Friday, January 17, 2014

Shaykh Mahmud Ariff Bukhari perintis kemajuan Sekolah Arab di Selangor


Pengenalan

Saya suka membaca dan mengumpul tulisan ulama tersohor tanahair, Tuan Guru Dato Haji Ismail Kamus. Dalam setiap hasil tulisannya, tempat ia menimba ilmu dan nama-nama gurunya pasti akan dinyatakan. Salah seorang gurunya yang tidak pernah ketinggalan disebut ialah Shaykh Mahmud Ariff Bukhari. Saya pada mulanya langsung tidak mengenali siapakah tokoh ulama yang dinyatakan oleh Tuan Guru namun baru-baru ini tergerak hati saya untuk menyelidik secara bebas tentangnya.

Hijrah ke Tanah Melayu

Sangkaan awal saya, Shaykh Mahmud ini adalah orang tempatan tapi rupanya tidak. Shaykh Mahmud Ariff Bukhari berasal dari Makkah dan berbangsa Uzbek. Nama penuhnya ialah Mahmud Ariff Abdullah Turah Khan Tashkandi. Beliau dilahirkan di Jiad, Makkah pada 12 September 1897. Tokoh ini datang ke Semenanjung Tanah Melayu setelah menerima jemputan Tengku Alam Shah yang kemudiannya ditabal menjadi Sultan Selangor yang keenam pada tahun 1938 dengan gelaran Sultan Hishamuddin Alam Shah.  Sultan Hishamuddin mengikuti jejak langkah ayahandanya, Sultan Alauddin Sulaiman Shah yang sangat gemar berdamping dengan alim-ulama. Ayahandanya, Sultan Alauddin Sulaiman Shah adalah merupakan salah seorang pemerintah yang pernah menulis kitab agama. Antara judul tulisannya yang terkenal ialah Pohon Agama. Pada hari Jumaat, baginda akan naik ke atas mimbar untuk membaca khutbah.

Sultan Hishamuddin menjemput Shaykh datang ke Malaysia dengan tujuan untuk menggubal kurikulum pendidikan sekaligus menubuhkan institusi pendidikan agama di negeri Selangor. Institusi tersebut diharapkan dapat menjadi platform kepada pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke Timur Tengah khususnya ke universiti terkenal seperti al-Azhar di Mesir. Sultan Hishamuddin telah meminta Shaykh al-Islam Selangor pada waktu itu, Shaykh Tengku Mahmud Zuhdi al-Fatani meyakinkan Shaykh Mahmud tentang cadangan penubuhan institusi pendidikan agama di Selangor dan seterusnya membantu Shaykh Mahmud merealisasikan penubuhan insitusi pendidikan tersebut. Melihat akan kesungguhan pemerintah sendiri yang inginkan kemajuan pendidikan agama berkembang di negerinya, Shaykh Mahmud kemudiannya menerima jemputan tersebut lalu datang ke Tanah Melayu pada tahun 1938.

Menjadi pendidik

Sebaik sampai ke Tanah Melayu, Sultan telah mengenalpasti premis yang hendak dijadikan bangunan sekolah. Ianya adalah bangunan kayu dua tingkat yang terletak di Kampung Kuantan, Kelang. Shaykh kemudiannya dilantik menjadi pengetua merangkap guru utama. Shaykh bukan sahaja merangka kurikulum pendidikan untuk sekolah agama tetapi turut terlibat dengan perancangan penubuhan kolej dan universiti. Diriwayatkan bahawa idea penubuhan Kolej Islam Malaya dan asas penubuhan Universiti Islam Antarabangsa terjelma hasil dari penubuhan sekolah Arab yang diasaskan Shaykh. Apapun, Shaykh lebih banyak menumpu usaha penubuhan Sekolah Arab. Natijahnya ialah Sekolah Menengah Sultan Hishamuddin dan Kolej Islam Kelang  yang masih gah berdiri hingga kini. Manakala usaha penubuhan Kolej Islam Malaya dan Universiti Islam Antarabangsa diteruskan oleh Prof Dr Mohamed Abdul Raouf yang berasal dari Mesir dan Prof Dr Abdul Jalil Hassan.

Populariti Shaykh cepat tersebar. Sekolahnya menjadi tumpuan. Shaykh bukan sahaja mengajar ilmu agama tetapi juga ilmu alat yang lain antaranya seperti matematik. Matematik baginya sangat penting khususnya bagi mengukuhkan penaakulan. Beliau turut memperkenalkan kaedah tersendiri menghafal istilah-istilah Arab bagi memudahkan pelajar mengingatinya. Kaedah tersebut telah menjadikan sekolahnya terkenal sebagai intitusi yang berjaya mencetak pelajar yang boleh berbahasa Arab dengan standard kualiti yang tinggi. Selain Tuan Guru Dato Haji Ismail Kamus, tokoh besar lain yang pernah menimba ilmu kepadanya ialah seperti Tan Sri Dato Hassan Azhari[1], tokoh tilawah al-Quran yang tidak asing di negara ini. Patut juga dicatatkan disini bahawa Tan Sri Dato Hassan Azhari turut menimba ilmu al-Quran kepada Shaykh dengan mengambil qiraat mengikut riwayat Hafs.

Imam dan Pendakwah terkenal

Shaykh dikatakan sangat alim dan bidang al-Quran bahkan ia juga seorang hafiz. Beliau sering menjadi imam di Masjid Jamek Kuala Lumpur. Ketika bulan Ramadhan, beliau akan mengkhatamkan al-Quran apabila mengimamkan solat tarawih. Perkara ini berlanjutan sepanjang ia berada di Malaysia. Di kalangan komuniti India Muslim di sekitar Kuala Lumpur, Shaykh dikenali sebagai Imam Bukhari. Beliau mudah mesra dengan komuniti India Muslim kerana beliau pandai berbahasa Urdu dan Punjabi. Diriwayatkan beliau turut fasih berbahasa Turki dan Pushtu selain dari bahasa Arab dan Uzbek. Apabila Masjid India siap dibina, beliau dijemput untuk menjadi imam. Adakalanya beliau naik ke atas mimbar membaca khutbah dalam bahasa Urdu dan Punjabi. Tokoh usahawan India Muslim yang banyak membantu Shaykh ketika Shaykh berada di sekitar Kuala Lumpur ialah Mohamed Yusoff  (mempunyai syarikat bernama Mohamed Yusoff and Sons) dan Naina Mohamed (mempunyai syarikat bernama Naina Mohamed and Sons).

Pada ketika itu, jarak dari Kampung Kuantan, Kelang ke Kuala Lumpur agak jauh dengan keadaan jalan yang tidak begitu baik. Namun, Shaykh sangat dedikasi dengan sentiasa berulang-alik dari Kelang ke Kuala Lumpur dan sebaliknya sehingga pada tahun 1965 apabila Shaykh mula ditimpa sakit. Pada setiap malam Jumaat, beliau akan mengadakan pengajian di Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur selain dari menjadi imam di masjid-masjid sekitar Kuala Lumpur.

Tabiat Shaykh ialah gemar membaca dan beliau mempunyai koleksi buku yang sangat banyak, majoriti dalam Bahasa Arab dan Urdu. Bekalan buku Arab diperolehinya dari Shaykh Hussain Fatani, duta Arab Saudi di Malaysia manakala buku Urdu dari Maulana Ghulam Sarwar yang merupakan sahabat baik Shaykh yang juga seorang hafiz.

Memandangkan Shaykh mempunyai kemahiran berbahasa Arab yang sangat baik, beliau banyak membantu masyarakat tempatan membuat permohonan kepada kerajaan Arab Saudi untuk melanjutkan pelajaran ke Makkah. Diriwayatkan jika ada kesempatan, Shaykh turut meluangkan masa membimbing calon-calon yang hendak melanjutkan pelajaran ke Timur Tengah menghafaz al-Quran. Ada di antara calon tersebut yang sempat menghabiskan ¾ dari isi kandungan al-Quran.

Membantu Sultan

Selain sibuk dengan tugas harian menguruskan sekolah dan membimbing masyarakat sekitar Lembah Kelang, Shaykh turut membantu Sultan dalam menguruskan tugasan dan permasalahan yang berkaitan dengan hal-ehwal agama. Mufti dan Qadi juga dikatakan turut mendapat khidmat nasihatnya. Diriwayatkan ketika Sultan Hishamuddin ditabal menjadi Yang di-Pertuan Agong Malaysia pada 14 April 1960, beliau telah dijemput oleh Sultan untuk berkhidmat di Istana Negara bagi menasihati Sultan tentang hal-ehwal agama. Takdir Allah, Sultan Hishamuddin hanya sempat menjadi Yang Di-Pertuan Agong dalam tempoh yang singkat apabila mangkat pada 1 September pada tahun yang sama.

Meninggal Dunia

Shaykh Mahmud meninggal dunia pada 10 September 1965 ketika berada di Jeddah. Jenazahnya disemadikan dengan penuh penghormatan di Makkah.

Rujukan Utama

Kahir Bukhari. 1996. The dedicated sholar of Islam. Ruangan Heritage. New Straits Times. Terbit pada 1 Januari 1996
 
 
Shaykh Mahmud Bukhari



Sultan Alauddin Sulaiman Shah naik ke mimbar untuk membaca khutbah
 

 


[1] Tokoh ini lahir di Kampung Syu’ib Amir, Makkah pada tahun 1928. Ketika kecil, beliau sempat belajar di Madrasah Dar al-Ulum dan menimba ilmu kepada ulama tersohor Makkah seperti Musnid Dunya Shaykh Yasin al-Fadani dan Shaykh Ismail Tamim, salah seorang imam Masjid di Makkah.

No comments:

Post a Comment