Wednesday, June 17, 2009

Sumbangan Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari

Sumbangan Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari
1. Ketika di Makkah, selain dari menimba ilmu, Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari turut mengajar ilmu fiqh berdasarkan mazhab Syafi’i. Beliau mengajar ilmu tersebut di Masjidil Haram setelah diiktiraf akan pengetahuannya yang meluas didalam bidang itu oleh gurunya. Syeikh Muhammad Arsyad turut membina rumah yang diberi nama Barakat Banjar yang terletak di Kampung Syamiyah berdekatan dengan Masjidil Haram. Rumah itu dibina diatas biaya Sultan Tamjidillah dan masih ada sehingga ke hari ini. Kini ia dikelola oleh Syeikh Ali Sulaiman Banjar. Rumah ini tidak hanya mendapat kunjungan dari masyarakat Banjar tetapi juga dari masyarakat luar samada dari Alam Melayu atau dari masyarakat setempat.[1]
2. Ilmunya yang meluas termasuklah ilmu-ilmu alat seperti geografi, biologi, matematik dan astronomi telah digunakan untuk membantu masyarakat menyelesaikan masalah-masalah yang timbul dalam kehidupan. Sebagai contoh, dalam tahun 1772, beliau telah menggunakan ilmu astronomi yang dipelajarinya untuk membetulkan arah kiblat di masjid Jembatan Lima, masjid Luar Batang dan masjid Pakojan di Jakarta.[2] Khabarnya, plak yang menyatakan bahawa arah kiblat telah dibetulkan oleh Syeikh Muhammad Arsyad boleh dilihat di masjid Jembatan Lima.
3. Salah satu cara Syeikh Muhammad Arsyad mengembangkan Islam ialah melalui perkahwinan. Beliau berkahwin dengan beberapa orang wanita dari pelbagai bangsa yang disebut dalam bahasa tempatan sebagai bubuhan. Isterinya yang pertama dikenali sebagai Bajut. Ketika mengandungkan anak pertama, Syeikh Muhammad Arsyad belayar ke Makkah. Syeikh Muhammad Arsyad pulang bertemu isterinya 30 tahun selepas itu. Isteri keduanya ialah Markida. Markida dan Bajut banyak membantu Syeikh Muhammad Arsyad mengembangkan ajaran Islam dikalangan masyarakat orang-orang kebanyakan. Isterinya yang keempat ialah Guwat atau nama sebenarnya Go Hwat Nio. Beliau berbangsa Cina. Dengan isterinya yang berbangsa Cina ini, Syeikh Muhammad Arsyad berdakwah kepada masyarakat Cina. Isterinya yang keempat ialah Aminah yang merupakan anak kepada Raja Thoha bin Sultan Tahmidillah. Aminah berasal dari keluarga bangsawan. Dengan isterinya yang keempat ini, Syeikh Muhammad Arsyad menyebarkan kefahaman Islam kepada golongan diraja dan bangsawan.[3]
4. Tanah yang dikurniakan oleh Sultan hasil perkahwinannya dengan Aminah telah digunakan untuk mewujudkan penempatan baru dan membina sekolah. Penempatan ini dikenali sebagai Dalam Pagar. Di Dalam Pagar, beliau membina sekolah asrama untuk kemudahan masyarakat setempat. Syeikh Muhammad Arsyad mengajar tidak hanya ilmu agama tetapi juga ilmu-ilmu alat untuk dimanfaat oleh masyarakat setempat. Sebagai contoh, selain dari mengajar ilmu ibadah, fiqh, tasawwuf dan aqidah, Syeikh Muhammad Arsyad turut mengajar ilmu pertanian kepada pelajarnya.[4]
5. Dalam bidang pertanian, Syeikh Muhammad Arsyad telah membina sebuah terusan di Dalam Pagar bertujuan untuk mengairi kawasan pertanian. Terusan ini dikenali dengan nama Sungai Tuan.[5]
6. Sumbangan terbesar Syeikh Muhammad Arsyad sudah pastilah dalam bidang penulisan. Beliau telah menulis pelbagai kitab dalam bidang-bidang yang berlainan seperti qiraat, tauhid, aqidah, fiqh dan tasawwuf. Kitab yang ditulis berkenaan dengan ilmu qiraat terdiri dari 3 jilid dengan 30 juzuk keseluruhannya. Kitab ini ditulis pada tahun 1779 dengan menghuraikan qiraat Ibn Kathir dan Warasy. Dalam bidang tauhid, beliau mengarang kitab Usuluddin pada tahun 1774, Tuhfah ar-Raghibin fi Bayan Haqiqah iman al-Mu’minin wa Ma Yufsiduhu min Riddah al-Murtaddin (selepas ini disebut Tuhfah) dan al-Qaul al-Mukhtasar fi ‘Alamah al-Mahdi Muntazar. Kitab Tuhfah lebih mendalam dari Usuluddin disasar kepada penuntut tingkatan atas. Kitab al-Qaul al-Mukhtasar pula menceritakan tentang tanda-tanda Hari Kiamat. Dalam bidang tasawwuf, Syeikh Muhammad Arsyad mengarang kitab Kanz al-Ma’rifah dan Fath ar-Rahman bi Syarh Risalah al-Wali ar-Ruslan. Dalam bidang fiqh pula, Syeikh Muhammad Arsyad menghasilkan karya-karya seperti Luqtah al-Ajlan (ditulis pada tahun 1778 Masehi) yang menghuraikan masalah fiqh wanita seperti haid dan sebagainya, Sabil al-Muhtadin li at-Tafaqquh li Amr ad-Din (ditulis pada tahun 1781 Masehi) yang membicarakan hal-hal yang berkaitan dengan bersuci, solat, zakat, puasa, haji, umrah, sembelihan dan makanan dalam Islam, kitab al-Nikah yang memperincikan tentang hal perkahwinan, kitab al-Faraid tentang ilmu pewarisan, kitab al-Falak tentang astronomi dan Fatwa yang menghimpunkan soal-jawab beliau dengan gurunya Sulaiman Kurdi ketika di Makkah tentang hal-hal yang berkaitan dengan cukai, zakat dan solat Jumaat.[6]
7. Syeikh Muhammad Arsyad turut memberikan sumbangan yang cukup besar dalam hal-ehwal pentadbiran kerajaan khususnya dalam menegakkan undang-undang mengikut lunas-lunas Islam. Beliau telah menubuhkan mahkamah syariah dan mewujudkan jawatan mufti dan qadhi. Kedua-dua jawatan ini memimpin fungsi dan tugas Mahkamah Syariah. Mufti bertindak sebagai penasihat kepada Sultan dalam hal-ehwal keagamaan manakala Qadhi melaksanakan hal-hal syariah, perkahwinan dan sistem pusaka dalam masyarakat.[7]





[1] M.Rusydi. 2007. The Influence of Muhammad Arsyad al-Banjari on the Religiosity of Banjarese Society. Al-Banjari Vol. 5. No.10. Juli-Desember 2007. Hlm 5-6
[2] M.Rusydi. 2007. The Influence of Muhammad Arsyad al-Banjari on the Religiosity of Banjarese Society. Al-Banjari Vol. 5. No.10. Juli-Desember 2007. Hlm 5
[3] M.Rusydi. 2007. The Influence of Muhammad Arsyad al-Banjari on the Religiosity of Banjarese Society. Al-Banjari Vol. 5. No.10. Juli-Desember 2007. Hlm 6-7
[4] M.Rusydi. 2007. The Influence of Muhammad Arsyad al-Banjari on the Religiosity of Banjarese Society. Al-Banjari Vol. 5. No.10. Juli-Desember 2007. Hlm 7
[5] M.Rusydi. 2007. The Influence of Muhammad Arsyad al-Banjari on the Religiosity of Banjarese Society. Al-Banjari Vol. 5. No.10. Juli-Desember 2007. Hlm 7
[6] M.Rusydi. 2007. The Influence of Muhammad Arsyad al-Banjari on the Religiosity of Banjarese Society. Al-Banjari Vol. 5. No.10. Juli-Desember 2007. Hlm 8-11
[7] M.Rusydi. 2007. The Influence of Muhammad Arsyad al-Banjari on the Religiosity of Banjarese Society. Al-Banjari Vol. 5. No.10. Juli-Desember 2007. Hlm 11

No comments:

Post a Comment