Wednesday, October 2, 2013

Shaykh Idris al Marbawi Mutiara di bumi Mesir (sempena mengenang kelahiran Shaykh 28 Zulkaedah)


Pengenalan

Shaykh Mohd Idris bin Abdul Rauf al-Marbawi memakai laqab al-Marbawi kerana ia berasal dari Lubok Merbau, Perak. Walaubagaimanapun, Shaykh tidak dilahirkan di Lubok Merbau sebaliknya di al-Masfalah, Makkah. Tokoh ini dilahirkan pada 28 Zulkaedah 1313 Hijriyyah bersamaan 10 Mei 1896 Masehi. Diriwayatkan keluarganya lama bermukim di Makkah sebelum pulang semula ke Tanah Melayu pada tahun 1913 Masehi.

Kembara ilmu

Ketika pulang ke Tanah Melayu, Shaykh telah pun berumur 17 tahun. Namun dengan himmahnya yang tinggi untuk menguasai semula bahasa ibunda, Shaykh memasuki Sekolah Melayu Lubok Merbau. Selanjutnya, Shaykh menajamkan pengetahuannya dalam bidang ilmu agama apabila merantau hampir ke seluruh Tanah Melayu untuk berguru dengan ulama-ulama besar pada ketika itu. Shaykh bermusafir ke Kuala Kangsar untuk menimba ilmu kepada Shaykh Wan Muhammad yang menjadi Penasihat Agama Sultan Perak pada ketika itu. Shaykh kemudiannya  merantau ke Kedah untuk berguru kepada Tuan Hussain Kedah. Shaykh juga sanggup menempuh perjalanan yang jauh menuju ke Kelantan untuk menadah kitab kepada ulama tersohor pada ketika itu iaitu Tok Kenali. Diriwayatkan Shaykh berjalan kaki mengikut denai-denai yang menjadi laluan gajah untuk sampai ke Kelantan. Dengan Tok Kenalilah, Shaykh Idris dikatakan banyak menimba ilmu. Selepas itu, beliau kembali ke negeri Perak dan bertugas sebagai guru agama.

Kembali ke Tanah Arab

Kesungguhan yang begitu tinggi yang ditunjukkan oleh Shaykh menyebabkan ayahandanya menyarankan kepada beliau agar kembali menyambung pengajian di Tanah Arab. Pada tahun 1924, Shaykh Idris kembali menjejakkan kaki ke Tanah Arab tetapi kali ini di Mesir. Di Mesir, ia menyambung pengajian di Universiti al Azhar dan berpeluang menimba ilmu kepada ulama-ulama hebat disana seperti Shaykh Muhammad Mustafa al-Maraghi yang merupakan Shaykhul Azhar pada ketika itu dan Shaykh Abu al-Fadl al-Gizawi. Ketika berada di Mesir, Shaykh Idris mendapati ramai pelajar Melayu lemah dalam Bahasa Arab. Bermula dari sinilah timbul idea untuk Shaykh menyusun sebuah kamus Arab-Melayu. Diriwayatkan Shaykh telah menyusun kamus tersebut bersama lima orang sahabatnya, antaranya ialah seperti Shaykh Junid Thala dan Shaykh Tahir Jalaluddin. Bagaimanapun, Shakyh akhirnya melakukan kerja menyusun kamus itu bersendirian apabila sahabat-sahabatnya tidak dapat turut serta sehingga akhir tugasan. Akhirnya, kamus Arab-Melayu tersebut yang terkenal dengan nama 'Kamus al-Marbawi' itu berjaya disiapkan pada tahun 1927. Kamus itu diulang cetak berpuluh-puluh kali kerana sambutan yang amat menggalakkan khususnya di kalangan pelajar Asia Tenggara. Menariknya, kamus tersebut menjadi pemangkin kemunculan berpuluh-puluh kamus yang menggunakan samada bahasa pengantar Arab-Indonesia ataupun Arab-Melayu. Kamus yang disusun oleh Shaykh itu mengandungi 18, 000 kata entri Arab dan 700 gambar. Ianya dicetak buat kali pertama oleh Matba'ah Mustafa al-Babiy al-Halaby Wa Awladihi di Mesir. Sehingga ke hari ini, ia masih lagi dicetak kerana wujud permintaan dari kalangan pembaca. Di Malaysia, kamus ini diterbitkan oleh Darul Nu’man dan Darulfikir.  Walaupun memberi perhatian kepada penghasilan kamus sepenuh masa, Shaykh Idris tetap berjaya menyelesaikan pengajiannya dan memperoleh ijazah 'Aliyah (tertinggi) dari universiti berkenaan.

 

Penulisan

Selain menyusun kamus besar seperti dinyatakan di atas, Shaykh sebenarnya ada menghasilkan kamus kecil dalam bentuk saku seperti Qamoes-el-Djaib Arab-Melajoe Latin (Kamus Poket: Arab Malaya Latin), ringkasan Kamus Melayu-Arab Bergambar dan Teladan Belajar Bahasa Arab yang senang serta Kamus Penuntut (Zulkiple Abd.Ghani. et.al. 2011: 40) namun kamus-kamus kecil ini tidak tersebar secara meluas sebagaimana Kamus al-Marbawi yang merupakan karya terbesar beliau dalam bidang perkamusan. Shaykh Idris juga memberi sumbangan yang besar dalam bidang tafsir dan hadith. Dalam bidang tafsir, beliau telah menulis tafsir Surah Yasin, Tafsir al-Quran al-Marbawi, Tafsir al-Quran Nur al-Yakin, Terjemahan Tafsir Fath al-Qadir, Tafsir Juz Amma, Tafsir Al-Fatihah, dan sebuah karya berjudul Quran Bergantung Makna. Manakala dalam bidang hadith, Shaykh telah menghasilkan dua buah kitab iaitu Bahr al-Mazi dan terjemahan Bulugh al-Maram. Kitab Bahr al-Mazi adalah merupakan ringkasan dan ulasan kepada kitab hadith Sunan al-Tirmizi. Walaupun ia merupakan ringkasan kepada Sunan al-Tirmizi namun karya ini amat padat dan mendalam, bahkan dikatakan telah menampung kekosongan karya asli dalam bidang ilmu hadith di rantau ini. Karya yang terdiri dari 22 jilid ini memuatkan ulasan dan huraian hadith dalam bentuk fiqh, aqidah, tasawwuf dan muamalat. Penerbitan keseluruhan kitab ini pada awalnya telah diusahakan oleh Syarkah wa Maktabah wa Mathba’ah Mustafa al-Baby al-Halaby wa Auladuhu, Mesir bermula pada tahun 1352 H/1933 M. Pada kata aluan jilid pertama, Shaykh Idris menerangkan bahawa beliau telah belajar ilmu hadith kepada Shaykh Muhammad Ibrahim as-Samaluti, iaitu guru hadith yang mengajar berpuluh-puluh tahun di Jami’ Saiyiduna Hussain di Kaherah, Mesir. Setiap kali Shaykh Idris pulang pulang ke rumah, ia terus mencatat nota pengajiannya sehingga tersusunlah kitab besar yang bernama Bahr al-Mazi tersebut. Penulisan kitab ini hampir-hampir tergendala jika tidak kerana kesungguhan Shaykh untuk menyelesaikannya. Diriwayatkan penulisan kitab ini tertangguh selama 15 tahun bermula ketika Perang Dunia Ke-2. Hanya pada tahun 1955, Shaykh kembali menyambung penulisan hinggalah berjaya menyiapkannya. Sementara kitab terjemahan Bulugh al-Maram adalah merupakan terjemahan atas kitab hadith yang disusun berdasarkan bidang Fiqh oleh seorang tokoh hadith tersohor iaitu Ibn Hajar al-Asqalani. Pada masa ini, terjemahan kitab ini ada diterbitkan oleh Penerbitan Jahabersa. Karya terjemahan yang berjumlah 782 halaman ini selesai dihasilkan pada hari Ahad, 17 Syawal 1383H bersamaan awal Mac 1964. Beliau mencatatkan dalam muqadimah karya ini bahawa beliau memberi ulasan terhadap lafaz-lafaz hadith Bulugh al-Maram dengan berpandukan kitab-kitab lain seperti Subul al-Salam, syarah Sahih al-Bukhari oleh al-‘Aini, syarah Sahih Muslim oleh al-Nawawi dan beberapa syarah kitab-kitab sunan, fiqh dan bahasa. Dalam kitab ini juga ada disebutkan nama salah seorang guru Shaykh seperti yang tercatat dalam muqadimah seperti berikut,

Maka dijadikan segolongan berperang dan segolongan lain supaya memahami agama dan sesungguhnya telah jatuh setengah dari golongan orang-orang awam di dalam kebinasaan yang besar, iaitu ia jadi tiada mempedulikan perkataan orang-orang mujtahid dan segala ikutan mereka daripada ulama, dan mentafsir segala ayat al-Quran dan al-Hadith itu dengan fikirannya sendiri sebelum ia mengetahui perkataan imam yang masyhur dengan ilmu dan makrifat dan yakin serta tiada harus menafsirkan suatu daripada segala ayat dan hadith-hadith itu dengan fikiran sendiri dan tiada harus ditanggung atas segala makna yang tidak di nashkan atasnya oleh imam-imam yang berbilang, sebagaimana mengkhabarkan guruku al-Allamah asy-Shaykh Muhammad ‘Ali al-Maliki yang wafat di Thaif pada 28hb Syaaban tahun 1367H di dalam kitabnya al-Maqsidu al-Sadid, kita pohonkan kepada Allah Ta’ala kiranya Ia memberi taufiq kepada kita dan menunjukkan kita akan jalan yang benar.Sesungguhnya telah aku pindahkan ini pada ta’liq yang aku sanggup atasnya daripada perkataan imam-imam, dan aku telah berpegang pada menghuraikan segala lafadznya atas syarahnya “Subulus Salam” dan ialah kehendakiku ketika aku berkata “minas syarah” atas setengah daripada syarah Bukhari dan Muslim seperti al-‘Aini dan an-Nawawi, dan setengah daripada segala syarah sunan dan setengah kitab-kitab fiqah dan lughah.

Selain bidang-bidang seperti yang dinyatakan di atas, Shaykh juga telah menghasilkan penulisan dalam bidang Fiqh, Aqidah, dan Falsafah. Antara tulisan beliau ialah seperti Asas Islam, Nizam al-Hayah, Pati Hukum-hukum Ibadah, Usul Islam Pada Membicarakan Mengambil Air Sembahyang, Punca Agama, Perbendaharaan Ilmu dan sebuah ensiklopedia yang dinamakan sebagai Kamus Segala Ilmu. Kitab Perbendaharaan Ilmu adalah sebuah kitab yang sangat menarik kerana ia dalam format majalah bulanan yang mengandungi pelbagai aspek ilmu pengetahuan termasuklah bahasa Melayu, masalah agama, tafsir, hadith dan tauhid, tasawwuf, sejarah tokoh terkenal dunia, geografi, kimia, falsafah serta kedoktoran.

Selepas berjaya menyelesaikan pengajiannya, Shaykh tidak terus balik ke Malaysia sebaliknya menetap di Tanah Arab lebih kurang 60 tahun lamanya.  Shaykh membina kehidupannya di Mesir dengan banyak melakukan kerja-kerja penulisan, penterjemahan, penyuntingan, penerbitan dan percetakan kitab/buku. Diriwayatkan bahawa Shaykh adalah orang Melayu paling berjaya dalam bidang penerbitan buku di Mesir. Ia berjaya mendirikan syarikat penerbitannya sendiri pada tahun 1927 yang diberi nama Matbaah al-Marbawiyyah.Ketika Dato Hassan Adli menjadi Duta Besar Malaysia di Mesir, beliau telah berjaya mengesan lokasi tempat tinggal Shaykh Idris dan bertemu dengannya. Shaykh akhirnya bersetuju untuk kembali ke tanahair tambahan pengalaman dan keilmuannya sangat ditagih oleh masyarakat negara ini. Atas sumbangan dan jasa besarnya dalam bidang keagamaan dan persuratan, Shaykh telah dianugerah Ijazah Kehormat Doktor Persuratan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 5 Julai 1980. Pada 1 Muharram 1408 Hijrah bersamaan 28 Ogos 1987, beliau diisytihar sebagai Tokoh Ma’al Hijrah Kebangsaan yang pertama. Sebagai Tokoh Maal Hijrah yang pertama, Shaykh telah menerima pingat, sijil dan wang berjumlah RM 40, 000. Penghargaan telah disampaikan oleh Perdana Menteri Malaysia pada waktu itu, Dato Seri Dr Mahathir Mohamad. Seramai 3000 orang telah hadir dalam majlis yang sangat bersejarah itu termasuk duta-duta dan orang kenamaan dari negara luar. Selanjutnya pada 19 April 1988, beliau telah dianugerahkan Pingat Ahli Mahkota Perak (AMP) oleh Sultan Perak, Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Yussuf Izzuddin Shah sempena hari keputeraan baginda.

