Monday, December 23, 2013

Tuan Guru Haji Zakaria Penyubur Ilmu Manong

Riwayat Hidup
Selain makam Sultan Tajul Ariffin (Marhum Mangkat di Tebing) yang dianggap keramat dan beberapa lokasi air terjun yang menarik, Manong tersimpan dalam ingatan pengunjungnya sebagai sebuah pekan kecil. Namun seorang tokoh pendidik setempat telah berjaya menjadikan kawasan tersebut sebagai pusat pendidikan terkenal khususnya dalam bidang agama. Tokoh yang dimaksudkan ialah Tuan Guru Haji Zakaria bin Haji Sulaiman.
Tuan Guru dilahirkan pada 3 September 1928 waktu Subuh pada hari Jumaat di Kampung Teluk Manis, Layang-layang Kiri, Parit, Perak. Lokasi kampung tersebut adalah di tebing Sungai Perak. Ayahandanya, Haji Sulaiman bin Abdul Wahid (1898-23 Mei 1975) adalah merupakan pengasas Kampung Jeliang yang menjadi tapak kepada institusi-institusi pendidikan yang ditubuhkan oleh Tuan Guru. Setiap hari, Haji Sulaiman berbasikal sejauh 20 batu untuk meneroka tanah Jeliang. Ayahandanya seorang yang mengambil berat tentang hal ehwal agama. Bahkan beliau telah mewakafkan tanah tapak surau yang kemudiannya dijadikan sebuah madrasah yang dikenali dengan nama Madrasah Jalan Badak.
Pendidikan
Tuan Guru mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Layang-Layang Kiri pada tahun 1936. Setahun kemudian ia bersekolah di Sekolah Melayu Manong setelah keluarganya berpindah ke Jeliang. Ia tamat pengajian darjah enam pada akhir tahun 1941. Setiap pagi ia akan berbasikal ke sekolah dan hanya pulang ke rumah pada sebelah petang. Tuan Guru seorang yang pintar dalam kelas. Beliau sering mendapat tempat yang baik dalam kelas. Selepas tamat pengajian, ia memohon jawatan guru pelatih namun Perang Dunia ke-2 meletus menyebabkan sistem pendidikan tidak begitu menentu pada waktu itu. Tuan Guru kemudiannya mengambil keputusan memasuki Madrasah Idrisiah Kuala Kangsar yang diterajui oleh Shaykh Abdullah Fahim pada ketika itu. Setelah tentera Jepun memasuki sekolah itu untuk menempatkan kakitangannya, pelajar-pelajar madrasah termasuk Tuan Guru berpindah ke Madrasah Mariah yang tidak jauh kedudukannya dari Madrasah Idrisiah. Pergolakan perang menyebabkan Tuan Guru dan rakan-rakannya dapat melihat kacau-bilau yang berlaku antara tentera Jepun dengan komunis dan orang ramai. Ketika belajar di Madrasah Idrisiah, Tuan Guru sempat menimba ilmu kepada mudirnya sendiri, Shaykh Abdullah Fahim, Shaykh Nawawi (lebih dikenali sebagai Tok Wi Janggut Merah),  Shaykh Yusuf dan Shaykh Uthman Sujak. Tuan Guru menimba ilmu al-Qu ran kepada Tuan Haji Ahmad al-Banat yang merupakan imam Masjid Ubudiah Bukit Chandan.
Setelah Jepun menyerah kalah pada tahun 1945, keadaan negara menjadi semakin tidak menentu. Tuan Guru bersama-sama saudara kandungnya, Tuan Guru Haji Abdul Aziz dan rakan-rakannya yang lain seperti Tuan Guru Uthman bin Itam Karib dan Tuan Guru Mokhtar al Ataruddin Lebai Awang bermusafir ke Kedah dengan azam hendak menimba ilmu kepada Tuan Guru Haji Abdul Aziz bin Haji Ibrahim di Pondok Batu Hampar, Pendang. Untuk ke sana, Tuan Guru dan rakan-rakannya menaiki keretapi dari Kuala Kangsar menuju ke utara. Mereka terpaksa menumpang keretapi yang membawa tentera Jepun. Mereka singgah di Bukit Mertajam dan tidur di sana beberapa hari. Tuan Guru dan rakan-rakan sempat menziarahi Shaykh Yamani dan Shaykh Ahmad Fuad Hassan yang berkebetulan bermukim di Bukit Mertajam. Dari Bukit Mertajam, Tuan Guru dan rakan-rakannya menumpang lori menuju ke Kota Sarang Semut Kedah. Dari Kota Sarang Semut, mereka berjalan kaki sejauh 7 batu menuju ke Pendang. Tuan Guru menimba ilmu di Pondok Batu Hampar selama dua tahun.
Pada tahun 1947, Tuan Guru berhijrah ke Kelantan untuk berguru dengan ulama tersohor, Shaykh Abdullah Thahir bin Ahmad di Pondok Bunut Payung, Kota Bharu. Tuan Guru tinggal di Kelantan selama 8 tahun. Selepas itu, Tuan Guru pergi ke Makkah dengan hajat hendak menimba ilmu sekurang-kurangnya lima tahun di sana. Namun tindakan kerajaan Arab Saudi merobohkan rumah-rumah di sekeliling Makkah dengan tujuan hendak membesar binaan Masjidil Haram menyebabkan Tuan Guru kembali ke Tanah Melayu tidak lama selepas itu. Sebaik pulang ke tanahair, Tuan Guru menyambung belajar kepada Tuan Guru Haji Ghazali bin Arshad di Pondok Irsyadiyah Batu 26, Bagan Datoh Perak. Tuan Guru mengaji di pondok itu selama tujuh bulan.
Berbakti di kampung halaman
Tidak lama selepas menimba ilmu di Pondok Irsyadiyah, Tuan Guru kembali ke kampung asalnya. Di tempat asalnya, Tuan Guru mendirikan sebuah surau di Jalan Badak. Disitulah ia mula mengajar dan membimbing anak-anak setempat. Tuan Guru pernah mendapat tawaran untuk berkhidmat dalam kerajaan tetapi hatinya yang sangat cintakan pendidikan telah menyebabkan ia mengajar di sekolah agama yang diasaskannya.Di sebelah pagi ia mencari rezeki dengan mengerjakan kebun dan sawahnya. Menjelang petang, ia menjalankan tugasnya sebagai pendidik dengan membimbing dan mengasuh anak-anak penduduk setempat. Di sebelah malam pula ia menyampaikan ilmu kepada orang awam di surau-surau dan masjid yang berdekatan. Tuan Guru turut menjadi imam di Masjid Al Khairiyah Jeliang selama 40 tahun sehingga akhir tahun 1993.
Memandangkan sambutan masyarakat setempat semakin hangat, tempat pengajian dipindahkan ke sebuah surau berdekatan dengan Masjid Jeliang. Di surau itulah didirikan sekolah agama rakyat yang dikenali dengan nama Madrasah al Hidayah al Islamiyah. Pada tahun 1961, sekolah baru mula didirikan di Jalan Badak dan semua pelajar berpindah ke situ.
Selepas 40 tahun sekolah agama rakyat itu didirikan, sebuah sekolah menengah pula ditubuhkan yang dikenali dengan nama Maahad al-Mizan. Apa yang menarik ialah sekolah itu ditubuhkan hasil pemuafakatan bekas-bekas pelajar Madrasah al Hidayah al Islamiyah yang juga merupakan anak-anak murid Tuan Guru. Perjumpaan hari raya oleh murid-murid tua Madrasah al Hidayah al Islamiyah pada 5 Januari 1993 telah mencetuskan idea penubuhan sebuah sekolah agama rakyat peringkat menengah di kampung Jeliang. Sebuah jawatankuasa penaja ditubuhkan bagi menggerakan perlaksanaan penubuhan sekolah tersebut. Jawatankuasa tersebut telah bersetuju untuk melantik Tuan Haji Megat Radzuan b Megat Taib yang bertugas sebagai Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Islam di Jabatan Agama Islam Perak menjadi Pengerusi Penaja, Encik Ahmad B Putih Osman selaku Setiausaha manakala Tuan Guru sendiri sebagai penasihat. Pada akhir tahun 1993, sebuah bangunan sekolah tiga tingkat berukuran 155 × 30 telah dibina dengan kos RM 432,5000.00 iaitu sumbangan MAIPK sebanyak RM 280, 000 dan selebihnya kutipan daripada orang ramai. Apabila sekolah ini siap dibina pada awal tahun 1995 maka seramai 60 orang pelajar (27 lelaki & 33 perempuan) telah menduduki tingkatan satu dengan tenaga pengajar seramai enam orang. Tuan Guru menjadi pengetuanya yang pertama. Pada ketika ini, Maahad Al-Mizan telah memiliki tiga blok bangunan yang menempatkan kelas-kelas pengajian, pejabat, perpustakaan, bilik APD, sebuah asrama putera, sebuah asrama puteri dewan makan, kantin sekolah, kedai sekolah, pondok telefon, bilik dobi, bengkel KHB, kediaman guru dan kakitangan. Ketika di awal penubuhan sekolah tersebut, Tuan Guru bukan sahaja mentadbir tetapi juga menanam pokok dengan tujuan untuk mengindahkan sekolah dan mencuci bilik air. Beliau sanggup membayar gaji guru-gurunya lebih tinggi dari gajinya sendiri bagi memastikan kebajikan gurunya terjaga.
Tatkala kudratnya sudah tidak upaya untuk meneruskan tugas mentadbir maahad yang diasaskannya, ia beralih tumpuan kepada tugas mengajar sahaja. Pada tahun 2001, Tuan Guru menyerahkan jawatan mudir kepada Tuan Haji Megat Radzuan b Megat Taib. Tuan Guru terus mengajar di Maahad al Mizan sehingga tahun 2006. Tuan Guru juga turut mengajar di Pondok al-Ridzuan di Jalan Badak dan Masjid Jeliang dengan menumpukan perhatian hanya kepada mengajar. Pondok al-Ridzuan ini menjadi tumpuan warga emas untuk menimba ilmu agama.
Meninggal Dunia
Tuan Guru Haji Zakaria menghembuskan nafasnya yang terakhir pada pagi Khamis 9 Jun 2011 bersamaan 7 Rajab 1432 H. Jenazah tuan guru disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jeliang selepas solat Asar pada hari yang sama.
Anugerah
Bagi menghargai jasa dan sumbangannya khususnya dalam bidang pendidikan agama, Tuan Guru telah dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah pada Tahun 1999 oleh kerajaan Negeri Perak. Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Duli Yang teramat Mulia Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah.
Rujukan
  1. http://cucupandakleman.blogspot.com/2011_08_01_archive.html. Dicapai pada 17 September 2013
  2. http://cucupandakleman.blogspot.com/2010/10/kenangan-lama.html. Dicapai pada 18 September 2013
  3. http://malmizan.blogspot.com/2008/07/sejarah-sekolah.html. Dicapai pada 17 September 2013
  4. http://alumniamam.blogspot.com/2008/12/sekolah-menengah-agama-maahad-almizan.html. Dicapai pada 17 September 2013
 
 
 
Surau lama Jalan Badak

 Tuan Guru Haji Zakaria


Maahad al Mizan
 


Sambutan 10 Tahun Maahad al-Mizan

1 comment:

  1. Guru saya.. info tmbahan, dia tidak meneruskan pengajian di irsyadiah kerana murid2 disitu menadah kitab dengannya, sedangkan dia berniat untuk belajar sahaja di situ

    ReplyDelete