Thursday, July 16, 2009

Syeikh Ahmad Yunus, Ulama Besar asal Lingga

Salah satu kitab lama yang masih berlegar dipasaran dan disyarah di masjid dan surau ialah Daqaiqul Akbar. Kitab ini ditulis oleh seorang ulama yang berasal dari Pulau Lingga. Pulau ini terletak didalam Kepulauan Riau yang satu masa dahulu diperintah oleh Kerajaan Kesultanan Riau-Lingga. Kesultanan Riau-Lingga adalahkerajaan Islam yang merupakan pecahan dari Kesultanan Johor. Kesultanan ini dibentuk berdasarkan perjanjian antara Inggeris dan Belanda pada tahun 1824 dimana Sultan Abdul Rahman Muadzam Syah menjadi sultan yang pertama. Kesultanan ini kemudiannya dihapuskan oleh pemerintah kolonial Belanda pada 3 Februari 1911.



Kedudukan Pulau Lingga yang terletak antara Semenanjung Tanah Melayu dengan Pulau Sumatera


Nama ulama tersebut ialah al-'Alim al-'Allamah asy-Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga. Asal-usulnya diriwayatkan dari Kelantan. Menurut almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir, Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga mempunyai dua orang adik bernama Abdul Hamid dan Ibrahim.[1] Abdul Hamid adalah seorang ulama yang mempunyai dua orang anak, iaitu Ahmad dan Muhammad, manakala Ibrahim tidak mempunyai anak. Beliau mendapat pendidikan awal di Pondok Bendang Daya, Patani. Selepas itu beliau melannjutkan pelajaran ke Makkah. Di Makkah beliau menimba ilmu dengan Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan (1231 H/1815 M-1304 H/1886 M), Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki (wafat pada 10 Jamadilawal 1335 H), Saiyid Ahmad an-Nahrawi dan ramai lagi. Syeikh Ahmad juga dikatakan mendalami kaedah bahasa Melayu dan sejarah ketika tinggal di Riau-Lingga.[2] Syeikh Ahmad merupakan salah seorang ulama besar Melayu di zamannya yang pernah mengajar di Makkah dan berjaya melahirkan ramai ulama-ulama besar selepasnya. Antara ulama besar yang pernah menadah kitab kepadanya ialah
1. Syeikh 'Utsman Sarawak dan anaknya Syeikh Muhammad Zainuddin Sarawak. Menerusi catatan Syeikh Muhammad Zainuddin Sarawak, dapatlah diketahui bahawa Syeikh Ahmad merupakan seorang yang sangat mahir dalam ilmu bahasa Melayu sehingga digelar Qus Bahasa Melayu. Seperti yang dicatat oleh almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir,
Syeikh Muhammad Zainuddin as-Sarawaqi menulis, "...Asy-Syeikh yang alim, yang sampai kepada kepandaiannya ialah seperti Qus pada masanya tentang bahasa Melayu, iaitu seorang yang cerdik pada orang-orang Arab yang memegang tali lagam segala ilmu adab. Orang yang berkhidmat akan Tuhannya terlampau cermat dan jaga, iaitu Asy-Syeikh Ahmad orang Lingga ..."
2. Qadhi Abu Bakar bin Hasan, ulama besar yang berasal dari Muar, Johor. Beliau banyak menulis catatan tentang Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga. Beliau tidak pernah lupa mencatat tarikh mula belajar dan selesai kitab- kitab yang dipelajari dan dikhatamnya daripada Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga. Menerusi catatan Qadhi Abu Bakar ini, dapatlah diketahui Syeikh Ahmad juga merupakan ahli dalam ilmu hadith. Ini berdasarkan catatan Qadhi Abu Bakar yang menyebut bahawa di antara kitab hadith yang diajar oleh Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga ialah kitab Sahih Bukhari dan kitab-kitab hadith selainnya yang dikenali dengan Kitab as-Sittah.
3. Abdullah Fahim (datuk kepada mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi)
4. Tok Kenali (ulama besar di Kelantan)
5. Kiyai Hasyim Asy'ari (pendiri Nahdatul Ulama di Indonesia)[3]
Antara ulama besar Alam Melayu yang menjadi sahabatnya ialah seperti
1. Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani (1272 H/ 1856 M-1325 H-1908 M). Syeikh Ahmad al-Fathani mengakui keilmuan Syeikh Ahmad apabila memasukkan namanya sebagai ahli pentashhih kitab Melayu/Jawi.
2. Syeikh Ahmad Khatib bin Lathif Minangkabau (1276 H/1860 M-1334 H/1916 M),
3. Syeikh 'Utsman bin Syihabuddin al-Funtiani
Selain mengajar, Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga turut menguruskan jemaah haji menunaikan fardhu tersebut di Makkah. Sebahagian besar jemaah haji yang datang dari Kepulauan Riau, Johor, Pahang, Terengganu dan Selangor diurus oleh Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga.
Seperti yang disebut oleh almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir, karya Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga yang telah dijumpai hanya empat iaitu:
1. Daqaiq al-Akhbar fi Zikri al-Jannah wa an-Nar. Inilah kitab Syeikh Ahmad yang sangat terkenal dan masih lagi disyarah dengan meluas di masjid dan surau. Kandungannya merupakan karya terjemahan kitab Daqaiq al-Akhbar fi Zikri al-Jannah wa an-Nar dalam bahasa Arab yang pertama sekali diterjemahkan ke bahasa Melayu. Kitab ini menceritakan kejadian alam ghaib terutama tentang syurga dan neraka. Gaya penulisan Syeikh Ahmad yang tersendiri menyebabkan si pembacanya menjadi asyik lalu merangsang agar berusaha menyiapkan bekal untuk akhirat dan meninggalkan pelbagai bentuk dosa yang dilarang oleh Allah dan Rasul-Nya. Kitab ini diselesaikan pada hari Selasa, 20 Muharam 1312 H, di Makkah. Cetakan yang pertama dikeluarkan oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Makkah pada bulan Jamadilakhir 1312 H. Kitab ini dicetak atas usaha Syeikh Ismail Aceh.
2. Ats-Tsimar al-Lazizah 'ala ar-Riyadh al-Badi'ah. Syeikh Ahmad menterjemahkan judulnya seperti berikut, Segala Buah Kayu Yang Sedap-Sedap Atas Segala Kebun Yang Indah-indah. Kandungannya dimulai dengan pembicaraan akidah. Kandungan utama ialah feqah bahagian ibadat menurut Mazhab Syafie. Pada bahagian akhir ada dibicarakan perkara sumpah dan nazar, ziarah Rasulullah s.a.w. dan zikrullah. Kitab ini diselesaikan pada 21 Safar 1312 H. Kitab ini pernah dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Makkah pada 1322 H dan Mathba'ah Dar Ihya' Kutub al-'Arabiyah pada bulan Safar 1344 H.
3. Nasihat al-Ahli al-Wafa ila Washiyat al-Mushthafa. Kandungan kitab ini merupakan terjemahan hadith wasiat Nabi Muhammad s.a.w. kepada Saidina Ali k.w. Kitab ini diselesaikan pada hari Sabtu, pukul 9.30, 11 Syawal 1312 H, di Makkah. Kitab ini pernah dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah di Makkah pada tahun 1323 H.
4. Hadiqah ar-Raihan fi Qishshah Saidina Sulaiman. Kandungannya mengenai kisah Nabi Sulaiman a.s. Karya ini dapat dikategorikan dalam sastera klasik Melayu-Islam. Kitab ini diselesaikan pada 24 Jamadilawal 1313 H di Makkah dan pernah dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah di Mekah pada awal Muharam 1324 H.[4]
Kemungkinan besar ada banyak kitab yang ditulis oleh Syeikh Ahmad tapi tidak berjaya dikesan. Ini berdasarkan kekerapan beliau menulis dalam tempoh setahun. Sebagai contoh empat kitab yang disebut diatas ditulis dalam tempoh setahun sahaja iaitu dari tahun 1312 hingga 1313 Hijrah. Sekiranya beliau menulis dalam tempoh 20 tahun, mungkin berpuluh kitab telah dihasilkannya.



[1] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2005. Syeikh Ahmad Yunus Lingga - Pakar bahasa Melayu di Mekah. Utusan Malaysia. Terbit pada 7 November 2005. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1107&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive
[2]Kerajaan Riau-Lingga seperti diketahui umum adalah merupakan pusat tamadun Melayu dan Islam pada kurun ke 19 Masehi. Perkembangan budaya, bahasa dan sastera di Riau-Lingga tersebar ke serata ceruk dan rantau dunia Melayu. Ketokohan beberapa orang pengarang yang berasal dari sana, terutamanya Raja Ali Haji begitu ketara sepanjang zaman itu.

[3] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2005. Syeikh Ahmad Yunus Lingga - Pakar bahasa Melayu di Mekah. Utusan Malaysia. Terbit pada 7 November 2005. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1107&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive
[4] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2005. Syeikh Ahmad Yunus Lingga - Pakar bahasa Melayu di Mekah. Utusan Malaysia. Terbit pada 7 November 2005. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1107&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive

No comments:

Post a Comment