107&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive
[4] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2005. Syeikh Ahmad Yunus Lingga - Pakar bahasa Melayu di Mekah. Utusan Malaysia. Terbit pada 7 November 2005. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1107&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive

Monday, July 13, 2009

Tuan Tabal dan warisnya yang menjadi ulama terkenal


Nama sebenarnya ialah Haji Abdus Shamad bin Muhammad Saleh Tabal al-Fathani al-Kalantani. Beliau digelar Tabal kerana mengambil nama tempat beliau berasal iaitu Tabal[1]. Tentang tahun beliau dilahirkan, Nik Abdul Aziz bin Haji Nik Hassan dalam buku Sejarah Perkembangan Ulama Kelantan menyebut bahawa Tuan Tabal lahir pada tahun 1840 Masihi.[2] Hamdan Hassan dalam bukunya Tarekat Ahmadiyah di Malaysia Suatu Analisa Fakta Secara Ilmiah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1990 juga menggunakan tahun yang sama.[3] Namun almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir berasa ragu dengan tahun tersebut berdasarkan kepada tahun kitab-kitab yang ditulis olehnya. Katanya, Tulisan terawal Tuan Tabal ialah Munabbihul Ghafilin yang beliau selesaikan dalam tahun 1285 Hijrah yang jika dijadikan tahun Masihi lebih kurang tahun 1868 Masihi, bererti ketika itu Tuan Tabal baru berusia 28 tahun. Kitab yang tersebut itu walaupun nipis sahaja, namun mencorakkan falsafah mistik peringkat tinggi, yang menurut tradisi ulama dunia Melayu, ilmu tasawuf semacam itu tidak pernah ditulis oleh orang-orang yang berumur 28 tahun. Walaupun mereka menguasai ilmu tasawuf, namun mereka lebih suka menulis ilmu-ilmu yang bercorak zahir saja. Oleh sebab hal-hal yang tersebut di atas tahun 1840 Masihi itu perlu penyelidikan lebih lanjut.[4] Mohammad Redzuan dalam tulisannya pula menyebut bahawa Tuan Tabal dilahirkan pada tahun 1819.[5]
Setelah memperoleh ilmu di Patani, Tuan Tabal melanjutkan pelajarannya ke Makkah. Tuan Tabal menerima Tariqat Ahmadiyah daripada Sidi Syeikh Ibrahim ar-Rasyidi bersama-sama dengan Syeikh Wan Ali Kutan dan Syeikh Ahmad al-Fathani. Sidi Syeikh Ibrahim ar-Rasyidi adalah murid kepada Sidi Ahmad Idris yang dinisbahkan namanya kepada Tariqat Ahmadiyah itu. Kata almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir, oleh sebab Tuan Tabal pulang ke Kelantan sedangkan Syeikh Wan Ali Kutan dan Syeikh Ahmad al-Fathani tetap tinggal di Makkah, maka dipercayai Tuan Tabal adalah orang pertama menyebarkan tariqat tersebut di Kelantan dan sekitarnya, atau tempat-tempat lain di Nusantara.[6]
Seperti yang dinyatakan oleh almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir, karya Tuan Tabal yang dapat dikesan ialah 8 buah iaitu,
1. Munabbihul Ghafilin. Kitab ini diselesaikan pada hari Sabtu, 2 Muharam 1285 Hijrah/ 1868 Masihi. Kandungannya membicarakan tasawuf yang merupakan petikan daripada kitab Ihya Ulumuddin dan Masyariqul Anwar.
2. Jalalul Qulub bi Zikrillah. Kitab ini diselesaikan pada waktu Zuhur, hari Rabu, 18 Muharam 1287 Hijrah/1870 Masihi. Kandungannya juga mengenai tasawuf. Cetakan pertama oleh Majlis Ugama Islam Kelantan, 29 Zulhijjah 1254 Hijrah/ 1935 Masihi. Cetakan yang kedua, Mathba'ah al-Kamaliyah, Kota Bharu, Kelantan. Kitab ini diberi kata pendahuluan oleh Tuan Guru Haji Nik Daud bin Ahmad Jambu, di Bukit Rahmah Tanah Merah, Kelantan.
3. Kifayatul `Awam fima Yajibu `alaihim min Umuril Islam. Kitab ini diselesaikan pada 14 Safar 1295 Hijrah/1878 Masihi.
4. Mun-yatu Ahlil Auwab fi Bayanit Taubah. Kitab ini pernah diterbit oleh Mustafa Press, Kota Bharu (tanpa tahun).
5. Bab Harap, dicetak oleh Mathba'ah al-Kamaliyah, Kota Bharu pada 1359 Hijrah/ 1940 Masihi.
6. Bidayatu Ta'limil `Awam fi Tarafi min Arkanil Islam. Kitab ini diselesaikan tanpa menyebut tarikh. Pernah dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah, Makkah, 1323 Hijrah/1906 Masihi. Cetakan kelima oleh Mathba'ah al-Kamaliyah, Kota Bharu.
7. Manhatul Qaribil Mujib wa Mughnir Raghibin fit Taqrib. Kitab ini diselesaikan pada Jumaat, 10 Zulhijjah 1300 Hijrah/1882 Masihi. Kandungan kitab ini ialah usuluddin, fikah dan tasawuf. Tetapi yang terpenting ialah fikah. Cetakan yang kedua oleh Mathba'ah al-Kamaliyah, Kota Bharu, 1354 Hijrah/ 1935 Masihi. Kitab ini adalah karya Tuan Tabal yang paling tebal iaitu setebal 327 halaman.
8. Mun-yatul Muridin fi Ba'dhi Ausafi Saiyidil Mursalin. Kitab ini pernah diterbitkan oleh Mathba'ah al-Kamaliyah, Kota Bharu, 1345 Hijrah/1926 Masihi.[7]
Tuan Tabal meninggal dunia pada tahun 1891.[8] Menurut tulisan Dr Abdul Rahman Abdullah, setelah beliau meninggal, penyebaran tariqat Ahmadiyah telah dilakukan oleh anak-anaknya, Haji Wan Musa dan Haji Wan Abdullah.[9] Haji Wan Musa mengajar tariqat tersebut secara terbuka di Jalan Merbau manakala Haji Wan Abdullah mengajar tariqat tersebut di surau Tuan Tabal, Lorong Tok Semian.[10] Selepas Haji Wan Musa meninggal dunia, Tariqat Ahmadiyah di kawasan Kota Bharu kemudiannya dipimpin oleh anak Haji Wan Abdullah iaitu Haji Abdul Rahman.[11] Haji Abdul Rahman dikatakan ada mengarang beberapa buah kitab.[12]
Anak-anak Tuan Tabal yang menjadi ulama terkenal ialah Haji Wan Muhammad, Haji Wan Musa dan Haji Wan Abdullah. Anak sulung Tuan Tabal ialah Haji Wan Muhammad bin Tuan Tabal al-Kalantani, lahir di Kota Bharu, Kelantan, pada malam Jumaat, 5 Rejab 1287 H/1 Oktober 1870 M. Beliau meninggal dunia pada malam Rabu, 27 Rabiulawal 1339 H/8 Disember 1920 M juga di Kota Bharu. Haji Wan Muhammad mendapat pendidikan awal daripada ayahnya sendiri. Kemudian beliau dibawa oleh ayahnya ke Makkah pada tahun 1294 ketika usianya baru 7 tahun untuk menimba ilmu. Haji Wan Muhammad dikenali sebagai ulama yang kuat mengamalkan tariqat. Antara ijazah tariqat yang diterimanya ialah tariqat Syathariyah dan Qadiriyah-Naqsyabandiyah. Dalam salinan naskhah Thariqat Syathariyah, ada disebut bahawa beliau, Al-Haji Muhammad bin Abdus Shamad Kelantan ditalqin atau dibai’ah oleh Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani[13]. Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani ditalqin atau dibaiah oleh Syeikh ‘Ali bin Ishaq al-Fathani. Syeikh ‘Ali bin Ishaq al-Fathani ditalqin atau dibai’ah oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Dan seterusnya kepada yang lebih ke atas. Tentang tariqat Qadiriyah-Maqsyabandiyah, almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir menyebut seperti berikut,
Aada pun pada bahagian Thariqat Qadiriyah-Naqsyabandiyah, Haji Muhammad bin Abdus Shamad Kelantan tidak menyebut nama gurunya, melainkan langsung saja menyebut salasilah mulai dari Syeikh Ahmad Khathib Sambas, tulisannya, “Adapun salasilah dua tarekat ini, maka terhimpun pada Salasilah Qadiriyah, iaitu Syeikh Ahmad Khathib bin al-Marhum Abdul Ghaffar al-Jawi Sambas. Ia mengambil daripada Saiyid Syamsuddin ...”, dan seterusnya hingga ke atas. Kemungkinan Haji Muhammad bin Abdus Shamad Kelantan sempat menerima tarekat itu langsung kepada Syeikh Ahmad Khathib Sambas, kerana ulama Sambas tersebut adalah seangkatan dengan Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani.[14]
Haji Wan Muhammad Kelantan juga beramal dengan Tariqat Ahmadiyah Idrisiyah[15] yang berasal daripada Syeikh Ahmad bin Idris dan tariqat Syaziliyah berdasarkan Hizib al-Bahr yang diamalkannya yang salasilah sanadnya bersambungan hingga kepada Rasulullah saw. Di Makkah, Haji Wan Muhammad Kelantan belajar kepada ulama-ulama Melayu yang sangat iaitu Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani[16], Syeikh Wan Ali Kutan[17] dan Syeikh Ahmad al-Fathani[18]. Dari Syeikh Wan Ali Kutanlah, beliau menerima ijazah Hizib al-Bahr yang sanadnya bersambung hinggalah yang pertama mengamalkannya, iaitu Syeikh Abi Hasan asy-Syazili.
Menurut almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir, Haji Wan Muhammad dilantik menjadi mufti selepas adiknya iaitu Haji Wan Musa. Haji Wan Muhammad dilantik pada 22 Syawal 1334 H/21 Ogos 1916 M sedangkan adiknya pada 10 Rejab 1327 H/27 Julai 1909 M. Sebelum dilantik menjadi Mufti Kelantan, Haji Wan Muhammad bin Tuan Tabal pernah dilantik oleh Sultan Mansur menjadi Imam Masjid Kota Bharu pada 15 Jamadilakhir 1314 H. Pada 30 Muharam 1334 H/7 Disember 1915 M Haji Wan Muhammad bin Tuan Tabal dilantik menjadi ahli Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan. Setelah itu dilantik pula menjadi Hakim Mahkamah Syariah Kota Bharu, pada 26 Safar 1334 H/2 Januari 1916 M. Beberapa bulan selepas tarikh tersebut barulah beliau dilantik menjadi Mufti Kelantan. Selain pelantikan-pelantikan yang tersebut Haji Wan Muhammad juga pernah dilantik menjadi Ketua Dewan Ulama Kelantan pada 27 Mei 1918 M. Dilantik pula menjadi ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Kelantan oleh Sutan Muhammad IV, pada 27 September 1919 M.[19]
Anak Tuan Tabal yang berikutnya ialah Haji Wan Musa. Beliau lahir pada tahun 1291H bersamaan dengan 1874M. Beliau meninggal dunia pada hari Sabtu, 24 Zulkaedah 1357H bersamaan dengan 14 Januari 1939M. Haji Wan Musa adalah seorang ulama yang sangat gemar mendalami ilmu pengetahuan. Diriwayatkan bahawa beliau memiliki pelbagai jenis kitab ilmu pengetahuan. Dikatakan bahawa Haji Wan Musa selalu menabung wangnya untuk menambah jumlah kitab yang dimilikinya. Diriwayatkan bahawa Haji Wan Musa adalah seorang yang sangat berpegang teguh dan beramal dengan Tariqat Ahmadiyah. Seperti yang disebut oleh almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir, dizaman Haji Wan Musa, pendapatnya pernah mencetuskan kontrversi tentang beberapa masalah hukum.[20] Antaranya ialah seperti lafaz Ushalli, masalah jilatan anjing, talqin, dan lain-lain. Kata almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir, khusus mengenai yang tersebut ini Haji Wan Musa ditentang oleh hampir keseluruhan ulama Kelantan termasuk Tengku Mahmud Zuhdi bin Tengku Abdur Rahman al-Fathani yang ketika itu sebagai Syeikh al-Islam Selangor. Sanggahan Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani terhadap Haji Wan Musa ditulis dalam kitab Tazkiyatul Anzhar wa Tashfiyatul Afkar (selesai ditulis pada 17 Muharam 1339H/30 September 1920M).[21] Walaubagaimanapun, Haji Wan Musa tetap berpegang kepada Mazhab Syafi’i malah mempertahankannya. Sebagai contoh tentang hukum zakat fitrah dan wakaf, Haji Wan Musa tetap berpegang seperti ulama-ulama Syafi’iyah yang lain yang berpendapat bahawa zakat fitrah mestilah segera dibahagikan kepada yang berhak menerimanya, tidak boleh digunakan untuk pembangunan walau untuk membina masjid sekali pun. Sesuatu yang dinamakan ‘wakaf’ tidak boleh diperjual belikan walau dengan alasan apa pun juga.[22] Haji Wan Musa berjaya melahirkan ramai ulama dan pendakwah yang disegani. Dengan mengadakan halaqat pengajian kitab di suraunya di Jalan Merbau, Kota Bharu, beliau berjaya melahirkan ramai ulama berkaliber seperti Hj. Saad Kangkong, Pak Su Wan Adam Kg. Laut, Hj. Mohd. Zain Meranti, Hj. Nik Mat Alim Pulau Melaka, Hj. Abdul Mannan Sumatera, Hj. Abdul Wahid Melaka, Hj.Ahmad Perak dan Hj. Ayyub Kemboja.
Seorang lagi anak Tuan Tabal yang menjadi ulama besar seperti yang disebut sebelum ini ialah Wan Abdullah. Haji Wan Abdullah bin Tuan Tabal lahir pada 1293 H/1877M, wafat Jamadilawal 1345 H/Disember 1926M. Beliau mendapat pendidikan awal daripada ayahnya sendiri, Tuan Tabal, di Kota Bharu Kelantan dan kemudian melanjutkan pelajarannya ke Makkah bersama abangnya, Wan Musa. Kedua adik beradik menadah kitab kepada dua ulama yang sangat terkenal pada waktu itu iaitu Syeikh Wan Ali Kutan dan Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Diriwayatkan bahawa Haji Wan Abdullah pernah menjadi khatib di Masjid Muhammadi sekitar dua tahun iaitu antara tahun 1916 hingga 1918 M. Beliau juga pernah menjadi Ahli Majlis Agama Islam Kelantan. Diriwayatkan juga bahawa Haji Wan Abdullah berpegang kukuh kepada fiqh Mazhab Syafie. Selain ahli dalam fiqh Mazhab Syafie, beliau juga berpengalaman luas dalam ilmu usuluddin dimana beliau mengikut Mazhab Ahli Sunah wal Jamaah aliran Imam Abu Hasan al-Asy'ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi. Haji Wan Abdullah mempunyai pengetahuan yang luas dan mendalam tentang ilmu tasawuf. Beliau dikatakan mengamalkan Tarigat Ahmadiyah sama seperti yang diamalkan oleh ayah beliau Tuan Tabal dan kedua-dua abangnya Mufti Haji Wan Muhammad dan Mufti Haji Wan Musa. Dari segi penulisan, Haji Wan Abdullah banyak menghasilkan penulisan tentang khutbah. Hasil penulisannya itu kemudiannya dikumpulkan oleh anak muridnya yang bernama Ismail bin Kecik bin Haji Awang Abu bin Haji Mahmudi al-Kalantani dan diberi judul judul Majmu' Khuthab al-Juma' al-Malayuwiyah li Tafhim man La Ya'rif al-'Arabiyah. Ismail bin Kecik Mahmudi al-Kalantani selesai menghimpun dan menyunting karya Haji Wan Abdullah yang tersebut pada hari Ahad, 5 Rabiulakhir 1343 H. Antara isi kandungan kitab ini ialah seperti hukum-hukum yang tertakluk dalam persekitaran khutbah, syarat-syaratnya, perkara-perkara sunat di hari Jumaat dan teks khutbah. Seperti yang dinukil oleh almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir, ada beberapa perkara yang menjadikan kitab ini sangat istimewa. Antaranya ialah seperti hukum berkata-kata ketika khatib membaca khutbah. Katanya, “Dan makruh berkata-kata pada tatkala khatib membaca khutbah pada Mazhab Imam kita Syafie. Ada pun pada mazhab imam yang lain haram berkata-kata pada ketika itu.” (Rujuk kitab Majmu' Khuthab di halaman 14).[23] Tentang perkara sunat pula, almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir memetik isi kitab tersebut dengan katanya, “Dan sunat memakai serban, kerana hadis bahawasanya Allah s.w.t. dan segala Malaikat-Nya selawat sekalian atas yang memakai serban hari Jumaat. Dan sunat memakai serban bagi sekalian sembahyang. Dan tersebut pada hadis satu sembahyang dengan memakai serban afdal daripada dua puluh lima sembahyang dengan tiada memakai serban ...” (Rujuk kitab Majmu' Khuthab di halaman. 16).[24] Dalam teks khutbah pula, Haji Wan Abdullah ada menyebut tentang kelebihan zikir pada hari raya. Seperti yang dipetik oleh almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir didalam kitab tersebut, “Tersebut di dalam hadis, Barang siapa berkata Subhanallah wa bi hamdih pada hari raya, 300 kali, dan dihadiahkan pahalanya kepada segala orang yang mati daripada segala orang yang Islam, nescaya masuklah pada tiap-tiap kubur mereka itu 1,000 cahaya. Dan Allah s.w.t menjadikan orang yang menghadiahnya pada kuburnya 1,000 cahaya, apabila ia mati.” (Rujuk kitab Majmu' Khuthab di halaman 83).[25]


