Tuesday, November 19, 2013

Shaykh Wan Muhammad Guru Istana Perak


Tokoh ulama yang dianggap sangat berpengaruh dalam istana Perak setelah Perak menerima kemasukan Residen British ialah Haji Wan Muhammad Wan Hussain. Tokoh ini bagaimanapun bukanlah anak jati Perak sebaliknya berasal dari negeri Kelantan dan mempunyai susur galur keturunan yang berdiam di Patani. Atas sebab itu, ia turut memakai laqab Fathani menandakan asal-usulnya dari tempat yang melahirkan ramai ulama terkemuka di rantau ini. Walaupun tidak berasal dari negeri Perak, namun hampir separuh usianya dihabiskan di negeri tersebut hinggalah ia tutup usia pada tahgun 1929. Nama penuh tokoh ini ialah Haji Wan Muhammad @ Ahmad bin Haji Wan Hussain bin Haji Wan Muhammad Nur Marbo al-Fathani. Nama Marbo atau Merebo adalah merujuk kepada sebuah tempat di Patani yang merupakan asal-usul datuk neneknya. Datuk neneknya kemudian berhijrah ke negeri Kelantan lalu membuka sebuah tempat di Pasir Puteh. Tempat itu juga kemudiannya dikenali sebagai Merbol, Pasir Putih, Kelantan sempena nama Marbo di Patani. Tokoh ini dilahirkan di Kampung Saring yang terletak dalam Mukim Merbol, Pasir Puteh sekitar tahun 1848M/1264H. Jika benarlah tahun kelahiran tersebut, bermakna ia sezaman dengan seorang lagi tokoh ulama yang turut menyumbang bakti di negeri Perak iaitu Shaykh Muhammad Saleh al-Minangkabawi. Dari segi tahun meninggalnya, Shaykh Wan Muhammad diriwayatkan berpulang ke Rahmatullah pada hari Rabu, 11 Jumadil Akhir 1348 H/13 November 1929M, riwayat lain menyebut pada 11 November 1929M.[1]

Pendidikan

Shaykh Wan Muhammad dipercayai mendapat pendidikan awal dari seorang lagi ulama besar Patani yang bermastautin di negeri Terengganu iaitu Tuan Hasan Besut[2] (nama penuhnya ialah Shaykh Wan Hasan bin Wan Ishaq al-Fathani).  Selanjutnya ia menimba ilmu kepada Tuan Pangkalan Tangga (nama penuhnya ialah Wan Ismail bin Wan Ahmad al-Fathani)[3] dan Sayyid Abdus Salam. Belum puas dengan ilmu yang dikecapinya, beliau kemudian menyambung pengajiannya ke Makkah dalam usaha mendalami ilmu agama dalam pelbagai bidang. Guru-gurunya di Makkah sangat ramai, antaranya termasuklah Shaykh Ahmad al-Fathani yang sangat masyhur disebut orang di kala itu walaupun umurnya jauh lebih muda daripada beliau.

Ketika di Makkah, beliau berkesempatan berguru dengan Shaykh Uthman Senik, ulama Kelantan yang kemudian menjadi Mufti Kerajaan Pahang. Diriwayatkan Shaykh Wan Muhammad turut mendalami ilmu pendekar atau seni mempertahankan diri namun tidak diketahui dengan jelas dengan siapa ia menimba ilmu tersebut.

Pulang ke tanahair

Selepas sekian lama berada di Makkah, beliau kembali ke Kelantan dengan azam untuk menyebar ilmu kepada anak bangsa. Antara yang bersama-sama dengannya ialah Tok Bachok Pasir Mas, Tok Kemuning Tua, Senik Salleh, Seligi, Pasir Puteh, Muhammad Akib Sharif (Pangkal Gerap, Pasir Mas), Yusuf Husain (Tubir Kubor Gertak Kecupu, Kota Bharu), Nik Wan Daud Wan Sulaiman (Mufti Kerajaan Kelantan pertama) dan Muhammad Said Khatib Jamaluddin (Datuk Sen Diraja). Kesemua tokoh ini berganding bahu menyusun strategi dengan menubuh institusi pondok ditempat masing-masing.

Hijrah

Shaykh Wan Muhammad bagaimanapun tidak lama berada di Kelantan. Diriwayatkan, selepas berlakunya bencana ‘Angin Besar’ yang terjadi sekitar pertengahan tahun 1880-an Shaykh mula berkira-kira untuk berhijrah ke negeri lain. Shaykh cenderung untuk berhijrah ke negeri Perak setelah dipelawa oleh dua orang sahabat karibnya yang telah pun menetap di negeri itu. Salah seorang sahabatnya yang dikenalpasti ialah Tuan Guru Haji Yunus Muhammad Akib. Seorang lagi sahabatnya dikatakan tinggal di Kampung Bandar, Teluk Intan. Boleh jadi tokoh yang dimaksudkan ialah Shaykh Muhammad Saleh al-Minangkabawi.

Shaykh Wan Muhammad dikatakan berhijrah ke negeri Perak ketika Sultan Yusuf Sharifuddin Muzaffar Shah (Sultan ke-27 negeri Perak) sedang memerintah. Baginda merupakan Sultan Perak yang paling singkat memerintah negeri Perak. Diriwayatkan baginda mangkat pada tahun 1887 iaitu tahun yang sama baginda ditabal menjadi Sultan. Shaykh Wan Muhammad datang ke negeri Perak dengan berjalan kaki dari negeri Kelantan. Sebelum berhijrah, beliau dipercayai telah berkahwin dan mendapat seorang anak. Dari Kelantan, beliau berjalan merentasi Banjaran Titiwangsa bergerak menuju ke Kampung Bandar untuk bertemu dengan sahabatnya. Dari Kampung Bandar, beliau terus bergerak menuju ke Malim Nawar, tempat Tuan Guru Haji Yunus bermukim. Disitu, beliau dikatakan telah berkahwin. Sementara dalam satu riwayat lain, Shaykh dikatakan menetap di Tanjung Tualang setelah sampai di negeri Perak. Shaykh dengan dua sahabatnya kemudian berbincang tentang aktiviti dakwah dan ilmu di negeri Perak. Hasil perbincangan itu, Shaykh bersetuju untuk berpindah ke Sayong dengan tujuan untuk menyebar dakwah dan ilmu di kawasan itu. Kebetulan, Sayong pada masa itu menjadi tempat persemayaman Sultan Perak. Karisma beliau ketika menyampaikan syarahan agama di kawasan-kawasan sekitar tempat tinggalnya akhirnya sampai kepada pengetahuan Sultan. Shaykh kemudian dijemput mengajar di istana.

 Tegas menentang kemungkaran

Shaykh seorang yang sangat tegas dan tidak takut berhadapan dengan pemerintah. Pernah satu ketika Shaykh dijemput hadir ke istana untuk berbuka puasa. Disamping berbuka puasa, tanpa pengetahuan Shaykh majlis tersebut dirancang untuk diselang-selikan dengan majlis hiburan. Dengan takdir Allah, majlis hiburan itu tidak dapat diadakan. Shaykh dengan penuh rasa tanggungjawab menggantikan majlis tersebut dengan majlis membaca al-Quran dan menghurai isi kandungan sebuah kitab tasawwuf. Ketika menghurai kitab tasawwuf itu, tanpa berselindung Shaykh menyatakan dengan tegas tentang tanggungjawab yang perlu dilaksana oleh seorang ulama selaku pewaris Nabi dan tanggungjawab seorang Ketua Negeri seperti Raja atau Sultan yang sepatutnya perlu selaras mengikut kehendak Islam.  Sultan Yusuf langsung tidak murka dengan teguran shaykh sebaliknya suka dengan cara pengajaran Shaykh yang tegas itu lalu menitahkan agar Shaykh terus mengajar di istana di samping mengajar di kawasan-kawasan sekitar istana.

Shaykh amat menentang amalan atau adat yang bercanggah dengan agama. Tanpa mengira pangkat atau darjat, Shaykh dengan tegas membenteras amalan tersebut. Dalam satu peristiwa, Shaykh telah menulis surat kepada Residen British tentang ketidakpuashatiannya terhadap amalan “main berhantu” yang menurutnya sangat bercanggah dengan hukum agama. Katanya dalam surat itu kepada Residen (seperti yang terakam dalam catatan Frank Swettenham, seorang pegawai British ketika berada di Perak dalam karyanya yang berjudul Malay Sketches),

Pertama puji-pujian bagi Tuhan, yang memberi segala yang baik, yang maha mengasihani semua hambanya.

Dari Haji Wan Muhammad, Tok Guru Kepada Yang Maha Mulia Sultan Perak, kepada Tuan Residen yang mentadbir Kerajaan Perak.

Seluruh dunia ini di dalam tangan Tuhan Yang Maha Agung, Dia memberinya sebagai warisan kepada sesiapa yang Dia suka di antara hambanya. Agama yang benar juga datangnya dari Tuhan, dan Syurga itu balasan orang Yang takutkan Tuhan. Keredaan dan kedamaian adalah untuk mereka yang menurut jalan yang lurus, dan merekalah pada akhirnya nanti akan menemui keagungan yang sebenar. Tidak ada Raja yang boleh membuat baik, tidak ada yang lebih berkuasa kecuali dengan pertolongan Tuhan Yang Maha Agung dan juga Yang Maha Kuasa.

Saya memberi sepuluh ribu salam. Saya ingin tahu tentang amalan berhantu, membuat diri seseorang menjadi gila dan hilang pertimbangan, seperti yang menjadi adat Raja dan Penghulu di Negeri Perak ini, adakah ini betul menurut agama Tuan, Tuan Residen, atau adakah ini salah? Kerana amalan yang demikian adalah dosa tidak terampun dalam agama Islam, kerana orang-orang yang mengamalnya hilang pertimbangan dan membazir barang dengan tidak bersebab; ada yang mencampakkannya ke dalam air, ada yang menaburkannya ke dalam hutan. Bagaimanakah kelakuan yang demikian dianggap dalam agama tuan?

Tuan residen, adakah salah atau benar? Saya ingin tuan memberikan saya jawapan, kerana amalan yang seperti ini sungguh menyeksakan orang miskin. Penghulu mengutip wang dari rakyat, kemudian mereka membuat persiapan besar-besaran untuk makanan, menyembelih kerbau atau ayam, dan semua ini dibuang seperti yagn telah saya sebut. Menurut agama Muhammad, adat-adat ini membawa kemusnahan.

Saya memberi berbanyak-banyak salam, janganlah tuan tersinggung, kerana saya tidak faham ada tuan, Tuan Residen.

(Tandatangan) HAJI MUHAMMAD WAN HUSSAIN."

Pengaruh dalam istana

Setelah Sultan Yusuf mangkat, Raja Idris ibn Raja Bendahara Alang Iskandar (Marhum Teja) ditabal menjadi Sultan dengan memakai gelaran Sultan Idris Murshidul'Adzam Shah. Apabila baginda menaiki takhta, baginda menitahkan Shaykh agar terus mengajar di istana seperti yang dilakukannya ketika zaman Sultan Yusuf dahulu.

Malah hubungan Shaykh dengan istana menjadi semakin rapat berikutan Sultan sendiri amat gemar berdamping dengan alim ulama. Apabila pusat pemerintahan kerajaan berpindah dari Sayong ke Bukit Chandan, Shaykh dan ahli keluarganya juga turut berpindah. Sultan Idris turut berkenan mengurniakan tanah di kawasan Lembah Masjid Bukit Chandan kepada Shaykh dan ahli keluarganya dengan harapan Shaykh dapat memajukan kawasan tersebut sebagai pusat perkembangan ilmu agama. Shaykh memanfaatkan tanah itu dengan membina madrasah dan pondok. Kesan-kesan perkembangan ilmu seperti madrasah dan pondok dikatakan masih dapat dilihat di kawasan Lembah Masjid Bukit Chandan Kuala Kangsar. Manakala sebuah surau yang  diberi nama Madrasah Muhammadiah telah dibina oleh salah seorang anakandanya iaitu Tuan Guru Haji Wan Abdul Rahman yang lebih dikenali sebagai Tuan Haji Wok sebagai mengenang jasa Shaykh dalam mengembangkan dakwah dan ilmu kepada anak bangsa. Surau ini masih diguna hingga kini. Apa-apa sahaja yang berkaitan dengan permasalahan agama maka pihak istana akan terus merujuk kepada Shaykh untuk mendapat khidmat nasihat. Secara tidak langsung kedudukan Shaykh pada masa itu seumpama mufti pada masa ini.

Pengaruh Shaykh terhadap istana negeri sangat kuat malah pada satu ketika, boleh menyanggah perintah Residen British pada masa itu. Shaykh yang mesra dikenali dengan panggilan Tok Ayah di kalangan orang istana diriwayatkan telah menentang arahan British yang meminta Sultan agar mengerah anak-anak muda membantu kerajaan British menentang kerajaan Islam Turki Uthmaniyyah. Shaykh membantah sekeras-kerasnya perintah tersebut hingga akhirnya pihak istana dan British akur dengan bantahan itu.

Salah seorang anakanda Sultan Idris, Raja Alang Iskandar ibni Almarhum Sultan Idris Murshidul'Adzam Shah yang dikenali sebagai seorang raja yang alim malah pernah mengarang kitab agama adalah merupakan anak raja yang paling rapat dengan Shaykh. Apabila baginda menaiki takhta pada tahun 1918 dengan memakai gelaran Sultan Iskandar Shah, hubungan baginda dengan Shaykh semakin rapat. Sultan kemudiannya melantik Shaykh sebagai Guru Ugama rasmi baginda. Selain baginda Sultan, tokoh-tokoh ternama lain yang pernah menimba ilmu kepadanya ialah seperti Shaykh Wan Muhammad Wan Puteh dan Pasir Mas, Kelantan, Shaykh Husain Awang Hamat (Pangkalan Pauh, Pasir Puteh) dan Shaykh Muhammad Idris Abdul Rauf (Kampung Lubuk Merbau, Kuala Kangsar, Perak) yang merupakan pengarang Kamus Marbawi, kamus Arab Melayu yang lengkap dan terkenal. Anak-anaknya yang kemudian hari menjadi alim-ulama ternama antaranya ialah seperti Tuan Guru Haji Abdul Rahman (Guru Ugama di Bukit Chandan), Tuan Guru Haji Abdullah Zawawi, bekas Kadi Daerah Tapah dan Tuan Guru Haji Wan Yusuf bekas Imam Masjid Ubudiah Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Semasa hayatnya Shaykh diriwayatkan pernah mengarang sebuah kitab iaitu ketika di zaman Al-Marhum Sultan Iskandar memerintah tetapi kitab tersebut tidak sempat dicetak.

Rapat dengan istana

Keluarga Shaykh dikatakan sangat akrab dengan pihak istana. Maka tidak hairanlah apabila hampir kesemua anaknya yang berjumlah 40 orang itu dihantar menuntut ilmu di Makkah dengan biaya Sultan Perak. Ada sebahagian daripada anaknya berjaya meneruskan perjuangannya berkhidmat dan berjasa kepada masyarakat setempat melalui kegiatan dakwah Islamiah yang diwarisi mereka. Saking akrabnya Shaykh dengan istana dicatat oleh cucunya yang bernama Wan Yason bin Haji Wan Yusof bin Haji Wan Muhammad, “Kehidupan keluarga Tok Ayah sangatlah moncah sekali kerana disayangi Sultan. Istana raja pada masa itu ialah Istana Hilir (tapak Taman Bukit Chandan) sekarang. Sultan dan Tok Ayah bagaikan isi dengan kuku, sebab itu rezeki yang berlebihan di istana akan sampai ke kaki tangga rumah Tok Ayah. Pada musim buah, banyaklah buah-buahan yang dihantar oleh anak murid Tok Ayah ke rumahnya seperti durian, rambutan dan bermacam-macam lagi”.

Begitu rapatnya keluarga Shaykh dengan istana hingga salah seorang anaknya, Tuan Guru Haji Abdul Rahman yang lebih dikenali sebagai Tuan Haji Wok sampai menghafal salasilah diraja dalam kepalanya.[4] Tuan Haji Wok suka menyoreh[5] anak-anak muridnya yang hadir mengaji di suraunya malah menerangkan hubungan mereka antara satu sama lain. Anak muridnya bukan sahaja kanak-kanak tetapi juga orang dewasa yang rata-rata mempunyai hubungan nasab dengan salasilah diraja negeri Perak. Suraunya yang terletak bersempadan dengan kediaman-kediaman kerabat diraja mungkin menjadi salah satu faktor mengapa ramai kerabat diraja belajar mengaji di suraunya.

Ahli keluarga

Shaykh mempunyai anak yang ramai kerana diriwayatkan beliau telah berkahwin sebanyak 9 kali. Antaranya isteri-isterinya ialah seperti Cik Idah (memperoleh anak Wan Rogayah), Latifah (memperoleh anak Wan Ummi Kaithum), Zainab (memperoieh anak Wan Yusof, Wan Fatimah, Wan Asiah, Wan Zawiah, Wan Saedah, Wan Mohd. Nor, Wan Hamidah dan Wan Hafsah), Aishah (Wan Abd. Rahman, Wan Jawahir, Wan Hindun, Wan Sulaiman, Wan Abdullah Zawawi, Wan Yang Fatimah, Wan Othman, Wan Zainab, Wan Hassan dan Wan Habibah) dan Zaharah (memperoleh anak Wan Hussein, Wan Abd. Halim, Wan Mohd. Saman dan Wan Abd. Rauf)

Peribadi Shaykh

Beliau sangat gigih berdakwah dan tegas dalam menegakkan hukum-hakam agama. Dalam usaha menyebarkan dakwah beliau sanggup bermusafir walaupun jarak yang ditujuinya itu sangat jauh hingga terpaksa meredah hutan belantara dengan berjalan kaki. Diriwayatkan dalam usaha gigih dakwahnya, beliau telah berjaya mengislamkan beberapa orang Asli ketika masuk ke dalam hutan.

Shaykh berbadan tegap, tinggi dan berkulit cerah bagaikan rupa bangsa Arab. Dari satu sisi, terpancar kewibawaannya kerana petahya ia bercakap dan keluasan ilmunya ketika menyampaikan sesuatu. Walaupun zahirnya tegas namun Shaykh mudah mesra dengan sesiapa sahaja terutama semasa dia memberi kuliah agama kepada orang-orang kampung di persisiran Sungai Perak. Apabila ia hadir ke sesuatu tempat, ramai orang akan menyambut kedatangannya. Fizikalnya yang tampan dan mudah mesra itu menurun kepada anak-anaknya menyebabkan Shaykh sekeluarga mudah diterima masyarakat termasuk di kalangan pihak istana.

Institusi pondok ternama di zamannya

Shaykh berjaya menubuh dan menggerakkan institusi pendidikan yang sangat terkenal dizamannya. Di atas tanah kurnia Sultan yang terletak di Lot 3687, di persisiran Sungai Perak, persempadanannya kawasan Perkuburan Diraja dan Masjid Ubudiah di atasnya dengan keluasan sekitar beberapa ekar, Shaykh telah mendirikan madrasah dengan berpuluh-puluh pondok telah dibina sekitarnya. Keluarganya juga turut menetap di situ sehingga kawasan itu kemudiannya terkenal dengan nama Perkampungan Haji Wan Muhammad. Walaupun ia merupakan tanah kurnia, Shaykh tidak menganggap tanah itu sebagai miliknya. Atas sebab itu, namanya langsung tidak tercatat sebagai pemilik tanah sebaliknya tanah tersebut bebas didiami sesiapa sahaja. Diriwayatkan rumah Shaykh agak besar hinggakan ada orang mengibaratkannya seperti sebuah istana. Penuntut-penuntut ilmu bukan sahaja dari negeri Perak tetapi juga dari luar negeri Perak. Sekitar kawasan tersebut, banyak pokok buah-buahan ditanam seperti pokok durian, manggis, rambutan, kelapa dan lain-lain sehingga ia kelihatan seperti sebuah institusi dalam taman yang terancang.

