Monday, July 6, 2009

Tuan Minal Ulama Fathani berpengaruh di Pulau Pinang

Nama lengkapnya ialah Syeikh Wan Zainal Abidin bin Wan Muhammad al-Fathani bin Wan Muhammad Dahan bin Wan Syamsuddin bin Wan Ja'far bin Wan Husein bin Ali. Tuan Minal yang diriwayatkan berasal dari Kampung Anak Ru Patani mendapat pendidikan dari orang tuanya di kampung halaman sendiri. Beliau dikatakan pernah memasuki Pondok Bendang Daya Patani dan sempat berguru kepada pengasas pertamanya, iaitu Syeikh Haji Wan Mustafa bin Muhammad al-Fathani. Sahabat-sahabatnya terdiri dari ulama-ulama besar alam Melayu seperti Syeikh Wan Muhammad Zain al-Fathani (ayahanda Syeikh Ahmad al-Fathani), Syeikh Abdul Qadir al-Fathani (Tok Bendang Daya ke-2), Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, Syeikh Wan Ali Kutan al-Kalantani, Syeikh Jamaluddin Negeri Sembilan dan Haji Abdus Samad Kelumbung. Selain dari Syeikh Haji Wan Mustafa, guru beliau yang lain ialah seperti Syeikh Abdur Rasyid al-Fathani yang terkenal dengan gelaran Abdur Rasyid Keramat Pulau Bidan. Syeikh Muhammad Thaiyib bin Mas’ud al-Banjari dari Kedah dimana beliau menimba ilmu usuluddin[1] dan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani di Makkah. Kealimannya telah menyebabkan beliau diakui sebagai ulama besar dan digelar al-'Alim al-Allamah al- Mudaqqiq[2] al-Fahamah[3] Sirajuddin[4]. Menurut almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir, gelaran Tuan Minal yang lekat padanya berasal daripada serangkaian peristiwa yang pernah berlaku kepada beliau iaitu apabila beliau merasa marah dan gusar kepada murid-muridnya, beliau sering membaca surah An-Nas. Apabila sampai kepada ayat ``Minal jinnati wan nas'' beliau mengeraskan tekanan suaranya. Semakin kuat perasaan marah menyerang perasaannya beliau lebih keras menekan suaranya apabila sampai kepada ayat itu. Walau bagaimanapun marahnya hanyalah diketahui dengan kelakuan demikian, sedangkan air mukanya tetap menampakkan kelembutan dan ramah tamah seolah-olah beliau tidak marah.[5]
Setelah pulang dari Makkah, Syeikh Zainal Abidin al-Fathani membuka sebuah pusat pengajian sistem pondok di suatu kampung dalam negeri Patani yang dikatakan terletak di Bendang Badang, Patani. Setelah pondok yang diasaskannya kukuh, beliau berhijrah ke Sungai Dua, Seberang Perai dan menangani pondok pengajian yang diasaskan oleh Syeikh Jalaluddin bin Muhammad Yusya' al-Kalantani pada penghujung tahun 1800-an. Warisan berharga Tuan Minal sudah pasti kitab-kitabnya yang sangat berpengaruh yang ada diantaranya masih lagi disyarah di pusat-pusat pengajian tradisi Islam termasuk di masjid dan surau.
Karya-karya Tuan Minal seperti yang dicatat oleh almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir ialah seperti
Kasyful Ghaibiyah fi Ahwali Yaumil Qiyamah. Kitab ini diselesaikan pada tahun 1301 H/1883M. Kandungannya membicarakan mulai kejadian alam seluruhnya, tanda-tanda kiamat dan peristiwa dahsyat kejadian Hari Kiamat. Kitab ini pernah dicetak oleh Matba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah pada tahun 1302 H dan Matba'ah at-Taraqqil Majidiyah `Utsmaniyah, Mekah pada tahun 1332 H/1913 M. Kitab ini pernah ditashhih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani untuk cetakan yang dilakukan oleh Matba’ah al-Miriyah dan anak Tuan Minal sendiri iaitu Syeikh Muhammad Saleh al-Fathani dengan dibantu oleh Syeikh Idris bin Husein al-Kalantani untuk cetakan yang dilakukan oleh Matbaah at-Taraqqil Majidiyah.
Kasyful Litsam `an As-ilatil Anam. Kitab ini diselesaikan pada tahun 1307 H/1889 M.
`Aqidatun Najin fi `Ilmi Ushuliddin. Kitab ini diselesaikan pada hari Sabtu, Jamadilakhir tahun 1308 H/1890 M. Kitab ini dianggap yang kedua terbesar tentang akidah dalam bahasa Melayu sesudah Warduz Zawahir karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Walaubagaimanapun, kitab ini dianggap yang paling besar yang masih beredar di pasaran sehingga ke hari ini. Cetakan pertama dilakukan oleh Matba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah dalam tahun 1319 H/1901 M dan ditashhih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani.
Irsyadul `Ibad ila Sabilil Rasyad. Tidak disebut tarikh kitab ini diselesaikan. Kitab ini pernah dicetak dalam beberapa edisi, iaitu Matba'ah al-Miriyah, Mekah, Mathba'ah Dar Ihya' al-Kutubal `Arabiyah, Mesir, Matba'ah Al-Ahmadiyah, Singapura dan Persama Press, Pulau Pinang.
Tabassumusy Syaribin. Kitab ini pernah dicetak oleh Al-Ahmadiyah Press, Singapura dan digabungkan dengan kitab Irsyadul `Ibad.
Miftahul Murid fi `Ilmit Tauhid. Kitab ini diselesaikan tanpa menyatakan tarikh. Ia dicetak buat pertama kali di Makkah pada tahun 1330 H oleh Mathba'ah at-Taraqqil Majidiyah, Makkah 1330 H. Cetakan yang dilakukan di Pulau Pinang dalam tahun 1373H/1954M menggabungkan karya anak beliau, Syeikh Umar yang berjudul Risalah Pada Menyata- kan Sebab Jadi Murtad.
