Friday, June 5, 2009

Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari



Syeikh Muhammad Arsyad dilahirkan di sebuah desa di Lok Gabang pada hari Khamis dinihari 15 Safar 1122 H bersamaan 19 Mac 1710 M. Beliau merupakan anak pertama dari keluarga muslim yang taat beragama, iaitu Abdullah dan Siti Aminah. Salasilahnya adalah seperti berikut, Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah bin Abdur Rahman al-Banjari bin Saiyid Abu Bakar bin Saiyid Abdullah al-’Aidrus bin Saiyid Abu Bakar as-Sakran bin Saiyid Abdur Rahman as-Saqaf bin Saiyid Muhammad Maula ad-Dawilah al-’Aidrus, dan seterusnya sampai kepada Saidina Ali bin Abi Thalib dan Saidatina Fatimah bin Nabi Muhammad SAW. Sejak dari kecil, Allah SWT telah menampakkan kelebihan pada dirinya yang membezakannya dengan kawan sebayanya. Beliau sangat patuh dan ta'zim kepada kedua orang tuanya, serta jujur dan santun dalam pergaulan bersama teman-temannya. Allah SWT juga menganugerahkan kepadanya kecerdasan berfikir dan sangat berbakat dalam bidang seni khususnya di bidang lukisan dan khat (kaligrafi). Pada suatu hari, tatkala Sultan Kerajaan Banjar (Sultan Tahmidullah) mengadakan kunjungan ke kampung-kampung, dan sampailah ke kampung Lok Gabang alangkah terpempannya Sang Sultan manakala melihat lukisan yang indah dan menawan hatinya. Maka ditanyakanlah siapa pelukisnya, maka dijawab orang bahwa Muhammad Arsyadlah yang melukisnya. Mengetahui kecerdasan dan bakat yang ada pada Muhammad Arsyad, terdetiklah di hati Sultan untuk mengasuh dan mendidik Muhammad Arsyad di istana yang ketika itu baru berusia sekitar 7 tahun. Walaupun ibubapanya berasa berat untuk melepaskan Muhammad Arsyad namun apabila melihat Sultan begitu bersungguh untuk mengasuhnya lalu mereka pun melepaskannya. Kepandaian Muhammad Arsyad membawa diri, sifatnya yang rendah hati, kesederhanaan hidup serta keluhuran budi pekertinya menjadikan segenap warga istana sayang dan hormat kepadanya. Bahkan sultanpun memperlakukannya seperti anak kandung sendiri. Setelah dewasa beliau dikahwinkan dengan seorang perempuan yang solehah bernama Tuan "Bajut". Ketika isterinya mengandungkan anak yang pertama, terlintaslah di hati Muhammad Arsyad suatu keinginan yang kuat untuk menuntut ilmu di tanah suci Makkah. Maka disampaikannyalah hasrat hatinya kepada si isteri tercinta. Meskipun dengan berat hati tatkala mengingatkan usia pernikahan mereka yang masih muda namun isterinya akur dengan kehendak Muhammad Arsyad.. Maka, setelah mendapat restu dari Sultan, berangkatlah Muhammad Arsyad ke Tanah Suci bagi merealisasikan cita-citanya.Di Tanah Suci, Syeikh Muhammad Arsyad menadah kitab kepada masyaikh terkemuka pada masa itu. Diantara guru beliau adalah Syekh 'Athoillah bin Ahmad al Mishry, al Faqih Syekh Muhammad bin Sulaiman al Kurdi dan al 'Arif Billah Syekh Muhammad bin Abd. Karim al Samman al Hasani al Madani.
Syeikh yang disebutkan terakhir itu adalah guru Syeikh Muhammad Arsyad di dalam bidang tasawuf, dimana di bawah bimbingan beliau, Syeikh Muhammad Arsyad telah melakukan suluk dan khalwat, sehingga mendapat ijazah darinya dengan kedudukan sebagai khalifah. Menurut riwayat, Khalifah al Sayyid Muhammad al Samman di Alam Melayu pada masa itu adalah empat orang iaitu Syeikh Muhammad Arsyad al Banjari, Syeikh Abdush Shamad al Falimbani (Palembang), Syeikh Abdul Wahab Bugis dan Syeikh Abdul Rahman Masri (Betawi). Mereka berempat inilah yang dikenal orang dengan gelaran "Empat Serangkai dari Tanah Jawi" yang sama-sama menuntut ilmu di al Haramain al Syarifain. Syeikh Muhammad Arsyad dikatakan juga sangat terkenal di Makkah kerana keluasan ilmu yang dimilikinya dalam ilmu Qiraat. Dikatakan beliau mengarang kitab Qiraat 14 yang bersumber dari dari Imam Syatibi dan uniknya kitab tersebut dilengkapi dengan kaligarafi khas Banjar pada setiap juzuk. Setelah lebih kurang 35 tahun menuntut ilmu, timbullah kerinduan Syeikh Muhammad Arsyad terhadap kampung halaman. Akhirnya pada bulan Ramadhan 1186 H bertepatan 1772 M, kembalilah Syeikh Muhammad Arsyad ke kampung halamannya yakni Martapura yang merupakan pusat Kerajaan Banjar pada masa itu. Sultan Tamjidillah (Raja Banjar pada masa itu) menyambut kedatangan beliau dengan penuh adat kebesaran. Seluruh rakyat menyambut kepulangannya secara besar-besara dan menggelarnya ulama "Matahari Agama" yang cahayanya diharapkan menyinari seluruh Kerajaan Banjar. Aktiviti beliau sebaik sahaja pulang dari Tanah Suci terus dicurahkan untuk menyebar ilmu pengetahuan yang diperolehinya. Hampir seluruh masyarakat disitu menimba ilmu dengan Syeikh Muhammad Arsyad termasuklah sultan. Dalam menyampaikan ilmunya Syeikh Muhammad Arsyad menggunakan beberapa kaedah yang saling berkait antara satu sama lain:
Bil-hal
Keteladanan yang baik (uswatun hasanah) yang diterjemahkan oleh beliau dalam bentuk tingkah-laku, gerak-geri dan tutur-kata sehari-hari dan disaksikan secara langsung oleh murid-muridnya
Bil-lisan
Mengadakan pengajaran dan pengajian yang boleh diikuti oleh sesiapa saja, baik keluarga, kerabat, sahabat dan orang ramai
Bil-kitabah
Menulis kitab untuk menyalurkan ilmu kepada umat. Buah tangannya yang paling monumental adalah kitab Sabilal Muhtadin Littafaqquh Fiddin, yang kemasyhurannya sampai ke Malaysia, Brunei dan Pattani (Thailand selatan).
Setelah lebih 40 tahun menghabiskan usianya dengan mengembangkan dan menyiarkan Islam di wilayah Kerajaan Banjar, akhirnya pada hari Selasa, 6 Syawwal 1227 H (1812 M) Syeikh Muhammad Arsyad berpulang ke hadrat-Nya. Usia beliau pada ketika wafat ialah 105 tahun dan dimakamkan di desa Kalampayan. Beliau juga masyhur dikenal orang dengan sebutan Datuk Kalampayan. Makamnya dianggap keramat dan hingga kini masih diziarahi orang. Haulnya pada Syawwal lalu dihadiri Menteri Agama RI H. Muhamamd Maftuch Basyuni bersama ribuan masyarakat, termasuk dari Malaysia, Sumatera, dan Jawa.
Tentang keturunannya, ramai diantara anak, cucu dan cicit Syeikh Muhammad Arsyad menjadi ulama besar di seluruh Alam Melayu bahkan ada yang menjadi ulama terkenal di Makkah. Catatan almarhum Ustaz Haji Wan Mohd Saghir Wan Abdullah menyatakan keturunannya seperti berikut,
DI KEDAH, MALAYSIA BARAT
Alimul ‘Allamah Kadi Haji Abu Su’ud bin Syeikh Muammad Arsyad al-Banjari kahwin di Kedah. Memperolehi seorang putera iaitu Mas’ud. Mas’ud berkahwin dengan Rajmah.
Beberapa orang keturunannya menjadi ulama-ulama besar yang terkenal di seluruh Malaysia. Mereka ialah: Alimul ‘Allamah Haji Muhd. Thayib bin Mas’ud, penyusun kitab Melayu berjudul Miftaahul Jannah. Ia sebuah kitab Melayu/Jawi yang terkenal dan banyak dikaji.
Haji Muhd. Zain bin Mas’ud, sebagai Hakim manakala Haji Bahauddin bin Mas’ud sebagai Pahlawan. Mas’ud bin Kadi Abu Su’ud sendiri adalah seorang syahid fi sabilillah yang tewas dalam peperangan antara Melayu (Islam) dengan Siam (Buddha) di Kedah ataupun Fathani Darussalaam.
Nasibnya mungkin sama seperti yang dialami oleh Syeikh Abdush Shamad al-Falimbani, Haji Sulong al-Fathani dan para syuhada lainnya.
DI JOHOR, MALAYSIA BARAT
Jalan dakwah Banjar ke Johor, dirintis oleh keturunan Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari bernama Zakaria bin Mufti Haji Abdul Jalil bin Syeikh Syihabuddin bin Syeikh Muhd Arsyad al-Banjari. Beliau berkahwin di Mersing, Johor, memperolehi 13 anak.
Kemudian dengan perkahwinan Alimul Fadhil Haji Muhd Yasin bin Khalifah Haji Hasanuddin, di Teluk Belanga Singapura, kegiatan dakwah ke Johor dipergiat lagi. Melalui perkahwinannya di Teluk Belanga Singapura itu, Haji Muhd. Yasin memperoleh lima anak iaitu, Haji Ja’afar menjadi kerani Kerajaan Johor, Haji Abdur Rahim menjadi Imam Masjid Teluk Belanga, Rahmah mengajar al-Quran dan hukum-hukum Islam di Johor, pekerjaan yang sama juga dilakukan oleh saudaranya sendiri iaitu Aminah.
Saudaranya yang terakhir bernama Haji Harun guru sekolah dan Bilal Teluk Belanga. Mereka semuanya mempunyai keturunan di Johor dan Singapura.
DI SARAWAK, MALAYSIA TIMUR
Dalam rangka menyebarkan Islam dengan memasuki sektor perdagangan, salah seorang zuriat Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari bernama Abdul Ghani pergi ke Mukah, Sarawak. Abdul Ghani sewaktu di Banjar kahwin dengan Saudah binti Haji Muhd As’ad, semua anaknya meninggal dunia.
Di Sarawak, Abdul Ghani berkahwin lagi dan memperoleh dua anak iaitu Muhd. Said dan Sa’diyah. Muhd. Sa’id memperoleh dua orang anak iaitu Adnan dan Jannah.
Sa’diyah dapat anak bernama Sailis, pindah ke Sekadau, Kalimantan Barat, Indonesia.
DI BRUNEI DARUSSALAM
Bagi memperkukuhkan dakwahnya di Brunei, Alimul ‘Allamah Haji Muhd Thasin bin Mufti Haji Jamaluddin bin Sheikh Muhd Arsyad al-Banjari berkahwin berkali-kali, iaitu dengan Hamimah memperoleh seorang putera bernama Abdur Rahman.
Perkahwinan dengan Siti, memperolehi Shafura dan Mahmud. Dengan Aminah binti Alimul ‘Allamah Datuk Haji Ahmad bin Haji Abdul Latif memperoleh putera bernama Haji Muhd. Ramli. Melalui perkahwinan dengan Bintang memperoleh putera bernama Salman dan Thaha.
Perkahwinan tersebut semuanya di Brunei, sedang sebelumnya beliau telah berkahwin di Pontianak, Kalimantan Barat, Indonesia.
DI FATHANI DARUSSALAM
Sheikh Abdur Rahman Shiddiq menulis, “Kiai Dipa Santa Ahmad bin Fardi bin Ahmad beranak tiga orang. Pertama Haji Amin, belayar ke Fathani dan beristeri di sana. Maka zuriatnya semuanya di Fathani”.
DI PONTIANAK, KALIMANTAN BARAT (INDONESIA)
Haji Thasin bin Syeikh Jamaluddin bin Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari yang ke Pontianak, memperoleh tiga anak iaitu Haji Muhammad Yusuf, Haji Arsyad dan Abdur Rahman.
Diceritakan bahawa Haji Muhammad Yusuf bin Haji Thasin setelah beliau belajar ilmu-ilmu keislaman, lalu menjadi seorang pedagang intan.
Beliau merantau ke seluruh Kalimantan, Sumatera hingga keluar negeri ke Saigon dan Kemboja. Di Kampung Melayu Kemboja, beliau berkahwin lagi. Bahawa beliau berkahwin sebanyak 40 kali. Isteri yang terakhir inilah yang dibawa kembali ke Kalimantan Barat.
Beliau membuka tanah perkebunan getah yang sangat luas, setelah pekerjaannya tersebut menjadi lalu diberi nama Kampung Saigon. Beliau sendiri popular dengan sebutan Haji Yusuf Saigon sehingga hilang nama negeri asalnya Banjar.
Adiknya pula seorang ulama yang menyiarkan Islam dengan berpindah dari satu kampung ke satu kampung, namun beliau sempat menulis beberapa buah kitab. Kitab Tajwid Fatihah cetakan pertama al-Ahmadiyah Singapura tahun 1348 H/1929 M adalah salah satu daripada kitab-kitab beliau yang ada pada penulis.
DI SAPAT INDERAGIRI, SUMATERA
Ada seorang cicit beliau bernama Haji Abdur Rahman Siddiq tinggal di Sapat, Inderagiri. Beliau adalah seorang ulama besar yang terbukti dengan karya-karya nyatanya.
Beliau adalah orang pertama menyusun sejarah Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari dengan buku berjudul Syajaratul Arsyadiyah. Selain itu, beliau banyak meninggalkan karya penulisan yang dicetak oleh al-Ahmadiyah Press Singapura. Ulama ini adalah orang pertama membuka sekolah di Sapat.
DI MEKAH
Dalam beberapa buku karya Sheikh Muhammad Yasin bin Muhammad Isa al-Fadani (Padang) ada menyebut bahawa anak Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari bernama Sheikh Yusuf bin Muhammad Arsyad al-Banjari.
Di belakang nama ada juga ditulis dengan al-Bantani. Syeikh Yusuf al-Banjari tersebut belajar kepada ayahnya Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari di Mekah dan juga kepada Sheikh Abdush Shamad al-Falimbani.
Sheikh Nawawi al-Bantani adalah salah seorang murid beliau. Pelbagai bidang ilmu terdapat sambungan sanad sama ada dari ayahnya ataupun Sheikh Muhammad Abdush Shamad al-Falimbani tersebut.
Selain itu, Sheikh Yasin Padang juga menyebut salah seorang anak Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari bernama Mahmud. Iaitu keturunannya yang menjadi ulama di Mekah.
Nama penuhnya ialah Sheikh Ali bin Mahmud bin Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari. Sheikh Ali al-Banjari ini lahir di Mekah tahun 1285 H/1868 M. Beliau belajar kepada Sayid Abu Bakar Syata, Sheikh Said Yamani, Sheikh Yusuf al-Khaiyat, Habib Husein bin Muhammad al-Habsyi al-Alawi, Habib al-Alawi bin Ahmad as-Saqaf, Mufti ‘Abid bin Husein bin Ibrahim al-Makki, Habib Ahmad bin Hassan al-Atas, Habib Umar bin Salim al-Atas, Sheikh Mahfuz Termas, Sheikh Ahmad al-Fathani dan lain-lain.
Sheikh Ali al-Banjari mengajar di Masjidil Haram. Beliau wafat pada malam Jumaat 12 Zulhijjah 1307 H, dikebumikan di Mu’alla, Mekah.
Sewaktu penulis menunaikan haji tahun 1979 M, ada orang menceritakan bahawa ada seorang ulama Banjar mengajar di Masjidil Haram bernama Haji Abdul Karim al-Banjari. Beliau termasuk salah seorang di antara zuriat Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari.
TEMPAT-TEMPAT LAIN
Selain lembaga-lembaga pendidikan zuriat-zuriat beliau di Pontianak Kalimantan Barat, Sapat/Inderagiri dan Malaysia, masih banyak lagi lembaga-lembaga lain baik di tanah Banjar sendiri mahupun di Pulau Jawa.
Di Bangil Jawa Timur terdapat Pondok Pengajian yang didirikan oleh zuriatnya dengan nama Pesantren Untuk Kelampayan. Pondok ini dipimpin oleh zuriat beliau bernama al-‘Alim al-Fadhil Haji Muhammad Syarwani Abdan.
Di Dalampagar (Banjar) terdapat dua madrasah yang didirikan oleh zuriat beliau, demikian juga di Telok Selong, Kampung Melayu dan lain-lain. Berbagai-bagai nama madrasah itu di antaranya yang dapat diketahui Madrasah Sullamul ‘Ulum dan Madarasah Mura’atus Shibyaan, kedua-duanya di Kampung Dalampagar tersebut. [1]

Diantara karya-karya Syeikh Muhammad Arsyad yang sangat masyhur ialah
Tuhfah al-Raghibin fi Bayani Haqiqah Iman al-Mu’minin wa ma Yufsiduhu Riddah al-Murtaddin, karya pertama, diselesaikan tahun 1188 H./1774 M.
Ada beberapa manuskrip salinan kitab tersebut. Salinan yang tertua dijumpai pada tahun 1209H/1794M. Maknanya penyalin manuskirp ini hidup sezaman dengan Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah Al-Banjari yang meninggal dunia pada tahun 1227 H bersamaan 1812 M. Mungkin penyalin kitab itu adalah sahabat Syeikh Muhammad Arsyad sendiri atau muridnya. Salinan lain dilakukan Mustafa bin Abdul Ghafur Al-Banjari pada Rabu, 3 Zulhijah 1237 bersamaan 21 Ogos 1812. Salinan seterusnya dilakukan oleh Muhammad Nuruddin ibnu Haji Abdul Ghafur Al-Fathani pada 12 Rabiulakhir 1293 bersamaan 5 Jun 1876. Satu lagi salinan dilakukan oleh Ahmad ibnu al-Marhum Raman pada 8 Rabiulakhir 1299 bersamaan 27 Mac 1882. Tuhfatur Raghibin dalam edisi cetakan terawal telah dilakukan di Istanbul, Turki. Penerbitan ini adalah hasil usaha Syeikh Ahmad Al-Fathani (Thailand Selatan) dan dicetak oleh Mathba'ah al-Haji Muharram Afandi. Pada edisi cetakan kedua kitab ini, tertera pembuktian bahawa pengarangnya adalah Syeikh Muhammad Arsyad bin ‘Abdullah Al-Banjari atas usaha salah seorang keturunan beliau, Syeikh Abdur Rahman Shiddiq Al-Banjari, Mufti Kerajaan Inderagiri. Cetakan yang menyebutkan pengarangnya adalah Syeikh Muhammad Arsyad bin ‘Abdullah Al-Banjari diterbitkan oleh Mathba’ah Al-Ahmadiah, Singapura, 1347 H, sekitar 83 tahun yang lalu. Dinyatakan dalam pengantar kitab itu: “Tuhfatur Raghibin. Ta'lif Al-'Alim Al-'Allamah Asy-Syeikh Muhammad Arsyad Al-Banjari.” Di bawahnya tertulis: “Telah ditashhihkan risalah oleh seorang daripada zuriat muallifnya, iaitu ‘Abdur Rahman Shiddiq bin Muhammad ‘Afif mengikut bagi khat muallifnya sendiri ...” Di bawahnya lagi tertulis, “Ini kitab sudah cap dari negeri Istanbul fi Mathba'ah al-Haji Muharram Afandi.” Di antara kandungan terpenting Tuhfatur Raghibin ialah membicarakan firqah (golongan) pemikiran akidah dalam Islam. Tentang hal ini, Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah Al-Banjari mengutip hadith yang diterjemahkannya sebagai berikut: “Bahawasanya, adalah kaum Bani Israil bercerai-cerai mereka itu kemudian daripada Nabi Musa tujuh puluh tiga kaum, sekaliannya di dalam neraka, melainkan satu kaum yang masuk syurga. Dan bercerai mereka itu kemudian daripada Nabi Isa, tujuh puluh dua kaum, sekaliannya di dalam neraka, melainkan satu kaum yang masuk syurga. Dan lagi akan bercerai-cerai umatku kemudian daripadaku tujuh puluh tiga kaum, sekaliannya itu isi neraka melainkan satu kaum jua yang masuk syurga.” Maka sembah segala sahabat, “Siapa yang satu kaum itu, ya Rasulullah?” Maka Rasulullah SAW menjawab: “Iaitu yang aku di dalamnya dan segala sahabatku.”



