Friday, August 7, 2009

Syeikh Burhanuddin Ulakan, Ulama besar yang taat pada gurunya


Salah seorang murid ulama besar Syeikh Abdur Rauf Ali Fansuri yang sangat terkenal ialah Burhanuddin Ulakan. Beliau dilahirkan pada tahun 1056 Hijrah bersamaan dengan 1646 Masehi dan meninggal dunia pada 1104 Hijrah bersamaan dengan 1692 Masehi. Pada waktu kecil, nama yang dipakainya ialah Pono. Beliau meninggalkan kampung halamannya, Sintuk lalau merantau ke Tapakis. Disana beliau berguru kepada seorang ulama bernama Yahyuddin yang lebih terkenal dengan panggilan Tuanku Madinah. Diatas cadangan gurunya itu, beliau berangkat ke Aceh untuk menadah kitab kepada Syeikh Abdur Rauf Ali al-Fansuri. Setelah sekian lama beliau belajar dengan ulama besar itu, Burhanuddin kemudiannya berangkat ke Tanah Arab. Sekembalinya dari Tanah Arab, beliau mendirikan surau Syatariyyah di Ulakan.[1] Ada juga pendapat lain yang menyatakan bahawa setelah menyelesaikan pengajiannya di Aceh, beliau langsung pulang ke Ulakan dan mendirikan surau pengajian.[2] Akan tetapi, sesuai dengan tradisi keilmuan Islam pada waktu itu, besar kemungkinan juga beliau memang melanjutkan pengajian di Makkah sambil melaksanakan ibadah haji.[3]
Almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir menyatakan bahawa Burhanuddin menadah kitab kepada Syeikh Abdur Rauf Ali al-Fansuri selama tiga belas tahun.[4] Ketika belajar, beliau bersahabat dengan Datuk Marhum Panjang dari Padang Ganting Tanah Datar, Tarapang dari Kubang Tiga Belas (Solok) dan lain-lain. Ada kisah menarik tentang ulama besar ini tatkala beliau berguru dengan wali Allah Aceh ini. Kisahnya seperti berikut,
“Dari sehari ke sehari tumbuhlah kasih sayang, takut dan malu kepada Syeikh[5] tersebut. Pada suatu hari Syeikh itu mengunyah-nguyah sirih. Tiba-tiba tempat kapur sirihnya terlepas dari tangannya jatuh ke dalam kakus[6]. Yang mana kakus itu sangat dalam, telah dipakai berpuluh-puluh tahun”. Tuan Syeikh berkata: “Siapa antara kalian sebanyak ini sudi membersihkan kakus itu sebersih-bersihnya? Sambil untuk mengambil tempat sirih saya yang jatuh ke dalamnya?”. Ramai murid yang merasa enggan dan malas mengerjakan yang diperintah Syeikh itu. Lantas Burhanuddin bekerja berjam-jam membersihkan kakus itu sehingga bersih dan tempat kapur sirih pun dijumpai, lalu dibersihkannya dan dipersembahkannya kepada Syeikh tersebut. Lantas tuan Syeikh berdoa dengan sepanjang-panjang doa. Selanjutnya Syeikh itu berkata: “Tanganmu ini akan dicium oleh raja-raja, penghulu-penghulu, orang besar di Sumatera Barat dan muridmu tidak akan putus-putusnya sampai akhir zaman, dan ilmu kamu akan memberkati dunia ini. Aku namai kamu Saidi Syeikh Burhanuddin”.[7]
Dengan mengambil cerita versi kedua iaitu beliau pulang ke kampung setelah berguru dengan wali Allah itu, sebelum Burhanuddin meninggalkan Aceh, gurunya ada berpesan, ”Pulanglah kamu ke negerimu, ajarkanlah ilmu yang ditakdirkan Allah. Kalau kamu tetap kasih, takut, malu kepadaku nanti kamu akan mendapatkan hikmah. Dan apabila orang telah diberi ilmu hikmah, maka terbuka rahasia Allah, dan berbahagialah orang itu dunia akhirat.” Syeikh Burhanuddin kembali ke kampung halamanannya pada tahun 1680 Masehi. Di kampung halamannya, beliau mendirikan surau yang dikatakan merupakan surau pertama di Sumatera Barat yang sarat dengan muatan keilmuan. Syeikh Burhanuddin adalah ulama pertama yang melakukan transformasi terhadap institusi surau menjadi lembaga pendidikan Islam. Beliau membina dua surau iaitu Surau Tua Tanjung Medan dan Ulakan. Muridnya datang dari seluruh pelosok Minangkabau. Bila mereka sudah selesai belajar di Surau Tanjung Medan dan Surau Ulakan, mereka kembali ke kampung masing-masing untuk mengajarkan agama Islam kepada masyarakatnya. Syeikh Burhanudddin amat terkenal dengan amalan tariqat Syatariyah. Bahkan namanya disebut sebagai pembawa aliran tariqat Syatariyah ke Minangkabau. Tariqat ini kemudiannya berkembang ke seluruh Minangkabau setelah disebarkan oleh anak murid Syeikh Burhanuddin yang bertebaran di seluruh pelusuk Minangkabau. Banyak surau Syatariyah didirikan di kawasan Minangkabau.
Nama Syeikh Burhanuddin juga terkait dengan kisah tradisi masyarakat Minangkabau dimana asal sejarah pembuatan lemang dikatakan bermula dari tokoh besar ini. Seperti yang disebut oleh Azwar dalam tulisannya,
Tradisi membuat lemang ini diperkirakan sudah di mulai semenjak tiga ratus tahun yang lalu. Seiring dengan penyebaran Islam di daerah pesisir Minangkabau, tepatnya di Ulakan Pariaman, yang disebarkan oleh ulama terkenal Syeikh Burhanuddin Ulakan. Dalam tradisi lisan Minangkabau, dikisahkan bahawa Syeikh Burhanuddin sering singgah ke rumah-rumah penduduk untuk bersilaturahim serta mengajarkan ajaran agama Islam. Syeikh Burhanuddin berasa sangsi atas makanan yang disuguhkan oleh masyarakat itu, maka untuk menghindari jamuan yang diragukan kehalalannya, beliau menyarankan tuan rumah untuk mencari bamboo(buluh), mengalasnya dengan daun pisang muda, memasukkan beras ketan dan santan, sebelum kemudian memanggangnya. Sampai saat sekarang, hal inilah yang dipercayai masyarakat sebagai awal pembuatan makanan yang disebut lemang itu.[8]

Kawasan makam Syeikh Burhanuddin Ulakan


[1] M. Shaleh Putuhena. 2007. Historiografi haji Indonesia. LKIS. Jakarta. Hlm 118
[2] M. Shaleh Putuhena. 2007. Historiografi haji Indonesia. LKIS. Jakarta. Hlm 118
[3] M. Shaleh Putuhena. 2007. Historiografi haji Indonesia. LKIS. Jakarta. Hlm 118
[4] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2007. Syeikh Burhanuddin Ulakan penyebar Islam di Minangkabau. Utusan Malaysia. Terbit pada 17 Disember 2007. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1217&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive
[5] Merujuk kepada Syeikh Abdur Rauf Ali al-Fansuri
[6] Sama ertinya dengan tandas
[7] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2007. Syeikh Burhanuddin Ulakan penyebar Islam di Minangkabau. Utusan Malaysia. Terbit pada 17 Disember 2007. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1217&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive

[8] Azwar. 2009. Malamang di Ranah Minang. Kabarindonesia.com. Terbit pada 9 April 2009. Boleh dirujuk di http://www.kabarindonesia.com/berita.php?pil=12&jd=Malamang+di+Ranah+Minang&dn=20090409114913

No comments:

Post a Comment