Sembahyang Jumaat. Masih dalam bentuk manuskrip. Ditanda dengan nombor kelas MS 111, Koleksi Pusat Manuskrip Perpustakaan Negara Malaysia. Naskhah tidak lengkap, hanya enam muka surat. Belum pernah diterbitkan.
Tahqiqul Kalam fi Bayani Ibtidais Shiyam. Masih dalam bentuk manuskrip. Ditanda dengan nombor kelas MS 112, Koleksi Pusat Manuskrip Perpustakaan Negara Malaysia. Naskhah tidak lengkap, hanya enam muka surat. Belum pernah diterbitkan.[6]
Tuan Minal al-Fathani tercatat dalam sejarah sebagai keluarga ulama besar. Ini adalah kerana kesemua anak lelakinya yang berjumlah lima orang itu menjadi ulama belaka. Salah seorang antara mereka ialah Syeikh Abdul Qadir bin Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani. Syeikh Abdul Qadir al-Fathani ialah seorang ulama. Adik-beradik Syeikh Abdul Qadir bin Tuan Minal al-Fathani semuanya sempat menerima pendidikan langsung daripada Tuan Minal sendiri sama ada di Pondok Patani mahupun di pondok Sungai Dua, Seberang Perai. Anak-anak lelakinya ialah Haji Daud, Haji Abdul Qadir, Haji Muhammad Soleh, Haji Umar dan Haji Hasan. Anak perempuannya bernama Hajah Fatmah. Anak lelakinya yang paling terkenal ialah Haji Abdul Qadir. Yang merupakan anak murid ulama terkenal, Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain a-Fathani. Ini adalah kerana beberapa anak dan keturunan beliau, ramai yang menjadi ulama besar. Salah seorang antara anak beliau yang menjadi ulama dan sangat besar pengaruhnya bagi umat Islam Patani ialah Haji Sulong al-Fathani. Hampir-hampir tidak terdapat seorang pun orang Islam yang berasal dari Patani yang tidak pernah mendengar sebutan nama Haji Sulong. Beliau diakui oleh masyarakat Patani sebagai Bapa Perjuangan Patani. Karya Haji Sulong yang sangat terkenal ialah Gugusan Cahaya Keselamatan yang selesai ditulis semasa dalam penjara di Legor pada 3 Zulkaedah 1368 H/28 Ogos 1949 M. Karya ini sangat penting bagi bangsa Melayu-Patani. Cetakan pertama diterbitkan pada tahun 1377 H/1958 M. Haji Sulong semenjak dari kecil lagi sentiasa mengikut ayahandanya menimba ilmu. Menurut almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir, Haji Sulong pernah menadah kitab kepada Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani dalam usia yang sangat muda.[7] Tambah almarhum, Haji Sulong merupakan kader politik termuda yang diasuh oleh Syeikh Ahmad al-Fathani. Kader lain yang diasuh oleh Syeikh Ahmad al-Fatahani ialah Nik Mahmud bin Ismail Kelantan yang usianya tua sedikit dari Haji Sulong. Beliau kemudiannya dikenali sebagai Datuk Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan setelah pulang ke Kelantan.[8] Anak Haji Abdul Qadir yang lain yang menjadi ulama besar ialah Haji Abdur Rahim. Haji Abdur Rahim pernah menjadi Penolong Kadi di Pulau Pinang, pernah mengajar di Pulau Dua, Myanmar dan pernah membuka pondok pengajian di Phuket, Thailand. Beliau juga pernah mengajar di Pasir Mas, Kelantan dan mengajar di Kampung Sirih Jabat, Patani. Haji Abdur Rahim al-Fathani mendapat pendidikan dari abangnya Haji Sulong dan selanjutnya belajar di Makkah. Anak Haji Abdul Qadir yang perempuan hasil perkahwinannya dengan Shafiyah[9] yang berasal dari Muar ialah Hajah Zainab. Beliau berkahwin dengan seorang alim bernama Haji Daud yang membuka pondok pengajian di Legor, Thailand. Anak perempuannya yang lain yang alim dalam ilmu agama bernama Hajah Maryam. Beliau ialah seorang ahli dalam bacaan al-Quran dan mengajar al-Quran termasuk hukum-hukum tajwid.
Selain Haji Abdul Qadir, anak-anak Tuan Minal yang lain tidak kurang hebatnya khususnya dalam ilmu mengarang. Anaknya yang bernama Haji Muhammad Soleh al-Fathani menghasilkan sebuah kitab tentang tajwid yang berjudul Sirajul Qari. Kitab ini tersebar luas di seluruh dunia Melayu. Haji Muhammad Soleh al-Fathani wafat di Mekah pada pagi hari Rabu, pukul 11 pagi, 15 Zulhijjah 1308 H/1890 M. Syeikh Haji Muhammad Soleh al-Fathani juga menggubah untaian syair bercorak sastera klasik gurindam dalam kitab Kasyful Litsam yang dikarang oleh ayahandanya, Tuan Minal. Anaknya yang bernama Haji Umar bin Tuan Minal menghasilkan beberapa karya, antaranya seperti Risalah Pada Menyatakan Sebab Jadi Murtad. Anaknya yang bernama Haji Hasan bin Tuan Minal al-Fathani menghasilkan penulisan berjudul Pungutan Kanak-Kanak. Haji Hasan mempunyai dua anak yang kedua-duanya menjadi ulama. Anak-anaknya bernama Haji Muhammad, dan Haji Abdur Rahman. Anak perempuan Tuan Minal al-Fathani juga menurunkan beberapa orang ulama. Hasil perkahwinan Hajah Fatmah binti Tuan Minal al-Fathani dengan Tuan Guru Haji Abdur Rasyid Bandar Patani mendapat anak bernama Ya’qub dan Hajah Khadijah. Hajah Khadijah yang merupakan cucu Tuan Minal al-Fathani berkahwin dengan Tuan Guru Haji Abdul Aziz yang merupakan murid kepada Syeikh Ahmad al-Fathani.

[1] Berdasarkan catatan kitab Miftah ash-Shibyan oleh Syeikh Muhammad Nuruddin bin Syeikh Abbas al-Khalidi, Batu Bahara, Pasir Dahari, Inderapura. Syeikh Muhammad Thaiyib al-Banjari al-Qad-hi mempelajari ilmu yang sama daripada Syeikh Ali al-Qad-hi (Kedah). Sanad beliau sampai kepada dua imam besar Ahlus Sunnah wal Jama'ah, iaitu Imam Abu al-Hasan al-Asy'ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi.

[2] Bererti sangat teliti
[3] Mempunyai kefahaman yang mendalam dalam ilmu-ilmu Islam khususnya dalam bidang feqah
[4] Sirajuddin bermaksud lampu agama
[5] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2004. Tuan Minal al-Fathani - Karangannya rujukan ulama Melayu. Utusan Malaysia. Terbit pada 18 Oktober 2004. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=1018&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm&arc=hive. Dicapai pada 6 Julai 2009

[6] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2004. Tuan Minal al-Fathani - Karangannya rujukan ulama Melayu. Utusan Malaysia. Terbit pada 18 Oktober 2004. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=1018&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm&arc=hive. Dicapai pada 6 Julai 2009
[7] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2006. Abdul Qadir Tuan Minal ulama dan ayah seorang pejuang. Utusan Malaysia. Terbit pada 25 September 2006. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0925&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_05.htm&arc=hive. Dicapai pada 6 Julai 2009
[8] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2006. Abdul Qadir Tuan Minal ulama dan ayah seorang pejuang. Utusan Malaysia. Terbit pada 25 September 2006. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0925&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_05.htm&arc=hive. Dicapai pada 6 Julai 2009
[9] Anak orang kaya Muar yang berkahwin dengan Haji Abdul Qadir ketika beliau mengikuti gurunya, Syeikh Ahmad al-Fathani menziarahi anak muridnya di Johor. Peristiwa ziarah itu dipercayai berlaku selepas pertemuan Syeikh Ahmad al-Fathani dengan Sultan Johor iaitu Sultan Abu Bakar dalam tahun 1296 H/1879 M di Istanbul, Turki.

1 comment: