Sunday, July 5, 2009

Syeikh Muhammad Thaiyib al-Banjari dan keturunannya yang bergelar ulama



Muhammad Thaiyib adalah ulama besar di Alam Melayu pertengahan abad ke-19 Masehi yang mempunyai jurai keturunan Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari. Nama lengkapnya ialah Syeikh Muhammad Thaiyib bin Mas'ud bin Qadhi Abu Su'ud bin Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari. Beliau turut memakai tambahan al-Khalidi an-Naqsyabandi dihujung namanya. Penambahan perkataan "al-Khalidi an-Naqsyabandi" adalah berdasarkan sebuah karya beliau judul, Fat-hul Hadi yang menunjukkan bahawa beliau adalah seorang sufi, pengamal Thariqat Naqsyabandiyah aliran al-Khalidiyah. Syeikh Muhammad Thaiyib adalah sezaman dengan seorang lagi tokoh besar pengamal Thariqat Naqsyabandiah iaitu Syeikh Ismail bin Abdullah al-Khalidi (Minangkabau). Menurut almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir, ada kemungkinan bahawa Syeikh Muhammad Thaiyib bin Mas'ud al-Banjari adalah murid kepada Syeikh Ismail bin Abdullah al-Khalidi kerana ulama Minangkabau tersebut lebih dahulu muncul daripada Syeikh Muhammad Thaiyib bin Mas'ud al-Banjari.[1] Menerusi kedua-dua tokoh ini, thariqat Naqsyabandiah tersebar dalam kerajaan Riau-Lingga dan selanjutnya di Melaka dan Kedah. Ayahanda Syeikh Muhammad Thaiyib iaitu, Syeikh Mas'ud diriwayatkan telah menemui syahid[2] dalam peperangan di antara Patani dan Kedah melawan Siam yang telah bersama-sama berjuang dengan Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani yang dikatakan turut menemui syahid dalam peperangan itu. Datuk Syeikh Muhammad Thaiyib bernama Qadhi Haji Abu Su'ud, merupakan anak Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari yang mula-mula bermastautin di Kedah. Diceritakan bahawa dalam perjalanan beliau pulang dari Makkah ke Banjar, beliau telah singgah di Kedah. Sultan Kedah telah meminta kepadanya supaya tinggal di Kedah saja untuk menjadi guru baginda dan rakyat Kedah. Di Kedah Qadhi Haji Abu Su'ud al-Banjari atas kehendak Sultan Kedah berkahwin dengan seorang perempuan bernama Rajmah. Dari perkahwinan itu, beliau memperoleh anak lalu dinamakan Mas'ud, iaitu ayahanda kepada Syeikh Muhammad Thaiyib. Syeikh Muhammad Thaiyib Banjar-Kedah dipercayai memperoleh pendidikan asas dari ayah dan datuknya sendiri. Selanjutnya Syeikh Muhammad Thaiyib juga menadah kitab kepada kaum keluarganya yang menjadi ulama di negeri Banjar, Jawa, Bangka, Belitung dan Makkah.
Ada tiga karya ulama besar yang berasal dari Banjar ini yang dapat dikesan setakat ini iaitu
Miftah al-Jannah fi Bayan al-'Aqidah,
Terdapat dua catatan penulisan ini diselesaikan iaitu pada 16 Syawal 1247 H/19 Mac 1832 M pada naskhah pertama dan pada satu naskhah yang lain pula dinyatakan pada 16 Syawal 1255 H/23 Disember 1839 M. Kitab ini juga telah dicetak dalam pelbagai edisi oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah Mekah antara tahun 1321 H dan 1327 H. Ia juga ada dicetak dengan kombinasi risalah-risalah lain seperti Ushul at-Tahqiq, Mau'izhah li an-Nas, Tajwid al-Quran semuanya tanpa menyebut nama pengarang manakalanya di tepinya pula dicetak risalah Asrar ad-Din juga tidak disebut nama pengarang.
Fat-hul Hadi,
Kitab ini diselesaikan pada hari Isnin, 4 Jumadilakhir 1282 H/25 September 1865 M. Kandungan membicarakan ilmu tasawuf tentang haqiqat yang merupakan terjemahan dan petikan daripada kitab Syarh Tuhfah al-Mursalah Syeikh Muhammad Bin Fadhlullah Al-Burhanfuri yang disyarah oleh Syeikh 'Abdul Ghani an-Nablusi.
Bidayah al-Ghilman fi Bayan Arkan al-Iman,
Kitab ini diselesaikan pada tahun 1297 H/1879 M. Kandungannya terdiri dari feqah yang membicarakan masalah mengganti sembahyang yang tertinggal menurut Mazhab Hanafi yang diamalkan dalam Mazhab Syafie dan zakat dan tauhid yang membahas Sifat Dua Puluh.
Anak-anak Syeikh Muhammad Thaiyib bin Mas'ud di Kedah di antaranya ialah Haji Muhammad Nashir, Haji Salman, Haji Abdullah dan Haji Abdur Rahman. Haji Muhammad Nashir bin Syeikh Muhammad Thaiyib al-Banjari menurunkan seorang anak yang menjadi ulama besar yang sangat terkenal di Malaysia, Patani dan Banjar iaitu Tuan Guru Tuan Husein Kedah. Tuan Husein lahir di Titi Gajah, Alor Setar, Kedah, hari Ahad, 20 Jamadilawal 1280 Hijrah/2 November 1863 Masihi dan meninggal dunia pada hari Isnin, 18 Zulkaedah 1354 Hijrah/10 Februari 1936 Masihi). Menurut almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir Abdullah, usia Tuan Husein Kedah al-Banjari adalah sebaya dengan seorang lagi ulama terkenal di Kedah iaitu Tuan Guru Haji Muhammad Saleh, Pulau Pisang dalam daerah Kubang Pasu kerana masing-masing lahir dalam tahun yang sama iaitu 1280 Hijrah/1863/4 Masihi. Malah mereka juga menuntut ilmu bersama-sama ketika di Makkah. Barangkali ada hubungan erat antara kedua-dua ulama itu kerana ibu Tuan Husein bernama Tengku Fatimah binti Tengku Mahmud, juga berasal dari daerah Kubang Pasu.[3] Tuan Husein Kedah mendapat pendidikan asas sistem pondok daripada datuknya Haji Muhammad Thaiyib Kedah al-Banjari. Beliau kemudiannya berangkat ke Patani untuk menimba ilmu di Pondok Bendang Daya. Menurut almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir Abdullah, beliau sempat belajar kepada pengasasnya, Haji Wan Mushthafa bin Muhammad al-Fathani (Tok Bendang Daya I) dan selanjutnya kepada anak beliau, Syeikh Abdul Qadir (Tok Bendang Daya II). Ketika di Bendang Daya, beliau bersahabat dengan Wan Ismail bin Mushthafa (Cik Doi) dan Tok Kelaba. Selain di Bendang Daya Tuan Husein juga dikatakan pernah belajar di Pondok Semela.[4] Tuan Husein kemudiannya melanjutkan pelajarannya di Makkah. Di antara gurunya ialah Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, Sayid Ahmad bin Zaini Dahlan dan Sayid Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki. Sama seperti datuknya, Tuan Hussein Kedah sangat berkebolehan dalam bidang penulisan. Beliau banyak menghasilkan kitab dan ada diantaranya masih berlegar dipasaran. Kitab-kitab yang dihasilkan oleh Tuan Hussein Kedah ialah
An-Nurul Mustafid fi Aqaidi Ahlit Tauhid, Kitab ini diselesaikan pada tahun 1305 Hijrah/1888 Masihi. Kandungannya membicarakan tentang tauhid, akidah Ahlis Sunnah wal Jamaah.
Tamrinush Shibyan fi Bayani Arkanil Islam wal Iman, Kitab ini diselesaikan pada hari Sabtu, 1 Syaaban 1318 Hijrah. Kandungannya membicarakan tauhid, akidah Ahlis Sunnah wal Jamaah dinyatakan rujukannya ialah Ummul Barahin, Syarah Hudhudi karya as-Suhaimi, Hasyiyah Syarqawi dan Dhiyaul Murid. Ia dicetak oleh Mathba'ah Dar Ihya' al-Kutub al-'Arabiyah, Mesir dalam bulan Zulkaedah 1346 Hijrah, ditashhih oleh Ilyas Ya'qub al-Azhari.
Hidayatus Shibyan fi Ma'rifatil Islam wal Iman, Kitab ini diselesaikan pada hari Isnin, 18 Muharam 1330 Hijrah. Kandungannya membicarakan tentang tauhid dan fikah. Cetakan yang pertama dilakukan oleh Mathba'ah At-Taraqqil Majidiyah al-'Utsmaniyah pada tahun 1330 Hijrah. Kemudian dicetak pula oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan Singapura pada tahun 1345 Hijrah/1927 Masihi. Kitab ini ditashhih oleh Syeikh Idris bin Husein al-Kalantani. Kitab ini masih dijual dipasaran malah telah dirumikan oleh beberapa penerbit tempatan.
Kisarul Aksir lish Shaghir `indal Kabir li Ma'rifatillahil `Alimil Khabir. Kitab ini diselesaikan pada hari Khamis, 25 Rabiulakhir 1336 Hijrah. Kandungannya membicarakan tentang tasauf dan thariqat. Kitab ini pernah dicetak oleh Al-Huda Press, Pulau Pinang, Safar pada tahun 1356 Hijrah/April 1937 Masihi.
Hidayatul Athfal. Kitab ini diselesaikan pada tahun 1336 Hijrah. Kandungannya pelajaran tauhid untuk kanak-kanak.
Hidayatul Mutafakkirin fi Tahqiqi Ma'rifati Rabbil `Alamin. Kitab ini diselesaikan pada 3 Rabiulakhir 1337 Hijrah. Kandungannya membicarakan tentang tauhid, menurut akidah Ahli Sunnah wal Jamaah. Cetakan yang pertama dikeluarkan oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan Singapura pada tahun 1345 Hijrah/1927 Masihi. Kitab ini juga pernah dicetak oleh Mathba'ah Persama, 83-85, Achen Street, dekat Masjid Melayu, Pulau Pinang pada tahun 1377 Hijrah/1957 Masihi. Kitab ini telah dirumikan oleh beberapa penerbit tempatan agar mudah difahami pembaca pada masa ini.
Tafrihus Shibyan fi Maulidin Nabi min Waladi `Adnan. Kitab ini diselesaikan pada hari Selasa 3 Rabiulawal 1341 Hijrah. Kandungannya mengenai sejarah kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. Ia dicetak oleh Mathba'ah Persama, 83-85, Achen Street, dekat Masjid Melayu, Pulau Pinang pada tahun 1382 Hijrah/1962 Masihi.
Tazkiru Qabailil Qadhi. Kitab ini diselesaikan pada tahun 1343 Hijrah. Kandungannya merupakan Terjemahan Hadits Jawahir al-Bukhari dan terdiri daripada dua juzuk. Kitab ini dicetak oleh Al-Maktabah Zainiyah, Taiping Perak pada tahun 1350 Hijrah.
Bidayatut Thalibin ila Ma'rifati Rabbil `Alamin. Kitab ini diselesaikan pada tahun 1344 Hijrah. Kandungannya membicarakan ilmu tauhid. Kitab ini pernah dicetak oleh The United Press, No. 3 Dato' Keramat Road, Pulau Pinang pada tahun 1357 Hijrah. Kitab ini ditashhih oleh Ilyas Ya'qub al-Azhari.
`Alaqatul Lamiyah wash Sharfiyah. Kitab ini diselesaikan pada tahun 1345 Hijrah. Kandungannya membicarakan ilmu sharaf atau perubahan perkataan dalam bahasa Arab.
Ushulut Tauhid fi Ma'rifati Thuruqil Iman lir Rabbil Majid. Kitab ini diselesaikan pada 6 Syawal 1346 Hijrah. Kandungannya membicarakan falsafah ilmu tauhid dan ilmu fikah. Kitab ini pernah dicetak oleh Mathba'ah Az-Zainiyah, Taiping, Perak, hari Jumaat, 4 Jamadilakhir, 1347 Hijrah dan The United Press, Pulau Pinang, pada 11 Jamadilawal1393 Hijrah. Kitab ini masih disyarah di masjid dan surau pada masa ini.
Hidayatun Nikah. Kitab ini diselesaikan 1347 Hijrah. Kandungannya membicarakan perkara-perkara mengenai nikah kahwin.
Qathrul Ghaitsiyah fi `Ilmish Shufiyah `ala Syari'atil Muhammadiyah. Kitab ini diselesaikan pada 25 Jamadilawal 1348 Hijrah. Kandungannya membicarakan tasawuf. Kitab ini dicetak oleh Mathba'ah Persama, 93 Achen Street, Pulau Pinang. Pada masa ini, kitab ini telah dirumikan oleh beberapa penerbit tempatan.
Majmu'ul La-ali lin Nisa' wal Athfaliyi. Kandungan mukadimahnya menyatakan bahawa judul ini terdiri daripada sepuluh juzuk. Ia berkenaan tentang hukum feqah. Kitab ini pernah dicetak oleh The United Press Pulau Pinang sekitar tahun 1352 hingga 1360 Hijrah.
Tabshirah li Ulil Albab. Kitab ini diselesaikan pada tahun 1351 Hijrah. Kandungannya membicarakan tentang akidah/tauhid.
Hidayatul Ghilman. Kitab ini diselesaikan pada tahun 1351 Hijrah. Kandungannya membicarakan tentang akidah/tauhid yang ditulis dalam bahasa Arab.
Bunga Geti. Kitab ini diselesaikan pada tahun 1354 Hijrah. Kandungannya membicarakan tentang sembahyang qada atau mengganti sembahyang yang ketinggalan.
Nailul Maram fi ma Yujabu Husnul Khitam. Kitab ini diselesaikan pada hari Ahad, 6 Syaaban 1354 Hijrah. Kandungannya membicarakan tentang beberapa amalan zikir dan wirid untuk mendapatkan husnul khatimah. Kitab ini pernah dicetak oleh The United Press, dikeluarkan oleh Haji Ahmad bin Tuan Husein dengan catatan, ``Dicap risalah ini untuk mendapat khairat bagi Al-Madrasah Al-Khairiyah Al-Islamiyah, Pokok Sena, Kepala Batas, Seberang Perai.''
Tanbihul Ikhwan fi Tadbiril Ma'isyah wat Taslikil Buldan. Kitab ini diselesaikan pada tahun 1354 Hijrah. Kandungannya membicarakan tentang penghidupan dan pendatbiran pe merintahan.
Tuan Hussein berperanan besar dalam menubuhkan sebuah sekolah yang dikenali sebagai Madrasah Khairiah Islamiah yang terletak di Pokok Sena, Kepala Batas Pulau Pinang. Sekolah ini didirikan diatas tanah wakafnya seluas 1 ekar. Asalnya sekolah ini mempunyai 2 peringkat pengajian iaitu Peringkat Peralihan (Tahdiri) selama 1 Tahun termasuk Peringkat Persediaan (Ikdadi) selama 3 Tahun dan Peringkat Thanawi selama 4 Tahun. Pada tahun 1998, pelajaran akademik telah diperkenalkan.Pada tahun 2000, kelas akademik adalah daripada tingkatan 1 hingga 3 dan peperiksaan PMR adalah yang pertama untuk sekolah ini. Setelah Tuan Hussein meninggal dunia, pentadbiran sekolah telah dijalankan oleh anaknya, Tuan Ahmad. Tuan Ahmad berangkat ke Makkah pada tahun 1923 M ketika usianya 18 tahun dengan menggunakan wang titik peluhnya sendiri. Wang itu diperolehinya hasil dari pekerjaannya mengusahakan sawah padi milik ayahandanya selama tiga musim. Ayahandanya iaitu Tuan Hussein menyuruh beliau mencari sumber pendapatan sendiri supaya mendapat keberkatan ketika belajar kelak. Pada ketika itu, ayahandanya telah berpindah ke Sungai Limau, Yan Kedah setelah membeli tanah bendang untuk diusahakan. Selama 4 tahun beliau belajar di sana, beliau menguasai bidang undang-undang Islam 4 mazhab, Sorof, ilmu Bayan, Badie' Maa'nie, Hadith, Tafsir dan Tarikh. Antara guru-guru beliau di Makkatul Mukarramah ialah Sheikh Omar Hamdan, Sheikh Omar Bajunid, Syed Amirul Khatab, Sheikh Ahmad Arabi, Sheikh Ahmad Sembawa, Sheikh Ibrahim Pattani dan Sheikh Ahyud yang mahir dalam Ilmu Falak. Semasa di Makkah beliau tinggal di Jiyad, Mekah di rumah tumpangan diraja Kedah. Pada tahun 1927M, Tuan Ahmad pulang ke tanahair. Dalam tahun 1930M, beliau berpindah ke Pokok Sena, Kepala Batas, Seberang Perai dan mengajar di Madrasah Khairiah Islamiah yang didirikan oleh ayahanda beliau. Selepas pemergian ayahandanya,beliau menyambung semula pelajaran ke Makkah dan balik semula ke Tanah Melayu untuk menyambung tugas ayahandanya mengajar di Madrasah Khairiah Islamiah dan menjadi mudir di sana. Sebelum ayahandanya meninggal dunia, Tuan Ahmad telah dikahwinkan dengan Hajah Sofiah binti Haji Idris, dan dikurniakan seramai 16 orang anak, 2 daripadanya meninggal dunia. Anaknya yang sulong, Haji. Ali mengambil alih tugas sebagai mudir sekarang. Tuan Ahmad meninggal dunia pada hari Sabtu jam 7.05 malam (maghrib) di Pokok Sena, Seberang Prai, Pulau Pinang bersamaan 17 Rabiul Awal 1398, dalam usia 71 tahun.[5]




[1] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2008. Muhammad Thaiyib penerus tradisi ulama Banjar. Utusan Malaysia. Terbit pada 7 Januari 2008
[2] Catatan pada salah satu manuskrip yang dikelompokkan bersama-sama dengan kitab Bidayah al-Ghilman fi Bayan Arkan al-Iman ada dinyatakan perkataan "Mas'ud asy-Syahid" yang dipercayai ditulis sendiri oleh Syeikh Muhammad Thaiyib. Maksud asy-Syahid di sini ialah mati syahid dalam perang fi sabilillah melawan pencerobohan Siam terhadap Patani dan Kedah.
[3] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2004. Husein Kedah al-Banjari - Generasi penerus ulama Banjar. Utusan Malaysia. Terbit pada 16 Ogos 2004
[4] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2004. Husein Kedah al-Banjari - Generasi penerus ulama Banjar. Utusan Malaysia. Terbit pada 16 Ogos 2004
[5] Dirujuk dari http://khairiahislamiah.tripod.com/index.html. Dicapai pada 6 Julai 2009

No comments:

Post a Comment