Monday, December 23, 2013

Shaykh Muhammad Harith Namanya Harum di Siak

 
Pengenalan
Berbanding negeri-negeri lain, Negeri Sembilan agak istimewa dari sudut pengembangan bidang tariqat khususnya tariqat Ahmadiyyah. Seperti yang tercatat dalam Majalah Tasawuf Islami Bil 1 halaman 36, hampir 75% masyarakat Melayu Negeri Sembilan berpegang kepada amalan tariqat Ahmadiyyah. Justeru, tidak lengkap membicarakan amalan tariqat ini jika tidak menyebut nama tokoh-tokohnya. Salah seorang tokoh anak jati Negeri Sembilan yang sangat berjasa dalam usaha mengembangkan tariqat Ahmadiyyah seperti yang terakam dalam sejarah ialah Shaykh Muhammad Harith bin Ahmad. Jasa Shaykh tidak hanya terasa di Negeri Sembilan tetapi melangkaui ke Melaka dan ke seberang Selat Melaka iaitu ke wilayah Siak, Sumatera.
Shaykh diriwayat dilahirkan di Kampung Nerasau, Rembau antara tahun 1905 hingga 1906. Beliau berasal dari suku Batu Hampar. Ia ditakdirkan bertemu jodoh dengan Hajjah Mariam binti Joned. Pada peringkat awal, ia mendapat pendidikan di Sekolah Melayu Penajis yang terletak dalam kawasan kampungnya. Beliau dikatakan mempunyai kecerdasan yang agak mengagumkan terutama dalam bidang matematik. Mungkin atas sebab itu agaknya beliau pernah ditugaskan menjalankan urusniaga getah di Kendung Estate, Kota oleh seorang pemilik estet yang berbangsa Inggeris namun tugasnya itu tidak kekal lama kerana beliau mula cederung mengikuti tariqat yang kian berkembang ditempat tinggalnya. Dikatakan beliau pernah dihantar ke Kedah dan Kelantan untuk mengaji pondok namun tidak lekat di sana.
Mendalami ilmu Tariqat
Tokoh yang bertanggungjawab memperkenalkan Shaykh dengan dunia tariqat ialah Tok Samad Bongek. Beliau adalah murid tua kepada Shaykh Muhammad Said al-Linggi, pengembang Tariqat Ahmadiyyah yang sangat terkenal di Alam Melayu. Shaykh kemudiannya berulang-alik ke Ampangan, Seremban untuk berguru kepada Shaykh Abdullah, anak kepada Shaykh Muhammad Said al-Linggi yang merupakan khalifah tariqat pada masa itu. Dalam tempoh tersebut, ia menyara kehidupannya dengan menjalankan perniagaan membeli getah di kedai bapa mertuanya yang terletak berhampiran dengan padang Sekolah Melayu Astana Raja. Sekitar pertengahan tahun 1930-an, beliau tambah giat mendalami ilmu tariqat hingga dikata orang bahawa beliau langsung sudah tidak mempedulikan perniagaannya. Namun, tidak pula ada yang berani menipunya. Diriwayatkan sampai satu ketika, beliau menyuruh orang yang hendak menjual getah menimbangnya sendiri dan mengambil sendiri wang jualan tersebut dalam peti duitnya. Dalam satu peristiwa, ada juga yang cuba hendak menipunya tapi belum sempat kerja ‘jahat’ itu terjadi, Shaykh dengan spontan menegurnya bagi mendapat kepastian tentang jumlah wang jualan yang diambilnya. Langsung orang yang hendak menipu itu jadi malu dan mengakui kesalahannya. Kelibat Shaykh juga dikatakan tidak setempat. Sekejap di Seremban, sekejap di Melaka. Semuanya dalam keadaan berbasikal. Kata orang, Shaykh menunggang sangat laju. Mendaki bukit sama seperti menurun bukit persis lajunya. Tidak lama selepas itu, Shaykh telah diberi keizinan untuk mengajar Tariqat Ahmadiyyah di kawasan tempat tinggalnya.
Berkat keizinan gurunya, pengajaran Shaykh berkembang hingga ke negeri Melaka. Di Melaka, tempat terawal ialah Lubok China. Selanjutnya mengajar pula di Kuala Linggi. Shaykh pergi dari satu tempat ke tempat berikutnya dengan menunggang basikal. Diriwayatkan dalam perjalanan pertama ke Kuala Linggi sekitar tahun 1936, beliau berbasikal dengan dua orang sahabatnya (yang mempunyai pertalian saudara dengannya), Tuan Ibrahim dan Tuan Ali bin Mohd Said. Apabila sampai di sebuah pekan, mereka pun berhenti sebentar untuk minum di sebuah kedai kopi. Dalam keadaan tidak mempunyai wang, kedua-dua sahabat ini berasa sangat berdebar-debar untuk minum namun Shaykh biasa sahaja. Sedang mereka minum, datang seorang hamba Allah menumpang minum langsung dibayarkan semua perbelanjaan minum mereka tadi. Kejadian yang sama juga berlaku di pekan Kuala Sungai Baru, tidak berapa jauh dari Kuala Linggi di mana makan minum mereka telah ditanggung oleh hamba Allah yang lain. Walaupun mengajar di Melaka, Shaykh tetap mengajar di kampungnya sendiri dan kampung-kampung lain yang menghilir ke Melaka seperti Kampung Sawah Raja, Kampung Titian Akar dan Kampung Titian Bintangor. Kemana sahaja ia pergi, masyarakat memberikan sambutan yang sangat baik. Ada yang bergotong-royong membina surau, ada yang membawa tiang, atap, dinding dan sebagainya bagi memastikan Shaykh dapat mengajar dengan selesa.   
Merantau ke Siak
Satu hari tanpa memberitahu ahli keluarganya, Shaykh bersama beberapa orang anak muridnya telah menyeberang Kuala Linggi menuju ke Siak. Dikatakan orang-orang Kuala Linggi selalu ke Siak khususnya ke Pulau Bengkalis untuk berniaga, menjaring ikan dan sebagainya. Dalam perjalanan itu, dikatakan tekong perahu meminta air kopi kerana kehausan. “Minta bir, aku dahaga ni”, kata tekong tersebut. Mendengar kata tekong itu, Shaykh langsung mencurah air kopi tersebut ke dalam laut kerana marah dengan kata-kata tekong itu yang memanggil kopi sebagai minuman keras. Tidak lama kemudian, perahu mereka dikejar oleh kapal penjajah Belanda yang pada masa itu menguasai perairan Indonesia. Shaykh mengangkat sarbannya seolah-olah memberi isyarat tertentu. Dengan tiba-tiba turun hujan ribut di sebelah kapal penjajah Belanda sedangkan perahu yang dinaiki Shaykh berada dalam keadaan cuaca sangat yang baik dengan angin semakin kencang mempercepatkan perjalanan mereka menuju ke Selat Bengkalis. Walaupun baru kali pertama pergi ke sana, Shaykh pula seolah-olah yang menjadi jurupandu kepada tekong perahu tersebut yang jauh lebih berpengalaman darinya, mungkin kerana kalut dan gementar setelah melalui beberapa peristiwa yang berlaku secara mendadak itu.
Perahu berkenaan berlabuh di sebuah tempat bernama Buruk Bakul. Shaykh kemudiannya mencari tokoh setempat yang bernama Haji Mohd Nor yang dikatakan berasal dari Kampung Astana Raja, Rembau. Haji Mohd Nor menjadi imam di kawasan itu manakala anaknya yang bernama Husin berpangkat besar. Perkenalan Shaykh dengan dua beranak itu secara tidak langsung mempercepatkan usaha Shaykh mengembangkan tariqat Ahmadiyyah di Siak. Kata Shaykh ketika mula-mula ditanya orang tentang tujuannya ke Siak, “Di Negeri Sembilan lampu sudah terang, kalau  pasang pelita tidak nampak cahayanya. Adapun di sini (Siak), suasana masih gelap, kalau pasang pelita masih nampak cahayanya”. Shaykh mengumpamakan dirinya seperti pelita yang diharapkan dapat memberi sinar kepada masyarakat Siak.
Di Buruk Bakul, nama Shaykh cepat sungguh masyhur. Anak muridnya datang dari merata daerah. Ada yang datang dari Kampar, Rokan, Batu Bara malah ada juga dari Tanah Minangkabau Sumatera Barat. Walaupun sibuk dengan urusan di Buruk Bakul, Shaykh tetap pulang ke kampung halamannya selang beberapa bulan sekali menjenguk anak isterinya. Dua tahun selepas itu, Shaykh berpindah ke Teluk Air, menghala ke selatan Buruk Bakul. Tempat itu dikatakan lebih strategik. Sebelum berpindah, Shaykh pergi menghadap Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dengan tujuan untuk mendapat surat akuan daripada baginda. Selain mendapat surat akuan, Shaykh juga telah menerima surat sokongan dari Haji Ipap yang merupakan Undang Rembau pada masa itu. Surat-surat itu kemudiannya dipersembahkan kepada pemerintah Siak pada masa itu iaitu Sultan Sharif Kassim. Baginda dengan sukacitanya memperkenan permintaan Shaykh malah membenarkan Shaykh meneroka tanah ikut kemahuannya sendiri. Shaykh turut diberi penghormatan menjadi imam solat di Masjid Besar Siak. Pada mulanya ia enggan namun setelah sultan sendiri menyarungkan jubah imam, tidak dapat pula ia menolaknya.
Di Teluk Air, Shaykh membina sebuah surau yang agak besar. Beliau mengupah tukang-tukang kayu yang mahir dari Kampar dan Minangkabau. Selain itu, ia membuka tanah pertanian seluas 500 ekar. Anak-anak muridnya menanam rumbia, pinang, padi huma dan kelapa. Selain menjadi pembimbing tariqat, Shaykh telah menjemput beberapa orang alim ulama untuk mengajar anak muridnya. Antaranya ialah seperti Tuan Guru Haji Khusai dan Haji Nawawi dari Payakumbuh dan Bukit Tinggi, Tuan Guru Haji Abdul Salam dari Bengkalis dan Tuan Guru Haji Abdul Ghani Haji Bakar.
Shaykh mudah mesra dengan sesiapa sahaja. Bahkan Shaykh sangat rapat dengan Sultan Siak. Tambahan pula, Sultan Siak sendiri menjadi anak murid Shaykh kerana melazimi amalan tariqat Ahmadiyyah. Shaykh sering diundang ke istana untuk mendapatkan khidmat nasihat. Manakala keberadaan Shaykh di Siak telah mewujudkan hubungan erat dua hala antara Siak dan Rembau. Setiap kali Shaykh berulang-alik ke Seremban untuk bertemu gurunya, beliau akan membawa beberapa orang anak muridnya mengaji pondok kepada Shaykh Ahmad bin Shaykh Muhammad Said al-Linggi di Rasah. Begitu juga apabila ia pulang ke kampung halamannya di Rembau, ia akan membawa bersama anak-anak muda dari Rembau untuk belajar di Siak. Keluarga Shaykh di Rembau menjadi keluarga angkat anak-anak muridnya yang berasal dari Siak yang menimba ilmu di Negeri Sembilan. Diriwayatkan apabila ada hari kelepasan, mereka akan berkumpul di rumah Shaykh di Rembau untuk bertemu sesama mereka bertanya khabar. Sebelum Perang Dunia ke-2 meletus, Shaykh membawa anak isterinya berpindah ke Siak. Apabila perang tamat, isteri dan anak-anaknya, pulang semula ke Rembau untuk menyambung persekolahan. Hanya anaknya yang bernama (Haji) Ismail tidak turut serta sebaliknya tinggal bersama Shaykh menjadi pembantunya. Bersama-sama dengan anaknya, Shaykh telah mengembangkan tariqat Ahmadiyyah sehingga ke Pekan Baru yang menjadi ibu negeri Siak yang baru. Mereka telah membeli sebuah istana lama untuk dijadikan rumah persinggahan untuk membincangkan urusan perniagaan dan bertemu dengan orang-orang kenamaan Siak. Selain Haji Ismail yang diharapkan Shaykh untuk menguruskan hal-ehwal keluarga dan perniagaan, serang lagi individu yang menjadi orang kepercayaan Shaykh ialah (Haji) Ahmad bin Abdul Hamid. Beliau diamanahkan Shaykh untuk membantunya dalam urusan tariqat dan hal-hal peribadi yang bersangkutan. Haji Ahmad mempunyai kebolehan dalam ilmu gagah. Ketika hasil tanaman Shaykh dirosakkan sekumpulan beruang, Haji Ahmad telah memburu beruang-beruang tersebut dengan tulang empat keratnya tanpa menggunakan apa-apa senjata. Haji Ahmad juga menerima wasiat Shaykh agar mengebumikan jenazahnya dibawah mihrab masjid yang didirikannya.
Peristiwa Mencarik Adat
Shaykh dikatakan telah dianugerah beberapa kelebihan luar biasa seperti yang diriwayat oleh mereka yang rapat dengannya. Antara kisahnya adalah seperti berikut;
  1. Ketika beliau sedang duduk bersama sahabat-sahabatnya di pondok sawah di kampungnya, salah seorang sahabatnya bersungut tentang kitab dan kain pelikat yang dipinjamkan kepada seseorang masih belum dipulangkan. Sebaik mendengar sungutan itu, Shaykh pun berkata kepada sahabatnya bahawa orang itu akan menghantar barang-barang yang dipinjamnya itu tidak lama lagi. Tidak lama selepas itu, sampailah orang yang dimaksudkan dan kesemua barang yang dipinjamnya telah pun dipulangkan semula.
  2. Pada satu hari, ramai orang mandi-manda di Sungai Penajis. Salah seorang dari mereka kehilangan gigi palsu. Kebetulan Shaykh lalu di kawasan itu. Orang ramai yang melihat kelibat Shaykh terus meminta bantuan darinya kalau-kalau ia tahu kedudukan gigi palsu itu. Shaykh pun berjalan ke tepi sungai kemudian menunjuk ke satu tempat. Orang ramai pun menyelam di kawasan yang ditunjuk Shaykh itu dan akhirnya berjaya menemui gigi palsu tersebut.
  3. Dalam satu kejadian, Shaykh kehilangan sejumlah wang dan wang itu dijumpai oleh seseorang. Shaykh kemudiannya mendapat ilham dan mengetahui orang yang menjumpai wang tersebut lalu ia bertanya kepada orang itu tentang wang yang dijumpainya. Orang itu pun kemudian menyerahkan wang yang dijumpainya kepada Shaykh.
  4. Pernah satu ketika diriwayatkan Shaykh hendak berbasikal ke rumah gurunya di Seremban. Dengan tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya. Secara spontan terpacul dari mulut Shaykh mengharapkan agar hujan yang turun itu tidak menghalang niatnya hendak pergi ke rumah gurunya. Seketika itu juga, hujan pun berhenti dan Shaykh meneruskan perjalanan ke rumah gurunya.
  5. Shaykh mendapat ilham tentang besar kemungkinan akan berlaku revolusi di Siak. Pada tahun 1939, ketika ia menghadap Sultan Siak bersama-sama anaknya, Haji Ismail, Shaykh menasihati baginda tentang revolusi yang bakal terjadi. Ternyata, beberapa tahun selepas itu revolusi yang dimaksudkan Shaykh benar-benar berlaku.
  6. Ketika dalam keadaan tenat kesan dari penyakit raja[1] yang ditanggungnya, Shaykh sempat memberitahu anaknya, Haji Ismail agar beri sedikit hasil jualan tanamannya kepada isterinya, Hajjah Mariam untuk dijadikan ‘duit lauk’. Haji Ismail pada masa itu berhajat hendak pulang belayar ke Rembau untuk menguruskan jualan tanamannya. Haji Ismail tidak begitu mengerti maksud duit lauk seperti yang diungkap oleh bapanya itu. Ketika dalam perjalanan pulang, ribut besar berlaku sehingga beliau terdampar di pantai Morib. Setelah itu, ia berkemas menuju ke Rembau dan didapatinya, ibunya sedang sibuk hendak menguruskan pernikahan adik susuannya yang bernama Rubiah. Pada masa itu, barulah Haji Ismail mengerti bahawa duit lauk yang dimaksudkan bapanya itu adalah wang untuk menguruskan kenduri perkahwinan.
Meninggal Dunia
Sekitar bulan Disember 1947, Shaykh menghembuskan nafasnya yang terakhir di hadapan ratusan orang muridnya. Jenazahnya telah dikebumikan betul-betul di hadapan mihrab masjidnya seperti yang diwasiat kepada anak muridnya.
Daftar Pustaka
  1. Yaakub bin Idrus. 1988. Tuan Lebai Aris Pengembang Tariqat di kedua-dua Pantai Selat Melaka. Warisan Jurnal Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Negeri Sembilan bil. 13 1988/1989




[1] Sejenis kudis bisul yang agak besar di bahagian tengkuknya

 

Shaykh Muhammad Harith

Tuan Guru Haji Zakaria Penyubur Ilmu Manong

Riwayat Hidup
Selain makam Sultan Tajul Ariffin (Marhum Mangkat di Tebing) yang dianggap keramat dan beberapa lokasi air terjun yang menarik, Manong tersimpan dalam ingatan pengunjungnya sebagai sebuah pekan kecil. Namun seorang tokoh pendidik setempat telah berjaya menjadikan kawasan tersebut sebagai pusat pendidikan terkenal khususnya dalam bidang agama. Tokoh yang dimaksudkan ialah Tuan Guru Haji Zakaria bin Haji Sulaiman.
Tuan Guru dilahirkan pada 3 September 1928 waktu Subuh pada hari Jumaat di Kampung Teluk Manis, Layang-layang Kiri, Parit, Perak. Lokasi kampung tersebut adalah di tebing Sungai Perak. Ayahandanya, Haji Sulaiman bin Abdul Wahid (1898-23 Mei 1975) adalah merupakan pengasas Kampung Jeliang yang menjadi tapak kepada institusi-institusi pendidikan yang ditubuhkan oleh Tuan Guru. Setiap hari, Haji Sulaiman berbasikal sejauh 20 batu untuk meneroka tanah Jeliang. Ayahandanya seorang yang mengambil berat tentang hal ehwal agama. Bahkan beliau telah mewakafkan tanah tapak surau yang kemudiannya dijadikan sebuah madrasah yang dikenali dengan nama Madrasah Jalan Badak.
Pendidikan
Tuan Guru mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Layang-Layang Kiri pada tahun 1936. Setahun kemudian ia bersekolah di Sekolah Melayu Manong setelah keluarganya berpindah ke Jeliang. Ia tamat pengajian darjah enam pada akhir tahun 1941. Setiap pagi ia akan berbasikal ke sekolah dan hanya pulang ke rumah pada sebelah petang. Tuan Guru seorang yang pintar dalam kelas. Beliau sering mendapat tempat yang baik dalam kelas. Selepas tamat pengajian, ia memohon jawatan guru pelatih namun Perang Dunia ke-2 meletus menyebabkan sistem pendidikan tidak begitu menentu pada waktu itu. Tuan Guru kemudiannya mengambil keputusan memasuki Madrasah Idrisiah Kuala Kangsar yang diterajui oleh Shaykh Abdullah Fahim pada ketika itu. Setelah tentera Jepun memasuki sekolah itu untuk menempatkan kakitangannya, pelajar-pelajar madrasah termasuk Tuan Guru berpindah ke Madrasah Mariah yang tidak jauh kedudukannya dari Madrasah Idrisiah. Pergolakan perang menyebabkan Tuan Guru dan rakan-rakannya dapat melihat kacau-bilau yang berlaku antara tentera Jepun dengan komunis dan orang ramai. Ketika belajar di Madrasah Idrisiah, Tuan Guru sempat menimba ilmu kepada mudirnya sendiri, Shaykh Abdullah Fahim, Shaykh Nawawi (lebih dikenali sebagai Tok Wi Janggut Merah),  Shaykh Yusuf dan Shaykh Uthman Sujak. Tuan Guru menimba ilmu al-Qu ran kepada Tuan Haji Ahmad al-Banat yang merupakan imam Masjid Ubudiah Bukit Chandan.
Setelah Jepun menyerah kalah pada tahun 1945, keadaan negara menjadi semakin tidak menentu. Tuan Guru bersama-sama saudara kandungnya, Tuan Guru Haji Abdul Aziz dan rakan-rakannya yang lain seperti Tuan Guru Uthman bin Itam Karib dan Tuan Guru Mokhtar al Ataruddin Lebai Awang bermusafir ke Kedah dengan azam hendak menimba ilmu kepada Tuan Guru Haji Abdul Aziz bin Haji Ibrahim di Pondok Batu Hampar, Pendang. Untuk ke sana, Tuan Guru dan rakan-rakannya menaiki keretapi dari Kuala Kangsar menuju ke utara. Mereka terpaksa menumpang keretapi yang membawa tentera Jepun. Mereka singgah di Bukit Mertajam dan tidur di sana beberapa hari. Tuan Guru dan rakan-rakan sempat menziarahi Shaykh Yamani dan Shaykh Ahmad Fuad Hassan yang berkebetulan bermukim di Bukit Mertajam. Dari Bukit Mertajam, Tuan Guru dan rakan-rakannya menumpang lori menuju ke Kota Sarang Semut Kedah. Dari Kota Sarang Semut, mereka berjalan kaki sejauh 7 batu menuju ke Pendang. Tuan Guru menimba ilmu di Pondok Batu Hampar selama dua tahun.
Pada tahun 1947, Tuan Guru berhijrah ke Kelantan untuk berguru dengan ulama tersohor, Shaykh Abdullah Thahir bin Ahmad di Pondok Bunut Payung, Kota Bharu. Tuan Guru tinggal di Kelantan selama 8 tahun. Selepas itu, Tuan Guru pergi ke Makkah dengan hajat hendak menimba ilmu sekurang-kurangnya lima tahun di sana. Namun tindakan kerajaan Arab Saudi merobohkan rumah-rumah di sekeliling Makkah dengan tujuan hendak membesar binaan Masjidil Haram menyebabkan Tuan Guru kembali ke Tanah Melayu tidak lama selepas itu. Sebaik pulang ke tanahair, Tuan Guru menyambung belajar kepada Tuan Guru Haji Ghazali bin Arshad di Pondok Irsyadiyah Batu 26, Bagan Datoh Perak. Tuan Guru mengaji di pondok itu selama tujuh bulan.
Berbakti di kampung halaman
Tidak lama selepas menimba ilmu di Pondok Irsyadiyah, Tuan Guru kembali ke kampung asalnya. Di tempat asalnya, Tuan Guru mendirikan sebuah surau di Jalan Badak. Disitulah ia mula mengajar dan membimbing anak-anak setempat. Tuan Guru pernah mendapat tawaran untuk berkhidmat dalam kerajaan tetapi hatinya yang sangat cintakan pendidikan telah menyebabkan ia mengajar di sekolah agama yang diasaskannya.Di sebelah pagi ia mencari rezeki dengan mengerjakan kebun dan sawahnya. Menjelang petang, ia menjalankan tugasnya sebagai pendidik dengan membimbing dan mengasuh anak-anak penduduk setempat. Di sebelah malam pula ia menyampaikan ilmu kepada orang awam di surau-surau dan masjid yang berdekatan. Tuan Guru turut menjadi imam di Masjid Al Khairiyah Jeliang selama 40 tahun sehingga akhir tahun 1993.
Memandangkan sambutan masyarakat setempat semakin hangat, tempat pengajian dipindahkan ke sebuah surau berdekatan dengan Masjid Jeliang. Di surau itulah didirikan sekolah agama rakyat yang dikenali dengan nama Madrasah al Hidayah al Islamiyah. Pada tahun 1961, sekolah baru mula didirikan di Jalan Badak dan semua pelajar berpindah ke situ.
Selepas 40 tahun sekolah agama rakyat itu didirikan, sebuah sekolah menengah pula ditubuhkan yang dikenali dengan nama Maahad al-Mizan. Apa yang menarik ialah sekolah itu ditubuhkan hasil pemuafakatan bekas-bekas pelajar Madrasah al Hidayah al Islamiyah yang juga merupakan anak-anak murid Tuan Guru. Perjumpaan hari raya oleh murid-murid tua Madrasah al Hidayah al Islamiyah pada 5 Januari 1993 telah mencetuskan idea penubuhan sebuah sekolah agama rakyat peringkat menengah di kampung Jeliang. Sebuah jawatankuasa penaja ditubuhkan bagi menggerakan perlaksanaan penubuhan sekolah tersebut. Jawatankuasa tersebut telah bersetuju untuk melantik Tuan Haji Megat Radzuan b Megat Taib yang bertugas sebagai Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Islam di Jabatan Agama Islam Perak menjadi Pengerusi Penaja, Encik Ahmad B Putih Osman selaku Setiausaha manakala Tuan Guru sendiri sebagai penasihat. Pada akhir tahun 1993, sebuah bangunan sekolah tiga tingkat berukuran 155 × 30 telah dibina dengan kos RM 432,5000.00 iaitu sumbangan MAIPK sebanyak RM 280, 000 dan selebihnya kutipan daripada orang ramai. Apabila sekolah ini siap dibina pada awal tahun 1995 maka seramai 60 orang pelajar (27 lelaki & 33 perempuan) telah menduduki tingkatan satu dengan tenaga pengajar seramai enam orang. Tuan Guru menjadi pengetuanya yang pertama. Pada ketika ini, Maahad Al-Mizan telah memiliki tiga blok bangunan yang menempatkan kelas-kelas pengajian, pejabat, perpustakaan, bilik APD, sebuah asrama putera, sebuah asrama puteri dewan makan, kantin sekolah, kedai sekolah, pondok telefon, bilik dobi, bengkel KHB, kediaman guru dan kakitangan. Ketika di awal penubuhan sekolah tersebut, Tuan Guru bukan sahaja mentadbir tetapi juga menanam pokok dengan tujuan untuk mengindahkan sekolah dan mencuci bilik air. Beliau sanggup membayar gaji guru-gurunya lebih tinggi dari gajinya sendiri bagi memastikan kebajikan gurunya terjaga.
Tatkala kudratnya sudah tidak upaya untuk meneruskan tugas mentadbir maahad yang diasaskannya, ia beralih tumpuan kepada tugas mengajar sahaja. Pada tahun 2001, Tuan Guru menyerahkan jawatan mudir kepada Tuan Haji Megat Radzuan b Megat Taib. Tuan Guru terus mengajar di Maahad al Mizan sehingga tahun 2006. Tuan Guru juga turut mengajar di Pondok al-Ridzuan di Jalan Badak dan Masjid Jeliang dengan menumpukan perhatian hanya kepada mengajar. Pondok al-Ridzuan ini menjadi tumpuan warga emas untuk menimba ilmu agama.
Meninggal Dunia
Tuan Guru Haji Zakaria menghembuskan nafasnya yang terakhir pada pagi Khamis 9 Jun 2011 bersamaan 7 Rajab 1432 H. Jenazah tuan guru disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jeliang selepas solat Asar pada hari yang sama.
Anugerah
Bagi menghargai jasa dan sumbangannya khususnya dalam bidang pendidikan agama, Tuan Guru telah dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah pada Tahun 1999 oleh kerajaan Negeri Perak. Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Duli Yang teramat Mulia Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah.
Rujukan
  1. http://cucupandakleman.blogspot.com/2011_08_01_archive.html. Dicapai pada 17 September 2013
  2. http://cucupandakleman.blogspot.com/2010/10/kenangan-lama.html. Dicapai pada 18 September 2013
  3. http://malmizan.blogspot.com/2008/07/sejarah-sekolah.html. Dicapai pada 17 September 2013
  4. http://alumniamam.blogspot.com/2008/12/sekolah-menengah-agama-maahad-almizan.html. Dicapai pada 17 September 2013
 
 
 
Surau lama Jalan Badak

 Tuan Guru Haji Zakaria


Maahad al Mizan
 


Sambutan 10 Tahun Maahad al-Mizan