Wednesday, July 1, 2009

Syeikh Jalaluddin al-Asyi, Ulama besar Aceh abad ke-18

Syeikh Jalaluddin al-Asyi atau lebih dikenali sebagai Faqih Jalaluddin hidup dalam abad ke-18 Masehi Beliau merupakan ulama besar Aceh pada zamannya dan pernah dilantik menjadi Kadi Malikul Adil pada masa pemerintahan Sultan Alauddin Maharaja Lela Ahmad Syah (1139 H/1727 M - 1147 H/1735 M) dan ketika pemerintahan Sultan Alauddin Johan Syah (1147 H/1735 M -1174 H/1760 M). Diriwayatkan bahawa Sultan Aceh, iaitu Sultan Alauddin Ahmad Syah dan ahli istana yang lain menjadi anak murid beliau. Ini adalah kerana Sultan Aceh sentiasa merujuk sesuatu perkara kepada beliau. Ayahanda Faqih Jalaluddin bernama Syeikh Kamaluddin manakala datuknya pula bergelar Qadhi Baginda Khathib at-Tarun Pasir. Ayahanda dan datuknya adalah ulama besar yang sangat terkenal dan berpengaruh di Aceh pada zamannya. Faqih Jalaluddin menerima pengajian Islam tradisional daripada kedua-duanya. Bagaimanapun dipercayai bahawa beliau juga belajar dengan beberapa orang ulama terkenal di Aceh yang lainnya. Dalam sebuah kitabnya ada dicatatkan bahawa beliau menerima Tarekat Syathariyah dan Tarekat Qadiriyah daripada gurunya Arif Billah Baba Daud bin Ismail al-Jawi bin Agha Mustafa ar-Rumi. Baba Daud adalah murid ulama besar Aceh pada pertengahan dan penghujung abad ke-17 iaitu Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Baba Daud bin Ismail al-Jawi adalah orang pertama menyalin tafsir al-Quran yang ditulis oleh gurunya itu, dan beliau pula yang menyelesaikan tafsir itu sehingga menjadi lebih lengkap dan lebih sempurna. Kata almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir Abdullah,
Memerhatikan sangat rapat dan mesranya hubungan antara Syeikh Faqih Jalaluddin dengan gurunya, Baba Daud al-Jawi itu, sedangkan Baba Daud al-Jawi pula adalah murid kepercayaan Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri, maka diyakini bahawa Syeikh Faqih Jalaluddin sempat pula menerima ilmu-ilmu dari Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri secara langsung.
Faqih Jalaluddin diriwayatkan pernah melanjutkan pelajaran ke India dan Makkah. Faqih Jalaluddin termasuk dalam kelompok ulama yang aktif mengarang. Beliau meneruskan kesinambungan ulama-ulama Aceh terdahulu yang seperti Syamsuddin as-Sumatrai dan Abdur rauf Ali al-Fansuri yang banyak menghasilkan karya-karya yang bermutu tinggi. Karya-karya utamanya yang dapat dikesan sehingga kini meliputi bidang feqah dan tasawwuf.
Karyanya dalam bidang feqah
1. Hidayah al-Awam Pada Menyatakan Perintah Agama Islam. Kitab ini adalah kitab feqah yang ringkas. Kata almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir ketika mengulas kitab ini,
Pada mukadimah Hidayah al-Awam, Syeikh Faqih Jalaluddin bahawa,"... pada hijrah Nabi seribu seratus empat puluh, pada lima hari bulan Muharam (5 Muharam 1140 H/23 Ogos 1727 M, pen:) zaman Paduka Seri Sultan, yang besar kerajaannya, lagi yang maha tinggi darjatnya, iaitu Sultan Alauddin Ahmad Syah Johan berdaulat Zhillullah fi al-Alam, adamullahu daulatahu, Amin, maka tatkala itu meminta kepada faqir yang hina Khadim al-Ulama (yang berkhidmat pada ulama), Haji Jalaluddin... oleh seorang sahabat raja itu, yang takut akan Allah Taala, bahawaku suratkan baginya suatu risalah yang simpan (maksudnya: risalah yang ringkas, pen:). Maka aku namai akan dia Hidayah al-‘Awam ...”
2. Safinat al-Hukkam fi Talkhish al-Khisham. Kitab ini agak tebal dan lengkap. Penulisannya bermula pada bulan Muharam, hari Jumaat 1153 H/1740 M. Kitab ini dikarang atas perintah Sultan Alauddin Johan Syah. Barangkali inilah kitabnya yang terbesar diantara karya-karyanya yang lain. Kandungan teksnya yang bertulisan tangan itu adalah berasaskan Mazhab Syafi'ie yang membicarakan istilah-istilah, peringatan untuk golongan hakim yang zalim dan beberapa kaedah yang berkaitan dengan ilmu feqah.

3. Hujjah al-Balighah ‘ala Jama’ah al-Mukhasamah. Kata almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir ketika meneliti kitab ini,
Pada mukadimah Faqih Jalaluddin menulis: “Ada pun kemudian dari itu, maka tatkala Hijrah Nabi s.a.w seratus lima puluh delapan tahun, kemudian daripada seribu pada empat hari bulan Muharam, waktu Dhuha, hari Sabtu (4 Muharam 1158 H/1745 M) zaman Saiyidina wa Maulana Paduka Seri Sultanah Alauddin Jauhar Syah, Syah Berdaulat Zhillullah fi al-Alam, telah meminta kepadaku setengah daripada kekasihku, salah seorang daripada pengawal sultan yang tersebut itu, bahawa ku suratkan baginya risalah yang simpan pada menyatakan dakwa, dan baiyinah, dan barang yang bergantung dengan keduanya. Ku perkenankan pintanya, dan ku suratkan baginya risalah ini ...”
Sambung almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir,
Pada penghabisan kitab beliau mencatat, Tamat al-kitab Hujjah al-Balighah ‘ala Jama'ah al-Mukhasamah karangan faqir yang hina Faqih Jalaluddin ibnu asy-Syeikh Kamaluddin ibnu al-Qadhi Baginda Khathib at-Tarun Pasir... pada 27 Rabiulakhir, waktu Dhuha pada zaman Alauddin Jauhar Syah, pada hijrah seribu seratus lima puluh delapan tahun... (27 Rabiulakhir 1158 H/1745 M).
Faqih Jalaluddin sangat berhati-hati dalam mengeluarkan sesuatu fatwa. Ini diperjelaskan olehnya dengan katanya, “Ingat-ingat kiranya yang memberi fatwa, maka adalah bahaya yang besar pada memberi fatwa itu belum lagi tahqiq sesuatu masalah daripada hadis, dan dalil, atau daripada kitab segala ulama. Maka janganlah difatwakan sekali-kali akan dia ...”
Dalam kitab ini, Faqih Jalaluddin telah menghuraikan kelompok kadi kepada tiga perkara iaitu dua perkara isi neraka dan satu perkara isi syurga. Katanya,
“Maka dua perkara isi neraka itu iaitu; Pertama kadi yang jahil, tiada baginya ilmu, jikalau mufakat hukumnya itu dengan kebenaran sekali pun tiada jua sah hukumnya itu dengan sebab meninggalkan daripada belajarnya ...” Mengenai perkara ini beliau kemukakan dua hadis Nabi s.a.w. sebagai dalilnya.
Satu diantaranya, menurut beliau lafaz di bawah ini adalah hadis, iaitu: “Barangsiapa tiada guru baginya maka syaitanlah gurunya.” Sabda Nabi itu beliau tafsirkan, barangsiapa ada gurunya itu syaitan, maka tiada lagi syak akan dia isi neraka.
Kadi jenis yang kedua, menurut Faqih Jalaluddin al-Asyi, ialah: “Yang alim, yang ia tiada menghukum seperti yang dalam ilmunya ... “Kadi golongan yang ketiga ialah: “Yang alim, yang ia menghukum seperti hukum yang dalam ilmunya.”
Karya dalam bidang tasawwuf
1. Manzhar al-Ajla ila Martabah al-A’la. Kitab ini diselesaikan pada tahun 1152 H/1739 M. Faqih Jalaluddin didalam kitabnya itu menyatakan bahawa beliau dititah oleh Sultan Alauddin Johan Syah ibnu as-Sultan al-Marhum Ahmad Syah untuk mengarangnya.
2. Asrar as-Suluk ila Malail Muluk. Menurut almarhum al-Ustaz Haji wan Mohd Saghir,
Dalam naskhah tidak tersebut nama pengarang tetapi dapat dipastikan sebagai karya Faqih Jalaluddin al-Asyi adalah berdasarkan salasilah pada kalimat, “... telah mengambil zikir, dan talkin, dan khirqah, dan khalifah, fakir yang mengarang risalah ini daripada syeikhnya yang ahli az-zauq, lagi Arif Billah, iaitu Syeikh Daud ibnu Ismail qaddasallahu sirrahu, dan ia mengambil dari (Syeikh) Abdur Rauf ...” Bererti pengarang adalah murid Baba Daud ibnu Ismail ar-Rumi, bahawa perkara ini juga disebut oleh Faqih Jalaluddin bin al-Asyi dalam karyanya Manzar al-Ajla ...Kandungan keseluruhannya membicarakan tasawuf peringkat tinggi dan berbagai-bagai tarekat. Disebutkan bahawa asal tarekat dalam dunia ada empat belas, semua nama tarekat disebutkan secara terperinci.[1]
