Wednesday, October 2, 2013

Shaykh Idris al Marbawi Mutiara di bumi Mesir (sempena mengenang kelahiran Shaykh 28 Zulkaedah)


Pengenalan

Shaykh Mohd Idris bin Abdul Rauf al-Marbawi memakai laqab al-Marbawi kerana ia berasal dari Lubok Merbau, Perak. Walaubagaimanapun, Shaykh tidak dilahirkan di Lubok Merbau sebaliknya di al-Masfalah, Makkah. Tokoh ini dilahirkan pada 28 Zulkaedah 1313 Hijriyyah bersamaan 10 Mei 1896 Masehi. Diriwayatkan keluarganya lama bermukim di Makkah sebelum pulang semula ke Tanah Melayu pada tahun 1913 Masehi.

Kembara ilmu

Ketika pulang ke Tanah Melayu, Shaykh telah pun berumur 17 tahun. Namun dengan himmahnya yang tinggi untuk menguasai semula bahasa ibunda, Shaykh memasuki Sekolah Melayu Lubok Merbau. Selanjutnya, Shaykh menajamkan pengetahuannya dalam bidang ilmu agama apabila merantau hampir ke seluruh Tanah Melayu untuk berguru dengan ulama-ulama besar pada ketika itu. Shaykh bermusafir ke Kuala Kangsar untuk menimba ilmu kepada Shaykh Wan Muhammad yang menjadi Penasihat Agama Sultan Perak pada ketika itu. Shaykh kemudiannya  merantau ke Kedah untuk berguru kepada Tuan Hussain Kedah. Shaykh juga sanggup menempuh perjalanan yang jauh menuju ke Kelantan untuk menadah kitab kepada ulama tersohor pada ketika itu iaitu Tok Kenali. Diriwayatkan Shaykh berjalan kaki mengikut denai-denai yang menjadi laluan gajah untuk sampai ke Kelantan. Dengan Tok Kenalilah, Shaykh Idris dikatakan banyak menimba ilmu. Selepas itu, beliau kembali ke negeri Perak dan bertugas sebagai guru agama.

Kembali ke Tanah Arab

Kesungguhan yang begitu tinggi yang ditunjukkan oleh Shaykh menyebabkan ayahandanya menyarankan kepada beliau agar kembali menyambung pengajian di Tanah Arab. Pada tahun 1924, Shaykh Idris kembali menjejakkan kaki ke Tanah Arab tetapi kali ini di Mesir. Di Mesir, ia menyambung pengajian di Universiti al Azhar dan berpeluang menimba ilmu kepada ulama-ulama hebat disana seperti Shaykh Muhammad Mustafa al-Maraghi yang merupakan Shaykhul Azhar pada ketika itu dan Shaykh Abu al-Fadl al-Gizawi. Ketika berada di Mesir, Shaykh Idris mendapati ramai pelajar Melayu lemah dalam Bahasa Arab. Bermula dari sinilah timbul idea untuk Shaykh menyusun sebuah kamus Arab-Melayu. Diriwayatkan Shaykh telah menyusun kamus tersebut bersama lima orang sahabatnya, antaranya ialah seperti Shaykh Junid Thala dan Shaykh Tahir Jalaluddin. Bagaimanapun, Shakyh akhirnya melakukan kerja menyusun kamus itu bersendirian apabila sahabat-sahabatnya tidak dapat turut serta sehingga akhir tugasan. Akhirnya, kamus Arab-Melayu tersebut yang terkenal dengan nama 'Kamus al-Marbawi' itu berjaya disiapkan pada tahun 1927. Kamus itu diulang cetak berpuluh-puluh kali kerana sambutan yang amat menggalakkan khususnya di kalangan pelajar Asia Tenggara. Menariknya, kamus tersebut menjadi pemangkin kemunculan berpuluh-puluh kamus yang menggunakan samada bahasa pengantar Arab-Indonesia ataupun Arab-Melayu. Kamus yang disusun oleh Shaykh itu mengandungi 18, 000 kata entri Arab dan 700 gambar. Ianya dicetak buat kali pertama oleh Matba'ah Mustafa al-Babiy al-Halaby Wa Awladihi di Mesir. Sehingga ke hari ini, ia masih lagi dicetak kerana wujud permintaan dari kalangan pembaca. Di Malaysia, kamus ini diterbitkan oleh Darul Nu’man dan Darulfikir.  Walaupun memberi perhatian kepada penghasilan kamus sepenuh masa, Shaykh Idris tetap berjaya menyelesaikan pengajiannya dan memperoleh ijazah 'Aliyah (tertinggi) dari universiti berkenaan.

 

Penulisan

Selain menyusun kamus besar seperti dinyatakan di atas, Shaykh sebenarnya ada menghasilkan kamus kecil dalam bentuk saku seperti Qamoes-el-Djaib Arab-Melajoe Latin (Kamus Poket: Arab Malaya Latin), ringkasan Kamus Melayu-Arab Bergambar dan Teladan Belajar Bahasa Arab yang senang serta Kamus Penuntut (Zulkiple Abd.Ghani. et.al. 2011: 40) namun kamus-kamus kecil ini tidak tersebar secara meluas sebagaimana Kamus al-Marbawi yang merupakan karya terbesar beliau dalam bidang perkamusan. Shaykh Idris juga memberi sumbangan yang besar dalam bidang tafsir dan hadith. Dalam bidang tafsir, beliau telah menulis tafsir Surah Yasin, Tafsir al-Quran al-Marbawi, Tafsir al-Quran Nur al-Yakin, Terjemahan Tafsir Fath al-Qadir, Tafsir Juz Amma, Tafsir Al-Fatihah, dan sebuah karya berjudul Quran Bergantung Makna. Manakala dalam bidang hadith, Shaykh telah menghasilkan dua buah kitab iaitu Bahr al-Mazi dan terjemahan Bulugh al-Maram. Kitab Bahr al-Mazi adalah merupakan ringkasan dan ulasan kepada kitab hadith Sunan al-Tirmizi. Walaupun ia merupakan ringkasan kepada Sunan al-Tirmizi namun karya ini amat padat dan mendalam, bahkan dikatakan telah menampung kekosongan karya asli dalam bidang ilmu hadith di rantau ini. Karya yang terdiri dari 22 jilid ini memuatkan ulasan dan huraian hadith dalam bentuk fiqh, aqidah, tasawwuf dan muamalat. Penerbitan keseluruhan kitab ini pada awalnya telah diusahakan oleh Syarkah wa Maktabah wa Mathba’ah Mustafa al-Baby al-Halaby wa Auladuhu, Mesir bermula pada tahun 1352 H/1933 M. Pada kata aluan jilid pertama, Shaykh Idris menerangkan bahawa beliau telah belajar ilmu hadith kepada Shaykh Muhammad Ibrahim as-Samaluti, iaitu guru hadith yang mengajar berpuluh-puluh tahun di Jami’ Saiyiduna Hussain di Kaherah, Mesir. Setiap kali Shaykh Idris pulang pulang ke rumah, ia terus mencatat nota pengajiannya sehingga tersusunlah kitab besar yang bernama Bahr al-Mazi tersebut. Penulisan kitab ini hampir-hampir tergendala jika tidak kerana kesungguhan Shaykh untuk menyelesaikannya. Diriwayatkan penulisan kitab ini tertangguh selama 15 tahun bermula ketika Perang Dunia Ke-2. Hanya pada tahun 1955, Shaykh kembali menyambung penulisan hinggalah berjaya menyiapkannya. Sementara kitab terjemahan Bulugh al-Maram adalah merupakan terjemahan atas kitab hadith yang disusun berdasarkan bidang Fiqh oleh seorang tokoh hadith tersohor iaitu Ibn Hajar al-Asqalani. Pada masa ini, terjemahan kitab ini ada diterbitkan oleh Penerbitan Jahabersa. Karya terjemahan yang berjumlah 782 halaman ini selesai dihasilkan pada hari Ahad, 17 Syawal 1383H bersamaan awal Mac 1964. Beliau mencatatkan dalam muqadimah karya ini bahawa beliau memberi ulasan terhadap lafaz-lafaz hadith Bulugh al-Maram dengan berpandukan kitab-kitab lain seperti Subul al-Salam, syarah Sahih al-Bukhari oleh al-‘Aini, syarah Sahih Muslim oleh al-Nawawi dan beberapa syarah kitab-kitab sunan, fiqh dan bahasa. Dalam kitab ini juga ada disebutkan nama salah seorang guru Shaykh seperti yang tercatat dalam muqadimah seperti berikut,

Maka dijadikan segolongan berperang dan segolongan lain supaya memahami agama dan sesungguhnya telah jatuh setengah dari golongan orang-orang awam di dalam kebinasaan yang besar, iaitu ia jadi tiada mempedulikan perkataan orang-orang mujtahid dan segala ikutan mereka daripada ulama, dan mentafsir segala ayat al-Quran dan al-Hadith itu dengan fikirannya sendiri sebelum ia mengetahui perkataan imam yang masyhur dengan ilmu dan makrifat dan yakin serta tiada harus menafsirkan suatu daripada segala ayat dan hadith-hadith itu dengan fikiran sendiri dan tiada harus ditanggung atas segala makna yang tidak di nashkan atasnya oleh imam-imam yang berbilang, sebagaimana mengkhabarkan guruku al-Allamah asy-Shaykh Muhammad ‘Ali al-Maliki yang wafat di Thaif pada 28hb Syaaban tahun 1367H di dalam kitabnya al-Maqsidu al-Sadid, kita pohonkan kepada Allah Ta’ala kiranya Ia memberi taufiq kepada kita dan menunjukkan kita akan jalan yang benar.Sesungguhnya telah aku pindahkan ini pada ta’liq yang aku sanggup atasnya daripada perkataan imam-imam, dan aku telah berpegang pada menghuraikan segala lafadznya atas syarahnya “Subulus Salam” dan ialah kehendakiku ketika aku berkata “minas syarah” atas setengah daripada syarah Bukhari dan Muslim seperti al-‘Aini dan an-Nawawi, dan setengah daripada segala syarah sunan dan setengah kitab-kitab fiqah dan lughah.

Selain bidang-bidang seperti yang dinyatakan di atas, Shaykh juga telah menghasilkan penulisan dalam bidang Fiqh, Aqidah, dan Falsafah. Antara tulisan beliau ialah seperti Asas Islam, Nizam al-Hayah, Pati Hukum-hukum Ibadah, Usul Islam Pada Membicarakan Mengambil Air Sembahyang, Punca Agama, Perbendaharaan Ilmu dan sebuah ensiklopedia yang dinamakan sebagai Kamus Segala Ilmu. Kitab Perbendaharaan Ilmu adalah sebuah kitab yang sangat menarik kerana ia dalam format majalah bulanan yang mengandungi pelbagai aspek ilmu pengetahuan termasuklah bahasa Melayu, masalah agama, tafsir, hadith dan tauhid, tasawwuf, sejarah tokoh terkenal dunia, geografi, kimia, falsafah serta kedoktoran.

Selepas berjaya menyelesaikan pengajiannya, Shaykh tidak terus balik ke Malaysia sebaliknya menetap di Tanah Arab lebih kurang 60 tahun lamanya.  Shaykh membina kehidupannya di Mesir dengan banyak melakukan kerja-kerja penulisan, penterjemahan, penyuntingan, penerbitan dan percetakan kitab/buku. Diriwayatkan bahawa Shaykh adalah orang Melayu paling berjaya dalam bidang penerbitan buku di Mesir. Ia berjaya mendirikan syarikat penerbitannya sendiri pada tahun 1927 yang diberi nama Matbaah al-Marbawiyyah.Ketika Dato Hassan Adli menjadi Duta Besar Malaysia di Mesir, beliau telah berjaya mengesan lokasi tempat tinggal Shaykh Idris dan bertemu dengannya. Shaykh akhirnya bersetuju untuk kembali ke tanahair tambahan pengalaman dan keilmuannya sangat ditagih oleh masyarakat negara ini. Atas sumbangan dan jasa besarnya dalam bidang keagamaan dan persuratan, Shaykh telah dianugerah Ijazah Kehormat Doktor Persuratan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 5 Julai 1980. Pada 1 Muharram 1408 Hijrah bersamaan 28 Ogos 1987, beliau diisytihar sebagai Tokoh Ma’al Hijrah Kebangsaan yang pertama. Sebagai Tokoh Maal Hijrah yang pertama, Shaykh telah menerima pingat, sijil dan wang berjumlah RM 40, 000. Penghargaan telah disampaikan oleh Perdana Menteri Malaysia pada waktu itu, Dato Seri Dr Mahathir Mohamad. Seramai 3000 orang telah hadir dalam majlis yang sangat bersejarah itu termasuk duta-duta dan orang kenamaan dari negara luar. Selanjutnya pada 19 April 1988, beliau telah dianugerahkan Pingat Ahli Mahkota Perak (AMP) oleh Sultan Perak, Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Yussuf Izzuddin Shah sempena hari keputeraan baginda.

Peribadi Shaykh

Beliau adalah seorang tokoh ilmuwan yang warak dan amat mementingkan hubungan kekeluargaan. Orang ramai yang mengenali beliau ternyata amat menyenangi dan menghormatinya. Keperibadian mulia di samping ketajaman fikiran walaupun telah berusia 90-an, merupakan aset beliau yang amat berharga. Beliau seorang yang sangat tawaduk walaupun kealimannya tidak disangkal lagi oleh masyarakat sekelilingnya. Tidak sesekali beliau membangga diri walaupun ilmu memenuhi dada dari segi kefahamannya dalam bahasa Arab. Sebagai contoh, dalam kalam muqadimah Kamus al-Marbawi beliau menyebut:

"Walaupun bukanku itu ahlinya yang sejati"

Juga dalam muqadimah Bahr al-Mazi beliau berkata:

"Adapun kemudian daripada itu, maka lebih dahulu daripada aku masuk didalam mengarang kitab ini dengan tawadhuk aku kepada Allah SWT kiranya dipohonkan kepadanya tiadalah salah menerangkan sedikit perkataan ini kepada segala saudaraku"

Diriwayatkan bahawa ketika kerajaan Malaysia mula memperkenalkan anugerah Tokoh Maal Hijrah, tiada tokoh lain yang dilihat layak kecuali Shaykh Idris al-Marbawi. Kerajaan menghantar rombongan ke Mesir untuk meminta beliau balik menerima anugerah tersebut. Namun beliau enggan sehinggalah kerajaan terpaksa menghantar rombongan buat kali kedua bersungguh-sungguh memujuk beliau pulang ke tanah air. Akhirnya setelah akur dengan kehendak rombongan, beliau pulang dan menerima Tokoh Maal Hijrah Pertama pada tahun 1987 di Dataran Pusat Islam. Pihak penganjur meminta beliau menyampaikan sepatah dua kata seusai penyampaian. Beliau menolak kerana beralasan tidak tahu. Setelah diminta berkali-kali, beliau tampil juga dengan memulakan salam, mengucap puji-pujian kepada Allah dan Rasul seterusnya menutup kembali dengan salam. Sementara dalam riwayat lain menyatakan bahawa Semasa diminta berucap setelah dianugerahkan Tokoh Ma’al Hijrah, beliau dengan terus terang menyatakan yang beliau tidak layak berucap di situ kerana merasakan dirinya masih kekurangan ilmu. Atas dasar ingin melihat lebih ramai muda mudi memperolehi pendidikan yang sempurna, beliau telah menggunakan wang ganjaran Tokoh Ma’al Hijrah untuk membolehkan anaknya menubuhkan sebuah Kolej Pengajian Islam yang dinamakan Kolej Idris Al-Marbawi Al-Islami di Ipoh, Perak. Tenaga pengajarnya terdiri daripada anaknya, Mariam dan cucu-cucunya serta beberapa orang tenaga pengajar luar.

Beliau seorang yang kuat berpegang kepada Sunnah Nabi saw. Beliau suka mengenakan sarban dan jubah. Sementara dalam satu kejadian, beliau telah dilihat mengambil wudhu’ dengan menggunakan air yang sangat minimum yang tidak habis segayung air.

Beliau juga seorang yang sangat mengambil berat untung nasib orang Melayu khususnya dalam bidang pendidikan. Hal ini dinyatakan oleh Shaykh dalam pengenalan kamus yang ditulisnya dengan katanya,

Kemudian dari itu maka sebelum masuk mengarang kamus ini lebih dahulu menerangkan maksudku mengadakannya, ialah memajukan bangsaku Melayu, sekiranya menuntut bahasa arab adalah kamus penyuluhnya yang diharap, mendapatkan pelajaran umpama nahu dan saraf.

 

Oleh itu, kuhabiskan wujudku, mentelaah kitab lughah arab yang besar2, cadanganku ke bahasa Melayu hendakku kisar, tetapi tidaklah ku dapati, akan kitab yang memuaskan hati, seperti kitab cara baru, cara yang patut dengan zamannya, mudah faham bagi penuntutnya, banyak faedahnya, senang ambilnya, layak dengan bangsanya, segera dapat memetik buahnya.

 

Bersama-sama dengan sahabat serantau, beliau telah terlibat secara langsung pembikinan jurnal Seroean Azhar ketika menimba ilmu di Mesir. Beliau bersama sahabatnya bernama Abdul Wahab Abdullah telah bergabung tenaga dengan pelajar Indonesia bernama Mahmud Junus, Iljas Jacub, Raden Fathurrahman dan Djanan Thaib. Keluaran sulung jurnal tersebut ialah pada September 1925. Isi kandungan jurnal ini tertumpu kepada kesatuan dan kemajuan anak bangsa, penyebaran ilmu dan anti penjajahan.

Shaykh seorang yang amat berhati-hati dalam hukum dan sesuatu masalah dalam agama. Malah dalam muqadimah kitab Bulugh al-Maram, beliau berpesan kepada umat Islam agar menguasai terlebih dahulu sesuatu bidang ilmu sebelum bercakap dalam bidang tersebut dan sentiasalah mengambil pandangan ulama-ulama muktabar sebelum membuat sesuatu keputusan. Katanya,

Maka hendaklah diketahui oleh penuntut bahawa menerbitkan hukum, istinbath dan memahamkan nash al-Quran dan al-Hadith dengan bersendirian itu berhajat kepada berjaya dalam ilmu-ilmu yang tertentu dalam bahasa ’Arab seperti ilmu nahwu dan sharaf, ilmu bayan dan ilmu ma’ani dan pecahan ilmu bahasa dan yang lainnya. Dan berhajat kepada berjaya dalam ilmu fiqh, kerana ilmu feqah itulah yang lebih faedah keterangan baginya, kerana ulama feqah itu menyebutkan masalah secara feqah ,kerana disebut mereka itu akan dalil, maka zahirlah maknanya sehabis-habis zahir dan juga berhajat kepada berjaya dalam ilmu usul feqah supaya tahu jalan-jalan yang diambil daripadanya segala nama dan segala bahasa, dan tahu perintah dan suruh, dan apa-apa kemahuannya, dan tahu tegah dan larangan dan apa-apa yang menunjukkan atasnya, dan tahukan am dan khas dan apa-apa yang mengikuti keduanya, dan tahukan lafaz yang datang atas sebab, dan tahukan mutlaq dan muqayyad, dan mantuq dan mafhum, dan mubayyan dan mujammal dan nasakh dan jalan-jalannya, dan segala perbuatan Rasulullah saw dan segala pembahagian hadith dan pembahagiannya. Dan makna ijma, dan bagaimana tersimpulnya, dan perselisihan shahabat dan segala qaulnya, dan tahu akan qias dan yang dijadikan hujjah padanya, dan barang yang harus dijadikan asal dan yang tiada harus, dan yang menunjuk atas sah ‘illat dan barang yang harus dibuatkan ‘illat dan yang tiada harusnya, dan yang menunjukkan atas sah illat dan yang membatalkannya, dan bagaimana engkau menguatkan salah satu daripada dua ‘illat itu pada waktu berlawanan. Dan tahukan istihsan dan hukum segala perkara dahulu daripada syarak, dan istishabul hal dan tahukan sifat mufti yang memberi fatwa dan yang meminta fatwa, dan barang yang harus padanya bertaqlid, dan barang yang tiada harusnya, dan tahukan segala qaul orang yang mujtahil, dan yang dikeluarkan seorang mujtahid akan satu masalah atas dua qaul dan lain daripada itu. Maka apabila telah mendapat seorang akan demikian itu, atau mencapai satu jumlah yang baik daripadanya atas sekurang-kurangnya, maka bahawasanya bersedialah ia bagi memahamkannya.

Beliau seorang yang sangat gemar bermusafir. Sepanjang hampir 60 tahun berada di Timur Tengah, beliau banyak menjelajah dan menyaksikan pelbagai bentuk kebangkitan Islam selain daripada menjalankan kerja berdakwah. Ini telah banyak memberi kesedaran dan pengalaman berguna kepada beliau.

Berpulang ke Rahmatullah

Tanggal 13 Oktober 1989 bersamaan 13 Rabiul Awal 1409 Hijrah telah meninggalkan kesedihan kepada rakyat Malaysia kerana tokoh besar yang banyak menabur jasa itu telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di Hospital Besar Ipoh pada jam 8.40 pagi. Pemergiannya pada usia 96 tahun itu telah disemadikan di pusara Kampung Lubuk Merbau, Perak bersebelahan pusara isteri beliau, Khadijah binti Mohamad Idham yang telah meninggal dunia 14 bulan sebelum itu. Beliau telah meninggalkan seorang anak perempuan, tiga orang cucu dan tujuh orang cicit yang tinggal di Malaysia pada ketika itu. Di samping itu beliau telah meninggalkan balu kedua, Hajjah Munirah binti Abdul Wahab yang menetap di Mesir.

Harimau Mati meninggalkan Belang...

Bagi mengenang jasa beliau, namanya telah diabadikan di sebuah kolej kediaman di Universiti Kebangsaan Malaysia yang dikenali dengan nama Kolej Idris al-Marbawi. Namanya juga turut diabadikan di sekolah tempat beliau menuntut ilmu di Kampung Lubok Merbau iaitu Sekolah Kebangsaan Syeikh Mohd Idris Al-Marbawi.

Daftar Pustaka



3.       http://irfanirsyad.wordpress.com/tag/kamus-idris-al-marbawi/. Dicapai pada 24 September 2013

4.       http://abusyahmin.blogspot.com/2011/11/bahr-al-mazi.html. Dicapai pada 24 September 2013


6.       http://waazin.blogspot.com/2012/11/sheikh-idris-al-marbawi.html. Dicapai pada 24 September 2013

7.       http://ms.wikipedia.org/wiki/Hassan_Adli_Mohd_Arshad. Dicapai pada 25 September 2013





12.   http://senawangindah.blogspot.com/2010_06_01_archive.html. Dicapai pada 25 September 2013

 

  1. Najahudin Lateh. Metodologi Syeikh Idris al-Marbawi dalam Karya Terjemah Bulugh al-Maram: Analisa Kitab al-Taharah Universiti Teknologi MARA. Kertas ini dibentangkan dalam Seminar Kebangsaan Ketamadunan Islam pada 8 - 9 Disember 2009 di Hotel Casuarina, Ipoh Perak
  2. Muhd Najib Abdul Kadir, Mohamad Zaid Mohd Zin, Ahamad Asmadi Sakat, Mohd Roslan Mohd Nor, Mohd Arip Kasmo, Latifah Abdul Majid, Fadlan Mohd Othman, Jaffary Awang, Mazlan Ibrahim. Methodology of Al-Marbawi In The Interpretation of Al Quran: A Study on Tafsir Al-Marbawi Juzuk Alif Lam Mim. Advances in Natural and Applied Sciences, 5(5): 446-451, 2011
  3. Muhammad Mustaqim Mohd Zarif. The Bahr al-Madhi of Shaykh Muhammad Idris Al-Marbawi: A Preliminary Analysis. 'Ulum Islamiyyah: The Malaysian Journal of Islamic Sciences Vol.2 No.1 2003 Part 4. Universiti Sains Islam Malaysia
  4. Taufik Abdullah. 2009. Schools and Politics: The Kaum Muda Movement in West Sumatra (1927-1933). Equinox Publishing. Singapura
  5. Abdul Salam Muhammad Shukri Al-Shaykh Dr. Muhammad Idris Al-Marbawi (1313-1409/1893-1989) And, His Contribution To Islamic Studies In The Malay World: A Preliminary Survey. Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Dicapai di spdiis.ism.gov.my/docs/shared/KPWKM/.../I0282.pdf pada 27 September 2013
 
 
 
 
 
Nama Shaykh diabadikan pada sebuah kolej kediaman di UKM
 
 
Masjid Jamek al-Marbawi di Lubuk Merbau Perak
 
 
Gambar Shaykh yang tertera dalam kamus
 
 
Shaykh menerima ijazah kehormat Doktor Persuratan UKM
 
 
Gambar Shaykh ketika muda
 
 
Kitab Kamus Idris al Marbawi
 
 
Masjid Saiyiduna Hussain, Kaherah tempat Shaykh menimba ilmu hadith
 
 
Maktabah tempat Shaykh pernah bekerja ketika berada di Mesir
 
Shaykh Idris al Marbawi
 
 
Gambar Shaykh menghiasi majalah Utusan Qiblat

No comments:

Post a Comment