Tercatat dalam lipatan sejarah, tokoh ulama
yang paling berpengaruh di kalangan pemerintah negeri Perak tidak lain tidak
bukan ialah Haji Nawawi bin Haji Mohd Tahir yang dikenali sebagai Tuan Haji
Che’ Wi Janggut Merah atau Shaykh Nawawi Janggut Merah. Ini adalah kerana ia
berkhidmat sebagai Penasihat Agama kepada lima orang Sultan Perak iaitu DYMM
Almarhum Sultan Idris I, Almarhum Sultan Abdul Jalil, Almarhum Sultan Iskandar,
Almarhum Sultan Abd Aziz dan Almarhum Sultan Yussuf Izzudin. Beliau dikenali Tuan Haji Che’ Wi Janggut Merah kerana ia
selalu menginaikan janggut dan rambutnya.
Latar Belakang
Keturunannya ramai menjadi alim-ulama.
Antara yang paling menonjol ialah bapa saudaranya iaitu Tuan Guru Haji Omar
Merbok yang sangat terkenal di utara Semenanjung dan Tuan Guru Haji Shafie
Losong yang masyhur namanya di sebelah pantai timur. Nasab Shaykh Nawawi adalah
seperti berikut;
Haji Nawawi bin Haji Mohd Tahir bin Haji Mohd
Amin bin Haji Abdul Rahman (Tok Suboh) bin Shaykh Ahmad al Zabidi al Yamani
Moyangnya, Shaykh Ahmad al Zabidi berhijrah ke Nusantara
dari daerah Zabid yang terletak di Utara Yaman, tidak jauh dari Pelabuhan
Hodeidah. Dalam satu riwayat lain, dikatakan bahawa Shaykh Ahmad al Zabidi
setelah mendapat perintah dari kerajaan Turki Uthmaniyyah telah mengarahkan
anaknya yang bernama Haji Abdul Rahman atau lebih dikenali dengan nama Tok
Suboh agar turun ke negeri Kedah bersama adiknya yang bernama Ismail untuk
membantu kerajaan Islam Kedah menentang serangan bala tentera Siam dari arah
laut. Tok Suboh dikatakan masuk ke negeri Kedah melalui jalan Nakhon Si
Thammarat yang terletak di selatan Thailand pada hari ini. Selepas berjaya
membantu kerajaan Kedah, Tok Suboh dikatakan berkahwin dengan gadis tempatan
dan terus menetap di Kedah. Perkahwinan mereka menghasilkan anak tunggal yang diberi nama Mohamad
Amin. Haji Mohamad Amin menetap di Alor Mengkudu dalam daerah Kota Setar, Kedah
kemudiannya dianugerahkan 6 orang anak iaitu Mohamad Long (kemudian berhijrah
ke Perak dan menetap di Batu 17 Pantai Remis), Saad (menetap di Jalan Seri,
Alor Setar, Kedah), Halimah (menetap di Sungai Kedak, Kuala Muda), Mohd Tahir
(berhijrah ke Perak dan menetap di Sungai Batu, Pantai Remis), Shafie
(berhijrah ke Terengganu dan menetap di Losong, Kuala Terengganu) dan Omar
(menetap di Merbok, Kedah). Haji Mohd Tahir dan abangnya Haji Mohd Long yang
berhijrah ke Pantai Remis memulakan penempatan di dua seberang Sungai Beruas
berhampiran pekan Pantai Remis hari ini. Haji Mohd Long membuka penempatan di
seberang bahagian utara sungai (Kampung Batu 17 hari ini) dan Haji Mohd Tahir
di seberang bahagian selatan sungai (kampung Pantai Remis dan kampung Sungai
Batu hari ini). Perkembangan penempatan yang dibangunkan oleh dua beradik ini
ditambah pula dengan kedatangan beberapa orang anak Haji Saad dari Lorong Seri,
Alor Setar, Kedah (Haji Saad adalah abang Haji Mohd Tahir dan adik kepada Haji
Mohd Long). Haji Mohd Tahir dikurniakan 8 orang cahaya mata iaitu Zabidi,
Nawawi (tokoh yang dibincangkan dalam penulisan ini), Teh, Ahmad, Mahmud,
Maryam, Aishah dan Abdul Hamid. Haji Mohd Long dikurniakan 9 orang cahaya mata
iaitu Senawi, Aishah, Aminah, Ali, Taib, Hussain, Som, Saadiah dan Fatimah.
Bolehlah dikatakan bahawa ayahanda Shaykh Nawawi iaitu Haji Mohd Tahir dianggap
sebagai ayah 'besar' kepada sebahagian besar warga Kampung Sungai Batu, Pantai
Remis pada hari ini. Ini adalah kerana semua anak-anak Haji Mohd Tahir menetap
di Kampung Sungai Batu dan sekitarnya lalu membentuk sebuah keluarga yang
sangat besar sehingga ke hari ini. Jumlah cucu Haji Mohd Tahir hasil
perkahwinan anak-anaknya ialah seramai 49 orang manakalanya cicitnya berjumlah
247 orang. Pada masa ini beberapa orang cucu Haji Mohd Tahir masih tinggal di
Kampung Sungai Batu dan telah lahir generasi ke 5 selepasnya (satu generasi
selepas anak, cucu, cicit, piut).
Shaykh Nawawi bagaimanapun dilahirkan di Kampung Kuala Kangkong, Kedah
pada tahun 1300 H bersamaan 1882 M iaitu sebelum ayahandanya Haji Mohd Tahir
berhijrah ke Pantai Remis, Perak.
Pendidikan
Besar kemungkinan Shaykh Nawawi mendapat
pendidikan asasnya di tempat tinggalnya iaitu di Sungai Batu, Pantai Remis.
Kemudian ia berhijrah ke Terengganu untuk menimba ilmu kepada bapa saudaranya
yang merupakan ulama terkemuka Alam Melayu pada ketika itu khususnya dalam ilmu
tasawwuf iaitu Haji Mohd Shafie Losong. Bapa saudaranya itu telah berhijrah ke
Terengganu dari Kedah untuk berguru dengan Syed Abdul Rahman Al Idrus (Tokku
Paloh). Haji Mohd Shafie kemudiannya mendirikan pengajian pondok di sebuah
kampung di Kuala Terengganu yang digelar sempena namanya iaitu Kampung Losong
Hj Mohd Shafie. Selain berguru dengan bapa saudaranya, Shaykh Nawawi juga telah
berguru dengan seorang lagi ulama tersohor Alam Melayu iaitu Tuan Hussain Kedah
Al-Banjari.
Pengasas Madrasah
Tidak diketahui bila bermulanya hubungan Shaykh Nawawi dengan istana
Perak namun Shaykh Nawawi telah dititahkan oleh Sultan Idris I Murshidul Adzam
Shah untuk merencanakan pembinaan Madrasah Idrisiah. Shaykh Nawawi pada ketika
itu menjadi Guru Besar Madrasah Mariah (mengambil nama sempena Permaisuri Uteh
Mariah), Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Sultan Idris I Murshidul Adzam Shah
mangkat pada tahun 1916 tanpa sempat melihat tertegaknya Idrisiah yang mula
dibina dalam tahun 1917. Anakandanya, Sultan Iskandar Shah Kaddasallah
meneruskan pembinaan Madrasah Idrisiah hingga Ogos 1921 di atas tanah
Lot yang digazet khas seluas
3e.1r. 38pl. Dengan tertubuhnya Madrash Idrisiah, pendidikan Islam telah
berkembang pesat pada zaman tersebut. Para ulama dari tanah Arab turut berkhidmat
di Madrasah ini, antaranya Shaykh Hassan Yamani dan Shaykh Abdullah Maghribi.
Malah Sultan Iskandar sendiri mempunyai minat yang mendalam terhadap ilmu agama
sehingga baginda menghasilkan penulisan yang dinamakan Risalah Iskandariah.
Risalah ini telah dihantar kepada semua qadhi di seluruh Perak sebagai panduan.
Sultan Iskandar mempunyai hubungan yang erat dengan Shaykh Nawawi. Diriwayatkan
bahawa Almarhum Sultan Iskandar sering berada di saf hadapan sewaktu pengajian
di Masjid Ubudiah yang disampaikan oleh Haji Nawawi. Selain mengajar di
Madrasah Idrisiah, Shaykh Nawawi turut mengajar di sekitar daerah Kuala
Kangsar, Larut Matang, daerah Perak Tengah dan daerah Manjung. Shaykh bukan
sahaja mengajar murid sekolah, tetapi juga orang dewasa. Malah Shaykh turut
mengadakan kelas pengajian khusus untuk muslimat pada hari-hari tertentu.
Penubuhan
Madrasah Idrisiah yang direncanakan Shaykh berjaya melahirkan ramai alim-ulama.
Antaranya ialah seperti berikut;
1. Tuan Haji
Ismail bin Haji Hamzah – Mufti Kerajaan Negeri Perak ke-2
Kembali ke Rahmatullah
2. Tuan Haji Muhammad Tahir Muhammad Saman - Mufti Kerajaan Negeri Perak ke-3
3. Tuan Haji Sha'aya bin Abdul Majid - Mufti Kerajaan Negeri Perak ke-4
4. Dato' Haji Abu Hassan bin Abdul Majid - Mufti Kerajaan Negeri Perak ke-5
5. Dato' Haji Muhammad Ghazali Abdullah - Mufti Kerajaan Negeri Perak ke-6 dan Selangor ke-3
6. Dato' Seri Haji Abdul Malek bin Haji Nordin - Mufti Kerajaan Negeri Perak
ke-7
7. Dato' Seri Haji Harussani bin Haji Zakaria - Mufti Kerajaan Negeri Perak
ke-8
8. Dato' Haji Md. Salleh bin Hassan Farid - Mufti Kerajaan Negeri Selangor ke-4
9. Tuan Haji Abu Bakar bin Mat Yasin - Mufti Kerajaan Negeri Pahang ke-4
10. Dato' Muhammad Yusuf Ismail - Mufti Wilayah Persekutuan ke-5
11. Shaykh Abu Bakar al-Baqir – Pejuang kemerdekaan dan Pengasas
Maahad Ehya’ Asy Syarif Gunung Semanggol
12. Dato' Seri Muhammad Asri bin Hj Abdullah - Kadhi Besar dan Ketua Hakim
Syarie Perak ke-7
13. Dato' Haji Sulaiman bin Abdul Kadir - Kadhi Besar dan Ketua Hakim Syar'ie
Negeri Perak ke-6
14. Tuan Guru Haji Mohd Khair bin Taib - Pakar Ilmu Falak dan tenaga pengajar
Madrasah Taufiqiyah
15. Tuan Guru Haji Ahmad Fuad - Pejuang kemerdekaan dan YDP PAS Tanah Melayu
yang Pertama
16. Tuan Guru Haji Muhammad Saman - Khalifah Tasawwuf, Pelopor Tariqat Sammaniah
di Tanah Melayu dan Pengasas Madrasah As-Sammaniah Taiping Perak
17. Profesor Zulkifli Muhammad - Pejuang kemerdekaan dan YDP PAS Tanah Melayu
yang Kedua
18. Tuan Guru Haji Zakaria bin Haji Sulaiman - Pengasas Madrasah al Hidayah al Islamiyah dan Maahad al Mizan, Manong Perak
18. Tuan Guru Haji Zakaria bin Haji Sulaiman - Pengasas Madrasah al Hidayah al Islamiyah dan Maahad al Mizan, Manong Perak
Shaykh Nawawi meninggal dunia pada 21 Julai
1969 pada usia 88 tahun. Beliau meninggalkan 24 orang zuriat daripada 3 orang
isteri. Beliau telah dikebumikan di Perkuburan Islam Kampung Changkat Ning,
Batu 8, Bendang Siam, Jalan Trong, Changkat Jering, Perak.
- Shaykh pernah ditangkap dan dimasukkan ke dalam
guni untuk dibuang ke laut. Apabila semakin hampir ke laut, guni itu
menjadi semakin berat. Bila dibuka, isinya bertukar menjadi batu. Dalam riwayat
lain, sewaktu pemerintahan Bintang Tiga (selepas pengunduran Jepun) banyak
ulama telah dibunuh. Beliau antara yang menjadi sasaran tetapi dipelihara
Allah s.w.t.. Satu peristiwa berlaku di mana kebiasaannya komunis Bintang Tiga
melarang orang-orang kampung untuk menghadiri pengajian agama di masjid
atau surau. Pada suatu hari anak murid beliau ditanya komunis ke majlis
siapa (di masjid) yang beliau hendak pergi. Maka dijawabnya; “Majlis Haji
Janggut Merah”. Lalu komunis tersebut tidak jadi menghalang orang
tersebut. Apabila ditanya mengapa beliau tidak melarang, maka komunis
menjawab bahawa mereka pernah menangkap Shaykh dan dimasukkan ke dalam
guni untuk dilemparkan ke dalam laut Pantai Remis. Namun akhirnya mereka
mendapati beliau tidak ada, dan yang ada hanyalah batu (padahal pada waktu
itu Shaykh berada di rumah). Peristiwa tersebut menimbulkan rasa
gerun di hati mereka dan mereka tidak berani mengganggu lagi.
- Pernah satu ketika askar Jepun menunggu ia habis kuliah agama dengan tujuan hendak membunuhnya. Malangnya askar Jepun tidak dapat melihatnya padahal ia dengan bersahaja berbasikal melintas askar-askar tersebut.
- Daun pokok pisang dimana batangnya digunakan untuk melapik jenazahnya ketika proses mandi jenazah tidak layu hampir sebulan lamanya. Dalam versi lain, di hari kematian beliau, pelepah pisang yang dipotong untuk menutup kawah nasi tidak kering selama lebih kurang 40 hari, walaupun ketika itu musim kemarau
- Ketika Shaykh sakit, tong beras sentiasa penuh bagi membolehkan beras dimasak untuk dihidang kepada tetamu yang menziarahinya.
- Ketika ia menyampai kuliah agama dengan tiba-tiba ia berhenti memberi kuliah dan memaklumkan kepada hadirin bahawa isterinya telah selamat melahirkan anaknya. Bila ditanya bagaimana ia tahu, ia menjawab, “Burung yang hinggap di jendela masjid telah memberitahunya”.
- Seorang penjual ikan membuat pengakuan kepada penulis bahawa beliau sewaktu kecil sangat nakal dan pernah menuang ikan dari raga (hasil menjala ikan Shaykh) ke atas pasir. Apa yang menghairankan beliau adalah ikan tersebut telah melompat masuk balik ke dalam raga tersebut. Peristiwa itu sedikit sebanyak telah menginsafkan penjual ikan tersebut
- Menjadi kelaziman peniaga berebut-rebut ia memasuki kedai mereka apabila mendengar Shaykh berkunjung ke tempat mereka kerana menurut mereka perniagaan menjadi laris setelah dikunjungi Shaykh.
Peribadinya dikagumi masyarakat
- Shaykh dikatakan tidur
dengan beralaskan buah kelapa leper yang agak bujur. Tujuan ia menggunakan
buah kelapa tersebut ialah supaya apabila buah itu bergolek ia akan
mengejutkan Shaykh itu mengerjakan ibadah dan zikir pada malam itu.
- Shaykh tidak pernah
cerewet tentang makanan. Seandainya, kopi yang dihidangkan kepadanya itu
terlalu pahit atau terlalu manis, ia tetap akan meminumnya tanpa mengadu
tentangnya. Begitu juga jika sesuatu makanan itu terlalu masin atau tidak
sedap, ia terus sahaja memakan yang dihidangkan kepadanya tanpa berkata
apa-apa tentang hidangan tersebut. Prinsipnya ialah semua rezeki datang
dari Allah dan kita perlu mensyukuri setiap rezeki yang dikurnia-Nya tanpa
perlu banyak soal.
- Shaykh hanya memiliki
beberapa kain pelekat yang dipakainya saban hari. Jika ada yang terkoyak,
ia akan menjahitnya dan memakainya semula.
- Shaykh suka
menggembirakan orang lain khususnya kanak-kanak. Tetapi dalam hal-hal yang
melibatkan hukum-hakam agama, ia bertindak tegas tanpa mengira kedudukan
atau pangkat orang yang berhadapan dengannya. Antara kisah tentang ketegasan Shaykh adalah
seperti berikut;
- Fatwa
mengenai tegahan berkabung dengan melilit kain putih di kepala yang
diamalkan oleh para kerabat di raja. Segolongan masyarakat telah
mengadukan kepada Sultan Perak mengenai tegahan beliau terhadap perbuatan
tersebut. Beliau dipanggil mengadap Sultan. Umum menganggap beliau akan
dimurkai Sultan. Beliau telah datang ke istana dengan membawa kain putih
(kain kafan) lalu ditanya
Sultan untuk apa kain tersebut. Jawab beliau: “Kalau patik dihukum pancung pada hari ini kerana fatwa
tersebut maka inilah kain kafannya”.
- Sultan Perak
(Sultan Iskandar) telah memanggil para ulama Perak untuk berbuka puasa di
istana. Belum pun tiba waktu berbuka Sultan Iskandar menyeru kepada semua
yang hadir supaya menjamah makanan. Semua mereka terdiam tidak berani
membantah lalu Shaykh Nawawi bangun memberitahu Sultan dengan kata-kata: “Kalau tuanku hendak masuk neraka
masuklah seorang”. Akhirnya Sultan memuji keberanian beliau menegur
Sultan dan Baginda memarahi ulama-ulama yang membisu dengan kata-kata, “Nasib baiklah di negeri Perak masih
ada orang yang berani menegur beta”.
- Beliau pernah
menunggu di tempat yang pernah dijadikan tempat semah jin dengan kepala
kerbau secara tahunan. Bagi menghapuskan amalan tersebut beliau telah
menunggu di tempat dan waktu yang pada tiap-tiap tahun diadakan acara
menjamu kepala kerbau. Apabila tiba masanya jin tersebut telah datang dan
menggegarkan suasana sekeliling. Keesokannya bomoh yang meminta supaya
dijamu kepala kerbau telah meninggal dunia.
- Shaykh Nawawi juga ulama yang pertama di
Tanah Melayu yang telah mengeluarkan fatwa, bahawa orang perempuan haram
memakai gincu bibir. Ada dua alasan yang telah dikemukakannya, iaitu:
i.
Gincu bibir (yang
baik pada zaman itu) dibuat di Itali, England dan negara-negara kuffar
adalah dibuat dari lemak babi
ii. Perempuan yang memakai
gincu bibir, selain daripada menarik nafsu berahi lelaki, mereka
memperlihatkan gambaran bentuk bibir faraj mereka dan mengikut
perempuan-perempuan kuffar yang termasuk dalam hukum tasyabbuh.
- Shaykh tidak suka bercerita tentang hal orang
malah beliau amat berhati-hati apabila berbicara agar tidak melukakan hati
orang lain.
- Beliau
menguasai pelbagai bahasa seperti Arab, Urdu, Tamil, Cina, Inggeris, Aceh
dan lain-lain.
- Beliau juga
mendalami ilmu perubatan Arab-Yunani (Greco-Arabic Medicine) dan berjaya
menghasilkan beberapa jenis formulasi ubat berasas herba termasuk ma’jun.
- Selain dari mempunyai ilmu pengetahuan agama
Islam yang luas, Shaykh Nawawi mempunyai kebolehan menanam berbagai jenis
pokok buah-buahan. Dia telah menanam berbagai jenis anak pokok buah-buahan
atas tanahnya yang luasnya kira-kira lima ekar. Di antara pokok-pokok itu,
ialah delima, arang para atau pulasan, duku, laici, mata kucing, ciku dan
berbagai-bagai jenis limau yang berasal dari benua China
Madrasah Idrisiah tempat Shaykh menabur jasa
Gambar Shaykh
Rujukan
1. http://intansalwani.blogspot.com/2008/01/tok-wi-janggut-merah.html.
Dicapai pada 18 september 2013
2. http://bin-nawawi.blogspot.com/2008/10/perjumpaan-keluarga-binnawawi-2007.html.
Dicapai pada 18 September 2013
3. http://afnileena.blogspot.com/2012/01/tok-wi-janggut-merah_12.html.
Dicapai pada 18 September 2013
5. http://sembangkuala.wordpress.com/2010/10/07/tuan-haji-che%E2%80%99-wi-janggut-merah-pengasas-madrasah-idrisiah/.
Dicapai pada 18 September 2013
6. http://edit-thinker.blogspot.com/2012/06/orang-alim-masa-usiaku-tujuh-tahun-1941.html.
Dicapai pada 18 September 2013
7. http://alumnisksbpantairemis.blogspot.com/2011/02/sejarah-kg-sungai-batu.html.
Dicapai pada 21 September 2013
8. http://madrasah.idrisiah.edu.my/index.php?option=com_content&view=article&id=78&Itemid=91.
Dicapai pada 23 September 2013
9. http://madrasah.idrisiah.edu.my/index.php?option=com_content&view=article&id=88:sejarah&catid=36:berita-semasa&Itemid=105.
Dicapai pada 23 September 2013
11. http://ibnuzuki.blogspot.com/2009/01/sejarah-ringkas-madrasah-idrisiah.html.
Dicapai pada 23 September 2013
Al-fatihah buat Allahyarham dan semua mereka yang telah berbakti pada perjuangan Islam. Saya salah seorang waris dari cabang Pantai Remis
ReplyDelete