Daftar Pustaka

  1. Risalah Suara Majlis terbitan Jabatan Hal Ehwal Ugama Negeri Perak keluaran 1 Syawal 1403/12 Julai 1983 bertajuk “Tuan Haji Wan Muhammad Ulama Dalam Kenangan
  2. http://keluargawanaun.blogspot.com/. Dicapai pada 22 Oktober 2013
  3. http://tengkusyah.blogspot.com/2012/08/surau-diperbuat-daripada-kayu-siraja-di.html. Dicapai pada 25 Oktober 2013
  4. http://sembangkuala.wordpress.com/tag/musings/. Dicapai pada 25 Oktober 2013
  5. http://mforum.cari.com.my/forum.php?mod=viewthread&tid=659028&page=2. Dicapai pada 25 Oktober 2013
  6. http://aldurrah.blogspot.com/2011/08/wan-muhammad-wan-hussain-mufti.html. Dicapai pada 28 Oktober 2013
  7. Swettenham, Frank Athelstane, Sir. 2003. Perihal Orang Melayu. Kuala Lumpur: University of Malaya Press





[1] Yang paling rajih ialah pada 11 November 1929 seperti yang tertera pada nisan makamnya
[2] Merupakan anak murid ulama tersohor asal Patani yang bermukim di Makkah, Shaykh Daud Abdullah al-Fathani. Tuan Hasan Besut meninggalkan dua karya iaitu Hidayat al Mukhtar (selesai penulisan pada tahun 1249 H/1833 M) dan Ayyuhal Walad (selesai penulisan pada tahun 1266 H/1850 M). Kedua-dua kitab ini masih boleh diperolehi di pasaran hingga kini
[3] Diriwayatkan bahawa beliau ialah ayahanda kepada ulama terkenal Shaykh Nik Mat Kecik al-Fathani penyusun kitab Mathla al-Badrain
[4] Selain alim, Tuan Haji Wok juga berbakat besar dalam bidang pembinaan dan ukiran kayu.  Salah satu hasil pertukangannya boleh dilihat pada surau yang dibinanya. Diriwayatkan untuk membina surau tersebut, Tuan Haji Wok telah menggunakan kayu-kayu yang digunakan untuk pembinaan Siraja Di Raja yang merupakan usungan/pedati khas yang membawa jenazah beberapa orang Kerabat Diraja Kanan Perak Darul Ridzuan. Dengan erti kata lain, Tuan Haji Wok telah lama menggunakan kaedah kitar semula bagi menghasilkan satu hasil kerja tangan yang sangat indah 
[5] Menyatakan asal keturunan mereka dan hubungan mereka dalam keluarga

 
 
Surau Wan Muhammad bahagian dalam

 Surau Wan Muhammad di Bukit Chandan

Shaykh Wan Muhammad

2 comments:

  1. Assalamualaikum tuan/puan..saya inamulhassan ..pelajar USIM . Saya mendapat tugasan berkenaan hj wan muhammad bin wan hussien ..mufti perak. saya berniat untuk bertanya ttg kisah hidup beliau jika pihak tuan ada kisah ttg beliau.. saya dpt maklumat daripada blog pihak tuan / puan . Saya ingin bertanya pihak tuan..slain drpd blog ini..dimanakah dapat saya cari maklumat tambahan berkenaan beliau ?

    ReplyDelete