Friday, August 7, 2009

Syeikh Fadhil Banten, ulama rohani terkenal Johor



Ulama yang sangat besar pengaruhnya dalam bidang kerohanian dalam kerajaan Johor pada abad ke-19 dan awal abad ke-20 tidak lama dahulu ialah Syeikh Kiyai Haji Fadhil bin Haji Abu Bakar al-Banten. Ulama besar ini lahir di Banten, Jawa Barat sekitar tahun 1287 Hijrah/1870 Masihi dan meninggal dunia di Bakri, Muar, Johor pada 29 Jamadilawal 1369 Hijrah/18 Mac 1950 Masihi. Beliau dikebumikan di Batu 28 Lenga, Muar[1]. Selain mendapat pendidikan dari kalangan keluarga sendiri, Syeikh Fadhil juga memasuki pelbagai pondok pengajian di Banten. Sekitar usia tiga puluhan, barulah beliau melanjutkan pendidikannya di Makkah. Syeikh Fadhil telah mendapat pendedahan amalan tariqat semenjak berada di Banten lagi. Beliau mengenali Tariqat Qadiriyah wan Naqsyabandiyyah (TQN) yang tersebar di seluruh Jawa yang dibawa oleh murid-murid Syeikh Ahmad Khatib bin Abdul Ghaffar Sambas (lahir 1217 Hijrah/ 1802 Masihi, wafat 1289 Hijrah/1872 Masihi). Salah seorang khalifahnya yang paling terkenal, yang berasal dari Banten ialah Syeikh Abdul Karim al-Bantani (wafat 18 Safar 1315 Hijrah/19 Julai 1897 Masihi). Menurut almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir,
Oleh itu dipercayai bahawa Fadhil telah ditawajjuh dengan kedua-dua tariqat (Qadiriyyah dan Naqsyabandiyyah) tersebut oleh Syeikh Abdul Karim al-Bantani, ulama Banten yang sangat terkenal itu.[2]
Ketika berada di Makkah, Syeikh Fadhil dikatakan banyak bergaul dengan pengikut tariqat Tijaniyah sehinggakan beliau juga diriwayatkan menerima Tariqat Tijaniyah tetapi tidaklah diketahui dengan jelas daripada siapa beliau menerima tariqat itu. Dengan itu, jelaslah bahawa Syeikh Fadhil mempunyai pengetahuan yang sangat meluas dalam amalan-amalan tariqat yang muktabar khususnya tariqat Qadiriyyah dan Naqsyabandiyyah yang sangat terkenal dalam bidang tariqat.
Tentang penghijrahannya ke Tanah Melayu, ianya bermula apabila Penghulu Mukim Lenga yang bernama Haji Daud sangat tertarik pada keperibadian, keilmuan dan kerohanian yang ada pada Syeikh Fadhil lalu penghulu itu berusaha memujuk ulama yang berasal dari Banten ini supaya datang ke Johor. Akhirnya hasrat Haji Daud tercapai apabila Syeikh Fadhil bersetuju untuk datang ke Johor. Maka dalam tahun 1915 Masihi, Syeikh Fadhil tiba di Johor. Beliau mengajar di Kampung Lenga, Muar. Selain pelbagai ilmu Islam yang asas seperti fardu ain, Syeikh Fadhil amat menekankan amalan Wirid Khaujakan atau Khatam Khaujakan yang sangat terkenal dalam ajaran Tariqat Naqsyabandiyah. Isi kandungan wirid ini adalah zikir-zikir (ayat-ayat Al-Qur’an, selawat atas Nabi, Asma’ ul husna dan lain-lain) yang tujuannya utamanya mendekatkan diri kepada Allah dan memohon keredhaannya.[3] Perkataan ‘Khaujakan’ ini berasal dari perkataan Farsi dalam bentuk jamak (plural), dan mafradnya (tunggalnya) ‘khawajah’ yang bererti syeikh atau guru. ‘Khatam Khaujakan’ sebenarnya merujuk kepada perihal tuan guru menyudahkan majlis bersama anak muridnya dengan membaca zikir-zikirnya dengan adab-adab dan kifiatnya.[4]
Syeikh Fadhil melebarkan sayap dakwahnya keseluruh tempat dimana beliau mengajar seperti Bandar Maharani (Muar), Bakri, Bukit Kepong dan tempat-tempat lainnya. Kesungguhan dan keikhlasan beliau menyebarkan dakwah menyebabkan beliau disenangi segenap lapisan masyarakat, bahkan ajaran beliau dapat diterima oleh semua pihak termasuk Sultan Johor. Beliau juga diriwayatkan rapat dengan Sultan Johor. Semuanya bermula ketika perang dunia kedua meletus antara tahun 1939 hingga tahun 1945. Dalam masa darurat itulah Sultan Ibrahim, Sultan Johor merasa perlu menyelamatkan Kerajaan Johor, termasuk diri peribadi dan keluarganya dengan apa cara sekali pun. Atas nasihat beberapa insan yang arif, baginda mendekati Syeikh Fadhil. Baginda menitahkan Datuk Othman Buang, Pegawai Daerah Muar ketika itu untuk mencari dan menjemput ulama sufi itu datang ke istana baginda. Hajat Sultan Ibrahim itu dipersetujui oleh Syeikh Fadhil tetapi ulama besar itu tidak mahu tinggal dirumah yang disediakan oleh Sultan tetapi hanya mahu tinggal di Masjid Pasir Pelangi. Di sebelah malamnya, beliau hadir di sebelah bilik peraduan Sultan Ibrahim dengan membaca wirid untuk menjaga keselamatan sultan. Walau bagaimana pun untuk lebih mudah melakukan pelbagai amalan wirid dan munajat kepada Allah, beliau memilih masjid yang lebih banyak berkatnya dari rumah. Oleh itu Fadhil lebih banyak melakukannya di dalam masjid.
Akhirnya Sultan Ibrahim memperoleh ketenangan jiwa kerana keberkesanan dan keberkatan doa Syeikh Fadhil. Setelah perang dunia kedua berakhir, baginda memberikan anugerah kepada ulama sufi tersebut. Seperti yang disebut oleh almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir,
Ustaz Haji Ahmad Tunggal (kini YDP Persatuan Khaujakan) dalam bukunya menyebut, ``Sultan telah menganugerahkan pangkat kepada Haji Fadhil, iaitu ia dilantik sebagai Mufti Peribadi Sultan. Jawatan ini berbeza dengan Mufti Kerajaan. Mufti Peribadi adalah bertanggungjawab kepada sultan. Ia memberi nasihat dan fatwa jika dikehendaki oleh sultan.''[5]
Selain anugerah yang berupa kedudukan itu, Sultan Ibrahim juga membiayai Syeikh Fadhil dan isterinya menunaikan ibadah haji, dan memberikan hadiah-hadiah yang tidak terkira besar dan banyaknya. Sumbangan yang tiada terhingga besarnya daripada Sultan Ibrahim ialah apabila baginda membuka pintu kebebasan seluas-luasnya kepada Syeikh Fadhil untuk menubuhkan kumpulan-kumpulan Wirid Khaujakan di seluruh Kerajaan Johor tanpa sebarang halangan. Seperti yang dicatat oleh almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir tentang penubuhan kumpulan ini,
Berdasarkan tulisan Ustaz Haji Ahmad Tunggal, peringkat awal pembentukan kumpulan tersebut di Pontian diketuai oleh Haji Ahmad Syah. Di Batu Pahat oleh Kiyai Saleh. Di Muar oleh Haji Abdul Majid dan di Mersing oleh Haji Siraj bin Marzuki.
Daripada isteri yang pertama, Syeikh Fadhil memperoleh empat orang anak; seorang lelaki dan tiga perempuan. Anak lelakinya ialah Orang Kaya Penghulu Haji Abdul Hamid. Setelah isteri pertamanya meninggal dunia, beliau berpindah ke Bandar Muar dan berkahwin lagi dengan seorang janda beranak dua. Kedua-dua anak tirinya iaitu Haji Othman bin Haji Azhari dan Haji Ali bin Haji Azhari meneruskan perjuangan Syeikh Fadhil. Antara murid Syeikh Fadhil yang menjadi ulama besar ialah Sahibus Samahah Haji Ahmad Awang yang pernah menjadi Mufti Kerajaan Johor dan anak tirinya, Haji Othman Azhari yang pernah memegang jawatan Yang Dipertua Badan Kebajikan Jamaah Khaujakan.
Anak tirinya yang gigih meluaskan amalan wirid Khaujakan ialah Haji Othman bin Azhari. Beliau dilahirkan di Jalan Bakri, Muar pada bulan April tahun 1915 dan dibesarkan oleh ibunya setelah bapanya meninggal dunia ketika usianya masih kecil. Beliau mendapat didikan secara formal di bidang agama di sekolah agama di Muar dan pada tahun 1936 beliau telah melanjutkan pengajiannya di Kuliatul Al-Attas di Johor Bahru. Selepas tamat pengajian beliau mengajar di sekolah sekolah agama di Muar termasuk Madrasah Maharani al-Islamiah, Madrasah Lughatul Quran dan Madrasah Sa’diah. Tokoh yang paling banyak memberi bimbingan kerohanian kepadanya tidak lain tidak bukan ialah ayah tirinya iaitu Syeikh Fadhil Banten. Setelah Syeikh Fadhil Banten wafat, Haji Othman meneruskan usaha mengembangkan wirid khaujakan. Mulai tahun 1967 perkembangan wirid khaujakan telah menampakan pesatnya apabila Tuan Guru Haji Othman Azhari telah berusaha mengumpulkan para ahli ibadah mengamalkan wirid khaujakan secara beramai ramai di masjid Jamek Muar tiap tiap malam Jumaat dari jam 12 malam hingga subuh.[6] Pada mulanya ia disertai oleh beberapa orang dan kemudiannya telah meningkat kepada 600 orang yang datang dari pelbagai daerah.[7] Perkembangan yang pesat ini telah menyebabkan semakin banyak kumpulan wirid ditubuhkan di serata daerah. Pada penghujung tahun 1969, keahlian wirid khaujakan telah meningkat kepada ribuan orang dan bagi mengelak dari fitnah orang maka Tuan Guru Haji Othman Azhari mengambil keputusan mendaftar secara sah dengan pendaftar pertubuhan di Johor.[8] Maka urusan pendaftaran pun diusahakan dan pada 2 November 1971 kumpulan ini didaftarkan di bawah undang undang pertubuhan negeri Johor dengan nama Badan Kebajikan Jemaah Khaujakan Johor dengan No.Pendaftaran 473 (Johor).[9] Tuan Guru Haji Othman Azhari turut menyusun beberapa buah buku risalah wirid Khaujakan dan beberapa buah buku lain bagi memudahkan ahli pertubuhan mengamalkan wirid dan membuat rujukan bacaan.[10] Wirid Khaujakan yang asal adalah panjang, tetapi setelah diringkaskan oleh Tuan Guru Haji Othman, wirid tersebut boleh diselesaikan dalam masa sekitar 45 minit. Tuan Guru Haji Othman meringkaskan wirid itu setelah melakukan istikharah.[11] Tuan Guru Haji Othman Azhari selaku Yang DiPertua persatuan telah memimpin ahli-ahlinya sehingga satu ketika jumlah ahlinya mencecah lebih 20,000 orang.Setelah memimpin pertubuhan ini selama 24 tahun Tuan Guru Haji Othman Azhari menyerahkan pimpinan pertubuhan ini kepada timbalannya. Pada tanggal 23 haribulan Jun 1995 beliau wafat pada usianya 80 tahun dan di kebumikan di tanah perkuburan Batu 2 Jalan Bakri, Muar Johor.[12] Kini, persatuan Khaujakan dipimpin oleh Ustaz Haji Ahmad bin Tunggal.



Syeikh Fadhil Banten dalam kenangan



Tuan Guru Haji Othman Azhari, pengasas persatuan Khaujakan




[1] Masjid Jame’ Lenga
[2] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2004. Sheikh Fadhil Banten - Penyebar wirid Khaujakan di Johor. Utusan Malaysia. Terbit pada 17 Mei 2004. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0517&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive

[3] Rujuk http://khaujakan.faziliaton.com/index.php?option=com_content&task=view&id=16&Itemid=27. Dicapai pada 8 Ogos 2009

[4] Rujuk http://khaujakan.faziliaton.com/index.php?option=com_content&task=view&id=16&Itemid=27. Dicapai pada 8 Ogos 2009

[5] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2004. Sheikh Fadhil Banten - Penyebar wirid Khaujakan di Johor. Utusan Malaysia. Terbit pada 17 Mei 2004. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0517&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive

[6] Rujuk http://khaujakan.faziliaton.com/index.php?option=com_content&task=view&id=12&Itemid=26. Dicapai pada 8 Ogos 2009

[7] Rujuk http://khaujakan.faziliaton.com/index.php?option=com_content&task=view&id=12&Itemid=26. Dicapai pada 8 Ogos 2009
[8] Rujuk http://khaujakan.faziliaton.com/index.php?option=com_content&task=view&id=12&Itemid=26. Dicapai pada 8 Ogos 2009
[9] Rujuk http://khaujakan.faziliaton.com/index.php?option=com_content&task=view&id=12&Itemid=26. Dicapai pada 8 Ogos 2009
[10] Rujuk http://khaujakan.faziliaton.com/index.php?option=com_content&task=view&id=12&Itemid=26. Dicapai pada 8 Ogos 2009
[11] Rujuk http://khaujakan.faziliaton.com/index.php?option=com_content&task=view&id=16&Itemid=27. Dicapai pada 8 Ogos 2009

[12] Rujuk http://khaujakan.faziliaton.com/index.php?option=com_content&task=view&id=12&Itemid=26. Dicapai pada 8 Ogos 2009

7 comments:

  1. Salam, arwah bapa saya , Mohd Kamal bin Hj Othman adalah anak sulung Allahyarham Ustaz Hj Othman Azhari. Saya sedang mengumpul kan susur galur keluarga ini. Di harap sesiapa yang Ada pertalian keluarga dengan tokoh diatas dapat mengirim email kepada saya. Terima kasih.
    hafiz@refined-edge.com

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam, sy antara pengikut wirid khaujakan satu ketika dlu, bersma allahyarham pak lah di majidee jhr, sy pernah ketemu ustaz othman azahari ini di muar di terataknya.. Bole sy dpt no tuan

      Delete
    2. Whatsapp saya dulu ye tuan, 0136308472 hafiz

      Delete
  2. ALHAMDULILLAH, KAMI PENGAMAL THARIQAT QODIRIYYAH WA NAQSYABANDIYYAH BERDOMISI DI KOTA PALEMBANG SUMATERA SELATAN, MURSYID SAYA ADALAH SALAH SATU CICIT DARI SYAIKH ZARKASYI PURWOREJO JAWA TENGAH YAKNI HADRATUSY SYAIKH ACHMAD CHALWANI BIN SYAIKH NAWAWI BIN SYAIKH SHIDDIEQ BIN SYAIKH ZARKASYI RHA.BAHKAN DI BATU PAHAT JOHOR MALYSIA ADA SEORANG KHALIFAH DARI SYAIKH ZARKASYI YG DIANGKAT MENJADI MUSRYID THARIQAT ATAS PERMINTAAN KERAJAAN JOHOR MALAYSIA YAKNI SYAIKH HAJI SIRAJ (1911 M).
    SYAIKH HAJI SIRAJ BERHASIL MENGEMBANGKAN TQN DIBANTU PARA BADAL DAN KHALIFAHNYA AL:
    1 .SYAIKH AFFANDI SELAT PANJANG
    2 .SYAIKH HUSEIN PARIT CILACAP INDONESIA
    3 .SYAIKH MASDUQI KUBU GAJAH MALAKA
    4 .SYAIKH HASBULLAH PONTIAN JOHOR
    SEKARANG PERKEMBANGAN TQN DI BAWAH PIMPINAN KHOLIFAH2 DARI KE-4 YAIKH KHOLIFAH DARI SYAIKH SIRAJ.
    SYAIKH ZARKASYI RHA TELAH MENGANGKAT MURSYID SBG KHOLIFAH2NYA AL:
    1.SYAIKH SIRAJ BATU PAHAT MALAYSIA
    2.SYAIKH ZARKASYI MAGELANG JAWA TENGAH INDONESISA
    3.SYAIKH SHIDDIEQ (PUTRA SYAIKH ZARKASYI)
    4.SYAIKH MUNIR (PUTRA SYAIKH ZARKASYI)
    5.SYAIKH UMAR PAYAMAN MAGELANG INDONESIA
    6.SYAIKH MUDZAKIR MAGELANG INDONESIA
    7.SYAIKH ALI MASKURO SRUMBUNG MAGELANG
    DIAMBIL DARI BUKU MENGENAL KH.NAWAWI BERJAN PURWOREJO JAWA TERNGAH, KH.NAWAWI ADALAH CUCU SYAIKH ZARKASYI JG AYAHANDA SYAIKH ACHMAD CHALWANI AL-QODIRI AN-NAQSYABANDI
    SYUKRON KATSIRON BY MIFTAH (MY FACEBOOK = MIFTHA TAREKAT BERJAN KASNO,PWJATMANNUSUMSEL)

    ReplyDelete
  3. Walaupun x merasa melihat dan hidup dengan Syeikh Fadhil, Tetapi saya dapat mempelajari dan amalkan wirid khaujakan apabila mengalami kesukaran hidup sepanjang melakukan kerja seharian saya. Apabila mengamalkan wirid khaujakan tersebut, terasa tenang melakukan sesuatu perkerjaan. Terima kasih Allah, terima kasih Almarhum Syeikh Kiyai Haji Fadhil bin Haji Abu Bakar al-Banten. #moyangsaya
    #Lengakampungku

    ReplyDelete
    Replies
    1. Asslkm Tn Hj, saya ada mendengar ttng wirid ini, dan telah memperolehi buku wirid ini, tetapi saya tak dpt mengamalkannya sbb tanpa guru yg muktabar. Mohon Tn Hj beritahu saya dimana Tn Guru2 ini berada di Batu Pahat. Terima kasih

      Delete
    2. This comment has been removed by the author.

      Delete