Peribadi Shaykh

Beliau adalah seorang tokoh ilmuwan yang warak dan amat mementingkan hubungan kekeluargaan. Orang ramai yang mengenali beliau ternyata amat menyenangi dan menghormatinya. Keperibadian mulia di samping ketajaman fikiran walaupun telah berusia 90-an, merupakan aset beliau yang amat berharga. Beliau seorang yang sangat tawaduk walaupun kealimannya tidak disangkal lagi oleh masyarakat sekelilingnya. Tidak sesekali beliau membangga diri walaupun ilmu memenuhi dada dari segi kefahamannya dalam bahasa Arab. Sebagai contoh, dalam kalam muqadimah Kamus al-Marbawi beliau menyebut:

"Walaupun bukanku itu ahlinya yang sejati"

Juga dalam muqadimah Bahr al-Mazi beliau berkata:

"Adapun kemudian daripada itu, maka lebih dahulu daripada aku masuk didalam mengarang kitab ini dengan tawadhuk aku kepada Allah SWT kiranya dipohonkan kepadanya tiadalah salah menerangkan sedikit perkataan ini kepada segala saudaraku"

Diriwayatkan bahawa ketika kerajaan Malaysia mula memperkenalkan anugerah Tokoh Maal Hijrah, tiada tokoh lain yang dilihat layak kecuali Shaykh Idris al-Marbawi. Kerajaan menghantar rombongan ke Mesir untuk meminta beliau balik menerima anugerah tersebut. Namun beliau enggan sehinggalah kerajaan terpaksa menghantar rombongan buat kali kedua bersungguh-sungguh memujuk beliau pulang ke tanah air. Akhirnya setelah akur dengan kehendak rombongan, beliau pulang dan menerima Tokoh Maal Hijrah Pertama pada tahun 1987 di Dataran Pusat Islam. Pihak penganjur meminta beliau menyampaikan sepatah dua kata seusai penyampaian. Beliau menolak kerana beralasan tidak tahu. Setelah diminta berkali-kali, beliau tampil juga dengan memulakan salam, mengucap puji-pujian kepada Allah dan Rasul seterusnya menutup kembali dengan salam. Sementara dalam riwayat lain menyatakan bahawa Semasa diminta berucap setelah dianugerahkan Tokoh Ma’al Hijrah, beliau dengan terus terang menyatakan yang beliau tidak layak berucap di situ kerana merasakan dirinya masih kekurangan ilmu. Atas dasar ingin melihat lebih ramai muda mudi memperolehi pendidikan yang sempurna, beliau telah menggunakan wang ganjaran Tokoh Ma’al Hijrah untuk membolehkan anaknya menubuhkan sebuah Kolej Pengajian Islam yang dinamakan Kolej Idris Al-Marbawi Al-Islami di Ipoh, Perak. Tenaga pengajarnya terdiri daripada anaknya, Mariam dan cucu-cucunya serta beberapa orang tenaga pengajar luar.

Beliau seorang yang kuat berpegang kepada Sunnah Nabi saw. Beliau suka mengenakan sarban dan jubah. Sementara dalam satu kejadian, beliau telah dilihat mengambil wudhu’ dengan menggunakan air yang sangat minimum yang tidak habis segayung air.

Beliau juga seorang yang sangat mengambil berat untung nasib orang Melayu khususnya dalam bidang pendidikan. Hal ini dinyatakan oleh Shaykh dalam pengenalan kamus yang ditulisnya dengan katanya,

Kemudian dari itu maka sebelum masuk mengarang kamus ini lebih dahulu menerangkan maksudku mengadakannya, ialah memajukan bangsaku Melayu, sekiranya menuntut bahasa arab adalah kamus penyuluhnya yang diharap, mendapatkan pelajaran umpama nahu dan saraf.

 

Oleh itu, kuhabiskan wujudku, mentelaah kitab lughah arab yang besar2, cadanganku ke bahasa Melayu hendakku kisar, tetapi tidaklah ku dapati, akan kitab yang memuaskan hati, seperti kitab cara baru, cara yang patut dengan zamannya, mudah faham bagi penuntutnya, banyak faedahnya, senang ambilnya, layak dengan bangsanya, segera dapat memetik buahnya.

 

Bersama-sama dengan sahabat serantau, beliau telah terlibat secara langsung pembikinan jurnal Seroean Azhar ketika menimba ilmu di Mesir. Beliau bersama sahabatnya bernama Abdul Wahab Abdullah telah bergabung tenaga dengan pelajar Indonesia bernama Mahmud Junus, Iljas Jacub, Raden Fathurrahman dan Djanan Thaib. Keluaran sulung jurnal tersebut ialah pada September 1925. Isi kandungan jurnal ini tertumpu kepada kesatuan dan kemajuan anak bangsa, penyebaran ilmu dan anti penjajahan.

Shaykh seorang yang amat berhati-hati dalam hukum dan sesuatu masalah dalam agama. Malah dalam muqadimah kitab Bulugh al-Maram, beliau berpesan kepada umat Islam agar menguasai terlebih dahulu sesuatu bidang ilmu sebelum bercakap dalam bidang tersebut dan sentiasalah mengambil pandangan ulama-ulama muktabar sebelum membuat sesuatu keputusan. Katanya,

Maka hendaklah diketahui oleh penuntut bahawa menerbitkan hukum, istinbath dan memahamkan nash al-Quran dan al-Hadith dengan bersendirian itu berhajat kepada berjaya dalam ilmu-ilmu yang tertentu dalam bahasa ’Arab seperti ilmu nahwu dan sharaf, ilmu bayan dan ilmu ma’ani dan pecahan ilmu bahasa dan yang lainnya. Dan berhajat kepada berjaya dalam ilmu fiqh, kerana ilmu feqah itulah yang lebih faedah keterangan baginya, kerana ulama feqah itu menyebutkan masalah secara feqah ,kerana disebut mereka itu akan dalil, maka zahirlah maknanya sehabis-habis zahir dan juga berhajat kepada berjaya dalam ilmu usul feqah supaya tahu jalan-jalan yang diambil daripadanya segala nama dan segala bahasa, dan tahu perintah dan suruh, dan apa-apa kemahuannya, dan tahu tegah dan larangan dan apa-apa yang menunjukkan atasnya, dan tahukan am dan khas dan apa-apa yang mengikuti keduanya, dan tahukan lafaz yang datang atas sebab, dan tahukan mutlaq dan muqayyad, dan mantuq dan mafhum, dan mubayyan dan mujammal dan nasakh dan jalan-jalannya, dan segala perbuatan Rasulullah saw dan segala pembahagian hadith dan pembahagiannya. Dan makna ijma, dan bagaimana tersimpulnya, dan perselisihan shahabat dan segala qaulnya, dan tahu akan qias dan yang dijadikan hujjah padanya, dan barang yang harus dijadikan asal dan yang tiada harus, dan yang menunjuk atas sah ‘illat dan barang yang harus dibuatkan ‘illat dan yang tiada harusnya, dan yang menunjukkan atas sah illat dan yang membatalkannya, dan bagaimana engkau menguatkan salah satu daripada dua ‘illat itu pada waktu berlawanan. Dan tahukan istihsan dan hukum segala perkara dahulu daripada syarak, dan istishabul hal dan tahukan sifat mufti yang memberi fatwa dan yang meminta fatwa, dan barang yang harus padanya bertaqlid, dan barang yang tiada harusnya, dan tahukan segala qaul orang yang mujtahil, dan yang dikeluarkan seorang mujtahid akan satu masalah atas dua qaul dan lain daripada itu. Maka apabila telah mendapat seorang akan demikian itu, atau mencapai satu jumlah yang baik daripadanya atas sekurang-kurangnya, maka bahawasanya bersedialah ia bagi memahamkannya.

Beliau seorang yang sangat gemar bermusafir. Sepanjang hampir 60 tahun berada di Timur Tengah, beliau banyak menjelajah dan menyaksikan pelbagai bentuk kebangkitan Islam selain daripada menjalankan kerja berdakwah. Ini telah banyak memberi kesedaran dan pengalaman berguna kepada beliau.

Berpulang ke Rahmatullah

Tanggal 13 Oktober 1989 bersamaan 13 Rabiul Awal 1409 Hijrah telah meninggalkan kesedihan kepada rakyat Malaysia kerana tokoh besar yang banyak menabur jasa itu telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di Hospital Besar Ipoh pada jam 8.40 pagi. Pemergiannya pada usia 96 tahun itu telah disemadikan di pusara Kampung Lubuk Merbau, Perak bersebelahan pusara isteri beliau, Khadijah binti Mohamad Idham yang telah meninggal dunia 14 bulan sebelum itu. Beliau telah meninggalkan seorang anak perempuan, tiga orang cucu dan tujuh orang cicit yang tinggal di Malaysia pada ketika itu. Di samping itu beliau telah meninggalkan balu kedua, Hajjah Munirah binti Abdul Wahab yang menetap di Mesir.

Harimau Mati meninggalkan Belang...

Bagi mengenang jasa beliau, namanya telah diabadikan di sebuah kolej kediaman di Universiti Kebangsaan Malaysia yang dikenali dengan nama Kolej Idris al-Marbawi. Namanya juga turut diabadikan di sekolah tempat beliau menuntut ilmu di Kampung Lubok Merbau iaitu Sekolah Kebangsaan Syeikh Mohd Idris Al-Marbawi.

Daftar Pustaka



3.       http://irfanirsyad.wordpress.com/tag/kamus-idris-al-marbawi/. Dicapai pada 24 September 2013

4.       http://abusyahmin.blogspot.com/2011/11/bahr-al-mazi.html. Dicapai pada 24 September 2013


6.       http://waazin.blogspot.com/2012/11/sheikh-idris-al-marbawi.html. Dicapai pada 24 September 2013

7.       http://ms.wikipedia.org/wiki/Hassan_Adli_Mohd_Arshad. Dicapai pada 25 September 2013





12.   http://senawangindah.blogspot.com/2010_06_01_archive.html. Dicapai pada 25 September 2013

 

  1. Najahudin Lateh. Metodologi Syeikh Idris al-Marbawi dalam Karya Terjemah Bulugh al-Maram: Analisa Kitab al-Taharah Universiti Teknologi MARA. Kertas ini dibentangkan dalam Seminar Kebangsaan Ketamadunan Islam pada 8 - 9 Disember 2009 di Hotel Casuarina, Ipoh Perak
  2. Muhd Najib Abdul Kadir, Mohamad Zaid Mohd Zin, Ahamad Asmadi Sakat, Mohd Roslan Mohd Nor, Mohd Arip Kasmo, Latifah Abdul Majid, Fadlan Mohd Othman, Jaffary Awang, Mazlan Ibrahim. Methodology of Al-Marbawi In The Interpretation of Al Quran: A Study on Tafsir Al-Marbawi Juzuk Alif Lam Mim. Advances in Natural and Applied Sciences, 5(5): 446-451, 2011
  3. Muhammad Mustaqim Mohd Zarif. The Bahr al-Madhi of Shaykh Muhammad Idris Al-Marbawi: A Preliminary Analysis. 'Ulum Islamiyyah: The Malaysian Journal of Islamic Sciences Vol.2 No.1 2003 Part 4. Universiti Sains Islam Malaysia
  4. Taufik Abdullah. 2009. Schools and Politics: The Kaum Muda Movement in West Sumatra (1927-1933). Equinox Publishing. Singapura
  5. Abdul Salam Muhammad Shukri Al-Shaykh Dr. Muhammad Idris Al-Marbawi (1313-1409/1893-1989) And, His Contribution To Islamic Studies In The Malay World: A Preliminary Survey. Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Dicapai di spdiis.ism.gov.my/docs/shared/KPWKM/.../I0282.pdf pada 27 September 2013
 
 
 
 
 
Nama Shaykh diabadikan pada sebuah kolej kediaman di UKM
 
 
Masjid Jamek al-Marbawi di Lubuk Merbau Perak
 
 
Gambar Shaykh yang tertera dalam kamus
 
 
Shaykh menerima ijazah kehormat Doktor Persuratan UKM
 
 
Gambar Shaykh ketika muda
 
 
Kitab Kamus Idris al Marbawi
 
 
Masjid Saiyiduna Hussain, Kaherah tempat Shaykh menimba ilmu hadith
 
 
Maktabah tempat Shaykh pernah bekerja ketika berada di Mesir
 
Shaykh Idris al Marbawi
 
 
Gambar Shaykh menghiasi majalah Utusan Qiblat

Monday, July 16, 2012

Tuan Guru Galau Tokoh Ulama Berdarah Bangsawan

Salah seorang tokoh ulama berketurunan bangsawan yang pernah menabur jasa di Alam Melayu ialah Tuan Guru Haji Zakaria bin Mohd Kari atau lebih dikenali dengan panggilan Tuan Guru Galau[1]. Panggilan Tuan Guru Galau itu mungkin dinisbahkan kepada ketokohan beliau sebagai orang terhormat di kampungnya yang bernama Galau yang letaknya tidak jauh dari pekan Seri Menanti. Tuan Guru Galau diriwayatkan berasal dari suku Tanah Datar Seri Menanti yang disebut orang sebagai orang lingkungan Istana. Tuan Guru dilahirkan pada tahun 1882 Masihi bersamaan 1299 Hijrah di Kampung Tanah Datar, Seri Menanti, Kuala Pilah. Beliau berumahtangga dengan Aisyah bt Toha dan dikurnikan 7 cahaya mata iaitu Haji Abdullah (meninggal di Makkah), Haji Mahmad (meninggal di Makkah), Haji Mukhtar (meninggal di Makkah), Haji Yahya (meninggal di Mesir), Hajjah Kalsom, Hajjah Fatimah dan Haji Hafidz.
Menimba Ilmu
Tuan Guru Galau diriwayatkan mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Seri Menanti. Selanjutnya beliau berguru dengan Allahyarham Tuan Guru Haji Darun Haji Ibrahim.[2] Beliau bermusafir ke utara Semenanjung untuk mendalami ilmu agama. Langkah pertamanya ialah ke Patani. Beliau memondok di sana selama 10 tahun. Selepas itu beliau berguru pula dengan Tuan Guru Haji Ismail bin Mustafa al-Fathani yang lebih dikenali dengan nama Tuan Guru Che’ Dol atau juga dipanggil orang dengan gelaran Tok Ayah Doi di Gajah Mati, Pendang, Kedah selama 10 tahun.[3] Gurunya ini merupakan anak murid kepada tokoh ulama terkenal di Patani iaitu Syeikh Wan Muhamad Zainal Abidin[4] yang lebih dikenali dengan panggilan Tok Wan Din yang berasal dari Kampung Sena Janjar, Pattani ( lahir tahun 1233H/ 1817 dan meninggal dunia pada 18 Zulhijjah 1325 / 21 Januari 1908). Pada tahun 1925, Tuan Guru Galau berangkat ke Makkah untuk menunaikan haji. Sewaktu berada di Makkah, beliau berkesempatan menimba ilmu kepada salah seorang ulama besar Alam Melayu pada masa itu iaitu Syeikh Wan Ismail bin Wan Abdul Qadir atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Da Ail.
Mendidik Anak Bangsa
Tuan Guru Galau dipercayai pulang semula ke tanahair sekitar tahun 1927. Apabila kembali ke kampung halamannya, beliau membuka pondok pengajian di perkarangan Masjid Galau. Walaupun sibuk menguruskan pondok, beliau turut mengajar di beberapa buah masjid dan surau sekitar daerah Kuala Pilah. Antara anak didiknya yang memegang jawatan dalam perkhidmatan Kerajaan ialah Tuan Haji Ali yang merupakan bekas Kadi Daerah Kuala Pilah dan Ahli Jawatankuasa Syariah Negeri Sembilan.

Di pondok pengajiannya, Tuan Guru Galau mengajar pelbagai disiplin ilmu agama. Beliau dikatakan berkeahlian dalam bidang nahu dan Bahasa Arab. Antara kitab yang diajar oleh beliau di pondok tersebut ialah kitab al-Mukhtasar dan Kawakib Mutammimah ( kitab Nahu ), Faridah al Faraid ( ilmu Tauhid ) dan Matla’ al-Badrain (kitab Fiqh). Tuan Guru Galau juga diriwayatkan seorang yang alim dalam bidang al-Quran sehingga beliau mampu mendengar dan memperbetulkan bacaan beberapa orang muridnya yang mengaji al-Quran di hadapannya secara serentak.
 Pada setiap minggu, beliau akan mengadakan kuliah tasawwuf yang dihadiri bukan sahaja oleh penduduk setempat tetapi juga mereka yang tinggal di luar Daerah Kuala Pilah. Tuan Guru Galau dikatakan beramal dengan tariqat Syatariyyah ketika hayatnya. Diriwayatkan bahawa Tuan Guru Galau adalah seorang Syeikh Tariqat Syatariyyah namun tidaklah dapat dipastikan sama ada beliau mengambil Ijazah tarikat tersebut ketika beliau berada di Pattani ataupun di Makkah. Menjadi kebiasaan pada setiap hari Khamis malam Jumaat, perhimpunan ahli tariqat dan majlis zikir diadakan di pondok Masjid Galau.
Dengan ketinggian ilmu yang dimilikinya, beliau pernah ditawarkan jawatan Kadi Daerah Kuala Pilah tetapi beliau menolaknya kerana beliau lebih selesa mencurahkan ilmunya secara bebas.

Mencarik Adat
Terdapat beberapa kisah menarik tentang keistimewaan dan karamat beliau seperti yang disampaikan oleh tokoh-tokoh yang pernah berdamping dengannya. Antaranya kisahnya ialah seperti
  1. Kolam dan perigi di Masjid Galau tidak pernah kering walaupun kawasan itu ditimpa kemarau selama 5 bulan ketika Tuan Guru Galau masih hidup. Kisah ini disampaikan oleh anak muridnya yang bernama Ustaz Yusuf bin Musa (berusia 78 tahun ketika menceritakan kisah ini)
  2. Pondok pengajian Tuan Guru Galau tidak pernah diganggu oleh askar Jepun di zaman pendudukan mereka di Tanah Melayu. Beras simpanannya tidak pernah dirampas dan sentiasa mencukupi
  3. Sesiapa yang bertembung dengan Tuan Guru Galau tidak kira samada ia berbangsa Melayu, Cina atau India pasti akan memberi penghormatan kepadanya. Diriwayatkan jika bertembung dengan Tuan Guru Galau di jalanan, mereka akan turun dari basikal sebagai tanda hormat kepadanya
  4.  Pernah berlaku satu peristiwa dimana pakaian Tuan Guru dikatakan tidak basah walhal ia terpaksa meredah hujan untuk sampai ke tempat ia mengajar
  5. Doa-doanya dikatakan kerap dimakbulkan Allah. Menurut penyusun kisah alim-ulama di Negeri Sembilan iaitu Nawawi Haji Indek, Tuan Guru Galau ketika hayatnya adalah seorang yang soleh dan mempunyai peribadi yang mulia.
Meninggal Dunia
Tuan Guru Galau meninggal dunia dalam tahun 1954 ketika berusia 72 tahun. Jenazahnya disemadikan di Tanah Perkuburan Tanjung Sepam, Seri Menanti. Ketika meninggal dunia, Mufti pada ketika itu Syeikh Haji Ahmad Muhammad Said tidak membenarkan jenazah Tuan Guru Galau dimakamkan di perkarangan Masjid Galau, sebaliknya meminta jenazah Tuan Guru Galau disemadikan di tanah perkuburan Islam yang berhampiran supaya orang yang dikebumikan di sekeliling tanah perkuburan beliau turut mendapat keberkatan.

Rujukan Utama
1.       Unit Buhuth Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan. Allahyarham Tuan Guru Galau Haji Zakaria bin Mohd Kari ( 1882 – 1954). Portal Rasmi Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus. Dicapai di http://www.muftins.gov.my/component/content/article/64-tokoh-ulamak-tarekat/347-allahyarham-tuan-guru-galau-haji-zakaria-mohd-kari-1882-1954 pada 11 Oktober 2011
4.       http://ulamakito.blogdrive.com/comments?id=1. Dicapai pada 11 Oktober 2011


[1] Beliau juga dipanggil orang dengan gelaran Fakih Kiak
[2] Tokoh ini berasal dari Inderagiri dan lahir pada tahun 1840. Beliau datang ke Semenanjung pada tahun 1880 dan mula mengajar di Kuala Pilah setelah mendapat jemputan dari Yang Di-Pertuan Besar Tuanku Muhammad. Tuan Guru meninggal pada tahun 1949 dan dimakamkan di Seri Menanti. Beliau ada meninggalkan sebuah kitab tasawwuf yang ditulis oleh ayahandanya dengan tangan setebal 1000 halaman.
[3] Pondok tersebut kemudian dipimpin oleh menantunya iaitu Syeikh Wan Ibrahim bin Syeikh Wan Abdul Qadir atau lebih dikenali sebagai Pak Chu Him. Pak Chu Him adalah anak saudara kepada Syeikh Wan Muhammad Zainal Abidin al-Fathani (Tok Wan Din al-Fathani). Salah seorang anak Tuan Guru Che Dol yang sangat terkenal ialah Tuan Guru Haji Husein. Beliau memimpin pondoknya sendiri di Guar Cempedak, Kedah
[4] Beliau adalah saudara sulung kepada Syeikh Wan Abdul Qadir al-Fathani @ Tok Bendang Daya II dan Syeikh Wan Abdul Lathif al-Fathani. Ayahanda mereka ialah Syeikh Haji Wan Mustafa yang dikenali orang sebagai Tok Bendang Daya I. Tok Wan Din al-Fathani merupakan tokoh terawal yang telah mengambil inisiatif menganjurkan penyalinan kitab-kitab Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani secara besar-besaran dan teratur. Selain sibuk dengan aktiviti di Makkah, beliau juga telah mengasaskan Dewan Tok Bendang Daya di Pondok Bendang Daya


Kitab Faridatul Faraid


Gambar lama barisan ulama Negeri Sembilan

Monday, November 1, 2010

Syeikh Abdul Lathif Tambi Tokoh Ulama Melaka

Salah seorang ulama besar Melaka yang pernah menjadi kader Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, tokoh ulama Melayu di Makkah ialah Syeikh Abdul Lathif Tambi. Syeikh Abdul Latif bukan sahaja mengikuti jejak langkah gurunya itu dalam bidang penulisan tetapi juga turut aktif dalam bidang percetakan dan penerbitan kitab-kitab. Tokoh ulama yang berasa dari Melaka ini dilahirkan di Kampung Teluk Mas, Melaka pada tahun 1872 Masehi bersamaan dengan 1288 Hijriyyah. Nama lengkapnya ialah Haji Abdul Lathif bin Haji Muhammad Nuruddin (Haji Tambi) bin Muhammad Shalih al-Malakawi at-Tankirawi. Gelarannya ialah Bahauddin. Gelaran ini diberikan oleh seorang ulama besar Melaka yang hidup sezaman dengan beliau iaitu Syeikh Ahmad bin Abdur Rauf. Asal-usul nenek moyangnya dikatakan berasal dari India. Walaupun dilahirkan di Melaka, usia kecilnya banyak dihabiskan di Singapura. Keluarganya sangat memberi perhatian kepada pendidikan agama. Lantaran itu, ketika beliau berusia 8 tahun, beliau sudah dihantar oleh ayahandanya ke Makkah untuk menimba ilmu di sana. Beliau menadah kitab kepada ulama-ulama besar di Makkah selama 20 tahun. Di antara ulama-ulama dunia Melayu yang menjadi guru-gurunya di Makkah ialah seperti Syeikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani, Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani, Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, Syeikh Abdul Qadir bin Shabir Mandailing dan Syeikh Ahmad Khathib Minangkabau. Diriwayatkan bahawa beliau turut terlibat membantu gerakan Jam’iyatul Fathaniyah yang dicetuskan oleh gurunya iaitu Syeikh Ahmad al-Fatthani yang kemudiannya mendapat tempat di Makkah, Mesir, dan Turki. Beliau turun semula ke Alam Melayu pada tahun 1900. Di Singapura, beliau mula mengajar ilmu agama di ruang kecil di kedai kain milik ayahnya dan juga di kediamannya. Dikatakan bahawa selain mengajar, beliau turut mengusahakan perniagaan kain seperti ayahandanya. Dalam kesibukannya mengajar dan berniaga, beliau tidak lupa untuk turun berdakwah. Beliau dikatakan pernah turun berdakwah hingga ke Pulau Pinang, Medan, Surabaya dan Bandung. Menyedari bahawa percetakan kitab sangat penting pada waktu itu untuk tujuan penyebaran ilmu maka beliau telah menubuhkan dua syarikat percetakan iaitu satu di Singapura dan satu lagi di Melaka. Syarikat percetakan di Singapura dikenali dengan nama Lathifiyah Press, 768 yang terletak di North Bird Road, Singapura manakala syarikat percetakan di Melaka dikenali dengan nama Mathba'ah Al-Lathifiyah Al-Malakawiyah yang beroperasi di Terengkera, Melaka. Beliau turut menjalinkan hubungan perniagaan dengan ramai peniaga di Singapura, Melaka, Pulau Pinang, Medan, Tanjung Pinang (Kepulauan Riau), Surabaya dan Bandung.
Diriwayatkan bahawa beliau gemar memakai tarbus dan merupakan seorang yang sangat dermawan. Kupasan yang menarik dan berkesan menyebabkan kuliah pengajarannnya sentiasa sahaja penuh dengan para penuntut ilmu. Ramai anak muridnya menjadi tokoh masyarakat antaranya seperti Ustaz Hasyim Yunus yang pernah menjadi pengarang Warta Malaya, Haji Junaid bin Imam Haji Ibrahim, Ustaz Muhammad bin Muhammad Sa'id dan ramai lagi. Syeikh Abdul Lathif Tambi termasuk dalam kelompok ulama Kaum Tua yang berpegang teguh mengikut Mazhab Syafi’i dan Ahlus Sunnah wal Jamaah. Perkara ini telah diyatakan olehnya di muka hadapan kitab yang dikarangnya sendiri iaitu Hidayatur Rahman seperti berikut,
“Dinamakan dia Hidayatur Rahman pada menyatakan segala arkanul iman karangan al-Imam al-Fadhil al-Haj Abdul Lathif bin al-Haj Tambi negeri Melaka kejadiannya, Kampung Tengkera kediamannya, Syafi’i mazhabnya, Asy’ari aqidahnya. Dihapuskan kiranya oleh Allah Ta’ala segala kesalahannya dengan kemegahan Nabi Muhammad saw”.
Kajian yang dibuat oleh Md Sidin mendapati bahawa Syeikh Abdul Lathif Tambi ada mengarang kira-kira enam buah kitab. Kitab-kitab tersebut adalah seperti berikut,
1. Syair Bandung – Kitab syair ini diriwayatkan telah dikeluarkan oleh al-Ikhwan Press pada tahun 1917.
2. Hidayatur Rahman – Kitab ini diselesaikan penulisannya pada hari Isnin, 15 Jamadilawal 1318 H/1900 M. Kandungannya membicarakan tentang akidah menurut Mazhab Ahlus Sunnah wal Jamaah. Kitab ini dicetak buat kali ketiga oleh syarikat miliknya sendiri iaitu Mathba'ah al-Lathifiyah al-Malakawiyah, Melaka pada akhir Syawal 1348 H.
3. Tazkiratus Sunnatil Basyar bi Ahkami Itsna `Asyar (Rangkapan) – Kitab ini diselesaikan penulisannya pada malam Sabtu, 13 Rabiulakhir 1343 H/1924 M. Kitab ini pernah dicetak oleh Mathba`ah Al-Ahmadiah yang beroperasi di 50 Minto Road, Singapura, 25 Jamadilakhir 1344 H. Kandungan membicarakan beberapa masalah dan berbagai-bagai disiplin ilmu Islam terutama sekali beberapa pertikaian pendapat atau khilafiyah dalam Islam. Pada setiap perbahasan di beberapa tempat disebut kitab-kitab rujukan dalam bahasa Arab dan demikian juga kitab-kitab Melayu/Jawi lengkap dengan tahun cetakan dan halaman permasalahan yang dipetik. Antara kitab yang dirujuk ialah Bidayatul Hidayah (dikarang oleh Syeikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin Acheh cetakan tahun 1333 H) dan Ad-Durruts Tsamin (dikarang oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani cetakan tahun 1338 H) mengenai perbahasan akidah; Mathla'ul Badrain (dikarang oleh Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani) dan Furu`ul Masail jilid kedua (dikarang oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani cetakan tahun 1307 H) mengenai perbahasan fikah; dan Sairus Salikin jilid ketiga (dikarang oleh Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani cetakan tahun 1309 Hijrah) dan Hidayatus Salikin (dikarang oleh Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani cetakan tahun 1340 Hijrah) mengenai perbahasan tasawuf.
4. Risalah Buat Sementara Yang Sebenarnya Kelak Ketara – Kitab ini diselesaikan penulisannya pada hari Jumaat, 23 Jamadilawal 1354 H/26 Ogos 1935 M). Ia dicetak oleh Lathifiyah Press, Singapura, tanpa tarikh. Kandungannya membicarakan perkara khilafiyah dan merupakan lanjutan atau memperkukuh sebuah karya yang ditulis oleh al-Alim al-'Allamah Syeikh Abdul Muhaimin bin Abdul Aziz al-Lasami (Lasem).
5. Dalailul Khairat – Menurut Almarhum Tuan Guru Haji Wan Mohd Saghir Abdullah, kandungannya belum diketahui namun judulnya diperolehi melalui iklan Al-Ahmadiah Press pada halaman belakang risalah Ibu Di Dalam Rumahnya yang dikarang oleh Raja Haji Umar bin Raja Haji Hasan Riau, cetakan tahun 1926 M.
6. Qiblah Dalail al-Hairan fi Jawazi Hadmi Masjid as-Sulthan - Judul ini diketahui melalui karya beliau berjudul Tazkiratus Sunnatil Basyar bi Ahkami Itsna `Asyar (Rangkapan). Judul ini ditulis barangkali ada kaitan dengan peristiwa perombakan Masjid Sultan Singapura seperti yang diungkapkan dalam majalah Qalam pada ketika itu.
Ulama yang hartawan lagi dermawan ini menghembuskan nafas terakhir pada hari Jumaat pukul 2.30 tengah malam, 17 Rejab 1358 H/1 September 1939 M dalam usia 67 tahun. Jenazahnya dikebumikan di Perkuburan Tengkera, Melaka.

