Friday, July 24, 2009

Haji Muhammad Saaid dan Tafsir Nur al-Ihsan 30 juzuk

Haji Muhammad Saaid Bin Umar Khatib[1] dilahirkan pada tahun 1275 Hijrah bersamaan 1857 Masihi di Kampung Kuar, Jerlun, Kedah. Beliau merupakan anak yang pertama dari dua orang adik beradik. Adiknya bernama Haji Ismail. Haji Muhammad Saaid mendapat pendidikan awal daripada bapanya sendiri di Kedah. Selepas daripada itu, beliau meneruskan perjalanannya untuk menuntut ilmu di Patani dan kemudiannya di Makkah dalam usia yang masih muda belia. Ketika menuntut ilmu disana beliau pernah digelar Lebai Saaid. Menurut almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir, Haji Muhammad Saaid dikatakan pernah belajar di Pondok Bendang Daya, Patani dan sempat belajar dengan pengasasnya iaitu Syeikh Haji Wan Mustafa al-Fathani (Tok Bendang Daya pertama). Beliau juga dikatakan banyak menimba ilmu dari Syeikh Abdul Qadir bin Mustafa al-Fathani (Tok Bendang Daya kedua).[2]
Setelah tamat pembelajarannya di Makkah, beliau kembali ke kampung halamannya untuk menyebarkan ilmu yang telah dipelajarinya. Selepas berada di Kedah buat beberapa ketika, beliau kemudiannya berpindah ke Changkat Kerian, Perak dan membuka sebuah sekolah pondok di situ. Haji Muhammad Saaid telah bertindak sebagai seorang tenaga pengajar di sekolah pondok yang diasaskan olehnya itu. Ketika menetap di Changkat Kerian, Haji Muhammad Saaid telah berkahwin dengan seorang penduduk tempatan yang bernama Fatimah. Mereka telah dikurniakan tiga orang anak lelaki yang diberi nama Mahmud, Muhammad dan Ahmad. Walaubagaimanapun, isteri beliau terlebih dahulu kembali ke rahmatullah dalam usianya yang masih muda. Setelah kematian Fatimah, beliau mengahwini Hajjah Rahmah yang berasal dari Pulau Mertajam, Perak. Hasil perkongsian hidupnya dengan isteri yang kedua ini, beliau telah memperolehi empat orang anak, iaitu Umar, Abdul Hamid, Safiah dan Fatimah. Pada masa yang sama, berlakulah satu peristiwa penting dimana Siam telah melancarkan serangan ke atas Kedah. Haji Muhammad Saaid kemudiannya berpindah ke Kampung Kedah, Perak. Haji Muhammad Saaid membuka sekolah pondok disitu dan mengajar pelajar-pelajar sekolah yang didirikannya di tempat baru itu. Beliau juga turut mengerjakan tanah sawah di situ. Di Kampung Kedah, beliau berkahwin buat kali ketiganya dengan Hajjah Hamidah yang merupakan penduduk asal di situ dan memperolehi seramai sepuluh orang anak. Mereka ialah Mustafa, Kasim, Siti Hajar, Mariam, Asma, Mohd Akib, Hussain, Mansur dan Nasir. Diriwayatkan bahawa pada suatu hari ketika berada di bendang padi, Haji Muhammad Saaid telah didatangi oleh perwakilan dari Kedah dengan hajat menyampaikan utusan dari Tengku Mahmud. Mereka meminta agar beliau kembali semula ke Kedah dengan alasan Haji Muhammad Saaid adalah anak jati negeri Kedah dan sewajarnya beliau berbakti kepada rakyat Kedah. Haji Muhammad Sa‘id kemudiannya mengambil keputusan untuk kembali ke Kedah semula dan beliau telah dihadiahkan sebidang tanah di Kancut, Kedah. Peristiwa itu berlaku sekitar tahun 1312H bersamaan 1894M ketika beliau berusia berumur 37 tahun. Beliau menetap dan berkhidmat di situ sehinggalah ke akhir hayatnya. Sekembalinya ke Kedah, beliau diberi jawatan Guru di Raja dimana tugasnya ialah mengajar anak-anak raja. Di antara pelajaran yang diajarnya ialah tafsir. Selepas itu beliau diberi jawatan sebagai Kadi di Jitra dan di gelar Haji Saaid Mufti. Beliau sangat aktif menyebarkan risalah Islam dan mengajar di surau dan masjid. Pada usia 75 tahun, ketika masih lagi berkhidmat sebagai kadi, beliau mula mengidap penyakit lenguh sebelah badan dan perlu menjalani pembedahan. Selepas itu beliau dibawa pulang kepangkuan isterinya Hajjah Rahmah di Jitra. Setelah beberapa hari berada di sana, beliau kembali ke Kanchut, bersama isterinya Hajjah Hamidah. Pada hari Rabu, selepas waktu Asar, 22 Zulkaedah 1350 bersamaan 9 Mac 1932 Hj Mohd Saaid kembali ke Rahmatullah dan dikebumikan di Masjid Alor Merah, Alor Star. Diriwayatkan bahawa Haji Muhammad Saaid pernah mengarang dua buah kitab iaitu Tafsir Nur al-Ihsan dan juga Fatwa Kedah. Kitab Tafsir Nur al-Ihsan merupakan hasil karangannya yang terbesar dan masih berlegar dipasaran kitab pada hari ini manakala Fatwa Kedah pula dikarang semasa beliau berkhidmat sebagai seorang kadi. Ia memuatkan fatwa-fatwa mengenai hukum nikah cerai dan ditulis dengan tujuan untuk diedarkan kepada imam-imam masjid. Kitab Tafsir Nur al-Ihsan mula dikarang pada bulan Zulhijjah 1344H bersamaan Januari 1925M, iaitu pada zaman pemerintahan Sultan Abdul Hamid Halim Shah ibn al-Marhun Sultan Ahmad Taj al-Din Mukarram Shah. Penulisan kitab tersebut memakan masa selama 2 tahun 9 bulan[3]. Kitab ini dikatakan mula dicetak pada tahun 1934M dan antara syarikat percetakan yang pernah mencetaknya ialah Persama Press yang terletak di Achen Street, Pulau Pinang, Maktabah wa Matba‘ah Dar al-Ma‘arif, Sungai Penang Road di Pulau Pinang dan Maktabah wa Matba‘ah Muhammad al-Nahdi wa Awladuh yang terletak di Bangkok, Thailand.
Kitab tafsir Nur al-Ihsan ini merupakan salah satu daripada karya tafsir di bawah kategori kitab tafsir lengkap 30 juzu’, seperimana Tafsir Pimpinan al-Rahman Kepada Pengertian al-Qur’an karangan Syaykh Abdullah Basmeih dan kitab Khulasah al-Qur’an oleh Maulana Abdullah Awang Nuh. Kitab tafsir terdiri dari empat jilid dan kandungan bagi setiap jilidnya adalah seperti berikut :-
Jilid Pertama : Bermula dari surah al-Fatihah diikuti al-Baqarah seterusnya Ali ‘Imran, al-Nisa’ dan berakhir dengan surah al-Ma’idah. Muqaddimah turut dicatatkan yang berisi tentang pengertian Islam, iman dan disusuli pula dengan lima rukun Islam secara ringkas. Turut dijelaskan ialah enam rukun iman dan disertakan dengan sedikit ulasan bagi setiap rukun tersebut. Ini diikuti dengan penerangan mengenai ibadat solat dari segi syarat solat, rukun wudhu dan rukun solat.
Jilid Kedua :Dalam jilid kedua, terdapat 12 surah yang ditafsir dimulai dengan surah al-An‘am sehinggalah kepada surah al-Isra’.
Jilid Ketiga :Pentafsiran bermula dari surah al-Kahfi dan diakhiri dengan surah al-Zumar.
Jilid Keempat :Surah-surah yang dimuatkan ialah bermula dengan surah Ghafir sehinggalah surah al-Nas.


[1] Bapanya merupakan seorang khatib dan dengan itu dikenali sebagai ‘Umar Khatib’ kerana terkenal dengan ketokohan dan kefasihannya ketika menyampaikan ucapan dan berkhutbah di hadapan khalayak ramai.
[2] Wan Mohd Saghir. 2004. Muhammad Sa'id Umar Kedah - Pengarang Tafsir Nur al-Ihsan. Utusan Malaysia. Terbit pada 13 Disember 2004. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=1213&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive
[3] Diselesaikan pada hari Rabu, 1 Rabiul Akhir 1346H ataupun 1 Oktober 1927M

1 comment: