Tuesday, June 30, 2009

Tok Pulai Chondong - Pengasas Institusi Pondok terawal di Kelantan



Nama lengkap Tok Pulai Chondong ialah Haji Abdus Shamad bin Haji Abdullah bin Haji Hasyim, Selain dikenali sebagai Tok Pulai Chondong, beliau juga dikenali dengan nama Sheikh Abdul Samad Faqih. Beliau lahir semasa pemerintah Long Yunus pada tahun 1207 Hijrah bersamaan dengan 1792 Masihi. Menurut almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir Abdullah, Tok Pulai Chondong berasal dari Patani dan mempunyai talian persaudaraan dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.[1] Datuknya yang dikenali dengan nama Imam Hasyim adalah seorang ulama yang sangat terkenal dizamannya. Beliau terkenal dengan gelaran ‘Tok Saraf’ kerana sangat mahir dalam ilmu tersebut. Imam Hasyim mempunyai tiga orang anak iaitu Faqih Haji Abdullah yang merupakan ayahanda Tok Pulai Chondong, Faqih Ali dan Faqih Deramat. Dikatakan bahawa Imam Hasyimlah yang telah membuka Kampung Bukit yang terletak dalam jajahan Pulai Chondong dan akhirnya menetap disitu sehingga akhir hayatnya. Tok Pulai Chondong mempunyai tiga orang adik-beradik. Mereka ialah Halimah, Abd. Rahman dan Tok Pulai Chondong sendiri. Halimah iaitu kakaknya yang sulung berkahwin dengan orang Kubang Kiat, Kota Bharu dan selepas itu menetap di Labok yang terletak kira-kira 7 kilometer dari Pulai Chondong. Di antara tiga adik beradik itu hanya Tok Pulai Chondong yang mewarisi jejak langkah ayah dan datuknya sebagai ulama. Diriwayatkan bahawa Tok Pulai Chondong mempunyai empat orang isteri. Nama-nama mereka ialah Mek Mendusa, Bi’ah, Thamani dan Zaleha. Tok Pulai Chondong dikurniakan 16 anak. Empat daripadanya meninggal dunia ketika masih kecil. 12 anaknya yang ada ialah Haji Abdul Hamid, Haji Abdul Syukur, Haji Abdul Aziz, Haji Umar, Haji Muhammad Said, Haji Taib, Hajah Siti Mariam, Haji Muhammad Arsyad, Haji Abdullah, Haji Muhammad, Hajah Zainab dan Hajah Ummu Maimunah. Tok Pulai Chondong mendapat pendidikan daripada ayahanda dan datuknya sendiri melalui sistem pengajian pondok tradisional Pattani. Beliau juga dikatakan pernah belajar di Pondok Pauh Bok, Patani dengan menadah kitab kepada Syeikh Abdul Rahman Abdul Mubin al-Fatani sebelum melanjutkan pengajiannya ke Makkah pada tahun 1223 H bersamaan dengan 1808 Masehi. Ketika di Makkah, beliau belajar dengan Tuan Guru Haji Adam. Beliau juga dikatakan pernah menjadi murid Syeikh Daud al-Fatani. Setelah menetap beberapa tahun di Makkah, Tok Pulai Condong pulang ke Kelantan. Sekembalinya dari Makkah, beliau mengajar tiga cabang ilmu Islam iaitu usuluddin, fiqh dan tasawuf. Merasakan ilmunya masih belum cukup, beliau berangkat semula ke Makkah pada tahun 1256 H bersamaan dengan 1840 Masehi. Beliau berhajat hendak mendalami lagi ilmu tasawwuf padahal ramai ulama menyatakan bahawa beliau sudah terlebih layak untuk mengajar ilmu berkenaan. Satu lagi pendapat menyatakan bahawa beliau pergi ke Makkah buat kali kedua pada tahun 1278 H bersamaan dengan 1861 Masehi bersama-sama dengan anaknya yang bernama Muhammad Arsyad yang pada ketika itu baru berusia 13 tahun. Dalam lawatannya yang kedua inilah, Tok Pulai Chondong telah menziarahi makam Imam Syafi’e yang terletak di Mesir bersama-sama dengan sahabatnya yang juga seorang ulama besar iaitu Tuan Hasan Besut. Selain dari Tuan Hasan Besut atau nama lengkapnya Syeikh Wan Hasan bin Wan Ishaq al-Fathani, Tok Pulai Chondong juga bersahabat baik dengan ulama-ulama besar yang lain yang sezaman dengannya seperti Syeikh Wan Ali bin Wan Ishaq al-Fathani, Syeikh Abdul Malik bin Isa Terengganu dan Syeikh Wan Musa.
Pada tahun 1820 Masehi, Tok Pulai Condong telah membuka sebuah penempatan baru yang dikenali dengan nama Kampung Bilal Talib yang lokasinya tidak jauh dari Kampung Bukit, kawasan penempatan yang dibuka oleh datuknya satu masa dahulu. Sebaik sahaja penempatan ini dibuka, Tok Pulai Chondong pun membina sebuah surau. Surau ini terletak berhampiran dengan sebatang pokok pulai yang dikatakan condong. Maka dengan keadaan pokok itu, masyarakat setempat telah memberi gelaran Tok Pulai Chondong kepadanya sempena keberhasilannya membuka kampung berkenaan dan membina surau berdekatan pokok pulai. Surau itu menjadi pusat pengajian pondok, di mana pelajarnya datang dari pelusuk nusantara seperti Kampar, Sumatera, Kemboja, Pattani, Terengganu dan negeri lain di Semenanjung. Selepas kewafatannya, urusan pondok itu diambil alih anaknya Muhammad Arsyad. Diriwayatkan bahawa Tok Pulai Chondong ada mendirikan masjid pada 1820 tetapi musnah dalam kebakaran dan sekali lagi membina masjid baru sebelum musnah dalam kebakaran buat kali kedua pada tahun 1856 akibat perbuatan khianat. Masjid yang baru kemudiannya dibina dan lokasinya dipindahkan ke Kampung Surau. Masjid itu dikenali sebagai Masjid Tok Pulai Condong yang digunakan hingga sekarang. Masjid yang baru didirikan ini kemudiannya dilengkapkan dengan mimbar, gendang dan menara. Sehingga kini menara Masjid Pulai Chondong menjadi lambang kemegahan masyakarat setempat sejak ia dibina oleh Tok Pulai Chondong pada tahun 1856. Menara masjid itu menjadi objek kemegahan tempatan kerana ia dibina oleh Tok Pulai Condong sendiri. Menara setinggi 57 kaki (18 meter) itu mempunyai keistimewaan tersendiri kerana dibina menggunakan sebatang kayu cengal tanpa bersambung. Selain itu, menara masjid berbentuk lapan segi dengan ukur lilit 12 kaki (empat meter) itu, mempunyai 23 anak tangga, digunakan oleh bilal untuk melaungkan azan. Keteguhan menara itu teruji apabila negeri Kelantan dilanda ribut besar pada tahun 1880 sehingga menyebabkan banyak pokok tumbang, tetapi menara itu tetap teguh dan tidak terusik.

Menara masjid yang unik kerana kayu cengal yang digunakan untuk membina menara itu hanyalah sebatang tanpa bersambung

Masjid ini masih lagi digunakan sehingga kini dan mampu menampung sekitar 200 orang jemaah pada satu-satu masa.[2] Tok Pulai Chondong dikenali ramai dengan kealimannya dalam bidang tasawwuf. Beliau seorang yang praktikal maksudnya ilmu tasawwuf yang dipelajarinya, diamalnya bersungguh-sungguh. Kata almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir Abdullah, Makin bertambah banyak pengetahuannya di bidang tasawuf makin bertambah kuatlah Tok Pulai Chondong beramal.[3]
Tambah almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir lagi, Pada masa tuanya beliau terkenal sebagai seorang sufi yang warak, banyak membaca pelbagai wirid dan zikir. Zikir jihar dan zikir sirr semuanya beliau kerjakan dengan tekun sepanjang siang dan malam. Doa yang paling sering diamalkannya ialah Hizb al-Bahri yang sanadnya bersambung dengan pengamalnya yang mula-mula iaitu Wali Allah Saiyidi Syeikh Abi Hasan asy-Syazili. Hizb al-Bahri telah beliau ijazahkan kepada beberapa muridnya di Makkah. Antaranya ialah orang Arab bernama Syeikh Ahmad bin As'ad ad-Dihan. Syeikh Ahmad ad-Dihan yang kemudiannya mengijazahkan pula kepada Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani. Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani menulis doa tersebut dalam sebuah kitab yang diberi judul Lum'ah al-Aurad. Daripada sinilah ia tersebar secara meluas dan banyaklah orang mengamalkan Hizb al-Bahri melalui penerimaan ijazah daripada seorang guru ke seorang guru hinggalah ke hari ini.[4] Tokoh ini diriwayatkan meninggal dunia di Makkah pada 1874 dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Maala berhampiran dengan makam Saidatina Siti Khadijah.



[1] Dikatakan saudara dua pupu. Rujuk artikel Wan Mohd Saghir Abdullah bertajuk Tok Pulai Chondong Ulama Sufi Berwibawa Kelantan. Terbit pada 15 Mei 2006 dalam Utusan Malaysia. Boleh juga dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0515&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm. Dicapai pada 30 Jun 2009
[2] Rujuk http://pulaichondong.pjk.com.my/index.php?option=com_content&task=view&id=55&Itemid=101. Dicapai pada 30 Jun 2009
[3] Rujuk artikel Wan Mohd Saghir Abdullah bertajuk Tok Pulai Chondong Ulama Sufi Berwibawa Kelantan. Terbit pada 15 Mei 2006 dalam Utusan Malaysia. Boleh juga dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0515&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm. Dicapai pada 30 Jun 2009
[4] Rujuk artikel Wan Mohd Saghir Abdullah bertajuk Tok Pulai Chondong Ulama Sufi Berwibawa Kelantan. Terbit pada 15 Mei 2006 dalam Utusan Malaysia. Boleh juga dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0515&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm. Dicapai pada 30 Jun 2009

Monday, June 29, 2009

Tok Syeikh Duyung Ilmuwan Ulung Terengganu

Nama sebenar Tok Syeikh Duyung ialah Haji Wan Abdullah bin Haji Wan Muhamad Amin bin Wan Yaakub. Ayahanda beliau, Haji Wan Muhamad Amin bin Wan Yaakub, lebih terkenal dengan gelaran Tok Syeikh Qadhi. Ayahandanya adalah seorang ulama yang berasal Patani. Ibu Tok Syeikh Qadhi yakni Syeikh Wan Muhammad Amin bernama Wan Salamah binti Tok Wan Deraud bin Cik Wan Derahim yang kemudiannya berkahwin dengan Tok Wan Nik. Ibu Tok Wan Nik ini bernama Wan Dewi binti Tok Kaya Rakna Diraja bin Syeikh Faqih Ali al-Malabari. Ibu Tok Syeikh Duyung pula iaitu Syeikh Wan Abdullah bernama Wan Aminah binti Tok Wan Drahmad bin Tok Wan Derahman bin Tok Kaya Pandak. Tok Kaya Pandak ini nama sebenarnya ialah Wan Ismail bin Nakhoda Wan Kang yang lahir daripada perkahwinan dengan puteri Laksamana Johor. Nakhoda Wan Kang yang dimaksudkan di sini adalah nama gelar pada Syeikh Faqih Ali al-Malabari. Ada riwayat menyebut bahawa beliau ini adalah seorang Arab keturunan Nabi Muhammad s.a.w. yang berhijrah ke Malabar (India) dan selanjutnya berhijrah ke dunia Melayu.[1] Jadi disini, baik disebelah ibunya mahupun disebelah bapanya mempunyai garis keturunan yang sama iaitu bertemu pada Syeikh Faqih al-Malabari.Tok Syeikh Duyung dilahirkan di Kampung Chabang Tiga, Patani pada tahun 1216 Hijrah bersamaan dengan 1802 Masihi. Pada peringkat awal pendidikannya, Tok Syeikh Duyung menimba ilmu dari ayahnya yang sezaman dengan ulama-ulama masyhur yang lain seperti Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Syeikh Wan Mustafa bin Muhammad al-Fathani (Tok Bendang Daya I) dan Syeikh Wan Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani yang pada ketika itu tinggal di Bukit Bayas. Tok Syeikh Duyung pula sezaman dengan Tokku Tuan Besar (Saiyid Muhammad Zainal Abidin) dan mereka bersama-sama menadah kitab dengan Syeikh Wan Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani yang lebih terkenal dengan gelaran Tok Syeikh Bukit Bayas. Tok Syeikh Duyung kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Makkah. Di Makkah, beliau berguru dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Seperti yang disebut oleh almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir, Dalam masa yang sama sekurang-kurangnya ada tiga orang yang berasal dari Terengganu yang belajar dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang sangat terkenal itu. Mereka ialah Wan Abdullah bin Wan Muhammad Amin, Saiyid Muhammad Zainal Abidin dan Syeikh Mahmud bin Muhammad Yusuf bin Abdul Qadir Terengganu dimana ketiga-tiganya menjadi ulama terkenal di Terengganu dan juga di Alam Melayu. Saiyid Muhammad Zainal Abidin atau lebih dikenali sebagai Tokku Tuan Besar adalah tokoh agama dan sasterawan[2] yang sangat terkenal di zamannya manakala Syeikh Mahmud bin Muhammad Yusuf bin Abdul Qadir Terengganu yang diriwayatkan berasal dari Kemaman, Terengganu adalah merupakan tokoh besar yang banyak menyalin karya-karya ulama dunia Melayu.[3] Khabarnya salinan yang dilakukannya samada menyamai atau lebih banyak dari ulama terkenal selepasnya iaitu Tok Kelaba. Setelah menguasai ilmu-ilmu agama dalam bidang Tasawwuf, Hadith, Fiqh dan Usuluddin, Tok Syeikh Duyung pun kembali berangkat ke kampung halaman. Diriwayatkan Tok Syeikh Duyung berangkat pulang dari Mekah pada tahun 1263 H/1846 M. Tok Syeikh Duyung memilih Pulau Duyung Kecil sebagai pusat utama untuk menyebarkan dakwah dan ilmu agama kepada masyarakat setempat. Selain mengajar di Pulau Duyung Kecil, beliau juga mengajar di beberapa tempat di antaranya Paloh, Losong dan Bukit Bayas. Disebabkan beliau menjadikan Pulau Duyung Kecil sebagai pusat utama kegiatan dakwahnya maka melekatlah dibibir orang akan gelarannya sebagai Tok Syeikh Duyung. Pondoknya semakin lama semakin ramai didatangi pelajar, jauh dan dekat. Di antara murid-murid beliau yang terkenal ialah Baginda Sultan Omar, Sultan Zainal Abidin III, Engku Sayid Paloh, Haji Omar Duyung Besar, Haji Abdul Hamid Nerus, Tuan Baru Petal Bubus, Haji Musa Alim, Che Man Gudang, dan Haji Wan Mohammad bin Wan Abdullah iaitu anaknya. Baginda Omar dan Sultan Zainal Abidin III sendiri pergi ke Pulau Duyung Kecil untuk menadah kitab kepada Tok Syeikh Duyung. Ini bertepatan dengan tradisi dan adab-adab dalam sistem pengajian Islam dimana anak muridlah yang perlu mendapatkan guru bukannya guru mencari murid. Dengan ilmunya yang meluas dan warak maka Tok Syeikh Duyung kemudiannya dilantik menjadi Mufti Kerajaan Negeri Terengganu menggantikan gurunya Syeikh Abdul Kadir Bukit Bayas yang meninggal dunia pada tahun 1853 Masehi. Sepanjang hidupnya, Tok Syeikh Duyung sempat menjadi Mufti kepada tiga orang Sultan iaitu Baginda Sultan Omar, Sultan Ahmad Syah II dan Sultan Zainal Abidin III bahkan turut menjadi guru agama kepada ketiga-tiga sultan tersebut. Semasa menjadi Mufti, khidmatnya sebagai penasihat agama kepada Sultan sangat terserlah. Selain itu, pengaruhnya dalam bidang pentadbiran negeri Terengganu juga besar. Dalam hal mengeluarkan sesuatu hukum atau fatwa Tok Syeikh Duyung sentiasa berpandukan aI-Quran dan Hadis di samping merujuk kepada kitab-kitab agama yang masyhur. Ketokohan beliau juga telah menyebabkan negeri Terengganu menjadi sebutan di seluruh Nusantara pada masa itu dan Pulau Duyung digelar orang sebagai 'Lidah Negeri Terengganu'.[4] Kerana pada masa itu Tok Syeikh Duyung menjadi rujukan masyarakat khususnya yang berkaitan tentang Hukum Syarak terutama mengenai Perundangan Islam. Diriwayatkan bahawa kisah kealimannya tersebar ke seluruh nusantara sehingga pernah ulama-ulama dari Indonesia bertanya mengenai hukum-hukum agama kepada beliau. Tokku Paloh, ulama besar yang merupakan anak kepada Tokku Tuan Besar adalah merupakan murid yang disayangi oleh Tok Syeikh Duyung. Beliau sentiasa mendapatkan gurunya tentang sesuatu masalah khususnya yang berkaitan dengan Perundangan Islam. Sultan Zainal Abidin III telah mengurniakan gelaran "Syeikhul Ulama" yang bermaksud Ketua bagi orang-orang yang berilmu manakala gelaran"Syeikhul Islam" yang bermaksud Ketua bagi orang-orang Islam dikurniakan kepada anak muridnya iaitu Tokku Paloh. Tok Syeikh Duyung wafat dirumahya di Duyung Kecil pada hari Khamis, pukul 4.00 petang, 12 Jamadilakhir 1306 H/24 Februari 1889 M. Baginda Sultan Zainal Abidin III telah berangkat sendiri ke Pulau Duyung Kecil menziarahi jenazah gurunya. Baginda sendiri turut bersembahyang jenazah dan memerintah supaya jenazah Tok Syeikh Duyung diusung dari Pulau Duyung Kecil melalui hadapan istana untuk diberi penghormatan terakhir oleh baginda, pembesar-pembesar negeri dan kerabat-kerabat diraja sebelum dikebumikan di tanah Perkuburan Syeikh Ibrahim, Kuala Terengganu. Pemergian Tok Syeikh Duyung benar-benar dirasai oleh rakyat Terengganu terutama baginda Sultan Terengganu sendiri. Bahkan, anak muridnya, Tokku Paloh sendiri mengakui ketokohannya dan setelah mendapat berita kembalinya Tok Syeikh Duyung ke rahmatullah, beliau berkata, "Hilang sudah kepala santan Negeri Terengganu"[5] dan terus berkejar ke Pulau Duyung Kecil untuk menziarahi jenazah guru yang amat dikasihinya itu.[6]






[1] Rujuk artikel Wan Mohd Saghir Abdullah bertajuk Tok Syeikh Duyung Syeikhul Ulama Terengganu yang disiar didalam Utusan Malaysia pada 6 Mac 2006. Boleh dirujuk juga disini, http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0306&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive. Dicapai pada 29 Jun 2009
[2] Karya-karya Tokku Tuan Besar seperti yang disebut oleh Wan Mohd Saghir adalah seperti
1. Kanzul Ula, yang terdiri dari beberapa edisi cetakan oleh al-Mathba'ah al-Ahliyah, Terengganu, 25 Zulhijjah 1347 H, cetakan Mathba'ah al-Aminiah, Singapura, 1353 H, cetakan Mathba'ah Jawi Press, 1938, dan lain-lain;
2. Jauharus Saniyah;
3. 'Uqudu Durrataini fi Tarjamati Kalimataisy Syahadataini;
4. Tuhfatul Wildan;
5. Mukhtashar;
6. Siratun Nabawiyah;
7. Sullamut Taufiq;
8. Targhibus Shibyan;
9. Ahaditsun Nabawiyah mimma Yata'allaqu bil 'Imamatil 'Arabiyah, dipercayai diselesaikan pada tahun 1267 H (1851 M);
10. Salasilah Ratib al-Haddad diselesaikan pada 25 Ramadan 1267 H/24 Julai 1851 M;
11. Kaifiyat 'Amal Ratib al-Haddad diselesaikan pada 26 Ramadan 1267 H/25 Julai 1851 M.
Rujuk artikel Wan Mohd Saghir Abdullah bertajuk Saiyid Muhammad Al-'Aidrus Bapa Kesusasteraan Melayu Terengganu yang disiar didalam Utusan Malaysia pada 11 September 2006. Boleh dirujuk disini, http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0911&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive. Dicapai pada 29 Jun 2009


[3] Rujuk artikel Wan Mohd Saghir Abdullah bertajuk Tok Syeikh Duyung Syeikhul Ulama Terengganu yang disiar didalam Utusan Malaysia pada 6 Mac 2006. Boleh dirujuk juga disini, http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0306&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive. Dicapai pada 29 Jun 2009
[4] http://pulau-duyung.blogspot.com/2008/03/sejarah-warisan-tok-syeikh.html. Dicapai pada 29 Jun 2009
[5] Maksudnya orang yang paling berilmu di negeri Terengganu. Ini adalah kerana Tok Syeikh Duyung adalah orang yang terakhir sekali dirujuk sekiranya ada masalah-masalah agama yang tidak dapat diselesaikan oleh alim-ulama lain.
[6] http://pulau-duyung.blogspot.com/2008/03/sejarah-warisan-tok-syeikh.html. Dicapai pada 29 Jun 2009

Sunday, June 28, 2009

Tuan Guru Haji Ishak Muhammad Hashim - Pengasas Pondok Pulau Pisang


Tuan Guru Haji Ishak lahir pada tahun 1771 di Kampung Padang Panjang, Kota Sena, Malau, Jitra. Beliau mendapat pendidikan agama peringkat awal dari keluarganya sendiri. Beliau belajar membaca al-Quran di Kampung Malau. Bagaimanapun, asas pendidikan yang diperolehinya itu tidak mencukupi untuk membolehkan beliau menjadi seorang ulama sebagaimana yang dicita-citakan oleh bapanya, Muhammad Hashim. Atas kecenderungan sendiri di samping galakan keluarga, Tuan Guru Haji Ishak pergi ke Makkah pada tahun 1786 Masehi untuk meluaskan pengetahuan agama. Selama 20 tahun di Mekah, Haji Ishak berguru dengan beberapa orang ulama tetapi salah seorang yang terdekat dan sering disebut-sebut bernama Sheikh Abdul Qadir. Tuan Guru Haji Ishak berjaya menguasai ilmu Feqah, Tauhid, Usuluddin dan Tasawuf di samping ilmu Tafsir, Hadis dan ilmu-ilmu bantu seperti Nahu, Saraf dan lain-lain. Tuan Guru Haji Ishak juga dikatakan berguru Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, ulama-ulama Alam Melayu yang sangat terkenal pada abad ke-18 Masehi. Beliau pulang ke tanahair pada tahun 1806 ketika berusia 35 tahun dan mula mengajar agama di Malau atas permintaan penduduk tempatan. Langkah itu merupakan kegiatan awal dakwahnya dan ini adalah sejajar dengan hasrat beliau untuk menjadi seorang pendakwah kepada masyarakat. Haji Ishak merupakan seorang ulama yang akrab dengan Tunku Anom, pahlawan besar Kedah pada abad ke-18 yang telah menentang penjajahan Thai. Keakraban ini jelas terbukti apabila beliau diberi kepercayaan untuk memimpin kerajaan apabila Tunku Anom dengan beberapa orang pembesar berangkat ke Siam untuk menghantar bunga emas. Peristiwa itu berlaku pada bulan Ogos 1845 apabila Tunku Anom bersama 17 orang pengiring termasuk Sultan Zainal Rasyid, Saiyid Hussain dan Tunku Muhammad Akib bertolak ke Siam. Tuan Guru Haji Ishak memangku jawatan berkenaan selama enam bulan sepanjang ketiadaan Tunku Anom. Hubungan erat antara Tunku Anom dengan Tuan Guru Haji Ishak terjalin setelah Tunku Anom berjaya mengembalikan Kesultanan Negeri Kedah. Tunku Anom telah diberi kawasan Kubang Pasu untuk dijadikan negeri kerana jasanya yang tidak terbilang dalam mendapatkan semula Kedah dari taklukan Thai dan meletakkan semula Sultan ke atas takhta. Pada tahun 1841, Tunku Anom menjemput Tuan Guru Haji Ishak menjadi salah seorang pembesar baginda merangkap Kadi Besar yang dipertanggungjawabkan dalam hal ehwal berkaitan dengan adat istiadat Melayu, keagamaan dan pentadbiran. Perlantikan itu dibuat setelah melihat kewibawaan Tuan Guru Haji Ishak sebagai ulama yang berpengetahuan luas. Semasa berkhidmat sebagai Kadi Besar, Tuan Guru Haji Ishak menjalankan tugas dengan cemerlang. Antara tugas yang dijalankan ialah menyusun tempat perletakan istana, tempat tinggal keluarga raja, tempat pemakaman raja dan menjadi guru raja di samping terus aktif mengajar ilmu-ilmu agama Feqah dan Tauhid kepada orang ramai. Dengan sokongan Tunku Anom, Tuan Guru Haji Ishak telah mendirikan sebuah pusat pendidikan pondok di Kampung Pulau Pisang, Mukim Tunjang. Pusat pendidikan pondok di Pulau Pisang telah terkenal di seluruh negara dan memandangkan kemajuan pesat Pulau Pisang sebagai pusat Islam, Tunku Anom bersetuju menjadikannya sebagai pusat pemerintahan. Dengan nasihat Tuan Guru Haji Ishak, Tunku Anom kemudiannya mendirikan sebuah istana di Kampung Pulau Pisang. Semasa mentadbir pondok Pulau Pisang, Haji Ishak mendirikan sebuah masjid sebagai kemudahan tempat beribadat. Masjid itu masih kekal hingga sekarang yang dikenali sebagai 'Masjid Ishaqiah'. Asas-asas pembinaannya masih lagi terdiri daripada perkakas-perkakas lama walaupun beberapa kali telah diubahsuai. Mimbar masjid tersebut yang diperbuat daripada kayu teras remia masih digunakan hingga sekarang. Pembinaan masjid itu dilakukan oleh orang-orang Jawa tetapi rekabentuknya adalah ilham Tuan Guru Haji Ishak sendiri. Ini menunjukkan Tuan Guru Haji Ishak bukan sahaja seorang ahli agama semata-mata tetapi juga arkitek yang berkemampuan. Masjid Kampung Pulau Pisang yang dibina di kawasan pondok merupakan salah sebuah masjid yang terindah di negeri Kedah pada waktu itu. Tuan Guru Haji Ishak menggunakan masjid itu bukan sahaja sebagai tempat beribadat tetapi juga sebagai tempat menyampaikan ceramah agama. Keindahan masjid tersebut menjadi salah satu daya tarikan kepada orang-orang luar yang datang menuntut ilmu di Pulau Pisang. Jumlah murid yang datang, sentiasa bertambah dari masa ke semasa. Tunku Anom sendiri turut berguru dengan Tuan Guru Haji Ishak. Baginda telah memerintahkan Tuan Guru Haji Ishak mengarang banyak kitab keagamaan dan risalah-risalah perubatan untuk diwarisi oleh rakyat sebagai bahan rujukan. Tetapi malang sekali kerana semua kitab itu musnah dalam peristiwa kebakaran sebanyak dua kali di Pondok Kampung Pulau Pisang. Kali terakhir pondok itu terbakar ialah pada tahun 1967. Selepas kemangkatan Tunku Anom pada tahun 1853, Sultan Kedah melantik Tunku Ishak menjadi Raja negeri Kubang Pasu dan Tunku Muhammad Saman menjadi Raja Muda. Semasa Tunku Ishak memerintah dari tahun 1853 hingga 1863, Tuan Guru Haji Ishak menjadi penasihat raja dalam hal ehwal keagamaan, adat-istiadat Melayu dan pentadbiran. Pusat pendidikan pondok Kampung Pulau Pisang yang diasaskannya ketika zaman pemerintahan Tunku Anom terus berkembang. Ramai pedagang jauh dan dekat yang bertumpu di bandar Pulau Pisang yang menjadi ibu negeri Kubang Pasu. Sebahagian daripada mereka berguru dengan Tuan Guru Haji Ishak. Tuan Guru Haji Ishak bin Muhammad Hashim meninggal dunia pada tahun 1871 kerana sakit tua dan dikebumikan di tanah perkuburan Masjid Kampung Pulau Pisang. Beliau meninggalkan empat orang isteri bersama sepuluh orang anak.[1]Keturunannya yang menjadi ulama besar Kedah ialah cucunya sendiri (dari sebelah anak perempuannya yang bernama Fatimah) iaitu Haji Muhammad Saleh bin Haji Muhammad Hasyim bin Abdul Hamid bin Ishaq al-Fathani. Tuan Guru Haji Muhammad Saleh lahir di Kampung Pulau Pisang, Mukim Tunjang, Jitra, Kedah pada tahun 1280 Hijrah/1864 Masihi dan meninggal dunia pada tahun 1363 Hijrah/1944 Masihi. Tuan Guru Haji Muhammad Saleh telah alim sejak di Pondok Pulau Pisang lagi kerana beliau sempat mempelajari kitab-kitab besar daripada datuknya sendiri iaitu Tuan Guru Haji Ishak. Antara tahun 1295 Hijrah bersamaan dengan 1879 Masihi hingga tahun 1312 Hijrah bersamaan dengan 1894 Masihi, Tuan Guru Haji Muhammad Saleh melanjutkan pendidikan di Makkah. Ulama yang paling banyak mengajarnya ialah Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani yang merupakan cucu saudara dan Khalifah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Pengetahuan yang bercorak pengkaderan dan pelbagai bidang duniawi dan ukhrawi pula beliau adalah diasuh oleh Syeikh Ahmad al-Fathani. Selain itu Muhammad Saleh juga belajar kepada ulama-ulama bangsa Arab sepanjang berada di Makkah. Setelah pulang dari Makkah, beliau menguruskan Pondok Pulau Pisang yang diasaskan oleh datuknya, Haji Ishak. Institusi Pondok Pulau Pisang sama ada di bawah pimpinan datuknya iaitu Haji Ishak mahu pun dibawah pimpinan Haji Saleh sendiri telah melahirkan ramai ulama, sarjana, pemimpin dan lain-lain, bukan hanya di Malaysia saja, tetapi diseluruh Nusantara termasuk Indonesia, Patani, Myanmar, Kemboja, dan Brunei Darussalam. Diriwayatkan bahawa Pondok Pulau Pisang dalam masa pimpinan Tuan Guru Haji Muhammad Saleh bin Haji Hasyim pelajarnya pernah mencapai 2,000 orang. Jumlah pelajar pondok ribuan orang di Semenanjung pada zaman itu merupakan satu jumlah yang besar dan luar biasa, yang tidak terjangkau oleh pengajian pondok lainnya, kecuali pada zaman yang sama di Patani dan Jawa ada yang lebih ramai daripadanya. Antara ulama dan tokoh ternama Malaysia yang pernah menetap di Institusi Pondok Pulau Pisang ialah: Haji Abdullah Abbas Nasution, seorang ulama, pendidik, pendakwah, tokoh politik dan pengarang beberapa buah kitab. Murid Haji Muhammad Saleh yang masyhur ialah Dr. Burhanuddin Helmi, seorang doktor perubatan, tokoh politik dan pengarang. Kitab-kitab turath Islam yang berbahasa Melayu yang diajarkan di Pondok Pulau Pisang ialah Faridatul Faraid karangan Syeikh Ahmad al-Fathani, Bidayatul Hidayah oleh Syeikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin Aceh dan Ad-Durruts Tsamin karya Syeikh Daud Abdullah Fathani dimana ketiga-tiganya adalah mengenai akidah. Hidayatus Salikin dan Sairus Salikin karya Syeikh Abdus Samad al-Falimbani dan Ad-Durrun Nafis oleh Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari dimana ketiga-tiganya mengenai tasawuf. Tuan Guru Haji Muhammad Saleh turut menggunakan kitab tasawuf yang dikarang oleh Imam al-Ghazali iaitu Minhajul Abidin dan Ihya Ulumuddin. Mengenai terjemahan dan tafsir al-Quran, Tuan Guru Muhammad Saleh menggunakan kitab Tarjumanul Mustafid (Tafsir Baidhawi Melayu) yang dikarang oleh Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fanshuri dan Tafsir Jalalain. Kitab feqah yang digunakan ialah Fathul Mu'in dan syarahnya I'anatut Thalibin. Kitab hadith yang diajar ialah Jawahir al-Bukhari dan Shahih Bukhari. Teks-teks lain yang turut digunakan ialah Matnur Risalatil Fathaniyah dan Tashilu Nailil Amani, kedua-duanya karangan Syeikh Ahmad al-Fathani mengenai ilmu nahwu dan beberapa kitab karangan Syeikh Nawawi al-Bantani yang berasal dari Banten, Jawa Barat. Tuan Guru Haji Muhammad Saleh turut mengarang kitab. Antara kitab yang dapat dikesan ialah Sirajul Huda wa Mishbahud Duja. Kitab ini dicetak oleh Mathba'ah Muhammad Ali Shabih yang berhampiran dengan Al-Azhar, Mesir tahun 1344 Hijrah. Selain Sirajul Huda, karya beliau yang lain pula ialah Tanbihul 'Awam li Istiqazil Manam yang juga dicetak di Mesir tahun 1950. Tuan Guru Haji Muhammad Saleh bin Haji Muhammad Hasyim meninggalkan tiga orang lelaki dimana ketiga-tiganya merupakan tokoh besar dalam bidang agama. Anak-anaknya, Syeikh Ismail bin Tuan Guru Haji Muhammad Saleh bin Haji Muhammad Hasyim pernah memegang jawatan Pengerusi Majmak Ulama Negeri Kedah, Syeikh Ramli pula pernah dilantik menjadi Pendaftar Sekolah-sekolah Agama Negeri Kedah dan Haji Qasim seorang tokoh agama yang banyak berjasa.
Semenjak kebakaran besar berlaku pada tahun 1967 sehingga memusnahkan sebahagian besar pondok tersebut[2], pusat pengajian itu kemudiannya sepi begitu sahaja. Sehinggalah apabila cucu kepada Tuan Guru Haji Muhammad Saleh, Datuk Ghazi @ Hasbullah Haji Sheikh Ramli mengambil inisiatif untuk membangunkan kembali pusat pendidikan itu. Beliau membangunkan kembali sisa-sisa pondok yang musnah akibat kebakaran dan memberi nama pusat ilmu itu sebagai Pusat Ilmu Ishaqiah yang mengambil nama masjid yang dibina oleh moyangnya iaitu Tuan Guru Haji Ishak. Pusat Ilmu Ishaqiah atau ringkasnya PII bergerak dengan slogan, `Ilmu Teras Kecemerlangan' menitikberatkan pengetahuan berkaitan fardu ain dan fardu kifayah untuk dijadikan bekalan duniawi dan ukhrawi. Program-program yang dijalankan di PII seperti kelas KAFA, kelas al-Quran dan Tajwid, kelas al-Quran dan Nasyid, kelas Bahasa Arab, kelas Agama, ceramah Agama, kelas IT peringkat kanak-kanak, remaja dan dewasa, pekan internet, kelas tuisyen akademik dan program anak angkat dimanfaat oleh masyarakat setempat. PII juga telah menandatangani MOU dengan Universiti Utara Malaysia (UUM) iaitu pada bulan Ogos 2000 bertujuan mempertingkatkan penguasaan ilmu yang mencakupi pengajian agama dan ilmu-ilmu lain serta kemahiran moden.[3]


[1] Rujuk http://www.mykedah2.com/10heritage/102_4_05.htm. Dicapai pada 28 Jun 2009.

[2] 30 buah pondok musnah sama sekali dalam kebakaran yang dipercayai berpunca dari pelita ketika waktu sahur
[3] Rujuk tulisan Zuarida Mohyin dalam artikel bertajuk Pusat Ilmu Ishaqiah – Menyediakan bekalan dunia akhirat. Artikel ini disiar pada 9 Januari 2004 dalam akhbar Utusan Malaysia. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0109&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive. Dicapai pada 28 Jun 2009.

Saturday, June 27, 2009

Habib Hassan al-Attas Ulama Pahang dan Johor

Habib Hassan al-Attas






Nama penuh beliau ialah Saiyid Hassan bin Ahmad bin Zain Al Attas. Nasab beliau adalah bersambung sehingga kepada Rasulullah SAW. Sejarah kedatangan keluarganya bermula awal abad ke-18 apabila datuknya, Habib Zain al-Attas berhijrah ke Singapura. Kemudian beliau berpindah ke negeri Pahang untuk mencari kehidupan yang selesa. Hal ini demikian kerana pada waktu itu negeri Pahang mempunyai hasil mahsul yang makmur.[1] Habib Zain al-Attas kemudiannya bersahabat baik dengan keluarga Diraja Pahang. Beliau banyak membuat kebajikan kepada rakyat dan masyarakat disana. Pada tahun 1832, Habib Hassan dilahirkan di Kampung Maulana di sebuah rumah berhampiran dengan Istana Tun Ali (Pahang). Ketika hidupnya beliau dikenali sebagai seorang ulama, pendakwah dan juga ahli perniagaan yang telah banyak menabur jasa. Sebagai seorang ahli perniagaan, Habib Hassan membeli dan menjual bijih timah dan emas. Ini adalah kerana pada masa itu, negeri Pahang kaya dengan hasil bijih timah dan emas. Hasil galian itu didapati di Lembah Sungai Kuantan dan di beberapa tempat di daerah Lipis. Antaranya terdapat di Penjom, Tanum, Telum, Raub, Yong, Sampan, Cheka, Selinsing, dan banyak lagi. Dalam masa yang sama beliau juga membawa masuk pekerja-pekerja dari Singapura untuk mengusahakan lombong tersebut. Kebanyakan pekerja yang dikendalikan oleh Habib Hassan terdiri daripada orang-orang Cina. Pengusaha lombong di situ mendapatkan pekerja tersebut daripada Habib Hassan dengan perkiraan kadar yang munasabah. Oleh hal yang demikian Habib Hassan sentiasa dihormati oleh orang-orang Cina khususnya yang datang mencari nafkah di Pahang. Dalam kalangan mereka bukan sahaja menjadi pekerja lombong malah ada yang menjadi tauke. Pengaruh Habib Hassan di kalangan orang-orang Cina ini memudahkan beliau menyelesaikan masalah yang timbul. Pada tahun 1921 beliau telah membiayai sebuah sekolah pondok yang telah diasaskan oleh seorang lagi ulama besar Pahang iaitu Tuan Guru Haji Utsman bin Senik.[2] Sistem pengajian sekolah ini berubah dari pondok kepada madrasah. Sekolah ini lalu diberi nama Madrasatul ´Arabiah al-Attas di Kampung Ketapang, Pekan. Mata pelajaran yang diajar di sekolah ini ialah bahasa Arab, Ilmu Hisab, Tawarikh (sejarah), Ilmu Alam (geografi) di samping pengetahuan agama Islam yang menjadi asas pengajian. Sekolah ini mendapat sambutan semua golongan masyarakat termasuk golongan istana. Sekolah ini kekal hingga sekarang dan kini ditadbirkan oleh Kerajaan Negeri Pahang semenjak dari tahun 1966. Habib Hassan juga sering ke negeri Johor. Dinegeri itu, beliau menubuhkan satu lagi madrasah yang juga di beri nama Madrasah al-Attas yang diasasnya pada tahun 1913.[3] Beliau bukan sahaja berbaik-baik dengan masyarakat tetapi juga bergaul baik dengan Raja-Raja Melayu samada ketika di Negeri Pahang mahupun di Negeri Johor. Di Johor beliau bersahabat baik dengan Sultan Johor iaitu Sultan Abu Bakar sehingga beliau dipelawa oleh sultan supaya menetap terus di Johor. Di Johor beliau tinggal di Kampung Habib Hassan (sekarang dikenali sebagai Kampung Wadi Hassan). Habib Hassan dikatakan ada menubuhkan sebuah syarikat percetakan yang dikenali dengan nama Mutaaba’ah al-Attas (Al-Attas Press). Menerusi syarikat ini, Habib Hasan telah mencetak Ratib al-Attas yang merupakan himpunan zikir, ayat-ayat al-Quran dan doa yang disusun oleh al-Habib Umar bin Abdul Rahman al-Attas yang sangat terkenal dengan pelbagai fadhilat dan hikmah kepada si pengamalnya. Syarikat percetakan ini bergiat di Johor pada kira-kira tahun 1927. Di atas segala jasa dan pengorbanan beliau di negeri itu maka beliau telah dianugerahkan pangkat Darjah Kerabat (DK) Johor oleh Sultan Abu Bakar pada tahun 1932. Habib Hassan akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 1932 di rumahnya di Kampung Wadi Hassan, Johor Bahru Johor.

Habib Hassan al-Attas dalam kenangan


Nota kaki

[1] Rujuk www.yadim.com.my/Ulama/UlamaFull.asp?Id=146. Dicapai pada 28 Jun 2009
[2]Nama lengkapnya ialah Tuan Guru Haji Utsman bin Haji Senik bin Haji Ibrahim bin Haji Salim. Beliau lahir sekitar tahun 1810-an dan meninggal dunia pada 12 Ramadan 1336 Hijrah bersamaan dengan 21 Jun 1918 Masihi dalam usia hampir 100 tahun. Sultan Pahang ketika itu, Sultan Ahmad berkenan melantik beliau sebagai Mufti Kerajaan Pahang Darul Makmur. Beliau menjadi orang terkemuka di Kerajaan Pahang, mengajar kaum keluarga Diraja Pahang di istana, selain mengajar orang awam. Beliau menjadi Mufti Pahang selama 20 tahun hingga meninggal dunia dalam tahun 1918 Masihi. Diriwayatkan bahawa Tuan Guru Haji Utsman menjadi mufti dalam tiga pemerintahan Sultan Pahang iaitu Sultan Ahmad, Sultan Mahmud dan Sultan Abdullah. Beliau menimba ilmu dari Syeikh Abdul Qadir (Tok Bendang Daya II) bin Syeikh Haji Wan Mustafa al-Fathani dimana beliau mempelajari ilmu Arabiyah seumpama nahwu, sharaf dan lain-lain, asas tauhid, fikah dan tasawuf. Beliau turut mendalami ilmu hikmat yang dibangsakan kepada Imam al-Buni seperti tersebut dalam Syamsul Ma'arif al-Kubra, Mujarrabat dan lain-lain. Ilmu hikmat itulah yang telah dipergunakan oleh Tuan Guru Haji Utsman Pahang sewaktu beliau meneroka hutan untuk dijadikan penempatan. Kampung yang dibuka itulah yang dikenali dengan nama Kampung Ketapang yang terletak di Pekan, Pahang. Menurut ceritanya, ketika membuka hutan tersebut binatang buas memang tunduk kepada beliau. Sewaktu di Pulau Tawar sekembalinya dari Makkah, beliau tidak memperlihatkan dirinya sebagai seorang ulama kerana beliau bergaul dengan orang-orang kebanyakan. Pada peringkat awal dakwahnya, beliau hanya memperlihatkan kebolehan dalam bidang ilmu hikmat. Pada suatu ketika Tuan Guru Haji Utsman pernah mengeluarkan sebuah kapal yang telah karam. Pada kesempatan lain beliau pernah didatangi buaya ganas yang telah memakan manusia sehingga buaya tersebut dapat dibunuhnya. Pada kali yang lain pula beliau pernah menangkap harimau buas yang selalu mengancam ketenteraman manusia dan binatang ternakan. Melihat hal-hal pelik yang mencarik adat itulah maka pahlawan Melayu yang sangat terkenal satu masa dahulu, Mat Kilau sejak kecil diserahkan oleh kedua-dua orang tuanya kepada Tuan Guru Haji Utsman untuk diajar berbagai-bagai ilmu fardu ain. Umur Mat Kilau sebaya dengan anak sulungnya, Haji Juned. Tuan Guru Haji Utsman juga dikatakan belajar secara langsung dari Syeikh Haji Wan Mustafa al-Fathani, pengasas Pondok Bendang Daya yang juga merupakan hulubalang Patani yang sangat handal yang ikut berjuang bersama Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani dalam satu peperangan besar ketika Kedah dan Patani melawan Siam. Ketika melanjutkan pelajaran di Makkah, beliau menimba ilmu dari Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, guru thala'ah kitabnya di bawah bimbingan Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani dan Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman al-Kalantani. Dengan Syeikh Ahmad al-Fathani walaupun jauh lebih muda daripadanya, Tuan Guru Haji Utsman mendalami nahwu dengan menggunakan kitab Tashil Nailil Amani kepada pengarangnya, iaitu ulama Patani tersebut. Kitab Tashil Nailil Amani itulah yang beliau ajar hinggalah beliau menjadi Mufti di Pahang. Karya tulis Tuan Guru Haji Utsman bin Haji Senik setakat yang diketahui hanya dua buah, iaitu Majliatul Mushalli yang pernah dicetak dengan huruf batu di Singapura dan Kitab Perubatan. Kesan peninggalan hasil ubatan beliau yang terkenal ialah ubat makjun yang dikenali dengan nama Makjun Telor. Kini pembuatan makjun itu diusahakan oleh anak cucunya. Rujuk tulisan almarhum Ustaz Haji Wan Mohd Saghir Abdullah di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0621&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive. Dicapai pada 28 Jun 2009.
[3] Madrasah ini kekal sehingga kini dan ditadbir oleh pewaris-pewaris beliau. Madrasah Al Attas Johor yang terletak di atas bukit Timbalan, Johor Baharu ini dimulakan sesi pembelajarannya dengan bermula 80 orang pelajar. Mudirnya yang pertama adalah Tuan Hj Ahmad Gusti dibantu oleh YM Tuan Syed Alwi bin Ahmad Al Attas dan Tuan Syeikh Arafat Mansor dari Kaherah Mesir. Pertambahan muridnya menyebabkan Habib Hassan terpaksa memindahkan Madrasah Al Attas ke tempah yang baru. Tapak baru madrasah ini juga di atas sebuah bukit, iaitu Bukit Seri Kopi berhampiran dengan Sekolah Melayu Air Molek, Johor Baharu. Kemudiannya, buat kali yang ketiga Madrasah Al Attas terpaksa dipindahkan lagi, kali ini pula dibangunan sementara yang lebih besar sesuai untuk menampung pertambahan pelajar-pelajarnya. Bangunan sementara ini terletak bersebelahan dengan Sekolah Perempuan Sultan Ibrahim atau ringkasnya SIGS yang ada pada hari ini. Pada tahun 1925, jumlah pelajarnya meningkat kepada 300 orang. Dan untuk perpindahan kali yang keempat, ia telah dipindahkan berdekatan dengan rumah Habib Hassan sendiri iaitu di kampung Habib Hassan yang kini dikenali sebagai kampung Wadi Hassan. Habib Hassan akan solat berjemaah bersama-sama dengan pelajar-pelajar Madrasah Al Attas di sebuah masjid yang didirikan di kampung tersebut. Sebelum beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir, beliau telah membeli sebidang tanah seluas 10 ekar. Di atas bukit Sekolah Arab inilah seterusnya Madrasah Al Attas dibangunkan dengan kemudahan sekolah, asrama, rumah guru-guru, rumah pekerja, surau dan perpustakaan. Pada tahun 1993, Madrasah Al Attas dipindahkan di atas sebuah bukit di Km 23 Jalan Kota Tinggi, Ulu Tiram. Rujuk http://maaj-johor.blogspot.com/. Dicapai pada 28 Jun 2009

Tuan Guru Haji Abbas - Tokoh Ulama dari Besut



Almarhum Tuan Guru Haji Abbas



Daerah Besut tidak pernah ketandusan melahirkan ulama-ulama berkaliber. Salah seorang darinya ialah Tuan Guru Haji Abbas Ahmad. Beliaulah yang telah mengasaskan pondok Tok Jiring sehingga menjadi sekolah agama yang terkenal di peringkat tanahair pada masa ini. Beliau dilahirkan pada awal tahun 1910-an di Kampung Bukit Puteri, Kuala Besut. Kealimannya diakui khususnya dalam bidang ilmu feqah yang merangkumi 4 mazhab iaitu Shafie, Maliki, Hanafi dan Hambali menerusi gerakan pendidikan pondok.
Tuan Guru Haji Abbas mendapat pendidikan awal di Pondok Haji Mohd bin Haji Hussein, Kuala Besut. Selepas itu sepertimana yang menjadi kelaziman ulama-ulama besar satu masa dahulu, beliau kemudian melanjutkan pelajaran ke Makkah selama 8 tahun ketika usianya baru menjejak 14 tahun. Setelah menyelesaikan pengajian di Makkah, beliau kemudiannya berangkat ke India untuk menyambung pengajian di Universiti Al-Jamiah Al- Islamiah, Gujerat. Pada ketika itu, beliau berusia 22 tahun. Selepas pulang ke tanah air, empat tahun kemudian beliau pergi semula ke India untuk meneruskan pengajiannya di Universiti Darul Ulum Deoband selama setahun iaitu pada tahun 1938. Setelah menyelesaikan pengajiannya, beliau pulang semula ke tanahair. Matlamat utamanya ialah beramal, berbakti dan berkorban demi mencapai keredaan Allah. Untuk mencapai matlamatnya itu, ilmu wajib dikembangkan demi kesejahteraan umat seluruhnya. Langkah pertama ialah dengan mengasaskan sebuah pondok di kampung kelahirannya sendiri yang diberi nama Jamiah Diniah. Bersama-sama dengan beberapa ulama lain, beliau membuka sebuah lagi pondok di Kampung Raja, Besut iaitu Madrasah Nurul Ittifaq dan seterusnya membuka satu lagi pusat pengajian yang diberi nama Darul Adib Al-Khursani di Kuala Besut. Gerakan pendidikan dan dakwah Tuan Guru Haji Abbas ini melewati Besut hingga ke sempadan Bukit Yong di Kelantan dengan membuka beberapa buah pondok mulai 1945. Beliau kemudiannya berhijrah ke Kuala Terengganu dan mengasaskan pondok Tok Jiring hingga sekolah itu menjadi terkenal di Terengganu dan seluruh negara amnya.[1] Pondok ini diasaskan pada tahun 1953. Ia berkembang menjadi sebuah Sekolah Menengah Agama sehingga kerajaan negeri mengambil alih pentadbirannya pada tahun 1962. Pada tahun 1976, Kementerian Pelajaran Malaysia mengambil alih pentadbirannya dan dinaikkan taraf menjadi sebuah sekolah menengah agama yang termoden di Terengganu.[2] Atas sumbangan dan jasanya yang tidak ternilai kepada anak bangsa itu, kerajaan Negeri Terengganu mengisytiharkannya sebagai Tokoh Ulama dalam Majlis Sambutan Ma'al Hijrah pada Tahun Hijrah 1409. Pada 17 April 1989, Sultan Terengganu berkenan mengurniakan Bintang Kebesaran Negeri Terengganu, Datuk Paduka Mahkota Terengganu, (DPMT) yang membawa gelaran Datuk kepadanya. Tuan Guru Haji Abbas juga pernah dianugerahkan sebagai Tokoh Guru Terengganu tahun 1990. Pada 16 Mei 1991, beliau sekali lagi dianugerahkan sebagai Tokoh Guru Peringkat Nasional. Dalam pentadbiran kerajaan negeri, beliau pernah dilantik sebagai senator selama 6 tahun oleh Dewan Undangan Negeri Terengganu pada awal tahun 60-an.[3] Tuan Guru Haji Abbas dikurniakan 15 orang anak. Antara anaknya yang meneruskan aktiviti dakwah menerusi sistem pondok ialah Abdul Aziz. Salah seorang anak muridnya yang menjadi ulama besar pada masa ini ialah Menteri Besar Kelantan pada ketika ini iaitu Tuan Guru Haji Nik Aziz Nik Mat[4]. Tuan Guru Haji Nik Aziz menimba ilmu kepada Tuan Guru Haji Abbas di Madrasah Nurul Ittifaq di Besut.[5]Tuan Guru Haji Abbas berpulang kembali ke rahmatullah pada 1 Julai 1997.


Tuan Guru Haji Abbas dalam kenangan - Ulama asal Besut yang sangat gigih menyebarkan dakwah




[1] Rujuk http://smkatj2010.blogspot.com/2008/04/pengasas-smka-tok-jiring-seorang-ulama.html. Dicapai pada 27 Jun 2009

[2] Rujuk http://rasmi.smkatokjiring.com/index.php?option=com_content&task=view&id=55&Itemid=57. Dicapai pada 27 Jun 2009
[3] Rujuk http://rasmi.smkatokjiring.com/index.php?option=com_content&task=view&id=55&Itemid=57. Dicapai pada 27 Jun 2009
[4] Lahir pada tahun 1931 di Pulau Melaka, Kelantan. Dilantik menjadi Menteri Besar Kelantan pada 22 Oktober 1990.
[5] Rujuk biodata Menteri Besar di http://mbkelantan.disanasini.com/biodata/

al-Marhum Dato’ Mursyid Diraja al ‘Allamah Syeikh Haji Tajuddin bin Syeikh Abdul Rahman - bekas Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan (1995-1999)

al-Marhum Dato Syeikh Haji Tajudin bin Syeikh Abdul Rahman al-Jarumi




Al Marhum Dato’ Haji Tajudin dilahirkan di belakang Kilang Ais, Seberang Perak, Alor Setar, Kedah Darul Aman, pada 27 Ramadhan 1343H bersamaan dengan 18 September 1924M. Nama penuh beliau ialah Haji Tajudin bin Syeikh Abdul Rahman al-Jarumi. Beliau adalah anak Syeikh Abdul Rahman yang ke 8 daripada 11 orang adik-beradik. Beliau juga mempunyai 2 orang saudara seibu. Gelaran al-Jarumi[1] adalah disabitkan dari gelaran datuknya iaitu Tok Syeikh Jarum (1849 -1911)[2], salah seorang ulamak yang terkenal di Kedah dan Nusantara pada abad yang ke 19 yang juga merupakan guru kepada baginda Sultan Abdul Hamid Halim Shah. Nama sebenar Tok Syeikh Jarum ialah Syeikh Wan Idris bin Wan Jamaluddin bin Syeikh Wan Abdul Latif bin Syeikh Wan Shamsuddin bin Syeikh Wan Muhammad Faqih bin Syeikh Wan Muhammad Yasin bin Syeikh Ibrahim Al Hadrami bin Syeikh Ibar al-Hadrami al-Jarmi atau lebih dikenali umum sebagai Syeikh Jamaluddin al Kubro. Bapa Dato’ Haji Tajudin iaitu Syeikh Abdul Rahman al-Jarumi[3] adalah seorang ulama yang sangat terkenal di Alor Setar. Bapanya telah membuka pondok di Batu 1, Jalan Sungai Korok, Alor Setar. Bapanya juga menjadi guru kepada Baginda Sultan Abdul Hamid dan Sultan Badlishah serta kerabat-kerabat. Ibu beliau Nik Rahmah (Nik Doh) binti Nik Abdul Manaf adalah seorang guru al-Quran dan merupakan kerabat Raja Teluban salah sebuah Wilayah di Patani. Semasa zaman kanak-kanak beliau memperolehi pendidikan awal dipondok ayahnya sendiri iaitu di pondok Batu 1. Di samping belajar menulis dan membaca, beliau juga diajar menghafaz matan dan fardhu ‘ain. Manakala ilmu-ilmu al-Quran adalah diperolehi dari ibunya sendiri iaitu Nik Doh. Setelah mencapai usia remaja iaitu ketika berumur 10 tahun beliau dihantar oleh ayahnya ke Makkah untuk melanjutkan pelajaran menengah dan tinggi. Ketika di Makkah beliau dihantar belajar di Sekolah Tinggi Darul Ulum iaitu 3 tahun di peringkat menengah rendah (1933-1935)[4] dan 4 tahun peringkat menengah atas (1936-1942). Beliau kemudiannya menyambung pelajaran di peringkat tinggi selama 2 tahun (1943-1944) hingga mendapat syahadah ‘Aliah. Beliau turut mendalami ilmu-ilmu agama di Masjid Al Haram Makkah selama 3 tahun iatu (1943-1945). Ketika di Darul Ulum beliau mempelajari ilmu-ilmu agama, Bahasa Arab dan pelajaran lain seperti Mantik, Matematik dan Sains. Di antara pelajaran-pelajaran agama yang beliau pelajari di sini termasuklah Ilmu Feqah, Faraid, Usul Feqah, Qawaid Feqah, Tafsir, Ulum Quran, Hadith, Mustolah, Tauhid, dan Sejarah Islam. Manakala pelajaran-pelajaran Bahasa Arab pula ialah seperti Nahu, Sorof, Insyak, Mutolaah, ‘Arudh, Nusus, Adab dan Balaghah. Ketika di Masjid al-Haram pula beliau mendalami ilmu Feqah, Usul Feqah, Tauhid, Tafsir, Hadith dan Tasawuf. Semasa di dalam kelas beliau digelar oleh gurunya Sheikh Muhammad Yasin al-Fadani dan rakan-rakannya sebagai Taj as Sabki kerana kebolehan beliau yang tinggi dalam membaca dan memahami dengan baik kitab usul Feqah yang mashur iaitu Jam’u al Jawami’ karya Imam Tajuddin As Sabki ialah ulama’ besar dalam ilmu perundangan Islam. Kitab ini menjadi rujukan utama di pusat-pusat pengajian tingi hingga sekarang. Selain Syeikh Muhammad Yasin al-Fadani yang merupakan guru utamanya yang juga seorang ulama hadith yang sangat masyhur di Makkah dimana Dato’ Haji Tajudin menerima ijazah sanad-sanad Hadis dan kitab-kitab Mu’tabar yang menjadi sumber rujukan di dalam ilmu-ilmu Islam dari gurunya itu, beliau turut berguru dengan Syeikh Hasan al-Masyalt, Syeikh Ali al-Maliki, Syeikh Husain al-Maliki, Muhaddith Hijaz al-Hafiz Syeikh Omar Hamdan al-Mahrisi, Syeikh Shafie Kedah, Syeikh Ismail Abdul Qadir al-Fathani, Sayyid Muhammad Amin al-Qurtubi, Sayyid ‘Alawi bin Sayyid Abbas al-Hasani, Syeikh Zain al-Boyani, Syeikh Yaakub bin Abdul Qadir al-Mandili dan Syeikh Husain Abdul Ghani al-Falimbani. Beliau sangat rapat dengan gurunya yang utama itu sehingga selepas pulang ke tanahair pun, beliau sentiasa berhubung dengan gurunya itu. Setelah pulang dari Makkah pada awal tahun 1946 dalam usia 21 tahun beliau berkahwin dengan Puan Siti Zubaidah binti Ismail 18 tahun.[5]Perkahwinan ini menghasilkan 9 orang cahaya mata. Anak ketiga beliau Faiqah meninggal dunia ketika berumur 4 tahun setelah terjatuh ke dalam perigi berdekatan dengan rumahnya. Anak beliau yang masih ada ialah lapan orang iaitu: Fauziah, Ahmad Shafik, Ahmad Najib, Saulah, Mahmud Pathi, Zakiah, Mohd Jamil Sadaqi dan Muhammad Farid Wajdi. 7 orang anaknya telah mencecahkan kaki ke pusat pengajian tinggi. Daripada itu tiga daripadanya telah berjaya mencapai ke peringkat ijazah Sarjana atau Master. Pada tahun 1946 beliau mula mengasaskan Madrasah Nahdhah Hasanah, di Melele. Beliau dilantik oleh penduduk-penduduk setempat menjadi mudir yang pertama hingga sekarang. Pendorong utama beliau untuk menerima jawatan ini ialah ayahnya sendiri Syeikh Abdul Rahman dan isterinya Siti Zubaidah. Murid-murid pertama yang diterima masuk ke sekolah adalah seramai kira-kira 13 orang yang terdiri daripada anak tempatan. Di antara mereka ialah Abdul Halim bin Imam Lebai Salleh, Ramli bin Toha, Aishah binti Abdul Hamid, Hashim Naim bin Othman, Tom binti Ismail, Yahya bin Jusuh, Intan binti Mat Arif dan Bakar bin Ahmad. Ahli Jawatan kuasa Lembaga Tadbir sekolah yang pertama ditubuhkan pada masa itu ialah terdiri daripada Tuan Imam Lebai Salleh, Tuan Haji Darus Arshad, Cikgu Shaari bin Abu Bakar (Setiausaha Pertama), Cikgu Ismail bin Ahmad, Cikgu Talib bin Din, Haji Othman bin Idris, Haji Jusuh bin Idris (bendahari pertama), Haji Mat Arif bin Jusuh. Guru awal yang dilantik bagi membantu Tuan Guru Haji Tajuddin ialah Ustaz Zainal Abidin dan Ustaz Haji Ahmad. Setelah itu guru-guru sekolah ini di ambil dari kalangan bekas-bekas penuntut sekolah ini. Mereka terdiri daripada Ustaz Nayan, Ustaz Hashim Ishak, Ustaz Kasim Lebai Man, Ustaz Salleh bin Sutan dan Ustaz Hashim Naim. Pada tahun 1368 bersamaan 1949 sekolah ini telah didaftarkan secara rasmi dengan Majlis Agama Islam Negeri Kedah oleh Pendaftar Sekolah-sekolah Agama pada masa itu iaitu Syeikh Mahmud dengan nama Madrasah Nahdhah al-Hasanah atau Sekolah Menengah Agama Nahdhah Hasanah. Nama sekolah ini diilhamkan oleh Kadhi Kubang Pasu pada masa itu iaitu Tuan Haji Ahmad bin Yasin. Berdasarkan lokasi semasa, sekolah ini berada di tengah perjalanan antara Bandar Jitra ke Kodiang. Madrasah ini kini dipimpin oleh anak Dato’ Haji Tajudin iaitu Syeikh Muhammad Farid Wajdi sebagai pengetua.[6] Peringkat awal penubuhan Madrasah Nahdhah Hasanah adalah sungguh mencabar kerana pimpinan madrasah terpaksa berjalan berbatu-batu merentasi hutan, paya dan sungai untuk berdakwah sambil memperkenalkan sekolah yang baru ditubuhkan disamping berusaha mendapat sokongan moral dan wang ringgit. Untuk membangunkan Madrasah, Haji Tajudin dibantu oleh Tuan Imam Lebai Salleh iaitu Imam Masjid Melele, dan beberapa orang lagi. Rumah yang mula-mula di duduki hanyalah pondok kecil yang bertiang dan berlantai kayu bulat, berdinding pelepuh dan beratap rumbia. Keadaan masyarakat pula kebanyakannya agak jahil dimana mereka mengamalkan kepercayaan tahyul, tok keramat, khurafat dan syirik. Keramat Tok Melele dipuja apabila datang musim menuai. Berjudi laga ayam dan kerbau adalah amalan kebiasaan penduduk pada masa itu. Bermula dari cabaran inilah beliau berazam untuk mengubah keadaan fizikal kawasan dan mengubati kepincangan yang berlaku di dalam masyarakat. Selain daripada menumpukan pengajaran di sekolah atau pondoknya, beliau juga berdakwah diluar dengan mengajar di beberapa tempat di sekitar Alor Star termasuk istana. Di antara kitab yang beliau gunakan di dalam pengajaran beliau ialah kitab Syarah al-Hikam Ibnu Atoillah karangan Tokku Pulau Manis, Minhaj Al ‘Abidin karangan Imam al-Ghazali, Bughuyah At Tullab karangan Syeikh Daud al-Fathani, Kasyhful Litham karangan Syeikh Zainal Abidin al-Fathani, Sairus Salikin karangan Sheikh Abdul Samad al- Falimbani, Aqidah An Najin karangan Syeikh Zainal Abidin al-Fathani, Hidayatus Salikin karangan Syeikh Abdul Samad al-Falimbani, Sabilul Muhtadin karangan Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dan Bakurah Al Amani karangan Syeikh Ismail Abdul Qadir al-Fathani yang merupakan kitab-kitab Jawi. Manakala kitab berbahasa Arab pula ialah Majmu’ an-Nawawi Syarah al-Muhazzab karangan Iman Nawawi, Jam’u al Jawami’ karangan Imam Tajuddin as-Sabki, al-Hikam Ibnu Atoillah Syarah Ibnu ‘Ibbad, Ihya Ulum ud Din karangan Imam al-Ghazali, Tafsir Ibnu Kathir dan Riadus Solihin karangan Imam Nawawi. Setelah berdakwah secara lisan serta menglibatkan diri dalam dakwah dan keagamaan sama ada peringkat negeri atau kebangsaan, beliau juga terlibat dalam penghasilan karya-karya penulisan. Antara karya-karya beliau berbentuk penulisan ialah:
1- Rahsia Sembahyang – terbitan Majlis Agama Islam Kedah
2- Doa’ Pagi Dan Petang – terbitan Majlis Agama Islam Kedah
3- Perhimpunan Ibadat Qiyamullail – terbitan Majlis Agama Islam Kedah
4- Rahsia Haji – diterbitkan sendiri untuk kuliah ibadat haji beliau.
5- Dan beberapa risalah lain.
Pengalaman dan ilmunya yang luas menyebabkan beliau telah dilantik memegang jawatan-jawatan penting samada diperingkat negeri mahupun kebangsaan seperti;
1- Ahli Majlis Agama Islam Negeri Kedah – semenjak 1960an hingga 2000.
2- Ahli Jawatankuasa Zakat Negeri Kedah – semenjak 1970an hingga 2000.
3- Ahli Majlis Fatwa Negeri Kedah – semenjak 1980an hingga 2000.
4- Ahli Jawatankuasa Ibadat Haji, Lembaga Urusan Tabung Haji - 1994 hingga 2000.
5- Pakar Rujuk Ibadah Haji di Makkah – 1995 hingga 2000.
6- Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan – 1995 hingga 1999.
7- Ahli Majlis Agama Kebangsaan – 1995 hingga 1999[7]
Anugerah yang diterimanya atas sumbangan dan jasanya ialah seperti
1- Pingat Jasa Kebaktian PJK, oleh DYMM Sultan Kedah – tahun 1969.
2- Ahli Mahkota Kedah AMK, oleh DYMM Sultan Kedah – pada 10/1/1980.
3- Ahli Mangku Negara AMN oleh Yang Dipertuan Agung – pada 4/6/1980.
4- Dato’ bergelar Dato’ Mursyid Diraja oleh DYMM Sultan Kedah – pada 17/1/1988.
5- Anugerah Pendidik Jaya Negeri Kedah – pada Hari Guru tahun 1991.
6- Anugerah Perkhidmatan Cemerlang oleh Majlis Agama Islam Negeri Kedah – tahun 1993.
7- Darjah Kebesaran Negeri Kedah iaitu DSDK (Dato’ Setia Diraja Kedah) oleh DYMM Sultan Kedah - pada 23/1/1994.
8- Anugerah Tokoh Guru Kubang Pasu - pada 23 Mei 1998.
9- Bintang Kebesaran Orang Besar Enam Belas – Hari Keputraan DYMM Sultan Kedah tahun 2000.
10- Tokoh Maal Hijrah 1421H/ 2000M peringkat negeri Kedah.[8]
Dato’ Haji Tajudin juga dikatakan mahir menggunakan komputer. Sejak dari hujung tahun 1980an beliau memiliki set komputer peribadi sendiri. Beliau adalah seorang yang mahir dalam menggunakan beberapa perisian komputer di antaranya ialah perisian Macintosh Mac Draw.[9] Salah seorang murid Dato’ Haji Tajudin yang menjadi ulama masyhur pada masa ini ialah Syeikh Fuad Kamaluddin al-Maliki[10], ahli majlis Fatwa Negeri Sembilan dan pengasas Sekolah Tinggi Islam as-Sofa. Selepas menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Syeikh Fuad berhijrah ke Madrasah al Nahdah al Hasanah Kedah untuk mendalami pengajian Agama dan Bahasa Arab dengan guru-guru pondok di sana. Disitulah beliau berkesempatan menimba ilmu dengan al Marhum Dato’ Mursyid Diraja al ‘Allamah Syeikh Hj. Tajudin. Sekalipun tidak lama belajar di sana, Syeikh Fuad menjadi murid kebanggaan gurunya, Dato’ Haji Tajudin dan memperolehi kejayaan yang cemerlang. Ketika berada di Mesir, beliau telah mengutus sepucuk surat kepada Dato’ Haji Tajudin di dalam Bahasa Arab. Nama dan suratnya disebut dan dibaca oleh Dato’ Haji Tajudin dalam perhimpunan sekolah dan menjadi murid contoh kepada pelajar-pelajar yang lain. Semasa menziarahi Dato’ Haji Tajudin setelah tamat pengajian di al Azhar dan membuka sekolah pondok di kampungnya, Dato’ Haji Tajudin menyatakan perasaan bangganya di atas kejayaan beliau dan jejak langkahnya yang diikuti oleh beliau. Malah Dato’ Haji Tajudin turut berpesan kepada beliau supaya mengajar kitab Hikam dan cara-cara amalan seseorang itu diterima Allah dan bukan sekadar mengajar hukum sah dan batal. Dato’ Haji Tajudin juga sempat memberikan kata-kata perangsang kepada Syeikh Fuad agar menguatkan semangat meneruskan usahanya dan memahami segala mehnah yang dihadapinya. Dato’ Haji Tajudin juga membenarkan pelajar maahad yang dipimpin oleh Syeikh Fuad mengambil peperiksaan bersama dengan sekolahnya.[11]
Akhirnya pada 11 Mei 2000 bersamaan 7 Safar 1421 hari Khamis jam 8.00 malam, Dato' Mursyid Diraja Syeikh Haji Tajudin telah berpulang ke Rahmatullah. Semoga Allah mencucuri rahmat dan hidayat ke atas rohnya.
Notakaki

[1] Gelaran 'Jarum' di hujung nama Haji Wan Muhammad ldris dikatakan berpunca dari peristiwa sewaktu Raja Patani mengumpul beberapa orang ulama di istananya untuk berbincang masalah 'hukum rejam' dalam Islam. Diantara semua ulama yang hadir, Haji Wan Muhammad Idris adalah yang paling muda. Ketika Raja Patani meminta Haji Wan Muhammad ldris memberikan pendapat, beliau terus dapat menjawab dengan pintar dan tepat. Ketajaman fikiran Haji Wan Muhammad itulah menyebabkan baginda menggelarnya, 'Tok Sheikh Jarum'. Tok Sheikh Jarum atau nama penuhnya ialah Haji Wan Muhammad ldris bin Haji Wan Jamal dilahirkan pada tahun 1266 Hijrah bersamaan 1849 Masihi di Kampung Bendang, Daerah Jaha dalam Wilayah Yala, Patani.

[2] Tok Sheikh Jarum mula mempelajari pelajaran agama Islam dari gurunya yang juga merupakan ayah angkatnya bernama Haji Minai (ada juga menyebutnya sebagai Minal) atau lebih dikenali dengan panggilan Tuan Minai (Minal) atau Tok Sheikh Minai (Minal) iaitu pengarang kitab Kashful-Litham dan Aqidat Al-Najin yang sangat terkenal di Alam Melayu. Nama penuh Tuan Minai ialah Syeikh Wan Zainal Abidin bin Wan Muhammad al-Fathani bin Wan Muhammad Dahan bin Wan Syamsuddin bin Wan Ja'far bin Wan Husein bin Ali. Beliau telah membawa Tok Sheikh Jarum ke Makkah untuk menunaikan haji. Apabila Tuan Minai kembali ke tanahair, Tok Sheikh Jarum tidak ikut serta kerana beliau mahu mendalami pengajiannya di dalam bidang bahasa Arab, Usuluddin, Tafsir dan Fiqah. Sekembalinya dari Makkah, Tok Sheikh Jarum mengajar beberapa tahun di pondok Tuan Minai di Bendang Dalam, Patani. Kali kedua beliau berangkat ke Makkah ialah pada tahun 1895 dengan membawa ketiga-tiga orang isterinya dan dua orang muridnya yang berasal dari Kedah iaitu Haji Mohamad Salleh Haji ldris dan Haji Muhammad Taib. Kali ini beliau tidak tinggal lama di Makkah kerana cita-citanya ingin pulang ke tanahair untuk mengasaskan perkampungan pondoknya sendiri. Pada awal tahun 1900, Tok Sheikh Jarum bersama isteri-isterinya berangkat meninggalkan Makkah dan berniat untuk singgah di Kedah. Di Kedah, beliau tinggal di rumah seorang muridnya, Haji Awang di Pondok Kubang Siam. Berita ketibaan ulama Patani di kampung itu dan kemasyhurannya telah sampai ke pengetahuan Sultan Kedah, Sultan Abdul Hamid Halim Shah melalui Sheikh Ahmad Daim yang merupakan Kadhi Besar Kedah waktu itu. Baginda dikatakan meminta Tok Sheikh supaya menetap terus di Kedah untuk mengembangkan syiar Islam di samping menjadi Guru Agama di istana. Permintaan baginda itu diterima oleh Tok Sheikh Jarum kerana bersesuaian dengan cita-citanya. Tok Sheikh Jarum diberi kemudahan tempat tinggal di Alor Star. Namun disebabkan suasana sibuk dan hangar-bingar Alor Setar, beliau merasakan dirinya tidak sesuai tinggal disitu. Lalu beliau memohon suatu tempat atau kawasan untuk membolehkan beliau membangunkan sekolah pondoknya. Permohonannya dipertimbangkan dan diberikan satu kawasan yang terletak di Derga. Di situlah beliau meneroka dan mendirikan perkampungan pondoknya dengan bantuan orang-orang dari Kanchut, Alor Star. Dalam masa yang singkat, purata jumlah pelajarnya bertambah setiap tahun sehingga pondoknya meningkat kepada dua ratus buah. Oleh kerana pertambahan yang menggalakkan itu, Tok Sheikh Jarum membahagikan kawasan pondoknya kepada dua bahagian iaitu 'pondok luar' dan 'pondok dalam'. Di samping mengajar di pondoknya, beliau juga kerap ke istana untuk mengajar agama kepada putera-puteri diraja. Setiap kali ke istana, beliau menaiki kereta kuda khas yang datang mengambil dan menghantarnya pulang. Mata pelajaran yang diajar oleh Tok Sheikh Jarum di pondoknya termasuklah Usuluddin, Tafsir, Feqah dan bahasa Arab. Anak-anak murid Tok Sheikh Jarum ramai yang berjaya menjadi ulama terkenal di samping menjadi imam dan ada pula yang menurut jejaknya mengasaskan pondok masing-masing. Tok Sheikh Jarum merupakan salah seorang ulama yang pernah dipilih menduduki barisan Majmak Ulama Dua Belas berpusat di Masjid Zahir, Alor Star yang dipengerusikan oleh Syeikhul-lslam Kedah, Haji Wan Sulaiman Wan Sidek. Mereka berkumpul setiap malam Jumaat bermuzakarah tentang agama dan mengeluarkan sesuatu fatwa. Tok Sheikh Jarum disifatkan sebagai seorang ulama yang bertindak tegas dan teguh pendirian. Satu contoh yang dapat dikaitkan dengan sifat tersebut ialah penghijrahan beliau ke Kedah disebabkan tidak bersetuju di atas dasar pemerintahan Thai yang memaksanya mengorek sebatang taliair di kampungnya. Kira-kira sepuluh tahun selepas ia diasaskan iaitu sekitar tahun 1909 pondok itu ditakdirkan musnah dalam suatu kebakaran besar. Punca kebakaran itu dihubungkaitkan dengan pembakaran ikan terubuk kerana boleh dikatakan setiap hari rata-rata penghuni pondok itu membakar ikan terubuk. Kebakaran yang amat dahsyat itu tidak dapat dicegah kerana ianya berlaku dalam sekelip mata. Kesan yang masih tinggal dan dapat disaksikan hingga ke hari ini ialah tiga buah telaga batu di kawasan itu. Salah sebuah daripadanya masih dapat digunakan lagi airnya. Pihak kerajaan bertindak segera membina rumah-rumah panjang di kawasan itu bagi membolehkan penghuninya meneruskan pengajian. Dua tahun kemudian iaitu pada 6 April 1911, Tok Sheikh Jarum meninggal dunia ketika berusia 63 tahun. Jenazahnya dikebumikan di tanah perkuburan Derga.
[3] Meninggal dunia pada tahun 1954
[4] Mudir pada masa itu ialah Saiyid Muhsin Ali al-Masawi dari Indonesia. Setelah meninggal pada tahun 1935, jawatan mudir dipegang oleh Syeikh Zubir Ahmad selama lima tahun. Syeikh Zubir Ahmad kemudiannya pulang ke tanahair dan pernah memimpin Madrasah Idrisiyyah di Kuala Kangsar.
[5] Rujuk http://madrasah.nh.my/info-sekolah/pengasas-madrasah. Dicapai pada 27 Jun 2009
[6] Rujuk http://madrasah.nh.my/info-sekolah/pengenalan-madrasah. Dicapai pada 27 Jun 2009
[7] Rujuk http://madrasah.nh.my/info-sekolah/pengasas-madrasah. Dicapai pada 27 Jun 2009
[8] Rujuk http://madrasah.nh.my/info-sekolah/pengasas-madrasah. Dicapai pada 27 Jun 2009
[9] Rujuk http://madrasah.nh.my/info-sekolah/pengasas-madrasah. Dicapai pada 27 Jun 2009
[10] Rujuk http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0213&pub=utusan_malaysia&sec=bicara_agama&pg=ba_02.htm&arc=hive&arc=hive untuk membaca kisah menarik Syeikh Fuad Kamaluddin sepanjang beliau menimba ilmu di Tanah Arab dan penglibatan beliau dalam dakwah. Artikel menarik tentang Syeikh Fuad Kamaluddin al-Maliki ini adalah hasil tulisan Tarmizi Abdul Rahim yang dipaparkan diruangan Bicara Agama Utusan Malaysia. Terbit pada 13 Februari 2006.
Tajuk artikel: Muhammad Fuad azam hasilkan empat kitab sebulan.
PEPATAH Arab menyebut, “masa itu ibarat pedang, kalau kita tidak memotongnya ia akan memotong kita.” Itulah yang menjadi pegangan penerima Anugerah Khas Maal Hijrah 1427 peringkat Negeri Sembilan, Muhammad Fuad Kamaludin, 32. Walaupun berada di Bumi Para Anbia’ Mesir hanya selama tiga tahun enam bulan tetapi beliau memanfaatkan sepenuhnya masa itu untuk berguru dengan lebih 40 ulama terkemuka di negara itu. Istilah berguru di sini bukan seperti kaedah biasa yang diamalkan di kuliah pengajian universiti iaitu mengikut sukatan dalam dewan pengajian dengan pelajar yang ramai, sebaliknya anak muda ini berguru secara talaqqi iaitu berguru secara terus dengan para ulama berkenaan dalam kumpulan kecil untuk mendalami kitab pengajian daripada ‘kulit ke kulit’. Tidak cukup dengan itu, ulama muda ini turut berkelana menimba ilmu daripada beberapa ulama terkenal dari seluruh dunia, antaranya pakar hadis Dr. Sayyid Muhammad Alawi Al Maliki dari Mekah Al Mukarramah dan beberapa lagi tokoh dari Mesir, Syria, Yemen, Dubai dan Sudan. Apa yang istimewa, kesemua guru beliau itu bukan setakat menganggapnya sebagai anak murid kebanggaan tetapi turut mengambilnya sebagai anak angkat. Kesemua mereka memberikan tauliah khusus kepadanya untuk menyampaikan ilmu yang diperoleh itu kepada umat Islam di seluruh dunia. Dr. Sayyid Muhammad Alawi Al Maliki telah menganugerahkan gelaran keluarganya, Al Maliki, kepada beliau. “Kadang-kadang jika saya terlewat atau terlelap kerana terlalu letih, yang mulia guru-guru saya ini akan datang ke rumah untuk bertanyakan khabar dan seterusnya memulakan kelas pengajian di situ,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Sembilan, Chengkau, Negeri Sembilan. Bagaimanapun, pemegang Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang dari Universiti al-Azhar ini memberitahu bahawa beliau tidak memasuki kuliah seperti pelajar lain sepanjang berada di negara itu. Muhammad Fuad hanya berurusan sebanyak dua kali sahaja dengan pentadbiran universiti iaitu untuk membuat kad pelajar dan menduduki peperiksaan akhir universiti. “Saya bukan tidak mahu mengikuti pengajian kuliah tetapi saya ingin mengambil peluang berguru sendiri secara talaqqi dengan ulama terkenal di masjid-masjid dan rumah kediaman mereka. Sepanjang tiga tahun enam bulan berada di sana, rutin pengajian saya bermula seawal subuh sehingga larut malam setiap hari. “Saya akan pergi berguru secara terus daripada ulama dan tuan punya kitab untuk mendalami ilmu agama secara kulit ke kulit dalam pelbagai disiplin seperti al-Quran, nahu, syariah, fikah, usuluddin, tasawuf dan tauhid,” kata Muhammad Fuad yang amat memuliakan kesemua gurunya. Walaupun demikian, beliau diminta oleh rakan pelajar mengadakan sesi tuisyen khas bagi membantu mereka yang kurang memahami pengajaran di universiti. Anak bongsu daripada lima beradik dan anak lelaki tunggal kepada pasangan Kamaludin Mahat dan Zainab Mahmud itu berkata, kitab pertama yang ditulisnya ialah perbahasan dan perbincangan peribadi Rasulullah dalam bahasa Arab pada tahun 1993 selepas setahun berada di Mesir. Sehingga kini, bapa kepada enam cahaya mata itu telah menghasilkan 115 kitab pelbagai disiplin dan digunakan oleh ahli-ahli agama. Ia menjadi rujukan ulama tempatan dan luar negara. Kitab-kitab tersebut ialah tiga kitab tafsir, 19 kitab karangan hadis, sembilan kitab karangan tauhid, 14 kitab karangan fikah, sembilan kitab karangan tasawuf, enam kitab karangan sirah, 10 kitab karangan tokoh dan 44 kitab berkaitan amalan. Malah, Muhammad Fuad yang juga Ahli Majlis Fatwa Kerajaan Negeri Sembilan turut menulis 12 kitab bahasa Arab. Kitab Al Toli'al Sa'id Al Muntakhab Min Al Athbat Wal Al Asanid dan kitab al-Jawahir al- Ghawali min Asanid al-Imam al-Azhari yang berkaitan ilmu hadis diterbitkan di Mesir. Kitab itu mendapat pengiktirafan dan disahkan oleh para ulama al-Azhar, Mesir seperti Profesor Dr. Judah al Mahdi, Dekan Fakulti al-Quran dan Qiraat serta Ahli Lembaga Lujnah Tafsir al-Quran al-Azhar. Ketokohan anak muda ini bukan sahaja diperakui dalam negara. Beliau turut mendapat undangan berceramah dan pidato serta membentangkan kertas kerja di Singapura, Mesir dan Mekah di hadapan para ilmuwan Islam lain. Menceritakan proses penulisan buku, Muhammad Fuad mensyaratkan dirinya menghasilkan sekurang-kurangnya empat buah kitab sebulan. “Guru saya pernah berpesan bahawa adalah menjadi satu keaiban kepada seorang pelajar dan pemimpin ilmu yang tidak membawa bersamanya buku nota dan pen kerana setiap benda yang dilihat adalah maklumat dan ilmu berguna baginya,” katanya yang memetik pesanan gurunya, Syeikh Ghassan al Bahrimi. Beliau, bagaimanapun, mengakui dirinya terlalu kerdil dan ketinggalan berbanding ulama silam yang mampu menghasilkan beribu-ribu jilid kitab pelbagai disiplin dalam keadaan serba kekurangan berbanding muslim masa kini yang memiliki segala kemudahan dan teknologi canggih. “Sebagai contoh, Ibn Shahin menulis 33,000 kitab dan kitab tafsir sebanyak 1,000 jilid; Abu Hasan al-Asyari menulis lebih 600 jilid kitab dan ulama tafsir, Ibn Tabari juga telah mensyaratkan dirinya menulis setiap hari sebanyak 40 helai. “Tanpa elektrik, komputer dan internet, mereka masih boleh menghasilkan karya bermutu yang menjadi rujukan umat Islam seluruh dunia hingga kini. Justeru, tidak mustahil bagi kita yang memiliki segala-gala kemudahan itu untuk turut sama berbuat demikian,” katanya yang amat mengasihi Rasulullah dan keluarganya serta menolak fahaman yang menyalahi pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Selepas pulang ke Malaysia pada 1996, anak jati Kampung Chenong Chengkau, Rembau ini membuka pondok pengajiannya seluas 0.2 hektar dalam kawasan tanah milik ibunya dengan modal RM17. Ketika itu beliau berusia 22 tahun. Kini, penuntutnya semakin bertambah sehingga beliau memerlukan kawasan yang lebih besar. Maka kawasan kira-kira empat hektar di Kampung Sembilan, Chengkau telah dipilih bagi menubuhkan Surau al-Taufiqi al-Husaini. Usaha tersebut, bagaimanapun, menerima pelbagai tohmahan dan fitnah. Orang memfitnahnya mengatakannya membawa fahaman yang sesat. “Atas dasar keikhlasan untuk berdakwah semata-mata untuk keredaan Allah, maka segala cabaran dan dugaan itu berjaya diatasi dan kini masyarakat mulai dapat menerima usaha yang saya jalankan,” katanya. Muhammad Fuad tidak pernah menjadikan usia mudanya sebagai halangan untuk menyampaikan ilmu yang diperoleh daripada guru-gurunya yang bersambung terus sanad mereka dengan Rasulullah. “Saya tidak berasa tekanan. Saya percaya bahawa setiap niat ikhlas nescaya akan mendapat kekuatan daripada Allah yang disertakan sekali dengan restu dan ijazah yang diberikan oleh kesemua guru-guru saya,” ujar beliau. Beliau menekankan perasaan rendah diri dan tawaduk terhadap kekurangan diri di hadapan Allah Yang Maha Esa dengan mempercayai bahawa setiap nikmat yang diperoleh adalah segala-galanya daripada Pencipta. “Saya seboleh-bolehnya mengamalkan pendekatan ahli sufi iaitu menganggap orang tua lebih hebat kerana mempunyai banyak ilmu dan amal; orang muda lebih hebat kerana tidak banyak melakukan dosa berbanding orang yang lebih berusia; dan orang jahil lebih beruntung kerana mereka melakukan maksiat kerana tidak berilmu berbanding orang yang berilmu tetapi masih melakukan maksiat,” katanya.

[11] Rujuk http://www.maahadassofa.com.my/?lang=my&id=1&mnu=1&act=5&content=8. Dicapai pada 27 Jun 2009

Friday, June 19, 2009

Syeikh Abdus Samad al-Falimbani

Syeikh Abdus Samad al-Falimbani adalah ulama besar Alam Melayu abad ke-18. Beliau dikatakan mendapat pendidikan awal di Kedah dan Pattani (Thailand Selatan). Setelah itu, beliau melanjutkan pengajian ke Makkah dan Madinah. Di Makkah dan Madinah, al-Falimbani mempelajari pelbagai disiplin ilmu kepada ulama-ulama besar pada masa itu termasuk para ulama yang berkunjung ke sana. Walaupun mendapat pendedahan pelbagai jenis ilmu, namun beliau dikatakan sangat berminat dan cenderung pada bidang tasawwuf. Disebabkan minat yang mendalam, di samping belajar tasawwuf di Masjidil-Haram, beliau turut mencari guru lain dan membaca kitab-kitab tasawwuf yang tidak diajar di situ. Dari Syeikh Abdur Rahman bin Abdul ‘Aziz al-Magribi, beliau menadah kitab Al-Tuhfatul Mursalah (Anugerah yang Diberikan) karangan Muhammad Fadlullah al-Burhanpuri (wafat pada 1030 H/1620 M). Dari Syeikh Muhammad bin Abdul Karim al-Samman al-Madani (wafat pada 1190 H/1776 M), beliau belajar kitab tauhid (suluk) karya Syeikh Mustafa al-Bakri (wafat pada 1162 H/1749 M). Gurunya yang banyak membentuk corak pemikiran beliau ialah Syeikh Muhammad bin Abdul Karim al-Samman al-Madani. Nama guru ini banyak disebut dalam kitab-kitab yang dikarangnya. Bersama-sama sahabatnya yang lain yang juga ulama-ulama besar Alam Melayu seperti Muhammad Arsyad al-Banjari, Abdul Wahab Bugis dan Abdul-Rahman Masri Al-Betawi, mereka membentuk perkumpulan yang dinamakan empat serangkai yang kemudiannya bersama-sama menuntut ilmu di Makkah dan belajar tariqat di Madinah kepada Syeikh Muhammad al-Samman. Dikatakan bahawa ketika beliau belajar kepada Syeikh Muhammad al-Samman, beliau juga telah diberi kepercayaan oleh gurunya untuk rnurid-murid gurunya yang lain yang rata-rata berbangsa Arab. Dari gurunya itu, Al-Falimbani telah diijazahkan tariqat Khalwatiyyah dan Sammaniyyah. Hasil dakwah al-Falimbani, tariqat Sammaniyyah dikatakan menyubur dan berkembang di seluruh wilayah Nusantara termasuk Thailand, Malaysia, Singapura dan Filipina. Al-Falimbani meninggalkan karya tulis yang sangat berharga kepada umat Islam. Antaranya ialah seperti
1. Zuhrah al-Murid fi Bayan Kalimah al-Tauhid, ditulis pada 1178 H/1764 M di Makkah dalam bahasa Melayu. Isinya memuat masalah tauhid yang ditulis atas perrnintaan penuntut-penuntut dari Alam Melayu yang belurn menguasai bahasa Arab.
2. Al-’Urwah al-Wusqa wa Silsilah Ulil-Ittiqa’, ditulis dalam bahasa Arab. Kandungannya berisikan wirid-wirid yang perlu dibaca pada waktu-waktu tertentu.
3. Ratib ‘Abdal-Samad. Isinya adalah zikir, puji-pujian dan doa yang dilakukan setelah solat Isya. Pada dasarnya isi kitab ini dikatakan hampir sama dengan yang terdapat pada Ratib Samman.
4. Zad al-Muttaqin fi Tauhid Rabb al-’Alamin, berisi ringkasan ajaran tauhid yang disampaikan oleh Syeikh Muhammad al-Samman di Madinah.
5. Hidayah al-Salikin, ditulis dalam bahasa Melayu pada 1192 H/1778 M. Kitab ini sering disebut sebagai terjemahan kitab Bidayah al-Hidayah karya Imam Al-Ghazali.
6. Sayr al-Salikin,terdiri dari empat bahagian (jilid), ditulis dalam bahasa Melayu. Kitab ini ditulis antara tahun 1779 hingga 1788 di dua kota iaitu Makkah dan Ta’if, 1779 hingga 1788. Kitab ini selain berisi terjemahan Lubab Ihya’ Ulum al-Din karya Imam Al-Ghazali, turut memuatkan beberapa masalah lain yang diambilnya dari kitab-kitab lain.
Salah satu karya besar Syeikh Abdus Samad al-Falimbani yang jarang dibicara orang ialah Zad al-Muttaqin fi Tauhid Rabb al-‘Alamin[1]. Di Buton, salah satu manuskrip kitab ini ditulis diatas kertas Eropah bercap Garden of Holland dan mempunyai 10 halaman dengan menggunakan dakwat hitam dan merah.[2] Tercatat tahun 1812 yang mungkin menandakan tahun kitab itu selesai dikarang. Satu lagi salinan manuskrip Zad al-Muttaqin terdiri dari 6 halaman sahaja dan turut menggunakan kertas Eropah. Naskhah manuskrip yang pertama membicarakan pembahasan singkat mengenai ilmu tauhid untuk dijadikan bekalan bagi orang-orang bertaqwa dalam usaha mengenal Allah dan mengetahui keesaan Allah. Dengan itu, darjat makam akan ditingkatkan sehingga upaya mencapai tingkatan ahli sufi. Kutipan awal teks berbunyi; Bismillah ar-Rahman ar-Rahim. Wa bihi nasta’in. Al-hamdu lillahi Rabb al-alamin, wa as-salat wa as-salam ‘ala sayyidina Muhammadin wa a’la alihi wa sahbihi ajma’in. Wa ba’du, fahaza awwalu ma alqa ala ustazina al-a’zam… wa Syaikhina Sayyid asy-Syaikh Muhammad bin Abdul Karim as-Sammani al-Madani amaddanaa Allah bi madadihi, Amin. Dengan maksudnya, Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyang. Hanya kepada Allah kami mohon pertolongan. Segala puji bagi Allah yang menguasai sekalian alam, rahmat dan sejahtera atas penghulu kami Nabi Muhammad juga atas keluarganya dan sekalian sahabatnya. Setelah itu, maka inilah permulaan pemberian tanggungjawab kepada guru kami yang besar…dan guru kami juga Syaikh Muhammad bin Abdul Karim as-Sammani al-Madani, mudah-mudahan Allah membantu kami dengan pertolongan-Nya, Amin. Kutipan teks di peringkat akhir pula berbunyi, bijahi Sayyidina Muhammad wa alihi wa sahbihi wa sallam, wa sallallah ala sayyidina Muhammad wa alihi wa sahbihi wa sallim tasliman kasiran da’man ila yaum ad-din, Amin. Wa al-hamdu lillahi Rabb al-alamin. Dengan maksudnya, Dengan ketinggian pangkat penghulu kami Nabi Muhammad, keluarganya dan sahabatnya. Maka Allah memberkati mereka disertai keselamatan untuk selamanya sampai hari Kiamat, Amin. Dan pujian ini hanya kepada Allah yang mempunyai sekalian alam.[3] Sementara dalam manuskrip kedua, isinya jelas terdiri dari dua pembahasan iaitu pembahasan tentang fana’ (binasa) dan baqa’ (kekal) bagi orang-orang yang mendalami tasawwuf dan istilah-istilah yang harus diketahui oleh orang-orang yang menempuhi jalan tasawwuf seperti al-wajib iaitu wajib adanya Allah Yang Maha Suci, al-‘Adam al-mumkin iaitu menerima dengan nyata adanya Allah (juga disebut A’yan as-Sabitah) dan seterusnya. Permulaan manuskrip ini adalah sama dengan manuskrip sebelumnya. Ia dimulakan seperti berikut, Bismillah ar-Rahman ar-Rahim. Wa bihi nasta’in. Al-hamdu lillahi Rabb al-alamin. Wa as-salatu wa as-salamu ala sayyidina ma alqa ala ustazina al-azam wa mulazina al-afkham qutb az-zaman wa gaus al-Lahfan al-arif billah bila tara’in wali Allah bila daf’in Maulana wa syaikhina Sayyid Syaikh Muhammad ibn Abdul Karim as-Sammani al-Madani. Dengan maksudnya, Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Hanya kepada Allah kami mohon pertolongan. Segala puji bagi Allah Tuhan yang mempunyai sekalian alam, rahmat dan sejahtera-Mu atas penghulu kami Nabi Muhammad dan atas keluarganya dan sekalian sahabatnya. Setelah itu, inilah awal tanggung jawab terhadap guru kami yang agung disertai keinginan kami yang besar, pengawal masa dan menolong yang berdukacita yang telah mengenal Allah tanpa melihatnya, sebagai wali Allah tanpa penolakan iaitu guru kami Syaikh Muhammad bin Abdul Karim as-Sammani al-Madani.[4]



[1] Jarang dibicara mungkin sebab sukar menemui kitab ini. Kitab yang masih dicetak dan banyak disyarah hingga ke hari ini ialah Hidayah al-Salikin dan Sar al-Salikin. Kitab-kitab lain yang disebut dari no. 1 hingga 4 memang sukar ditemui.
[2] Achdiati Ikram, Ljiptaningrun F. Hassan dan Dewaki Kramadibrata (editor). 2001. Katalog Naskah Buton Koleksi Abdul Mulku Zahari. Yayasan Obor Indonesia. Jakarta. Hlm 155
[3] Achdiati Ikram, Ljiptaningrun F. Hassan dan Dewaki Kramadibrata (editor). 2001. Katalog Naskah Buton Koleksi Abdul Mulku Zahari. Yayasan Obor Indonesia. Jakarta. Hlm 156
[4] Achdiati Ikram, Ljiptaningrun F. Hassan dan Dewaki Kramadibrata (editor). 2001. Katalog Naskah Buton Koleksi Abdul Mulku Zahari. Yayasan Obor Indonesia. Jakarta. Hlm 157

Thursday, June 18, 2009

Syeikh Daud al-Fathani

Nama penuh Syeikh Daud al-Fathani ialah al-Alim Allamah al-Arif ar-Rabbani Syeikh Wan Daud bin Syeikh Wan Abdullah bin Syeikh Wan Idris (juga dikatakan Wan Senik) al-Fatani. Ibunya bernama Wan Fathimah anak Wan Salamah bin Tok Banda Wan Su bin Tok Kaya Rakna Diraja bin Andi (Faqih) Ali Datok Maharajalela bin Mustafa Datu Jambu (Sultan Abdul Hamid Syah) bin Sultan Muzaffar Waliullah bin Sultan Abu Abdullah Umdatuddin. Beliau mempunyai lima beradik iaitu Syeikh Wan Abdul Qadir, Syeikh Wan Abdul Rasyid, Syeikh Wan Idris dan seorang adik perempuan namanya Siti Khadijah bin Abdullah al-Fathani. Faqih Ali dikatakan berasal dari Tanah Bugis yakni Sulawesi. Ini adalah berdasarkan kepada tulisan Nik Mahmud Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan iaitu: “Syahdan dan pada suatu masa bulan sedang mengambang di tepi langit, tersebutlah cerita anak raja Bugis lari daripada saudaranya menumpang sebuah bahtera sampai ke Johor dan tumpang duduk berkirim diri rumah Laksamana Kota Tinggi, dipanggil Andik Ali. Tatkala Laksamana memandang kepadanya berasalah kasihan belas dan dipeliharanya sebagai anak angkatnya sendiri. Tidak berapa tahun kemudian diperjodohkan dengan anaknya Wan Tija. Tidak berapa lama selepas itu Andik Ali serta dengan isterinya pun beredar ke Patani menumpang di rumah Mekong Damit Kampung Bira pada tahun 1049 H. Maka kerana lemah lembut tingkah lakunya dan berpelajaran orang di Patani memanggilnya Faqih Ali. Di situ ia beristeri kepada Ce' Dewi anak Sri Biji Diraja. Baginda sampai di Patani kira-kira tahun 1637 M”. Syeikh Daud al-Fathani dilahirkan di Kampung Parit Marhum, Kerisek, Patani. Kota Kerisek ini yang sangat terkenal dalam sejarah kerana di sinilah Maulana Malik Ibrahim iaitu salah seorang Wali Songo pernah tinggal dan mengajar, sebelum berpindah ke Jawa Timur. Tentang tahun kelahirannya ada beberapa tahun yang sering disebut-sebut iaitu 133 H, 1153 H dan 1183 H tanpa diketahui tarikhnya dengan tepat. Pada peringkat awal, Syeikh Daud berguru dengan kaum keluarganya sendiri yang memang terkenal alim. Seorang daripada mereka ialah bapa saudaranya, Sheikh Shafiyuddin. Syeikh Daud al-Fathani kemudiannya menghabiskan masanya di Makkah selama 30 tahun dan lima tahun di Madinah untuk menimba ilmu. Disebabkan masa belajar yang lama itulah beliau kemudiannya digelar al-Alim Allamah al-Arif ar-Rabbani. Setelah demikian lama beliau menuntut ilmu pengetahuan, maka beliau pulang ke Patani untuk menyebarkan ilmu pengetahuan di tempat tumpah darahnya sendiri. Pada masa yang sama juga timbul krisis peperangan antara Patani dengan Siam pada ketika itu dan beliau dikatakan turut melibatkan diri dalam peperangan itu lalu terjun secara langsung di gelanggang jihad fi sabilillah. Akhirnya beliau kembali semula ke Makkah bersama-sama beberapa orang pelarian politik. Setibanya di Makkah, beliau dilantik menjadi Ketua Syeikh Haji dan beliau dipercayai orang pertama yang dilantik secara langsung sebagai ketua. Beliau juga melibatkan diri dalam bidang penulisan secara aktif di samping mengajar di Masjidil Haram. Kitab-kitabnya ditulis dalam dua bahasa iaitu bahasa Melayu dan bahasa Arab. Beliau sangat menekankan pendidikan Islam. Menurut Islam, yang utama dipelajari ialah belajar akan memberi faham dua kalimah syahadat, wajib taharah (bersuci), solat, puasa, hukum zakat, hukum berjual-beli menurut Islam dan lain-lainnya, semuanya telah diatur dalam fikah Islam. Kata Syeikh Daud al-Fathani dalam kitab Bughyatuth Thullab, “Selagi seseorang masih tidak mengerti akan seluk belok tentang keIslaman, maka seseorang itu tetap masih jahil, walau pengetahuan lain masih dikuasai demikian rupa”. Sheikh Daud al-Fathani wafat sekitar tahun 1847 Masehi dan dimakamkan di Taif. Kuburnya bersebelahan dengan kubur Saidina Abdullah bin Abbas iaitu sepupu Rasulullah s.a.w.[1]

Syeikh Daud al-Fathani adalah ulama nusantara yang paling banyak menghasilkan karya fiqh dalam Mazhab Syafie di nusantara. Antaranya karyanya dalam bidang fiqh ialah seperti
1. Hidayatul Muta'allim wa 'Umdatul Mu'allim yang ditulis tahun 1244 H/1828 M. Dalam kitab ini, Sheikh Daud al-Fathani memulakan mukadimah perkenalannya dengan hadis 40 menurut susunan beliau. Beliau menulis beberapa hadis yang ada hubungan dengan fiqh, antara lain katanya: “Ketahui olehmu bahawasanya menunjukkan beberapa hadis ini supaya memberi ketahui akan kamu bahawasanya orang yang menghafal beberapa masail fiqhiyah yang wajib kita amalkan itu pada makna ia menghafaz hadis jua hasil pahala mengajar dan belajar kerana bahawasanya ialah maksud daripada hafaz hadis.”[2]
2. Bughyatuth Thullab yang menghuraikan kandungan kitab fiqh as-Siratul Mustaqim yang ditulis oleh Syeikh Nuruddin al-Raniri dan kitab fiqh Sabilal Muhtadin yang ditulis oleh Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari. Kitab ini tergolong dalam kitab tebal. Kitab ini mengandungi dua jilid. Syeikh Daud memulakan karyanya dengan mukadimah. Antara kalimat beliau: "Bahawasanya beberapa nafsu (diri) yang cerdik yang menuntut bagi beberapa martabat yang tinggi sentiasa perangainya itu di dalam menghasilkan beberapa ilmu syarak. Dan setengah daripadanya mengetahui akan furu’ ilmu fiqh. Kerana bahawasanya dengan dia menolakkan akan wiswas yang syathaniyah. Dan mengesahkan akan jual beli dan segala ibadat yang diredakan..."[3]
3. Furu'ul Masail wa Usulul Wasail yang penulisannya bermula pada tahun 1254 H/1838 M dan selesai pada tahun 1257 H/1841 M. Kitab ini membicarakan furuk-furuk fiqhiyah (cabang-cabang tersembunyi dalam ilmu fiqh) yang dijadikan rujukan oleh para mufti dalam kerajaan-kerajaan di Nusantara sebagai pengganti kitab Mir'atuth Thullab karya Sheikh Abdur Rauf al-Fansuri yang tidak banyak diterbitkan.[4]
4. Sullamul Mubtadi fi Ma'rifati Thariqatil Muhtadi yang selesai ditulis pada tahun 1252 H/1836 M). Kitab ini agak istimewa kerana ditulis dalam bentuk syarah. Isi kandungan kitab ini kemudian disyarah pula oleh cicit saudara beliau bernama Sheikh Muhammad Nur al-Fathani, iaitu seorang ulama dan Kadi Makkah pada zamannya. Syarahnya diberi judul Kifayatul Muhtadi fi Syarhi Sulamil Mubtadi,yang dimulai penulisannya di Makkah dan diselesaikan di Madinah pada hari Jumaat, 9 Rabiulakhir 1351 H/12 Ogos 1932 M.[5]
5. Fathul Mannan li Safwatiz Zubad diselesaikan pada tahun 1249 H/1832 M. KItab ini pernah digunakan sebagai rujukan utama Kerajaan Sambas dan Mempawah di Indonesia.[6]
6. al-Jawahirus Saniyah yang ditulis pada tahun 1252 H/1836 M. Kitab ini selain dari membicarakan hal-fiqh, turut menyentuh bab usuluddin. Dalam karya tersebut, Syeikh Daud al-Fathani menjelaskan bahawa jalan yang sebenarnya itu hanya satu sahaja iaitu mengikut perjalanan Ahlus Sunnah wal Jamaah kerana keempat-empat imam itu adalah muafakat pada usuluddin walaupun terdapat pertikaian pada furu’ syariat. Menurut beliau juga, hendaklah menjauhkan diri daripada membenci kepada sahabat-sahabat Nabi Muhammad s.a.w., kerana tiada guna sekalian amal jika iktikadnya demikian itu. Bahawa sekalian sahabat Nabi Muhammad s.a.w. dan para tabien adalah seumpama bintang-bintang yang dijadikan pedoman di darat dan laut bagi orang melakukan perjalanan (musafir). Kata beliau: “Ketahui olehmu! Hendaklah kamu jauhkan daripada bidaah seperti kaum yang sesat. Orang yang menyalahi Ahlus Sunnah iaitu bidaah namanya. Selain dari bidaah wajib dan bidaah sunat lontarkanlah ia daripada dirimu. “Janganlah engkau dengar banyak perkataannya, kerana mereka orang yang buta mata hatinya iaitu tidak beroleh nyata melihat rahsia ilmu melainkan dia adalah di dalam kesesatan. Tiap-tiap yang mempunyai bidaah itu kalau dia mengaku berpengetahuan tinggi martabatnya seperti bintang Zuhal sekalipun janganlah didengar perkataannya itu.”[7]
7. Nahju ar-Raghibin wa Subul at-Muttaqin. Syeikh Daud al-Fatani menulis Nahju ar-Raghibin pada tahun 1226 Hijrah untuk jilid 1 dan selesai pada Isnin, 6 Jamadilakhir 1232. Jilid kedua pula selesai pada Jumaat, waktu Asar, Jamadilakhir 1234. Kandungan kitab ini membicarakan hukum dan cara perniagaan dalam Islam.[8]
8. Perhubungan Bughyah ath-Thullab.Kitab ini tidak pernah dicetak dan yang hanya ditemui ialah dalam bentuk manuskrip, tanpa dinyatakan tarikh selesai penulisan. Kandungan membicarakan fiqh mengenai penyembelihan, binatang yang halal dimakan dan sekali gus menyenaraikan pelbagai binatang yang haram dimakan.[9]
Dalam bidang usuluddin, kitabnya yang masyhur ialah Warduz Zawahir dan Ad Durrus Samin yang selesai pada tahun 1232 H. Kedua-dua kitab ini masih boleh didapati di pasaran. Dalam bidang tasawwuf, kitab yang paling meluas perbahasannya ialah Jam’ul Fawaid. Kitab yang sangat halus isi sufinya ialah Manhalush Shafi iaitu satu kitab di antara karya beliau yang memuatkan istilah-istilah percakapan orang-orang sufi mengikuti aliran tasauf Syeikh Muhyiddin Ibnu Arabi, al-Hallaj dan lain-lain. Sheikh Daud al-Fathani turut berperanan menterjemahkan dua kitab tasawwuf yang sangat masyhur dalam dunia Islam, iaitu Minhajul ‘Abidin karangan Hujjatul Islam Imam Ghazali dan Kanzul Minan karangan Ibnu Madyan pada tahun 1240 H.Pada mukadimah terjemahan Minhajul ‘Abidin, beliau melahirkan kecintaannya terhadap tokoh sufi yang terkenal itu sebagaimana kata beliau: “Dan adapun kemudian daripada itu maka inilah terjemah bagi mu’allif r.a. iaitu penghulu kami Imam yang Alim Rabbani dan Arif Samadani ialah Quthbul Wujud yang mempunyai kasyaf dan syuhud yang dimasyhurkan antara ulama alam dengan ‘Hujjatul Islam’. Bahawa dia tempat mengambil dalil untuk menyampaikan ke negeri ‘Darus Salam’. Dia bernama Abdul Hamid bin Muhammad al-Ghazali Ath-Thusi. Bahawa beliau adalah seorang imam yang sangat besar kemuliaan namanya, karangannya dan lain-lainnya. Dalam ilmu fikah dia adalah asal yang sangat besar, dia pokok sekalian kitab fikah, dialah asal kitab Syeikhaini (dua orang Sheikh): Imam Nawawi dan Imam Rafi’i, yang sangat istimewa ialah Ihya’ Ulumuddin yang menghidupkan hati yang mati…….”. Satu lagi terjemahan besar yang dilakukan oleh Syeih Daud al-Fathani ialah Kasyful Ghummah yang dikarang oleh Syeikh Abdul Wahhab asy-Sya’rani. Beliau turut mengangkat Syeikh Abdul Wahhab asy-Sya’rani sebagai tokoh tasawwuf besar seperti yang disebut dalam permulaan terjemahan Kasyful Ghummah. Katanya, “Dan demikian apa yang disebutkan oleh Arif Billah lagi yang memberi petunjuk kepada jalan Allah yang mempunyai kasyaf dan tahqiq iaitu ‘penghulu kami’ Sheikh Abdul Wahhab asy-Sya’rani radiallahu anhu.”[10]









[1] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2008. Salasilah Sheikh Daud Abdullah Fathani. Utusan Malaysia. Terbit pada 28 Januari 2008
[2] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2008. Pandangan Sheikh Daud al-Fathani mencakupi ilmu dunia dan akhirat. Utusan Malaysia. Terbit pada 25 Februari 2008
[3] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2009. Karya Ulama Patani Rujukan Nusantara. Utusan Malaysia. Terbit pada 25 Mei 2009
[4] Kitab Mir’atuth Thullab mungkin sudah tidak diterbitkan sama sekali pada masa ini.
[5] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2009. Karya Ulama Patani Rujukan Nusantara. Utusan Malaysia. Terbit pada 25 Mei 2009
[6] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2009. Karya Ulama Patani Rujukan Nusantara. Utusan Malaysia. Terbit pada 25 Mei 2009
[7] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2008. Pandangan Sheikh Daud al-Fathani mencakupi ilmu dunia dan akhirat. Utusan Malaysia. Terbit pada 25 Februari 2008
[8] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2009. Karya Ulama Patani Rujukan Nusantara. Utusan Malaysia. Terbit pada 25 Mei 2009
[9] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2009. Karya Ulama Patani Rujukan Nusantara. Utusan Malaysia. Terbit pada 25 Mei 2009
[10] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2008. Pandangan Sheikh Daud al-Fathani mencakupi ilmu dunia dan akhirat. Utusan Malaysia. Terbit pada 25 Februari 2008