Friday, November 27, 2009

Syeikh Abdur Rahman Shiddiq al-Banjari Mufti Inderagiri

Syeikh Abdur Rahman Shiddiq bin Muhammad 'Afif adalah merupakan ulama besar berketurunan dari Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari. Ulama besar ini mendapat pendidikan di tempat asalnya iaitu di Dalam Pagar, Martapura sebelum meneruskan pengajiannya di Makkah. Beliau berangkat ke Makkah untuk mendalami pengajian agama dalam usianya 20-30 tahun antara tahun 1882/1883 Masehi hingga tahun 1889 Masehi. Di Makkah, beliau mempelajari ilmu-ilmu agama Islam dengan ulama-ulama terkemuka seperti Syeikh Sayid Bakri al-Shata', Syeikh Sayid Bahasyil dan Syeikh Nawawi Banten. Setelah belajar di Makkah selama lebih kurang 5 tahun, beliau telah dianugerahkan oleh gurunya, Syeikh Sayid Bakri al-Shata dengan gelaran ash-Shiddiq yang terus lekat pada namanya hingga ke akhir hayatnya. Gelaran itu adalah berdasarkan penguasaannya yang meluas dalam ilmu-ilmu Islam yang ditekuninya disamping kewarakan akhlaknya yang terpuji. Walaupun ia telah mendapat pengiktirafan dari gurunya di Makkah, beliau tetap ingin menambah ilmu dan berhasrat hendak menimba ilmu di Madinah pula. Kemungkinan besar beliau kembali ke Martapura antara tahun 1890/1891 hingga tahun 1897. Tidak berapa lama selepas itu, beliau mua berhasrat untuk berhijrah ke Sumatera. Tempat yang ditujunya ialah Bangka. Beliau tinggal di Bangka selama 15 tahun dan kemudian berpindah ke Inderagiri antara tahun 1909 M hingga tahun 1912 M. Beliau mengabdikan dirinya didalam Kerajaan Inderagiri setelah diangkat oleh Sultan Mahmud Shah (Raja Muda) menjadi Mufti Kerajaan Inderagiri dari tahun 1919 M hingga 1939 M yang berkedudukan di. Rengat.[1] Murid-muridnya sangat ramai termasuklah Singapura, Malaysia, Jambi, Palembang dan Kalimantan. Ketika hayatnya, beliau dikenali sebagai Pujangga dan Sasterawan kerana banyak mengarang buku sastera selain mengarang kitab agama. Syeikh Abdurrahman yang dilahirkan pada tahun 1857 M/ 1284 H wafat di Parit Hidayat, Sapat, Kecamatan Kuala Inderagiri pada 10 Mac 1939.[2] Peninggalan Syeikh Abdur Rahman yang terkenal adalah masjid yang dibangunnya sendiri pada tahun 1927. Masjid ini mempunyai senibina unik yang terserlah pada atapnya dan lokasinya adalah kira-kira 200 meter dari makamnya.
Antara karya penulisannya ialah
1. Fathu al'Alim fi Tartib al Ta'lim, diterbitkan di Singapura, Matba'ah Ahmadiah, 1322.
2. Risalah 'Amal Ma'rifah, diterbitkan di Singapura : Matba'ah Ahmadiah, 1322.
3. Majmu' al Ayah wa al Hadist fi fada-il al ilmi wa al 'ulama wa al Muta'allimin wa al Mustami'in, Singapura : Matba'ah Ahmadiah, 1355.
4. Kitab Asrar al Sholat min Uddat al Kutub al Mu'tamadah, selesai ditulis tahun 1334/1915, diterbitkan di Singapura: Matba'ah Ahmadiah, 1931.
5. Risalah Sejarah Arsyadiah, Singapura : Matba'ah Ahmadiah, 1354
6. Tazkirah li Nafsi wa li Amtsali, Singapura : Matba'ah Ahmadiah, 1354.
7. Kitab al Fara-id, Singapura: Matba'al Ikhwan, 1338.
8. Sejarah Perkembangan Islam di Kerajaan Banjar, Singapura: Matba'ah Ahmadiah, 1355.
9. Bay'u al Hayawan li al Kafirin, Singapura: dikeluarkan oleh Matba'ah Ahmadiah, 1355
10. 'Aqaid al Iman, selesai ditulis pada tahun 1919 dan diterbitkan di Banjarmasin
11. Syair Ibarat Khabar Kiamat, Dicetak di Singapura oleh Matba'ah Ahmadiah, tahun 1344. Kitab ini telah didaftar oleh Pemerintah Inggeris di Singapura pada 1 Julai 1915/1344[3]

Syeikh Abdur Rahman banyak menukilkan bab-bab tasawwuf didalam tulisannya. Beliau sangat menekankan tasawwuf akhlak. Pentingnya akhlak itu adalah kerana ia berkaitan dengan hati dan mempengaruhi tingkah laku. Akhlak yang baik melahirkan jiwa yang bebas dari pengaruh hawa nafsu sebaliknya sebaliknya akhlak yang tercela akan melahirkan jiwa yang dipengaruhi oleh hawa nafsu. Komponen akhlak itu adalah seperti berikut,
1. Tafakkur dan Taubah
Tafakkur merujuk kepada proses berfikir yang mengandungi pengakuan dan penyesalan terhadap kesalahan-kesalahan serta bertaubat dari segala dosa. Cara bertafakur menurut Syeikh Abdur Rahman adalah dengan membaca kalimah syahadah secara perlahan-lahan dan menghayati maknanya. Selanjutnya melakukan tiga perkara dalam tafakkur iaitu ‘Ibrah - mencari-cari kesalahan diri sendiri, menyesalinya, dan berjanji tidak akan melakukan perbuatan-perbuatan itu lagi. Khauf - takut akan murka Allah dan seksa-Nya serta takut tidak diterima amalnya dan Raja’ - berharap akan rahmat dan ampunan Allah serta berharap akan diterima segala amalannya.
2. Al-Zuhd
Kehidupan yang kekal adalah kehidupan di akhirat sedangkan kehidupan di dunia harus dijadikan bekal ke akhirat. Syeikh Abdur Rahman memperingatkan agar hidup ini jangan tertipu dan terpedaya dengan dunia.
3. Tawakkal
Tawakkal adalah penyerahan diri iaitu rela terhadap apa yang dikehendaki Allah swt.
4. Sabar
Sabar yang dimaksudkan disini ialah sabar dalam menggunakan nikmat, sabar dalam melakukan ketaatan dan menjauhi kemaksiatan dan sabar dalam menghadapi cabaran atau hal-hal yang tidak diingini. Sifat sabar mendatangkan banyak manfaat sebaliknya orang yang tidak mempunyai sifat sabar akan mudah dihinggapi sifat marah. Menurut Syeikh Abdur Rahman, orang yang dihinggapi dengan sifat marah adalah orang yang rugi. Pertama, hilang akal dan keseimbangan jiwa, sehingga salah dalam membuat keputusan atau mengambil tindakan. Kedua, hilangnya atau berkurangnya iman seseorang. Ketiga, kehilangan sahabat.
5. Ikhlas dan menjauhi riak
Ikhlas adalah bersih amal kepada Allah, dan sifat ini merupakan syarat untuk mendapatkan pahala amal ibadah. Syeikh Abdur Rahman membahagikan ikhlas kepada dua iaitu ikhlas al-abrar dan ikhlas al-muqarrabin. Ikhlas al-abrar merujuk kepada seseorang yang beramal semata-mata menjunjung perintah Allah SWT. tanpa mengharapkan apapun selain daripada Allah, termasuk tidak mengharapkan syurga dan juga tidak memohon dijauhkan dari api neraka. Sedangkan ikhlas al-muqarrabin merujuk kepada seseorang yang beramal tetapi tidak mengakui dan tidak merasakan bahawa amalan-amalan itu sebagai usaha ikhtiarnya bahkan dalam ma’rifatnya semuanya itu adalah semata-mata amalan Allah dan atas taufik-Nya. Ikhlas al-abrar disebut ikhlas li Allah (ikhlas kerana Allah) manakala ikhlas al-muqarrabin disebut ikhlas bi Allah (ikhlas dengan pertolongan Allah). Ikhlas al-muqarrabin merupakan pengertian ikhlas menurut pandangan ulama tasawwuf di mana para sufi menyebutkan bahawa ikhlas peringkat pertama adalah melepaskan diri dari daya upaya dan apabila keikhlasan itu sampai pada peringkat kedua maka ia akan terhindar dari sifat riak, ‘ujub, dan sum’ah. Riak ada dua iaitu riak jali (yang nyata) dan riak khafi (yang tersembunyi). Riak jali adalah seseorang beramal di hadapan orang lain, tetapi apabila ia bersendirian amalan itu tidak dikerjakannya manakala riak khafi pula ialah seseorang beramal baik di hadapan orang lain ataupun tidak, tetapi dia suka kalau mereka berada di hadapannya. Sum’ah adalah seseorang itu beramal sendirian kemudian dia mengkhabarkannya kepada orang lain, supaya mereka membesarkannya atau supaya dia mendapat kebajikan dari mereka. Adapun ‘ujub adalah seseorang merasa takjub atas kepandaian dan kehebatannya. Sebagai contoh, seorang ‘abid merasa kagum dengan ibadahnya, atau seorang alim merasa kagum dengan ilmunya.
6. Tawadhu’ dan menjauhi takabbur.
Sifat tawadhu’ menunjukkan adanya keluasan akal dan pandangan sebaliknya sifat takabbur menunjukkan sempitnya akal fikiran. Syeikh Abdur Rahman menegaskan bahawa sifat takabur sangat dilarang oleh Allah swt. Orang yang takabbur dikatakannya sebagai seorang yang celaka, dan disebabkan kecelakaannya itu maka ia akan dimasukkan ke dalam api neraka.
7. Syukur dan Redha
Syukur merujuk kepada menggunakan nikmat yang diperolehi pada jalan yang diredhai Allah swt. Manusia harus mensyukuri pemberian Allah, redha terhadap ketentuan-Nya, serta bersabar menghadapi cabaran. Oleh sebab itu maka seseorang haruslah husn al-zhan kepada Allah. Syeikh Abdur Rahman membahagikan husn al-zhan kepada empat bahagian. Pertama, seseorang bersangka bahawa Allah mengasihinya. Kedua, bersangka bahawa Allah mengetahui akan segala kesalahannya. Ketiga, bersangka bahawa Allah mengampuni segala dosanya. Dan keempat, bersangka bahwa segala yang tersebut itu mudah bagi Allah swt.
8. Shiddiq
Sifat shiddiq (benar) ini sangat penting dalam kehidupan sehari-hari iaitu berkata benar dalam segala ucapan dan perbuatan.
9. Mahabbah
Menurut Syeikh Abdur Rahman, antara syarat-syarat sah iman itu, di antaranya adalah mencintai akan Allah swt dan mencintai Nabi saw. Mahabbah kepada Allah adalah dengan sentiasa melakukan tafakkur dan zikrullah.
10. Zikr al-Maut
Mengingati maut menjadi pendorong kepada seseorang untuk bekerja keras melakukan hal-hal yang menguntungkan dan menghindari hal-hal yang merugikannya di alam akhirat.





Almarhum Syeikh Abdur Rahman Shiddiq al-Banjari


Kedudukan Inderagiri di Alam Melayu (dari Google Maps)


Makam Syeikh Abdur Rahman (yang berdinding penuh)



Makam Syeikh Abdur Rahman dibahagian dalam

No comments:

Post a Comment