Saturday, June 27, 2009

Tuan Guru Haji Abbas - Tokoh Ulama dari Besut



Almarhum Tuan Guru Haji Abbas



Daerah Besut tidak pernah ketandusan melahirkan ulama-ulama berkaliber. Salah seorang darinya ialah Tuan Guru Haji Abbas Ahmad. Beliaulah yang telah mengasaskan pondok Tok Jiring sehingga menjadi sekolah agama yang terkenal di peringkat tanahair pada masa ini. Beliau dilahirkan pada awal tahun 1910-an di Kampung Bukit Puteri, Kuala Besut. Kealimannya diakui khususnya dalam bidang ilmu feqah yang merangkumi 4 mazhab iaitu Shafie, Maliki, Hanafi dan Hambali menerusi gerakan pendidikan pondok.
Tuan Guru Haji Abbas mendapat pendidikan awal di Pondok Haji Mohd bin Haji Hussein, Kuala Besut. Selepas itu sepertimana yang menjadi kelaziman ulama-ulama besar satu masa dahulu, beliau kemudian melanjutkan pelajaran ke Makkah selama 8 tahun ketika usianya baru menjejak 14 tahun. Setelah menyelesaikan pengajian di Makkah, beliau kemudiannya berangkat ke India untuk menyambung pengajian di Universiti Al-Jamiah Al- Islamiah, Gujerat. Pada ketika itu, beliau berusia 22 tahun. Selepas pulang ke tanah air, empat tahun kemudian beliau pergi semula ke India untuk meneruskan pengajiannya di Universiti Darul Ulum Deoband selama setahun iaitu pada tahun 1938. Setelah menyelesaikan pengajiannya, beliau pulang semula ke tanahair. Matlamat utamanya ialah beramal, berbakti dan berkorban demi mencapai keredaan Allah. Untuk mencapai matlamatnya itu, ilmu wajib dikembangkan demi kesejahteraan umat seluruhnya. Langkah pertama ialah dengan mengasaskan sebuah pondok di kampung kelahirannya sendiri yang diberi nama Jamiah Diniah. Bersama-sama dengan beberapa ulama lain, beliau membuka sebuah lagi pondok di Kampung Raja, Besut iaitu Madrasah Nurul Ittifaq dan seterusnya membuka satu lagi pusat pengajian yang diberi nama Darul Adib Al-Khursani di Kuala Besut. Gerakan pendidikan dan dakwah Tuan Guru Haji Abbas ini melewati Besut hingga ke sempadan Bukit Yong di Kelantan dengan membuka beberapa buah pondok mulai 1945. Beliau kemudiannya berhijrah ke Kuala Terengganu dan mengasaskan pondok Tok Jiring hingga sekolah itu menjadi terkenal di Terengganu dan seluruh negara amnya.[1] Pondok ini diasaskan pada tahun 1953. Ia berkembang menjadi sebuah Sekolah Menengah Agama sehingga kerajaan negeri mengambil alih pentadbirannya pada tahun 1962. Pada tahun 1976, Kementerian Pelajaran Malaysia mengambil alih pentadbirannya dan dinaikkan taraf menjadi sebuah sekolah menengah agama yang termoden di Terengganu.[2] Atas sumbangan dan jasanya yang tidak ternilai kepada anak bangsa itu, kerajaan Negeri Terengganu mengisytiharkannya sebagai Tokoh Ulama dalam Majlis Sambutan Ma'al Hijrah pada Tahun Hijrah 1409. Pada 17 April 1989, Sultan Terengganu berkenan mengurniakan Bintang Kebesaran Negeri Terengganu, Datuk Paduka Mahkota Terengganu, (DPMT) yang membawa gelaran Datuk kepadanya. Tuan Guru Haji Abbas juga pernah dianugerahkan sebagai Tokoh Guru Terengganu tahun 1990. Pada 16 Mei 1991, beliau sekali lagi dianugerahkan sebagai Tokoh Guru Peringkat Nasional. Dalam pentadbiran kerajaan negeri, beliau pernah dilantik sebagai senator selama 6 tahun oleh Dewan Undangan Negeri Terengganu pada awal tahun 60-an.[3] Tuan Guru Haji Abbas dikurniakan 15 orang anak. Antara anaknya yang meneruskan aktiviti dakwah menerusi sistem pondok ialah Abdul Aziz. Salah seorang anak muridnya yang menjadi ulama besar pada masa ini ialah Menteri Besar Kelantan pada ketika ini iaitu Tuan Guru Haji Nik Aziz Nik Mat[4]. Tuan Guru Haji Nik Aziz menimba ilmu kepada Tuan Guru Haji Abbas di Madrasah Nurul Ittifaq di Besut.[5]Tuan Guru Haji Abbas berpulang kembali ke rahmatullah pada 1 Julai 1997.


Tuan Guru Haji Abbas dalam kenangan - Ulama asal Besut yang sangat gigih menyebarkan dakwah




[1] Rujuk http://smkatj2010.blogspot.com/2008/04/pengasas-smka-tok-jiring-seorang-ulama.html. Dicapai pada 27 Jun 2009

[2] Rujuk http://rasmi.smkatokjiring.com/index.php?option=com_content&task=view&id=55&Itemid=57. Dicapai pada 27 Jun 2009
[3] Rujuk http://rasmi.smkatokjiring.com/index.php?option=com_content&task=view&id=55&Itemid=57. Dicapai pada 27 Jun 2009
[4] Lahir pada tahun 1931 di Pulau Melaka, Kelantan. Dilantik menjadi Menteri Besar Kelantan pada 22 Oktober 1990.
[5] Rujuk biodata Menteri Besar di http://mbkelantan.disanasini.com/biodata/

No comments:

Post a Comment