Kitab Tuhfatur Raghibin



2. Luqtah al-’Ajlan fi al-Haidhi wa al-Istihadhah wa an-Nifas an-Nis-yan, diselesaikan tahun 1192 H./1778 M.
3. Sabil al-Muhtadin li at-Tafaqquhi fi Amri ad-Din, diselesaikan pada hari Ahad, 27 Rabiulakhir 1195 H./1780 M.




Kitab Sabilal Muhtadin yang sangat terkenal di Alam Melayu


4. Risalah Qaul al-Mukhtashar fi ‘Alamatil Mahdil Muntazhar, diselesaikan pada hari Khamis 22 Rabiul Awal 1196 H./1781 M.
5. Kitab Bab an-Nikah.
6. Bidayah al-Mubtadi wa `Umdah al-Auladi
7. Kanzu al-Ma’rifah
8. Ushul ad-Din
9. Kitab al-Faraid
10. Kitab Ilmu Falak
11. Hasyiyah Fathul Wahhab
12. Mushhaf al-Quran al-Karim
13. Fathur Rahman
14. Arkanu Ta’lim al-Shibyan
15. Bulugh al-Maram
16. Fi Bayani Qadha’ wa al-Qadar wa al-Waba’
17. Tuhfah al-Ahbab
18. Khuthbah Muthlaqah
Masih banyak lagi tulisan dan catatan syeikh yang disimpan kalangan muridnya yang kemudian diterbitkan di Istambul (Turki), Mesir, Arab Saudi, Mumbai (Bombay), Singapura, dan kemudian Jakarta Surabaya, dan Cirebon.

Seperti yang disebut oleh Muhammad ‘Uthman el-Muhammady, jasa Syaikh Muhammad Arsyad rahimahu’Llah ta’ala boleh dilihat dari beberapa sudut antaranya seperti,
Menapis ‘akidah Ahlis-Sunnah di rantau ini dengan mengemukakan ciri-ciri pelbagai pegangan yang sesat, bid’ah, dan bahkan yang membawa kepada kekufuran, dari paradigma Islam Sunni klasik, dengan juga mengambil kira perkembangan di sini, seperti kesilapan setengah pihak berkenaan dengan wahdatul-wujud, antara lainnya. Beliau menegaskan dengan nyatanya bahawa yang hak adalah akidah Ahlis-Sunnah wal-jama’ah; Mendaulatkan Shari’at dalam faham Sunni dengan berpandukan mazhab Syafi’i radiya”Llahu a’nhu, tetapi dengan mempunyai keluasan faham sehingga membuka ruang untuk mendapatkan manfaat daripada unsur-unsur hukum yang boleh diterima. Antaranya dalam hubungan dengan harta pesaka dan juga zakat; Mengemaskini pentadbiran soal keagamaan dan kehakiman, sampai terbinanya institusi-institusi dalam hubungan dengan hal ini; dan ini sungguh besar jasanya dalam menjayakan syari’at dan kehakiman Islam di rantau ini khususnya di Banjar; Menjayakan pendidikan Islam dengan membina institusi dan menjalankan dakwah tanpa bersifat elitis semata, tetapi mengakar dalam masyarakat biasa rakyat; Memberi contoh dalam diri dan amalannya berserta dengan penulisannya dalam usaha mengembalikan tasawuf dalam islam ke pangkuan Syari’at sebagaimana yang ada dalam wacana intelektual Sunni yang baku, yang memberi legitimasi seutuhnya kepada perjalanan rohaniah yang asli itu dalam rangka epistemologi Sunni yang sepadu dan mutlak; Menentang khurafat, seperti amalan “menyangkar” dan mengadakan “pasilah” yang melibatkan pemujaan jin, sebagaimana yang banyak dihuraikannya di akhir “Tuhfatu’r-Raghibin”; Memberi kepada kita contoh hidup (“living example”) ulama Nusantara yang sedemikian unggul yang sedemikian penuh dengan prinsip “ta’awun” dengan wali al-amri di Banjar, sebagaimana yang dikehendaki dalam wacana Ahlis-Sunnah wal-Jamaah dalam rangka menjayakan budaya “al-din al-nasihah”; Membuat jasa dalam perkembangan bahasa dan persuratan Islam yang melibatkan wacana hukum dan pemikiran serta hidup spiritual Islam. Beliau terlibat dalam penterjemahan, seperti terjemahan “interliner”nya ke atas kitab “Fath ar-Rahman” yang sangat terkenal itu sehingga khalayak pembaca seolah-olah boleh melihat bagaimana proses menterjemah itu berjalan dalam diri beliau melalui buku ini.[2]

[1] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2008. Keturunan Sheikh Muhammad Arsyad Al-Banjari. Utusan Malaysia. Terbit pada 7 Januari 2008.

[2] Uthman el-Muhammady. 2003. Pendidikan Dan Da’wah Oleh Syaikh Muhammad Arsyad Al-Banjari. Kertas dibentangkan dalam Seminar Serantau Sheikh Muhammad Arsyah al Banjari –rahimahu’Llahu ta’ala - di Banjarmasin, Kalimantan Selatan, dari 4 Oktober 2003 atas anjuran bersama ABIM, DBP Malaysia, IAIN Antasari Banjarmasin, Majlis Ulama Propinsi Kalimantan Selatan dan badan Pengelola masjid Raya Sabil al-Muhtadin dengan kerjasama Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia, Akademi Kajian Ketamadunan dan Persatuan Ulama Kedah

No comments:

Post a Comment