Thursday, November 19, 2009

Tuan Guru Haji Ali Pakar Ilmu Nahu dan Sorof

Almarhum Tuan Guru Haji Ali

Negeri Sembilan tidak ketandusan melahirkan ulama berkaliber yang namanya terkenal diseluruh Alam Melayu. Salah seorang darinya ialah almarhum Tuan Guru Haji Ali. Beliau mengasaskan sebuah pondok yang terletak di Siliau[1] kira-kira 5 km dari pekan Rantau. Nama lengkap ulama besar ini ialah Haji Ahmad @ Ali Bin Haji Musa. Beliau dilahirkan dalam tahun 1926[2] dan merupakan anak jati Siliau. Bondanya bernama Jumah Binti Pawang Jali. Tuan Guru Haji Ali pernah berkahwin sebanyak tiga kali. Isteri pertamanya orang tempatan, kedua dari Seremban dan terakhir dengan gadis Kelantan. Beliau memperolehi ramai anak hasil perkahwinan dengan isteri-isterinya itu.
Dalam usia yang masih muda, Tuan Guru Haji Ali mula menimba ilmu kepada Tuan Syeikh Ahmad Said yang memegang jawatan Mufti Negeri Sembilan di Pondok Rasah, Seremban lebih kurang 5 tahun dalam tahun 1930-an. Dari gurunya itulah beliau mewarisi amalan tariqat Ahmadiah. Selepas itu beliau diriwayatkan memondok pula di Padang Rengas, Perak dan terakhir di Pendang, Kedah. Tuan Guru Haji Ali dikatakan pernah mengajar di Pondok Tanah Merah, Pendang iaitu berdekatan dengan Pekan Pendang sekarang selama 5 tahun sebelum pulang ke kampung halamannya. Diriwayatkan bahawa sebab-musabab beliau berhenti mengajar ialah kerana beliau tidak mahu menerima gaji dan sebelum itu guru-guru pondok hanya menerima infak dari kutipan zakat sahaja. Beliau amat berhati-hati dalam menerima pemberian atau mencari rezeki.
Beliau membuka pondok di kampung halamannya sendiri iaitu di Siliau. Pondok ini diberi nama Madrasah ad-Dhuafa’ wal-Masakin. Pondok ini dipercayai dibuka pada awal tahun 1970-an. Kealiman beliau dalam bidang agama segera dihidu oleh para penuntut yang dahagakan ilmu. Dalam masa yang singkat, penuntut-penuntut dari seluruh pelusuk negeri termasuklah Sabah, Sarawak dan Indonesia datang membanjiri pondoknya. Ramai kalangan anak muridnya berjaya melanjutkan pelajaran di pusat pengajian dalam dan luar negara seperti di Aceh, Mesir, Madinah, Yaman dan Jordan. Keahlian beliau dalam bidang sorof nahu bahasa Arab menyebabkan namanya dikenali sehingga ke universiti-universiti di Tumur Tengah ini. Bahkan ada pensyarah yang menyarankan penuntut-penuntut Melayu yang lemah menguasai Bahasa Arab supaya balik belajar dengan Tuan Guru ini. Kitab yang perlu dihadam oleh pelajarnya ialah Syarah Mukhtasar Jiddan‘, Matan Maqsud, imla’ dan insya’. Tuan Guru mengajar ‘Undang-undang Nahu’ dan I’rab al-Quran disebelah pagi dari jam 9 hingga 10 pagi. Kemudian pelajar-pelajar disuruh membuat ulangkaji. Selepas Maghrib, warga pondok akan meratib hingga ke waktu Isya’. Ratib yang dibaca adalah berasaskan amalan Tariqat Ahmadiah yang sangat terkenal di N.Sembilan. Kemuncak ‘Ya Latif‘ bergema di tengah kawasan ladang getah itu. Kebiasaannya selepas Isyak, Tuan Guru akan mengajar ilmu tasawwuf. Tanpa kitab, beliau hanya membuat lakaran di papan hijau, lalu mensyarahkan apa yang dilakar.
Tuan Guru Haji Ali mengajar dengan ikhlas dan gigih dalam usaha menyebarkan ilmu agama. Beliau mengajar bersendirian dari pagi hingga ke malam sehingga dikatakan dalam keadaan sakit dan berbaring pun beliau masih berkeinginan untuk terus mengajar. Penuntut yang datang berguru dengannya bukan sahaja dari kalangan penuntut pengajian agama tetapi juga penuntut yang tidak mempunyai latar belakang dalam jurusan pengajian agama. Kesemua penuntut yang datang ke pondoknya diasuh dengan tangannya sendiri sehingga mereka benar-benar dapat menguasai ilmu dengan baik.
Selain mengajar di pondok, beliau juga mengawasi gerak-geri anak murid agar tidak melanggar peraturan. Tujuannya adalah untuk memastikan anak muridnya benar-benar menghayati tuntutan agama dan faham bahawa agama itu merangkumi seluruh kehidupan bukannya setakat ilmu yang dipelajari didalam kelas sahaja. Beliau akan mendenda sesiapa yang dijumpai merokok di kawasan pondok. Jika terserempak, alamatnya mereka akan dipaksa memikul puntung rokok tersebut. Kegigihannya dalam mengajar agama ini dikagumi ramai orang. Manakan tidak, beliau mengajar secara bersendirian dan pada masa yang sama perlu mengawasi anak-anak muridnya menjalani kehidupan harian di pondok. Ketika ditanya tentang rahsia atau petua bagaimana beliau boleh mengendalikan pondoknya itu, Tuan Guru yang warak ini hanya mengulang perkataan “ senang” beberapa kali dan diakhir dengan “..sabar..”. Itulah jawapan yang ringkas dan bersahaja keluar dari mulutnya. Mungkin dengan berkat kesabaran itulah, beliau berjaya mengendalikan pondok tanpa berhadapan dengan banyak masalah.
Melalui perkhabaran mereka yang pernah berguru dengan beliau, mereka mengatakan bahawa Tuan Guru Haji Ali seolah-olah dapat membaca persoalan yang bermain dalam fikiran anak muridnya dan beliau akan menjawab atau menghuraikan permasalahan tersebut dengan jelas. Beliau mampu mengajar tanpa buku atau nota di tangan dan berupaya mengawasi penuntutnya seramai 98 orang dalam suatu masa. Tuan Guru Haji Ali lazimnya akan menentukan tempat pengajian lanjutan untuk anak-anak muridnya. Jika beliau merasakan mereka berkebolehan untuk membuka pondok maka diarahkannya pergi menuntut di Makkah. Sebaliknya jika terfikir untuk makan gaji maka disuruhnya ke Mesir dan lain-lain tempat. Murid-murid yang berangkat ke Makkah akan menadah kitab dengan ulama tertentu disana. Pengajian dijalankan secara terbuka dan ada kalangan ulama tersebut seolah-olah telah diberitahu oleh Tuan Guru Haji Ali tentang kedatangan anak murid beliau. Antara guru yang mengajar di Mekah ini ialah Syeikh Abdullah Mas’ud yang berasal dari Petani. Beliau menetap di Makkah sejak umurnya 8 tahun setelah mengikut datuknya. Guru berikutnya ialah Syeikh Muhamad Sedawa al-Fathani dan Syeikh Abdul Hamid Naimul Azmi dari Indonesia. Kesemua guru yang disebut ini adalah pengamal tariqat Ahmadiah yang sejalan amalan dengan Tuan Guru Haji Ali. Tuan Guru Haji Ali dikurniakan beberapa karamah. Antara karamah beliau,
1. Ramai orang kampung dan anak muridnya yang menunaikan fardhu haji terserempak dengan beliau di tanah suci sedangkan beliau tidak termasuk kalangan jamaah haji musim tersebut. Allahyarham juga dikatakan boleh hadir di suatu tempat yang jauh tanpa menaiki kenderaan
2. Sebelum hari kematiannya, beliau ada memberitahu murid-muridnya bahawa ada tetamu telah datang menjemputnya. Salah seorang muridnya berada di sisinya ketika beliau sedang di ambang sarakatul maut. Murid-muridnya dapat melihat dengan jelas lidah Haji Ali bagai kaca yang berkilau. Ratib zikirullah dapat didengari keluar dari lehernya.
3. Malam hari kematiannya, hujan turun dengan lebat. Banyak kawasan yang tidak pernah banjir telah dinaiki air. Beberapa orang muridnya telah menyaksikan pokok-pokok kayu rebah ke bumi ketika mereka memandu kereta untuk membuat laporan kematian di Balai Polis Rantau, tetapi anehnya apabila dalam perjalanan pulang tiada pula pokok-pokok yang tumbang. Terdapat juga dakwaan melihat buaya-buaya Sungai Linggi naik ke tebing sungai. Pendek kata terdapat perkara-perkara pelik tapi benar telah berlaku di hari kematian Tuan Guru yang warak ini.
Tuan Guru Haji Ahmad @ Ali bin Haji Musa berpulang ke rahmatullah pada tanggal 1 April 1998 dalam usia 74 tahun. Ketika hayatnya, Tuan Guru Haji Ali dikatakan ada menghasilkan beberapa kitab antaranya ialah kitab terjemahan/ tafsir Al Quran berkenaan dengan Surah al-Waqiah, kitab tentang kaedah nahu Bahasa Arab (dalam tulisan jawi) dan kitab berkaitan tasawuf. Kitab-kitab tersebut dipercayai tidak dicetak sebaliknya ditulis tangan. Kitab-kitab ini kemudiannya dipinjam atau berpindah tangan di kalangan anak-anak muridnya. Pondok tuan guru kini ditadbir oleh anaknya iaitu Ustaz Mohshin bin Haji Ali. Beliau pernah menimba ilmu di India dan Mesir. Pondok tersebut yang kini dikenali dengan nama Yayasan Pengajian Tinggi Bahasa Arab Dan Agama Islam Haji Ali Riaadud Duafaai Wal Masakin (YPTHA) kini menawarkan program Diploma dan lulusan dari institusi ini berpeluang melanjutkan pengajian ke Timur Tengah.


Tuan Guru Haji Ali setelah selesai mengajar


Keratan akhbar yang melaporkan berita berpulangnya Tuan Haji Ali ke rahmatullah

Rujukan utama
1. http://lebaikampung.blogspot.com/2007/02/haji-ali-bin-haji-musa-1926-1998.html. Dicapai pada 19 November 2009
2. http://pondokhajiali.blogspot.com/. Dicapai pada 19 November 2009

3. http://www.niknasri.com/?p=1365. Dicapai pada 19 November 2009

[1] Kampung Siliau terletak dalam Mukim Rantau dan kedudukannya adalah berhampiran dengan Linggi yang banyak melahirkan ulama terbilang.
[2] Catatan Jabatan Muzium Negeri Sembilan menyebut bahawa beliau dilahirkan pada tahun 1923. Wallahualam. Boleh rujuk di http://www.ns.gov.my/jabatan/muzium/index.php?option=com_content&task=view&id=33&Itemid=37. Dicapai pada 19 November 2009

1 comment: