Friday, November 20, 2009

Tuan Guru Haji Ibrahim Ulama dan Pendidik yang dihormati

Almarhum Tuan Guru Haji Ibrahim bin Mohd Dahan (1907-1997)

Salah seorang ulama besar yang berasal dari Negeri Sembilan yang sempat menimba ilmu dengan Tok Kenali ialah almarhum Tuan Guru Haji Ibrahim Mohd Dahan. Beliau sempat menggurui tokoh ulama Tanah Melayu yang sangat terkenal itu selama beberapa tahun sehingga tokoh itu meninggal dunia. Dengan Tok Kenali, beliau beroleh ilmu nahu, ilmu sorof, dan ilmu-ilmu Arabiyah yang lain. Selain dari Tok Kenali, beliau turut berguru dengan tokoh ulama yang lain sepanjang berada di Kelantan selama beberapa tahun. Antaranya ialah seperti Tuan Guru Haji Ya’qub Legor dalam bidang Fiqh dan Hadith, Haji Wan Musa dalam bidang Tasawwuf, Haji ‘Umar Sungai Keladi dalam bidang Falak, Haji Sa’ad Kangkung, Haji Ali Pulau Pisang, Haji ‘Abdullah Thahir, Haji Ahmad Hakim, Haji Ya’qub Lorong Gajah Mati dan Haji Nik Mat Nazhir. Sebenarnya sebelum ke Kelantan, beliau terlebih dahulu bermusafir ke Kedah sekitar tahun 1925 untuk menimba ilmu dengan Syeikhul Islam Kedah pada masa itu iaitu Syeikh Wan Sulaiman bin Wan Shiddiq. Dengan Syeikh Wan Sulaiman, beliau banyak mendapat ilmu dalam bidang falak. Putera kepada Encik Mohd Dahan bin Hassan dan Puan Lijah Binti Mohd Arshad ini pada usia kecilnya mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Salak dalam tahun 1916- 1922 dengan kelulusan darjah 5. Pada masa yang sama, beliau belajar al-Quran dengan Tuan Mumkin Dhahir bin Darus dan kemudian mendalami ilmu tajwid dengan Tuan Haji Muhamad Haji Mustafi. Pengajian kitab-kitab dan Bahasa Arab diikutinya dengan menadah kitab kepada Tuan Guru Haji Mustaffa Haji Mohamad di beberapa tempat seperti di surau Pekan Chengkau, Masjid Seri Lemak dan Masjid Pekan Rembau. Diriwayatkan beliau bertemu jodoh ketika memondok di Kelantan. Tuan Guru bertemu jodoh dengan Hajah Esah binti Ujang pada tahun 1933 dan dikurniakan dengan 13 orang anak. Setelah gurunya, Tok Kenali meninggal dunia pada 9 November 1933, beliau pulang ke Rembau pada akhir tahun 1935 dan mula mengajar. Tidak lama selepas itu, beliau membuka pondok di Kampung Bongek. Selain mengajar dipondoknya, beliau juga diminta mengajar dibeberapa surau dan masjid di Tampin dan Johol. Bagi memastikan ilmu disalurkan secara tersusun, beliau menubuhkan Madrasah Islamiah Bongek dalam tahun 1946. Diriwayatkan setiap tahun bermula dari tahun ia ditubuhkan hingga ke tahun 1959, madrasah tersebut mengadakan majlis ihtifal. Ramai tokoh terkenal agama dan politik hadir ke majlis itu termasuklah Tuan Haji Ahmad Fuad, Profesor Zulkifli Muhammad, Doktor Burhanudin al-Helmi dan Ustaz Mohd Fadhlullah Suhaimi.
Pada tahun 1949, Tuan Guru berangkat ke Makkah untuk menunaikan fardhu haji. Pada masa yang sama, beliau turut mengambil kesempatan yang ada untuk menadah kitab dengan beberapa ulama terkenal disana. Beliau sempat belajar kitab Ahzab dan mengambil Tariqat Ahmadiah dari Tuan Guru Shafie Kedah. Sebenarnya ketika belajar di Kelantan lagi, beliau telah menerima tariqat ini dari Haji Wan Musa anak kepada Tuan Tabal[1] yang sangat terkenal itu. Dengan Tuan Guru Shafie Kedah, beliau telah diberi ijazah dan ditauliah untuk mengajar amalan tersebut. Beliau turut menerima ijazah salawat Dalail al-Khairat. Selain Tuan Guru Shafie Kedah, beliau sempat menggurui Tuan Guru Sulaiman Ambon. Selain mengajar di pondok, Tuan Guru pernah menyampaikan ilmu di sekolah kerajaan seperti di Sekolah Menengah Undang Rembau dari tahun 1962 hingga 1968. Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai penguatkuasa zakat fitrah baitulmal di Majlis Agama Islam Negeri Sembilan. Tuan Guru sekali lagi berangkat ke Makkah pada tahun 1974 untuk menunaikan haji. Kali ini, beliau turut membuat lawatan ke negara-negara lain seperti Mesir, Turki dan India. Sebagai seorang ulama dan pendidik yang berwibawa, sumbangan beliau bukanlah sedikit. Antaranya ialah seperti,
1. Sangat gigih berdakwah. Tempat mana yang tidak pernah dipijaknya di Negeri Sembilan dalam usaha menyampaikan ilmu agama. Masjid yang sering menjadi persinggahan beliau ialah Masjid Tanggai Johol, Masjid Bandar Gemas dan Masjid di daerah Rembau. Beliau tidak sesekali menghiraukan jumlah khalayak yang hadir dalam majlis ilmunya. Biarpun khalayak yang hadir itu hanya seramai 3 orang, beliau tetap akan menyampaikan ilmu dengan bersungguh-sungguh kerana baginya itu adalah amanah yang harus dipikul dengan sebaiknya.
2. Kesungguhan beliau dalam menyebarkan ilmu membuahkan hasil apabila ramai anak muridnya yang berjaya menjadi tokoh penting didalam masyarakat seperti imam, bilal, penceramah bebas dan juga pegawai-pegawai agama.
3. Beliau sangat menekankan ketaatan dalam beribadah. Beliau merupakan seorang ‘murobbi’ dan ‘mursyid’ yang mengamalkan apa yang dituturkan. Amalan yang dilakukannya adalah selari dengan ilmu yang disampaikannya. Dengan sebab itu, masyarakat sangat menghormatinya kerana beliau tidak hanya sekadar berteori tetapi juga mempraktikkannya. Tuan Guru Haji Ibrahim sangat taat mengamalkan solat sunat tahajud dan solat sunat dhuha. Beliau juga sangat menitikberatkan tentang kepentingan solat secara berjemaah.
4. Kemasyhuran beliau sebagai ulama yang sangat gigih menyebarkan ilmu secara tidak langsung telah menaikkan nama Rembau sebagai salah sebuah tempat yang aktif dengan aktiviti dakwah. Keupayaan dan kesungguhan beliau menubuhkan madrasah untuk anak watan Rembau memberi kesan yang besar dalam sistem pendidikan beragama khususnya di Negeri Sembilan. Bagi mengenang jasa perkhidmatannya, Tuan Guru pernah dinobatkan sebagai tokoh pengkhidmat masyarakat Daerah Rembau oleh Dato’ Undang Luak Rembau dan Pentadbir Daerah Rembau pada 16 Oktober 1988.
5. Masyarakat Rembau banyak mengambil ilmu dari beliau setelah beliau menubuhkan madrasah dan mengajar disitu. Di madrasah tersebut, beliau mengajar kitab-kitab seperti Minhaj al-‘Abidin, Hikam Ibnu ‘Atha’, Ad-Durr an-Nafis, Taj al-‘Arus dan Sair as-Salikin, Wusyah al-Afrah, Mathla’ al-Badrain, Daqaiq al-Akhbar, Kasyf al-Ghaibiyah dan Matn al-Jauharah. Kitab-kitab yang diajarnya itu meliputi bidang-bidang utama seperti tasawwuf, feqah dan aqidah.
6. Selain mengajar, beliau ada menghasilkan beberapa penulisan untuk dijadikan pedoman dan rujukan kepada pelajar-pelajarnya. Antara penulisan yang dihasilkan oleh beliau ialah Nur al-Aulad (1939 dan dicetak berulang kali pada 1949, 1952, 1963, 1975, 1989 dan 1991), Taqwim Shalat (1954) dan Shalah al-Ghilman fi ‘Ibadah Rabb ar-Rahman (1976)
7. Beliau juga bertanggungjawab menyusun takwim solat yang digunakan di Negeri Sembilan, Melaka, Selangor dan beberapa negeri lain yang masih digunakan sehingga ke hari ini.
Tuan Guru Haji Ibrahim yang dilahirkan pada tahun 1907 telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 3 Ogos 1997. Madrasah Al-Islamiah yang didirikan di atas tanah kepunyaan Tuan Guru Haji Ibrahim dengan perbelanjaan sendiri dan derma dari orang ramai masih berfungsi dengan baik demi meneruskan cita-cita dan usaha murni beliau. Kini, madrasah tersebut telah diteruskan oleh cucu beliau sendiri, iaitu Al-Fadhil Ustaz Haji Mohd Khairuddin bin Haji Yusoff. Pada hari ini, madrasah yang diasaskan oleh beliau masih berfungsi sebagai pusat kegiatan agama yang aktif. Di samping kelas dewasa, kelas-kelas Fardu Ain untuk kanak-kanak juga masih bergerak sejak tahun 1957. Pada masa ini madrasah berkenaan dikenali dengan nama Sekolah Rendah Agama Rakyat Haji Ibrahim.
Rujukan utama
http://lebaikampung.blogspot.com/2007/01/tuan-guru-haji-ibrahim-mohd-dahan-1907.html. Dicapai pada 19 November 2009
http://www.yadim.com.my/Ulama/UlamaFull.asp?Id=154. Dicapai pada 19 Nov 2009
http://madrasahbongek.blogspot.com/2008/01/tuan-guru-haji-ibrahim-rembau.html. Dicapai pada 19 November 2009

[1] Nama lengkapnya ialah Syeikh Abdus Samad al-Kalantani




No comments:

Post a Comment