Friday, November 22, 2013

Tuan Guru Dato Haji Ghazali Peneraju institusi pengajian dua zaman


Bagan Datoh[1] letaknya ialah di sebelah selatan negeri Perak. Bagan Datoh mempunyai sebuah pekan yang sederhana besar. Bandar yang terdekat dengannya ialah Teluk Intan, lebih kurang 45 km jaraknya. Pekerjaan utama penduduk setempat ialah menjadi nelayan, berkebun dan mengusahakan ladang kelapa. Selain Sungai Dulang yang menjadi mercu tanda para peminat pengail udang dan Beting Beras Basah yang dikaitkan dengan adat istiadat pertabalan Sultan Perak, Bagan Datoh tidaklah begitu terkenal berbanding kawasan-kawasan lain dalam negeri Perak misalnya Taping dan daerah Larut Matangnya yang terkenal dengan kawasan pelancongan dan sejarahnya atau Kuala Kangsar yang terkenal dengan Bandar Dirajanya. Namun seperkara yang mencuri tumpuan tentang Bagan Datoh ialah kebanjiran alim-ulama dan pondok di kawasan itu. Secara tidak langsung, Bagan Datoh boleh diiktiraf sebagai pusat institusi agama di negeri Perak berdasarkan ramainya alim-ulama dan pondok yang terdapat di tempat itu. Antara nama-nama besar yang boleh diingati ialah seperti Kiyai Mohd Yasin Thoha Al-Bakri yang telah meningal dunia pada tahun 1978 dan dikebumikan di Kampung Sungai Batang Baruh, Tuan Guru Dato’ Haji Ghazali Arshad yang mendirikan pusat pengajian di Batu 26, Tuan Guru Haji Abdul Rahman di Teluk Penikam, Tuan Guru Kiyai Radin Haji Siraj di Sungai Nipah Darat, Tuan Guru Haji Abdullah di Sungai Nipah Baroh, Tuan Guru Haji Abbas dan Tuan Guru Haji Masduki di Sungai Tiang Darat,  Tuan Guru Haji Radzi di Selekoh, Tuan Guru Haji Arshad, pendiri institusi al-Ulum al-Syar’iyyah  di Batu 20 dan Tuan Guru Haji Adnan di Tanjung Bayan.

Yang hendak dibicarakan dalam penulisan ini ialah Tuan Guru Dato’ Haji Ghazali Arshad, pengasas institusi pendidikan Irshadiah yang sehingga kini masih lagi menawarkan pengajian kepada masyarakat sekitar.

Riwayat Hidup

Tuan Guru dilahirkan di Pasir Panjang Laut, Sitiawan, Perak pada 13 Rabiul Akhir 1319 Hijriyyah, sekitar tahun 1901 dalam tahun Masehi. Keluarganya amat menitikberatkan bidang agama. Diriwayatkan moyangnya yang bernama Shaykh Mansur[2] itu berasal dari negara Arab Yaman, manakala ibunya, Hajah Puteri Madinah Mat Saman berketurunan Megat Terawis, pahlawan Perak yang terkenal itu. Tambahan pula suasana sekitar perumahannya adalah berdekatan dengan kediaman tokoh-tokoh agama setempat seperti Kadi Haji Alias Hussein dan Kiyai Haji Abdul Latif Abdul Hamid. 

Pendidikan

Sejak dari usia kecil, Tuan Guru telah didedahkan dengan pendidikan. Pada peringkat awal, Tuan Guru dihantar belajar ke Sekolah Melayu Pasir Panjang Laut selama lima tahun. Kemudian diriwayatkan beliau beliau dimasukkan ke Pondok Lubuk Merbau. Tidaklah diketahui pondok Lubuk Merbau yang dimaksudkan ini terletak di mana iaitu samada di Perak atau di Kedah  kerana di Kedah juga ada tempat yang bernama Lubuk Merbau. Namun selepas itu, beliau dikatakan telah berguru kepada ulama Kedah yang sangat terkenal pada ketika itu iaitu Tuan Hussain Kedah. Sayangnya ia pada gurunya itu sehingga ia ikut gurunya ke mana gurunya itu mengajar seperti di Pondok Bagan Ulu, Pantai Merdeka dan Pondok Selengkoh, Sungai Limau, Yan. Selanjutnya ia menggurui pula kepada Shaykh Salleh Masri di Madrasah al-Masriyah, Tanah Liat, Bukit Mertajam selama lima tahun.

Awal dekad 1920-an, Tuan Guru belayar ke Makkah. Beliau diriwayatkan pernah menimba ilmu kepada ulama-ulama ternama di Madrasah Shaulatiyah al-Hindiyah dan juga alim-ulama yang mendirikan halaqah pengajian di Masjidil Haram.

Antara guru-gurunya ketika berada di Makkah ialah seperti Shaykh Hasan Masyath – Tuan Guru belajar ilmu hadith kepadanya; Shaykh Wan Ismail bin Wan ‘Abdul Qadir al-Fathani (Pa’ Da Eil) – ilmu-ilmu alat, hadith, falak, nahwu dan balaghah; Syaikh ‘Ali Maliki – Fiqah Maliki dan balaghah; Syaikh Ahmad Khurasan – Tuan Guru tinggal bersamanya selama 2 tahun di Thaif sekaligus menjadi khadim dan anak angkat gurunya). Ilmu yang dipelajari ialah nahwu, munadzarah, mustholah hadith, usuluddin dan usul fiqh; Shaykh Harun Kambang Minangkabau – Falak/Miqat; Sayyid Hussin ‘Abdunnabi – tyasawwuf; dan Syaikh Ibrahim Zaidan – ilmu gerhana.

Agak lama Tuan Guru berada di Makkah menyebabkan ramai pula pelajar dari Tanah Melayu yang kemudian hari menimba ilmu pula kepadanya. Tuan Guru kembali semula ke tanahair sekitar tahun 1932, iaitu setelah lebih 10 tahun beliau berada di Tanah Suci.

Mendirikan madrasah

Setelah balik ke tanahair, Tuan Guru melangsungkan perkahwinan dengan Hajjah Zabedah di Kampung Matang Kunda, Bagan Datoh. Isterinya adalah merupakan adik kepada Haji Arshad, seorang tokoh di Bagan Datoh yang sangat mengambil berat tentang perkembangan ilmu agama khususnya pendidikan berasaskan pondok atau madrasah. Setelah berkahwin, Tuan Guru mula mendirikan madrasah. Bangsal kecil tempat ia melangsungkan perkahwinan dijadikan lokasi mengajar. Mengetahui akan niat adik iparnya hendak membangunkan madrasah maka Haji Arshad tanpa berfikir panjang menghulurkan bantuan dalam bentuk  sokongan moral serta harta bendanya sekali. Bagi mengenang jasanya, Tuan Guru telah menamakan madrasahnya sebagai Irshadiah sempena mengambil nama abang iparnya yang telah banyak berkorban membantunya.

Pada peringkat awal penubuhan, Irshadiah menawarkan pengajian secara halaqah iaitu mengikut sistem pondok. Bidang pengajian adalah seperti fiqah, tasawwuf, tajwid, hadith, tafsir dan bahasa Arab. Makin hari bilangan pelajar makin bertambah. Bangsal yang kecil itu tidak dapat menampung bilangan pelajar yang semakin ramai. Akhirnya pada tahun 1935, Irshadiah berpindah ke sebidang tanah wakaf di suatu tempat yang dipanggil Hujung Matang (kini dikenali sebagai Batu 26, Bagan Datoh). Bilangan pelajar pada ketika itu ialah seramai 30 orang.

Perang Dunia ke-2 sedikit sebanyak mengganggu perjalanan madrasah. Tuan Guru dan keluarga terpaksa berhijrah ke Sungai Manik Teluk Intan ekoran kekacauan rejim tentera Jepun. Setelah Perang Dunia ke-2 berakhir, Tuan Guru kembali membangunkan madrasah. Pada tahun 1960, madrasah mendapat bangunan baru yang dibina hasil dari kutipan derma orang ramai serta kerjasama ahli Jawatankuasa yang dilantik daripada golongan para pelajarnya. Pengajian akademik mula diperkenalkan namun pengajian halaqah ala pondok tetap diteruskan dan dijalankan disebelah malam. Sepuluh tahun kemudian, struktur operasi sekolah berubah menjadi Sekolah Menengah Agama Irshadiah Persendirian. Perubahan ini meliputi sesi pembelajaran dua bahagian iaitu bahagian arabiah yang diajar pada sesi pagi dan bahagian akademik di sebelah petang. Pendidikan Arabiah diajar sehingga peringkat Sijil Tinggi Agama (Syahadah Thanawi) dan diiktiraf oleh universiti-universiti Timur Tengah khususnya Al-Azhar, Mesir. Manakala pendidikan akademik pula serupa dengan sistem sekolah menengah kerajaan yang menyediakan pendidikan menengah rendah hingga ke peringkat menengah atas yang diwujud berdasarkan daya usaha Kesatuan Pelajar-pelajar Islam Perak (KPIP).

Sekolah ini terus maju menjadi salah sebuah pusat pengajian agama terulung di Negeri Perak. Statistik tahun 1993 menunjukkan sekolah tersebut mempunyai seramai 674 pelajar yang dikendalikan kira-kira 36 orang tenaga pengajar yang mengajar 13 kelas sesi pagi dan petang. Penawaran pengajian dua bahagian tersebut telah menarik minat ramai pelajar dari seluruh pelusuk Tanah Melayu termasuk Brunei.

Keahlian dalam bidang agama

Heboh orang ramai menceritakan perihal alimnya Tuan Guru dalam bidang agama setelah pulang ke tanahair akhirnya sampai jua ke pengetahuan Sultan Perak pada ketika itu iaitu Sultan Iskandar Shah Marhum Kaddasallah. Kealiman Tuan Guru sebenarnya telah diketahui oleh penuntut-penuntut ilmu ketika berada di Makkah lagi. Beliau dikatakan memiliki kemahiran dalam pelbagai bidang ilmu khususnya balaghah, mantik, falakiah, tafsir, hadith dan fiqah. Sebab itu apabila Tuan Guru pulang ke tanahair, banyak pihak yang ingin bertemu dengannya samada hendak berguru ataupun mendapatkan pandangan tentang hukum-hakam dan sebagainya. Diriwayatkan Sultan Iskandar pernah menyatakan hasratnya hendak melantik Tuan Guru sebagai guru agama Istana yang kedudukannya setaraf seperti Mufti namun ditolak dengan baik oleh Tuan Guru kerana hendak memberi perhatian kepada madrasah yang diasasnya. Tuan Guru walaubagaimanapun menerima tawaran Sultan dengan menjadi Ahli Mesyuarat Ulama Perak dengan tujuan untuk memberi kefahaman agama kepada rakyat negeri Perak. Baginya, menyebarkan ilmu kepada masyarakat adalah satu kewajiban. Menurutnya, ahli ilmu yang baik itu adalah mereka yang sentiasa berusaha hendak melahirkan generasi ilmuwan berikutnya. Katanya, “Penuntut agama adalah umpama setandan buah kelapa, ada yang gugur dibuat gulai untuk orang lain dan ada juga yang gugur dan bercambah. Yang dibuat gulai itu menunjukkan kurang tersebar ilmunya manakala yang bercambah pula bagi orang yang dapat menyebarkan ilmunya sehingga dapat melahirkan para ilmuan.”

Kemudian pada tahun 1964, dia ditawarkan jawatan Mufti Perak atas restu Sultan Idris Shah II tetapi ditolaknya juga secara lembut kerana Madrasah Irshadiah masih memerlukan kudrat dan khidmatnya. Pada tahun 1976, Tuan Guru telah dilantik menjadi Pengerusi Jawatankuasa Menilai Darjah Kealiman Calon-calon Mufti Kerajaan Negeri Perak.

Anak muridnya

Anak-anak muridnya ramai yang menjadi alim-ulama. Antaranya ialah seperti Tuan Guru Haji ‘Ali Kemboja (mantan Mufti Kemboja), Tuan Guru Haji ‘Abbas bin Haji Muhammad Saman (Mudir Madrasah ‘Aziziah, Parit), Dato’ Haji ‘Abdul Malek (Mantan Mufti Perak), Tuan Guru Dato’ Haji Ghazali ‘Abdullah Senggora (mantan Qadhi Besar dan Mufti Selangor/Perak), Ustaz Haji ‘Abdul Halim (mantan Qadhi Besar Perak), Tuan Guru Haji ‘Abdul Samad Noh (bekas ahli Majlis Fatwa Perak/ Ketua Dewan Ulama PAS), Drs Ahmad bin Tuan Guru Haji Ghazali (anak beliau), Ustazah Mahmudah bin Tuan Guru Haji Ghazali (anak beliau), Brig. Jen (B) Dato’ Haji ‘Abdul Hamid Zainal ‘Abidin (mantan Ketua Pengarah JAKIM), Dato’ Haji Saleh Haji Ahmad (Ahli Panel Kajian Syariah Kebangsaan), Ustaz Haji Ahmad Ghazali (pesara Qadhi Besar Perlis), Tuan Guru Haji Muhammad Hasyim bin ‘Abdul ‘Aziz ar-Rawi, Kajang (Pondok Jenderam Hilir), Tuan Guru Haji Hasyim Abu Bakar (Mudir Pondok Pasir Tumboh, Kelantan) , Tuan Guru Shaykh Mahmud Janggut Merah, Bukit Besar, Kota Sarang Semut, Kedah, Tuan Guru Dato Haji Hashim Anang (menantu kemudiannya memimpin Irshadiah), Ustaz Ahmad Khayat (menantu) dan Kiyai Haji Hasan Ma’sum (Mufti Sumatera).

Pengiktirafan

Sebelum Tuan Guru berpulang ke Rahmatullah pada 3 Muharram 1418 Hijriyyah bersamaan 10 Mei 1997 dalam usia 98 tahun, beliau sempat menerima beberapa anugerah bagi mengenang sumbangan besar dan jasanya dalam bidang pendidikan dan dakwah Islam. Pada tahun 1989, Tuan Guru telah dianugerah Tokoh Ulama Silam oleh Universiti Kebangsaan Malaysia. Tidak lama selepas itu, beliau menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah peringkat daerah Hilir Perak. Setahun selepas itu, beliau dinobatkan sebagai Tokoh Ma’al Hijrah Negeri Perak. Dan selanjutnya beliau menerima darjah kurnia  pingat Dato’ Paduka Mahkota Perak (DPMP) daripada Sultan Perak yang membawa gelaran Dato’ pada tahun 1992.

Rutin hariannya

Tuan Guru sangat gemar menelaah kitab. Walaupun dalam keadaan usia lanjut, beliau diriwayatkan sangat tekun membaca kitab-kitab lama atau yang sinonim dipanggil kitab kuning itu. Apapun, beliau tidak meninggalkan sebarang karya tulis. Mungkin kerana kesibukan beliau menguruskan madrasah menyebabkan beliau tidak berkesempatan untuk menghasilkan apa-apa bentuk penulisan. Namun, segala penat jerihnya terbayar apabila ramai anak muridnya menjadi tokoh-tokoh terkenal di tempat masing-masing.

Daftar Pustaka













[1] Tempat ini dibuka oleh Tok Kelah yang berasal dari Sungkai, Perak


[2] Makamnya ada di Kampung Sungai Nipah Teluk Intan




Gambar lama barisan tenaga pengajar dan pelajar Madrasah Irshadiah

Bangunan lama Madrasah Irshadiah


Pandangan hadapan sekolah

Satu sisi bahagian surau


Papan tanda sekolah



Tuan Guru menerima pingat

Tuesday, November 19, 2013

Shaykh Wan Muhammad Guru Istana Perak


Tokoh ulama yang dianggap sangat berpengaruh dalam istana Perak setelah Perak menerima kemasukan Residen British ialah Haji Wan Muhammad Wan Hussain. Tokoh ini bagaimanapun bukanlah anak jati Perak sebaliknya berasal dari negeri Kelantan dan mempunyai susur galur keturunan yang berdiam di Patani. Atas sebab itu, ia turut memakai laqab Fathani menandakan asal-usulnya dari tempat yang melahirkan ramai ulama terkemuka di rantau ini. Walaupun tidak berasal dari negeri Perak, namun hampir separuh usianya dihabiskan di negeri tersebut hinggalah ia tutup usia pada tahgun 1929. Nama penuh tokoh ini ialah Haji Wan Muhammad @ Ahmad bin Haji Wan Hussain bin Haji Wan Muhammad Nur Marbo al-Fathani. Nama Marbo atau Merebo adalah merujuk kepada sebuah tempat di Patani yang merupakan asal-usul datuk neneknya. Datuk neneknya kemudian berhijrah ke negeri Kelantan lalu membuka sebuah tempat di Pasir Puteh. Tempat itu juga kemudiannya dikenali sebagai Merbol, Pasir Putih, Kelantan sempena nama Marbo di Patani. Tokoh ini dilahirkan di Kampung Saring yang terletak dalam Mukim Merbol, Pasir Puteh sekitar tahun 1848M/1264H. Jika benarlah tahun kelahiran tersebut, bermakna ia sezaman dengan seorang lagi tokoh ulama yang turut menyumbang bakti di negeri Perak iaitu Shaykh Muhammad Saleh al-Minangkabawi. Dari segi tahun meninggalnya, Shaykh Wan Muhammad diriwayatkan berpulang ke Rahmatullah pada hari Rabu, 11 Jumadil Akhir 1348 H/13 November 1929M, riwayat lain menyebut pada 11 November 1929M.[1]

Pendidikan

Shaykh Wan Muhammad dipercayai mendapat pendidikan awal dari seorang lagi ulama besar Patani yang bermastautin di negeri Terengganu iaitu Tuan Hasan Besut[2] (nama penuhnya ialah Shaykh Wan Hasan bin Wan Ishaq al-Fathani).  Selanjutnya ia menimba ilmu kepada Tuan Pangkalan Tangga (nama penuhnya ialah Wan Ismail bin Wan Ahmad al-Fathani)[3] dan Sayyid Abdus Salam. Belum puas dengan ilmu yang dikecapinya, beliau kemudian menyambung pengajiannya ke Makkah dalam usaha mendalami ilmu agama dalam pelbagai bidang. Guru-gurunya di Makkah sangat ramai, antaranya termasuklah Shaykh Ahmad al-Fathani yang sangat masyhur disebut orang di kala itu walaupun umurnya jauh lebih muda daripada beliau.

Ketika di Makkah, beliau berkesempatan berguru dengan Shaykh Uthman Senik, ulama Kelantan yang kemudian menjadi Mufti Kerajaan Pahang. Diriwayatkan Shaykh Wan Muhammad turut mendalami ilmu pendekar atau seni mempertahankan diri namun tidak diketahui dengan jelas dengan siapa ia menimba ilmu tersebut.

Pulang ke tanahair

Selepas sekian lama berada di Makkah, beliau kembali ke Kelantan dengan azam untuk menyebar ilmu kepada anak bangsa. Antara yang bersama-sama dengannya ialah Tok Bachok Pasir Mas, Tok Kemuning Tua, Senik Salleh, Seligi, Pasir Puteh, Muhammad Akib Sharif (Pangkal Gerap, Pasir Mas), Yusuf Husain (Tubir Kubor Gertak Kecupu, Kota Bharu), Nik Wan Daud Wan Sulaiman (Mufti Kerajaan Kelantan pertama) dan Muhammad Said Khatib Jamaluddin (Datuk Sen Diraja). Kesemua tokoh ini berganding bahu menyusun strategi dengan menubuh institusi pondok ditempat masing-masing.

Hijrah

Shaykh Wan Muhammad bagaimanapun tidak lama berada di Kelantan. Diriwayatkan, selepas berlakunya bencana ‘Angin Besar’ yang terjadi sekitar pertengahan tahun 1880-an Shaykh mula berkira-kira untuk berhijrah ke negeri lain. Shaykh cenderung untuk berhijrah ke negeri Perak setelah dipelawa oleh dua orang sahabat karibnya yang telah pun menetap di negeri itu. Salah seorang sahabatnya yang dikenalpasti ialah Tuan Guru Haji Yunus Muhammad Akib. Seorang lagi sahabatnya dikatakan tinggal di Kampung Bandar, Teluk Intan. Boleh jadi tokoh yang dimaksudkan ialah Shaykh Muhammad Saleh al-Minangkabawi.

Shaykh Wan Muhammad dikatakan berhijrah ke negeri Perak ketika Sultan Yusuf Sharifuddin Muzaffar Shah (Sultan ke-27 negeri Perak) sedang memerintah. Baginda merupakan Sultan Perak yang paling singkat memerintah negeri Perak. Diriwayatkan baginda mangkat pada tahun 1887 iaitu tahun yang sama baginda ditabal menjadi Sultan. Shaykh Wan Muhammad datang ke negeri Perak dengan berjalan kaki dari negeri Kelantan. Sebelum berhijrah, beliau dipercayai telah berkahwin dan mendapat seorang anak. Dari Kelantan, beliau berjalan merentasi Banjaran Titiwangsa bergerak menuju ke Kampung Bandar untuk bertemu dengan sahabatnya. Dari Kampung Bandar, beliau terus bergerak menuju ke Malim Nawar, tempat Tuan Guru Haji Yunus bermukim. Disitu, beliau dikatakan telah berkahwin. Sementara dalam satu riwayat lain, Shaykh dikatakan menetap di Tanjung Tualang setelah sampai di negeri Perak. Shaykh dengan dua sahabatnya kemudian berbincang tentang aktiviti dakwah dan ilmu di negeri Perak. Hasil perbincangan itu, Shaykh bersetuju untuk berpindah ke Sayong dengan tujuan untuk menyebar dakwah dan ilmu di kawasan itu. Kebetulan, Sayong pada masa itu menjadi tempat persemayaman Sultan Perak. Karisma beliau ketika menyampaikan syarahan agama di kawasan-kawasan sekitar tempat tinggalnya akhirnya sampai kepada pengetahuan Sultan. Shaykh kemudian dijemput mengajar di istana.

 Tegas menentang kemungkaran

Shaykh seorang yang sangat tegas dan tidak takut berhadapan dengan pemerintah. Pernah satu ketika Shaykh dijemput hadir ke istana untuk berbuka puasa. Disamping berbuka puasa, tanpa pengetahuan Shaykh majlis tersebut dirancang untuk diselang-selikan dengan majlis hiburan. Dengan takdir Allah, majlis hiburan itu tidak dapat diadakan. Shaykh dengan penuh rasa tanggungjawab menggantikan majlis tersebut dengan majlis membaca al-Quran dan menghurai isi kandungan sebuah kitab tasawwuf. Ketika menghurai kitab tasawwuf itu, tanpa berselindung Shaykh menyatakan dengan tegas tentang tanggungjawab yang perlu dilaksana oleh seorang ulama selaku pewaris Nabi dan tanggungjawab seorang Ketua Negeri seperti Raja atau Sultan yang sepatutnya perlu selaras mengikut kehendak Islam.  Sultan Yusuf langsung tidak murka dengan teguran shaykh sebaliknya suka dengan cara pengajaran Shaykh yang tegas itu lalu menitahkan agar Shaykh terus mengajar di istana di samping mengajar di kawasan-kawasan sekitar istana.

Shaykh amat menentang amalan atau adat yang bercanggah dengan agama. Tanpa mengira pangkat atau darjat, Shaykh dengan tegas membenteras amalan tersebut. Dalam satu peristiwa, Shaykh telah menulis surat kepada Residen British tentang ketidakpuashatiannya terhadap amalan “main berhantu” yang menurutnya sangat bercanggah dengan hukum agama. Katanya dalam surat itu kepada Residen (seperti yang terakam dalam catatan Frank Swettenham, seorang pegawai British ketika berada di Perak dalam karyanya yang berjudul Malay Sketches),

Pertama puji-pujian bagi Tuhan, yang memberi segala yang baik, yang maha mengasihani semua hambanya.

Dari Haji Wan Muhammad, Tok Guru Kepada Yang Maha Mulia Sultan Perak, kepada Tuan Residen yang mentadbir Kerajaan Perak.

Seluruh dunia ini di dalam tangan Tuhan Yang Maha Agung, Dia memberinya sebagai warisan kepada sesiapa yang Dia suka di antara hambanya. Agama yang benar juga datangnya dari Tuhan, dan Syurga itu balasan orang Yang takutkan Tuhan. Keredaan dan kedamaian adalah untuk mereka yang menurut jalan yang lurus, dan merekalah pada akhirnya nanti akan menemui keagungan yang sebenar. Tidak ada Raja yang boleh membuat baik, tidak ada yang lebih berkuasa kecuali dengan pertolongan Tuhan Yang Maha Agung dan juga Yang Maha Kuasa.

Saya memberi sepuluh ribu salam. Saya ingin tahu tentang amalan berhantu, membuat diri seseorang menjadi gila dan hilang pertimbangan, seperti yang menjadi adat Raja dan Penghulu di Negeri Perak ini, adakah ini betul menurut agama Tuan, Tuan Residen, atau adakah ini salah? Kerana amalan yang demikian adalah dosa tidak terampun dalam agama Islam, kerana orang-orang yang mengamalnya hilang pertimbangan dan membazir barang dengan tidak bersebab; ada yang mencampakkannya ke dalam air, ada yang menaburkannya ke dalam hutan. Bagaimanakah kelakuan yang demikian dianggap dalam agama tuan?

Tuan residen, adakah salah atau benar? Saya ingin tuan memberikan saya jawapan, kerana amalan yang seperti ini sungguh menyeksakan orang miskin. Penghulu mengutip wang dari rakyat, kemudian mereka membuat persiapan besar-besaran untuk makanan, menyembelih kerbau atau ayam, dan semua ini dibuang seperti yagn telah saya sebut. Menurut agama Muhammad, adat-adat ini membawa kemusnahan.

Saya memberi berbanyak-banyak salam, janganlah tuan tersinggung, kerana saya tidak faham ada tuan, Tuan Residen.

(Tandatangan) HAJI MUHAMMAD WAN HUSSAIN."

Pengaruh dalam istana

Setelah Sultan Yusuf mangkat, Raja Idris ibn Raja Bendahara Alang Iskandar (Marhum Teja) ditabal menjadi Sultan dengan memakai gelaran Sultan Idris Murshidul'Adzam Shah. Apabila baginda menaiki takhta, baginda menitahkan Shaykh agar terus mengajar di istana seperti yang dilakukannya ketika zaman Sultan Yusuf dahulu.

Malah hubungan Shaykh dengan istana menjadi semakin rapat berikutan Sultan sendiri amat gemar berdamping dengan alim ulama. Apabila pusat pemerintahan kerajaan berpindah dari Sayong ke Bukit Chandan, Shaykh dan ahli keluarganya juga turut berpindah. Sultan Idris turut berkenan mengurniakan tanah di kawasan Lembah Masjid Bukit Chandan kepada Shaykh dan ahli keluarganya dengan harapan Shaykh dapat memajukan kawasan tersebut sebagai pusat perkembangan ilmu agama. Shaykh memanfaatkan tanah itu dengan membina madrasah dan pondok. Kesan-kesan perkembangan ilmu seperti madrasah dan pondok dikatakan masih dapat dilihat di kawasan Lembah Masjid Bukit Chandan Kuala Kangsar. Manakala sebuah surau yang  diberi nama Madrasah Muhammadiah telah dibina oleh salah seorang anakandanya iaitu Tuan Guru Haji Wan Abdul Rahman yang lebih dikenali sebagai Tuan Haji Wok sebagai mengenang jasa Shaykh dalam mengembangkan dakwah dan ilmu kepada anak bangsa. Surau ini masih diguna hingga kini. Apa-apa sahaja yang berkaitan dengan permasalahan agama maka pihak istana akan terus merujuk kepada Shaykh untuk mendapat khidmat nasihat. Secara tidak langsung kedudukan Shaykh pada masa itu seumpama mufti pada masa ini.

Pengaruh Shaykh terhadap istana negeri sangat kuat malah pada satu ketika, boleh menyanggah perintah Residen British pada masa itu. Shaykh yang mesra dikenali dengan panggilan Tok Ayah di kalangan orang istana diriwayatkan telah menentang arahan British yang meminta Sultan agar mengerah anak-anak muda membantu kerajaan British menentang kerajaan Islam Turki Uthmaniyyah. Shaykh membantah sekeras-kerasnya perintah tersebut hingga akhirnya pihak istana dan British akur dengan bantahan itu.

Salah seorang anakanda Sultan Idris, Raja Alang Iskandar ibni Almarhum Sultan Idris Murshidul'Adzam Shah yang dikenali sebagai seorang raja yang alim malah pernah mengarang kitab agama adalah merupakan anak raja yang paling rapat dengan Shaykh. Apabila baginda menaiki takhta pada tahun 1918 dengan memakai gelaran Sultan Iskandar Shah, hubungan baginda dengan Shaykh semakin rapat. Sultan kemudiannya melantik Shaykh sebagai Guru Ugama rasmi baginda. Selain baginda Sultan, tokoh-tokoh ternama lain yang pernah menimba ilmu kepadanya ialah seperti Shaykh Wan Muhammad Wan Puteh dan Pasir Mas, Kelantan, Shaykh Husain Awang Hamat (Pangkalan Pauh, Pasir Puteh) dan Shaykh Muhammad Idris Abdul Rauf (Kampung Lubuk Merbau, Kuala Kangsar, Perak) yang merupakan pengarang Kamus Marbawi, kamus Arab Melayu yang lengkap dan terkenal. Anak-anaknya yang kemudian hari menjadi alim-ulama ternama antaranya ialah seperti Tuan Guru Haji Abdul Rahman (Guru Ugama di Bukit Chandan), Tuan Guru Haji Abdullah Zawawi, bekas Kadi Daerah Tapah dan Tuan Guru Haji Wan Yusuf bekas Imam Masjid Ubudiah Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Semasa hayatnya Shaykh diriwayatkan pernah mengarang sebuah kitab iaitu ketika di zaman Al-Marhum Sultan Iskandar memerintah tetapi kitab tersebut tidak sempat dicetak.

Rapat dengan istana

Keluarga Shaykh dikatakan sangat akrab dengan pihak istana. Maka tidak hairanlah apabila hampir kesemua anaknya yang berjumlah 40 orang itu dihantar menuntut ilmu di Makkah dengan biaya Sultan Perak. Ada sebahagian daripada anaknya berjaya meneruskan perjuangannya berkhidmat dan berjasa kepada masyarakat setempat melalui kegiatan dakwah Islamiah yang diwarisi mereka. Saking akrabnya Shaykh dengan istana dicatat oleh cucunya yang bernama Wan Yason bin Haji Wan Yusof bin Haji Wan Muhammad, “Kehidupan keluarga Tok Ayah sangatlah moncah sekali kerana disayangi Sultan. Istana raja pada masa itu ialah Istana Hilir (tapak Taman Bukit Chandan) sekarang. Sultan dan Tok Ayah bagaikan isi dengan kuku, sebab itu rezeki yang berlebihan di istana akan sampai ke kaki tangga rumah Tok Ayah. Pada musim buah, banyaklah buah-buahan yang dihantar oleh anak murid Tok Ayah ke rumahnya seperti durian, rambutan dan bermacam-macam lagi”.

Begitu rapatnya keluarga Shaykh dengan istana hingga salah seorang anaknya, Tuan Guru Haji Abdul Rahman yang lebih dikenali sebagai Tuan Haji Wok sampai menghafal salasilah diraja dalam kepalanya.[4] Tuan Haji Wok suka menyoreh[5] anak-anak muridnya yang hadir mengaji di suraunya malah menerangkan hubungan mereka antara satu sama lain. Anak muridnya bukan sahaja kanak-kanak tetapi juga orang dewasa yang rata-rata mempunyai hubungan nasab dengan salasilah diraja negeri Perak. Suraunya yang terletak bersempadan dengan kediaman-kediaman kerabat diraja mungkin menjadi salah satu faktor mengapa ramai kerabat diraja belajar mengaji di suraunya.

Ahli keluarga

Shaykh mempunyai anak yang ramai kerana diriwayatkan beliau telah berkahwin sebanyak 9 kali. Antaranya isteri-isterinya ialah seperti Cik Idah (memperoleh anak Wan Rogayah), Latifah (memperoleh anak Wan Ummi Kaithum), Zainab (memperoieh anak Wan Yusof, Wan Fatimah, Wan Asiah, Wan Zawiah, Wan Saedah, Wan Mohd. Nor, Wan Hamidah dan Wan Hafsah), Aishah (Wan Abd. Rahman, Wan Jawahir, Wan Hindun, Wan Sulaiman, Wan Abdullah Zawawi, Wan Yang Fatimah, Wan Othman, Wan Zainab, Wan Hassan dan Wan Habibah) dan Zaharah (memperoleh anak Wan Hussein, Wan Abd. Halim, Wan Mohd. Saman dan Wan Abd. Rauf)

Peribadi Shaykh

Beliau sangat gigih berdakwah dan tegas dalam menegakkan hukum-hakam agama. Dalam usaha menyebarkan dakwah beliau sanggup bermusafir walaupun jarak yang ditujuinya itu sangat jauh hingga terpaksa meredah hutan belantara dengan berjalan kaki. Diriwayatkan dalam usaha gigih dakwahnya, beliau telah berjaya mengislamkan beberapa orang Asli ketika masuk ke dalam hutan.

Shaykh berbadan tegap, tinggi dan berkulit cerah bagaikan rupa bangsa Arab. Dari satu sisi, terpancar kewibawaannya kerana petahya ia bercakap dan keluasan ilmunya ketika menyampaikan sesuatu. Walaupun zahirnya tegas namun Shaykh mudah mesra dengan sesiapa sahaja terutama semasa dia memberi kuliah agama kepada orang-orang kampung di persisiran Sungai Perak. Apabila ia hadir ke sesuatu tempat, ramai orang akan menyambut kedatangannya. Fizikalnya yang tampan dan mudah mesra itu menurun kepada anak-anaknya menyebabkan Shaykh sekeluarga mudah diterima masyarakat termasuk di kalangan pihak istana.

Institusi pondok ternama di zamannya

Shaykh berjaya menubuh dan menggerakkan institusi pendidikan yang sangat terkenal dizamannya. Di atas tanah kurnia Sultan yang terletak di Lot 3687, di persisiran Sungai Perak, persempadanannya kawasan Perkuburan Diraja dan Masjid Ubudiah di atasnya dengan keluasan sekitar beberapa ekar, Shaykh telah mendirikan madrasah dengan berpuluh-puluh pondok telah dibina sekitarnya. Keluarganya juga turut menetap di situ sehingga kawasan itu kemudiannya terkenal dengan nama Perkampungan Haji Wan Muhammad. Walaupun ia merupakan tanah kurnia, Shaykh tidak menganggap tanah itu sebagai miliknya. Atas sebab itu, namanya langsung tidak tercatat sebagai pemilik tanah sebaliknya tanah tersebut bebas didiami sesiapa sahaja. Diriwayatkan rumah Shaykh agak besar hinggakan ada orang mengibaratkannya seperti sebuah istana. Penuntut-penuntut ilmu bukan sahaja dari negeri Perak tetapi juga dari luar negeri Perak. Sekitar kawasan tersebut, banyak pokok buah-buahan ditanam seperti pokok durian, manggis, rambutan, kelapa dan lain-lain sehingga ia kelihatan seperti sebuah institusi dalam taman yang terancang.

Daftar Pustaka

  1. Risalah Suara Majlis terbitan Jabatan Hal Ehwal Ugama Negeri Perak keluaran 1 Syawal 1403/12 Julai 1983 bertajuk “Tuan Haji Wan Muhammad Ulama Dalam Kenangan
  2. http://keluargawanaun.blogspot.com/. Dicapai pada 22 Oktober 2013
  3. http://tengkusyah.blogspot.com/2012/08/surau-diperbuat-daripada-kayu-siraja-di.html. Dicapai pada 25 Oktober 2013
  4. http://sembangkuala.wordpress.com/tag/musings/. Dicapai pada 25 Oktober 2013
  5. http://mforum.cari.com.my/forum.php?mod=viewthread&tid=659028&page=2. Dicapai pada 25 Oktober 2013
  6. http://aldurrah.blogspot.com/2011/08/wan-muhammad-wan-hussain-mufti.html. Dicapai pada 28 Oktober 2013
  7. Swettenham, Frank Athelstane, Sir. 2003. Perihal Orang Melayu. Kuala Lumpur: University of Malaya Press





[1] Yang paling rajih ialah pada 11 November 1929 seperti yang tertera pada nisan makamnya
[2] Merupakan anak murid ulama tersohor asal Patani yang bermukim di Makkah, Shaykh Daud Abdullah al-Fathani. Tuan Hasan Besut meninggalkan dua karya iaitu Hidayat al Mukhtar (selesai penulisan pada tahun 1249 H/1833 M) dan Ayyuhal Walad (selesai penulisan pada tahun 1266 H/1850 M). Kedua-dua kitab ini masih boleh diperolehi di pasaran hingga kini
[3] Diriwayatkan bahawa beliau ialah ayahanda kepada ulama terkenal Shaykh Nik Mat Kecik al-Fathani penyusun kitab Mathla al-Badrain
[4] Selain alim, Tuan Haji Wok juga berbakat besar dalam bidang pembinaan dan ukiran kayu.  Salah satu hasil pertukangannya boleh dilihat pada surau yang dibinanya. Diriwayatkan untuk membina surau tersebut, Tuan Haji Wok telah menggunakan kayu-kayu yang digunakan untuk pembinaan Siraja Di Raja yang merupakan usungan/pedati khas yang membawa jenazah beberapa orang Kerabat Diraja Kanan Perak Darul Ridzuan. Dengan erti kata lain, Tuan Haji Wok telah lama menggunakan kaedah kitar semula bagi menghasilkan satu hasil kerja tangan yang sangat indah 
[5] Menyatakan asal keturunan mereka dan hubungan mereka dalam keluarga

 
 
Surau Wan Muhammad bahagian dalam

 Surau Wan Muhammad di Bukit Chandan

Shaykh Wan Muhammad

Friday, November 1, 2013

Tuan Guru Mat Saman Kati Tokoh Tasawwuf Terkenal Utara Perak

 
Nama sebenar tokoh yang terlalu akrab dengan panggilan Tuan Guru Mat Saman Kati ini ialah Muhammad Yusuf Khan bin Muhammad Abdul Karim Khan bin Muhammad Janu Khan bin Muhammad Abdul Wali Khan. Diriwayatkan bahawa Tuan Guru ketika kecil tegar menangis. Setelah mengikut pandangan orang tua-tua, namanya ditukar kepada Muhammad Saman yang mengambil nama sempena nama nenda sebelah bondanya. Berdasarkan kepada namanya, dapatlah ditelusuri keturunannya yang dikatakan berasal dari Afghanistan. Namun setelah moyang sebelah atasnya berkahwin dengan orang tempatan di Batu Kurau, generasi-generasi selepasnya dikatakan banyak bercampur dengan susur galur dari Patani sehingga akhirnya nama Khan tidak lagi digunakan.

Tuan Guru dilahirkan pada 15 September 1922 di Kampung Relau Berdiri, Batu Kurau, Taiping. Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Sungai Akar, Batu Kurau sehingga darjah lima. Kemudian, beliau diterima menjadi guru pelatih di sekolah  berkenaan. Namun, jawatan tersebut sempat disandang selama tiga bulan sahaja setelah beliau beralih arah untuk menimba ilmu agama. Tempat yang ditujunya ialah Madrasah Mariah yang terletak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Madrasah Mariah adalah merupakan madrasah terawal yang dibuka di Kuala Kangsar dimana selepasnya Madrasah Idrisiah pula ditubuhkan. Di Madrasah tersebut, Tuan Guru berpeluang menimba ilmu kepada beberapa ulama ternama antaranya seperti Shaykh Abdullah Fahim dan Shaykh Nawawi Janggut Merah. Tuan Guru tidak lama belajar di situ. Setelah setahun berada di Kuala Kangsar, Tuan Guru menyambung pengajian di Madrasah Rushdiah, Kampung Jelai, Batu Kurau. Di madrasah ini, Tuan Guru belajar selama enam tahun (1936-1942) dengan mempelajari ilmu pidato (pengucapan awam), mantik dan mendalami ilmu tasawwuf dan tariqat khususnya tariqat Naqsyabandiyyah.

Setelah tamat pengajian di Madrasah Rushdiah, Tuan Guru mengajar sambilan di kampungnya. Di samping itu, beliau bekerja sebagai petani mengerjakan sawah dan bercucuk tanam. Selama tiga tahun beliau melakukan kegiatan tersebut sebelum berpindah ke Sungai Siput Utara pada tahun 1945. Di Sungai Siput Utara, Tuan Guru ditawarkan mengajar di Sekolah Agama Rakyat, Batu Satu, Jalan Lasah. Apabila sekolah tersebut diambilalih dan dikendalikan oleh kerajaan, Tuan Guru sekali gus diserap menjadi guru kerajaan. Tugas utamanya mengajar membaca Al-Quran, fardhu ain dan lain-lain. Setelah beberapa tahun mengajar di Sungai Siput Utara, keinginan untuk mendalami ilmu agama telah menyebabkan Tuan Guru berangkat ke Makkah dengan menaiki kapal pada tahun 1950.

Di Kota Suci Makkah, Tuan Guru melanjutkan pelajaran di Madrasah Darul Ulum. Di situ, beliau mendalami ilmu tafsir Al-Quran, hadith, sejarah Islam, bahasa Arab dan ilmu-ilmu yang bersangkutan dengan Agama Islam. Setelah beberapa tahun Tuan Guru berada di Makkah, Tuan Guru pulang semula ke Tanah Melayu dengan azam hendak menabur jasa kepada anak bangsa. Pada tahun 1954, Tuan Guru dilantik menjadi mudir Madrasah Nurul Kamaliah, Kati, Kuala Kangsar. Ketika berada di Kati, Tuan Guru menonjolkan bakatnya dengan menyampaikan syarahannya yang bernas. Masyarakat tertarik kerana cara penyampaian syarahannya yang lantang, terus-terang dan diselang-selikan dengan unsur-unsur kelakar. Menurut riwayat beberapa orang muridnya, Tuan Guru seorang yang bijak berkelakar, menyindir dan mengecam secara halus dalam setiap syarahan agama dengan tujuan menyeru ke arah kebaikan. Sikapnya yang lekas mesra, ramah serta mempamerkan kematangan berfikir ketika mengupas persoalan agama yang dikemukakan kepadanya, menyebabkan Allahyarham disanjung oleh masyarakat. Faktor inilah yang melenyapkan nama asal beliau sebaliknya timbul pula gelaran Tuan Guru Mat Saman Kati yang kian hari semakin tersohor. Kegiatan dakwahnya yang sebelum ini hanya tertumpu di Kati kini melebar ke seluruh Negeri Perak Darul Ridzuan terutama kawasan di sebelah utara Semenanjung. Tambahan pula, tugas suci itu mendapat dorongan dan dukungan Jabatan Agama Islam Perak. Namanya turut menjadi sebutan apabila ia menjadi tenaga pengajar di surau Tuan Guru Haji Ahmad di Sungai Petai, Bukit Gantang. Tenaga pengajar di surau tersebut lazimnya dipilih berdasarkan kewibawaannya memandangkan ramai di antara hadirin yang datang ke surau itu adalah di kalangan alim ulama. Sebab itulah majlis tersebut dikenali sebagai Ijtima' Ulama Wal Muzakarah Bulanan.[1] Almarhum Tuan Guru Haji Ahmad yang pernah menjadi Ahli Majlis Fatwa Perak adalah seorang tokoh yang sangat dihormati kerana keahliannya dalam bidang agama. Beliau adalah ayahanda kepada Dato' Seri Haji Hassan Bin Haji Ahmad, kini memegang jawatan Mufti Pulau Pinang dan Dato’ Haji Saleh Ahmad, salah seorang ahli panel kajian Syariah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Pada tahun 1964, Almarhum Sultan Idris Iskandar Shah melantik Tuan Guru menjadi guru agama khas di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Jawatan itu disandangnya sehingga tahun 1970. Dengan perkenan Sultan Perak, Tuan Guru dilantik menjadi Ahli Dewan Negeri Perak (Majlis Penasihat kepada Sultan Perak) mulai tahun 1978 hingga 1980. Pada 1 April 1986, Allahyarham dilantik menjadi Orang Besar 16 bergelar Toh Paduka Indera yang bertanggungjawab menjadi penasihat Sultan Perak mengenai Agama Islam. Kemudian, beliau terpilih pula sebagai salah seorang anggota Jawatankuasa Syariah Negeri Perak.Jawatan lantikan Sultan Perak ini berkekalan sehingga akhir hayatnya. Salah satu keputusan Jawatankuasa Syariah Negeri yang melibatkan peranan Tuan Guru ialah tentang fatwa zakat gaji/pendapatan. Fatwa yang dikeluarkan pada 22 Mac 1990 itu menyatakan

"Bahawa gaji atau pendapatan termasuk dalam kategori yang wajib zakat apabila cukup nisab dan haul itu adalah merupakan syarat yang diittifaqkan oleh Jumhur Ulama dalam mazhab yang empat. Syarat ini tidak berlaku pada gaji atau pendapatan maka gaji atau pendapatan tidak wajib zakat."  Keterangan dan hujahnya adalah seperti berikut; 

KEPUTUSAN JAWATANKUASA SYARIAH NEGERI PERAK TENTANG ZAKAT ATAS PENDAPATAN(GAJI)

1. TUJUAN.

1.1. Kertas ini dikemukakan untuk menjelaskan keputusan Jawatankuasa Syariah Negeri Perak mengenai zakat atas pendapatan (gaji)

2. LATAR BELAKANG.

2.1. Jawatankuasa Syariah Negeri Perak telah bermesyuarat pada 25 Syaaban 1410 bersamaan 22 Mac 1990 kali ke 113 telah membincang meneliti dan membahas perkara berkenaan .