Zuriat Faqih Jalaluddin yang dapat dikesan menjadi ulama besar ialah Syeikh Muhammad Zain al-Asyi. Beliau merupakan pengarang kitab Bidayah al-Hidayah, sebuah kitab ilmu tauhid menurut akidah Ahli Sunah wal Jamaah yang sehingga kini masih lagi berlegar di jual di kedai-kedai buku agama dan disyarah dimasjid dan surau. Kitab Bidayah al-Hidayah[2] ini ditulis pada 24 Syaaban1170 H/14 Mei 1757 M. Kata almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir apabila mengulas tentang kitab ini,
Kitab ini diajar di dunia Melayu sejak pengarangnya masih hidup lagi, diteruskan oleh murid-muridnya, seperti Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari, Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan lain-lain. Sebelum kemunculan Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Kitab yang tersebut diajarkan dalam bentuk salinan tulisan tangan. Syeikh Ahmad al-Fathani adalah orang pertama mentashih kitab itu, kemudian mencetak kitab Bidayah al-Hidayah itu pada 1303 H/1885 M. Pada akhir semua edisi cetakan Bidayah al-Hidayah dinyatakan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani, “Telah selesai ini beberapa kalimah yang mukhtasharah (ringkas,), yang disuratkan dia di dalam laungan yang sedikit akan jadi taqrir atas kitab ini, hal keadaan hamba harapkan uzur daripada tiap-tiap saudara yang muthala’ah atasnya. Pada pagi Sabtu, 20 Rejab al-Asham pada tahun seribu tiga ratus tiga daripada hijrah (20 Rejab 1303 H) atas tangan al-faqir Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani ...”
Ia disambung dengan gubahan puisi Syeikh Ahmad al-Fathani dalam bahasa Melayu pada halaman terakhir, iaitu:
“Hai saudara yang tiada sempurna dirayah,
melainkan dengan kitab Bidayah al-Hidayah Hawa itu ibu bagi sekalian makhluk-Nya,
maka Bidayah al-Hidayah itu ibu al-barahin
Maka kitab ini asal yang dituntutnya,
dan yang lain ini kitab furu’nya
Khalilullah dengan dia mengajarnya, pada langit akan shibyan sekaliannya
Maka orang yang tiada mengaji akidah as-Sanusi,
dipukul akan dia dengan dua Malaikat dengan besi
Citerakan oleh setengah yang shalihin,
asy-Syeikh itu diperdiam akan dia di ‘Illiyin
Tiada sah ia sembahyang dan puasa,
hingga mentauhid Tuhan Yang Esa
Demikian tiada diterima akan amal dan ibadat,
hingga mendiri akan dalil dan makrifat.”[3]
Beliau melanjutkan pelajaran di Makkah. Antara guru yang didampinginya ialah Syeikh Muhammad Said, Syeikh Abdul Ghani bin al-Alim Muhammad Hilal, Syeikh Ahmad al-Farsi (ulama kelahiran Mesir) dan Syeikh Ahmad Durrah (juga ulama kelahiran Mesir). Sebelum pulang ke Aceh, Syeikh Muhammad Zain Aceh sempat mengajar di Masjid al-Haram Mekah. Di antara ulama besar Alam Melayu yang menjadi anak muridnya ialah Syeikh Haji Abdur Rauf ibnu Makhalid Khalifah al-Qadiri al-Bantani, Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari, Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari dan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani[4]. Seperti ayahandanya, Syeikh Muhammad Zain al-Asyi juga sangat aktif mengarang. Bahkan kitab-kitab yang ditulisnya adalah lebih awal dari kitab-kitab yang ditulis oleh ayahandanya! Sebagai contoh, kitab Ilmu Tauhid ditulis oleh Syeikh Muhammad Zain al-Asyi dalam tahun 1114 H/1702 M, 25 tahun lebih awal dari kitab pertama yang ditulis oleh ayahandanya iaitu Hidayah al-‘Awam yang ditulis pada tatahun 1140 H/1727 M. Lain-lain kitab yang ditulis oleh Syeikh Muhammad Zain al-Asyi ialah Kasyf al-Kiram yang selesai ditulis pada 8 Muharam 1171 H/22 September 1757 M, Talkish al-Falah fi Bayan Ahkam at-Thalaq wa an-Nikah, tanpa tarikh penulisan, Risalah Dua Kalimah Syahadah, tanpa tarikh penulisan, Faraidh al-Quran, tanpa tarikh penulisan, Masalah al-Faraid, tanpa tarikh penulisan dan Bahas Doa Hizb al-Bahri, tanpa tarikh penulisan.[5]
Nota kaki