[1] Satu wilayah didalam negara Thailand.
[2] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2004. Tuan Tabal - Penyebar Thariqat Ahmadiyah pertama di Nusantara. Utusan Malaysia. Terbit pada 4 Oktober 2004. Boleh rujuk disini, http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=1004&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive
[3] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2004. Tuan Tabal - Penyebar Thariqat Ahmadiyah pertama di Nusantara. Utusan Malaysia. Terbit pada 4 Oktober 2004. Boleh rujuk disini, http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=1004&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive
[4] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2004. Tuan Tabal - Penyebar Thariqat Ahmadiyah pertama di Nusantara. Utusan Malaysia. Terbit pada 4 Oktober 2004. Boleh rujuk disini, http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=1004&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive
[5] Mohammad Redzuan Othman. 1998. The Role of Makka-educated in the development of Early Islamic Scholarship and Education in Malaya. Journal of Islamic Studies 9:2. Hlm 150.
[6] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2004. Tuan Tabal - Penyebar Thariqat Ahmadiyah pertama di Nusantara. Utusan Malaysia. Terbit pada 4 Oktober 2004. Boleh rujuk disini, http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=1004&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive
[7] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2004. Tuan Tabal - Penyebar Thariqat Ahmadiyah pertama di Nusantara. Utusan Malaysia. Terbit pada 4 Oktober 2004. Boleh rujuk disini, http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=1004&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive
[8] Abdul Rahman Abdullah. 1997. Pemikiran Islam di Malaysia: sejarah dan aliran. Gema Insani Press. Jakarta. Hlm 55
[9] Abdul Rahman Abdullah. 1997. Pemikiran Islam di Malaysia: sejarah dan aliran. Gema Insani Press. Jakarta. Hlm 56
[10] Abdul Rahman Abdullah. 1997. Pemikiran Islam di Malaysia: sejarah dan aliran. Gema Insani Press. Jakarta. Hlm 56
[11] Abdul Rahman Abdullah. 1997. Pemikiran Islam di Malaysia: sejarah dan aliran. Gema Insani Press. Jakarta. Hlm 56
[12] Abdul Rahman Abdullah. 1997. Pemikiran Islam di Malaysia: sejarah dan aliran. Gema Insani Press. Jakarta. Hlm 56
[13] Haji Wan Muhammad menerima Thariqat Syathariyah dalam tahun 1294 H ketika beliau bersama-sama ayahnya, Tuan Tabal, menziarahi Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani yang dikatakan sebagai “Khalifah Pada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani”. Ulama lain yang menerima talqin dan baiah dari ulama besar ini ialah Syeikh Wan Ali Kutan, Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani dan Syeikh Ahmad al-Fathani
[14] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2006. Haji Wan Muhammad Al-Kalantani Mufti Kelantan yang ke-IV. Utusan Malaysia. Terbit pada 3 April 2006. Boleh rujuk disini, http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0403&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive
[15] Syeikh Wan Ali Kutan dan Syeikh Ahmad al-Fathani juga beramal dengan Tarekat Ahmadiyah Idrisiyah
[16] Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani berbiras dengan Syeikh Wan Ali Kutan, kerana terjadi perkahwinan dua orang anak antara kedua-duanya
[17] Syeikh Wan Ali Kutan adalah ayah saudaranya, iaitu adik kepada ibunya Wan Kaltsum
[18] Syeikh Ahmad al-Fathani pula adalah anak saudara isteri Syeikh Wan Ali Kutan. Isteri Syeikh Ahmad al-Fathani pula adalah anak saudara kepada Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani
[19] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2006. Haji Wan Muhammad Al-Kalantani Mufti Kelantan yang ke-IV. Utusan Malaysia. Terbit pada 3 April 2006. Boleh rujuk disini, http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0403&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive
[20] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2006. Haji Wan Musa Tuan Tabal pernah mengundang perdebatan hebat. Utusan Malaysia. Terbit pada 6 November 2006. Boleh rujuk disini, http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1106&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive
[21] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2006. Haji Wan Musa Tuan Tabal pernah mengundang perdebatan hebat. Utusan Malaysia. Terbit pada 6 November 2006. Boleh rujuk disini, http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1106&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive
[22] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2006. Haji Wan Musa Tuan Tabal pernah mengundang perdebatan hebat. Utusan Malaysia. Terbit pada 6 November 2006. Boleh rujuk disini, http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1106&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive
[23] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2006. Wan Abdullah Tuan Tabal khatib Kelantan. Utusan Malaysia. Terbit pada 30 Oktober 2006. Boleh rujuk disini, http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1030&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm&arc=hive
[24] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2006. Wan Abdullah Tuan Tabal khatib Kelantan. Utusan Malaysia. Terbit pada 30 Oktober 2006. Boleh rujuk disini, http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1030&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm&arc=hive

[25] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2006. Wan Abdullah Tuan Tabal khatib Kelantan. Utusan Malaysia. Terbit pada 30 Oktober 2006. Boleh rujuk disini, http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1030&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm&arc=hive

Monday, July 6, 2009

Tuan Minal Ulama Fathani berpengaruh di Pulau Pinang

Nama lengkapnya ialah Syeikh Wan Zainal Abidin bin Wan Muhammad al-Fathani bin Wan Muhammad Dahan bin Wan Syamsuddin bin Wan Ja'far bin Wan Husein bin Ali. Tuan Minal yang diriwayatkan berasal dari Kampung Anak Ru Patani mendapat pendidikan dari orang tuanya di kampung halaman sendiri. Beliau dikatakan pernah memasuki Pondok Bendang Daya Patani dan sempat berguru kepada pengasas pertamanya, iaitu Syeikh Haji Wan Mustafa bin Muhammad al-Fathani. Sahabat-sahabatnya terdiri dari ulama-ulama besar alam Melayu seperti Syeikh Wan Muhammad Zain al-Fathani (ayahanda Syeikh Ahmad al-Fathani), Syeikh Abdul Qadir al-Fathani (Tok Bendang Daya ke-2), Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, Syeikh Wan Ali Kutan al-Kalantani, Syeikh Jamaluddin Negeri Sembilan dan Haji Abdus Samad Kelumbung. Selain dari Syeikh Haji Wan Mustafa, guru beliau yang lain ialah seperti Syeikh Abdur Rasyid al-Fathani yang terkenal dengan gelaran Abdur Rasyid Keramat Pulau Bidan. Syeikh Muhammad Thaiyib bin Mas’ud al-Banjari dari Kedah dimana beliau menimba ilmu usuluddin[1] dan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani di Makkah. Kealimannya telah menyebabkan beliau diakui sebagai ulama besar dan digelar al-'Alim al-Allamah al- Mudaqqiq[2] al-Fahamah[3] Sirajuddin[4]. Menurut almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir, gelaran Tuan Minal yang lekat padanya berasal daripada serangkaian peristiwa yang pernah berlaku kepada beliau iaitu apabila beliau merasa marah dan gusar kepada murid-muridnya, beliau sering membaca surah An-Nas. Apabila sampai kepada ayat ``Minal jinnati wan nas'' beliau mengeraskan tekanan suaranya. Semakin kuat perasaan marah menyerang perasaannya beliau lebih keras menekan suaranya apabila sampai kepada ayat itu. Walau bagaimanapun marahnya hanyalah diketahui dengan kelakuan demikian, sedangkan air mukanya tetap menampakkan kelembutan dan ramah tamah seolah-olah beliau tidak marah.[5]
Setelah pulang dari Makkah, Syeikh Zainal Abidin al-Fathani membuka sebuah pusat pengajian sistem pondok di suatu kampung dalam negeri Patani yang dikatakan terletak di Bendang Badang, Patani. Setelah pondok yang diasaskannya kukuh, beliau berhijrah ke Sungai Dua, Seberang Perai dan menangani pondok pengajian yang diasaskan oleh Syeikh Jalaluddin bin Muhammad Yusya' al-Kalantani pada penghujung tahun 1800-an. Warisan berharga Tuan Minal sudah pasti kitab-kitabnya yang sangat berpengaruh yang ada diantaranya masih lagi disyarah di pusat-pusat pengajian tradisi Islam termasuk di masjid dan surau.
Karya-karya Tuan Minal seperti yang dicatat oleh almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir ialah seperti
Kasyful Ghaibiyah fi Ahwali Yaumil Qiyamah. Kitab ini diselesaikan pada tahun 1301 H/1883M. Kandungannya membicarakan mulai kejadian alam seluruhnya, tanda-tanda kiamat dan peristiwa dahsyat kejadian Hari Kiamat. Kitab ini pernah dicetak oleh Matba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah pada tahun 1302 H dan Matba'ah at-Taraqqil Majidiyah `Utsmaniyah, Mekah pada tahun 1332 H/1913 M. Kitab ini pernah ditashhih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani untuk cetakan yang dilakukan oleh Matba’ah al-Miriyah dan anak Tuan Minal sendiri iaitu Syeikh Muhammad Saleh al-Fathani dengan dibantu oleh Syeikh Idris bin Husein al-Kalantani untuk cetakan yang dilakukan oleh Matbaah at-Taraqqil Majidiyah.
Kasyful Litsam `an As-ilatil Anam. Kitab ini diselesaikan pada tahun 1307 H/1889 M.
`Aqidatun Najin fi `Ilmi Ushuliddin. Kitab ini diselesaikan pada hari Sabtu, Jamadilakhir tahun 1308 H/1890 M. Kitab ini dianggap yang kedua terbesar tentang akidah dalam bahasa Melayu sesudah Warduz Zawahir karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Walaubagaimanapun, kitab ini dianggap yang paling besar yang masih beredar di pasaran sehingga ke hari ini. Cetakan pertama dilakukan oleh Matba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah dalam tahun 1319 H/1901 M dan ditashhih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani.
Irsyadul `Ibad ila Sabilil Rasyad. Tidak disebut tarikh kitab ini diselesaikan. Kitab ini pernah dicetak dalam beberapa edisi, iaitu Matba'ah al-Miriyah, Mekah, Mathba'ah Dar Ihya' al-Kutubal `Arabiyah, Mesir, Matba'ah Al-Ahmadiyah, Singapura dan Persama Press, Pulau Pinang.
Tabassumusy Syaribin. Kitab ini pernah dicetak oleh Al-Ahmadiyah Press, Singapura dan digabungkan dengan kitab Irsyadul `Ibad.
Miftahul Murid fi `Ilmit Tauhid. Kitab ini diselesaikan tanpa menyatakan tarikh. Ia dicetak buat pertama kali di Makkah pada tahun 1330 H oleh Mathba'ah at-Taraqqil Majidiyah, Makkah 1330 H. Cetakan yang dilakukan di Pulau Pinang dalam tahun 1373H/1954M menggabungkan karya anak beliau, Syeikh Umar yang berjudul Risalah Pada Menyata- kan Sebab Jadi Murtad.
Sembahyang Jumaat. Masih dalam bentuk manuskrip. Ditanda dengan nombor kelas MS 111, Koleksi Pusat Manuskrip Perpustakaan Negara Malaysia. Naskhah tidak lengkap, hanya enam muka surat. Belum pernah diterbitkan.
Tahqiqul Kalam fi Bayani Ibtidais Shiyam. Masih dalam bentuk manuskrip. Ditanda dengan nombor kelas MS 112, Koleksi Pusat Manuskrip Perpustakaan Negara Malaysia. Naskhah tidak lengkap, hanya enam muka surat. Belum pernah diterbitkan.[6]
Tuan Minal al-Fathani tercatat dalam sejarah sebagai keluarga ulama besar. Ini adalah kerana kesemua anak lelakinya yang berjumlah lima orang itu menjadi ulama belaka. Salah seorang antara mereka ialah Syeikh Abdul Qadir bin Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani. Syeikh Abdul Qadir al-Fathani ialah seorang ulama. Adik-beradik Syeikh Abdul Qadir bin Tuan Minal al-Fathani semuanya sempat menerima pendidikan langsung daripada Tuan Minal sendiri sama ada di Pondok Patani mahupun di pondok Sungai Dua, Seberang Perai. Anak-anak lelakinya ialah Haji Daud, Haji Abdul Qadir, Haji Muhammad Soleh, Haji Umar dan Haji Hasan. Anak perempuannya bernama Hajah Fatmah. Anak lelakinya yang paling terkenal ialah Haji Abdul Qadir. Yang merupakan anak murid ulama terkenal, Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain a-Fathani. Ini adalah kerana beberapa anak dan keturunan beliau, ramai yang menjadi ulama besar. Salah seorang antara anak beliau yang menjadi ulama dan sangat besar pengaruhnya bagi umat Islam Patani ialah Haji Sulong al-Fathani. Hampir-hampir tidak terdapat seorang pun orang Islam yang berasal dari Patani yang tidak pernah mendengar sebutan nama Haji Sulong. Beliau diakui oleh masyarakat Patani sebagai Bapa Perjuangan Patani. Karya Haji Sulong yang sangat terkenal ialah Gugusan Cahaya Keselamatan yang selesai ditulis semasa dalam penjara di Legor pada 3 Zulkaedah 1368 H/28 Ogos 1949 M. Karya ini sangat penting bagi bangsa Melayu-Patani. Cetakan pertama diterbitkan pada tahun 1377 H/1958 M. Haji Sulong semenjak dari kecil lagi sentiasa mengikut ayahandanya menimba ilmu. Menurut almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir, Haji Sulong pernah menadah kitab kepada Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani dalam usia yang sangat muda.[7] Tambah almarhum, Haji Sulong merupakan kader politik termuda yang diasuh oleh Syeikh Ahmad al-Fathani. Kader lain yang diasuh oleh Syeikh Ahmad al-Fatahani ialah Nik Mahmud bin Ismail Kelantan yang usianya tua sedikit dari Haji Sulong. Beliau kemudiannya dikenali sebagai Datuk Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan setelah pulang ke Kelantan.[8] Anak Haji Abdul Qadir yang lain yang menjadi ulama besar ialah Haji Abdur Rahim. Haji Abdur Rahim pernah menjadi Penolong Kadi di Pulau Pinang, pernah mengajar di Pulau Dua, Myanmar dan pernah membuka pondok pengajian di Phuket, Thailand. Beliau juga pernah mengajar di Pasir Mas, Kelantan dan mengajar di Kampung Sirih Jabat, Patani. Haji Abdur Rahim al-Fathani mendapat pendidikan dari abangnya Haji Sulong dan selanjutnya belajar di Makkah. Anak Haji Abdul Qadir yang perempuan hasil perkahwinannya dengan Shafiyah[9] yang berasal dari Muar ialah Hajah Zainab. Beliau berkahwin dengan seorang alim bernama Haji Daud yang membuka pondok pengajian di Legor, Thailand. Anak perempuannya yang lain yang alim dalam ilmu agama bernama Hajah Maryam. Beliau ialah seorang ahli dalam bacaan al-Quran dan mengajar al-Quran termasuk hukum-hukum tajwid.
Selain Haji Abdul Qadir, anak-anak Tuan Minal yang lain tidak kurang hebatnya khususnya dalam ilmu mengarang. Anaknya yang bernama Haji Muhammad Soleh al-Fathani menghasilkan sebuah kitab tentang tajwid yang berjudul Sirajul Qari. Kitab ini tersebar luas di seluruh dunia Melayu. Haji Muhammad Soleh al-Fathani wafat di Mekah pada pagi hari Rabu, pukul 11 pagi, 15 Zulhijjah 1308 H/1890 M. Syeikh Haji Muhammad Soleh al-Fathani juga menggubah untaian syair bercorak sastera klasik gurindam dalam kitab Kasyful Litsam yang dikarang oleh ayahandanya, Tuan Minal. Anaknya yang bernama Haji Umar bin Tuan Minal menghasilkan beberapa karya, antaranya seperti Risalah Pada Menyatakan Sebab Jadi Murtad. Anaknya yang bernama Haji Hasan bin Tuan Minal al-Fathani menghasilkan penulisan berjudul Pungutan Kanak-Kanak. Haji Hasan mempunyai dua anak yang kedua-duanya menjadi ulama. Anak-anaknya bernama Haji Muhammad, dan Haji Abdur Rahman. Anak perempuan Tuan Minal al-Fathani juga menurunkan beberapa orang ulama. Hasil perkahwinan Hajah Fatmah binti Tuan Minal al-Fathani dengan Tuan Guru Haji Abdur Rasyid Bandar Patani mendapat anak bernama Ya’qub dan Hajah Khadijah. Hajah Khadijah yang merupakan cucu Tuan Minal al-Fathani berkahwin dengan Tuan Guru Haji Abdul Aziz yang merupakan murid kepada Syeikh Ahmad al-Fathani.

[1] Berdasarkan catatan kitab Miftah ash-Shibyan oleh Syeikh Muhammad Nuruddin bin Syeikh Abbas al-Khalidi, Batu Bahara, Pasir Dahari, Inderapura. Syeikh Muhammad Thaiyib al-Banjari al-Qad-hi mempelajari ilmu yang sama daripada Syeikh Ali al-Qad-hi (Kedah). Sanad beliau sampai kepada dua imam besar Ahlus Sunnah wal Jama'ah, iaitu Imam Abu al-Hasan al-Asy'ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi.

[2] Bererti sangat teliti
[3] Mempunyai kefahaman yang mendalam dalam ilmu-ilmu Islam khususnya dalam bidang feqah
[4] Sirajuddin bermaksud lampu agama
[5] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2004. Tuan Minal al-Fathani - Karangannya rujukan ulama Melayu. Utusan Malaysia. Terbit pada 18 Oktober 2004. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=1018&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm&arc=hive. Dicapai pada 6 Julai 2009

[6] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2004. Tuan Minal al-Fathani - Karangannya rujukan ulama Melayu. Utusan Malaysia. Terbit pada 18 Oktober 2004. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=1018&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm&arc=hive. Dicapai pada 6 Julai 2009
[7] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2006. Abdul Qadir Tuan Minal ulama dan ayah seorang pejuang. Utusan Malaysia. Terbit pada 25 September 2006. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0925&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_05.htm&arc=hive. Dicapai pada 6 Julai 2009
[8] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2006. Abdul Qadir Tuan Minal ulama dan ayah seorang pejuang. Utusan Malaysia. Terbit pada 25 September 2006. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0925&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_05.htm&arc=hive. Dicapai pada 6 Julai 2009
[9] Anak orang kaya Muar yang berkahwin dengan Haji Abdul Qadir ketika beliau mengikuti gurunya, Syeikh Ahmad al-Fathani menziarahi anak muridnya di Johor. Peristiwa ziarah itu dipercayai berlaku selepas pertemuan Syeikh Ahmad al-Fathani dengan Sultan Johor iaitu Sultan Abu Bakar dalam tahun 1296 H/1879 M di Istanbul, Turki.

Sunday, July 5, 2009

Syeikh Muhammad Thaiyib al-Banjari dan keturunannya yang bergelar ulama



Muhammad Thaiyib adalah ulama besar di Alam Melayu pertengahan abad ke-19 Masehi yang mempunyai jurai keturunan Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari. Nama lengkapnya ialah Syeikh Muhammad Thaiyib bin Mas'ud bin Qadhi Abu Su'ud bin Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari. Beliau turut memakai tambahan al-Khalidi an-Naqsyabandi dihujung namanya. Penambahan perkataan "al-Khalidi an-Naqsyabandi" adalah berdasarkan sebuah karya beliau judul, Fat-hul Hadi yang menunjukkan bahawa beliau adalah seorang sufi, pengamal Thariqat Naqsyabandiyah aliran al-Khalidiyah. Syeikh Muhammad Thaiyib adalah sezaman dengan seorang lagi tokoh besar pengamal Thariqat Naqsyabandiah iaitu Syeikh Ismail bin Abdullah al-Khalidi (Minangkabau). Menurut almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir, ada kemungkinan bahawa Syeikh Muhammad Thaiyib bin Mas'ud al-Banjari adalah murid kepada Syeikh Ismail bin Abdullah al-Khalidi kerana ulama Minangkabau tersebut lebih dahulu muncul daripada Syeikh Muhammad Thaiyib bin Mas'ud al-Banjari.[1] Menerusi kedua-dua tokoh ini, thariqat Naqsyabandiah tersebar dalam kerajaan Riau-Lingga dan selanjutnya di Melaka dan Kedah. Ayahanda Syeikh Muhammad Thaiyib iaitu, Syeikh Mas'ud diriwayatkan telah menemui syahid[2] dalam peperangan di antara Patani dan Kedah melawan Siam yang telah bersama-sama berjuang dengan Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani yang dikatakan turut menemui syahid dalam peperangan itu. Datuk Syeikh Muhammad Thaiyib bernama Qadhi Haji Abu Su'ud, merupakan anak Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari yang mula-mula bermastautin di Kedah. Diceritakan bahawa dalam perjalanan beliau pulang dari Makkah ke Banjar, beliau telah singgah di Kedah. Sultan Kedah telah meminta kepadanya supaya tinggal di Kedah saja untuk menjadi guru baginda dan rakyat Kedah. Di Kedah Qadhi Haji Abu Su'ud al-Banjari atas kehendak Sultan Kedah berkahwin dengan seorang perempuan bernama Rajmah. Dari perkahwinan itu, beliau memperoleh anak lalu dinamakan Mas'ud, iaitu ayahanda kepada Syeikh Muhammad Thaiyib. Syeikh Muhammad Thaiyib Banjar-Kedah dipercayai memperoleh pendidikan asas dari ayah dan datuknya sendiri. Selanjutnya Syeikh Muhammad Thaiyib juga menadah kitab kepada kaum keluarganya yang menjadi ulama di negeri Banjar, Jawa, Bangka, Belitung dan Makkah.
Ada tiga karya ulama besar yang berasal dari Banjar ini yang dapat dikesan setakat ini iaitu
Miftah al-Jannah fi Bayan al-'Aqidah,
Terdapat dua catatan penulisan ini diselesaikan iaitu pada 16 Syawal 1247 H/19 Mac 1832 M pada naskhah pertama dan pada satu naskhah yang lain pula dinyatakan pada 16 Syawal 1255 H/23 Disember 1839 M. Kitab ini juga telah dicetak dalam pelbagai edisi oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah Mekah antara tahun 1321 H dan 1327 H. Ia juga ada dicetak dengan kombinasi risalah-risalah lain seperti Ushul at-Tahqiq, Mau'izhah li an-Nas, Tajwid al-Quran semuanya tanpa menyebut nama pengarang manakalanya di tepinya pula dicetak risalah Asrar ad-Din juga tidak disebut nama pengarang.
Fat-hul Hadi,
Kitab ini diselesaikan pada hari Isnin, 4 Jumadilakhir 1282 H/25 September 1865 M. Kandungan membicarakan ilmu tasawuf tentang haqiqat yang merupakan terjemahan dan petikan daripada kitab Syarh Tuhfah al-Mursalah Syeikh Muhammad Bin Fadhlullah Al-Burhanfuri yang disyarah oleh Syeikh 'Abdul Ghani an-Nablusi.
Bidayah al-Ghilman fi Bayan Arkan al-Iman,
Kitab ini diselesaikan pada tahun 1297 H/1879 M. Kandungannya terdiri dari feqah yang membicarakan masalah mengganti sembahyang yang tertinggal menurut Mazhab Hanafi yang diamalkan dalam Mazhab Syafie dan zakat dan tauhid yang membahas Sifat Dua Puluh.
Anak-anak Syeikh Muhammad Thaiyib bin Mas'ud di Kedah di antaranya ialah Haji Muhammad Nashir, Haji Salman, Haji Abdullah dan Haji Abdur Rahman. Haji Muhammad Nashir bin Syeikh Muhammad Thaiyib al-Banjari menurunkan seorang anak yang menjadi ulama besar yang sangat terkenal di Malaysia, Patani dan Banjar iaitu Tuan Guru Tuan Husein Kedah. Tuan Husein lahir di Titi Gajah, Alor Setar, Kedah, hari Ahad, 20 Jamadilawal 1280 Hijrah/2 November 1863 Masihi dan meninggal dunia pada hari Isnin, 18 Zulkaedah 1354 Hijrah/10 Februari 1936 Masihi). Menurut almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir Abdullah, usia Tuan Husein Kedah al-Banjari adalah sebaya dengan seorang lagi ulama terkenal di Kedah iaitu Tuan Guru Haji Muhammad Saleh, Pulau Pisang dalam daerah Kubang Pasu kerana masing-masing lahir dalam tahun yang sama iaitu 1280 Hijrah/1863/4 Masihi. Malah mereka juga menuntut ilmu bersama-sama ketika di Makkah. Barangkali ada hubungan erat antara kedua-dua ulama itu kerana ibu Tuan Husein bernama Tengku Fatimah binti Tengku Mahmud, juga berasal dari daerah Kubang Pasu.[3] Tuan Husein Kedah mendapat pendidikan asas sistem pondok daripada datuknya Haji Muhammad Thaiyib Kedah al-Banjari. Beliau kemudiannya berangkat ke Patani untuk menimba ilmu di Pondok Bendang Daya. Menurut almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir Abdullah, beliau sempat belajar kepada pengasasnya, Haji Wan Mushthafa bin Muhammad al-Fathani (Tok Bendang Daya I) dan selanjutnya kepada anak beliau, Syeikh Abdul Qadir (Tok Bendang Daya II). Ketika di Bendang Daya, beliau bersahabat dengan Wan Ismail bin Mushthafa (Cik Doi) dan Tok Kelaba. Selain di Bendang Daya Tuan Husein juga dikatakan pernah belajar di Pondok Semela.[4] Tuan Husein kemudiannya melanjutkan pelajarannya di Makkah. Di antara gurunya ialah Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, Sayid Ahmad bin Zaini Dahlan dan Sayid Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki. Sama seperti datuknya, Tuan Hussein Kedah sangat berkebolehan dalam bidang penulisan. Beliau banyak menghasilkan kitab dan ada diantaranya masih berlegar dipasaran. Kitab-kitab yang dihasilkan oleh Tuan Hussein Kedah ialah
An-Nurul Mustafid fi Aqaidi Ahlit Tauhid, Kitab ini diselesaikan pada tahun 1305 Hijrah/1888 Masihi. Kandungannya membicarakan tentang tauhid, akidah Ahlis Sunnah wal Jamaah.
Tamrinush Shibyan fi Bayani Arkanil Islam wal Iman, Kitab ini diselesaikan pada hari Sabtu, 1 Syaaban 1318 Hijrah. Kandungannya membicarakan tauhid, akidah Ahlis Sunnah wal Jamaah dinyatakan rujukannya ialah Ummul Barahin, Syarah Hudhudi karya as-Suhaimi, Hasyiyah Syarqawi dan Dhiyaul Murid. Ia dicetak oleh Mathba'ah Dar Ihya' al-Kutub al-'Arabiyah, Mesir dalam bulan Zulkaedah 1346 Hijrah, ditashhih oleh Ilyas Ya'qub al-Azhari.
Hidayatus Shibyan fi Ma'rifatil Islam wal Iman, Kitab ini diselesaikan pada hari Isnin, 18 Muharam 1330 Hijrah. Kandungannya membicarakan tentang tauhid dan fikah. Cetakan yang pertama dilakukan oleh Mathba'ah At-Taraqqil Majidiyah al-'Utsmaniyah pada tahun 1330 Hijrah. Kemudian dicetak pula oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan Singapura pada tahun 1345 Hijrah/1927 Masihi. Kitab ini ditashhih oleh Syeikh Idris bin Husein al-Kalantani. Kitab ini masih dijual dipasaran malah telah dirumikan oleh beberapa penerbit tempatan.
Kisarul Aksir lish Shaghir `indal Kabir li Ma'rifatillahil `Alimil Khabir. Kitab ini diselesaikan pada hari Khamis, 25 Rabiulakhir 1336 Hijrah. Kandungannya membicarakan tentang tasauf dan thariqat. Kitab ini pernah dicetak oleh Al-Huda Press, Pulau Pinang, Safar pada tahun 1356 Hijrah/April 1937 Masihi.
Hidayatul Athfal. Kitab ini diselesaikan pada tahun 1336 Hijrah. Kandungannya pelajaran tauhid untuk kanak-kanak.
Hidayatul Mutafakkirin fi Tahqiqi Ma'rifati Rabbil `Alamin. Kitab ini diselesaikan pada 3 Rabiulakhir 1337 Hijrah. Kandungannya membicarakan tentang tauhid, menurut akidah Ahli Sunnah wal Jamaah. Cetakan yang pertama dikeluarkan oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan Singapura pada tahun 1345 Hijrah/1927 Masihi. Kitab ini juga pernah dicetak oleh Mathba'ah Persama, 83-85, Achen Street, dekat Masjid Melayu, Pulau Pinang pada tahun 1377 Hijrah/1957 Masihi. Kitab ini telah dirumikan oleh beberapa penerbit tempatan agar mudah difahami pembaca pada masa ini.
Tafrihus Shibyan fi Maulidin Nabi min Waladi `Adnan. Kitab ini diselesaikan pada hari Selasa 3 Rabiulawal 1341 Hijrah. Kandungannya mengenai sejarah kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. Ia dicetak oleh Mathba'ah Persama, 83-85, Achen Street, dekat Masjid Melayu, Pulau Pinang pada tahun 1382 Hijrah/1962 Masihi.
Tazkiru Qabailil Qadhi. Kitab ini diselesaikan pada tahun 1343 Hijrah. Kandungannya merupakan Terjemahan Hadits Jawahir al-Bukhari dan terdiri daripada dua juzuk. Kitab ini dicetak oleh Al-Maktabah Zainiyah, Taiping Perak pada tahun 1350 Hijrah.
Bidayatut Thalibin ila Ma'rifati Rabbil `Alamin. Kitab ini diselesaikan pada tahun 1344 Hijrah. Kandungannya membicarakan ilmu tauhid. Kitab ini pernah dicetak oleh The United Press, No. 3 Dato' Keramat Road, Pulau Pinang pada tahun 1357 Hijrah. Kitab ini ditashhih oleh Ilyas Ya'qub al-Azhari.
`Alaqatul Lamiyah wash Sharfiyah. Kitab ini diselesaikan pada tahun 1345 Hijrah. Kandungannya membicarakan ilmu sharaf atau perubahan perkataan dalam bahasa Arab.
Ushulut Tauhid fi Ma'rifati Thuruqil Iman lir Rabbil Majid. Kitab ini diselesaikan pada 6 Syawal 1346 Hijrah. Kandungannya membicarakan falsafah ilmu tauhid dan ilmu fikah. Kitab ini pernah dicetak oleh Mathba'ah Az-Zainiyah, Taiping, Perak, hari Jumaat, 4 Jamadilakhir, 1347 Hijrah dan The United Press, Pulau Pinang, pada 11 Jamadilawal1393 Hijrah. Kitab ini masih disyarah di masjid dan surau pada masa ini.
Hidayatun Nikah. Kitab ini diselesaikan 1347 Hijrah. Kandungannya membicarakan perkara-perkara mengenai nikah kahwin.
Qathrul Ghaitsiyah fi `Ilmish Shufiyah `ala Syari'atil Muhammadiyah. Kitab ini diselesaikan pada 25 Jamadilawal 1348 Hijrah. Kandungannya membicarakan tasawuf. Kitab ini dicetak oleh Mathba'ah Persama, 93 Achen Street, Pulau Pinang. Pada masa ini, kitab ini telah dirumikan oleh beberapa penerbit tempatan.
Majmu'ul La-ali lin Nisa' wal Athfaliyi. Kandungan mukadimahnya menyatakan bahawa judul ini terdiri daripada sepuluh juzuk. Ia berkenaan tentang hukum feqah. Kitab ini pernah dicetak oleh The United Press Pulau Pinang sekitar tahun 1352 hingga 1360 Hijrah.
Tabshirah li Ulil Albab. Kitab ini diselesaikan pada tahun 1351 Hijrah. Kandungannya membicarakan tentang akidah/tauhid.
Hidayatul Ghilman. Kitab ini diselesaikan pada tahun 1351 Hijrah. Kandungannya membicarakan tentang akidah/tauhid yang ditulis dalam bahasa Arab.
Bunga Geti. Kitab ini diselesaikan pada tahun 1354 Hijrah. Kandungannya membicarakan tentang sembahyang qada atau mengganti sembahyang yang ketinggalan.
Nailul Maram fi ma Yujabu Husnul Khitam. Kitab ini diselesaikan pada hari Ahad, 6 Syaaban 1354 Hijrah. Kandungannya membicarakan tentang beberapa amalan zikir dan wirid untuk mendapatkan husnul khatimah. Kitab ini pernah dicetak oleh The United Press, dikeluarkan oleh Haji Ahmad bin Tuan Husein dengan catatan, ``Dicap risalah ini untuk mendapat khairat bagi Al-Madrasah Al-Khairiyah Al-Islamiyah, Pokok Sena, Kepala Batas, Seberang Perai.''
Tanbihul Ikhwan fi Tadbiril Ma'isyah wat Taslikil Buldan. Kitab ini diselesaikan pada tahun 1354 Hijrah. Kandungannya membicarakan tentang penghidupan dan pendatbiran pe merintahan.
Tuan Hussein berperanan besar dalam menubuhkan sebuah sekolah yang dikenali sebagai Madrasah Khairiah Islamiah yang terletak di Pokok Sena, Kepala Batas Pulau Pinang. Sekolah ini didirikan diatas tanah wakafnya seluas 1 ekar. Asalnya sekolah ini mempunyai 2 peringkat pengajian iaitu Peringkat Peralihan (Tahdiri) selama 1 Tahun termasuk Peringkat Persediaan (Ikdadi) selama 3 Tahun dan Peringkat Thanawi selama 4 Tahun. Pada tahun 1998, pelajaran akademik telah diperkenalkan.Pada tahun 2000, kelas akademik adalah daripada tingkatan 1 hingga 3 dan peperiksaan PMR adalah yang pertama untuk sekolah ini. Setelah Tuan Hussein meninggal dunia, pentadbiran sekolah telah dijalankan oleh anaknya, Tuan Ahmad. Tuan Ahmad berangkat ke Makkah pada tahun 1923 M ketika usianya 18 tahun dengan menggunakan wang titik peluhnya sendiri. Wang itu diperolehinya hasil dari pekerjaannya mengusahakan sawah padi milik ayahandanya selama tiga musim. Ayahandanya iaitu Tuan Hussein menyuruh beliau mencari sumber pendapatan sendiri supaya mendapat keberkatan ketika belajar kelak. Pada ketika itu, ayahandanya telah berpindah ke Sungai Limau, Yan Kedah setelah membeli tanah bendang untuk diusahakan. Selama 4 tahun beliau belajar di sana, beliau menguasai bidang undang-undang Islam 4 mazhab, Sorof, ilmu Bayan, Badie' Maa'nie, Hadith, Tafsir dan Tarikh. Antara guru-guru beliau di Makkatul Mukarramah ialah Sheikh Omar Hamdan, Sheikh Omar Bajunid, Syed Amirul Khatab, Sheikh Ahmad Arabi, Sheikh Ahmad Sembawa, Sheikh Ibrahim Pattani dan Sheikh Ahyud yang mahir dalam Ilmu Falak. Semasa di Makkah beliau tinggal di Jiyad, Mekah di rumah tumpangan diraja Kedah. Pada tahun 1927M, Tuan Ahmad pulang ke tanahair. Dalam tahun 1930M, beliau berpindah ke Pokok Sena, Kepala Batas, Seberang Perai dan mengajar di Madrasah Khairiah Islamiah yang didirikan oleh ayahanda beliau. Selepas pemergian ayahandanya,beliau menyambung semula pelajaran ke Makkah dan balik semula ke Tanah Melayu untuk menyambung tugas ayahandanya mengajar di Madrasah Khairiah Islamiah dan menjadi mudir di sana. Sebelum ayahandanya meninggal dunia, Tuan Ahmad telah dikahwinkan dengan Hajah Sofiah binti Haji Idris, dan dikurniakan seramai 16 orang anak, 2 daripadanya meninggal dunia. Anaknya yang sulong, Haji. Ali mengambil alih tugas sebagai mudir sekarang. Tuan Ahmad meninggal dunia pada hari Sabtu jam 7.05 malam (maghrib) di Pokok Sena, Seberang Prai, Pulau Pinang bersamaan 17 Rabiul Awal 1398, dalam usia 71 tahun.[5]




[1] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2008. Muhammad Thaiyib penerus tradisi ulama Banjar. Utusan Malaysia. Terbit pada 7 Januari 2008
[2] Catatan pada salah satu manuskrip yang dikelompokkan bersama-sama dengan kitab Bidayah al-Ghilman fi Bayan Arkan al-Iman ada dinyatakan perkataan "Mas'ud asy-Syahid" yang dipercayai ditulis sendiri oleh Syeikh Muhammad Thaiyib. Maksud asy-Syahid di sini ialah mati syahid dalam perang fi sabilillah melawan pencerobohan Siam terhadap Patani dan Kedah.
[3] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2004. Husein Kedah al-Banjari - Generasi penerus ulama Banjar. Utusan Malaysia. Terbit pada 16 Ogos 2004
[4] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2004. Husein Kedah al-Banjari - Generasi penerus ulama Banjar. Utusan Malaysia. Terbit pada 16 Ogos 2004
[5] Dirujuk dari http://khairiahislamiah.tripod.com/index.html. Dicapai pada 6 Julai 2009

Wednesday, July 1, 2009

Syeikh Jalaluddin al-Asyi, Ulama besar Aceh abad ke-18

Syeikh Jalaluddin al-Asyi atau lebih dikenali sebagai Faqih Jalaluddin hidup dalam abad ke-18 Masehi Beliau merupakan ulama besar Aceh pada zamannya dan pernah dilantik menjadi Kadi Malikul Adil pada masa pemerintahan Sultan Alauddin Maharaja Lela Ahmad Syah (1139 H/1727 M - 1147 H/1735 M) dan ketika pemerintahan Sultan Alauddin Johan Syah (1147 H/1735 M -1174 H/1760 M). Diriwayatkan bahawa Sultan Aceh, iaitu Sultan Alauddin Ahmad Syah dan ahli istana yang lain menjadi anak murid beliau. Ini adalah kerana Sultan Aceh sentiasa merujuk sesuatu perkara kepada beliau. Ayahanda Faqih Jalaluddin bernama Syeikh Kamaluddin manakala datuknya pula bergelar Qadhi Baginda Khathib at-Tarun Pasir. Ayahanda dan datuknya adalah ulama besar yang sangat terkenal dan berpengaruh di Aceh pada zamannya. Faqih Jalaluddin menerima pengajian Islam tradisional daripada kedua-duanya. Bagaimanapun dipercayai bahawa beliau juga belajar dengan beberapa orang ulama terkenal di Aceh yang lainnya. Dalam sebuah kitabnya ada dicatatkan bahawa beliau menerima Tarekat Syathariyah dan Tarekat Qadiriyah daripada gurunya Arif Billah Baba Daud bin Ismail al-Jawi bin Agha Mustafa ar-Rumi. Baba Daud adalah murid ulama besar Aceh pada pertengahan dan penghujung abad ke-17 iaitu Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Baba Daud bin Ismail al-Jawi adalah orang pertama menyalin tafsir al-Quran yang ditulis oleh gurunya itu, dan beliau pula yang menyelesaikan tafsir itu sehingga menjadi lebih lengkap dan lebih sempurna. Kata almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir Abdullah,
Memerhatikan sangat rapat dan mesranya hubungan antara Syeikh Faqih Jalaluddin dengan gurunya, Baba Daud al-Jawi itu, sedangkan Baba Daud al-Jawi pula adalah murid kepercayaan Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri, maka diyakini bahawa Syeikh Faqih Jalaluddin sempat pula menerima ilmu-ilmu dari Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri secara langsung.
Faqih Jalaluddin diriwayatkan pernah melanjutkan pelajaran ke India dan Makkah. Faqih Jalaluddin termasuk dalam kelompok ulama yang aktif mengarang. Beliau meneruskan kesinambungan ulama-ulama Aceh terdahulu yang seperti Syamsuddin as-Sumatrai dan Abdur rauf Ali al-Fansuri yang banyak menghasilkan karya-karya yang bermutu tinggi. Karya-karya utamanya yang dapat dikesan sehingga kini meliputi bidang feqah dan tasawwuf.
Karyanya dalam bidang feqah
1. Hidayah al-Awam Pada Menyatakan Perintah Agama Islam. Kitab ini adalah kitab feqah yang ringkas. Kata almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir ketika mengulas kitab ini,
Pada mukadimah Hidayah al-Awam, Syeikh Faqih Jalaluddin bahawa,"... pada hijrah Nabi seribu seratus empat puluh, pada lima hari bulan Muharam (5 Muharam 1140 H/23 Ogos 1727 M, pen:) zaman Paduka Seri Sultan, yang besar kerajaannya, lagi yang maha tinggi darjatnya, iaitu Sultan Alauddin Ahmad Syah Johan berdaulat Zhillullah fi al-Alam, adamullahu daulatahu, Amin, maka tatkala itu meminta kepada faqir yang hina Khadim al-Ulama (yang berkhidmat pada ulama), Haji Jalaluddin... oleh seorang sahabat raja itu, yang takut akan Allah Taala, bahawaku suratkan baginya suatu risalah yang simpan (maksudnya: risalah yang ringkas, pen:). Maka aku namai akan dia Hidayah al-‘Awam ...”
2. Safinat al-Hukkam fi Talkhish al-Khisham. Kitab ini agak tebal dan lengkap. Penulisannya bermula pada bulan Muharam, hari Jumaat 1153 H/1740 M. Kitab ini dikarang atas perintah Sultan Alauddin Johan Syah. Barangkali inilah kitabnya yang terbesar diantara karya-karyanya yang lain. Kandungan teksnya yang bertulisan tangan itu adalah berasaskan Mazhab Syafi'ie yang membicarakan istilah-istilah, peringatan untuk golongan hakim yang zalim dan beberapa kaedah yang berkaitan dengan ilmu feqah.

3. Hujjah al-Balighah ‘ala Jama’ah al-Mukhasamah. Kata almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir ketika meneliti kitab ini,
Pada mukadimah Faqih Jalaluddin menulis: “Ada pun kemudian dari itu, maka tatkala Hijrah Nabi s.a.w seratus lima puluh delapan tahun, kemudian daripada seribu pada empat hari bulan Muharam, waktu Dhuha, hari Sabtu (4 Muharam 1158 H/1745 M) zaman Saiyidina wa Maulana Paduka Seri Sultanah Alauddin Jauhar Syah, Syah Berdaulat Zhillullah fi al-Alam, telah meminta kepadaku setengah daripada kekasihku, salah seorang daripada pengawal sultan yang tersebut itu, bahawa ku suratkan baginya risalah yang simpan pada menyatakan dakwa, dan baiyinah, dan barang yang bergantung dengan keduanya. Ku perkenankan pintanya, dan ku suratkan baginya risalah ini ...”
Sambung almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir,
Pada penghabisan kitab beliau mencatat, Tamat al-kitab Hujjah al-Balighah ‘ala Jama'ah al-Mukhasamah karangan faqir yang hina Faqih Jalaluddin ibnu asy-Syeikh Kamaluddin ibnu al-Qadhi Baginda Khathib at-Tarun Pasir... pada 27 Rabiulakhir, waktu Dhuha pada zaman Alauddin Jauhar Syah, pada hijrah seribu seratus lima puluh delapan tahun... (27 Rabiulakhir 1158 H/1745 M).
Faqih Jalaluddin sangat berhati-hati dalam mengeluarkan sesuatu fatwa. Ini diperjelaskan olehnya dengan katanya, “Ingat-ingat kiranya yang memberi fatwa, maka adalah bahaya yang besar pada memberi fatwa itu belum lagi tahqiq sesuatu masalah daripada hadis, dan dalil, atau daripada kitab segala ulama. Maka janganlah difatwakan sekali-kali akan dia ...”
Dalam kitab ini, Faqih Jalaluddin telah menghuraikan kelompok kadi kepada tiga perkara iaitu dua perkara isi neraka dan satu perkara isi syurga. Katanya,
“Maka dua perkara isi neraka itu iaitu; Pertama kadi yang jahil, tiada baginya ilmu, jikalau mufakat hukumnya itu dengan kebenaran sekali pun tiada jua sah hukumnya itu dengan sebab meninggalkan daripada belajarnya ...” Mengenai perkara ini beliau kemukakan dua hadis Nabi s.a.w. sebagai dalilnya.
Satu diantaranya, menurut beliau lafaz di bawah ini adalah hadis, iaitu: “Barangsiapa tiada guru baginya maka syaitanlah gurunya.” Sabda Nabi itu beliau tafsirkan, barangsiapa ada gurunya itu syaitan, maka tiada lagi syak akan dia isi neraka.
Kadi jenis yang kedua, menurut Faqih Jalaluddin al-Asyi, ialah: “Yang alim, yang ia tiada menghukum seperti yang dalam ilmunya ... “Kadi golongan yang ketiga ialah: “Yang alim, yang ia menghukum seperti hukum yang dalam ilmunya.”
Karya dalam bidang tasawwuf
1. Manzhar al-Ajla ila Martabah al-A’la. Kitab ini diselesaikan pada tahun 1152 H/1739 M. Faqih Jalaluddin didalam kitabnya itu menyatakan bahawa beliau dititah oleh Sultan Alauddin Johan Syah ibnu as-Sultan al-Marhum Ahmad Syah untuk mengarangnya.
2. Asrar as-Suluk ila Malail Muluk. Menurut almarhum al-Ustaz Haji wan Mohd Saghir,
Dalam naskhah tidak tersebut nama pengarang tetapi dapat dipastikan sebagai karya Faqih Jalaluddin al-Asyi adalah berdasarkan salasilah pada kalimat, “... telah mengambil zikir, dan talkin, dan khirqah, dan khalifah, fakir yang mengarang risalah ini daripada syeikhnya yang ahli az-zauq, lagi Arif Billah, iaitu Syeikh Daud ibnu Ismail qaddasallahu sirrahu, dan ia mengambil dari (Syeikh) Abdur Rauf ...” Bererti pengarang adalah murid Baba Daud ibnu Ismail ar-Rumi, bahawa perkara ini juga disebut oleh Faqih Jalaluddin bin al-Asyi dalam karyanya Manzar al-Ajla ...Kandungan keseluruhannya membicarakan tasawuf peringkat tinggi dan berbagai-bagai tarekat. Disebutkan bahawa asal tarekat dalam dunia ada empat belas, semua nama tarekat disebutkan secara terperinci.[1]
Zuriat Faqih Jalaluddin yang dapat dikesan menjadi ulama besar ialah Syeikh Muhammad Zain al-Asyi. Beliau merupakan pengarang kitab Bidayah al-Hidayah, sebuah kitab ilmu tauhid menurut akidah Ahli Sunah wal Jamaah yang sehingga kini masih lagi berlegar di jual di kedai-kedai buku agama dan disyarah dimasjid dan surau. Kitab Bidayah al-Hidayah[2] ini ditulis pada 24 Syaaban1170 H/14 Mei 1757 M. Kata almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir apabila mengulas tentang kitab ini,
Kitab ini diajar di dunia Melayu sejak pengarangnya masih hidup lagi, diteruskan oleh murid-muridnya, seperti Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari, Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan lain-lain. Sebelum kemunculan Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Kitab yang tersebut diajarkan dalam bentuk salinan tulisan tangan. Syeikh Ahmad al-Fathani adalah orang pertama mentashih kitab itu, kemudian mencetak kitab Bidayah al-Hidayah itu pada 1303 H/1885 M. Pada akhir semua edisi cetakan Bidayah al-Hidayah dinyatakan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani, “Telah selesai ini beberapa kalimah yang mukhtasharah (ringkas,), yang disuratkan dia di dalam laungan yang sedikit akan jadi taqrir atas kitab ini, hal keadaan hamba harapkan uzur daripada tiap-tiap saudara yang muthala’ah atasnya. Pada pagi Sabtu, 20 Rejab al-Asham pada tahun seribu tiga ratus tiga daripada hijrah (20 Rejab 1303 H) atas tangan al-faqir Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani ...”
Ia disambung dengan gubahan puisi Syeikh Ahmad al-Fathani dalam bahasa Melayu pada halaman terakhir, iaitu:
“Hai saudara yang tiada sempurna dirayah,
melainkan dengan kitab Bidayah al-Hidayah Hawa itu ibu bagi sekalian makhluk-Nya,
maka Bidayah al-Hidayah itu ibu al-barahin
Maka kitab ini asal yang dituntutnya,
dan yang lain ini kitab furu’nya
Khalilullah dengan dia mengajarnya, pada langit akan shibyan sekaliannya
Maka orang yang tiada mengaji akidah as-Sanusi,
dipukul akan dia dengan dua Malaikat dengan besi
Citerakan oleh setengah yang shalihin,
asy-Syeikh itu diperdiam akan dia di ‘Illiyin
Tiada sah ia sembahyang dan puasa,
hingga mentauhid Tuhan Yang Esa
Demikian tiada diterima akan amal dan ibadat,
hingga mendiri akan dalil dan makrifat.”[3]
Beliau melanjutkan pelajaran di Makkah. Antara guru yang didampinginya ialah Syeikh Muhammad Said, Syeikh Abdul Ghani bin al-Alim Muhammad Hilal, Syeikh Ahmad al-Farsi (ulama kelahiran Mesir) dan Syeikh Ahmad Durrah (juga ulama kelahiran Mesir). Sebelum pulang ke Aceh, Syeikh Muhammad Zain Aceh sempat mengajar di Masjid al-Haram Mekah. Di antara ulama besar Alam Melayu yang menjadi anak muridnya ialah Syeikh Haji Abdur Rauf ibnu Makhalid Khalifah al-Qadiri al-Bantani, Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari, Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari dan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani[4]. Seperti ayahandanya, Syeikh Muhammad Zain al-Asyi juga sangat aktif mengarang. Bahkan kitab-kitab yang ditulisnya adalah lebih awal dari kitab-kitab yang ditulis oleh ayahandanya! Sebagai contoh, kitab Ilmu Tauhid ditulis oleh Syeikh Muhammad Zain al-Asyi dalam tahun 1114 H/1702 M, 25 tahun lebih awal dari kitab pertama yang ditulis oleh ayahandanya iaitu Hidayah al-‘Awam yang ditulis pada tatahun 1140 H/1727 M. Lain-lain kitab yang ditulis oleh Syeikh Muhammad Zain al-Asyi ialah Kasyf al-Kiram yang selesai ditulis pada 8 Muharam 1171 H/22 September 1757 M, Talkish al-Falah fi Bayan Ahkam at-Thalaq wa an-Nikah, tanpa tarikh penulisan, Risalah Dua Kalimah Syahadah, tanpa tarikh penulisan, Faraidh al-Quran, tanpa tarikh penulisan, Masalah al-Faraid, tanpa tarikh penulisan dan Bahas Doa Hizb al-Bahri, tanpa tarikh penulisan.[5]
Nota kaki

[1] Rujuk tulisan Wan Mohd Saghir Abdullah bertajuk Syeikh Jalaluddin Al-Asyi kesinambungan aktiviti ulama Aceh bertarikh 4 Disember 2006 di Utusan Malaysia. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1204&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive. Dicapai pada 1 Julai 2009
[2] Salah seorang ulama besar Patani yang telah menyalin kitab ini ialah Tok Wan Din al-Fathani. Nama sebenarnya ialah Syeikh Wan Muhammad Zainal Abidin al-Fathani. Beliau lahir dalam tahun 1233 Hijrah/1817 Masehi di Kampung Sena Janjar, Patani. Beliau merupakan abang kepada dua lagi ulama besar Patani iaitu Syeikh `Abdul Qadir al-Fathani @ Tok Bendang Daya II dan Syeikh Abdul Lathif al-Fathani. Beliau mendapat pendidikan dari ayahandanya Syeikh Haji Wan Mustafa al-Fathani (Tok Bendang Daya I) dan setelah melanjutkan pelajaran ke Makkah, beliau menadah kitab kepada ulama besar yang terkenal, iaitu Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki dan Sayid Ahmad bin Zaini Dahlan. Antara anak muridnya yang menjadi ulama dan tokoh yang terkenal ialah Datuk Abdullah bin Musa (1279 Hijrah/1863 Masehi - 1325 Hijrah/1907 Masehi) yang menjadi Mufti dan Hakim Besar Kerajaan Johor (1889-1907 M), Haji Ismail bin Mustafa al-Fathani atau lebih dikenali dengan Cik Doi Kedah (Cik Dol) yang mengasas Pondok Gajah Mati, Pendang, Kedah Haji Muhammad Husein bin Abdul Lathif al-Fathani/Tok Kelaba (1280 Hijrah/1863 Masehi - l367 Hijrah/1948 Masehi) yang menghasil beberapa karya dan sangat aktif menyalin kitab ulama sebelumnya, Qadhi Haji Muhammad Sa'id Umar Kedah, yang mengarang Tafsir Nur al-Ihsan dan adik beliau yang bongsu, bernama Syeikh Daud bin Syeikh Haji Wan Mustafa al-Fathani atau lebih dikenali dengan nama Tok Cik Wan Daud al-Fathani yang merupakan ulama besar Makkah pada zamannya. Tok Wan Din al-Fathani wafat seminggu selepas kewafatan anak beliau, iaitu Syeikh Ahmad al-Fathani. Syeikh Ahmad al-Fathani yang wafat pada 11 Zulhijjah 1325 Hijrah/14 Januari 1908 Masehi. Anaknya, Syeikh Ahmad al-Fathani adalah ulama dari Alam Melayu yang sangat masyhur di Makkah. Tok Wan Din wafat pada 18 Zulhijjah 1325 Hijrah/21 Januari 1908 Masehi. Rujuk artikel Wan Mohd Saghir Abdullah bertajuk Tok Wan Din al-Fathani - Penyalin karya Syeikh Daud al-Fathani yang diterbit pada 21 Februari 2005 dalam Utusan Malaysia atau boleh terus rujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0221&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive. Dicapai pada 1 Julai 2009.


[3] Rujuk tulisan Wan Mohd Saghir Abdullah bertajuk Syeikh Muhammad Zain al-Asyi generasi ulama Aceh yang diterbit pada 29 Januari 2007 dalam Utusan Malaysia. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0129&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive. Dicapai pada 1 Julai 2009.

[4] Syeikh Daud al-Fathani diriwayatkan pernah berguru dengan Syeikh Muhammad Zain al-Asyi di Aceh selama dua tahun. Rujuk tulisan Wan Mohd Saghir Abdullah bertajuk Salasilah Sheikh Daud Abdullah Fathani yang diterbit pada 28 Januari 2008 dalam Utusan Malaysia atau rujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0128&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm&arc=hive. Dicapai pada 1 Julai 2009

[5] Rujuk tulisan Wan Mohd Saghir Abdullah bertajuk Syeikh Muhammad Zain al-Asyi generasi ulama Aceh yang diterbit pada 29 Januari 2007 dalam Utusan Malaysia. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0129&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive. Dicapai pada 1 Julai 2009.