2.2 Mesyuarat tersebut telah dihadiri oleh ahli-ahli mesyuarat seperti berikut:-

2.2.1 SS Dato" Seri (Dr ) Hj Harussani bin Haji Zakaria - Pengerusi

2.2.2 SF Tuan Hj Hasbullah bin Hj Ahmad (Kadi Besar )

2.2.3 YDH Toh Paduka Indera Tuan Hj Mohd Saman bin Mohamed

2.2.4 AF Dato" Abdul Rahman bin Osman

2.2.5 AF Tuan Hj Yahya bin Mohamed

2.2.6 AF Prof Madya Hj Mohd Salleh Hj Ahmad

2.2.7 Tuan Hj Zulkarnain bin Hj Ahmad

3. PERBINCANGAN HUJJAH DAN ALASAN

3.1 Ahli Mesyuarat bersetuju sebulat suara bahawa pendapatan dan gaji termasuk dalam kategori المال المستفاد berdasarkan petikan dari kitab الفقه الإسلامى و أدلته juzuk 2 mukasurat 864 "المطلب الثانى زكاة كسب العمل والمهن الحرة : العمل : اما حر غير مرتبط بالدولة كعمل الطبيب والمهندس والمحامى والخياط والنجار وغيرهم من أصحاب المهن الحرة . واما مقيد مرتبط بوظيفة تابعة للدولة او نحوها من الموئسسات والشركات العامة او الخاصة , فيعطى الموظف راتبا شهريا كما هو معروف . والدخل الذى يكسبه كل من صاحب العمل الحر والموظف ينطبق عليه فقها وصف "المال المستفاد " Zakat gaji dan pekerjaan bebas Pekerjaan terbahagi kepada dua kumpulan, sekumpulan yang tidak berkaitan dengan kerajaan (bekerja sendiri) seperti profesion doktor, jurutera, peguam, tukang jahit, tukang kayu dan lain-lain pekerjaan swasta. Sekumpulan lagi ialah pekerjaan yang berkaitan dengan kerajaan seperti institusi -institusi dan syarikat-syarikat samada yang umum atau yang khas di mana pegawainya diberi gaji bulanan. Gaji yang diperolehi oleh orang yang makan gaji dengan kerajaan atau swasta adalah disebut oleh ahli feqh sebagai "al-mal al mustafad" (harta perolehan)

3.2 Ahli Mesyuarat juga bersepakat bahawa salah satu syarat yang perlu untuk dipenuhi dalam pembayaran zakat adalah haul berdasar kepada dalil - dalil di bawah :- لا زكاة فى مال حتى يحول عليه الحول رواه الدار قطنى والبيهقى من حديث ابن عمر . Tidak dikenakan zakat bagi harta yang tidak sempurma haulnya

3.3 Ahli mesyuarat bersependapat bahawa syarat zakat bagi المال المستفاد memerlukan haul berdasarkan hadith :- من استفاد مالا فلا زكاة عليه حتى يحول عليه الحول عند ربه رواه الترمذى Sesiapa yang mendapat perolehan harta , tidak dikenakan zakat atas harta perolehannya sehinggan sempurna haulnya di sisi Tuhannya. Juga berdasarkan petikan dari kitab الفقه الإسلامى و أدلته للدكتور وهبه الزحيلى الجزء الثانى :- والمقرر فى المذاهب الاربعة انه لا زكاة فى المال المستفاد حتى يبلغ نصابا ويتم حولا ويزكى فى رأى غير الشافعية المال المدخر كله ولو من آخر لحظة قبل انتهاء الحول بعد توفر اصل النصاب Ditetapkan dalam mazhab yang empat bahawa "al mal al mustafad " tidak dikenakan zakat sehinggalah ia mencukupi nisab dan genap haul . Ulama’ selain mazhab Syafi’i mengatakan seluruh harta yang disimpan hendaklah dikeluarkan zakat jika cukup nisab walaupun di saat akhir sebelum habis haul

3.4 Ahli mesyuarat berpendapat menqiaskan haul zakat pendapatan dengan zakat tanaman berdasarkan ayat وآتوا حقه يوم حصاده serta pada masa yang sama meletakkan kadar zakat 2.5% berdasarkan zakat emas perak adalah قياس مع الفارق . Penentuan zakat memerlukan kepada nas berdasarkan kepada keterangan di bawah :- المدار فى الزكاة على ورود النص و لامدخل للقياس فى ذلك الحاوى للفتاوى جز1 ص136 Perbincangan dalam penetapan zakat adalah didasari dengan datangnya nas dan tiada ruang untuk menggunakan qias. مسئلة لا زكاة فى التين . قال فى الروضة : بلا خلاف وهو مشكل لانه فى معنى العنب بل اولى الجواب : المدار فى الزكاة على ورود النص , لا مدخل للقياس فى ذلك ولم يثبت ايجابها فى التين . الفتاوى للسيوطي جزء 1 ص132 Masalah pada menyatakan tiada dikenakan zakat pada buah tin. Berkata Imam Nawawi dalam kitab Raudhah : Tanpa khilaf dan ia termasuk dalam persoalan yang masih samar kerana ia diertikan seperti buah anggur bahkan lebih dari buah anggur. Jawapan : Perbahasan dalam zakat tertakluk kepada datangnya nas. Tiada peranan qias di situ dan tidak sabit wajib mengeluarkan zakat pada buah tin

3.5 Ahli mesyuarat berpendapat zakat الأثمان (الذهب والفضة ) memerlukan syarat haul berdasar hujjah berikut :- واما الاثمان فشيئان الذهب والفضة )) وشرائط وجوب الزكاة فيها خمسة اشياء الاسلام والحرية والملك التام والنصاب والحول وهو كما فى المحكم سنة كاملة وانما اشترط لخبر لا زكاة فى مال حتى يحول عليه الحول ) وهو وان كان ضعيفا مجبور بآثار صحيحة عن الخلفاء الاربعة وغيرهم . اه . الباجورى : جزء 1 ص 262 263 Adapun ( الأثمان ) ia merupakan emas dan perak. Syarat wajib zakat padanya ada lima iaitu Islam, Merdeka, Milik sempurna, cukup nisab dan cukup haul iaitu cukup setahun berdasarkan hadith " tidak perlu zakat pada harta kecuali sempurna haul " walaupun hadith ini dhaif tetapi telah ditampung oleh athar sahabi yang sahih dari sahabat yang empat serta yang lain-lain. الحديث : عن على رضى الله عنه وساق حديثا الى ان قال : فإذا كانت لك مائتا درهم و حال عليها الحول ففيها خمسة دراهم . وليس عليك شيئ حتى تكون لك عشرون دينارا , فإذا كانت لك عشرون دينارا وحال عليها الحول ففيها نصف دينار فما زاد فبحساب ذلك . رواه ابو داود وصححه البخارى Al hadith : Daripada Ali RA dalam hadith yang panjang sehingga kata-katanya : Apabila kamu ada 200 dirham dan cukup haul maka zakatnya 5 dirham dan tidak dikenakan zakat ke atas kamu sehingga kamu memiliki 20 dinar dan cukup satu haul maka zakatnya adalah separuh dinar , begitulah kiraan zakat seterusnya

3.6 Ahli mesyuarat bersetuju bahawa seluruh kitab-kitab ulama" As Syafiiyyah, Hanabilah, Malik, Hanafiah dan jumhur Sahabat dan Tabiin mewajibkan zakat emas, perak, binatang ternakan kerbau, lembu, kambing dan unta dengan cukup nisab dan haul cuma sebahagian kecil daripada sahabat yang kecil dan tabiin yang berpendapat harta-harta seperti wang ringgit, emas perak, dan binatang ternakan wajib dikeluarkan zakatnya apabila sempurna nisab tanpa mengira haul. Ini adalah pendapat Daud Az Zohiri. Kita diminta oleh Rasulullah SAW untuk berpegang kepada pesanan beginda SAW : عليكم بسنتى وسنة الخلفاء الراشدين المهديين تمسكوا بها وعضوا عليها بالنواجذ. رواية ابو داود جزء 17 "wajiblah ke atas kamu untuk berpegang dengan sunnahku dan sunnah khulafa' Ar Rasyidin Al Mahdiyyin dan berpegang teguhlah dengannya seperti kamu menggigitnya dengan geraham kamu" Ada beberapa kategori harta yang diwajibkan zakat tanpa haul seperti terkandung dalam keterangan di bawah :- ضابط : لا يعتبر الحول فى الزكاة فى سبعة أشياء : زكاة الزروع والثمار والمعدن والركاز والفطر وزيادة الربح في التجارة والسخال اذا ماتت امهاتها او كملت النصاب Tidak diambil kira haul itu pada zakat tujuh perkara : tanam-tanaman, buah-buahan, galian, rikaz, fitrah, lebihan untung perniagaan, anak kambing apabila kematian emaknya atau sempurna nisabnya

3.7 Ahli mesyuarat berpendapat tidak berlaku zakat atas pendapatan atau gaji di zaman Khulafa' Arrasyidin

4. KEPUTUSAN JAWATANKUASA SYARIAH

4.1. Mesyuarat Jawatankuasa Syariah Negeri Perak kali ke 113 pada hari Khamis 22hb Mac 1990 bersamaan 25hb Syaaban 1410 bersetuju sebulat pendapat iaitu المال المستفاد itu wajib zakat apabila cukup nisab dan haul kerana haul itu adalah merupakan syarat yang diittifaqkan( دإتفاقكن) oleh Jumhurul Ulama" ) جمهور العلماء (dalam mazhab yang empat).  

Tuan Guru kemudiannya mendirikan sebuah madrasah yang dikenali dengan nama Madrasah Islahiah as-Sammaniyah (اﻟﻤﺪرﺳﻪ إﺻﻟﺎﺣﻴﻪ اﻟﺴﻤﺎﻧﻴﻪ) di Batu 4½ Kampong Pasir, Taiping pada tahun 1975 dan mengambil keputusan untuk terus menetap di situ.

Di samping berdakwah, Tuan Guru aktif mengarang kitab dan buku. Antara kitab yang dihasilkannya ialah Masailatul Tauhid (selok-belok ilmu tauhid), Utusan Ibadat (ilmu amal ibadat mengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah), Ajaran Tasawuf dan Tarekat (ilmu sufi), Al-Ruddun Ala Ahlil Bidaah, Masalah Agama Dari Segi Ibadah, Attariq Ilahi, Addulai-Lu Maarifah, Panduan Individu dan Ghayatul Maksud dan Ilmu Tasawuf serta sebuah buku bercorak memoir; Lawatan Ke Mesir.

Tuan Guru dikenali masyarakat sebagai ahli dalam bidang tasawwuf dan tariqat. Bahkan beliau banyak menulis dalam bidang tersebut berbanding bidang-bidang lain. Tuan Guru merupakan mursyid tariqat Sammaniah. Beliau juga diriwayatkan mempunyai ijazah tariqat Syatariyyah dan Khalwatiyyah. Sanad tariqatnya dikatakan sampai kepada Tuan Guru Che Doi[2] mengikut jalur Shaykh Daud Abdullah al-Fathani.

Tuan Guru mempunyai ramai sahabat dari kalangan para alim ulama yang sezaman dengannya. Antaranya ialah seperti almarhum Tuan Shaykh Daud Malau rakan seperguruannya di Makkah, almarhum Tuan Guru Haji Ja'afar Al-Hafiz dan almarhum Tuan Guru Haji Abdul Hamid dari Pondok Padang Lalang Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan ramai lagi. Anak-anak muridnya ramai yang menjadi tokoh terkenal di kawasan masing-masing. Antara yang menabur jasa di bumi Perak ialah seperti almarhum Dato  Tuan Guru Haji Abdul Latif Abdul Rahman yang sinonimnya dengan panggilan Pak Teh Keroh[3]. Ketika hayatnya, beliau mentadbir madrasah yang diasaskannya sendiri di kampung halamannya iaitu Madrasah Ad Diniah Al Latiffiah. Beliau juga  adalah salah seorang Ahli Jawatankuasa Syariah di Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Perak. Seorang lagi tokoh yang tidak kurang terkenalnya yang merupakan anak murid Tuan Guru ialah almarhum Tuan Guru Haji Sabran bin Haji Asmawi. Beliau pernah menjadi mudir Ma’ahad ar-Ridhwaniah, sekolah agama yang terletak di Telok Medan, Bagan Serai. Namun namanya lebih dikenali dalam arena politik setelah menjawat pelbagai jawatan penting dalam Parti Islam Se-Malaysia (PAS) peringkat negeri. Jawatan tertinggi yang disandangnya ialah sebagai Pesuruhjaya PAS peringkat negeri Perak. Beliau pernah menjadi wakil rakyat Gunung Semanggol setelah menang kerusi DUN pada tahun 1999.

 Tuan Guru dianugerahkan darjah Dato’ Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Dato’ dan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) serta dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Negeri Perak Darul Ridzuan bagi tahun 1409H/1988M oleh Kerajaan Perak atas jasanya yang sangat besar kepada pembangunan agama di negeri Perak. Tuan Guru akhirnya berpulang ke Rahmatullah pada hari Selasa, 2 Mei 1995 bersamaan 2 Zulhijjah 1415H di Kamunting, Taiping.



Rujukan

1.      http://ms.wikipedia.org/wiki/Muhammad_Saman_Bin_Muhammad. Dicapai pada 20 September 2013


3.      http://lenggongla.blogspot.com/2009/07/ustaz-mat-saman-kati.html. Dicapai pada 20 September 2013

4.      http://alamsufisma.blogspot.com/2009/07/coretanku-yang-terawal.html. Dicapai pada 20 September 2013

5.      http://surauahmadi.blogspot.com/. Dicapai pada 20 September 2013


  1. Fatwa Kerajaan Negeri Perak. Diwartakan . Tarikh Diwartakan: 16 Feb, 2004. Nombor Rujukan: MNPk A 351/14/5(44).PU.Pk 07/2. Akta/Enakmen: No: 165 Jil:57 Bil:5. Boleh dicapai di  http://www.e-fatwa.gov.my/perak?page=1




[1] Belakangan ini, Ijtimak Wal Muzakarah Bulanan telah dibuka kepada orang awam dengan tujuan menggalakkan masyarakat mendalami ilmu agama khususnya kitab-kitab turath
[2] Nama sebenarnya ialah Tuan Guru Haji Ismail Che Dol bin Musthafa Al Fathani 
[3] Kerana ia tinggal di Keroh, Perak

 
Kitab karangan Tuan Guru


Tuan Guru di maktabahnya