[1] Rujuk tulisan Wan Mohd Saghir Abdullah bertajuk Syeikh Jalaluddin Al-Asyi kesinambungan aktiviti ulama Aceh bertarikh 4 Disember 2006 di Utusan Malaysia. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1204&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive. Dicapai pada 1 Julai 2009
[2] Salah seorang ulama besar Patani yang telah menyalin kitab ini ialah Tok Wan Din al-Fathani. Nama sebenarnya ialah Syeikh Wan Muhammad Zainal Abidin al-Fathani. Beliau lahir dalam tahun 1233 Hijrah/1817 Masehi di Kampung Sena Janjar, Patani. Beliau merupakan abang kepada dua lagi ulama besar Patani iaitu Syeikh `Abdul Qadir al-Fathani @ Tok Bendang Daya II dan Syeikh Abdul Lathif al-Fathani. Beliau mendapat pendidikan dari ayahandanya Syeikh Haji Wan Mustafa al-Fathani (Tok Bendang Daya I) dan setelah melanjutkan pelajaran ke Makkah, beliau menadah kitab kepada ulama besar yang terkenal, iaitu Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki dan Sayid Ahmad bin Zaini Dahlan. Antara anak muridnya yang menjadi ulama dan tokoh yang terkenal ialah Datuk Abdullah bin Musa (1279 Hijrah/1863 Masehi - 1325 Hijrah/1907 Masehi) yang menjadi Mufti dan Hakim Besar Kerajaan Johor (1889-1907 M), Haji Ismail bin Mustafa al-Fathani atau lebih dikenali dengan Cik Doi Kedah (Cik Dol) yang mengasas Pondok Gajah Mati, Pendang, Kedah Haji Muhammad Husein bin Abdul Lathif al-Fathani/Tok Kelaba (1280 Hijrah/1863 Masehi - l367 Hijrah/1948 Masehi) yang menghasil beberapa karya dan sangat aktif menyalin kitab ulama sebelumnya, Qadhi Haji Muhammad Sa'id Umar Kedah, yang mengarang Tafsir Nur al-Ihsan dan adik beliau yang bongsu, bernama Syeikh Daud bin Syeikh Haji Wan Mustafa al-Fathani atau lebih dikenali dengan nama Tok Cik Wan Daud al-Fathani yang merupakan ulama besar Makkah pada zamannya. Tok Wan Din al-Fathani wafat seminggu selepas kewafatan anak beliau, iaitu Syeikh Ahmad al-Fathani. Syeikh Ahmad al-Fathani yang wafat pada 11 Zulhijjah 1325 Hijrah/14 Januari 1908 Masehi. Anaknya, Syeikh Ahmad al-Fathani adalah ulama dari Alam Melayu yang sangat masyhur di Makkah. Tok Wan Din wafat pada 18 Zulhijjah 1325 Hijrah/21 Januari 1908 Masehi. Rujuk artikel Wan Mohd Saghir Abdullah bertajuk Tok Wan Din al-Fathani - Penyalin karya Syeikh Daud al-Fathani yang diterbit pada 21 Februari 2005 dalam Utusan Malaysia atau boleh terus rujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0221&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive. Dicapai pada 1 Julai 2009.


[3] Rujuk tulisan Wan Mohd Saghir Abdullah bertajuk Syeikh Muhammad Zain al-Asyi generasi ulama Aceh yang diterbit pada 29 Januari 2007 dalam Utusan Malaysia. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0129&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive. Dicapai pada 1 Julai 2009.

[4] Syeikh Daud al-Fathani diriwayatkan pernah berguru dengan Syeikh Muhammad Zain al-Asyi di Aceh selama dua tahun. Rujuk tulisan Wan Mohd Saghir Abdullah bertajuk Salasilah Sheikh Daud Abdullah Fathani yang diterbit pada 28 Januari 2008 dalam Utusan Malaysia atau rujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0128&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm&arc=hive. Dicapai pada 1 Julai 2009

[5] Rujuk tulisan Wan Mohd Saghir Abdullah bertajuk Syeikh Muhammad Zain al-Asyi generasi ulama Aceh yang diterbit pada 29 Januari 2007 dalam Utusan Malaysia. Boleh dirujuk di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0129&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive. Dicapai pada 1 Julai 2009.

No comments:

Post a Comment