Rujukan utama
1. Wan Mohd Saghir Abdullah. 2004. Syeikh Abdul Lathif Tambi Ulama gigih, dermawan. Ruangan Bicara Agama. Utusan Malaysia. Terbit pada 1 Mac 2004
2. Md. Sidin Ahmad Ishak. 1998. Penerbitan dan Percetakan Buku Melayu 1807-1960. Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur




Syeikh Abdul Lathif Tambi al-Malakawi


Awal permulaan kitab Hidayatur Rahman

Thursday, October 21, 2010

Syeikh Abdul Qadir al-Mandili Guru di Masjidil Haram

Bukan sedikit tokoh-tokoh ulama yang berketurunan Mandailing berhijrah ke Tanah Melayu. Antara tokoh terawal yang datang ke Tanah Melayu ialah Syeikh Junid Thala. Tokoh besar ini lahir pada tahun 1314 Hijriyyah bersamaan dengan 1897 Masehi. Beliau merupakan pendiri Madrasah ad-Diniyah di Padang Rengas, Kuala Kangsar Perak. Madrasah ini pernah menjadi pusat gerakan menentang penjajah satu masa dahulu. Tokoh selanjutnya ialah Syeikh Abdul Qadir Bin Abdul Mutollib Al-Indonesi Al-Mandili. Beliau pernah menimba ilmu di Kedah dan kemudiannya menjadi tenaga pengajar di Masjidil Haram. Walaupun menjadi guru di Masjidil Haram, hubungan beliau dengan alim-ulama dan para penuntut ilmu di Alam Melayu sangat akrab. Beliau sangat mengambil berat tentang perkembangan semasa samada dari segi agama mahupun politik di Alam Melayu.

Nama penuh ulama ini ialah Abdul Qadir bin Abdul Mutollib bin Hassan. Beliau dilahirkan pada tahun 1910 Masehi di Sigalangang, Tapanuli Selatan sebuah wilayah yang terletak di bahagian Sumatera Utara dalam Pulau Sumatera. Latar belakang keluarganya adalah dalam bidang asas tani. Syeikh Abdul Qadir mendapat pendidikan awal di Sekolah Belanda pada tahun 1917 dan lulus Darjah Lima pada tahun 1923. Setahun selepas itu beliau berhijrah ke Kedah untuk mendalami ilmu agama.

Di peringkat awal, beliau menimba ilmu kepada Tuan Guru Haji Bakar Tobiar di Pondok Penyarum, Pendang. Selepas itu beliau berpindah ke Pondok Air Hitam untuk menimba ilmu kepada tokoh ulama di situ iaitu Tuan Guru Haji Idris dan Lebai Dukun. Pada tahun 1926, Syeikh Abdul Qadir memasuki Madrasah Darul Saadah Al-Islamiyah (Pondok Titi Gajah ) yang pada waktu itu dipimpin oleh Syeikh Wan Ibrahim Abdul Qadir yang lebih terkenal dengan panggilan Pak Chu Him) oleh masyarakat setempat. Beliau menadah kitab kepada Pak Chu Him selama 10 tahun. Beliau sangat tekun belajar dan amat ringan tulang. Pada musim cuti, beliau akan bekerja mengambil upah memukul padi kerana pondok itu terletak di dalam kawasan padi. Diriwayatkan bahawa telah menjadi amalan beliau untuk menghafaz sambil memukul padi. Tidak hairanlah beliau menjadi anak murid kesayangan Pak Chu Him Selanjutnya beliau menjadi guru pondok membantu Pak Chu Him mengajar di situ tetapi dalam tempoh yang tidak lama. Ini adalah kerana beliau mengambil keputusan untuk berangkat ke Makkah untuk menimba ilmu kepada kakanda Pak Chu Him iaitu Syeikh Wan Ismail Abdul Qadir atau lebih dikenali sebagai Pak Da ‘Ail. Pak Da ‘Ail pada ketika itu merupakan tokoh ulama besar di Makkah. Pada tahun 1936, beliau bertolak ke Makkah dan setibanya di sana, beliau bukan sahaja berguru dengan Pak Da ‘Ail tetapi juga tokoh-tokoh ulama lain seperti Syeikh Al-Maliki, Syeikh Hassan Al-Masyat, Syeikh Muhammad Al-Arabi, Syeikh Sayyid Al-Alawi, Syeikh Muhammad Ahyad, Syeikh Hasan Yamani, Syeikh Muhammad Nur Saif, Syeikh Umar Hamdan Mahrusi, Syeikh Yasin Isa Al-Fadani dan Syeikh Abdullah Lahji. Dengan mendampingi ulama-ulama besar ini, beliau telah mendalami ilmu khususnya dalam bidang Tauhid, Tasawwuf, Fiqh dan Hadith. Ketika berada di Makkah beliau tambah tekun belajar. Diriwayatkan masanya banyak dihabiskan di Masjidil Haram dengan mengaji, menghafaz, mengerjakan tawaf dan minum air zam-zam. Saking alimnya beliau yang menguasai pelbagai bidang ilmu maka beliau kemudiannya diterima menjadi guru di Masjidil Haram. Bukan calang-calang orang menjadi guru agama di Masjidil Haram kerana Masjidil Haram menjadi tempat perhimpunan alim-ulama untuk menimba ilmu. Syeikh Abdul Qadir telah mendapat pengiktirafan tokoh-tokoh ulama di Makkah sehingga beliau diberi izin untuk mengajar di kota suci itu. Disebabkan itulah beliau telah digelar oleh seorang tokoh ulama Kedah iaitu Tuan Guru Haji Husein Che Dol[1] sebagai “al-Alim al-Fadhil wa al-Abdi al-Kamil As-Syeikh Abdul Qadir bin Abdul Mutollib Al-Mandili al-Indonesi” yang menggambarkan tingginya tahap keilmuan beliau. Halaqah pengajiannya sentiasa mendapat tempat di hati para penuntut ilmu khususnya penuntut yang datang dari Alam Melayu. Halaqah beliau dikatakan sentiasa penuh, tidak pernah kurang dari 200 orang pelajar. Beliau mengajar pelbagai bidang ilmu termasuklah ilmu Nahu, Sorof, Hadith, Musthalah Hadith, Tafsir, Fiqh Syafi`i dan sebagainya.

Ketika menjadi guru di Masjidil Haram, Syeikh Abdul Qadir pernah ditawarkan dengan pelbagai jawatan termasuk sebagai guru agama di Cape Town, Afrika Selatan. Presiden Sukarno dikatakan pernah menawarkan kepada beliau jawatan Mufti Indonesia manakala Al-Malik Saud, Raja Arab Saudi menawarkan jawatan sebagai Qadhi Al-Qudat dengan gaji yang besar tetapi beliau menolaknya kerana ingin menumpukan perhatian kepada pengajarannya di Masjidil Haram. Ini bersesuaianlah dengan gelaran yang beliau sendiri pakai iaitu “Khuwaidam Talabah al-Ilmu as-Syarif bil Harami al-Makki (Khadam kecil bagi penuntut ilmu di Masjidil Haram)”.

Syeikh Abdul Qadir tidak ketinggalan menghasilkan karya dimana ada di antara kitab-kitab yang ditulisnya itu masih lagi digunakan sebagai teks pengajian di pondok dan di masjid. Tulisan beliau meliputi pelbagai bidang seperti usuluddin, tasawwuf, fiqh, politik, pendidikan dan perundangan. Diriwayatkan sewaktu berada di Makkah, beliau telah menghasilkan 24 buah kitab dalam bahasa Melayu dan Arab. Antara hasil penulisannya ialah seperti seperti

  1. Risalah Pokok Qadyani – Risalah ini mendedahkan kesesatan dan bahaya ajaran Mirza Ghulam Ahmad Qadyani.
  2. Sinar Matahari Buat Penyuluh Kesilapan Abu Bakar Al-Asy’ari – Kitab ini ditulis pada tahun 1958 mengkritik pemikiran Kaum Muda.
  3. al-Mazhab atau Tiada Haram Bermazhab – Kitab ini juga ditulis pada tahun 1958 mengkritik pemikiran Kaum Muda.
  4. Pendirian Agama Islam – Kitab ini ditulis pada tahun 1956 dan membicarakan tentang masalah ideologi ciptaan manusia seperti kapitalisme, sosialisme dan komunisme serta percanggahannya dengan aqidah dan pemikiran Islam.
  5. Senjata Tok Haji dan Tok Lebai – Kitab ini ditulis pada tahun 1949
  6. Pembantu Bagi Sekalian Orang Islam Dengan Harus Membaca Quran dan Sampai Pahalanya Kepada Sekalian Yang Mati – Kitab ini ditulis pada tahun 1950
  7. Tuhfat Al-Qari Al-Muslim Al-Mukhtarah Mimma Ittifaqa Alaih Al-Bukhari wa Muslim – Kitab ini ditulis pada tahun 1952
  8. Bekal Orang Yang Menunaikan Haji – Kitab ini ditulis pada tahun 1953
  9. Penawar bagi Hati – Kitab ini ada diterbitkan dalam versi Rumi oleh penerbit Hidayah Publishers
  10. Perisai bagi Sekalian Mukallaf – Kitab ini ada diterbitkan dalam versi Rumi oleh Hidayah Publishers dan Jahabersa.

Buku-buku yang ditulisnya dalam bidang politik dan perundangan antaranya ialah seperti Kebagusan Undang-undang Islam dan Kecelaan Undang-undang Ciptaan Manusia (1961), Siasah dan Loteri dan Alim Ulama (1962) dan Islam: Agama dan Kedaulatan (1959).

Syeikh Abdul Qadir sangat gigih mengajar tidak kira walaupun dalam keadaan sakit. Tidak langsung tampak kesakitan yang dideritainya sebaik sahaja beliau mula mengajar. Apabila ditanya oleh anak muridnya apakah beliau sudah sembuh, beliau menjawab, "kalau menangis pun bukan nak lega". Begitulah hebatnya tokoh ulama yang berasal dari Alam Melayu ini yang sangat gigih berdakwah dan menabur ilmu kepada umat Islam tanpa mengira penat dan lelah. Pada tahun 1385 Hijriyyah (1965 Masehi), Syeikh Abdul Qadir bin Tholib menghembuskan nafasnya yang terakhir setelah mengalami penyakit uzur di kakinya. Jenazahnya telah dimakamkan di perkuburan Ma`la Makkah Mukarramah.

Rujukan utama

  1. http://www.niknasri.com/?p=1378. Dicapai pada 19 Oktober 2010
  2. http://pondoktauhid.blogspot.com/2010/04/sheikh-qadir-mandili.html. Dicapai pada 19 Oktober 2010
  3. http://allangkati.blogspot.com/2010/09/syeikh-abdul-qadir-bin-tolib.html. Dicapai pada 19 Oktober 2010


[1] Anakanda kepada Tuan Guru Haji Ismail bin Mustafa al-Fathani atau lebih dikenali dengan Tok Ayah Doi. Tok Ayah Doi adalah merupakan bapa mertua Pak Chu Him


Syeikh Abdul Qadir al-Mandili



Kitab al Mazhab karangan Syeikh Abdul Qadir al-Mandili


Kitab Senjata Tok Haji dan Tok Lebai susunan Syeikh Abdul Qadir al-Mandili