Monday, June 29, 2009

Tok Syeikh Duyung Ilmuwan Ulung Terengganu

Nama sebenar Tok Syeikh Duyung ialah Haji Wan Abdullah bin Haji Wan Muhamad Amin bin Wan Yaakub. Ayahanda beliau, Haji Wan Muhamad Amin bin Wan Yaakub, lebih terkenal dengan gelaran Tok Syeikh Qadhi. Ayahandanya adalah seorang ulama yang berasal Patani. Ibu Tok Syeikh Qadhi yakni Syeikh Wan Muhammad Amin bernama Wan Salamah binti Tok Wan Deraud bin Cik Wan Derahim yang kemudiannya berkahwin dengan Tok Wan Nik. Ibu Tok Wan Nik ini bernama Wan Dewi binti Tok Kaya Rakna Diraja bin Syeikh Faqih Ali al-Malabari. Ibu Tok Syeikh Duyung pula iaitu Syeikh Wan Abdullah bernama Wan Aminah binti Tok Wan Drahmad bin Tok Wan Derahman bin Tok Kaya Pandak. Tok Kaya Pandak ini nama sebenarnya ialah Wan Ismail bin Nakhoda Wan Kang yang lahir daripada perkahwinan dengan puteri Laksamana Johor. Nakhoda Wan Kang yang dimaksudkan di sini adalah nama gelar pada Syeikh Faqih Ali al-Malabari. Ada riwayat menyebut bahawa beliau ini adalah seorang Arab keturunan Nabi Muhammad s.a.w. yang berhijrah ke Malabar (India) dan selanjutnya berhijrah ke dunia Melayu.[1] Jadi disini, baik disebelah ibunya mahupun disebelah bapanya mempunyai garis keturunan yang sama iaitu bertemu pada Syeikh Faqih al-Malabari.Tok Syeikh Duyung dilahirkan di Kampung Chabang Tiga, Patani pada tahun 1216 Hijrah bersamaan dengan 1802 Masihi. Pada peringkat awal pendidikannya, Tok Syeikh Duyung menimba ilmu dari ayahnya yang sezaman dengan ulama-ulama masyhur yang lain seperti Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Syeikh Wan Mustafa bin Muhammad al-Fathani (Tok Bendang Daya I) dan Syeikh Wan Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani yang pada ketika itu tinggal di Bukit Bayas. Tok Syeikh Duyung pula sezaman dengan Tokku Tuan Besar (Saiyid Muhammad Zainal Abidin) dan mereka bersama-sama menadah kitab dengan Syeikh Wan Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani yang lebih terkenal dengan gelaran Tok Syeikh Bukit Bayas. Tok Syeikh Duyung kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Makkah. Di Makkah, beliau berguru dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Seperti yang disebut oleh almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir, Dalam masa yang sama sekurang-kurangnya ada tiga orang yang berasal dari Terengganu yang belajar dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang sangat terkenal itu. Mereka ialah Wan Abdullah bin Wan Muhammad Amin, Saiyid Muhammad Zainal Abidin dan Syeikh Mahmud bin Muhammad Yusuf bin Abdul Qadir Terengganu dimana ketiga-tiganya menjadi ulama terkenal di Terengganu dan juga di Alam Melayu. Saiyid Muhammad Zainal Abidin atau lebih dikenali sebagai Tokku Tuan Besar adalah tokoh agama dan sasterawan[2] yang sangat terkenal di zamannya manakala Syeikh Mahmud bin Muhammad Yusuf bin Abdul Qadir Terengganu yang diriwayatkan berasal dari Kemaman, Terengganu adalah merupakan tokoh besar yang banyak menyalin karya-karya ulama dunia Melayu.[3] Khabarnya salinan yang dilakukannya samada menyamai atau lebih banyak dari ulama terkenal selepasnya iaitu Tok Kelaba. Setelah menguasai ilmu-ilmu agama dalam bidang Tasawwuf, Hadith, Fiqh dan Usuluddin, Tok Syeikh Duyung pun kembali berangkat ke kampung halaman. Diriwayatkan Tok Syeikh Duyung berangkat pulang dari Mekah pada tahun 1263 H/1846 M. Tok Syeikh Duyung memilih Pulau Duyung Kecil sebagai pusat utama untuk menyebarkan dakwah dan ilmu agama kepada masyarakat setempat. Selain mengajar di Pulau Duyung Kecil, beliau juga mengajar di beberapa tempat di antaranya Paloh, Losong dan Bukit Bayas. Disebabkan beliau menjadikan Pulau Duyung Kecil sebagai pusat utama kegiatan dakwahnya maka melekatlah dibibir orang akan gelarannya sebagai Tok Syeikh Duyung. Pondoknya semakin lama semakin ramai didatangi pelajar, jauh dan dekat. Di antara murid-murid beliau yang terkenal ialah Baginda Sultan Omar, Sultan Zainal Abidin III, Engku Sayid Paloh, Haji Omar Duyung Besar, Haji Abdul Hamid Nerus, Tuan Baru Petal Bubus, Haji Musa Alim, Che Man Gudang, dan Haji Wan Mohammad bin Wan Abdullah iaitu anaknya. Baginda Omar dan Sultan Zainal Abidin III sendiri pergi ke Pulau Duyung Kecil untuk menadah kitab kepada Tok Syeikh Duyung. Ini bertepatan dengan tradisi dan adab-adab dalam sistem pengajian Islam dimana anak muridlah yang perlu mendapatkan guru bukannya guru mencari murid. Dengan ilmunya yang meluas dan warak maka Tok Syeikh Duyung kemudiannya dilantik menjadi Mufti Kerajaan Negeri Terengganu menggantikan gurunya Syeikh Abdul Kadir Bukit Bayas yang meninggal dunia pada tahun 1853 Masehi. Sepanjang hidupnya, Tok Syeikh Duyung sempat menjadi Mufti kepada tiga orang Sultan iaitu Baginda Sultan Omar, Sultan Ahmad Syah II dan Sultan Zainal Abidin III bahkan turut menjadi guru agama kepada ketiga-tiga sultan tersebut. Semasa menjadi Mufti, khidmatnya sebagai penasihat agama kepada Sultan sangat terserlah. Selain itu, pengaruhnya dalam bidang pentadbiran negeri Terengganu juga besar. Dalam hal mengeluarkan sesuatu hukum atau fatwa Tok Syeikh Duyung sentiasa berpandukan aI-Quran dan Hadis di samping merujuk kepada kitab-kitab agama yang masyhur. Ketokohan beliau juga telah menyebabkan negeri Terengganu menjadi sebutan di seluruh Nusantara pada masa itu dan Pulau Duyung digelar orang sebagai 'Lidah Negeri Terengganu'.[4] Kerana pada masa itu Tok Syeikh Duyung menjadi rujukan masyarakat khususnya yang berkaitan tentang Hukum Syarak terutama mengenai Perundangan Islam. Diriwayatkan bahawa kisah kealimannya tersebar ke seluruh nusantara sehingga pernah ulama-ulama dari Indonesia bertanya mengenai hukum-hukum agama kepada beliau. Tokku Paloh, ulama besar yang merupakan anak kepada Tokku Tuan Besar adalah merupakan murid yang disayangi oleh Tok Syeikh Duyung. Beliau sentiasa mendapatkan gurunya tentang sesuatu masalah khususnya yang berkaitan dengan Perundangan Islam. Sultan Zainal Abidin III telah mengurniakan gelaran "Syeikhul Ulama" yang bermaksud Ketua bagi orang-orang yang berilmu manakala gelaran"Syeikhul Islam" yang bermaksud Ketua bagi orang-orang Islam dikurniakan kepada anak muridnya iaitu Tokku Paloh. Tok Syeikh Duyung wafat dirumahya di Duyung Kecil pada hari Khamis, pukul 4.00 petang, 12 Jamadilakhir 1306 H/24 Februari 1889 M. Baginda Sultan Zainal Abidin III telah berangkat sendiri ke Pulau Duyung Kecil menziarahi jenazah gurunya. Baginda sendiri turut bersembahyang jenazah dan memerintah supaya jenazah Tok Syeikh Duyung diusung dari Pulau Duyung Kecil melalui hadapan istana untuk diberi penghormatan terakhir oleh baginda, pembesar-pembesar negeri dan kerabat-kerabat diraja sebelum dikebumikan di tanah Perkuburan Syeikh Ibrahim, Kuala Terengganu. Pemergian Tok Syeikh Duyung benar-benar dirasai oleh rakyat Terengganu terutama baginda Sultan Terengganu sendiri. Bahkan, anak muridnya, Tokku Paloh sendiri mengakui ketokohannya dan setelah mendapat berita kembalinya Tok Syeikh Duyung ke rahmatullah, beliau berkata, "Hilang sudah kepala santan Negeri Terengganu"[5] dan terus berkejar ke Pulau Duyung Kecil untuk menziarahi jenazah guru yang amat dikasihinya itu.[6]






[1] Rujuk artikel Wan Mohd Saghir Abdullah bertajuk Tok Syeikh Duyung Syeikhul Ulama Terengganu yang disiar didalam Utusan Malaysia pada 6 Mac 2006. Boleh dirujuk juga disini, http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0306&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive. Dicapai pada 29 Jun 2009
[2] Karya-karya Tokku Tuan Besar seperti yang disebut oleh Wan Mohd Saghir adalah seperti
1. Kanzul Ula, yang terdiri dari beberapa edisi cetakan oleh al-Mathba'ah al-Ahliyah, Terengganu, 25 Zulhijjah 1347 H, cetakan Mathba'ah al-Aminiah, Singapura, 1353 H, cetakan Mathba'ah Jawi Press, 1938, dan lain-lain;
2. Jauharus Saniyah;
3. 'Uqudu Durrataini fi Tarjamati Kalimataisy Syahadataini;
4. Tuhfatul Wildan;
5. Mukhtashar;
6. Siratun Nabawiyah;
7. Sullamut Taufiq;
8. Targhibus Shibyan;
9. Ahaditsun Nabawiyah mimma Yata'allaqu bil 'Imamatil 'Arabiyah, dipercayai diselesaikan pada tahun 1267 H (1851 M);
10. Salasilah Ratib al-Haddad diselesaikan pada 25 Ramadan 1267 H/24 Julai 1851 M;
11. Kaifiyat 'Amal Ratib al-Haddad diselesaikan pada 26 Ramadan 1267 H/25 Julai 1851 M.
Rujuk artikel Wan Mohd Saghir Abdullah bertajuk Saiyid Muhammad Al-'Aidrus Bapa Kesusasteraan Melayu Terengganu yang disiar didalam Utusan Malaysia pada 11 September 2006. Boleh dirujuk disini, http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0911&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive. Dicapai pada 29 Jun 2009


[3] Rujuk artikel Wan Mohd Saghir Abdullah bertajuk Tok Syeikh Duyung Syeikhul Ulama Terengganu yang disiar didalam Utusan Malaysia pada 6 Mac 2006. Boleh dirujuk juga disini, http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0306&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive. Dicapai pada 29 Jun 2009
[4] http://pulau-duyung.blogspot.com/2008/03/sejarah-warisan-tok-syeikh.html. Dicapai pada 29 Jun 2009
[5] Maksudnya orang yang paling berilmu di negeri Terengganu. Ini adalah kerana Tok Syeikh Duyung adalah orang yang terakhir sekali dirujuk sekiranya ada masalah-masalah agama yang tidak dapat diselesaikan oleh alim-ulama lain.
[6] http://pulau-duyung.blogspot.com/2008/03/sejarah-warisan-tok-syeikh.html. Dicapai pada 29 Jun 2009

No comments:

Post a Comment